You are on page 1of 5

1

UCAPAN BALAS PENERIMAAN PROFESOR EMERITUS UKM


Salutasi
Bersyukurlah kita kepada Allah SWT yang masih mengizinkan kita bersama
melangsungkan majlis ini.
Saya berterima kasih kepada rakan-rakan di Pusat Pengajian Sains Matematik
dan khususnya Dekan Fakulti Sains yang berusaha memuliakan saya hingga
saya berada di sini. Kata-kata manis dan menjulang tinggi budi dan sumbangan
keilmuwan saya baharu sekejap tadi sungguh menyerba-salahkan saya dan
tiadalah dapat dibalas dengan lebih daripada terima kasih jua.
Saya pastinya juga berterima kasih amat kepada kepemimpinan utama universiti
yang menyanjungi saya sehingga menyantuni saya seperti hari ini lalu
meluncurkan saya ke awangan.

ORANG UNJUR KITA TADAH


ORANG BERTUTUR KITA BERMADAH
Pohon ikutilah ceritera rasa saya ini selanjutya.

Jika menggunakan istilah bahasa Melayu yang terpahat pada


batu bersurat Talang Tuwo di Sumatera bertarikh 684 M, UKM
pada saya sebuah parlak keilmuwan. Ini metafora perlak saya
daripada makna asalnya, sebuah taman botani diraja yang
indah permai dengan anak-anak sungainya dan dipastikan
mengandungi segala pokok yang boleh dimakan buah atau
isinya untuk subahagia rakyatnya. Itulah ibaratnya kerana bagi
saya, UKM berupa tempat yang ada pelbagai muara imu
daripada sebuah sungai yang berliku yang anu hulunya dan
berpencarlah anaknya yang berlubuk dan bermengabang
mencipta kubang menjadi tempat-tempat bermandi-manda dan
kekadang menyelam ke lubuk setelah puas berkubang dan
bermandi-manda berpuisi, berprosa, berujikaji dan bercanda
kata, mencipta pusaka. Saya seorang daripada warga ilmuwan
itu yang pernah berada di muara bernama Fakulti Sains dan
berlubukkan sains matematik, bermengabangkan matematik
fizik dan berkubangkan mekanik quantum dan matematik
kewangan. Itulah sebabnya setelah berkelana dari UKM hampir
sedasawarsa dan hari ini
ditatangi dan disantuni oleh
pemegang amanah institusi ini, maka saya terasa begitu

sebak di hati dalam mengenang baik hati dan budi


dalam rindu.
Saya percaya penghargaan ini bukan suatu pembanggaan atau
penyanjungan terhadap saya dalam nirvana keilmuwan saya
tetapi saya anggap suatu pertaruhan tahap kepercayaan
terhadap kekuatan hati-budi saya yang mungkin
menjanjikan harapan dan gapaian lebih tinggi dalam beberapa
impian bersama. Dua daripada unsur kepercayaan itu saya kira
adalah terhadap perkara yang sudah disebut dalam ucapan
Dekan Fakulti Sains tadi, iaitu yang saya ingin ungkapkan
semula sebagai wahana pewarisan ilmu UKM, dan penilaian
semula ilmu di muara-muara yang selama ini dianggap tidak
mungkin berhulukan di pergunungan sendiri.
Perkara wahana pewarisan ilmu UKM , iaitu pengantar ilmu
kepada para pelajar UKM, sejak dalam sedasawarsa
kebelakangan ini, sering menjadi igauan dan tangisan rakyat
terbanyak terutamanya mereka yang mengikuti sejarah dan
matalamat penubuhan universiti ini. Mereka sudah menangis
dan sekali sekala meraung sejak UKM menyahut dasar PPSMI
pada 2003 dahulu lagi tetapi berhenti terisak-isak pada 2011
apabila kerajaaan mengisytiharkan pemansuhan dasar tersebut
di sekolah dan mengeluarkan juga Pelan (Tindakan)
Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di Institusi
Pengajian Tinggi 2011-2015 dengan harapan UKM dengan
penuh kebijaksanaannya meniti Pelan tersebut. Mereka
memerhati sesaujana akan penitian UKM ini dan sehingga kini
isakan mereka masih belum dapat dihentikan, walaupun
mereka juga menerima desiran gemalai pemimpin baharu UKM
yang meniup wawasan mengembalikan wahana ilmu UKM,
sesuai dengan Pelan Tindakan tersebut yang tinggal hanya
setahun sahaja lagi tetapi mereka mengharap-harap akan
disambung dengan Pelan Tindakan Kedua dan seterusnya.
Penghargaan yang diberi kepada saya hari ini memberi harapan
impian baharu saya sendiri pula tentang kealangkahan
manisnya pula rasanya jika saya dicekau untuk dipergunakan
atau diperhambakan saya bagi tujuan merealisasikan impian
murni kepemimpinan baharu UKM kini.

