You are on page 1of 16

Soalan 1 :

Nilai secara kritis faktor-faktor yang menyumbang kepada perkembangan Kesultanan Melayu
Melaka dan faktor-faktor yang membawa kepada kejatuhannya.

Pendahuluan:
Kesultanan Melayu Melaka diasaskan oleh Parameswara di antara tahun 1400 1403.
Pada awalnya Melaka bukanlah sebuah kerajaan Islam. Hal ini berubah pada tahun 1409
apabila Parameswara berkahwin dengan puteri dari Pasai. Agama Islam dijadikan sebagai
agama rasmi Kesultanan Melayu Melaka oleh Sultan Muzaffar Shah. Sultan Mahmud
merupakan sultan yang terakhir Kesultanan Melayu Melaka semasa Melaka tewas di tangan
Portugis. Baginda melarikan diri ke Johor. Pada 1528, putera baginda Sultan Alaudin Riayat
Shah 11 menubuhkan Kesultanan Johor bagi mewarisi Kesultanan Melaka.
Menurut Sejarah Melayu, Parameswara yang dilahirkan sebagai Dharmaraja adalah
Raja Singapura yang terakhir berasal dari keturunan Srivijaya. Pada 1401, kerajaan Majapahit
menyerang Singapura dengan bantuan Bendahara yang belot, Sang Rajuna Tapa.
Parameswara telah berjaya melarikan diri ke pantai barat Semenanjung Melayu untuk
membuka negeri yang baru. Sejarah Melayu meriwayatkan Parameswara telah membuka
negeri Melaka pada tahun 1401 dan nama Melaka itu berasal dari nama sejenis pokok.
Paramweswara mengisytiharkan dirinya sebagai Raja Melaka. Beliau melaksanakan
pemerintahan negeri Melaka berasaskan pemerintahan Srivijaya. (Yusoff Iskandar, 2005).

Faktor-faktor yang Menyumbang kepada Perkembangan Kesultanan Melayu Melaka.


1. Pentadbiran yang cekap
Sejak diasaskan pada tahun 1402, Melaka telah mempunyai satu sistem pentadbiran
yang teratur dan cekap. Ketua negara ialah Raja. Raja dibantu oleh sebuah Majlis Terrtinggi
(Pembesar Berempat, Pembesar Berlapan, Pembesar Berenam Belas dan Pembesar Tiga Puluh
Dua). Semua pembesar ini diberikan tugas-tugas tertentu.Pemerintah-pemerintah Melaka pula
berkebolehan dan cekap. (Muhammad Yusof Hashim, 1989) Mereka sentiasa memastikan
Melaka berkembang maju dengan mengadakan polisi-polisi yang membawa kepada
kestabilan kerajaan.
2. Hubungan dengan China
Salah satu polisi yang mendorong perkembangan Melaka ialah mewujudkan hubungan
persahabatan dengan negeri China. Hubungan ini mula-mula diadakan oleh Parameswara dan
diteruskan oleh pengganti-penggantinya. Hubungan ini menguntungkan Melaka kerana ia
2

mendapat perlindungan daripada China terutama sekali untuk menentang ancaman Siam. Pada
tahun-tahun 1407, 1419 dan 1431 negara China melindungi Melaka daripada ancaman Siam
apabila China menghentikan percubaaan-percubaan Siam untuk menyerang Melaka.
Perlindungan China kepada Melaka sangat berkesan dan menjamin keselamatan Melaka
secara berterusan. (Abdul Rahman Haji Ismail, 2005).
3. Perpaduan dan keamanan dalam negeri
Sultan Mudzaffar Syah (1445-59) telah berusaha dengan jayanya untuk mewujudkan
perpaduan dan keamanan dalam negeri. Baginda menamatkan pertelingkahan diantara
golongan Melayu apabila baginda memujuk bapa saudaranya, Tun Ali, menyerahkan
jawatannya

sebagai

Bendahara

kepada

Tun

Perak.

