You are on page 1of 4

Kesan Kolonialisme

1.0 Pengenalan

Kolonialisme bermaksud penguasaan sesebuah bangsa ke atas bangsa lain sama ada melalui politik, ekonomi
mahupun sosial. Kolonial juga biasa disamaerti maksud dengan imperialisme. Penjajahan British di Tanah
Melayu merupakan sebahagian daripada proses persaingan kuasa Barat untuk menguasai tanah jajahan dan
mengeksploitasi sumber ekonomi di Asia Tenggara lebih-lebih lagi pada abad ke-19. Revolusi perindustrian
yang berlaku di Eropah telah menyebabkan kuasa-kuasa Barat berusaha untuk mencari tempat yang boleh
mendatangkan keuntungan kepada mereka. Kekayaan hasil bumi antara faktor yang menyebabkan British
menguasai Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak untuk memenuhi keperluan industri mereka. Pertapakan British
di negeri-negeri Melayu telah membawa kepada pengenalan sistem ekonomi kapitalis. Kolonialisme ini telah
memberi kesan negatif dan kesan positif kepada struktur sosioekonomi masyarakat tradisional tempatan iaitu
terkandung dalam aspek politik, ekonomi dan sosial.

2.0 Kesan-kesan Negatif

2.1 Raja Kehilangan Kuasa

Semasa pemerintahan kolonial, raja-raja Melayu telah dipaksa mengikut nasihat para pegawai British dalam
semua urusan pentadbiran, kecuali perkara yang berkaitan dengan agama Islam dan adat istiadat Melayu.
Tindakan ini tanpa disedari telah menghakis hak dan kedudukan istimewa yang dinikmati oleh orang Melayu
secara sedikit demi sedikit. Situasi ini terjadi selepas Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874 antara Raja
Abdullah dan Sir Andrew Clarke. Melalui perjanjian ini menandakan bermulanya penguasaan pihak British
terhadap negeri-negeri di Tanah Melayu. Hal ini diteruskan dengan pengenalan Perlembagaan Malayan Union
yang dikuatkuasakan pada tahun 1946, bukan sahaja hak keistimewaan orang Melayu tidak disebut tetapi
keistimewaan dan kedudukan yang dimiliki oleh raja-raja Melayu telah dikurangkan sehingga kepada keperluan
rasmi dan perkara-perkara kecil sahaja. Segala hal-hal yang berkaitan dengan pentadbiran seperti hal ehwal
pentadbiran negeri, hal ehwal pertahanan dan hubungan luar negeri terletak di bawah pengaruh Inggeris. Selain
itu, segala urusan pungutan cukai dan kawalan hasil negeri dilakukan mengikut nasihat residen Inggeris.
Kehilangan kuasa raja merupakan kesan besar kolonial British daripada aspek politik masyarakat Melayu.
Apabila British berjaya mengawal kuasa raja, maka senanglah pihak British untuk mengeksploitasi sumber
ekonomi.

2.2 Pembesar Hilang Pengaruh

Sebelum kedatangan kuasa Barat, pembesar-pembesar Melayu mempunyai kuasa penuh untuk memungut cukai,
tetapi keadaan ini berubah apabila segala pungutan cukai dan kawalan hasil negeri diambil alih oleh pihak
Inggeris. Hal ini menyebabkan pembesar-pembesar Melayu telah kehilangan kewibawaan sebagai seorang
pembesar selain kehilangan punca pendapatan serta pengaruh mereka. Misalnya, pengenalan pelbagai dasar
pentadbiran kolonial British di Pahang telah mencabar dan menggugat kekuasaan tradisional yang selama ini
dipegang oleh sultan dan pembesar. Kehadiran J. P. Rodger sebagai residen British telah mengambil alih segala
tugas pembesar. Kerajaan British telah memperkenalkan Undang-undang Tanah yang boleh menyekat
kebebasan pembesar-pembesar Melayu dalam sumber ekonomi mereka. Akibat penguasaan British, Dato
Bahaman yang merupakan seorang pembesar di Pahang telah kehilangan kuasa, selain gelaran juga telah
dilucutkan serta elaun beliau turut dipotong. Daerah Semantan yang sebelum ini berada di bawah kawalan Dato
Bahaman telah dikuasai sepenuhnya oleh pihak British.

