You are on page 1of 6

1.

0 Pendahuluan
Persekitaran fizikal bilik darjah adalah penting bagi pembelajaran kerana ia boleh menggalakkan atau
menghalang pembelajaran. Persekitaran bilik darjah yang teratur merupakan sebahagian daripada
pengajaran yang berkesan.
Menurut Marland (1975), suasana fizikal bilik darjah mungkin merupakan kawan atau musuh dalam
pengajaran. Ruang bilik darjah perlu diurus bersesuaian dengan aktiviti pengajaran. Tempat duduk perlu
disusun,papan kenyataan dihias dan karel pembelajaran dan rak-rak buku perlu dipasang. Di samping itu,
pengurusan bilik darjah juga termasuk menunjukkan sikap positif terhadap sekolah dan pembelajaran
secara umum. Seorang guru haruslah sentiasa menunjukkan contoh yang baik kepada anak murid mereka.
Bagi memainkan peranan sebagai pengurus yang berkesan, kita perlulah memahami kesukaran situasi bilik
darjah dan mengenali faktor-faktor yang boleh membantu untuk menghasilkan suasana pembelajaran yang
sihat.

1.1 Konsep Persekitaran Bilik Darjah Yang Kondusif
Persekitaran pembelajaran yang kondusif ialah tempat murid dapat melibatkan diri, mengambil bahagian
dan menumpukan perhatian dalam pembelajaran. Persekitaran ini mempunyai keupayaan untuk merangsang
minat dan semangat murid untuk terus belajar. Iklim yang dapat memotivasikan murid merujuk kepada
suasana atau budaya yang dapat mewujudkan motif dalam diri murid untuk bertindak ke arah mencapai
matlamat pembelajaran. Seorang guru perlu membina keadaan bilik darjah yang kondusif serta berkesan
dalam menghadapi tingkah laku. Hal ini melibatkan pendekatan pengajaran, corak komunikasi, kemahiran
guru dalam mengurus, cara seseorang guru mengawal murid dan aktiviti-aktiviti dalam bilik darjah serta
personaliti guru itu sendiri. Dalam persekitaran ini, murid menyedari kelebihan sikap berdikari
mempunyai perasaan bertanggungjawab dan kesepunyaan terhadap pembelajarannya.

1.1.1 Persekitaran Fizikal
Suasana fizikal bilik darjah adalah penting bagi pembelajaran kerana suasana bilik darjah yang teratur
merupakan sebahagian daripada pengajaran yang berkesan. Menurut Marland (1975), suasana fizikal bilik
darjah mungkin merupakan kawan atau musuh dalam pengajaran. Persekitaran yang selesa, kemas dan
ceria mampu menyeronokkan pengalaman pembelajaran murid. Persekitaran fizikal di dalam bilik darjah
merangkumi aspek-aspek seperti susunan dan reka bentuk fizikal di dalam bilik darjah, sumber bahan
pembelajaran, ruang atau sudut pembelajaran, ruang pada dinding, pengcahayaan, pengudaraan dan
perabot serta kebersihan. Di samping itu, pengurusan bilik darjah juga termasuk menunjukkan sikap
positif terhadap sekolah dan pembelajaran secara umum.


1.1.2 Persekitan psikososial
Psikososial merujuk kepada hubungan antara keperluan emosi individu dengan persekitaran sosialnya.
Persekitaran psikososial yang sihat di dalam bilik darjah mempunyai ciri-ciri seperti suasana selesa dan
mesra, bebas daripada ancaman dan bahaya fizikal, suasana yang merangsang pembelajaran, menggalakkan
pembelajaran koperatif dan memberi peluang yang sama untuk semua murid. Faktor yang memberi kesan
kepada persekitaran psikososial yang sihat ialah pendekatan pengajaran, gaya kepimpinan guru, bentuk
komunikasi dan corak interaksi yang guru wujudkan di dalam bilik darjah. Jika persekitaran psikososial ini
tidak dititikberatkan oleh guru, masalah disiplin akan berlaku dalam kalangan murid. Oleh itu, bagi
menguruskan keperluan psikososial setiap murid, guru perlulah menjadi seorang guru yang asertif.
Mengikut Model Disiplin Asertif Canter, pendekatan yang terbaik untuk menguruskan bilik darjah adalah
dengan menggunakan pendekatan asertif. Guru asertif mempunyai matlamat yang jelas dengan
pengurusan, yakin dan tegas dalam menetapkan peraturan dan pada masa yang sama akan bersikap adil
kepada semua murid. Jika seorang guru ini konsisten bersikap asertif ini dapat membantu membina
persekitaran yang tenang dan menyokong perkembangan pembelajaran dan psikososial murid.