Sebagai

balasannya

baginda

menghadiahkan isteri baginda Tun Kudu kepada Tun Ali. Ramai rakyat menghormati Tun
Perak yang telah membuktikan kebolehan dan kebijaksanaannya dalam usaha-usahanya
menamatkan ancaman Siam. (Muhammad Yusoff Hashim, 1989)
4. Agama Islam
Agama Islam memainkan peranan yang penting dalam kebangkitan dan perluasan
kuasa Melaka. Pada tahun 1414, Parameswara memeluk agama Islam. Tindakan itu dilakukan
juga oleh penggantinya dan semasa pemerintahan Sultan Mudzaffar Syah agama Islam sudah
dijadikan sebagai agama rasmi Melaka. Kerajaan Melaka adalah sebuah kerajaan Islam.
Kemajuan agama Islam di Melaka dibuktikan lagi apabila turut mempengaruhi Undng-undang
Melaka. Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka adalah gabungan hukum
adat tempatan dengan undang-undang Syariah dan nilai Islam. Hukum Kanun Melaka Fasal
30, contohnya menjelaskan tentang hukum dan tatacara berniaga serta barang-barang yang
boleh diperniagakan mengikut cara Islam. Justeru itu ia mendapat banyak naungan daripada
saudagar-saudagar Islam yang merupakan satu kumpulan saudagar-saudagar yang terkaya dan
terpenting ketika itu. Kedatangan saudagar-saudagar ini menambahkan perdagangan dan
menguntungkan Melaka kerana dapat membiayai segala aktiviti keagamaan sebagai pusat
pengajian dan penyebaran agama Islam.

5. Melaka Sebagai Pusat Perdagangan Antarabangsa


Melaka mempunyai kedudukan geografinya yang sangat strategik. Terletak ditengahtengah jalan perdagangan utama di antara India dan China, berhampiran pusat-pusat

pengeluaran rempah dan galian serta terlindung daripada tiupan angin monsun . Melaka
dapat mengawal perdagangan dan meluaskan pengaruhnya di rantau Asia Tenggara.
Melaka pada masa itu adalah sebuah kerajaan yang kaya dan terkenal serta mempunyai
satu sistem pemerintahan yang berkesan dan mempunyai dasar-dasar yang baik.
Antaranya jawatan Syahbandar diwujudkan untuk menguruskan hal-hal pelabuhan dan
melicinkan urusan perdagangan. Selain itu peranan Laksamana dan Orang Laut untuk
menjaga keselamatan pedagang serta keberkesanan Undang-undang Laut Melaka
memberikan keyakinan kepada para pedagang untuk berdagang di Selat Melaka. Seorang
penulis Portugis bernama Tome Pires telah menulis, tidak lewat dari 1512, tentang
kebesaran Melaka. Antara lain, beliau menyatakan,
..di pelabuhan Melaka biasanya terdapat lapan puloh empat bahasa
digunakan, tiap-tiap satu berlainan
Duarte Barbosa, seorang lagi penulis Portugis yang telah merakamkan pendapatnya di
kurun ke 16, telah berkata,
.bandaraya Melaka ini adalah pelabohan yang terkaya dengan jumlah
perdagangan borong yang terbesar dan perkapalan serta perdagangan yang
sungguh banyak yang boleh didapati di seluruh dunia.
Kedua-dua pendapat ini dikemukakan oleh penulis-penulis Portugis, bukan
Melayu. Berdasarkan pendapat yang diberikan, kita dapat simpulkan bahawa Kesultanan
Melayu Melaka pada masa itu mengamalkan satu sistem pemerintahan yang berkesan
supaya perdagangan berjalan lancar dan teratur. Secara tidak langsung dapat menarik
pedagang-pedagang berdagang di Melaka kerana mereka berpuas hati dengan pentadbiran
dan layanan yang diberikan.

Kesultanan Melayu Melaka mencapai kegemilangannya di bawah pemerintahan Sultan


Mansur Sha (1459-77) dan Bendahara Paduka Tun Perak (1456-98). Kegemilangannya mulai
pudar apabila Tun Perak meninggal dunia. Empayar Melaka jatuh dalam tahun 1511 di bawah
pemerintahan Sultan Mahmud Shah (1488-1511) dan Bendahara Paduka Tuan (1510-11).
Banyak faktor-faktor yang mempengaruhi kejatuhan Kesutanan Melayu Melaka. Antaranya
faktor-faktor dalaman dan faktor-faktor luaran.

Faktor-faktor Kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka.


