You are on page 1of 1

TAN SRI SYED MOKHTAR ALBUKHARY

Sebut sahaja nama Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary, sudah tentu nama
beliau akan disusuli dengan gelaran "Jutawan Dermawan". Dilahirkan pada tahun 1951 di Alor Setar, Kedah, dari
keluarga yang berasal dari Hadhramawt, Yemen dan mempunyai tujuh orang adik-beradik, Tan Sri Syed Mokhtar hidup
dalam serba kekurangan pada usia mudanya. Atas faktor kesempitan hidup, beliau hanya mampu bersekolah hingga ke
Tingkatan Lima untuk memberi laluan kepada adik-beradik yang lain meneruskan pelajaran.
Kisah kejayaan dalam bidang perniagaan beliau bermula dengan membantu ibu dan bapanya berniaga lembu sekitar
tahun 1960-an. Namun perniagaan lembu mereka tidak bertahan lama ekoran wabak penyakit yang melanda pada
ternakan mereka. Oleh itu, Tan Sri Syed Mokhtar mengambil inisiatif lain dengan meminta bantuan MARA, seterusnya
memulakan perniagaan lori pada tahun 1970-an. Syarikat lori yang dikenali sebagai Syarikat Kenderaan Sentosa kini
memiliki lebih daripada 40 buah lori.
Terkenal sebagai seorang yang berpandangan jauh, usaha beliau tidak terhenti pada tahap itu sahaja. Pada tahun 1974,
Tan Sri Syed Mokhtar telah membeli rumah kedai beliau yang pertama di bawah perjanjian sewa beli dengan
Perbadanan Kemajuan Bandar (UDA). Pada tahun berikutnya, beliau mengembangkan lagi empayar perniagaannya
dengan menubuhkan Syarikat Shah sebagai pembekal beras ke pihak FELDA, MARA Senama, Pernas Edar dan
Sergam Sdn Bhd setelah berjaya memperolehi lesen perdagangan beras daripada Lembaga Padi Negara atau
BERNAS. Tan Sri Syed Mokhtar menyifatkan kejayaan beliau dalam perniagaan adalah hasil langkah kerajaan dalam
melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Sejak dari itu, perniagaan milik Tan Sri Syed Mokhtar terus berkembang pesat hingga beliau dianugerahkan sebagai
salah seorang tokoh korporat bumiputera yang terkaya di Malaysia, seterusnya mendapat pengiktirafan daripada
Malaysian Business sebagai orang ke-7 terkaya di Malaysia pada tahun 2005 dan orang ke-50 terkaya di Malaysia oleh
Forbes pada tahun 2013 baru-baru ini
Taikun Malaysia ini telah meluaskan lagi empayar perniagaan beliau dengan memiliki kepentingan di syarikat-syarikat
gergasi di Malaysia seperti MMC Corporation Berhad, Pelabuhan Tanjung Pelepas, BERNAS, Gardenia, DRB-Hicom,
Bank Muamalat, PERNAS, Malakoff Berhad, Johor Port Berhad dan banyak lagi. Dikenali sebagai seorang figura yang
dermawan dan mempunyai nilai kemanusiaan yang luar biasa tingginya, beliau telah menubuhkan Muzium Kesenian
Islam, Yayasan Al-Bukhary, Universiti Antarabangsa Al-Bukhary, dan juga Kompleks Al-Bukhary. Selain itu, beliau turut
memperindah Masjid Negara serta menaja penghantaran setiap tahun jemaah haji Malaysia yang kurang
berkemampuan untuk melakukan ibadah haji. Terbaru, jutawan berhati mulia ini telah membina masjid-masjid di
beberapa daerah di Negeri Sembilan, selain di Alor Setar, Lapangan Terbang Senai, Johor dan juga di Jalan Pudu.
Sebagai "Jutawan Dermawan", sifat murni yang dipupuk sejak kecil oleh kedua ibu bapanya, Tan Sri Syed Mokhtar
adalah seorang yang sentiasa rendah diri dan tidak pernah lokek dengan ilmu serta rahsia kejayaannya di dalam
bidang perniagaan. Dipetik dari Syed Mokhtar Albukhary: A Biography karangan Premilla Mohanlall ,beliau ada berkata,
"Ibu saya mengajar kami bahawa kita tidak memiliki apa-apa sehinggalah kita memberinya dengan sepenuh hati,
dengan harapan ia akan membuatkan hidup orang lain menjadi lebih baik." Ternyata sikap rendah diri amat
dititikberatkan oleh beliau apabila beliau berkata, "Pengajaran bagi saya adalah bahawa kita mesti sentiasa ingat asalusul kita, dari mana kita datang, dan merendah diri apabila dikurniakan nasib yang baik. Jika tidak, kita mungkin jatuh."

You might also like