You are on page 1of 2

Bagi mencapai segala matlamat yang perlu dicapai oleh negara kita, langkah awal perlulah bermula dari

sistem pendidikan. Sistem pendidikan yang


terancang dan teratur akan melahirkan masyarakat yang berilmu pengetahuan, beramal serta mempunyai wawasan yang jelas. Selaras dengan
kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan, kesepaduan diantara pemerolehan ilmu pengetahuan, penguasaan kemahiran saintifik, dan pemupukan
nilai murni perlulah dilaksanakan oleh guru dan setiap pelajar.
Semua ini menunjukkan bahawa bukan sahaja guru-guru yang berperanan dalam menjayakan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan, tetapi murid-
murid dan pihak kementerian pelajaran Malaysia juga sebenarnya memainkan peranan yang besar dalam menggapai hasrat Falsafah Pendidikan
Kebangsaan. Perkara ini penting kerana matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah matlamat yang amat besar iaitu untuk
memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh bagi melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sahsiah.
Falsafah Pendidikan Kebangsaan juga berperanan untuk meningkatkan kreativiti dan inovasi di kalangan pelajar, meningkatkan budaya ilmu,
membudayakan sains dan teknologi, membudayakan pembelajaran sepanjang hayat, menyediakan sistem pendidikan yang lebih cekap, berkesan, dan
bertaraf dunia, dan menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan.
Selaras kehendak kerajaan Malaysia dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini, sekolah saya iaitu MRSM Tahfiz Ulul Albab Kota Putra telah memainkan
peranan penting bagi bersama-sama menjayakan matlamat-matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pelbagai aktiviti sukan, sistem pengajaran dan
pembelajaran, program-program kemasyarakatan, dan pelbagai lagi telah di atur dengan begitu teliti bagi melancarkan semua urusan dan seterusnya
membantu para pelajar mengembangkan potensi individu mereka.
Selama saya menimba ilmu pengetahuan di MRSM Tahfiz Ulul Albab Kota Putra itu, saya telah melalui dan melihat pelbagai aktiviti sekolah bagi
bersama-sama memainkan peranan dalam mencapai matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan selaras dengan misi dan visi sekolah saya iaitu
Meningkatkan dan menambahkan bilangan pelajar yang cerdas dan cemerlang pencapaian akademik khususnya dalam bidang sains dan matematik
serta bersahsiah tinggi dan cenderung ke arah keusahawanan dan menjadi pusat kecemerlangan bertaraf dunia dan berupaya menyediakan
prasarana pendidikan yang mantap untuk melahirkan tenaga manusia yang berkualiti dan bijaksana ke arah pembentukan golongan profesional dan
usahawan bumiputera pada zaman maklumat.
Misi dan Visi ini jika dilihat pasti tidak lengkap tanpa objektifnya dan objektif-objektif penubuhan MRSM Tahfiz Ulul Albab Kota Putra ialah untuk
melahirkan pelajar yang cemerlang dalam akademik, cergas fizikal, sempurna sahsiah, berdaya saing, saintifik dan global. Objektif seterusnya ialah
untuk mewujudkan suasana persekolahan yang kondusif dan memberangsangkan untuk pengajaran dan pembelajaran dan mewujudkan sistem
pengurusan yang cekap. Objektif keempat ialah untuk melahirkan pelajar yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam teknologi maklumat
serta cekap berkomunikasi dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Melahirkan pelajar yang boleh berfikir secara kritis, kreatif dan inovatif serta
memastikan seluruh warga MRSM menghayati dan mengamalkan budaya MRSM ialah satu objektif sekolah yang penting. Objektif pelengkap kepada
semuanya ialah untuk melahirkan pelajar yang cinta akan agama, bangsa dan negara.
Menurut Sabri Mohamad Sharif(2009), beliau berpandangan bahawa perkatan Ulul Albab itu sendiri melambangkan pelbagai kriteria seperti
generasi berakal fikiran, beroleh hikmah dan bertawaqal, orang yang bersungguh-sungguh menuntut ilmu, sentiasa merenung dan memikirkan
kejadian alam serta sentiasa memilih kebaikan. Generasi Ulul Albab inilah yang ingin dilahirkan oleh MRSM Tahfiz Ulul Albab Kota Putra seiring
dengan unsur-unsur Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Dalam mencapai misi, visi, dan objektif sekolah, pihak MRSM telah bertungkus lumus bagi mencapai hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang
terkandung dalam misi, visi dan objektifnya. Antara aktiviti di MRSM Tahfiz Ulul Albab Kota Putra yang menjadi pemangkin kepada perkembangan
potensi pelajar dari segi intelek ialah perlaksanaan program Pesta Schoolwide Enrichment Module (SEM) Type 3 bagi pelajar tingkatan 5. (Sila lihat
gambar 1 dalam lampiran.) Pesta SEM Type 3 ini sebenarnya satu perkara wajib bagi pelajar tingkatan 5 untuk memenuhi salah satu syarat bagi
melayakkan diri mendapat sijil graduasi MRSM. Pesta SEM Type 3 ini sebenarnya satu program dimana para pelajar dipecahkan kepada kumpulan-
kumpulan kecil yang terdiri dari 5 orang ahli dan mereka perlu mencipta satu rekaan sama ada berkaitan komputer, binaan bangunan, membuat kajian,
mereka cipta ciptaan baru dan sebagainya. Program ini yang dipantau oleh seorang guru penasihat bagi satu kumpulan perlu menyiapkan hasil kerja
mereka selama setahun dan perlu dibentangkan pada masa yang ditetapkan. Dorongan dari program ini menjadikan intelek para pelajar lebih terbuka
dan masing-masing dilihat berlumba-lumba bagi mencipta kejayaan.