2.3 Masyarakat Tempatan Dipinggirkan dalam Ekonomi

Sebelum kehadiran pihak Inggeris di Tanah Melayu, pembesar-pembesar Melayu merupakan pemilik dan
pengusaha lombong-lombong bijih di Perak, Selangor dan Negeri Sembilan. Disebabkan kaedah melombong
yang diamalkan dianggap tidak menghasilkan pengeluaran yang banyak, maka tenaga buruh dan teknologi
melombong dari luar telah dibawa masuk. Dasar memberikan keutamaan kepada golongan asing seolah-olah
merupakan satu prejudis pihak British bahawa orang Melayu merupakan tenaga kerja yang tidak sesuai bagi
industri perlombongan. Pentadbiran Inggeris di Tanah Melayu sememangnya mengekalkan hubungan yang
rapat dengan orang Cina terutamanya golongan elit peniaga dan pemodal Cina kerana kegiatan perdagangan
perusahaan dan perlombongan orang Cina menjadi sumber pendapatan yang besar bagi pihak British. Kesan
yang ketara daripada dasar Inggeris yang memberikan keutamaan ke atas masyarakat imigran selepas menguasai
negeri-negeri Melayu ialah pembesar-pembesar Melayu kehilangan kuasa pemilikan lombong dan pekerja
lombong Melayu semakin berkurang ke atas perusahaan melombong bijih kerana orang Cina memonopoli
kepentingan perusahaan ini di samping pemodal Eropah. Kesan ini boleh diibaratkan orang Melayu seolah-olah
merempak di negeri sendiri apabila begitu sukar untuk menempatkan diri dalam ekonomi perdagangan ini.

2.4 Masalah Sosial

Kolonial British juga telah membawa budaya yang bertentangan dengan masyarakat tradisional tempatan.
British yang berbudaya barat mengamalkan corak pergaulan bebas di antara jantina, sedangkan masyarakat
tempatan khususnya masyarakat tradisional Melayu yang beragama Islam, hal pergaulan amat sensitif. Keadaan
ini kerana ada jurang atau tembok pemisah pergaulan antara lelaki atau perempuan yang bukan muhrim yang
ditetapkan oleh Islam. Situasi ini telah berubah dan diketepikan setelah Tanah Melayu dijajah oleh British.
Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, pengaruh pakaian barat yang keterlaluan, tarian barat dan lain-lain
telah menjatuhkan moral masyarakat Melayu. Kawasan bandar telah dianggap sebagai pusat maksiat dan
perkembangan budaya barat yang membawa kemusnahan terhadap orang Melayu.

2.5 Pendidikan Berunsur Penjajah

Pada zaman penjajahan British, terdapat empat aliran persekolahan di Tanah Melayu iaitu sekolah vernakular
Melayu, Cina, Tamil dan Inggeris. Wujud pelbagai aliran persekolahan ini berpunca daripada sikap dan dasar
Inggeris yang cuba memecahkan perpaduan kaum. Sistem pendidikan Inggeris di Tanah Melayu telah
dikembangkan oleh mubaligh-mubaligh Kristian. Mereka memilih pendidikan sebagai satu saluran untuk
mengembangkan agama mereka. Antara sekolah yang terkenal ialah Penang Free School (1816), Convent,
Methodist dan sebagainya. Walaupun sekolah-sekolah Inggeris telah dibuka kepada semua kaum, tetapi pada
masa itu orang Melayu tidak ramai yang berpeluang untuk belajar di sekolah tersebut akibat tidak mampu
membayar yuran persekolahan yang begitu mahal.

