You are on page 1of 2

Anda pemberita dari sebuah akhbar tempatan.

Anda diminta menulis rencana yang berkaitan dengan


keracunan makanan. Tulislah rencana tersebut selengkapnya.
Bahaya Keracunan Makanan.
Oleh: Khairul Faizin Ahmad
Sejak kebelakangan ini, kita sering mendengar berita tentang berlakunya kes keracunan
makanan. Lebih malang lagi, apabila berlakunya kematian yang berpunca daripada keracunan makanan
sekurang-kurangnya sekali dalam setahun.
Menurut sumber-sumber daripada Kementerian Kesihatan, dari Januari hingga Ogos tahun ini,
terdapat tiga belas kes kerecunan makanan yang melibatkan 801 orang termasuk satu kematian. Daripada
jumlah tersebut, 601 mangsa terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah.
Ini jelas menunjukkan bahawa golongan pelajar merupakan golongan paling tinggi yang terlibat dengan
keracunan makanan. Hal ini berlaku kerana golongan pelajar khususnya yang tinggal di asrama sering
terdedah kepada penyediaan makanan yang tidak sempurna di kantin atau di asrama sekolah. Selain
golongan pelajar, golongan kanak-kanak yang sememangnya mempunyai daya ketahanan baban yang
lemah juga sering diserang oleh keracunan makanan.

Walau bagaimanapun, terdapat banyak kes yang tidak dilaporkan. Hal ini demikian kerana sebahagian
daripada masyarakat masih kurang mempunyai pengetahuan tentang wabak ini. Golongan ini, biasanya
terdiri daripada masyarakat luar bandar.
Menurut Doktor Ramlah Yaakub, dari Hospital Universiti Petaling Jaya, punca keracunan makanan
adalah akibat daripada proses penyediaan makanan yang tidak sempurna seperti makanan yang kotor,
tidak dimasak dengan baik, dan makanan yang terdedah kepada persekitaran suhu 30 darjah C. Di
samping itu, terdapat juga buah-buahan dan sayur-sayuran yang tidak dicuci serta tangan pemakan itu
sendiri yang tidak berbasuh sebelum memegang makanan.
Beliau menjelaskan lagi bahawa kebanyakan kes keracunan makanan disebabkan oleh bakteria,
mikroorganisma, virus racun atau toksin, dan bahan-bahan kimia. Makanan yang sering dijangkiti oleh
bakteria dan keracunan ialah susu atau keju, masakan berlemak seperti nasi lemak dan mi, roti, kuihmuih, daging, ayam, dan ikan. Makanan-makanan lain adalah seperti makanan dalam tin, makanan basah,
dan berair yang didedahkan di tempat panas. Tin yang kemik membolehkan mikroorganisma menyerang
makanan di dalam tin melalui lubang-lubang halus di bahagian yang kemik itu. Keracunan juga
disebabkan oleh kulat atau cendawan beracun yang membiak pada makanan serta haiwan-haiwan beracun
seperti siput, katak, dan ular.
Tanda-tanda umum keracunan makanan ialah rasa mual, muntah, cirit-birit, pening-pening, dan gangguan
perut. Selain tanda-tanda umum, pesakit juga mungkin mengalami demam, kelesuan, dan tiada selera
makan. Kesan daripada keracunan makanan ialah kehilangan air dalam badan pesakit. Sekiranya tubuh
pesakit kekurangan air yang terlalu serius, pesakit mungkin berkeadaan kritikal. Bagi kes yang lebih
parah, kerosakan hati dan sistem saraf boleh berlaku dan boleh membawa maut.

Walaupun kesan keracunan makanan sering menyerang banyak orang, namun kesedaran secara
menyeluruh tentang bahaya keracunan ini belum wujud. Kita sebenarnya mempunyai Akta Makanan 1983
yang bertujuan melindungi orang ramai tentang kesalahan penipuan dalam penyediaan dan penjualan
makanan. Walau bagaimanapun, setakat ini, jarang kita dengar mereka didakwa kerana kesalahan
tersebut.
Oleh sebab kes keracunan makanan khususnya di sekolah merupakan satu masalah yang serius, semua
pihak termasuk pengetua, guru-guru, ibu bapa, dan anggota masyarakat yang lain mestilah memberi
kerjasama untuk mengatasi masalah tersebut. Pihak sekolah boleh bertindak dengan menarik balik tender
yang diberikan kepada pengusaha-pengusaha kantin atau asrama yang tidak mematuhi garis panduan
yang ditetapkan. Ibu bapa pula boleh memberikan didikan kepada anak-anak tentang betapa pentingnya
makan makanan yang bersih dan berkhasiat di samping menggalakkan mereka membawa bekal ke
sekolah.

You might also like