1.1.3 Peraturan dan rutin bilik darjah
Pada umumnya, murid sekolah rendah mula berdikari namun mereka masih memerlukan pemantauan. Pada
peringkat ini, mereka suka diberi perhatian dan menunjukkan respon yang positif apabila diberi insentif
atau hadiah. Menurut Erik Erison, kanak-kanak pada peringkat ini mula mendapat pengalaman baharu dan
berfokus kepada pembelajaran pengetahuan dan kemahiran baharu. Namun, murid pada peringkat ini
memerlukan struktur dan prosedur-prosedur kerja yang jelas agar mereka boleh berfungsi dengan baik di
dalam bilik darjah. Oleh itu, guru perlulah membina peraturan dan prosedur untuk mentadbir aktiviti
dalam bilik darjah. Peraturan merupakan pernyataan yang menentukan perkara-perkara yang boleh dan
tidak boleh dilakukan oleh murid. Contoh peraturan yang biasa ditemui ialah setiap murid perlulah
mempunyai rasa hormat, mesra dan bersifat membantu rakan-rakan mereka, murid perlu menyiapkan
tugasan mereka dan murid perlu mengangkat tangan mereka jika mahu menjawab sebarang pertanyaan.
Mengikut Model Pengurusan Kounin, asas kepada keberkesanan pengurusan disiplin bilik darjah
bergantung kepada pengawasan dan penyeliaan yang teliti guru terhadap bilik darjah. Faktor utama dalam
menguruskan tingkah laku di dalam bilim darjah menurut Kounin adalah berkaitan dengan kebolehan guru
untuk mengawasi semua perkara yang berlaku di dalam bilik darjah. Contohnya, dalam gerak kerja
kumpulan, seorang guru berjaya mengawasi dan berinteraksi dengan semua kumpulan kecil walaupun pada
ketika itu dia sedang mengajar kumpulan yang tertentu. Dengan kepekaan ini, seorang guru berupaya
menjangka masalah yang akan timbul dan selalunya dapat menghalang masalah daripada menjadi semakin
serius.
Selain itu, guru juga akan membentuk rutin di dalam bilik darjah untuk aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan.
Rutin ialah prosedur atau langkah-langkah yang mesti diikuti oleh murid dalam aktiviti spesifik mereka.
Rutin bertujuan melicinkan proses pengajaran dan pembelajaran. Contoh amalan rutin ialah guru
mengambil kehadiran setiap hari, cara mengedar dan menyimpan bahan pengajaran, membentuk kumpulan
dalam kelas, menghantar buku latihan atau kerja rumah dan lain-lain. Setiap rutin yang dibentuk
hendaklah sentiasa dipantau dan diberi peneguhan sehingga prosedur-prosedur ini menjadi satu budaya
dalam kalangan murid dan seterusnya menjadi suatu budaya di sekolah tersebut. Untuk mendapatkan hasil
yang efektif lagi, guru bolehlah mengaplikasikan Model Akibat Logikal Dreikurs di mana menekankan
kepentingan guru memberikan kepercayaan dan tanggungjawab kepada murid-murid untuk bersama-sama
menjaga disiplin di dalam bilik darjah.

2.0 Cadangan Membina Persekitaran Bilik Darjah yang Kondusif
Sepanjang menjalani latihan Pengalaman Berasakan Sekolah III, saya telah bercadang untuk merancang
kelas Tahun 1 Saidina Umar dalam membantu guru kelas tersebut iaitu Puan Rahila Bt Sahar untuk
mewujudkan persekitaran bilik darjah yang kondusif. Sebelum merancang, saya terlebih dahulu
mengenalpasti kedudukan pintu dan tingkap. Hal ini demikian kerana kedua-dua aspek ini adalah sumber
cahaya dan udara, jadi ini dapat membantu saya untuk merancang susun atur bilik darjah. Dalam pelan
bilik darjah yang saya bina, terdapat beberapa elemen yang boleh membawa kepada persekitaran bilik
darjah yang kondusif.

2.2 Perancangan Persekitan Fizikal
2.2.1 Meja guru
Meja guru diletakkan di belakang kelas dan berada di tengah. Kedudukan seperti ini adalah amat sesuai
sekali diaplikasikan terutama pada murid Tahun Satu. meja guru juga hendaklah menghadap meja murid
bagi membantu berlakunya kontek visual antara murid dan guru sepanjang proses pengajaran dan
pembelajaran. Kedudukan meja guru di belakang ini juga tidak menghalang penglihatan murid pada papan
putih semasa dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Kedudukan ini juga dapat memaksimumkan
pemantauan guru terhadap setiap murid dari setiap sudut. Apabila murid mengetahui setiap gerak gerinya
diperhatikan, mereka akan dapat membuat kerja berkumpulan atau individu dengan sebaiknya. Dengan itu,
kedudukan ini dapat mencapai keselesaan guru dan dapat merangsang semangat untuk guru mengajar
dalam emosi yang positif.

