You are on page 1of 5

y15

PERANAN WARTAWAN DAN SASTERAWAN


DALAM
MENGGERAKKAN
SEMANGAT
NASIONALISME
Kewujudan media massa seperti akhbar dan majalah mempunyai peranan yang besar
dalam menggerakkan semangat nasionalisme di Tanah Melayu kerana melalui akhbar
dan majalah, idea-idea nasionalisme dan perasaan anti penjajah dapat disebarkan
kepada rakyat jelata walau di mana pun mereka berada.
Antara akhbar yang berperanan besar dalam menggerakkan semangat
nasionalisme masyarakat sebelum terbentuknya Malaysia ialah akhbar Al-Imam.
Akhbar ini merupakan saluran penyebaran yang digunakan untuk menyebarkan idea
pembaharuan Kaum Muda iaitu golongan pelajar yang menuntut di Universiti Al-Azhar
yang juga dikenali sebagai Gerakan Islah.
Akhbar al-Imam ini diterbitkan di Singapura pada tahun 1906 dan telah
dihentikan penerbitannya pada tahun 1908. Tujuan al-Imam diterbitkan adalah untuk
mengingatkan mereka yang lalai dan menunjukkan mereka yang sesat dan
menyampaikan suara yang menyeru dengan kebaikan.
Antara saranan-saranan yang dikemukakan oleh akhbar Al-Imam ialah menyeru
orang Melayu berpegang kepada al-Quran dan hadis, menekankan pentingnya ilmu
pengetahuan untuk mencapai kemajuan, menitik beratkan pengetahuan sejarah kerana
banyak iktibar yang boleh dipelajari, menasihati ibu bapa supaya memberikan
pendidikan yang sempurna kepada anak-anak, menggesa kaum wanita diberi peluang
mendapatkan pendidikan dan yang terakhir ialah mengetepikan adat resam dan
kepercayaan karut yang boleh menghalang kemajuan.
Selepas majalah Al-Imam dihentikan penerbitannya, semangat dan cita-cita
yang diperjuangkannya diteruskan oleh akhbar lain seperti Neracha, Al-Ikhwan,
Pengasuh dan Saudara. Al-Imam telah memberikan kesan yang besar dalam
perkembangan pemikiran orang Melayu.
Idea pembaharuan Kaum Muda melalui akhbar Al-Imam ini mendapat tentangan
daripada golongan yang dikenali sebagai Kaum Tua. Kaum Tua ini terdiri daripada
golongan ulama dan pengawal agama yang tidak dapat menerima idea Islah yang
dipelopori oleh Kaum Muda. Golongan ini berpegang kuat kepada adat dan agama
Islam. Walau bagaiamanapun, perkara yang menimbulkan pertelingkahan antara
mereka hanyalah perkara kecil yang tidak melibatkan perkara pokok dalam agama