Faktor-faktor Dalaman:
1. Kelemahan Sultan Mahmud (1488-1511).
Sultan Mahmud adalah seorang raja yang lemah, kejam dan tidak adil. Baginda
mempunyai sekumpulan orang kesayangannya dan baginda membiarkan mereka menjalankan
tugas pentadbiran mengikut sesuka hati mereka. Akibatnya kecuaian dan rasuah berlaku tanpa
dikawal di dalam istana.
2. Ketiadaan Pemimpin yang Kuat dan Berkaliber.
Selepas kematian Bendahara Tun Perak, tidak ada lagi pengganti bendahara yang
berkaliber sepertinya. Pengganti Tun Perak, Tun Putih seorang yang terlalu tua semasa
dilantik menjadi bendahara. Beliau menjadi bendahara selama dua tahun sahaja. Tun Mutahir
yang menggantikan Tun Putih pula sangat sombong, tamak dan tidak amanah. Mengikut
Sejarah Melayu, beliau mempergunakan kuasanya untuk menambahkan kekayaannya sahaja.
Beliau rela menerima rasuah daripada saudagar-saudagar yang ingin mendapatkan
keistimewaan daripada beliau. Akibatnya pentadbiran Melaka mulai lemah dan kucar-kacir
kerana ketiadaan pemimpin yang berwibawa dan berkaliber ini.

3. Amalan Rasuah.
Tanpa sultan dan bendahara yang kuat dan berdedikasi, rasuah menjadi-jadi bukan
sahaja di kalangan pembesar-pembesar istana tetapi juga di kalangan pegawai-pegawai di
pelabuhan. Mereka tidak lagi menjalankan tugas mereka dengan taat setia. Seperti Bendahara
Tun Mutahir, mereka ingin mencari kekayaan. Mereka mengenakan cukai yang tinggi dan
kebanyakan daripada hasil pelabuhan digelapkan oleh pegawai-pegawai nya. Kejadian rasuah
itu menyebabkan Kesultanan Melaka miskin dan lemah. Saudagar-saudagar asing pun bosan
terhadap pentadbiran dan cukai di pelabuhan lalu berpindah ke Acheh untuk berdagang.
Perdagangan Melaka turut merosot.
4. Perpecahan di kalangan Pembesar dan Rakyat.
Di bawah pimpinan tun Mutahir, berlaku semula persaingan di antara puak TamilIslam dan Melayu.Perpecahan di kalangan rakyat itu disebabkan oleh tindakan-tindakan Tun
5

Mutahir. Antaranya beliau melantik pegawai-pegawai istana dari kalangan kaum kelurganya
dan mengecualikan orang-orang Melayu. Amalan pilih kasih dalam pentadbiran mewujudkan
perebutan pengaruh antara Laksamana Khoja Hassan dengan Tun Mutahir. Akibatnya Raja
Mendeliar memfitnah Tun Mutahir yang dikatakan cuba mengatasi kekayaan sultan. Akhirnya
sultan mengambil tindakan dengan membunuh Tun Mutahir dan keluarganya tanpa usul
periksa. Kejadian ini menyebabkan rakyat Melaka mula berpecah belah. Perdagangan Melaka
mulai merosot dan keutuhan kerajaan Melaka mulai terjejas.

5. Ketiadaan Semangat Taat Setia kepada Melaka.


Rakyat Melaka dan penduduk penduduk asing seperti orang-orang Jawa, China dan
India tidak mempunyai semangat taat setia kepada Melaka.Mereka hanya menetap di Melaka
untuk berdagang semata-mata. Oleh itu, semasa Melaka diserang Portugis mereka tidak
membantu mempertahankan Melaka. Ada di antara mereka yang memberikan pertolongan
kepada Portugis kerana berpendapat mereka adalah kuat dan bila Portugis berjaya, mereka
akan mendapatkan layanan yang baik kelak.
6. Kelemahan Askar Melaka.
Askar Melaka menggunakan senjata tradisional seperti keris, tombak, perisai, dan
sumpit beracun ketika menentang musuh.Askar Melaka juga mempunyai senjata seperti
senapang dan meriam tetapi tidak secanggih senjata Portugis. Contohnya meriam Portugis
yang boleh menembak musuh dari jarak yang lebih jauh lagi. Faktor inilah yang menyumbang
kepada kejatuhan Melaka apabila Melaka mengalami kekalahan di tangan Portugis.

Faktor-faktor luaran:
1. Penemuan Laluan Dagangan Baru.
Dalam tahun1488, Bartholomew Diaz menemui laluan laut malalui Tanjung Harapan
di Benua Afrika yang memendekkan jarak antara timur dan barat. Dimensi ini membuka jalan
kepada Portugis untuk membina perdagangan di timur.

