You are on page 1of 7

2

2.0 PENULISAN ESEI BERKAITAN BAHAN BACAAN


2.1 TEORI PEMEROLEHAN BAHASA
Proses pemerolehan bahasa dalam kalangan manusia adalah sangat kompleks. Namun begitu,
ahli-ahli linguistik telah banyak membuat kajian untuk mengetahui bagaimana pemerolehan
bahasa dicapai oleh anak-anak kecil. Menurut Mangantar Simanjuntak (1987), pemerolehan
bahasa ialah proses yang berlaku di dalam otak seseorang kanak-kanak (bayi) sewaktu
memperoleh bahasa ibunda (pertamanya). Pemerolehan bahasa bermula pada peringkat bayi
melalui perlakuan dan kecekapan pancaindera pendengaran dan pertuturan. Proses perlakuan
ini melibatkan aktiviti pemahaman dan penerbitan manakala proses kecekapan pula melibatkan
pengetahuan bahasa dan penguasaan tatabahasa secara tidak sedar. Pengetahuan berkaitan
dengan teori pemerolehan bahasa adalah sangat penting terutamanya kepada guru agar guru
dapat merancang kaedah dan intervensi yang sesuai untuk membantu murid mengatasi
masalah bahasa. Secara umumnya, terdapat empat teori pemerolehan bahasa iaitu teori
behavioris, teori kognitif, teori mentalis dan teori interaksionis.
Dalam teori behavioris, teori ini beranggapan bahawa bahasa diperolehi melalui proses
pengulangan bahasa iaitu dikuasai melalui rangsangan dan gerak balas. Teori ini
mementingkan persekitaran murid untuk membantu proses Pengajaran dan Pembelajaran
(PdP) termasuk perlakuan guru, kawan-kawan mereka sendiri serta suasana dalam bilik darjah.
Teori ini juga berpendapat bahawa bahasa yang diutamakan ialah bahasa lisan manakala
bahasa tulisan merupakan bahasa kedua penting. Oleh itu, guru terutamanya bagi guru
pendidikan khas haruslah mengajar bahasa lisan terlebih dahulu dan memberi penekanan
kepada latihan lisan, kemudian diikuti dengan kemahiran menulis. Oleh sebab bahasa
merupakan satu tabiat atau kebiasaan, guru perlu mengutamakan latih tubi. Maksudnya, guru
perlu memberi latihan yang mencukupi untuk murid sehingga seseorang murid itu berjaya
menguasai dan memahami sistem bahasa yang dipelajari. Di samping itu, guru juga perlu
kreatif menyediakan bahan rangsangan bagi menarik minat murid-murid untuk mempelajari
tajuk yang disampaikan. Adalah menjadi kesukaran bagi seseorang guru pendidikan khas untuk
menarik minat muridnya menumpu perhatian terhadap apa yang ingin guru tersebut sampaikan
terutamanya bagi murid yang mengalami masalah hiperaktif dan autisme. Teknik dan strategi
yang paling efision adalah melalui pemberian ganjaran sama ada berbentuk pujian, senyuman
mahupun berbentuk material. Sebagai contoh, semasa melaksanakan intervensi bahasa, jika
murid berjaya menyebut perkataan dengan betul, guru akan memberi makanan kepada murid
3