2.2.2 Kerusi dan meja murid
Perkara utama yang mesti diberi perhatian pada setiap kerusi dan meja murid ini ialah kuantiti kerusi dan
meja adalah mencukupi dan berada dalam keadaan yang baik dan selamat. Untuk tujuan keselasaan, saiz
kerusi dan meja harulah sesuai dengan peringkat tahap umur murid. Bagi susunan pula, meja murid disusun
secara berkelompok di mana meja disusun secara berempat. Susunan ini memudahkan pengajaran
berpusatkan murid. Selain itu, susunan ini dapat menggalakkan interaksi antara murid semasa gerak kerja
kumpulan. Pada masa yang sama, murid juga masih boleh fokus kepada kerja sendiri. Susunan kelompok
membolehkan murid berbincang, meluahkan pendapat, saling membantu dan berkongsi bahan semasa gerak
kerja berkumpulan. Walau bagaimanapun, untuk membuat susunan secara berkelompok ini, guru hendaklah
memastikan bilangan murid tidak terlalu ramai dan keluasan kelas hendaklah luas. Guru juga hendaklah
memantau ahli kelompok supaya boleh bekerjasama dan bukan medatangkan kesan negatif kepada
kumpulan. Guru juga bolehlah menempatkan setiap murid dalam kumpulan mengikut pencapaian mereka.
Hal ini akan memudahkan guru memberikan tugasan atau latihan selaras dengan pencapaian murid.

2.2.3 Sudut multi-media
Selain faktor udara, perabot dan ruang, persekitaran fizikal bilik darjah abad ke-21 memerlukan
prasarana teknologi yang bersesuaian. Penggabungjalinan elemen-elemen ini menjadikan bilik darjah
sebagai tempat yang seronok untuk proses pembelajaran. (Weinstein & Mignano, 2003). Bagi membina
persekitaran kondusif sudut multi-media juga perlu ada di dalam setiap bilik darjah. Di sudut ini,
disediakan sebuah komputer dengan jaringan internet untuk penggunaan murid yang disambungkan ke plug
elektrik yang berada di dinding bahagian tersebut. Sudut ini diletakkan berhampiran meja guru bagi
memudahkan murid mendapat bimbingan guru semasa penggunaannya. Ini juga dapat memberi kelebihan
kepada guru untuk memantau murid-murid agar menggunakan multi-media secara bijak dan bermanfaat.
Guru juga perlu menyediakan peraturan penggunaan multi-media. Rasionalnya adalah supaya semua murid
dapat menikmati kemudahan ini di samping pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan lancar dan
mengelakkan berlakunya kerosakan atau kemalangan.

2.2.4 Sudut bacaan
Di satu sudut di bahagian belakang kelas dikhaskan sebagai sudut bacaan. Di sudut ini, dihamparkan
permaidani dan diletakkan beberapa bantal untuk keselesaan murid-murid. Ruang ini lebih bersifat mesra
kepada murid-murid dan memberi suasana seolah-olah mereka berada dirumah. Beberapa rak yang
memuatkan buku, kamus, peta, surat khabar, majalah turut disusun di sudut ini untuk bacaan umum dan
rujukan murid. Bahan-bahan bacaan ini diperolehi daripada sumbangan murid dan guru. Oleh itu, murid-
murid akan berasa lebih bertanggungjawab untuk menjaganya kerana merasakan mereka turut memberi
sumbangan bahan bacaan. Peraturan penggunaan ruangan ini turut dibina seperti bahan bacaan tidak boleh
dikeluarkan daripada kelas, bahan bacaan perlu disusun kembali di atas rak selepas digunakan, buku yang
rosak harus diganti dan sebagainya. Peraturan sebegini boleh mengelakkan berlakunya kerosakan dan
kehilangan bahan bacaan ini. Untuk mendapatkan hasil yang efektif lagi, guru bolehlah mengaplikasikan
Model Akibat Logikal Dreikurs di mana menekankan kepentingan guru memberikan kepercayaan dan
tanggungjawab kepada murid-murid untuk bersama-sama menjaga disiplin di dalam bilik darjah.