British telah menubuhkan sekolah-sekolah yang mengembangkan pendidikan sekular manakala Islam dihadkan
kepada perkara-perkara ritual sahaja seperti sembahyang, mengerjakan haji, menyambut hari raya dan lain-lain.
Dalam bidang politik, ekonomi dan sosial, Islam telah dipinggirkan dan diganti dengan sistem ciptaan British.
Terdapat tiga matlamat utama pendidikan pada zaman kolonial iaitu sekolah sebagai memasyarakatkan kanak-
kanak dengan nilai-nilai asing ataupun nilai-nilai bukan peribumi, sekolah sebagai melantik segolongan kecil
masyarakat Melayu bagi memenuhi tujuan-tujuan tertentu dan terakhir, bagi memenuhi keperluan tenaga
manusia yang paling minimum dan diperingkat yang paling rendah. Jadi, nampak bahawa British
memperkenalkan sistem pendidikan di Tanah Melayu adalah untuk kepentingan British sendiri iaitu untuk
kepentingan ekonomi serta politik mereka dan bukannya untuk kepentingan kaum Melayu. Matlamat utama
pendidikan ialah semata-mata untuk memberi ilmu kepada segolongan rakyat bagi membolehkan rakyat ini
memenuhi keperluan tenaga dan ekonomi demi kepentingan pihak British.

3.0 Kesan-kesan Positif

3.1 Perkembangan Kegiatan Ekonomi

Perkembangan ekonomi begitu pesat berlaku di Tanah Melayu berikutan revolusi perindustrian yang
berkembang di Eropah. Britain berusaha sedaya mungkin menyaingi negara jiran di Eropah untuk menghasilkan
barangan industri. Situasi ini menyebabkan berlaku pengeluaran sumber yang pesat di tanah jajahan seperti
Tanah Melayu. Kegiatan perlombongan bijih timah dan pengeluaran susu getah telah dipertingkatkan. Impak
pembangunan ekonomi negara banyak disumbangkan hasil daripada penggunaan sistem ekonomi kapitalis yang
dibawa bersama oleh pihak penjajah. Di Tanah Melayu, hasil komoditi seperti bijih timah, getah, emas dan
arang batu banyak dikeluarkan. Pengeluaran emas di Bau, Sarawak misalnya dianggarkan berjumlah 7000 aun
setahun pada tahun 1840-an dengan 700 orang tenaga buruh. Pada tahun 1885, lebih kurang 1000 aun emas
yang dikeluarkan di Sarawak telah dieksport ke Eropah. Kegiatan perlombongan emas dan bijih timah serta
industri getah dan penanaman padi telah merancakkan kegiatan ekonomi Tanah Melayu walaupun tidak seratus
peratus memberikan keuntungan kepada masyarakat tempatan.

3.2 Undang-undang Tanah

Undang-undang tanah yang diperkenalkan turut memberikan keuntungan kepada orang Melayu. Akta Tanah
Simpanan Melayu (TSM) telah diperkenalkan oleh British bagi mengelakkan tanah milik orang Melayu
berpindah milik kepada orang asing. Residen berhak mengisytiharkan mana-mana tanah orang Melayu sebagai
TSM untuk mengelak daripada dijual, dipajak gadai, atau ditukar hak milik. Enakmen Rizab Melayu yang
diluluskan oleh Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1913 memberikan kuasa kepada residen
mengkhaskan kawasan tanah untuk orang Melayu, dianggap sedikit menyebelahi orang Melayu. Land Order
diperkenalkan di Sarawak bagi melindungi tanah peribumi daripada dicerobohi oleh pengusaha Cina. Turut
diperkenalkan ialah Land Settlement Order bagi melindungi tanah peribumi daripada dicerobohi. Di Sarawak,
pemindahan hak milik tanah hanya boleh dilakukan melalui perwarisan untuk mengelakkan daripada
pemajakan, pemecahan dan penjualan tanah kepada orang luar. Land Order Sarawak seterusnya membahagikan
tanah kepada tiga kawasan iaitu tanah campuran, tanah simpanan dan tanah pedalaman. Imigran hanya
dibenarkan memiliki tanah campuran sahaja, manakala tanah simpanan dan pedalaman dilindungi. Di Sabah
pula, Proklamasi III Perlindungan Hak Peribumi yang melindungi kepentingan kaum peribumi telah diwartakan
oleh British. Peraturan ini menetapkan hak milik kaum peribumi di bawah kuasa Pegawai Daerah. Segala urusan
jual beli tanah di Sabah dengan orang Eropah pula perlu dimaklumkan kepada ketua peribumi. Penduduk
peribumi juga berhak menuntut ganti rugi ke atas tanah yang dijual kepada orang asing. Rumusan ringkas di
sini, pengenalan undang-undang dan peraturan tanah telah menyelamatkan tanah milik penduduk peribumi
daripada jatuh kepada orang asing.