2. Kecurangan Pedagang Luar.


Pedagang asing datang ke Melaka hanya untuk berniaga dan tiada kesetiaan kepada
Sultan Melaka. Pedagang China dan India membantu Portugis menyerang Melaka.
3. Kekuatan Angkatan Tentera Portugis.
Tentera Portugis dipimpin oleh Alfonso dAlbuquerque yang berkebolehan,
berdedikasi dan handal. Tentera Portugis juga lengkap dengan senjata. Askar-askarnya yang
berdisiplin, terlatih dan berpengalaman ini berjaya menyerang dan menakluki Melaka pada 25
Ogos 1511. (Ismail Hussein (Datuk), Hashim Hj. Wan Teh (Wan), Muhammad Ghazali
bin Shafie (Tan Sri Dato), 1997). Sultan Mahmud Shah terpaksa melarikan diri ke Muar,
Johor.

Penutup:
Pada abad ke-15 dan awal abad ke-16. kesultanan Melayu Melaka muncul sebagai
sebuah kerajaan yang kuat di Gugusan Kepualauan Melayu. Pada zaman kegemilangannya,
kesultanan Melayu Melaka telah membina satu tradisi budaya, politik dan ekonomi yang
kekal diwarisi hingga ke hari ini. Kegemilangan dan kemakmuran Melaka telah menarik
Portugis untuk datang dan seterusnya menguasai Melaka. Kejatuhan Melaka ke tangan
Portugis pada tahun 1511. Waris kesultanan Melaka berpindah ke Johor dan bermula dari
situlah mereka meneruskan perjuangan menegakkan semula kedaulatan Melaka.
Banyak iktibar yang boleh kita perolehi daripada kejatuhan Melaka ini. Antaranya,
kelemahan kepimpinan, masalah perpaduan, amalan rasuah dan fitnah-memfitnah antara satu
sama lain boleh menyumbang kepada tumbangnya sesebuah negara walaupun mempunyai
sebuah empayar yang luas, berpengaruh dan terkenal.

Soalan 2:
Bincangkan pembentukan Malaysia dengan memberi tumpuan kepada reaksi rakyat Sabah,
Sarawak, Singapura dan konflik dengan Indonesia dan Filipina.

Pendahuluan
Cadangan untuk menggabungkan Tanah Melayu (termasuk Singapura), Sarawak dan
Sabah (Borneo Utara) pernah dikemukan pada tahun 1887 oleh Lord Brassey iaitu seorang
pengarah Syarikat Borneo Utara British yang memiliki Sabah. Namun demikian cadangan itu
tidak mendapat sambutan sehinggalah pada 2 Jun 1956, Tunku Abdul Rahman sekali lagi
mengumumkan bahawa beliau mengalu-alukan Sarawak, Brunei dan Sabah untuk bergabung
dengan Tanah Melayu bagi mewujudkan Tanah Melayu Raya. Pada 31 Ogos 1957,
Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Selepas merdeka, Tunku Abdul Rahman
telah mengemukakan cadangan kepada Kerajaan British supaya Brunei, Sabah dan Sarawak
digabungkan dengan Persekutuan Tanah Melayu menjadi Malaysia. Namun, Kerajaan British
menolak cadangan itu kerana Singapura diketepikan. Sementara itu, Lee Kuan Yew, Ketua
Menteri Singapura pada masa itu juga menyarankan percantuman Singapura dengan
Persekutuan Tanah Melayu. Cadangan Lee Kuan Yew ditolak oleh Tunku Abdul Rahman.
Namun begitu, senario politik yang berlaku di Singapura mengubah sikapnya terhadap
saranan Lee Kuan Yew. Pada 27 Mei 1961, Tunku Abdul Rahman dalam ucapannya di
Persidangan Wartawan-wartawan Luar Negeri di Asia Tenggara di Hotel Adelphi, Singapura
mencadangkan supaya Brunei, Sabah, Sarawak dan Singapura digabungkan dengan Tanah
Melayu membentuk Persekutuan Malaysia. Cadangan ini menimbulkan pelbagai reaksi
daripada semua pihak iaitu Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura.

Sebab-sebab Pembentukan Malaysia


1.

