You are on page 1of 4

Martabatkan bahasa kebangsaan

2012/10/10 - 08:11:15 AM A Aziz DeramanCetakEmel Kawan

Warga Malaysia perlu bersama pulih citra bahasa negara


Cuba renungkan kenapakah sesudah 55 tahun kemerdekaan Malaysia, kita masih membicarakan
usaha memartabatkan bahasa kebangsaan? Apakah selama tempoh lebih lima dekad kemerdekaan
bangsa dan negara kita, rakyatnya atau kita di pelbagai agensi, institusi organisasi, awam dan
swasta, masih tidak faham atau tidak berasa peminggiran terhadap bahasa kebangsaan itu sama
ertinya dengan lupa diri atau sikap acuh tidak acuh terhadap jati diri negara mahupun bangsa
sendiri?
Sifat kebangsaan
Mungkinkah kita sesama kita masih tidak menghayati bahawa bahasa kebangsaan itu adalah simbol
kepada kehidupan kebangsaan dalam semua ranah kehidupan dan citra negara bangsa? Fahamkah
kita sesebuah negara bangsa itu ditandai sifat kebangsaan dan ada pegangan yang kukuh terhadap
tonggak-tonggak kenegaraan sebagaimana termaktub dalam keluhuran Perlembagaan.
Aspek bahasa menjadi semakin penting dalam gagasan 1Malaysia kerana ia berteraskan kepada
prinsip Perlembagaan (dan Rukun Negara), selain prinsip penerimaan dan keadilan sosial. Bahasa
adalah tonggak kenegaraan. Jadi kenapa pula rakyat sendiri memandang sepi, tanpa penuh
komitmen memikul peranan dan tanggung jawab bersama?

Jika Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan sudah menetapkan satu bahasa negara dan itulah
Dasar Bahasa Negara, susah sangatkah bagi kita memahami apa yang dimaktubkan? Fasal itu
menyatakan: Bahasa Kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan
sebagaimana diperuntukkan dengan undang-undang oleh Parlimen. Perkara 152 (6) pula
menegaskan: Dalam Perkara ini, maksud rasmi ertinya apa-apa jua maksud Kerajaan, sama ada
Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri, dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak
berkuasa awam. Peruntukan itu mengabsahkan status bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan
dan bahasa rasmi. Kedudukannya merentasi bahasa-bahasa kaum dan sukuan. Bahasa Melayu
bukan bahasa orang Melayu atau pribumi saja lagi, tetapi bahasa kita, bahasa negara kita. Cintai
bahasa kebangsaan menunjukkan cinta kita kepada negara.
Apa guna fungsi bahasa Melayu diperkukuh lagi dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, jika
sampai sekarang pun kita tidak terpanggil untuk mendaulat dan memartabatkannya? Ketetapan
undang-undang itu secara langsung meletakkan bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan bagi
negara Malaysia; bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi bagi melaksanakan maksud-maksud
Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Rakyat Malaysia tidak dilarang menggunakan, belajar atau mengajar bahasa-bahasa lain. Jadi apa
yang kita susah-susahkan dengan keperluan bangsa Malaysia itu menguasai bahasa asing termasuk
bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa dunia yang lain? Belajarlah dan kuasailah. Perlembagaan telah
memberikan panduan yang jelas. Tetapi barang diingat yang mana patut kita junjung dan yang mana
patut dikelek, sebab kesatuan dan persatuan bangsa kita atau perpaduan negara hanya boleh dicapai
melalui bahasa milik bersama.
Peranan, tanggungjawab semua
Berdasarkan tuntutan undang-undang tadi, setiap batu jemala rakyat Malaysia wajib
menjunjungnya, tidak patut berdolak-dalik lagi, meletakkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa
keperluan negara dan bahasa kehidupan bangsa Malaysia. Pada hemat penulis, semua pihak
sekarang perlu menilai semula peranan dan tanggungjawab masing-masing. Jika belum, maka
haluankan semula bahtera persepsi anda dan buat satu anjakan paradigma, penuhi segera tuntutan
bahawa bahasa Melayu itu menjadi bahasa rasmi; bahasa Melayu itu menjadi bahasa kebangsaan;
bahasa kebangsaan itu menjadi bahasa pengantar pendidikan; menjadi bahasa ekonomi, perniagaan,
perdagangan dan industri; menjadi bahasa ilmu tinggi, sains dan teknologi dan bahasa itu juga
bahasa kesusasteraan, kesenian, kebudayaan, agama dan falsafah.
Malaysia mempunyai Dasar Bahasa Negara tersendiri, bukan pelbagai bahasa secara laissez faire.
Ada dasar-dasar berbeza di negara masing-masing. Bandingkan status bahasa kita dengan dasar
bahasa di India, Singapura, Jepun, China, Korea, Thailand, United Kingdom, Jerman, Perancis,
Indonesia dan lain-lain. Bahasa kebangsaan kita memiliki kehebatan dan keunikan tersendiri dan
kita patut berterima kasih kepada leluhur pejuang silam kerana menjadikan BM sebagai bahasa
negara, tepat dipilih atas sifat lingua franca, tradisi ilmu dan fakta sejarah.
Kini Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) digerakkan lagi sebagai suatu kesinambungan program sejak
awal kemerdekaan bermula pada era 1960-an. Tema BBK yang mula diperkenalkan pada 2010
mempromosikan 1Bahasa, 1Bangsa, 1Negara sangat kena pada tempatnya. Kita adalah satu bangsa,
yakni bangsa Malaysia, kita hanya ada satu negara yakni satu Malaysia dan negara bangsa ini akan
kehilangan keperibadian tanpa satu bahasa nusa bangsa.
Pemahaman terhadap fungsi bahasa Melayu seharusnya ada pada semua peringkat dan lapisan
rakyat, kepemimpinan politik, agensi, institusi, organisasi dan sebagainya kerana ada kebersamaan
peranan.
Apabila disebut Bahasa Menunjukkan Bangsa atau Bahasa Jiwa Bangsa, natijah di sebaliknya ialah
bagaimana citra Malaysia itu terserlah jati diri bangsanya berbahasa, bahasa bagi bangsa Malaysia.
Suasana sekarang menuntut semua pihak menghayati apakah pula makna bangsa Malaysia dan
negara bangsa? Bukankah fungsi komunikatif bahasa kebangsaan dan fungsi rasminya bermaksud
satu bahasa kebangsaan bagi seluruh negara bangsa Malaysia?
Perbandingan dengan bahasa Kebangsaan Jepun
Setiap diri kita seharusnya berasa malu apabila membandingkan status bahasa kebangsaan kita
dengan status bahasa kebangsaan di Jepun atau Korea. Apakah kita hanya boleh bermegah sematamata kerana berasa bahawa pencapaian umum bahasa kebangsaan kita itu telah berkembang pesat

