You are on page 1of 1

03 Ogos, 2011 17:49 PM

Rayuan Penduduk Bukit Koman Dalam Rayuan Kes Lombong Emas


Ditolak
PUTRAJAYA, 3 Ogos (Bernama) -- Penduduk Kampung Bukit Koman di Raub tidak boleh mencabar
keputusan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar meluluskan laporan awal Penilaian Kesan Alam
Sekitar (PEIA) berhubung satu projek lombong emas berdekatan kediaman mereka, demikian
diputuskan oleh Mahkamah Rayuan di sini Rabu.

Panel tiga hakim terdiri Hakim Datuk K N Segara, Datuk Hishamuddin Mohd Yunus dan Datuk
Jeffrey Tan Kok Wha telah menolak rayuan penduduk kampung itu untuk mengetepikan keputusan
Mahkamah Tinggi yang tidak membenarkan mereka memohon diadakan satu semakan kehakiman
bagi mencabar keputusan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar itu.

Hakim Segara berkata mahkamah bersetuju dengan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Lau Bee
Lan bahawa terdapat kelewatan terlalu lama bagi penduduk di situ mengemukakan permohonan
semakan kehakiman dan tidak ada sebab yang munasabah bagi mahkamah melanjutkan tempoh
bagi mereka memfailkan permohonan.

Beliau berkata undang-undang mengenai permohonan semakan kehakiman mengikut Perintah 53
Peraturan 3 (6) Peraturan-peraturan Mahkamah Tinggi menetapkan bahawa ia harus difailkan
dalam tempoh 40 hari dari tarikh sesuatu keputusan itu diketahui, yang menunjukkan bahawa
permohonan itu harus dibuat dengan cepat.

Hakim Segara berkata penduduk Bukit Koman memang tahu mengenai kemajuan projek
berkenaan memandangkan laporan PEIA itu sudah menjadi pengetahuan umum selama 11 tahun.

Penduduk Kampung Bukit Koman memohon supaya Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar
mensyaratkan Raub Australian Gold Mining Sdn Bhd menyediakan laporan penilaian alam sekitar
(EIA) yang terperinci kerana mereka mendakwa laporan awal penilaian yang dikemukakan oleh
syarikat perlombongan itu pada 27 Ogos 1996 mengandungi banyak kelemahan, antaranya
ketiadaan maklumat mengenai di mana dan bagaimana sisa galian akan dibuang.

Mereka mendakwa laporan awal itu memberi kesan terhadap kehidupan mereka kerana ia tidak
menyatakan mengenai risiko terhadap kesihatan awam akibat daripada kewujudan lombong itu.

Empat wakil penduduk itu terdiri Wong Kin Hoong, Chong Sow Pin, Hue Fui How dan Mustapha
Hussin memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 21 Mac 2008, dan dalam afidavit
mereka, telah menyatakan bahawa mereka terhidu bau yang kuat sehingga menyebabkan antara
lainnya rasa sukar bernafas, pening dan sakit mata.

Peguam yang mewakili penduduk itu, Malik Imtiaz Sarwar, memberitahu pemberita bahawa beliau
sedang menunggu arahan sama ada untuk membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan.



-- BERNAMA

Tajuk : Rayuan Penduduk Bukit Koman Dalam Rayuan Kes
Lombong Emas Ditolak
Tarikh : 3 Ogos 2011
Sumber : Bernama
KERATAN AKHBAR ONLINE

You might also like