Senario Politik di Singapura


Sebab utama penubuhan Malaysia ialah untuk menentang kegiatan komunis yang kian
bertambah di Singapura pada tahun 1950-an. Ejen-ejen komunis telah meresap masuk ke
sekolah Cina dan kesatuan sekerja. Pada tahun 1954, komunis telah menganjurkan satu
permogokan di sebuah syarikat bas. Mogok ini merebak menjadi rusuhan. Selain itu,
komunis juga merampas pucuk pimpinan Parti Tindakan Rakyat (PETIR) yang sejak
tahun 1959 menguasai Kerajaan Singapura di bawah pimpinan Lee Kuan Yew. Mereka
menjadi ahli PETIR sehingga menubuhkan satu kumpulan berhaluan kiri dalam PETIR.
Pada mulanya, Lee Kuan Yew berbaik-baik dengan mereka tetapi akhirnya
pertelingkahan telah berlaku. Pertelingkahan ini menyebabkan PETIR kalah dalam

pilihanraya kecil pada tahun 1961 iaitu Pilihanraya Hong Lim dan Pilihanraya Anson.
Kekalahan PETIR menunjukkan pengaruh komunis bertambah kuat. Akibatnya, Lee
Kuan Yew mengusir golongan berhaluan kiri ini dari PETIR. Pengaruh komunis turut
berkembang sehingga satu parti berhaluan komunis iaitu Barisan Sosialis dibawah
pimpinan Lim Chin Siong ditubuhkan. Tunku Abdul Rahman bimbang komunis meresap
masuk Tanah Melayu. Diharapkan melalui gagasan Malaysia, hasrat komunis menguasai
Singapura gagal yang seterusnya dapat menyekat kemaraan mereka.
2.

Senario Politik di Sarawak


Pada tahun 1951, Liga Belia Demokratik Cina Seberang Laut yang berhaluan komunis
ditubuhkan tetapi dibubarkan semasa Darurat. Walau bagaimanapun, satu pertubuhan
komunis sulit iaitu Persatuan Belia Maju Sarawak telah bergerak di kalangan kesatuan
sekerja, pelajar dan petani. Mereka menghasut masyarakat Cina menentang British. Parti
Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) telah dipengaruhi oleh komunis. Lalu, Kerajaan British
melancarkan operasi pisang untuk menyekat pengaruh komunis dalam SUPP tetapi gagal.
Diharap melalui gagasan ini, kestabilan politik yang diperolehi dapat menentang
ancaman komunis.

3.

Mengimbangi Penduduk
Penubuhan Malaysia juga bertujuan mengimbangi jumlah penduduk. Tunku Abdul
Rahman menjangkakan Sabah, Sarawak dan Brunei kalau digabungkan dengan Tanah
Melayu akan membawa kepada faedah sosial. Penggabungan Tanah Melayu dengan
Singapura menimbulkan masalah ketidakseimbangan kaum. Hal ini disebabkan
daripada penduduk Singapura berbangsa Cina. Kemasukan Sabah, Sarawak dan Brunei
akan mengimbangi kadar kaum-kaum kerana 70% daripada penduduk Borneo Utara ialah
bumiputera.

4.

Kemajuan Ekonomi Bersama


Pembentukan Malaysia membolehkan kelima-lima buah kawasan menikmati kemajuan
ekonomi bersama. Singapura, Brunei dan Tanah Melayu telah mencapai kemajuan
ekonomi yang amat memuaskan, manakala Sabah dan Sarawak ialah negeri yang masih
mundur. Penubuhan Persekutuan Malaysia membolehkan Sabah dan Sarawak dimajukan.
Hal ini bermaksud kekayaan dari kawasan maju akan dipindah ke kawasan mundur untuk
membiayai projek pembangunan.
10

5.

Mempercepatkan Proses Kemerdekaan


Penubuhan gagasan Malaysia bertujuan mempercepatkan proses kemerdekaan bagi
Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura. British berjanji akan memberi kemerdekaan yang
lebih awal sekiranya Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura bergabung dengan Tanah
Melayu bagi membentuk Malaysia. Penggabungan ini juga akan menamatkan penjajahan
British di rantau ini dan menjamin kedaulatan dan keselamatan wilayah-wilayah itu
daripada ancaman kuasa luar.

Reaksi-reaksi Negeri Terlibat


1.

Singapura
Lee Kuan Yew selaku Ketua Mentei Singapura menyokong gagasan ini kerana PETIR
dapat meneruskan kekuasaannya di Singapura, ancaman komunis dapat dikawal,
perkembangan ekonomi Singapura menjadi lebih pesat dan Singapura dapat merdeka
dengan lebih awal. Namun demikian, Barisan Sosialis dan Parti Buruh menentang
gagasan ini. Pada 1 September 1962, Lee Kuan Yew telah mengadakan satu pungutan
suara bagi mendapatkan persetujuan rakyat Singapura mengenai penyertaan Singapura
dalam Malaysia. Mengikut keputusan, 71.1% daripada rakyat Singapura menyokong
penubuhan Malaysia. (Ramlah Adam,1992) Melalui gagasan Malaysia, taraf pelabuhan
bebasnya dikekalkan, Singapura mempunyai kuasa autonomi dalam bidang kewangan,
pendidikan dan perburuhan dan Singapura akan mendapat 15 kerusi dalam Parlimen
Malaysia.

