You are on page 1of 3

Kitar Semula: Di manakah Kita?

- Official Portal Institue of Islamic Understanding Malaysia

Home

Corporate Info

Director General Office

Academic

Administrations

Media Center

TENDER

Kitar Semula: Di manakah Kita?


Written by Rosmidzatul Azila binti Mat Yamin. Posted in Artikel

Usaha membudayakan amalan kitar semula dalam kalangan masyarakat di Malaysia masih lagi berada pada tahap yang rendah. Buktinya, hasil
kajian terbaru Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) mendapati bahawa peratusan rakyat di negara ini
mempunyai kesedaran untuk melakukan kitar semula surat khabar masih lagi pada tahap yang tidak memberangsangkan iaitu hanya sebanyak 40
hingga 45 peratus sahaja.
Melihat kepada peratusan yang minimum ini, ia secara jelas menggambarkan bahawa tahap kesedaran berkaitan amalan kitar semula dalam
kalangan masyarakat di negara ini masih lagi jauh daripada matlamat asal program ini diperkenalkan. Entah di mana silapnya apabila sehingga ke
hari ini tahap kesedaran kitar semula masih sukar untuk dipertingkatkan walaupun pelbagai program telah dilaksanakan oleh kerajaan bagi
membudayakan amalan ini di Malaysia.
Malah, disebabkan oleh kegagalan membudayakan amalan kitar semula dalam kalangan masyarakat juga, ia telah mengakibatkan masalah
pencemaran sampah sarap semakin berleluasa dan sukar untuk dibendung. Kurangnya tahap kesedaran berkaitan amalan kitar semula telah
mengakibatkan jumlah sampah yang masuk ke tapak pelupusan sampah juga sukar untuk dikurangkan.
Situasi ini amat menyedihkan memandangkan kita sebagai rakyat yang hidup dalam sebuah negara Islam seharusnya mempunyai tahap
kesedaran yang lebih tinggi dan terkehadapan dalam membudayakan amalan kitar semula. Walaupun perkataan kitar semula tidak disebutkan
secara langsung di dalam al-Quran, namun ayat-ayat yang tersirat berkaitan amalan ini sebenarnya banyak dinukilkan di dalamnya seperti
larangan melakukan pembaziran sebagaimana yang telah dinyatakan dalam firman-Nya yang bermaksud: "...janganlah kamu berlebih-lebihan.
Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan" (Surah al-An'aam, ayat 141)
Dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman lagi yang bermaksud: "...dan janganlah kamu melakukan pembaziran. Sesungguhnya orang yang
membazir itu adalah saudara syaitan, sedangkan syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya." (Surah al-Israa', ayat 2627)
Daripada ayat di atas jelas menggambarkan bahawa pembaziran merupakan satu amalan yang keji dan wajib dihindarkan oleh manusia yang
beriman kepada Allah. Kefahaman yang jelas berhubung perkara ini seharusnya dapat diterapkan dalam jiwa masyarakat untuk mengaitkannya
dengan amalan kitar semula sebagai satu wadah bagi mengelakkan pembaziran dan mengoptimumkan penggunaan sumber sebagaimana yang
dituntut oleh syariat Islam kepada manusia.
Selain daripada perkaitan dengan amalan pembaziran, kitar semula juga turut mempunyai perkaitan secara tidak langsung dengan penjelasanpenjelasan berkaitan fenomena alam yang juga banyak diterangkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran yang boleh dijadikan pengajaran kepada
kita.
Antaranya sebagaimana yang telah dinyatakan dalam firman-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, silih

http://www.ikim.gov.my/index.php/en/artikel/8527-kitar-semula-di-manakah-kita[5/2/2015 9:44:58 AM]

