You are on page 1of 1

KELUARGA IMPIAN SAYA

"Rumahku, syurgaku". Kenyataan ini menunjukkan betapa pentingnya peranan ahli


keluarga dalam kehidupan seseorang. Keluarga impian saya ialah keluarga bahagia. Apakah
ciri-ciri yang harus ada pada sesebuah keluarga bahagia? Cuba fikirkan sejenak! Bertitik tolak
daripada manifestasi tersebut, setiap individu harus memikul dan melaksanakan
kewajipannya untuk mewujudkan keluarga bahagia.
Ibu bapa memainkan peranan yang paling penting dalam mewujudkan kebahagiaan
dalam keluarga. Ibu bapalah yang akan membentuk keperibadian dan sahsiah anak-anak.
Ibu bapalah yang akan membekalkan kehidupan sempurna kepada anak-anak. Anak
diibaratkan sebagai sehelai kain putih, ibu bapalah yang akan mencorakkannya sama ada
seindah warna pelangi atau semalap masa depannya. Ibu bapanya yang merupakan guru
terdekat harus menunjukkan teladan yang baik. Ibu bapa ialah teladan anak-anak, bak kata
pepatah ,bagaimana acuan, begitulah kuihnya.
Pendidikan bermula dari rumah. Ibu bapa hendaklah mengajar anak-anak untuk
membezakan yang mana intan, yang mana kaca. Ibu bapa harus mengawasi perlakuan dan
memantau kegiatan luar anak-anak supaya mereka yang baru berumur setahun jagung,
darah setampuk pinang tidak terjebak dalam kancah negatif. Ibu bapa harus memastikan
anak-anak tidak bergaul dengan rakan sebaya yang buruk akhlak. Selain itu, ibu bapa harus
mencurah kasih sayang sepenuhnya kepada anak-anak seperti menatang minyak yang
penuh . Didikan agama dan moral yang teguh harus disemai dalam jiwa anak-anak sejak
kecil lagi, bak kata pepatah melentur buluh, biarlah dari rebungnya. Seseorang yang tidak
mempunyai pegangan agama dan moral yang teguh diibaratkan seperti kapal tanpa
nakhoda.
Tambahan pula, ibu bapa harus meluangkan masa untuk menemani anak-anak dan
memahami masalah mereka di samping berusaha menyelesaikannya. Ibu bapa hendaklah
mengambil berat terhadap anak-anak mereka. Ibu bapa janganlah begitu rakus mengejar
fatamorgana mereka dalam aspek kebendaan sehingga mengabaikan tanggungjawab
mereka terhadap anak-anak. Hukuma-hakam Arab pernah mengatakan bahawa anak- anak
yang kehilangan kasih sayang daripada ibu bapa yang sibuk adalah yatim.
Untuk mewujudkan keluarga bahagia, anak-anak hendaklah menuruti ajaran ibu bapa.
Anak-anak harus belajar bersungguh-sungguh, mendapatkan keputusan cemerlang untuk
membalas jasa ibu bapa. Anak-anak sepatutnya memuliakan dan menjaga maruah diri dan
keluarga dengan tidak melibatkan diri dalam kegiatan yang tidak sihat seperti vandalisme,
lumba haram, menagih dadah dan sebagainya. Anak-anak yang berjaya hendaklah
mengenang jasa ibu bapa dan janganlah bersikap seperti kacang lupakan kulit. Anak-anak
janganlah lupa bahawa ibu bapalah yang mendidik, membimbing, dan menjaga mereka.
Kalau bukan ibu bapa, siapakah kita?
Anak-anak hendaklah mentaati ibu bapa. Dalam sesebuah keluarga, ahli-ahli keluarga
saling menghormati dan memahami. Ahli-ahli keluarga sepatutnya bertolak-ansur dan
mengawal diri bagi mengelakkan berlakunya pertelingkahan dan perselisihan faham.
Keluarga bahagia ialah keluarga yang harmani, aman dan damai. Ahli-ahli keluarga akan
saling membantu dan bekerjasama, bak kata pepatah berat sama dipikul, ringan sama
dijinjing.
Natijahnya, semua ahli keluarga berperanan mewujudkan keluarga bahagia. Institusi
keluarga boleh diibaratkan sebuah bangunan yang terdiri daripada berjuta-juta batu-bata.
Keluarga bahagia banyak memerlukan unsur juga. Contohnya, kasih sayang, kerjasama,
toleransi dan sebagainya. Rumahku, syurgaku. Keluarga bahagia ialah keluarga impian
saya.

You might also like