2.

Sabah dan Sarawak


Pemimpin di kedua-dua negeri ini amat terperanjat dengan penubuhan Malaysia.
Pemimpin-pemimpin di kedua-dua negeri ini membentuk Barisan Bersatu pada 9 Julai
1961 bagi menentang gagasan Malaysia. Pemimpin-pemimpin itu termasuk Ong Kee Hui
(Pengerusi SUPP), Temenggung Jugah Anak Berieng (Yang Dipertua Parti Negara
Sarawak PANAS), Dato Mustapha bin Dato Harun dan Donald Stephen (ahli tak rasmi
Majlis Undangan Sabah). Mereka menentang gagasan kerana takut Sabah dan Sarawak
akan dikuasai oleh Tanah Melayu. Mereka takut kedudukan politik mereka terjejas.
Mereka juga bimbang keperibadian negeri masing-masing akan hilang. Golongan peniaga

11

Cina pula bimbang kuasa ekonomi akan dirampas oleh Tanah Melayu dan Singapura.
Selain itu, mereka juga berpendapat Sabah dan Sarawak perlu diberi kemerdekaan dahulu
sebelum menyertai Malaysia. Kaum bumiputera bukan Islam turut menentang gagasan
Malaysia. Bantahan mereka disuarakan melalui Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP),
Pertubuhan Kebangsaan Kadazan Bersatu (UNKO) dan sebagainya. Pemimpin di kesuadua negeri menganggap gagasan Malaysia merupakan satu helah untuk meluaskan kuasa
Tanah Melayu dan menggantikan penjajahan British. (Kassim Thukimin, 2002) Pada
bulan Jun 1961, Tunku Abdul Rahman berangkat ke Sabah dan Sarawak dan mendapati
rakyat di sana telah salah faham mengenai gagasan Malaysia. Oleh itu, sebuah
persidangan Persatuan Parlimen Komanwel diadakan di Singapura pada Julai 1961.
Beberapa orang daripada Barisan Bersatu telah dihantar oleh British ke persidangan ini.
Mereka

membincangkan

tentang

gagasan

Malaysia.

Akhirnya,

Jawatankuasa

Perundingan Perpaduan Malaysia (JPPM) ditubuhkan untuk mengumpulkan pendapat


Sabah dan Sarawak mengenai gagasan ini. Pada bulan Ogos 1961, Abang Haji Mustapha
(Pengerusi PANAS) menyokong gagasan Malaysia. Kemudian, Donald Stephen dan
Dato Mustapha turut menyokong gagasan ini selepas melawat ke Tanah Melayu dan
berunding dengan Tunku Abdul Rahman.
Penolakan Brunei
Brunei tidak bersetuju menyertai Malaysia kerana mendapat tentangan yang hebat
daripada rakyatnya khususnya Parti Rakyat Brunei yang membuat pemberontakan pada 7
Februari 1962. Brunei juga enggan membayar cukai di atas pendapatan minyaknya.
Sepintas Lalu Proses Pembentukan Malaysia
Tanggal 16 September 1963, Persekutuan Malaysia dirasmikan penubuhannya serta
diisytiharkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia ketika itu.
Perisytiharan dibuat di Stadium Merdeka disaksikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja
Melayu, Gabenor-Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Sarawak dan Sabah serta 30 ribu rakyat
jelata.Penubuhan Persekutuan Malaysia ditentang hebat oleh Indonesia dan Filipina.
Indonesia tidak senang dengan penubuhan Persekutuan Malaysia lantas, melancarkan
konfrantasi ketenteraan di bawah slogan "Ganyang Malaysia" yang berlanjutan sehingga
tahun 1966.

