You are on page 1of 7

ISL MINGGU 1 : Peristiwa 13 Mei 1969

Peristiwa 13 Mei 1969 merupakan satu titik hitam yang telah mencacat keamanan dan
keharmonian rakyat yang berbilang kaum di negara ini. Tiada siapa yang dapat menyangka api
kebencian tersebut bertukar menjadi tragedi yang sukar dilupakan. Walau bagaimanapun, bibitbibit perpecahan kaum ini wujud sejak negara mencapai kemerdekaan lagi disebabkan
ketidakpuasan hati kaum lain terhadap hak-hak keistiemwan orang Melayu seperti yang
termaktub dalam perlembagaan terutamanya yang menyentuh mengenai bahasa dan pelajaran.
Rentetan daripada ketidakpuasan hati itu, maka setiap perkara yang menjurus kepada hak-hak
keistimewaan orang Melayu dipertikaikanm khususnya oleh kaum Cina. Perkara ini semakin
ketara apabila di dalam kempen Pilihanraya 1969, tanpa menghiraukan sensitiviti serta isu-isu
yang boleh mencetuskan kontroversi di kalangan kaum, orang-orang Cina telah mencabar hakhak keistimewaan orang Melayu seperti yang termaktub di dalam Artikel 153 Perlembagaan
Malaysia. Keadaan kempen yang tidak dikawal ini merupakan punca tercetusnya peristiwa 13
Mei 1969.
Proses demokrasi yang bergelora
Pada 10 Mei 1969, pilihanraya telah diisytiharkan di Semenanjung Malaysia yang memberi
keyakinan kepada parti UMNO tetapi tanpa disedari ia telah mengancam proses demokrasi.
Kerenggangan penyokong-penyokong berbangsa Cina mula dirasai dan penguasaan UMNO di
dalam kekuasan politik Persekutuan dan juga Negeri mula terlucut; kapal layar Parti Perikatan,
yang terdahulunya sentiasa berada di hadapan di dalam setiap pilihanraya, telah mula kelihatan
mengharungi lautan yang bergelora dan di peringkat inilah kedudukan penguasaan UMNO di
dalam kerajaan mula goyah dan bermulalah krisis keyakinan di dalam proses demokrasi itu
sendiri.
Orang-orang Melayu merasakan bahawa kuasa politik Parti itu telah berganjak dari
pihak Parti Perikatan ke Parti Pembangkang; kepada pendatang-pendatang minoriti yang lain.
Jika dibandingkan dengan jumlah kerusi yang diperolehi di dalam pilihanraya Persekutuan
seterusanya, pihak pembangkang memperolehi 23 kerusi, melebihi satu per lima daripada
jumlah kuota kerusi Parlimen yang ditetapkan kepada negeri-negeri di dalam Persekutuan.
Kekecewaan mula timbul bukan sahaja terhadap keputusan pilihanraya 1969 tetapi
terhadap proses demokrasi itu sendiri. Komuniti bukan Melayu, akibat konsensi dan kompromi
yang diberikan oleh orang Melayu sendiri, kini memperolehi sebahagian daripada kuasa politik
negara. Pada pagi Isnin, 12 Mei 1969, Dr. Tan Chee Khoon yang telah memenangi kerusi
dengan kelebihan undi yang besar dalam kawasan Batu, Selangor telah meminta kbenaran
pihak polis untuk mengadakan satu perarakan kemenangan oleh ahli-ahli parti Gerakan.
Kebenaran dan permit telah dikeluarkan oleh pihak polis. Sebaliknya DAP tanpa mendapat
kebenaran pihak polis, turut membuat keputusan untuk mengadakan perarakan yang sama
pada 13 Mei 1969. Justeru DAP telah turut sama dengan perarakan yang dibuat oleh Gerakan.
Gabungan dua parti pembangkang yang selama ini diibaratkan sebagai api di dalam serkam
mula mengkucar-kacirkan keadaan. Sebagai tindak balas, pemuda-pemuda Melayu UMNO
mula bertindak untuk mengadakan satu perarakan UMNO bagi membalas perarakan Parti DAP
dan Gerakan sebelum ini.