Islam. Kaum Tua telah menerbitkan akhbar Suara Benar dan Lidah Benar untuk
menentang idea Kaum Muda.
Gerakan Islah ataupun Kaum Muda ini telah menimbulkan kesedaran di
kalangan intelektual Melayu yang kemudiannya telah menyemarakkan kesedaran
semangat kebangsaan pada tahun 1930-an. Golongan intelektual ini terdiri daripada
golongan lepasan Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI).
Golongan intelektual ini telah berganding bahu dengan golongan cerdik pandai
agama bagi menyumbangkan tenaga dan fikiran untuk memajukan orang Melayu dalam
bidang ekonomi dan usaha ini telah berjaya menimbulkan kesedaran dalam diri
masyarakat ketika itu untuk membebaskan Tanah Melayu daripada jajahan British.
Antara tokoh nasionalis tersebut ialah Harun Aminnurashid yang merupakan tokoh
pejuang kebangsaan lepasan MPSI. Beliau merupakan seorang penulis yang aktif
dalam penulisan puisi bertemakan semangat nasionalisme.
Pada tahun-tahun 1930-an juga, tokoh-tokoh seperti Dato Onn Jaafar dan
Abdul Rahim Kajai telah muncul. Tulisan mereka telah membangkitkan kesedaran
untuk memajukan diri dan bersatu padu, di samping mengkritik dasar-dasar British yang
menekan orang Melayu.
Kebanyakkan akhbar, majalah dan novel yang dihasilkan pada ketika itu adalah
untuk menyedarkan dan seterusnya memajukan bangsa Melayu. Isu-isu yang
dibangkitkan dalam akhbar dan majalah juga adalah dari segi sosial, pendidikan,
ekonomi dan politik.
Dari segi sosial, hal-hal yang dibangkitkan adalah berkaitan :
Memajukan pendidikan tinggi orang Melayu.
Mengalakkan pendidikan untuk anak perempuan.
Menyeru orang Melayu supaya meninggalkan sifat negatif seperti memilih kerja dan
tidak mahu berusaha.
Menggalakkan tabungan dalam kalangan orang Melayu untuk pendidikan anak-anak.
Mementingkan kemahiran tradisional orang Melayu seperti pertukangan dan kerja
tangan.
Mementingkan pendidikan bahasa Inggeris untuk kemajuan orang Melayu.
Meminta taraf sekolah Melayu dibaiki dengan memberiknnya nilai ekonomi.
Memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam pentadbiran British.
Mengekalkan nilai-nilai baik masyarakat Melayu.
Dari segi ekonomi pula, isu-isu yang dibangkitkan ialah :
Menggalakkan penubuhan syarikat kerjasama.
Mengurangkan kemasukan pedagang luar yang boleh mengancam ekonomi tempatan.

Menggalakkan orang Melayu terlibat dalam aktiviti ekonomi.


Melarang orang Melayu daripada menjual tanah mereka.
Menyeru orang Melayu supaya berjimat cermat.
Meminta British mengadakan kampung khas orang Melayu di Kuala Lumpur.
Dari segi politik pula, isunya ialah :
Mengkritik British kerana mengurangkan kuasa raja-raja Melayu.
Mengkritik para pembesar dan raja-raja Melayu kerana tidak melaksanakan kemajuan
kepada masyarakat Melayu.
Menolak dasar pilih kasih British dalam pentadbiran kerajaan.\
Menuntut diadakan Malay Administrative untuk melindungi orang Melayu dalam
perkhidmatan kerajaan.
Menyeru orang Melayu di seluruh Tanah Melayu supaya bersatu dalam sebuah
pertumbuhan kebangsaan.
Menentang tuntutan orang luar terhadap politik tempatan.
Majalah juga memainkan peranan yang penting dalam membangkitkan semangat
nasionalisme penduduk Tanah Melayu. Sehingga tahun 1940-an, terdapat 120 buah
majalah pelbagai corak telah diterbitkan. Perkara yang difokuskan oleh majalah melalui
rencana dan puisi yang diterbitkan ialah persoalan untuk memajukan bangsa Melayu
dan kebanyakkannya menyentuh mengenai isu kemajuan bangsa dalam bidang
pendidikan, ekonomi, bahasa, sastera dan politik.
Majalah terawal di Tanah Melayu ialah Majalah Pengasuh yang diterbitkan pada
tahun 1918. Majalah ini telah membangkitkan isu-isu seperti soal pentafsiran Islam
yang progresif bagi kemajuan ummah, galakan pendidikan dalam kalangan orang
Melayu, memperluaskan ilmu dalam segala bidang, pentafsiran terhadap persoalan
orang Islam dan juga menggesa orang Melayu menjauhkan diri daripada sifat buruk.
Pada tahun 1924, majalah Guru telah diterbitkan dan pengarangnya terdiri daripada
Muhamad Dato Muda Linggi, Yusuf Ahmad dan Mohd Sidin Rashid. Isu-isu yang
dibangkitkan oleh majalah Guru ialah :
Memberi pendidikan yang secukupnya kepada anak-anak Melayu.
Menyeru perpaduan dalam kalangan orang Melayu.
Meniupkan semangat cinta akan Negara dan menentang penjajahan.
Memperbaiki taraf hidup orang Melayu.
Memajukan bahasa dan sastera Melayu.
Menggalakkan perpaduan dalam kalangan guru sebagai pemimpin bahasa.
Pada tahun 1930 pula, majalah Bulan Melayu telah diterbitkan oleh Zainon
Sulaiman. Pelbagai isu telah dibincangkan dalam majalah ini dan kebanyakan isu

