You are on page 1of 4

Islam Dan Kedamaian :

Suatu Nilai Kemaafan


Oleh:
Mohammad Hashim Kamali
Kemaafan atau keampunan merupakan antara mekanisme yang terdapat di dalam
perbahasan teologi dan perundangan Islam. Sepertimana yang terdapat pada tradisi
lain, ia berperanan bagi melepaskan seseorang daripada sebarang hukuman,
tuduhan, liabiliti sivil, serta kesalahan dalam neraca agama. Hal yang sama dapat
juga dicapai dengan mengambil metod-metod yang lain seperti perdamaian,
perbicaraan, serta arahan kehakiman.
Dalam konteks teologi, al-Quran telah secara jelas memaklumkan kepada
orang Islam bahawa Allah SWT bersifat Maha Pengasih dan juga Maha Adil, namun
persoalannya ialah bagaimanakan perundangan Syarak mengimbangi antara keduadua objektif ini? Bagaimanakah masyarakat boleh bersikap belas kasihan dan
memberi kemaafan apabila sesuatu jenayah telah diperlakukan ke atas mereka?
Persoalan sebegini menimbulkan isu yang kadangkala menjangkaui persoalan
perundangan dan tidak mampu dihuraikan dengan tuntas dalam sebuah esai yang
pendek. Kondisi ekonomi, amalan kekabilahan, dan budaya kemodenan biasanya
akan menyerlahkan ketakutan terhadap sebarang kesalahan jenayah. Ini biasanya
dilaksanakan oleh individu atau kelompok yang menyeru kepada pendekatan yang
keras demi melindungi masyarakat daripada kejahatan yang terbabit.
Kemaafan di dalam al-Quran dan al-Sunnah
Afwa(kemaafan) ialah sebuah tema utama di dalam al-Quran serta mempunyai
kedudukan yang tinggi dalam penentuan nilai-nilai Islam, sehingga ia menjadi
subjek bagi lebih tiga puluh ayat di dalam al-Quran dan meliputi perbagai aspek
undang-undang, keagamaan, moral dan dimensi budaya. Al-Quran sentiasa
memberi pujian kepada pihak yang mengambil sikap untuk memberi kemaafan
kepada manusia, dan turut menyatakan bahawa `Afwa adalah sebuah menifestasi
kepada sifat ihsan (keindahan dalam melakukan kebaikan, Q. al-Baqarah, 2:178). Allah
SWT, menyatakan cinta dan kasih sayangNya terhadap pihak yang memberikan
kemaafan, tanpa menyimpan sebarang dendam, khususnya bagi mereka yang
sedang dalam keadaan terlalu berkeinginan membalas dendam (Q. Aal-`Imran,
31:34). Tindakan memberi kemaafan sepatutnya diberi penghargaan khususnya bagi
mereka yang mampu untuk membalas dendam ke atas seseorang namun memilih
untuk melepaskannya dan memberi kemaafan. Walau bagaimanapun, Islam juga
meletakkan prinsip keadilan dalam kedudukan yang tinggi serta memerlukan
kepada unsur ketegasan, khususnya bagi para pemimpin dan hakim. Keadilan dan
pengampunan sentiasa mengimbangi dan menguatkan antara satu sama lain
walaupun adakalanya kedua-dua elemen tersebut turut berkonflik. Al-Quran
menyatakan :
Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta
memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan
perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu

(dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan


mematuhiNya.
( Q. al-Nahl, 16:90)
Keadilan di dalam ayat ini telah digandingkan dengan aspek ihsan. Ini
menunjukkan bahawa neraca keadilan semata-mata tidak semestinya wajar
digunakan dalam semua keadaan, bahkan keadilan hendaklah dilengkapkan pada
keadaan-keadaan yang bersesuaian, dengan nilai ihsan, di dalam konteks ini iaitu
keampunan. Menghukum pihak yang melakukan kesalahan merupakan sebuah
peruntukan yang normal bagi Shari`ah, namun memberi kemaafan adalah lebih
digalakkan pada sesetengah keadaan. Aspek Islam yang kerap diabaikan walaupun
penting ini mampu untuk memainkan peranan yang penting dalam menangani
situasi selepas terjadinya konflik yang kini terdapat di Iraq dan Afganistan serta di
banyak negara yang mengalami fenomena kebangkitan rakyat (Arab-Spring). Proses
mencari pengakhiran bagi sesebuah konflik dan perdamaian menyerlahkan betapa
pentingnya pendekatan yang menggabungkan perlaksaan keadilan dan mekanisme
bagi mengimbanginya dengan elemen `afw dan ihsan. Al-Quran menyatakan :
Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah,
dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang
memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang
berbuat perkara-perkara yang baik,
(Q. Aal-`Immran, 3:34)
Pada bahagian lain, terdapat nas al-Quran yang menyentuh mengenai
kewajaran dan kesetaraan dalam hukuman, namun ayat tersebut menyatakan hal
demikian dengan menyarankan agar dilaksanakan kemaafan:
Oleh itu sesiapa yang melakukan pencerobohan terhadap kamu maka balaslah
pencerobohannya itu seimbang dengan pencerobohan yang dilakukannya kepada
kamu,
(Q. al-Baqarah, 2:194)
Dan (jika kamu hendak membalas maka) balasan sesuatu kejahatan ialah
kejahatan yang bersamaan dengannya; dalam pada itu sesiapa yang memaafkan
(kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin
oleh Allah (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah
tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim,
(Q. al-Shura, 42:40)
Kabilah-kabilah arab amat cenderung kepada elemen kekerasan, khususnya
dalam situasi apabila proses perbincangan dan perbicaraan gagal untuk
menyelesaikan sesebuah konflik. Keadilan menurut kabilah juga cenderung
mengalakkan tindakan membalas dendam. Justeru, al-Quran mengambil pendirian
empatik atas aspek kewajaran dan kesetaraan yang lebih cenderung terhadap
kemaafan. Terdapat ayat al-Quran yang lain dalam Surah yang sama turut
menyentuh mengenai perkara yang dianggap lebih baik berbanding kewajaran
dalam hukuman atau tindakan balas atas sesuatu kesalahan iaitu:

Dalam pada itu (ingatlah), orang yang bersabar dan memaafkan (kesalahan
orang terhadapnya), sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkaraperkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya),
(Q. al-Shura, 42:43)
Perdamaian dan kemaafan merupakan dua aspek yang terdapat dalam
elemen ihsan yang sangat terpuji sepertimana yang telah dinyatakan. Namun jika
seseorang memilih untuk bertindak balas, tindakan tersebut haruslah setara dengan
kecederaan yang telah dikenakan ke atasnya.
Al-Quran juga memerintahkan Rasulullah SAW untuk terimalah kemaafan,
dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang
yang jahil (yang degil dengan kejahilannya) (Q. al-Araf, 7:199). Jesteru, keampunan
dan kebaikan berganding antara satu sama lain, dan keduanya menjadi kayu ukur
bagi satu sama lain. Oleh itu, bagi mereka yang terjebak ke dalam kesalahan akibat
daripada kejahilan, seseorang individu dinasihatkan
supaya berpaling dan
mengelakkan dirinya daripada diprovokasi oleh tindakan mereka itu. Rasulullah
SAW sendiri memberi pujian yang tinggi terhadap sikap memberi kemaafan
sepertimana terdapat di dalam hadis :
Kemaafan tidak pernah gagal membawa kehormatan kepada seorang hamba
Allah apabila dia melakukannya (demi mendapat KeredaanNya),1
Rasulullah SAW juga menunjukkan contoh teladan dalam hal ini pada peristiwa
pembukaaan Kota Mekah pada tahun ke-8 Hijrah. Baginda SAW mengumumkan
pengampunan umum terhadap kesemua penduduk Mekah termasuk musuh-musuh
Baginda yang dahulunya telah melakukan kekerasan dan kezaliman ke atas
Baginda dan ahli keluarganya.
`Afuww( Maha Pemurah) adalah salah satu Nama Allah Yang Agung ( Asma` alHusna) sepertimana di dalam ayat:
Jika kamu melahirkan sesuatu kebaikan, atau menyembunyikannya, atau kamu
memaafkan kesalahan (yang dilakukan terhadap kamu), maka sesungguhnya
Allah adalah Maha Pemaaf lagi Maha Kuasa,
( Q. al-Nisa, 4:149)
Sesuatu yang menarik untuk diteliti pada ayat ini, keampunan Allah SWT di
sini digabungjalinkan dengan kudrat dan kekuasaanNya yang tidak terbatas.
Memberi kemaafan juga merupakan sifat istimewa bagi para Nabi dan Rasul.
Nabi Muhammad SAW telah diriwayatkan sentiasa memberi kemaafan
kepada mereka yang melakukan kesalahan ke atas Baginda. Jabir bin `Abd Allah
meriwayatkan apabila seorang wanita Yahudi daripada Khaibar telah
menghidangkan kepada Nabi SAW, daging kambing yang telah diletak racun,
Baginda memakan sedikit daripadanya, namun sebahagian daripada sahabat
Baginda r.a. telah memakan baki selebihnya dan mereka kemudiannya jatuh sakit.
Kemudian apabila Nabi SAW bertanya kepada perempuan tersebut Adakah kamu
meletakkan racun ke dalam daging itu? dia menjawab : ya. Sebahagian daripada
sahabar r.a. yang hadir bertanya kepada Nabi : Tidakkah kamu mahu memerintahkan
supaya dia dibunuh? Nabi SAW tidak membenarkannya, dan memberi kemaafan