Ketegangan kaum
Kejadian mengamuk secara beramai-ramai yang berlaku di Kuala Lumpur berpunca dari
khabar-khabar angin yang merebak bagikan api. Tanggapan bahawa perubahan akan berlaku
terhadap konfigurasi kuasa politik dan keraguan di kalangan masyarakat Melayu telah
mengeruhkan lagi keadaan yang kian genting. Kemarahan orang-orang Melayu khasnya
mereka yang menyokong parti UMNO telah ditujukan kepada orang-orang Cina dan India yang
dianggap pembelot yang telah meninggalkan Parti Perikatan, parti yang mengabungkan ketigatiga kaum Melayu, Cina dan India.Pembelotan ini telah meletakkan kerajaan negeri yang
diterajui oleh UMNO di dalam keadaan yang genting dan terumbang ambing.
Apa yang jelas, lokasi kejadian 13 Mei 1969 tidaklah pula secara kebetulan. Negeri
Selangor merupakan sebuah negeri di Semenanjung di mana naluri dan semangat Melayu
UMNO telah lama bertapak. Ketidaktenttuan kestabilan politik di negeri itu juga kian meruncing
akibat keputusan pilihanraya, khabar-khabar angin yang dipolitikkan selepas pilihanraya serta
sambutan bagi meraikan kemenangan di dalam pilihanraya oleh parti pembangkang.
Berdasarkan kepada keputusan pilihanraya yang asal, tidak terdapat kemungkinan, dari segi
teknikalnya, akan tertubuhnya kerajaan baru yang dipimpin secara mutlak oleh pihak parti
pembangkang.
Kegagalan law and order
Walaupun wujudnya maklumat-maklumat serta berita yang hangat diperkatakan bahawa akan
berlakunya kekacauan dan rusuhan di antara kaum, ia tidak dimaklumkan kepada pihak tentera.
Mereka masih berkeyakinan bahawa tidak akan berlaku perkara-perkara yang serius. Beberapa
hari semasa berlakunya kekacauan, tidak terdapat sebarang bentuk perisikan yang sebenar
yang disampaikan ke pihak pemerintah atau pegawai tentera yang terlibat secara fizikal di
kawasan tanggung jawab. Ke semua jentera perisikan kelihatan dibekukan selama tempoh
berlakunya kekacauan.
Penugasan utama pasukan tentera pada sekitar akhir tahun 60a bukan sahaja dalam
menentangan ancaman dan kegiatan bersenjata oleh Parti Komunis Malaya (PKM). Di samping
tu, tentera juga memainkan peranan dan sentiasa bersiap sedia dalam membantu pihak Polis
mengawal ketenteraman awam. Penglibatan tentera dalam ketenteraman awam teruji apabila
diberi tanggungjawab oleh negara untuk mengawal rusuhan kaum yang berlaku pada 13 Mei
1969.
Walaupun mengawal ketenteraman awam menjadi tugas sekunder,namun pihak tentera
telah membuktikan bahawa pasukan ini berkeupayaan untuk melaksanakan tugas yang
diberikan dengan pantas dan jayanya tanpa perlu mengakibatkan kehilangan nyawa dan
merosakkan harta benda yang berterusan. Akhirnya pada malam itu POPO telah diisytiharkan
di Contigent Control Center (CCC) dan diikuti dengan pengisytiharkan perintah berkurung.
Ini bermakna dengan rasminya pihak tentera diberi kuasa polis yang luas di bawah undangundang negara untuk menjalankan tugas bagi menyelamatkan keadaan. Operasi mengawal
ketenteraman oleh pihak tentera semasa 13 Mei 1969 diberi gelaran Op Gerhana manakala
pihak polis menggunakan gelaran Op Tenteram.

Majlis Gerakan Negara ( MAGERAN)