dan meningkat kualitinya, misalnya dalam pentadbiran kerajaan, pendidikan, bidang perundangan
dan kehakiman, walhal belum sepenuhnya dan tidak digunakan secara meluas dalam segala bidang
kehidupan? Apakah kita boleh berbangga dengan mengatakan isu bahasa sudah selesai disebabkan
jaminan kedudukannya di dalam Perlembagaan, sedangkan kemajuannya belum tercapai penuh?
Sikap memandang ringan, tidak mempedulikan, meminggir dan mengambil mudah tidak akan
mendukung konsep Kesatuan Dalam Kepelbagaian itu. Kita tahu dunia satu bahasa (monolingual)
sudah tiada lagi. Maka selain daripada bahasa Inggeris, sebenarnya orang Malaysia juga perlu
menguasai bahasa-bahasa yang lain mengikut keperluan, misalnya Arab, Sepanyol dan Perancis.
Tetapi yang mana satu kita junjung? Bahasa dikaitkan dengan jati diri, maruah bangsa dan
keagungan tamadun bangsa. Apakah sikap sebenar kita terhadap bahasa? Apakah Bahasa Jiwa
Bangsa atau kitalah bangsa tanpa jiwa bahasa? Kita dibelit belenggu rendah diri, sesekali dihambat
sikap pasif dan tabiat negatif.
Sikap pinggir bahasa negara
Penekanan berlebihan terhadap penggunaan bahasa Inggeris tanpa disedari kadang-kadang
menjadikan kita sendiri yang meminggirkan bahasa negara, wujudnya situasi menang-kalah menang bahasa Inggeris, kalah bahasa Melayu. Citra kenegaraan dan kebangsaan kita seolah-olah
diambil alih bahasa Inggeris. Kita gagal menterjemahkan konteks keperluan penggunaan bahasa, di
mana yang perlu dan yang mana satu. Mahukah wajah kita bertopengkan budaya asing? Usaha
memperkuatkan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu/Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris
(MBMMBI) Kementerian Pelajaran itu hendaklah disejajarkan di semua institusi pendidikan dan
sektor berkaitan.
Perkasa bahasa sendiri
Kitalah rakyat dan bangsa Malaysia. Kitalah juga warganegara Malaysia itu. Pelbagai usaha mesti
dilakukan bersama ke arah memulih citra bahasa negara kita sendiri akibat daripada hilang sikap
megah bahasa, gemar memandang hak orang lebih sempurna. Kita kurang berusaha mengangkat
kehebatan citra sendiri. Bisakah kita berganding bahu berbimbing tangan memartabatkan dan
memperkasakan bahasa sendiri dengan pengukuhan BM itu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa
rasmi?
Jika kita pula memiliki visi dan misi melangkah ke hadapan, ayuh gerakkan perancangan strategik,
sinergi dan rangkaian kerja melakukan tindakan dan sokongan mengisi keperluan
pengantarabangsaannya. Malaysia akan menjadi sebuah negara maju. Tetapi tidak terpanggilkah
oleh kita bahawa apabila negara kita maju maka bahasa negara kita ikut maju, seiring sederap
menjadi salah satu bahasa komunikasi antarabangsa bersifat supranasional.
Jati diri, keperibadian dan sahsiah bangsa terletak di atas satu bahasa negara yang berada di
martabatnya, mantap dan perkasa. Matlamat tersebut hanya akan dapat dicapai melalui kesepakatan
dan peranan bersama institusi, agensi, organisasi dan rakyat Malaysia seluruhnya.

Penulis ialah bekas Ketua Pengarah DBP (1994-2004), bekas Ketua Pengarah
Kebudayaan (1981-1989) dan AJK GAPENA (sejak 2004).

You might also like