kepada perempuan tersebut. Diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad menyatakan


bahawa Baginda merasakan kesan daripada racun tersebut sejurus sebelum Baginda
wafat.2 Dua peristiwa seterusnya juga bagi saya amat menarik perhatian.
Jabir bin `Abd Allah meriwayatkan bahawa pada suatu ketika beliau
berperang bersama Nabi SAW dan ketika pulang daripada peperangan tersebut
Baginda SAW berehat di bawah teduhan sebuah pokok dengan menggantungkan
pedangnya pada dahan pokok berkenaan. Dan kami semua tertidur. Kemudiannya
Nabi SAW mengejutkan kami apabila Baginda menangkap seorang Badwi yang telah
mengambil pedang Baginda dan mahu menyerang Nabi SAW. Nabi SAW bangun dan
menyoalsiatat lelaki itu, namun kemudian Baginda memaafkan dan membiarkan dia pergi,3
Menurut riwayat yang lain, daripada `Abd Allah ibn Mas`ud, Nabi SAW
telah dicederakan oleh seorang askar di dalam peperangan Uhud, Baginda lalu
menyapu darah pada wajah Baginda seraya berkata : Wahai Tuhanku! Ampunilah
kaumku, seseungguhnya mereka tidak mengetahui, iaitu perkataan yang sama pernah
diucapkan oleh Nabi Nuh a.s.4
Pembacaan yang menyeluruh terhadap kesemua mesej ini memberikan
kefahaman yang berbeza terhadap imej Islam yang digambarkan sebagai keras dan
penuh dengan hukuman sepertimana yang sentiasa digembar-gemburkan oleh
media Barat dan selainnya. Ini adalah sesuatu yang menyedihkan, namun ia juga
memberikan peluang bagi pentafsiran yang lebih segar dan ijtihad yang mampu
membekalkan penelitian yang lebih menyeluruh terhadap aspek keadilan, `afw, dan
ihsan terutamanya dalam keadaan-keadaan yang tegang.
Diterjemahkan oleh Ahmad Badri b. Abdullah dan diedit oleh Mohamed Azam Mohamed
Adil

Rujukan
1.

Muslim, Mukhtasar Sahih Muslim, ed. Muhammad Nasir al-Din al-Albani, ed. 2, Beirut :
dar al-Maktab al-Islami, 1984/1404, h.475, no. Hadith. 1790

2.

Al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kaherah : Dar al-Hadith, 2004, vol.2, no.Hadith. 2617 pada
h.29

3.

Ibid, vol.2, no. Hadith. 2910 pada h.305

4.

Ibid, vol.2, no.Hadith.6929 pada h.314

You might also like