tersebut. Hal ini akan menyebabkan murid tersebut berminat menjalani intervensi yang
dijalankan terhadapnya.
Teori mentalis pula menganggap bahawa pemerolehan bahasa merupakan suatu
proses mental. Bahasa dianggap sebagai pengetahuan yang dihasilkan oleh sesuatu proses
dalam otak dan saraf. Menurut Siti Hajar Abdul Aziz (2009), teori ini mempertimbangkan
peranan mental dalam membentuk kepercayaan, perlakuan, ingatan, motivasi dan emosi. Teori
ini sangat berkaitan dengan punca masalah bahasa kanak-kanak pendidikan khas. Seperti yang
kita sedia maklum, kanak-kanak pendidikan khas kategori masalah pembelajaran mempunyai
tahap kognitif yang rendah jika dibandingkan dengan kanak-kanak normal. Disebabkan
masalah yang mereka hidapi ini, perkembangan bahasa mereka turut terjejas. Oleh itu, kaedah
pengajaran yang paling sesuai bagi membantu mengatasi masalah bahasa murid bermasalah
pembelajaran adalah dengan merangsang pemikiran mereka. Guru perlu menggunakan
pengetahuan murid yang sedia mengikut kesesuaian tahap lognitif mereka untuk merancang
dan menentukan bahan-bahan pengajaran yang ingin disampaikan.
Teori pemerolehan bahasa yang seterusnya ialah kognitif, Menurut Abdul Aziz Talib
(2000), teori kognitif ini berkait rapat dengan perkembangan mental. Teori ini menganggap
pembelajaran bahasa sebagai satu kebolehan khas manusia secara semulajadi. Melalui teori
ini, Jean Peaget telah membahagikan empat perkembangan pemikiran mengikut tahap umur
seseorang individu iaitu bermula kesedaran deria motor, pemikiran praoperasional, pemikiran
konkrit, dan peringkat terakhir iaitu pemikiran formal. Dalam dunia pendidikan bagi murid
bermasalah pembelajaran, peringkat-peringkat pemikiran ini kurang sesuai digunakan. Hal ini
kerana peringkat-peringkat tersebut hanya mengambil kira faktor umur sebagai pecahan bagi
setiap peringkat. Bagi murid pendidikan khas terutamanya murid yang mengalami masalah
pembelajaran, tahap kognitif mereka tidak sama dengan murid yang normal walaupun sama
pada peringkat umur. Namun begitu, guru boleh menggunakan peringkat-peringkat tersebut
dengan menyesuaikan tahap kognitif dan pengetahuan muridnya.
Teori pemerolehan bahasa yang terakhir ialah interaksionis. Teori ini memperlihatkan
pembelajaran bahasa sebagai alat interaksi dan merupakan satu proses yang melibatkan
mental dan linguistik. Hal ini bermaksud proses pemerolehan bahasa bagi seseorang bukanlah
berdasarkan kebolehan kognitif sahaja. Interaksi linguistik juga sangat penting dan
mempengaruhi proses perkembangan bahasa kerana ia akan menggambarkan bentuk linguistik
dengan jelas dan tepat. Pada pendapat saya, teori ini haruslah dijadikan rujukan asas kepada
guru pendidikan khas mengajar bahasa kepada murid. Hal ini kerana teori ini dapat memberi
4