Melihat kepada keadaan yang kian meruncing, SPB Yang di Pertuan Agong di atas nasihat
Perdana Menteri telah mengisytiharkan keadaan darurat di seluruh negara.Pengisytiharkan
tersebut telah diwartakan dan berkuatkuasa pada 16 Mei 1969 di bawah Ordnan No.2 ( Kuasakuasa perlu) Darurat 1969 P.U.(A) 149.
Dengan pengisytiharan tersebut system kerajaan berparlimen telah dibubarkan. Sebagai
caretaker pentadbiran negara selepas Parlimen dibubarkan, Timbalan Perdana Menteri Tun
Abdul Razak Dato Hussein telah dilantik sebagai Pengarah MAGERAN pada 17 Mei 1969
untuk Perlembagaan Fasal (2) Perkara 150. Untuk melaksanakan tugas-tugas di bawah
Ordinan ini, beliau dibantu oleh anggota-anggota majlis yang terdiri daripada pemimpinpemimpin politik, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan pegawai-pegawai tinggi Polis dan
Tentera.
MAGERAN yang dibentuk selepas 13 Mei 1969 bertujuan bagi memulihkan kestabilan
dan ketenteraman awam khususnya untuk mengembalikan suasana keharmonian dan
kepercayaan antara kaum di seluruh negara. Di antara fungsi-fungsi utama MAGERAN ialah ;
a) mengembalikan keamanan dan undang-undang Negara
b) menentukan pentadbiran yang licin dan sempurna
c) mengembalikan suasana keharmonian dan kepercayaan antara kaum di seluruh negara.
Bagi melaksanakan tugas-tugas ketenteraman awam yang dipertanggungjawabkan kepada
pihak tentera, Jen (B) Hj. Tun Ibrahim Ismail telah dilantik sebagai Ketua Pengawai Kerja yang
menjadi pengerak utama dalam kegiatan urusetia MAGERAN.
Tugas-tugas utama yang dilakukan oleh pihak tentera
Dalam menangani ketenteraman awam semasa Peristiwa 13 Mei 1969 berlaku, Pasukanpasukan tempur dan bantuan tempur serta Pasukan Wataniah telah diatur gerakkan untk
membantu mengawal ketenteraman Op Gerahana , Pasukan-pasukan yang memainkan
peranan penting dalam battalion 2 RAMD, 5 RAMD dan 7 RAMD.
Seramai 3,301 orang pegawai dan anggota tentera yang telah diatur gerakkan bagi
mengawal keadaan huru hara di seluruh Semenanjung Malaysia dan dari jumlah tersebut,
seramai 3,076 orang ditugaskan di kawasan sekitar Kuala Lumpur dan selebihnya ditugaskan di
kawasan Klang dan Port Swettenhem. Tugas-tugas utama yang dijalankan oleh pasukan
tentera dalam menangani kekacauan semasa peristiwa 13 Mei 1969 di kawasan Kuala Lumpur
adalah seperti berikut;
1. Rondaan. Rondaan dibuat sama ada secara berjalan kaki atau berkenderaan dan tujuan
rondaan dilakukan adalah:
2. Memastikan Keselamatan. Dengan kehadiran tentera bersenjata bertujuan untuk
mengawal keadaan dapat mententeramkan orng ramai. Apabila orang ramai melihat
kehadiran pasukan tentera mereka mulai merasa selamat. Penglibatan ketenteraman
awal telah terbukti dan mereka melakukan kerja tanpa sebarang kepentingan atau
menyebelahi mana-mana pihak.
3. Memastikan Tiada Pelakuan Jenayah. Rondaan yang dilakukan juga bertujaun untuk
mengelakkan orang ramai dari melakukan pecah rumah, mencuri, menceroboh dan
membakar rumah
atau bangunan terutama rumah dan bangunan kedai yang
ditinggalkan kosong oleh penghuninya.