tersebut adalah berkenaan dengan wanita. Antara isu-isu tersebut ialah menggalakkan
perpaduan dalam kalangan guru perempuan Melayu Johor dan juga menggalakkan
wanita mendapat pendidikan untuk kemajuan diri. Selain itu majalah Bulan Melayu juga
mendorong wanita menjaga kesopanan dengan nilai-nilai Islam dan budaya timur serta
menggalakkan wanita menjadi obor untuk memajukan bangsa.
Penulisan novel di Tanah Melayu bermula pada awal abad ke-20 dan telah menjadi
semakin rancak pada tahun 1930-an. Penyebaran semangat nasionalisme dalam
kalangan masyarakat melalui penulisan novel merupakan usaha-usaha yang dijalankan
oleh para sasterawan dalam menyedarkan masyarakat ketika itu. Mesej-mesej tentang
semangat kebangsaan sangat jelas dalam karya-karya novel yang terhasil.
Antara novel-novel yang banyak menyampaikan mesej kesedaran bangsa ialah
novel Keris Melaka, Putera Gunung Tahan, Anak Mat Lela Gila serta novel Melor Kuala
Lumpur. Novel Keris Melaka merupakan novel yang dikarang oleh Ahmad Bakhtiar. Ia
bertemakan semangat perjuangan menentang penjajah Barat dan berkisar mengenai
sumbangan tokoh-tokoh Kesultanan Melayu Melaka seperti Hang Tuah. Ahmad
Bakhtiar telah menggunakan sejarah sebagai inspirasi dan pedoman untuk mendorong
semangat perjuangan bangsa bagi generasi muda ketika itu.
Novel Putera Gunung Tahan dan Novel Anak Mat Lela Gila merupakan hasil karya
penulis berbakat iaitu Ishak Haji Muhammad. Seperti kebanyakan pengarang sebelum
merdeka, Ishak menggunakan novel dan cerpen sebagai saluran untuk membakar
semangat orang Melayu dan menyedarkan mereka tentang kedudukan mereka yang
mundur dalam politik, ekonomi dan sosial. Sikapnya yang antipenjajah jelas
diluahkannya dalam novel dan cerpennya. Putera Gunung Tahan adalah sebuah novel
politik yang bertujuan untuk meniup semangat cinta akan tanah air, semangat ingin
hidup maju dan bebas daripada belenggu penjajahan. Di dalam novelnya ini juga beliau
cuba untuk menerapkan dalam diri anak muda rasa bangga terhadap kebolehan sendiri
serta rasa tanggungjawab untuk menjaga maruah bangsa walaupun terpaksa
menggadai soal cinta. Novelnya yang berjudul Anak Mat Lela Gila pula
menggambarkan keadaan masyarakat Melayu dengan kisah-kisah hasil pengalaman
beliau mengembara ke seluruh negara. Watak-wataknya melontarkan sindiran terhadap
sikap tidak adil penjajah Inggeris dan pembesar-pembesar tanah air terhadap
masyarakat Melayu. Melalui novel Anak Mat Lela Gila, beliau cuba menerapkan
semangat dalam diri anak muda ketika itu untuk menentang penjajah serta menghargai
warisan bangsa.
Melor Kuala Lumpur pula merupakan sebuah novel hasil karya Harun Aminurrashid
yang bertemakan kepentingan pendidikan moden dalam kalangan wanita Melayu.

Dalam novel ini juga, beliau menyeru untuk membuang pandangan negatif yang boleh
menghalang kemajuan bangsa.

You might also like