You are on page 1of 2

ADAT PERKAHWINAN MASYARAKAT IBAN SARAWAK

Masyarakat Iban di Sarawak merupakan etnik majoriti di Sarawak, Bumi Kenyalang.


Seperti masyarakat peribumi yang lain, masyarakat Iban Sarawak juga kaya dengan adat
dan warisan budaya yang masih dipegang zaman berzaman lamanya. Adat perkahwinan
dalam masyarakat Iban juga antara yang terunik kerana terdapat beberapa peraturan yang
harus dilakukan sebelum layak bergelar suami isteri. Bagi masyarakat Iban, di sinilah
bermulanya kesinambungan generasi yang akan datang. Jadi, wajar dilakukan dengan
sebaik mungkin dan beradat.

Dalam masyarakat Iban, usia pengantin lelaki memainkan sentimen yang paling
utama untuk diambilkira kerana di sinilah letaknya samada pengantin lelaki itu boleh
memikul tanggungjawab yang besar dalam keluarga ataupun tidak. Usia untuk pengantin
lelaki masyarakat Iban sebaik-baiknya hendaklah melebihi 22 tahun. Melihat kepada faktor
usia ini, boleh dikatakan pengantin lelaki ini sudah pun matang. Bagi pengantin perempuan
pula, tiada pula had umur yang ditetapkan. Satu perkahwinan yang sempurna bagi
masyarakat Iban adalah satu perkahwinan yang telah mengikut dan mematuhi kehendak
adat. Masyarakat Iban mempercayai sekiranya ada mana-mana adat perkahwinan yang
tidak diikuti maka adalah wajib untuk keluarga pengantin membayar denda bagi
mengelakkan pasangan suami isteri ini nanti ditimpa musibah.

Majlis perkahwinan bagi kaum Iban adalah kemuncak kepada perjalanan satu
pasangan teruna dan dara bagi menempuh ikatan perkahwinan yang sah dan beradat.
Majlis perkahwinan bagi masyarakat Iban hendaklah diatur dengan penuh cermat kerana
sekiranya perkahwinan itu melanggar adat, maka dipercayai bencana akan menimpa
kepada pasangan pengantin yang baru berkahwin kelak. Pihak keluarga pengantin lelaki
diwajibkan untuk menyediakan segala kos perbelanjaan perkahwinan ini. Pihak keluarga
lelaki juga dikehendaki untuk menyediakan segala barangan yang harus diberikan kepada
keluarga pengantin perempuan. Pihak keluarga pengantin perempuan pula ditugaskan
untuk menyediakan pelbagai persiapan majlis perkahwinan seperti binatang untuk
disembelih pada hari perkahwinan kelak. Bagi urusan mengundang tetamu, kedua-dua
keluarga pengantin lelaki dan perempuan akan melantik wakil masing-masing untuk
menguruskan jemputan perkahwinan. Wakil kedua-dua keluarga pengantin akan membawa
beberapa utas tali bersimpul sewaktu mengunjungi rumah tetamu yang dijemput. Beberapa
utas tali bersimpul ini melambangkan berapa hari lagi majlis perkahwinan akan
berlangsung. Contohnya, sekiranya tali itu mempunyai 5 simpulan bermakna majlis
perkahwinan akan berlangsung di dalam tempoh masa 5 hari lagi. Wakil pengantin
kebiasaannya akan memberikan tali bersimpul itu kepada tuai rumah yang
bertanggungjawab untuk menghebahkan tentang majlis perkahwinan ini nanti kepada
seluruh anak buah rumah panjangnya.


Menjelang acara perkahwinan dilangsungkan, rombongan pengantin lelaki biasanya
berarak ke rumah panjang pengantin perempuan dengan menaiki perahu yang dihiasi
dengan kain puak kumbu sekiranya melalui jalan sungai. Jika rombongan ini menggunakan
jalan darat samada berkenderaan atau berjalan kaki, rombongan pengantin lelaki akan
memukul gong di sepanjang perjalanan. Hal ini bertujuan untuk memeriahkan suasana
perkahwinan serta memberitahu mereka yang disekeliling bahawa rombongan pengantin
lelaki telah sampai. Sebaik sahaja rombongan pengantin lelaki telah sampai di hadapan
rumah pengantin perempuan, tembakan meriam akan dilepaskan.

Sungguh unik dan menarik perkahwinan masyarakat Kaum Iban. Perkahwinan
mereka ini penuh dengan adat, pantang larang dan unsur-unsur mistik dan kepercayaan
yang tidak terdapat pada kaum-kaum lain di Malaysia. Amalan tersebut masih diamalkan
cuma ada sedikit pembaharuan yang dibuat mengikut kehendak semasa. Agama Kristian
yang menjadi agama pilihan bagi majoriti masyarakat Iban berperanan besar dalam
menyuntik pembaharuan dalam majlis perkahwinan masyarakat Iban.


*Tambahan

Semasa bunyi tembakan meriam itu dilepaskan itulah Kepala rombongan pengantin
lelaki akan dijemput untuk menyembelih khinzir sebagai penghormatan keluarga pengantin
perempuan menerima kedatangan rombongan pengantin lelaki. Di kepala tangga rumah
panjang pengantin perempuan akan disediakan rangka yang berbentuk kota. Ketua
rombongan pengantin lelaki terlebih dahulu terpaksa membuka rangka berbentuk kota ini
yang diletakkan di kepala tangga, di tengah rumah dan di hujung rumah. Selepas itu maka
pengantin lelaki dan pengantin perempuan akan disatukan dan bermulalah upacara adat
yang dilakukan oleh orang tua yang tertentu. Upacara ini dilakukan untuk memohon restu
agar perkahwinan kedua pengantin ini akan kekal sehingga ke hujung nyawa dan beroleh
rezeki yang berlimpah ruah sepanjang mereka melayari bahtera penghidupan bergelar
suami isteri.

You might also like