3.3 Kemudahan Infrastruktur

Infrastruktur turut berkembang pesat semasa zaman British. Walaupun kemudahan ini banyak dibina demi
kepentingan ekonomi mereka, namun turut memberikan kepentingan kepada masyarakat tempatan. Kemudahan
yang dibina seperti jalan-jalan raya, jalan kereta api, pejabat pos dan banyak lagi. Kolonial British turut
membawa pembangunan infrastruktur di Tanah Melayu walaupun tidak berlaku secara menyeluruh. Kemasukan
pengaruh Inggeris pada pertengahan abad ke-19 telah mengubah sistem pengangkutan awam menjadi lebih baik.
Sesuai dengan sistem ekonomi kapitalis, usaha penting yang dijalankan ialah membina infrastruktur yang dapat
mewujudkan satu sistem perhubungan bagi menghubungkan semua pusat perusahaan bijih timah dengan
pelabuhan-pelabuhan yang menjadi pusat pengeksport hasil-hasil bijih timah. Selain dari itu, pihak kolonial juga
membina infrastruktur bagi menghubungkan kawasan pengeluaran dengan pelabuhan-pelabuhan tertentu di
Tanah Melayu. Mulai tahun 1885, sistem pengangkutan kereta api dibina yang menghubungkan hampir
kesemua pusat perusahaan bijih timah di Semenanjung dengan pelabuhan-pelabuhan di sepanjang Selat Melaka
iaitu dari Kuala Lumpur ke Pelabuhan Klang, Seremban ke Port Dickson, Ipoh ke Telok Anson dan Taiping ke
Port Weld. Hal ini sekaligus telah meningkatkan sistem kemudahan awam secara keseluruhannya. Kemudahan
pengangkutan telah membangunkan sektor ekonomi hingga membawa kepada bertambah bilangan bandar baru
yang menjadi pusat pentadbiran, politik, perdagangan dan perusahaan seperti Kuala Lumpur, Melaka, Ipoh,
Pulau Pinang, Seremban, dan Kuching. Pada tahun 1875, jalan di Larut sejauh 13 batu telah dibina. Beberapa
tahun selepas itu, jalan yang menghubungkan Matang dan Taiping, Kemunting serta Seberang Prai dibina.
Pembinaan jalan raya dipertingkatkan pada tahun 1911 iaitu jalan raya dari Seberang Perai ke Melaka telah siap
dibina. Pada tahun 1928 pula, Jalan raya menghubungkan Perlis ke Singapura telah disiapkan yang sekaligus
mempercepatkan perjalanan di pantai barat. Kemudahan sistem perhubungan yang diwujudkan oleh British telah
memberikan keselesaan kepada masyarakat walaupun pada awalnya, kewujudan kemudahan infrastruktur ini
adalah demi kepentingan ekonomi pihak British.