Kitar Semula: Di manakah Kita? - Official Portal Institue of Islamic Understanding Malaysia

bergantinya malam dan siang, bahtera yang belayar di laut membawa apa yang berguna bagi manusia, dan apa yang Allah turunkan dari langit
berupa air, lalu dengan air itu Dia hidupkan bumi sesudah mati (keringnya), dan Dia sebarkan di bumi itu segala jenis haiwan dan pada
pertukaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi, sungguh (terdapat) tanda-tanda (Keesaan dan Kebesaran Allah) bagi kaum
yang memikirkan."(Surah al-Baqarah, ayat164)
Ayat ini dan banyak lagi ayat yang seumpamanya di dalam al-Quran menerangkan tentang kitaran-kitaran yang sangat penting kepada
kehidupan manusia iaitu kitaran yang terjadi kepada bumi sehingga berlakunya pertukaran malam dan siang, kitaran hidup manusia dan kitaran
air yang menjadi nadi kehidupan setiap makhluk hidup di atas muka bumi. Perkara-perkara ini memperlihatkan bahawa konsep kitar semula
sebenarnya telah dinyatakan secara tidak langsung dalam al-Quran yang mempunyai kepentingan yang tersendiri terhadap kehidupan sejagat.
Penjelasan-penjelasan berhubung perkaitan-perkaitan berkenaan seharusnya direnung dan difahami dengan sedalam-dalamnya oleh manusia
untuk ditransformasikan kepada konsep kitar semula bahan-bahan terbuang demi menyelamatkan alam sekitar daripada terus menjadi mangsa
kejahilan kita. Dengan pemahaman yang jitu berhubung perkara ini sahaja dapat melentur hati-hati yang keras untuk menerima amalan kitar
semula sebagai satu budaya hidup.
Amalan yang ditonjolkan oleh junjungan kita Rasulullah SAW dalam mempraktikkan kitar semula sewajarnya dicontohi oleh kita pada hari ini.
Dalam sebuah hadith telah diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah menjahit dan menampal kasut Baginda. Perbuatan berkenaan telah
memanjangkan lagi jangka hayat baju dan kasut Baginda. Kisah ini memberi gambaran yang jelas kepada kita bahawa Rasulullah SAW sendiri
mengoptimumkan penggunaan sesuatu barang dalam kehidupan Baginda.
Dalam hadith yang lain pula telah diriwayatkan bahawa sahabat Baginda, Saidina Abu Bakar pernah berpesan kepada keluarganya agar
mengkafankan beliau dengan baju yang beliau miliki. Ini kerana, beliau berpendapat bahawa kain yang baharu boleh dimanfaatkan oleh orang
yang masih hidup. Di sini memperlihatkan kepada kita bahawa sahabat Rasulullah SAW juga menunjukkan sikap yang sama dengan Rasulullah
SAW iaitu mengoptimumkan penggunaan sesuatu barang.
Melihat kepada kedua-dua kisah di atas, bagaimana pula dengan kita? Adakah kita juga telah melakukan perkara yang sama sebagaimana yang
dilakukan oleh Rasulullah dan sahabat Baginda? Seharusnya perbuatan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan sahabat Baginda diteladani
oleh seluruh umat manusia sepanjang zaman. Dengan membudayakan amalan kitar semula dan mengoptimumkan penggunaan sesuatu barang,
kita bukan sahaja dapat mengelakkan diri kita daripada melakukan pembaziran, tetapi juga dapat memelihara alam sekitar daripada diancam
kemusnahan.

Tweet

FaLang translation system by Faboba

Featured Hadith

MS ISO 9001:2008

Diriwayatkan dari Al-Bara r.a.: Aku pernah mendengar nabi s.a.w bersabda
(atau Nabi s.a.w pernah bersabda), "Yang mencintai orang-orang Anshar
adalah Baca lagi

Riwayat Al-Bara r.a

"Memahami Islam Membina Peradaban"

Home

Privacy

Site Map

RSS

http://www.ikim.gov.my/index.php/en/artikel/8527-kitar-semula-di-manakah-kita[5/2/2015 9:44:58 AM]

Kitar Semula: Di manakah Kita? - Official Portal Institue of Islamic Understanding Malaysia

1992 - 2012 Institute of Islamic Understanding Malaysia (IKIM)


The Institute of Islamic Understanding Malaysia (IKIM) shall not be held responsible for any kind of losses or damages occuring by usage of information obtained from
this website.

This site can be browsed using Internet Explorer 7.0 and above, Mozilla Firefox 1.5 and above, Google Chrome 3.0 and above and Safari 3.0 and above with
optimum visual experience using resolution 1024 x 768.

http://www.ikim.gov.my/index.php/en/artikel/8527-kitar-semula-di-manakah-kita[5/2/2015 9:44:58 AM]

You might also like