You are on page 1of 8

REFLEKSI INDIVIDU

ALYSSA GOH HARN YIING


931016-13-5416

Pertama sekali saya ingin merafakkan rasa kesyukuran kepada Tuhan kerana
dengan limpah rahmat dan kurniaNya segala perancangan dan pelaksanaan untuk
program Bina Insan Guru Fasa 5 PISMP ambilan Januari 2013 ini telah selesai dan
berjaya dilaksanakan, walaupun banyak kekangan yang telah ditempuh. Program
Bina Insan Guru merupakan salah satu daripada perancangan bagi membina dan
menerapkan nilai-nilai murni dan hidup berlandaskan kepercayaan danagama
sebagai proses membentuk guru-guru yang serba boleh serta dapat menyesuaikan
diri dalam apa jua persekitaran masyarakat. Segala pengisian aktiviti yang
dirancangkan di dalam program ini adalah berteraskan kepada prinsip Negara yang
didukung oleh semua rakyat yang sekaligus menjadi asas pembentukan rakyat yang
menjadi tonggak pembinaan sesebuah Negara bangsa.

Program Lawatan Penanda Aras (benchmarking) ini bertujuan mendedahkan


para guru pelatih kepada alam persekolahan yang sebenar di mana pembentukan
iklim dan budaya kerja serta kepimpinan sekolah yang berkesan akan menjamin
produktiviti sesebuah sekolah sebagai satu institusi pendidikan. Melalui lawatan
penanda aras (benchmarking) ini, para guru pelatih akan dapat didedahkan dengan
komuniti pendidikan yang wujud di sekolah.

Sebelum itu, kami telah menubuhkan satu organisasi untuk menguruskan


program ini. Beberapa siri mesyuarat telah diadakan dalam usaha untuk melicinkan
program ini. Apabila terdapat kemusykilan, kami merujuk kepada penyelaras
program BIG, iaitu Encik Mohd Razali bin Hashim dan Mentor kami iaitu Dr Chan
Siew Meng. Tugasan BIG Fasa 5 ini mengehendaki kami untuk memilih antara
sekolah berikut:
1. Sekolah Cemerlang

2.
3.
4.
5.

Sekolah Harapan Negara


Sekolah Inovasi
Sekolah Prestasi Tinggi
Sekolah Bestari

Setelah mendapat kata putus, kami telah memilih untuk membuat program lawatan
penanda aras di Sekolah Kebangsaan Seri Sabak Uni yang merupakan sekolah
kluster kecemerlangan.

Pada 12 Februari 2015 (Khamis), para guru pelatih semester 5 dari kelas
major Pendidikan Pemulihan 1 SJKC dan Reka Bentuk dan Teknologi 2 SJKC telah
mengendalikan Lawatan Penanda arasan Benchmarking di bawah program Bina
Insan Guru (BIG) ke Sekolah Kebangsaan Seri Sabak Uni, Batu Pahat, Johor.
Lawatan yang merupakan salah satu silibus wajib Bina Insan Guru telah disertai
seramai 27 orang guru pelatih dan diiringi oleh dua orang pensyarah.

Sebelum ini, saya tidak faham apa itu sekolah kluster. Sehinggalah
pelaksanaan lawatan penanda arasan ini barulah saya mendapat tahu bahawa
sekolah kluster merupakan sekolah yang cemerlang dalam kelompoknya yang dapat
melahirkan murid yang holistik dalam aspek akademik, kokurikulum, sahsiah serta
penampilan diri. Sekolah ini juga mempunyai kebitaraan (niche areas) yang
menggambarkan watak sekolah. Guru besar SK Seri Sabak Uni mengatakan
bahawa prasyarat untuk dipilih menjadi sekolah kluster adalah sekolah mestilah
mencapai sekurang-kurangnya taraf cemerlang berdasarkan Standard Kualiti
Pendidikan Malaysia -Sekolah (SKPM) terkini. Syarat pemilihan yang lain adalah
seperti berikut:i. Kecemerlangan murid dalam aspek akademik, kokurikulum dan sahsiah
ii. Pengurusan sekolah berwawasan dan berkesan.
iii. Pembangunan sumber terurus dan digunakan secara optimum.
iv. Pemimpin sekolah mengamalkan kepimpinan berkualiti.
v. Pengurusan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.

vi. Iklim sekolah kondusif untuk pembangunan modal insan.