semangat dan dorongan kepada guru-guru pendidikan khas mempelbagai dan mempelgiatkan
lagi proses intervensi bahasa kepada muridnya. Walaupun murid-murid masalah pembelajaran
mempunyai tahap kognitif yang rendah, namun, ia bukanlah faktor utama yang menghalang
proses perkembangan bahasa mereka. Guru perlu mewujudkan interaksi yang berkesan bagi
menambahkan proses perkembangan bahasa murid.
2.2 PRINSIP INTERVENSI BAHASA
Dalam melakukan intervensi bahasa, guru harus mengikuti kronologi intervensi bahasa dari
peringkat awal hingga ke peringkat murid dapat menguasai kemahiran berbahasa seperti yang
diharapkan. Terdapat beberapa peringkat dalam prinsip asas intervensi bahasa yang harus
dititikberatkan oleh guru agar objektif yang diharapkan ke atas murid boleh dicapai. Prinsip yang
pertama ialah guru harus memulakan intervensi bahasa dengan memperkenalkan perkataan
terlebih dahulu kepada murid. Kebanyakan murid bermasalah pembelajaran mempunyai
masalah menyebut bunyi perkataan dengan betul. Oleh itu, semasa guru memperkenalkan
sesuatu perkataan, guru tersebut juga harus melaksanakan terapi sebutan. Kaedah yang boleh
digunakan ialah guru mengujarkan dahulu bunyi perkataan tersebut dengan betul dan meminta
murid meniru dan menyebut perkataan tersebut secara berulang-ulang. Seterusnya, guru akan
memperkenalkan konsep atau peraturan membina ayat mengikut kesesuaian tahap
perkembangan bahasa murid.
Prinsip yang kedua ialah guru mengajar muridnya penggunaan perkataan baru yang
biasa digunakan terlebih dahulu kemudian ditingkatkan penggunaannya dalam konteks yang
lebih sukar. Melalui prinsip ini, guru haruslah mengajar perkataan baru dengan mengambil kira
perkataan yang paling biasa pada murid dan merupakan objek yang berada di sekitarnya agar
dapat mengaitkan pengetahuan sedia ada pada murid. Contohnya, guru memperkenalkan
perkataan baju, cawan, kaki kepada murid. Seterusnya, guru akan mengajar yang lebih
kompleks seperti imbuhan dan perkataan yang lagi kompleks seperti perkataan majmuk.
Prinsip yang seterusnya adalah dengan cara cara guru menggunakan kosa kata yang
diketahui atau biasa pada murid untuk mengajar struktur ayat yang baru. Sebagai contoh, pada
peringkat awal intervensi, guru memperkenalkan perkataan kereta kepada murid. Guru
seterusnya meminta murid membina ayat menggunakan perkataan tersebut seperti kereta
warna merah. Bagi memperkembangkan lagi kemahiran murid untuk membina ayat, guru boleh
menggunakan kaedah didik hibur iaitu melalui nyanyian. Lagu yang dipilih oleh guru haruslah
mempunyai kaitan dengan perkataan yang diajar. Melalui lirik yang terkandung dalam sesuatu
5

lagu tersebut, ia akan mempelbagaikan lagi penggunaan ayat bagi sesuatu perkataan. Kaedah
tersebut juga membuatkan pelajar berasa seronok dan seterusnya murid dapat memberi
perhatian sepenuhnya terhadap proses pengajaran dan pembelajaran yang disampaikan.
Prinsip yang keempat adalah dengan cara guru meminimumkan jumlah perkataan, frasa
dan klausa dalam setiap ayat. bagi murid-murid bermasalah pembelajaran, mereka mengalami
masalah untuk memahami ayat yang panjang atau terlaku kompleks seperti ayat pasif. Oleh itu,
peneguhan daripada guru adalah amat penting. Hal ini bermaksud, guru haruslah bijak
membina ayat-ayat yang mudah agar murid dapat memahami sekali gus menguasai kemahiran
berbahasa. Contoh ayat yang boleh dibina oleh guru ialah itu kereta ayah dan kereta ayah
baru beli. Seperti yang kita sedia maklum, antara ciri masalah bahasa yang dialami oleh murid
bermasalah pembelajaran ialah ayat yang mereka ungkapkan tidak teratur serta berputar belit
sehingga sukar untuk difahami oleh pendengar. Oleh yang demikan, prinsip ini adalah penting
untuk melatih murid bermasalah pembelajaran membina ayat yang mudah terlebih dahulu agar
mereka dapat menyampaikan maksud kepada pendengar ketika berkomunikasi.
Prinsip asas kelima ialah dengan cara guru menggunakan bahan rangsangan seperti
gambar untuk mewujudkan gambaran dalaman (internal images) pada diri murid. Guru boleh
meminta murid membina ayat berdasarkan ciri objek yang ditunjukkan dalam gambar seperti
kereta warna merah dan kereta itu sangat cantik. Bagi murid bermasalah pembelajaran,
bahan rangsangan yang sangat sesuai diberikan kepada mereka ialah bahan yang berbentuk
konkrit atau objek yang sebenar. Hal ini kerana daya imageri murid bermasalah pembelajaran
sangat rendah jika dibandingkan dengan murid yang normal. Melalui bahan yang berbentuk
konkrit atau objek yang sebenar, ia akan memberi peluang kepada murid merasai dan
seterusnya dapat memberi gambaran terus kepada murid berkaitan dengan ciri sebenar yang
ada pada objek tersebut.
Prinsip asas intervensi bahasa yang keenam adalah dengan cara guru memperkenalkan
perkataan baru. Kemudian, murid dengan bimbingan guru cuba untuk menghubungkaitkan atau
membentuk sekurang-kurangnya dalam 10 ayat mengikut konteks yang berbeza. Peringkat ini
digunakan guru pada peringkat yang terakhir proses intervensi bahasa. Namun, sebelum
melaksanakan proses yang terakhir ini, guru perlu memastikan murid telah dapat menguasai
sepenuhnya lima prinsip intervensi bahasa yang terawal.