4. Mengawal Keadaan. Mengawal kenteraman orang ramai dan memastikan tiada


sebarang kejadian huru-hara dan pergaduhan berlaku dengn mengasingkan kaum dari
memasuki kawasan majoriti kaum yang lain di samping menguatkuasakan perintah
berkurung bagi mengelakkan orang ramai dari berkeliaran.Kawasan-kawasan sensitif
yang mana rondaan oleh pasukan tentera dilakukan adalah seperti berikut;
(a) Sekitar kawasan Kg. Baru
(b) Sekitar kawasan Datuk Keramat
(c) Sekitar Chow Kit melalui Jalan Ipoh, Jalan Raja Laut dan kawasan
persekitarannya.
(d) Kawasan Pusat Bandar Kuala Lumpur ( City Center) iaitu di sekitar Jalan
Bandar dan Parlimen.
(e) Sekitar kawasan Jinjang dan Kepong
(f) Di sekitar kawasan Salak South ( sekitar Balai Polis Salak South), kawasan
Pudu, Jalan Klang Lama dan Petaling Jaya.
(g) Mendirikan Road Congril Points (RCPs) dan kawalan lalu lintas. Tempat
tempat yang mana RCP telah diadakan adalah;
(i)
Bulan Besar di Chow Kit ( sekarang terdiri dari lampu-lampu
isyarat di persimpangan Jalan Ipoh Jalan Pahang dan Jalan
Raja Muda Abdul Aziz ).
(ii)
Edinburgh Circus ( Bulatan Edinburgh) adalah satu bulatan
besar berhampiran dengan Dewan Bahasa dan Pustaka
sekarang.
Tujuan diadakan RCP adalah:
1. Kawalan orang ramai menyemak dan mencegah kumpulan orang yang tidak
berkenaan dari memasuki mana-mana kawasan yang boleh menimbulkan huru-hara.
2. Menjaga keamanan kawasan.
3. Sebagai amaran awal mengenai kehadiran perusuh.
4. Mengurus, mengawal dan menyelamatkan sesuatu kawasan ( dominate area). Selain
dari RCP, kawalan lalu lintas juga diadakan dengan memeriksa orang yang lalu, barangbarang yang dibawa dalam kenderaan dan menyemak siapa yang memasuki dan keluar
dari sesuatu kawasan.
Light Strike (LSF). Selepas beberapa hari kemudian, pasukan telah dibekalkan dengan tidak
kurang dari 12 buah landrover. Tentera telah menubuhkan kumpulan yang diberi panggilan LSF,
yang mana anggot akan meronda dan bergegas serta bertindak pantas ke mana-mana tempat
yang diperlukan bantuan.
Tugas tugas Sampingan Pasukan Tentera
Selain dari tugas-tugas utama tentera yang telah diberi kausa polis yang luas di bawah
undang-undang negara bagi menjalankan tugas untuk mengawal dan menyelamatkan keadaan
kacau bilau yang berlaku, tugas-tugas sampingan yang dilakukan oleh pasukan tentera adalah
seperti berikut;
a) Pengiring VIP. Sebagai tugas pengiring bagi orang-orang kenamaan ini hanya dilakukan
bila diperlukan sahaja.

b) Pengedaran Bahanan Makanan. Pusat pengedaran makanan berada di sekolah-sekolah


seperti di Sekolah Kg. Baru dan juga di masjid-masjid. Sub unit yang berkawal ke rumah
dan kepada individu terutama bagi mereka yang tidak mempunyai makanan. Sebanyak
tujuh pusat bantuan makan telah dibuka iaitu di bulatan Sulaiman Club, Kampung Baru,
Dewan Perhimpunan Cina, Sekolah Kebangsaan Datuk Keramat; Dewan Orangramai
Setapak, Sekolah Aminuddin Baki, Kampung Pandan; Sekolah Menengah Kampung
Kerinchi dan Sekolah Jalan Maxwell. Kesemua pusat bantuan makanan ini telah ditutup
pada 26 Mei 1969 dan orang ramai yang masih memerlukan bantuan makanan
dikehendaki menghubungi Pejabat Kebajikan Masyarakat di Jalan Brickfields.
c) Pemindahan Pelarian. Beratus ratus orang mengambil pelindungan di masjid ketika
kekacauan berlaku, kebanyakannya orang-orang luar dari Kampung Baru. Masjid
dijadikan tempat berlindung dan mendapat bekalan makanan dan minuman. Berpuluhpuluh kenderaan 3 ton telah digunakan untuk memindahkan ke semua pelarian tersebut,
di antaranya ke kawasan Kg. Pandan.
d) Aktiviti Menyelamat dan Perlindungan. Antara contoh aktiviti menyelamat dan bantuan
perlindungan yang telah dilakukan oleh anggota Batalion 5 RAMD adalah seperti
berikut:
(i) Subunit di Kg. Baru diberitahu mengenai terdapat dua orang perempuan Cina tua
yang bersembunyi di bawah rumah mereka tanpa makan dan minum selama hampir
dua atau tiga hari. Sub unit telah membawa keluar wanita tersebut dan diserahkan
kepada polis untuk perlindungan mereka seterusnya dan dibawa keluar dari Kg.
Baru.
(ii) Balai polis di Salak South diancam oleh perusuh, dan sub unit diarahkan untuk
membantu dan meredakan keadaan.
(iii) Kompeni D telah memberi perlindungan kepada beberapa orang pekerja Cina
sebuah syarikat pembinaan di Kampung Datuk Keramat.
(iv) Pemindahan pekerja-pekerja sebuah kedai makan yang terkepung di Jalan Ipoh.
Tentera tidak memihak kepada sesuatu pihak atau bangsa sahaja. Mereka
menjalankan tugas tanpa mengira diskriminasi kaum atau agama.
Kuala Lumpur Kembali Tenang
Pada minggu pertama, keadaan mulai tenang di mana orang ramai agak berani untuk keluar
rumah tetapi bersikap berjaga-jaga mulai keluar rumah. Kesemuanya ini dengan adanya
rondaan dan kehadiran tentera sentiasa untuk memberi keyakinan. Pasukan 5 RAMD adalah
kumpulan terakhir penglibatan tentera yang telah ditugaskan untuk menangani ketenteraman
awam iaitu selama hampir tiga bulan dan kemudian menyerahkan tugas dan kawasan gerakan
kepada Police Field Force (PFF) pada bulan Ogos 1969. Tindakan yang dilakukan oleh tentera
bagi menyatupadukan penduduk berbilang kaum.
Taklimat Pemimpin Kaum. Tentera ketika itu memainkan peranan sebagai orang
perantaraan Duta yang cuba menguruskan perjumpaan di antara orang Melayu dan Cina
khasnya di kalangan pemimpin-pemimpin kaum penduduk-penduduk ke dua-dua kawasan iaitu
Kampung Baru dan Chow Kit. Pemimpin-pemimpin kaum diberi taklimat dan penjelasan untuk
memulihkan keadaan kepada sediakala dan mengikis segala perasaaan dendam mendendam.
Perjumpaan Muhibbah. Perjumpaan muhibbah anara pemimpin masyarakat dan pendudukpenduduk ke dua kaum telah diuruskan oleh pihak tentera. Tujuannya adalah untuk