Selain itu, saya juga telah menimba pengetahuan mengenai ciri-ciri
kepimpinan yang diamalkan di SK Seri Sabak Uni. Saya sedar bahawa kejayaan
sesebuah sekolah terletak pada keberkesanan seluruh sistem, nilai, kepercayaan,
iklim, semangat dan budaya yang diamalkan oleh warga sekolah iaitu pelajar,
kakitangan sokongan, guru-guru dan pihak pentadbir. Pihak yang amat besar
pengaruhnya kepada kecemerlangan dan kejayaan organisasi sekolah itu ialah
pemimpin sekolah iaitu guru besar dan pentadbir di sekolah. Sekolah memerlukan
pemimpin atau pengurus yang berkesan untuk mentadbir dan jika tidak, masalah
akan wujud dalam organisasi tersebut. En. Maiden bin Abu Bakar sebagai guru
besar Sekolah Kebangsaan Seri Sabak Uni merupakan orang yang terutama di
peringkat sekolah untuk menyokong dan memastikan kejayaan pelaksanaan teras
yang berkaitan di peringkat sekolah. Saya sedar bahawa kualiti kepimpinan yang
tinggi adalah sangat diperlukan untuk mengurus dan mentadbir sekolah bagi
melahirkan generasi berkualiti. Seorang pemimpin yang berpandangan jauh, proaktif
dan berani melakukan perubahan demi kepentingan dan masa depan pelajar
mengikut perkembangan dan kesesuaian zaman, dapat melonjakkan pencapaian
sekolahnya ke peringkat yang lebih cemerlang.
Melalui temu ramah dengan Encik Maiden bin Abu Bakar, saya dapat
merumuskan beberapa perkara :1. Pemimpin Sekolah mesti memiliki ilmu yang mencukupi - ada sesetengah
mereka mendakwa daripada pengalaman terdapat pengurus sekolah yang
tidak tahu banyak perkara. Apabila guru merujuk masalah kepada mereka,
mereka meminta guru sendiri mencari jalan penyelesaian. Apabila tersilap
atau tidak memenuhi keinginan mereka, gurulah yang akan menjadi mangsa.
Impaknya mereka tidak disukai dan akan dijauhi. Encik Maiden bi Abu Bakar
bukan seorang pemimpin yang sebegitu. Beliau seorang yang berilmu,
berpengalaman dan sudi memberi pendapat profesionalnya kepada guru-guru
yang meminta pandangan dan tunjuk ajar daripadanya.
2. Pemimpin Sekolah mesti berlaku adil - setiap orang adalah penting. Tidak kira
guru sekolah atau pekebun di sekolah, setiap orang adalah sebahagian
daripada organisasi sesebuah sekolah itu.

3. Pemimpin Sekolah mesti menjadi perancang yang bijak, terutamanya apabila


merancang pelan pembangunan sekolah.
4. Pemimpin Sekolah mesti mempunyai komunikasi yang baik dan berkesan
Melalui pengumpulan maklumat dan pandangan beberapa guru di SK Seri
Sabak Uni, ramai guru yang sangat bersetuju dengan perkara ini kerana
berpendapat bahawa pemimpin sekolah yang dapat berkomunikasi dengan
baik dan berkesan akan meningkat motivasi para guru, rasa hormat serta
keseronokan bekerja. Mereka tidak suka pengurus sekolah yang hanya tahu
mengarah,berleter atau marah yang tidak padan dengan kesalahan atau
tempat.

Pengurusan sekolah yang sistematik juga satu aspek penting yang perlu
diberi perhatian, kerana pembolehubah pengurusan seperti kepimpinan guru besar
adalah pengaruh utama dalam mennetukan kualiti pendidikan dan pencapaian
akademik pelajar. Pengurusan ialah satu proses sosial dibentuk untuk mendapatkan
kerjasama, penyertaan dan penglibatan ahli-ahli dalam sesebuah organisasi untuk
mencapai sesuatu maklumat atau objektif yang paling berkesan. Dalam sesebuah
organisasi termasuk organisasi pendidikan, pentadbiran atau pengurusan adalah
penting. Pada pendapat saya, pentadbiran pendidikan ialah satu proses untuk
menyelaras usaha di kalangan berbagai-bagai anggota bagi memenuhi matlamat
yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran. Mengikut kefahaman saya,
matlamat akhir yang dikehendaki dalam pentadbiran sekolah atau institusi ialah
untuk meningkatkan taraf pengajaran dan pembelajaran. Ia meliputi peranan yang
dimainkan oleh sekolah, jabatan pendidikan, institut pendidikan guru dan juga
universiti. Pentadbiran sekolah tidak boleh dibezakan dengan bidang lain. Pada
asasnya ia adalah segala usaha yang dijalankan oleh sesuatu organisai untuk
memenuhi matlamat dan tujuan tertentu di samping menyelenggarakan dan
mengekalkan struktur organisasi. Secara umumnya saya dapat faham bahawa
pengurusan pendidikan di sekolah adalah disokong oleh struktur pentadbiran yang
lengkap dan mempunyai fungsi-fungsi yang tertentu di mana setiap fungsi itu saling
melengkapi kepada fungsi yang lain. Sesebuah pengurusan pendidikan yang cekap
dapat menggunakan semua sumber dengan berkesan.