12

Filipina pula menuntut haknya ke atas Sabah atas hujahan perjanjian yang dimeterai
antara Kesultanan Sulu dengan pihak British. Brunei yang turut termasuk dalam rancangan
penubuhan Persekutuan Malaysia membatalkan penyertaannya setelah berdepan dengan
pemberontakan besar-besaran di Brunei oleh Sheikh Azhari pada penghujung 1962.
Sekalipun begitu, akhirnya pada 9 Julai 1963, Perjanjian penubuhan Persekutuan
Malaysia dimeterai di London hanya setelah Laporan Suruhanjaya Cobbold yang dikeluarkan
menyatakan, lebih 80 peratus rakyat Sarawak dan Sabah bersetuju dengan cadangan
kemerdekaan melalui penggabungan bersama Persekutuan Tanah Melayu. Tarikh perasmian
pengisytiharan Persekutuan Malaysia telah ditangguhkan daripada 1 Jun 1963 ke 31 Ogos
1963 kerana menunggu Laporan Suruhanjaya Cobbold. Namun tarikh tersebut pula
ditangguhkan setelah Indonesia dan Filipina memperhebatkan tentangan mereka terhadap
penubuhan Persekutuan Malaysia. Dan akhirnya 16 September 1963 menjadi hari secara
rasminya Persekutuan Malaysia ditubuhkan.
Pembentukan Malaysia (Konflik dengan Indonesia dan Filipina)
1.

Konflik dengan Filipina


Apabila JPPM dan Suruhanjaya Cobbold menunjukkan sokongan kepada penubuhan
Malaysia, Filipina telah menuntut hak ke atas Sabah bagi waris Sultan Sulu pada 22 Jun
1962. Filipina mendakwa Sabah dipajak dan bukan diserahkan kepada Baron Overbeck
dan Alfred Dent pada tahun 1874. (Anuar Nik Mahmud (Nik), 2000) Pajakan ini telah
dibatalkan pada tahun 1958. Kerajaan British enggan mengakui kedaulatan Filipina ke
atas Sabah. Kerajaan Filipina juga mengemukakan tuntutan yang sama kepada Tanah
Melayu tetapi ditolak. Hubungan diplomatik Filipina-Tanah Melayu menjadi genting.
Walau bagaimanapun, usaha-usaha dijalankan untuk menyelesaikan persengketaan.
Akhirnya, Filipina juga mengiktiraf Persekutuan Malaysia pada Jun 1966. Pengiktirafan
ini diberikan menerusi usaha membaiki hubungan antara kedua-dua negara melalui
MAPHILINDO.

2.

Konflik dengan Indonesia


Pada mulanya, Indonesia mengalu-alukan pembentukan Malaysia. Namun, PKI di bawah
D.N. Aidit menyifatkan ia merupakan satu penjajahan baru yang mengancam Indonesia.
Setelah tercetusnya pemberontakan Brunei, Presiden Indonesia, Sukarno menerima
tekanan hebat dari PKI dan mengubah sikap serta menentang gagasan Malaysia. Aidit
13

telah melawat ke Tanah Melayu dan menghasut rakyat dan tentera memberontak.
Hubungan Tanah Melayu dengan Indonesia menjadi renggang. Pada 20 Januari 1963, Dr.
Subandrio mengumumkan dasar konfrontasi terhadap gagasan Malaysia. Kemudian,
Indonesia bersetuju meminta Suruhanjaya PBB bagi meninjau semula pandangan
penduduk Sabah dan Sarawak mengenai Malaysia. Laporan PBB menunjukkan rakyat
Sabah dan Sarawak menyokong Malaysia tetapi Indonesia enggan mengakui.
16 September 1963, Malaysia diisytiharkan secara rasminya. (Anuar Nik
Mahmud (Nik), 2000).

Pada hari ini, Indonesia melancarkan konfrontasi dan

memutuskan hubungan diplomatik dengan Tanah Melayu. Sebab Indonesia melancarkan


konfrontasi ialah:
a.

Tekanan PKI ke atas Kerajaan Indonesia.

b.

Penubuhan Malaysia menghalang cita-cita Sukarno untuk menubuhkan Indonesia


Raya yang termasuk Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu.

c. Sukarno merasa tersinggung kerana tidak diajak berunding mengenai penubuhan


Malaysia.
Pada bulan November 1963, serangan gerila dilancarkan. Tentera Indonesia mendarat di
Pontian, Labis, Muar dan Kota Tinggi. Pengintip-pengintip juga dihantar. Akibatnya:
a.

Dato Dr. Ismail Abdul Rahman telah meminta bantuan dari PBB dan membuat
bantahan mengenai serangan Indonesia.

b.

Pasukan pertahanan tempatan atau askar wataniah ditubuhkan.

c.

Britain memberi bantuan tentera.

d.

Australia, New Zealand, Canada memberi bantuan senjata.

e.

Rundingan sulit dengan pegawai Indonesia bukan komunis diadakan.

f.

Dato Abdul Razak melawat ke negara Afro-Asia dan Dunia Ketiga untuk
mengikis propaganda Indonesia yang memburuk-burukkan nama Malaysia.
Pada 30 September 1965, gerakan komunis untuk merampas kuasa gagal.