Perkara penilaian semula ilmu memang menjadi perjuangan


dalam buana keilmuwan saya sejak 1980-an dan tugas paling
berat hingga kini ialah meyakinkan sarjana kesebidangan
dengan saya, sains matematik, menerima hakikat saratnilainya ilmu. Bukan sahaja kerana ajaran agama Islam tidak
memisahkan ilmu dengan iman (agama), iaitu ilmu yang
terpisah atau tidak mempedulikan iman tidak diiktiraf Islam
sebagai ilmu tetapi cuma bertaraf pengetahuan sahaja (yang
perlu dipertingkatkan martabatnya ke singhasana ilmu),
menyebabkan ilmu semestinya sarat nilai iman itu.
Bukti sarat-nilainya atau tidak semestanya ilmu pasti akan
terbukti jika seseorang menilai ilmu yang diajar kepada
pelajarnya atau yang diselidikinya sendiri itu dalam acuan
sistem kepercayaan batinnya sendiri. Yang termudahnya,
tetapi kini semakin sukar kerana wahana ilmu dipaksa dalam
bahasa Inggeris sahaja, ialah melihat istilah penting dalam
sesebuah ilmu itu dalam bahasa Melayu. Contohnya, istilah
optimum yang menjadi satu istilah besar dalam matematik
tulen dan ekonomi dan pengurusan yang maknanya dalam
bahasa Inggeris biasa ialah the best dan matematiknya
begitu canggih itu, amatlah sukar menyedari tidak semestanya
konsep optimum itu. Akan tetapi sebaik sahaja istilah optimum
ini dijelaskan dalam bahasa Melayu sebagai model untuk
melaksanakan makna yang dmaksudkan dengan kata sifat
yang paling baik hampir dengan serta-mertalah rasanya
seseorang akan menyedari yang kita ada makna paling baik
yang amat berbeza dan yang memerlukan matematik yang
berbeza. Bahkan paling baik dalam kebudayaan Melayu ialah
berpada-pada (buat baik tidak dinasihatkan supaya
seoptimum mungkin) dan apabila dihayati nilai islam pula maka
yang terbaik ialah yang wusta sehingga memerlukan
matematik baharu yang layak dinamai matematik pewustaan
bagi menggantikan matematik pengoptimuman itu.
Begitulah juga halnya istilah pembangunan dengan
development yang selama ini kita dikelabui dengan
kebenaran teori pembangunan yang berasaskan kepada konsep
development, bukannya pembangunan dalam pengertian
sebenar istilah dalam Bahasa Melayu yang berasal daripada

bangun itu dan adanya sejarah dasar pembangunan kita


yang asli pada zaman Sriwijaya yang bermatlamatkan
subahagia, bukannya bermatalamatkan kebendaan atau
kejasmanian secara dominannya.
Penilaian ilmu menerusi aspek lainnya mungkin lebih sukar lagi,
tetapi tetap perlu diterokai, iaitu menerusi pemeriksaan
falsafah sesebuah ilmu yang besar kemungkinannya akan
menerbitkan falsafah ilmu kita yang berhulukan sungai Thames
itu betentangan dengan falsafah keagamaan kita seperti
falsafah dalam fizik teori ialah ateisme, deisisme (tuhan tak
relevan) atau apedulisme (falsafah tak peduli apa agama pun)
atau peduli agama bukan Islam seperti Hinduisme dalam
sebuah teori mekanik quantum.
Penilaian yang juga sukar caranya tetapi masih juga perlu
dilakukan ialah penilaian aksiom sesebuah teori seperti
aksiom teori kejadian alam semesta ini (terkenalnya teori
deguman besar itu) beraksiomkan dari ada kepada ada
sedangkan aksiom yang kejadian mengikut Islam ialah dari
tiada kepada ada.
Penilaian atau kritikan ilmu juga amat berpotensi dapat
dilakukan menerusi penggalian khazanah ilmu kita sendiri
sejak abad ke-5 M dahulu, iaitu yang ditulis dalam Bahasa
Melayu di batu-batu bersurat (dalam huruf Palawa dari India)
dan manuskrip Melayu sejak abad ke-13 M (dalam huruf Jawi
dari Arab). Penyelidikan etnoilmu dalam Bahasa Melayu ini
sekaligus membantu kita mengurangkan rasa rendah diri kita
berbanding dengan Eropah (inggeris terutamanya) dan
memupuk rasa pertriotisme yang lebih tinggi kerana ketiadaan
pengetahuan adanya ilmu kita sendiri dalam Bahasa Melayu )
sejak abad ke-5 Masihi menyebabkan ilmu yang kita ajar
sekarang amat berpusatkan Eropah (kalau pun bukan Inggeris)
yang memudahkan lagi pengenyahan kebudayaan kita sendiri.
Penilaian ilmu menerusi falsafah dan aksiom ilmu serta warisan
ilmu sendiri memerlukan keinsafan kepada kemuliaan
sistem nilai dan sistem kepercayaan kita sendiri serta
sebahagian daripada pencapaian tamadun kita sendiri
berbanding dengan hak orang lain. Lagi sekali saya bukan

sahaja berhasrat menyemarakkan bidang kritikan ilmu ini


malah sangguplah diperhambakan diri ini dalam pemupukan
keinsafan ini di muara bidang saya nanti, jika peluang dan
ruang diberikan nanti, insya Allah.
Y. Amat Bhg Tun Procanselor, para pemimpin UKM yang
dihormati, dan para hadirin yang bersabar sekalian) demikian
sedikit cetusan rasa yang tidak sepertinya ini untuk renungan
para hadirin sekalian terutamanya rakan-rakan kesebidangan
saya, dan para graduan semuanya, demi gambaran wawasan
dan impian bersama kita tentang wajah ilmu kita nanti bagi
memajukan dan mengindahkan lagi parlak keilmuwan
khususnya di UKM ini atas landasan asal kewujudan universiti
ini.
Akhir kata, lagi sekali, terima kasih tak tepermanainya kepada
semua peringkat kepemimpinan Universiti.

Shaharir bin Mohamad Zain


Dibaca pada petang 3 Okt 2014 di Dewan Cancelor UKM

You might also like