6

2.3 STRATEGI MENANGANI MASALAH BAHASA MURID-MURID BERMASALAH
PEMBELAJARAN

Strategi pengajaran dan pembelajaran mediatif amat sesuai digunakan untuk mengatasi
masalah bahasa murid-murid masalah pempelajaran. Pengajaran berbantukan komputer boleh
digunakan semasa proses pengajaran dan pembelajaran murid-murid masalah pembelajaran.
Menurut Valiquette, Sutton dan Ska (2010), Penggunaan simbol-simbol grafik yang menarik
bukan sahaja dapat membantu murid-murid ini mengingat malah menyokong pemahaman
mereka. Dengan ini, mereka boleh mengulangi rakaman suara yang telah didengari sambil
menyebut sesuatu perkataan, frasa atau ayat secara berulang-ulang sehingga mereka
memperoleh kefahaman. Guru-guru juga boleh memberikan latihan seperti menekan butang
bagi setiap jawapan yang betul sebagai peneguhan terhadap apa yang telah dipelajari.

Seterusnya, strategi pengajaran dan pembelajaran koperatif pula menekankan
pelaksanaan aktiviti berkumpulan. Murid-murid akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan
kecil untuk memudahkan proses pemantauan dilakukan. Antara kebaikan penggunaan strategi
pengajaran dan pembelajaran ini adalah guru-guru dapat memberi laluan dan galakan kepada
kanak-kanak untuk berinteraksi dengan rakan sebaya mereka. Ini bertujuan untuk
meningkatkan kemahiran bertutur di samping menambahkan perbendaharaan kata. Guru-guru
juga boleh menggunakan bahan-bahan visual (Anonymous 2005) semasa proses pengajaran
dan pembelajaran seperti Picture Exchange Communication System (PECS). Menurut Road
dan Gagie (2006), PECS amat sesuai digunakan untuk murid-murid bermasalah pembelajaran
terutamanya murid autistik yang tidak bertutur atau mempunyai kebolehan bertutur yang
minimum. PECS merupakan satu program yang mengandungi enam fasa yang berperanan
untuk membangunkan kemahiran bertutur kanak-kanak bagi membolehkan mereka
berkomunikasi. Kajian-kajian lepas menunjukkan bahawa terdapat peningkatan dalam jumlah
perbendaharaan kata kanak-kanak bermasalah pembelajaran di samping tingkahlaku yang
tidak diingini turut berkurangan. Hal ini menunjukkan bahawa program ini amat sesuai
digunakan oleh guru-guru di dalam bilik darjah bagi membantu mereka menangani masalah
pertuturan dan bahasa.