Selain itu, pihak sekolah juga banyak menyediakan program yang membantu perkembangan pelajar dari segi rohani dalam konteks kepercayaan dan
kepatuhan kepada Tuhan. Pihak sekolah telah mewajibkan setiap pelajar untuk solat secara berjemaah di masjid sekolah. Perkara yang lebih
menariknya di MRSM Tahfiz Ulul Albab Kota Putra ini ialah pihak sekolah telah mengadakan program bacaan al-quran pada setiap petang iaitu
sebelum waktu maghrib. Semua ini melatih para pelajar agak lebih rapat, percaya dan patuh kepada Pencipta Yang Maha Berkuasa.
Program hafaz al-quran di sekolah saya adalah satu-satunya program yang ada di seluruh MRSM. Program ini yang mewajibkan para pelajar
menghafaz sehingga 6 juz surah al-quran bagi pelajar tingkatan 3 dan 10 juz bagi pelajar tingkatan 5 merupakan satu program yang dilihat pasti
mengubah pandangan sesetengah pihak yang beranggapan pelajar-pelajar yang mempunyai intelek yang hebat adalah pelajar yang pencapaian
rohaninya kurang.
Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Saifuddin Abdullah, pengambilan pertama pelajar Tingkatan Satu program
berkenaan pada 4 Januari lalu membabitkan 186 pelajar yang terpilih daripada keseluruhan lebih 900 permohonan dari seluruh negara. Beliau berkata,
dengan pengambilan itu, ia bermakna MRSM akan melahirkan generasi Ulul Albab pertamanya, apabila pelajar terbabit mencipta kejayaan cemerlang
dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di samping menghafaz 30 juzuk al-Quran dalam tempoh lima tahun lagi. "Masanya sudah tiba untuk
MRSM mengorak langkah melahirkan ilmuwan dan saintis Islam baru yang profesional, progresif dan futuristik. Mereka perlu benar-benar berwibawa
untuk melahirkan pemikiran Islam dalam Sains dan bidang strategik yang berkaitan, iaitu dengan ilmu yang bersepadu, integriti murni dan kerangka
yang perkasa.
Hal ini menunjukkan betapa komitednya MRSM Kota Putra dalam menjayakan dan mencapai matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Program ini
yang dibantu oleh beberapa pakar dari luar dilihat berjaya membuka satu lembaran baru dan seterusnya membantu melahirkan rakyat Malaysia yang
percaya dan patuh kepada Tuhan serta berakhlak mulia. (Sila lihat gambar 2 dalam lampiran.)
Melahirkan rakyat Malaysia yang dapat berketrampilan merupakan satu lagi tugas pihak sekolah yang amat mencabar. Bagi tujuan tersebut, pihak
MRSM Tahfiz Ulul Albab Kota Putra telah mewujudkan beberapan badan yang dapat melatih para pelajar agak mempunyai sahsiah yang baik.
Antaranya ialah Badan Wakil Pelajar(BWP) yang bertanggungjawab terhadap para pelajar serta membantu mengurus dan menjalankan pelbagai
aktiviti MRSM. Sebagai BWP, segala masalah pelajar berhubung bidang kuasanya perlulah diselesaikan oleh mereka. Lembaga Disiplin Pelajar(LDP)
turut dibentuk bagi membantu BWP dan guru mengawal masalah disiplin yang mungkin ditimbulkan oleh para pelajar. Badan-badan ini sebenarnya
banyak membantu pelajar dalam mengenal erti tanggungjawab dan apa yang penting adalah salah satu langkah untuk melahirkan rakyat Malaysia
yang berketrampilan.
Berasaskan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang ingin melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan dan mampu memanfaatkan
ilmu untuk diri dan orang lain, sekolah saya telah mengadakan pelbagai program. Antara programnya ialah program mentor-menti iaitu program yang
melibatkan guru memilih pelajar-pelajar yang cemerlang dalam setiap subjek untuk dijadikan mentor kepada para pelajar lain. Program ini dilihat
sangat berjaya dari segi pencapaian akademik para pelajar dan dari sudut Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang ingin melahirkan rakyat yang bukan
sahaja berilmu tetapi mampu menyebarkan ilmu pengetahuan. Dari sudut perkembangan potensi individu pelajar, program ini mampu melahirkan
para pelajar yang mempunyai intelek yang tinggi dimana mereka mampu menyebarkan ilmu yang ada kepada rakan-rakan.