menyatupadukan dan berbaik-baik semula orang ramai yang berbalah dan menghilangkan
prasangka buruk semua kaum terhadap kaum lain.
Ketua Kaum Kampung Baru. Ketua-ketua kaum Malaya di Kampung Baru pada masa itu
telah memainkan peranan mereka untuk mententeramkan keadaan dengan berhubung rapat
dengan pasukan tentera serta memberi maklumat-maklumat tertentu dan menghadiri
perjumpaan-perjumpaan muhibbah.
Sikap anggota tentera yang terpuji
Tiada siapa yang dapat mengagak tragedi rusuhan antara kaum ini akan berlaku. Semua
jentera kerajaan telah terperangkap pada awalnya dan tidak dapat membuat apa-apa. Yang
jelas, pemimpin pemimpin dan anggota pasukan yang ditugaskan bagi mengawal keadaan
telah menjalankan tugas mereka dengan baik. Prestasi anggota dari Pegawai Memerintah
hingga ke peringkat ketua seksyen begitu tenang dan tidak tergopoh gapah dalam menjalankan
tugasnya. Mereka telah mendapat latihan yang baik dan bersikap adil dan bukan bertujuan
untuk membalas dendam. Bermula dari anggota di barisan hadapan iaitu rifleman hingga ke
anggota pasukan belakang di Kem Sungai Besi, mereka telah memainkan peranan serta
tanggungjawab mereka masing-masing dengan baik dan berkesan. Antara lain anggota tinggal
belakang turut memberi bantuan seperti menyediaka makanan untuk dihantar kepada anggota
barisan hadapan di peringkat awal peristiwa 13 Mei 1969.
Anggota tentera telah menjalankan tugas tanpa berat sebelah. Mereka telah
menyelamat, menjaga keselematan orang ramai dan harta benda serta menembak penjenayah
dan perusuh tanpa mengira kaum. Seebagai contoh, pada satu etika di dalam satu sekatan
jalanraya, pemeriksaan dilakukan ke atas semua kenderaan, orang dan barang yang dibawa.
Subunit telah menahan sebuah kereta di tempat pemeriksaan dan seorang dari dalam kereta
telah menganalkandiri seabgai Yang Berhormat. Anggota tersebut lalu bercakap Yang
Berhormat ke bukan Yang Berhormat itu saya tidak tahu, saya hanya menjalankan tugas saya
untuk memeriksa, selepas periksa boleh jalan.Peristiwa ini menunjukkan bahawa anggota yang
menjalankan tugas tidak berat sebelah dan mengira kaum mahu pun pangkat.
Sepanjang peristiwa 13 Mei 1969, anggota telah melaksanakan tugas tidak mengira
keselamatan diri, keadan tempat, cuaca, masa dan tenaga serta keletihan. Pada hari pertama
dan kedua ( 13 dan 14 Mei 1969) mereka melupakan makan dan minum, anak dan isteri serta
keluarga dan melakukan kerja yang telah diberi demi berkorban untuk negara bertujuan untuk
menentukan keselamatan dan mententeramkan keadaan. Mereka mempunyai fikiran yang
tenang, misi yang jelas dan pengorbanan mereka telah menyelamatkan situasai dari menjadi
lebih parah.
Bekas Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Al Marhum Tunku Abdul Rahman
meletakkan tuduhan ke atas Parti Komunis dan elemen-elemen Kongsi Gelap Kaum Cina
sebagai penyebab kepada tercerusnya peristiwa 13 Mei 1969. Walau bagaimanapun, yang
nyata beberapa faktor yang lain boleh dikaitkan;
1. Perbezaan menginterprestasikan Perlembagaan oleh kaum bangsa Melayu dan bukan
Melayu
2. Keresahan satu bangsa dari kaum pendatang yang menentang peruntukan
Perlembagaan yang berhubung kait dengan hak istimewa orang Melayu serta martabat
bahasa Melayu ( terutama sekali di bawah Seksyen 152 dan 153 Perlembagaan) jika