2.2.5 Pencahayaan dan pengudaraan
Pencahayaan dan pengudaraan yang cukup amatlah penting untuk keselesaan murid dan guru semasa proses
pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Tingkap dan lampu yang mencukupi boleh memberi pencahayaan
yang mencukupi. Guru haruslah memastikan alat elektrik ini berfungsi dan melaporkan kepada pihak
bertanggungjawab jika terdapat kerosakan. Susun atur perabot dalam bilik darjah juga hendaklah
disusun dengan baik supaya tidak menghalang tingkap untuk mengelakkan berlakunya halangan
pencahayaan dan pengudaraan. Oleh itu, guru hendaklah sentiasa membuka pintu dan tingkap untuk
pengudaraan.
2.2.6 Meja bulat
Meja bulat diletakkan di sudut kiri atau berdekatan dengan pintu di bahagian belakang kelas. Ini adalah
bagi membolehkan murid berehat atau berbincang mengenai aktiviti-aktiviti atau tugasan-tugasan
tertentu.
2.2.7 Tempat simpanan bekal makanan
Selain itu, untuk membina persekitaran yang kondusif juga, guru bolehlah menyediakan tempat simpanan
bekalan makanan. Satu peraturan mewajibkan semua murid dikehendaki menyimpan bekal makanan masing-
masing di tempat ini perlu dilaksanakan. Hal ini kerana sekiranya terdapat murid yang membawa bekal
makanan dan diletakkan di meja murid, andainya makanan itu tertumpah, ruang meja murid akan kotor dan
mungkin juga akan mengotorkan buku-buku murid. Selain daripada itu, bekal makanan itu juga boleh
menarik perhatian murid sehingga mengganggu tumpuanmurid semasa belajar. Dengan adanya tempat
simpanan bekal murid ini, masalah-masalah ini tidak wujud dan kelas kelihatan lebih kondusif.
2.2.8 Papan kenyataan
Pada papan kenyataan ini hendaklah dimuatkan jadual tugasan murid, hasil kerja murid, dan
gambar aktiviti murid pada papan kenyataan untuk rujukan dan hiburan. Dalam jadual tugasan ini, murid-
murid dibahagikan mengikut turutan hari dan tugas membersihkan kelas. Ini dapat melatih sifat
bertaggungjawab dan kelas akan kelihatan bersih sepanjang hari. Dengan menampal hasil kerja pula, guru
dapat melahirkan rasa bangga murid-murid apabila mereka melihat hasil kerja mereka dipamerkan dan
secara tidak langsung mencetuskan minat mereka untuk belajar. Dalam hasil kerja murid pula dapat
memberi input yang bermanfaat kepada semua murid
2.2.9 Bakul sampah
Dengan adanya bakul sampah, kebersihan bilik darjah dapat dijaga kerana murid-murid perlu membuang
sampah ke dalam bakul sampah.
2.2.10 Peti pertolongan cemas
Peti pertolongan cemas ini diletakkan di hadapan kelas. Penggunaan peti pertolongan cemas ini perlu
mendapat keizinan guru. Setiap kelas perlu mempunyai peti pertolongan cemas kerana kita tidak dapat
menjangka bila berlakunya kemalangan. Dengan adanya peti ini, rawatan kecemasan dapat diberikan
dengan segera apabila berlakunya kemalangan.
2.2.11 Jam dan Kalendar
Jam perlu diletakkan di hadapan kelas untuk melatih murid menghargai masa. Kalendar pula digunakan
untuk rujukan tarikh. Dalam kalendar turut dicatatkan beberapa hari dan peristiwa penting seperti Hari
Kebangsaan. Ini dapat melatih murid supaya peka dengan peristiwa-peristiwa penting sebegini.
2.2.12 Rak guru
Rak guru diletakkan di sebelah meja guru bagi kemudahan guru untuk menyimpan bahan bantu mengajar,
fail-fail, termasuk untuk kegunaan murid.

RUMUSAN
Semasa menguruskan bilik darjah, guru memainkan pelbagai peranan penting. Bilik darjah merupakan
sebuah komuniti kecil dan menjadi tempat di mana seorang guru dan sekumpulan pelajar saling
berinteraksi. Oleh itu, menjadi tanggungjawab seorang guru untuk menguruskan bilik darjah dengan
bantuan murid-murid. Dalam usaha ke arah menyediakan persekitaran yang kondusif, guru perlulah
mengambil kira ciri fizikal sesebuah bilik darjah, faktor emosi dan sosial serta peraturan dan rutin yang
dilaksanakan. Melalui persekitaran bilik darjah yang kondusif ini, guru dapat melahirkan pelajar yang
lebih berdisiplin dan suasana harmoni dalam bilik darjah dapat diwujudkan. Selain itu pembentukan
suasana bilik darjah yang ceria dan menyeronokkan secara tidak langsung dapat mengurangkan gejala
ponteng sekolah. Pengurusan bilik darjah yang berkesan mampu meningkatkan kualiti pelajar yang akan
dilahirkan oleh institusi pendidikan, sekaligus dapat mengurangkan masalah sosial yang semakin menjadi-
jadi sejak akhir-akhir ini.

You might also like