3.4 Pendidikan

Pendidikan Melayu juga dilaksanakan semasa zaman Inggeris. Pendidikan Melayu telah diberikan secara
percuma di peringkat sekolah rendah. Bangunan sekolah, rumah guru, kakitangan sekolah, peralatan dan buku-
buku dibiayai oleh kerajaan Inggeris. Walaupun gaji guru yang mengajar di sekolah Melayu agak rendah iaitu
dari $15 hingga $50 sebulan berbanding $85 hingga $125 bagi guru sekolah Inggeris, bantuan ini telah
memberikan perkembangan kepada sekolah Melayu. Di peringkat menengah pula, Maktab Melayu Kuala
Kangsar telah ditubuhkan pada tahun 1905 mengikut model English Grammar School, tetapi khusus untuk anak-
anak raja dan pembesar sahaja. Pada tahun 1938, terdapat 788 buah sekolah vernakular Melayu di Negeri-negeri
Selat (NNS) dan 788 buah di Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Kerajaan Inggeris di NNS menyediakan
peruntukan kepada murid Melayu yang berjaya selepas empat tahun mendapat pendidikan di sekolah Melayu
bagi melanjutkan pelajaran percuma di bawah Special Malay Class di sekolah Inggeris. Peruntukan ini
kemudian diikuti oleh negeri-negeri lain.

3.5 Proses Perbandaran

Bandar baru seperti Seremban, Kajang, Kuala Kangsar , Labis dan Pontian pula muncul kesan dari
perkembangan perusahaan getah, kelapa sawit dan nanas. Perkembangan kegiatan perlombongan turut
menyaksikan kedatangan imigran Cina untuk bekerja di kawasan perlombongan. Hal ini menyebabkan bandar-
bandar baru muncul seperti Taiping, Ipoh Kuala Lumpur dan Seremban akibat kesan perkembangan
perlombongan bijih timah. Kuala Lumpur telah dibuka pada pertengahan tahun 1850-an dan berfungsi sebagai
pusat pentadbiran kerajaan kolonial Inggeris. Pertumbuhan penduduk Kuala Lumpur meningkat dengan pesat
iaitu seramai 2000 orang pada tahun 1878 kepada 32000 orang pada tahun 1901 dan meningkat lagi hampir
1000 peratus menjadi 316230 orang pada tahun 1997.

Bandar baru yang muncul ini telah menjadi tumpuan penduduk dan berfungsi sebagai pusat perniagaan dan
pentadbiran. Bandar ini dilengkapi dengan kemudahan jalan raya, sekolah, air, elektrik, pusat kesihatan, dan
institusi kewangan. Bandarbandar ini kebanyakanya didiami oleh orang Cina, sebaliknya orang Melayu hanya
segelintir sahaja menetap di bandar dan selebihnya menetap di luar bandar. Bandar baru begitu pesat
perkembangannya kerana wujud sistem pengangkutan iaitu mempunyai rangkaian jalan raya dan kereta api.
Hasil getah dan bijih timah juga telah mengembangkan bandar pelabuhan kerana keperluan eksport seperti
pelabuhan Klang, Pulau Pinang. Bandar Kuching pula muncul kerana kemajuan tanaman gambir dan lada hitam.
Walau bagaimanapun, kemudahan infrastuktur di awal pemerintahan British tidak melibatkan kawasan luar
Bandar, khususnya di kawasan pantai timur Tanah Melayu kerana ketiadaan kepentingan ekonomi kepada
mereka.

4.0 Kesimpulan

Secara keseluruhannya, kedatangan British ke Tanah Melayu yang bermula sejak kurun ke-18 sehingga kurun
ke-19 memang pada dasarnya adalah bertujuan untuk memonopoli kekayaan hasil bumi di Tanah Melayu.
Semasa penjajahan British di Tanah Melayu, banyak perubahan yang telah dilakukan oleh British dari segi
politik dan ekonomi. Pembaharuan yang dilaksanakan oleh British terhadap dasar ekonomi di Tanah Melayu,
melalui pengenalan sistem ekonomi kapitalis sememangnya telah mengubah sistem politik di Tanah Melayu.
Namun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat juga banyak perubahan positif yang turut dijelmakan
melalui sistem ekonomi kapitalis oleh Inggeris di negeri-negeri di Malaysia terutama dari aspek sosioekonomi.

You might also like