dibandingkan dengan bahasa-bahasa lain. Selain dari itu perspektif politik pula, wujud
juga keengganan generasi muda bangsa Cina ketika itu untuk menerima tawaran yang
diberikan oleh pihak UMNO kepada pemimpin lama MCA dan keresahan ini dilanjutkan
lagi dengan apa yang mereka sifatkan sebagai Malaysia untuk orang Melayu, sebuah
dasar yang dititikberatkan oleh Kerajaan Perikatan ketika itu.
Bagi orang-orang Melayu pula, wujud pula kekecewaan yang telah lama terpendam, mereka
merasakan diri mereka sebagai bumiputera yang jauh ketinggalan di dalam proses modenisasi
yang sedang berlaku di dalam negeri mereka sendiri. Mereka merasakan diri mereka
kelemasan ditenggelami oleh mereka yang bukan Melayu, dari segi jumlah penduduk mahu
pun di dalam bidang ekonomi. Mereka perlu mempertahankan hak dan warisan sepertimana
yang termaktub di bawah Perlembagaan.
Penutup
Tidak dinafikan bahawa yang nyata, rusuhan ini adalah berpunca daripada polarisasi
perkauman ( ethnic polarisation) dan kemarahan orang Melayu serta rungutan yang berterusan
terhadap ketidakseimbangan sera pencapaian tahap ekonomi yang lemah. Keberkesanan pihak
tentera menjalankan tugas bagi mengawal keadaan kacau bilau serta huru-hara khususnya di
kawasan ibu kota mendapat pujian. Sekiranya pihak tentera lambat bertindak, berkemungkinan
keadaan menjadi tidak terkawal mengakibatkan ramai menjadi mangsa tercedera dan terbunuh
akibat perasaan marah yang membara dan sukar dibendung lagi ketika itu.
Peristiwa yang berlaku ini perlu dijadikan teladan kepada semua pihak, dan sebagai
rakyat yang cintakan keamanan, kita perlu menanganinya dari berlaku lagi pada masa akan
datang. Keamanan dan kestabilan negara bukan sahaja dipikul oleh pasukan keselamatan ,
khasnya pihak tentera, tapi oleh semua. Masyarakat majmuk perlu faham budaya dan adat
resam lain-lain bangsa. Pemimpin-pemimpin parti politik seharusnya jangan sesekali
mengambil peluang atas kedudukannya dan melaga-lagakan rakyat demi kepentingan peribadi.
Prinsip Rukun Negara yang diwujudkan selepas peristiwa 13 Mei perlu diamati dan dijiwai oleh
rakyat demi sejahteraan kita semua.
Rakyat jangan ambil mudah di atas keamanan yang sedang dikecapi kerana di sebalik
itu terdapat anasir-anasir yang sedang berusaha untuk memporak-perandakan keadaan.
RUJUKAN :
http://kbs-jb.blogspot.com/p/peristiwa-13-mei-1969.html
http://ms.wikipedia.org/wiki/Peristiwa_13_Mei
http://n9kini.com/tragedi-13-mei-satu-kronologi-yang-berdarah/
http://www.malaysiakini.com/news/67135

You might also like