Konfrontasi menjadi berkurangan. Menteri Luar Indonesia, Adam Malik berusaha


menamatkan konfrontasi dan mewujudkan persefahaman dengan Malaysia. Hasrat
menamatkan konfrontasi wujud apabila Suharto menggantukan Sukarno. Hasilnya,
14

perjanjian damai ditandatangani di Jakarta pada 11 Ogos 1966 selepas Tun Abdul Razak
berunding dengan Adam Malik di Bangkok.
Pemisahan Singapura dari Malaysia.
Pelbagai masalah dalaman timbul di Singapura hingga minat Singapura untuk kekal
dalam Malaysia tidak kekal. Dua tahun selepas pembentukkan Malaysia mengalami polarisasi
kaum yang berbahaya, antara pelampau-pelampau Cina Singapura dan pelampau-pelampau
Melayu, yang mengancam toleransi hubungan Melayu-Cina secara menyeluruh.
Keretakan hubungan Singapura-Kuala Lumpur mula timbul dalam suasana pilihanraya
pertama Malaysia pada tahun 1964. Keretakan ini timbul apabila Singapura mempersoalkan
hak keistimewaan orang Melayu. Keretakan ini berpanjangan dan berbagai usaha
penyelesaian dilakukan berkali-kali. Akhirnya pada 7 Ogos 1965 Tunku dan Lee Kwan Yew
menandatangani perjanjian perpisahan. Pada 9 Ogos 1965 parlimen meluluskan rang undangundang perpisahan. Dengan itu Singapura keluar daripada malaysia dan menubuhkan
republik.
Penutup
Penubuhan Malaysia merupakan satu proses yang panjang dan rumit. Kejayaan
penubuhan

Malaysia merupakan lambang diplomasi dan muafakat. Namun demikian,

Singapura dipisahkan dengan Malaysia pada 9 Ogos 1965 kerana tergugat dengan tuntutan
Singapura yang ibarat duri dalam daging.
Kini, setelah 48 tahun Malaysia ditubuhkan, pelbagai kemajuan dapat dilihat dari
pelbagai aspek malah hubungan antarabangsa dengan negara-negara jiran terbabit juga telah
pulih. Seharusnya keharmonian dan kesejahteraan yang dikecapi sejak sekian lama wajar
dipelihara dan dikekalkan agar dapat terus dikecapi oleh generasi akan datang. Juga jangan
biarkan generasi muda terus dilupakan tentang sejarah Malaysia yang dipenuhi dengan warnawarni generasi terdahulu. Melalui kesedaran sejarah, maka generasi muda akan mampu
menghayati nilai sebenar Malaysia.

15

RUJUKAN
Abdul Rahman Hj Ismail. (2005). Malaysia Sejarah Kenegaraan dan Politik. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ahmad Jelani. (2008). Sejarfah Tamadun Bangsa Melayu. Kuala Lumpur: Utusan
Publications Didtributors Sdn. Bhd.
Anuar Nik Mahmud (Nik). (2002). Konfrantasi Malaysia Indonesia. Selangor:
Universiti Kebangsaan Malaysia.
Anuar Nik Mahmud (Nik). (2001). Tuntutan Filipina ke Atas Borneo Utara. Selangor:
Universiti Kebangsaan Malaysia.
Ismail Hussein (Datuk), Hashim Hj Wan Teh (Wan), Ghazali bin Shafie (Tan Sri Dato).
(1997). Tamadun Melayu Menyongsong Abad ke Dua Puluh Satu. Selangor:
Universiti Kebangsaan Malaysia.
Kassim Thukiman. (2002). Malaysia Perspektif Sejarah dan Politik. Johor Bharu:
Universiti Teknologi Malaysia.
Muhammad Yusoff Hashim. (1989). Kesultanan Melayu Melaka. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ramlah Adam. (1992). Dato Onn Jaafar Pengasas Kemerdekaan. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia.
Yusoff Iskandar. (2005). Parameswara Pengasas Empayar Melaka. Kuala Lumpur:
Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia.
Zainal Abidin Abdul Wahid. (1990). Kerajaan Melaka Dalam Hubungan Antarabangsa.
Jebat 18, 71-78. Capaian 29 Mac 2012. http://journalarticle.ukm.my/466/1/1.pdf
Perjanjian dan Dokumen Lama Malaysia. (2010). Kuala Lumpur: Institut Terjemahan
Negara Malaysia.

16

You might also like