7

Sesetengah murid-murid bermasalah pembelajaran tidak dapat membangunkan
kemahiran pertuturan mereka sendiri dan memerlukan satu sistem komunikasi yang berkait
dengan pengalaman, persekitaran dan interaksi mereka dengan orang dewasa. Hal ini sangat
berkaitan dengan prinsip yang terdapat dalam teori interaksionis. Hal ini juga menunjukkan
murid-murid bermasalah pembelajaran memerlukan pengajaran secara individu. Oleh itu,
strategi pengajaran dan pembelajaran masteri amat sesuai digunakan kerana menekankan
pembelajaran secara individu. Murid-murid bermasalah pembelajaran tidak dapat
membangunkan kemahiran pertuturan mereka secara automatik seperti kanak-kanak tipikal
yang lain tetapi dapat membentuk satu bentuk komunikasi mereka sendiri. Biasanya, mereka
akan menggunakan pergerakan tubuh badan dan ekspresi sebagai medium komunikasi. Oleh
itu, guru-guru perlu memahami dan mempunyai pengetahuan tentang bentuk komunikasi murid-
murid ini. Aktiviti-aktiviti seperti memandang muka guru semasa guru mengajar, memandang
satu kedudukan (tidak memerlukan bertentang mata) dan meletakkan tangan pada tempat yang
diarahkan serta memberi pujian dapat membantu mereka membentuk kemahiran bertutur
secara tidak langsung.

Selain itu, terapi muzik juga dapat membantu murid-murid bermasalah pembelajaran
yang mengalami masalah bahasa dan pertuturan. Secara umumnya, terapi muzik ini
berperanan untuk memulih, memelihara dan meningkatkan taraf kesihatan mental dan fizikal
seseorang. Bagi murid-murid bermasalah pembelajaran, menyebut lirik lagu yang dipelajari
dapat membantu mereka menangani masalah pertuturan yang dialami. Pengulangan perkataan
secara berulang-ulang dapat membantu mereka membentuk kefahaman yang jelas tentang
makna sesuatu perkataan dan seterusnya menambah perbendaharaan kata mereka. Keyakinan
diri mereka juga dapat dipertingkatkan melalui terapi muzik ini. Tambahan lagi, mereka turut
diajar untuk bergaul dengan rakan-rakan sebaya mereka melalui pergerakan muzik.

Lawatan sambil belajar juga merupakan salah satu aktiviti yang boleh membina minda
murid-murid bermasalah pembelajaran. Lawatan ke zoo atau taman burung membolehkan
murid mengenal haiwan-haiwan tersebut secara dekat. Hal ini akan memberi satu ilmu baru
kepada murid-murid khasnya murid bermasalah pembelajaran. Dengan ini, mereka akan
terdorong untuk berinteraksi di samping menambah perbendaharaan kata mereka. Contohnya
guru boleh mengajar dan membantu murid menyebut nama binatang yang dilihat. Hal ini secara
8

tidak langsung dapat mengatasi masalah pertuturan dan bahasa yang dihadapi oleh murid-
murid bermasalah pembelajaran.
Tambahan lagi, terapi berkuda adalah satu bentuk rawatan yang diberikan kepada kanak-kanak
dengan keperluan khas menggunakan kuda. Menurut Macauley dan Gutierrez (2004), terapi
berkuda merupakan satu bentuk strategi rawatan sama ada terapi fizikal, cara kerja atau
pertuturan yang menggunakan pergerakan kuda. Pergerakan kuda banyak mempengaruhi
pergerakan murid-murid. Semasa kanak-kanak autistik menunggang kuda, pergerakan kuda
dikatakan dapat membantu mereka terutama dalam membetulkan masalah saraf yang dihadapi.
Kajian lepas turut mendapati pertuturan murid-murid yang mendapat rawatan terapi berkuda
adalah lebih baik daripada murid-murid yang mendapat rawatan biasa. Sehubungan dengan itu,
guru-guru bolehlah mengambil inisiatif dengan mengadakan kolaborasi dengan pemilik ladang
kuda dan menjadikan aktiviti ini sebagai aktiviti tahunan bagi

You might also like