Selain itu, saya juga mendapat pengetahuan baru tentang definisi budaya dan
iklim sesebuah sekolah. Sebelum ini saya sangka bahawa budaya merujuk kepada
jenis kaum pelajar di sekolah dan iklim pula bermaksud suasana pembelajaran di
sekolah. Tetapi rupa-rupaya maksud budaya dan iklim sekolah lebih luas daripada
ini. Budaya sekolah dan iklim sekolah merujuk kepada sejumlah nilai, budaya,
praktis-praktiskeselamatan dan struktur organisasi di sekolh yang mempengaruhi
dan memberi kesankepada proses pembentukan tingkah laku dan keselamatan
pelajar di sekolah. Kaedah P&P, keterbukaan dan bentuk hubungan yang wujud
antara pentadbir, guru, ibu bapa dan pelajar menyumbang kepada pembentukan
iklim sekolah. Walau bagaimana pun, budaya sekolah dan iklim sekolah adalah dua
bentuk yang saling berkaitan. Namun begitu, iklim sekolah lebih merujuk kepada
kesan persekitaran sekolah ke atas pelajar manakala, budaya sekolah lebih merujuk
kepada cara dan gaya guru dan staf bekerja dalam satu kumpulan. Budaya sekolah
merupakan sebahagian budaya masyarakat kerana sekolah itu lahir daripada
keperluan masyarakat. Semua pelajar sekolah terus didedahkan kepada norma,
nilai, simbol dan bahasa yang akan mencorak masa depan mereka. Budaya sekolah
ialah budaya yang dihasilkan oleh sebahagian pelajar dan sebahagian lagi oleh
golongan tertentu supaya aktiviti pelajar dapat dikawal. Saya sedar bahawa
pendidikan nilai-nilai masyarakat amat perlu diutamakan di sekolah. Pembudayaan
di sekolah juga harus dilaksanakan menerusi kurikulum formal dan kurikulum tidak
formal. Terdapat beberapa contoh budaya yang disemai di SK Seri Sabak Uni,
seperti budaya penyayang, budaya hormat-menghormati, budaya berani menyoal
dan budaya Membaca. Namun, saya berpendapat bahawa setiap budaya yang
dinyatakan perlulah diiringi dengan pelbagai aktiviti yang berkaitan contohnya
budaya penyayang boleh dipupuk melalui penganjuran lawatan ke rumah orang tua
atau khidmat masyarakat.

Iklim sekolah pula adalah sifat dan suasana yang ada di sekolah yang
membezakannya dengan sekolah yang lain. Sifat dan suasana yang ada di sekolah
adalah hasil interaksi antara guru dan pelajar serta masyarakat yang terdapat di
dalam sekolah tersebut secara keseluruhannya. Saya sedar bahawa iklim sekolah

sangat mempengaruhi perkembangan pelajar, terutamanya melalui pengenalan


konsep kendiri, keberkesanan keupayaan bekerja dan kemampuan membina
hubungan yang baik dengan orang lain. Ini adalah kerana pengaruh sekolah
memainkan peranan utama selepas keluarga dalam pembentukan personaliti
pelajar. Ada juga sesetengah pelajar yang menganggap sekolah merupakan
pengganti keluarga. Pengaruh guru dan rakan sebaya memang meninggalkan kesan
yang mendalam kepada diri pelajar. Oleh yang demikian , peranan iklim sekolah
amat bersangkut paut dengan personaliti dan perkembangan kecemerlangan
akademik pelajar serta keberkesanan sesebuah organisasi sekolah itu sendiri. Saya
sedar bahawa guru-guru di sekolah memainkan peranan yang amat penting dalam
mewujudkan iklim sekolah yang teratur, terkawal, tenang, dan tertib yang
menyediakan satu suasana yang kondusif kepada proses pengajaran dan
pembelajaran berkesan dan positif, bukannya suasana seperti riuh-rendah ikut suka,
kelam-kabut, hingar-bingar dan seumpamanya. Kesimpulannya, sekolah yang
berkesan perlu mempunyai budaya dan iklim pengurusan yang baik. Seperti
sekolah-sekolah yang lain, SK Seri Sabak Uni juga membina budaya dan iklim yang
bersesuaian dengan matlamat dan persekitaran sekolah tersebut.

Lawatan penanda aras ini telah memberi banyak pendedahan kepada saya
mengenai ciri-ciri kepimpinan sekolah kluster, pengurusan sekolah, iklim sekolah,
budaya sekolah, infrastruktur dan infostruktur sekolah tersebut. Keperluan ini
memperincikan prasarana pengajaran dan pembelajaran, informasi dan komunikasi
bagi mengoptimum kecekapan dan keberkesanan program latihan. Dari segi
infrastruktur, SK Sabak Uni memiliki keluasan tapak sebanyak 1 ekar yang
memuatkan secara keseluruhannya 20 buah bilik darjah termasuk prasekolah, 3
buah bilik guru, sebuah pusat sumber,1 bilik akses, 1 bilik J-QAF, 1 dewan terbuka,
bilik pemulihan khas, bilik kaunseling & bimbingan, 1 bilik mesyuarat, 1 surau, 1 bilik
tayangan, 1 bilik muzik, 1makmal sains, 1 makmal komputer, 1 stor ,1 bilik data dan
maklumat, 1 bilik peperiksaan, 1 bilik pam dan 1 bilik operasi buku teks (SBPT).
Dewan terbuka iaitu kawasan untuk berkumpul merupakan salah satu kelebihan SK
Seri Sabak Uni dari segi penyediaan infrastruktur kerana memudahkan aktiviti muridmurid. Selain itu, kebitaraaan Bahasa Melayu dan Bola sepak juga merupakan salah
satu keunikan sekolah ini. