You are on page 1of 2

Harus Melabur Dalam ASN dan ASB

Jawatankuasa Fatwa (JKF) Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia
yang bermuzakarah bagi kali ke-80 bermula pada 1 hingga 3 Februari 2008 telah
memutuskan bahawa Hukum melabur dalam Skim Amanah Saham Nasional (ASN)
dan Skim Amanah Saham Bumiputra (ASB) serta dividen atau bonus yang diterima
adalah harus.
Oleh itu, umat Islam boleh menyertai skim pelaburan ini dan tidak perlu merasa
ragu-ragu terhadap status pelaburan yang telah dibuat serta dividen atau bonus yang
telah diterima.

Muzakarah kali ini juga turut membincangkan hukum membangunkan tanah wakaf
khas dengan pembangunan selain daripada niat asal pewakaf. Jawatankuasa telah
memutuskan bahawa membangunkan tanah wakaf khas khususnya wakaf masjid
atau surau dengan tambahan projek pembangunan serta beberapa penambahbaikan
bagi menjamin harta wakaf tersebut kekal adalah diharuskan oleh Islam dengan
syarat pembangunan sepertimana niat asal pewakaf dikekalkan.Walaubagaimanapun
tambahan pembangunan ini hendaklah berdasarkan keperluan yang ditentukan oleh
pemerintah dan tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Berkaitan dengan isu orang Islam menggunakan barangan yang mempunyai lambang
agama lain seperti salib, Jawatankuasa memutuskan bahawa sekiranya lambanglambang tersebut dinyatakan secara zahir dan jelas, umat Islam adalah dilarang
menggunakannya. Perkara seumpama ini adalah ditegah oleh Islam kerana ia boleh
mendatangkan mudharat pada akidah umat Islam.

Seramai 15 orang ahli Jawatankuasa hadir pada muzakarah kali ini dan sebanyak
sebelas (11) kertas kerja telah dibincangkan pada muzakarah kali ini.

Turut hadir pada muzakarah ini ialah Timbalan-timbalan Ketua Pengarah JAKIM,
Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Pengarah Bahagian Keurusetiaan dan
Perhubungan Antarabangsa JAKIM. Muzakarah kali ini juga turut menjemput pihak
Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan
Perdana Menteri untuk memperjelaskan isu ASN dan ASB.

Sementara itu, Pengerusi JKF, Prof. Dato' Dr. Abdul Shukor bin Hj. Husin dalam
ucapan aluannya berharap Jawatankuasa ini akan berperanan dengan lebih berkesan
agar impak dari penubuhan Jawatankuasa dapat dimanfaatkan oleh semua pihak dan
akan sentiasa menjadi rujukan seluruh masyarakat Islam dalam dan luar negara.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada Sahibus Samahah Dato' Hj.
Mohamad Shukri bin Mohamad yang baru dilantik sebagai Mufti Kerajaan Negeri
Kelantan berkuatkuasa pada 1 Januari 2008 menggantikan Y. Bhg. Dato' Hj.
Hasbullah bin Mohd. Hassan. Jawatankuasa juga merakamkan setinggi-tinggi
penghargaan kepada Y. Bhg. Dato' Hj. Hasbullah bin Mohd. Hassan di atas
sumbangan besar yang telah beliau berikan kepada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan
dan seluruh umat Islam.

Ahli-ahli Jawatankuasa turut diraikan pada Majlis Makan Malam yang dianjurkan oleh
Jabatan Mufti Terengganu dan telah dihadiri oleh Y.B. Dato' Rosol bin Wahid,
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam Hadhari Negeri Terengganu.

Muzakarah kali ke-80 ini diakhiri dengan Majlis Sidang Media pada 3 Februari 2008
dan telah mendapat kerjasama yang amat baik daripada Kerajaan Negeri Terengganu
selaku Tuan Rumah kali ini.

You might also like