You are on page 1of 4

Dadah steroid boleh bawa maut

DEMI mengejar impian dan menempa kejayaan dengan cara mudah dan singkat,
atlet yang mengambil dadah terlarang sebagai jalan pintas untuk mencapai cita-cita,
sebenarnya berdepan risiko kematian tanpa mereka sedari.

Tindakan mengambil dadah terlarang, sama ada untuk meningkatkan prestasi,


penenang atau menguatkan tubuh bukan hanya merosakkan masa depan mereka
sebagai atlet, sebaliknya dalam jangka masa panjang membawa mudarat sehingga
boleh mengundang maut.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr. Ramlan
Abdul Aziz berkata, pengambilan dadah steroid seperti jenis Anabolic steroids boleh
mengundang maut dalam jangka masa panjang.

"Pengambilan dadah jenis ini juga boleh mendatangkan kesan negatif dan boleh
memberi kerosakan kepada organ jantung, buah pinggang, hati, ginjal dan alat
kelamin sehingga tidak mampu untuk mendapatkan zuriat," jelas Ramlan dalam
temu bual eksklusif dengan Bernama semalam.

Ramlan yang berkelulusan Sarjana Sains dan Perubatan Sukan, University of


London mempunyai pengalaman lebih 22 tahun dalam bidang perubatan dan sains
sukan bermula sebagai pegawai perubatan di ISN.

Beliau juga menghasilkan tiga buah buku berkaitan sains sukan iaitu Buku Panduan
Perubatan untuk Jurulatih-jurulatih di Malaysia pada 1993, Buku Panduan Perubatan
Sukan untuk Atlet dan Jurulatih (2001) dan menjadi penulis bersama bagi buku
berjudul Case Histories in Joint and Muscle Injury (2004).

Selain itu, beliau Ramaln pernah menjadi Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA
2009 di Vientiane, Laos dan Sukan Para Asia 2010 di Guangzhou, China.

Dalam kes pengggunaan dadah terlarang di negara ini, antara jenis dadah
digunakan ialah Drostanolone Metabolite (meningkatkan prestasi), Metandienone
Metabolite (membina otot), Propranonol (penenang) dan Anabolic steroids (membina
otot).

"Walaupun tujuan pengambilannya adalah untuk menguatkan otot, pengambilan


dadah jenis ini boleh menyebabkan otot mudah koyak," katanya.

Beliau berkata, pengambilan dadah terlarang dalam sukan bukan hanya


menjejaskan kesihatan atlet, sebaliknya pada masa yang sama turut mendatangkan
kesan negatif pada psikologi atlet yang mengambilnya.

"Psikologi atlet akan menjadi lebih agresif daripada kebiasaannya di mana


personaliti atlet boleh menjadi panas baran, ingkar perintah dan tidak mampu
melakukan pertimbangan secara normal sehingga boleh bergaduh dengan rakan
mahupun dengan jurulatih," katanya.

Ramlan berkata, adalah tidak berbaloi apabila atlet sanggup menggadaikan


kesihatan dan nyawa sendiri sebagai tukaran untuk mendapat pingat dengan jalan
mudah sedangkan harga nyawa dan kesihatan adalah jauh lebih mahal daripada itu.

Menurutnya,

pengambilan

bahan

terlarang

dalam

sukan

bukan

hanya

mendatangkan kesan negatif kepada kesihatan dan psikologi atlet, namun turut
membawa kerosakan yang besar kepada masyarakat sukan yang terdiri daripada
atlet, jurulatih, badan sukan dan semua pihak yang terlibat di dalamnya.

Ramlan berkata, pengambilan dadah dalam sukan bukanlah satu perkara baharu,
sebaliknya perkara itu mula timbul sejak zaman Olimpik kuno lagi.

"Atlet pada zaman itu berusaha mencari kelebihan dalam jangka masa singkat untuk
mengatasi saingan lawan dengan mengguna daun-daun, akar kayu, rempah ratus
dan organ binatang yang dirasakan mampu memberi kelebihan luar biasa kepada
mereka," katanya.

Beliau berkata, semua itu berpunca daripada sikap tidak jujur yang ada pada diri
manusia yang tamak mengejar kejayaan sehingga sanggup mengguna jalan pintas
untuk mencapai impian masing-masing.

"Soal etika adalah sesuatu yang tidak boleh dipandang remeh kerana hanya atlet
yang mempunyai kejujuran dan keikhlasan dalam pertandingan sahaja mampu
beraksi dengan corak persembahan yang tulen tanpa dicemari dengan penggunaan
bantuan dadah terlarang," katanya.

Ramlan berkata, walaupun mengikut statistik, kurang satu peratus atlet negara
terlibat dalam pengambilan dadah terlarang, ia tidak bermakna isu itu bukan satu
permasalahan besar bagi masyarakat sukan di negara ini.

"Menyedari perkara itu ISN bersama agensi sukan lain seperti Majlis Sukan Negara
(MSN), Majlis Olimpik Malaysia (MOM), persatuan sukan kebangsaan dan penguat
kuasa undang-undang perlu bergabung tenaga bagi memeranginya," ujarnya.

Beliau menambah, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memandang serius usaha
menangani masalah dengan menubuhkan Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas).

Adamas ditubuh pada 2005 dan kini dalam proses penambahbaikan yang bukan
hanya bertindak sebagai badan untuk mengendalikan pemeriksaan anti-doping
ketika dan selepas kejohanan, sebaliknya memberi pendidikan dan pencegahan.

Beliau berkata, pada kaca mata dunia, Malaysia amat dihargai sebagai negara
anggota Agensi Anti-Doping Dunia (Wada) yang memainkan peranan utama
memerangi penyalahgunaan dadah dalam sukan.

"Adalah agak malang jika atlet kita terlibat dengan pengambilan dadah terlarang
sedangkan negara kita cukup dihormati dalam komuniti anti-doping antarabangsa,"
katanya. - BERNAMA

Artikel

Penuh:

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?

y=2012&dt=0229&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz3T3ahrhos
Hakcipta terpelihara

You might also like