You are on page 1of 2

lmu ramuan paling asas bagi perkembangan minda manusia, terutama mengenai alam

IBNU Khaldun (1332-1406) ialah cendekiawan Islam yang banyak menyumbang dalam pelbagai bidang sains
kemanusiaan antaranya falsafah, sains politik, sejarah dan sosiologi.
Berasal dari Tunisia, beliau pernah bertugas sebagai hakim atau kadi kepada mazhab Maliki di Afrika Utara. Beliau juga
negarawan yang arif dalam hal ehwal negara hasil pengalamannya berkhidmat kepada beberapa generasi pemerintah
Muslim di sana.
Antara karya penulisan beliau yang masyhur ialah Muqaddimah, buku pendahuluan bagi Kitab Al-Ibar mengulas teori
ketamadunan yang kini menjadi rujukan ilmuwan Islam dan pengkaji Barat.
Antara pemikiran Ibnu Khaldun adalah teori kemasyarakatan. Menurut beliau, sebelum mengkaji lebih mendalam
sesuatu masyarakat, kita perlu memahami manusia dan perbezaannya daripada hidupan lain. Manusia diangkat tinggi
martabatnya berbanding makhluk sekeliling kerana boleh berfikir dan menimba pelbagai ilmu sains serta ilmu seni.
Kedua, manusia mempunyai kemahiran memerintah yang memberi peluang untuk menyediakan perlindungan serta
mempertahankan keselamatan diri.
Ketiga, manusia dapat bekerjasama melalui pelbagai bentuk dan cara dalam menjalani kehidupan seperti kerjasama
dalam institusi kekeluargaan, anak sentiasa berusaha membantu ibu bapa.
Seterusnya ia berkembang kepada kerjasama antara kaum yang akhirnya mewujudkan ciri keempat pada manusia
yang dinamakan oleh Ibnu Khaldun sebagai tamadun. Manusia memerlukan tamadun untuk memenuhi keperluan
mereka.
Ini termasuk tempat tinggal yang selesa di bandar dan kawan bagi menemani hidup supaya tidak kesunyian. Semua
ciri ini membezakan manusia dengan makhluk lain mengikut pengamatan Ibnu Khaldun. Apabila memahami manusia,
baru kita beralih kepada pengkajian mengenai bagaimana individu dapat membina jati diri serta mempelajari budaya
melalui pergaulan dan pengalaman hidup dalam masyarakat.
Individu tidak boleh hidup dengan mengasingkan diri daripada masyarakat. Ibnu Khaldun menceritakan mengenai
seorang kanak-kanak yang dikurung bersama bapanya sejak ia lahir.
Walaupun memiliki pengetahuan mengenai dunia luar melalui penceritaan bapanya, budak itu masih tidak mampu
membayangkan dan berimaginasi apa yang diceritakan itu. Pengasingan dengan dunia luar membuatkan kanak-kanak
itu tiada pengalaman berjumpa dan hidup dalam masyarakat sehingga membantutkan daya fikirannya. Oleh itu, hidup
bermasyarakat adalah penting.
Menurut Ibnu Khaldun, beberapa faktor perlu ada bagi membantu individu dalam proses mengumpul pengetahuan
mengenai masyarakat dan pertama adalah ilmu.
Ilmu adalah ramuan paling asas bagi perkembangan minda manusia, terutama mengenai alam. Manusia asalnya jahil
dan mempunyai minda yang kosong ataupun dipanggil tabula rasa mengikut Ibnu Khaldun.
Kemudian, hasil usaha menimba ilmu pengetahuan, seseorang menjadi insan lebih sempurna akal fikirannya dalam
menjalani kehidupan bermasyarakat. Ilmu pengetahuan dimantapkan dengan faktor kedua iaitu nilai murni
keagamaan yang mewujudkan pembangunan jati diri yang baik.
Pembangunan insan berlandaskan agama ini perlu diserapkan ke dalam personaliti setiap individu. Proses ini dapat
dilaksanakan oleh ejen ketiga iaitu institusi keluarga.

Kasih sayang yang diberikan ibu bapa sangat perlu bagi mewujudkan individu yang normal dan dapat menyumbang
kepada masyarakat. Pandangan ini sesuai dengan hadis Nabi SAW yang bermaksud: Setiap bayi yang lahir itu
dilahirkan seperti kain putih, terserah kepada ibu bapanya untuk menjadikan dia Yahudi atau Nasrani ataupun Majusi.
Keluarga memainkan peranan utama membentuk sahsiah dan akhlak individu supaya sentiasa baik dan berada dalam
landasan agama. Guru dan golongan tua juga ejen yang membantu menerapkan nilai murni kepada individu.
Golongan tua terlebih dulu makan garam memandu golongan muda berdasarkan pengalaman hidup yang sudah
mereka tempuhi. Sementara guru pula berkemampuan mengajarkan pelbagai ilmu kepada murid.
Menurut Ibnu Khaldun, ilmu yang diajar harus secara berperingkat. Sedikit demi sedikit ilmu diserapkan kepada
pelajar mengikut kemampuan mereka. Jangan terus memberi soalan yang susah atas alasan supaya mereka dapat
menimba pengalaman daripada menjawab soalan itu.
Soalan yang sukar ini patut disimpan untuk dijawab pada akhir proses pembelajaran. Guru yang melakukan kesilapan
ini sebenarnya menambahkan kekeliruan pelajar kepada pelajaran.
Bagi Ibnu Khaldun ini adalah teknik pengajaran yang lemah dan tidak berkesan. Beliau juga menekankan elak
daripada menjalankan proses pendidikan formal berasaskan penghafalan kerana menghafal mengakibatkan seseorang
mudah lupa.
Faktor seterusnya ialah penguasaan bahasa sebagai medium asas untuk berkomunikasi dengan masyarakat termasuk
kebolehan berbahasa pasar kerana ia dapat memudahkan seseorang bersosial dan merapatkan lagi hubungan dengan
ahli masyarakat.
Penulisan juga penting kerana bahasa sesuatu yang simbolik. Penulisan dapat membantu seseorang meluahkan apa
yang terdetik di benak dan minda mereka.
Ejen sosialisasi yang terakhir ialah muzik. Menurut Ibnu Khaldun, muzik dapat mengeratkan hubungan sesama
manusia melalui emosi yang dilahirkan ketika mendengarnya terutama muzik berentak harmoni.
Ia membantu menceriakan suasana serta meringankan tekanan. Muzik bercorak puisi indah, berirama rancak dan
bertenaga pula menaikkan semangat tentera yang berjuang di medan peperangan. Ini membantu mereka terus cekal
melindungi keselamatan masyarakat sehingga berjaya mengatasi dan mengalahkan musuh serta pulang ke pangkuan
keluarga dicintai.
Ibnu Khaldun banyak menyumbang kepada ilmu falsafah sama ada politik, sosiologi dan sejarah, walaupun pelbagai
kritikan dilemparkan kerana teorinya yang dianggap agak sekular, jika diamati, fikiran beliau lebih maju daripada era
zamannya sendiri.
Selepas lebih enam abad berlalu, falsafah beliau masih dapat diguna pakai dan banyak menyumbang kepada
pembangunan tamadun sama ada Islam mahu Barat.
Sehingga kini, hasil nukilan beliau masih menjadi sumber rujukan utama bagi universiti di seluruh dunia.

You might also like