MRSM Tahfiz Ulul Albab Kota Putra juga banyak membantu memperkembangkan potensi para pelajar melalui penganjuran ceramah-ceramah dan
kem motivasi oleh pakar-pakar motivasi yang terkenal di Malaysia seperti Dr. Mohd Shukri Abdullah dan ramai lagi. Baru-baru ini juga angkasawan
negara pertama negara kita telah datang ke MRSM Tahfiz Ulul Albab Kota Putra dan para pelajar telah mendapat peluang untuk berinteraksi bersama
Dr. Sheikh Muszhaphar Shukor. Peluang sebegini sebenarnya banyak mempengaruhi para pelajar terutama melibatkan perkembangan intelektual
mereka. (Sila lihat gambar 3 dalam lampiran.)
Antara perkara yang mungkin langsung tidak ada dalam sistem sekolah harian biasa berbanding MRSM ialah sistem pengajaran yang melibatkan
praktikal secara kursus dalam pengajian agama islam bagi melahirkan belia yang berilmu pengetahuan, patuh kepada Tuhan, dan berakhlak mulia.
Semua ini adalah seiring kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Perkara yang dimaksudkan ialah seperti praktikal menunaikan haji yang wajib
dilakukan pelajar tingkatan 4 dan sembelihan binatang. Sebagai contoh praktikal menunaikan haji ialah para pelajar akan berpakaian ihram, bermula
dengan niat ihram sehinggalah selesai kesemuanya.(Sila lihat gambar 4 dalam lampiran) Praktikal ini sebenarnya membantu para pelajar untuk lebih
mudah mengingati pelajaran dan membentuk jiwa mereka agar terpaut dengan ajaran agama yang sebenar.
Dalam menjayakan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan, perkembangan emosi individu amat penting dan perlu dititikberatkan. Keistimewaan
sekolah saya disini ialah sistem MRSM yang mewajibkan adanya Minggu Aktiviti dalam satu semesta selama satu minggu. Pelbagai aktiviti dilakukan
dalam Minggu Aktiviti ini seperti sukaneka, malam bakat, dan banyak lagi aktiviti-aktiviti menarik. Pada minggu ini, semua kelas akademik dibatalkan
dan para pelajar benar-benar diberi peluang untuk berehat dan melapangkan dada mereka. Lawatan akademik ke pusat-pusat pengajian tinggi seperti
Universiti Teknologi Petronas(UTP) juga merupakan salah satu aktiviti MRSM. Aktiviti ini banyak memberi pelajar pendedahan awal, memberi
gambaran kepada pelajar tentang masa depan mereka serta menaikkan semangat para pelajar untuk belajar hingga berjaya ke menara gading. Semua
input ini merupakan salah satu cara untuk MRSM melahirkan generasi mengikut kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan. (Sila lihat gambar 5
dalam lampiran.)
MRSM telah memainkan peranan yang penting dalam memperkembangkan potensi individu dari segi jasmani dan secara menyeluruh dan bersepadu.
Seperti sekolah harian biasa, sukan tahunan merupakan salah satu aktiviti yang wajib para pelajar ikuti. Namun begitu, di MRSM para pelajar
diwajibkan untuk beriadah pada setiap petang sama ada berlari, bermain permainan, dan banyak lagi aktiviti yang para pelajar boleh lakukan. Tujuan
utama pelaksanaannya adalah untuk melahirkan para belia negara yang sihat dan serta membantu para pelajar lebih cerdas. Selain itu, kemudahan
untuk beriadah yang lengkap banyak membantu serta memudahkan para pelajar untuk beriadah pada setiap petang.
Selain perlaksanaan tersebut, pada setiap bulan akan diadakan aktiviti senamrobik yang wajib untuk dihadiri oleh guru-guru serta para pelajar.(Sila
lihat gambar 5 dalam lampiran) Kehadiran para guru bersama-sama pelajar banyak membatu memperbaiki hubungan dua hala mereka dan
mengeratkan silatrurrahim. Semua ini selaras dengan kehendak Falsafah pendidikan yang mahu melahirkan insan yang seimbang dan harmonis. (Sila
lihat gambar 6 dalam lampiran.)
Kesimpulan yang dapat dinyatakan disini ialah MRSM Tahfiz Ulul Albab Kota Putra telah memainkan peranan yang penting dalam menjayakan
matlamat Falsafah Pendidikan Negara kita. Aktiviti yang telah dijalankan adalah berasaskan garis panduan Falsafah Pendidikan Negara sama ada
dapat dilihat secara langsung atau tidak. Saya berharap sekolah-sekolah lain bersama-sama berkongsi ilmu dalam menggapai matlamat negara.

You might also like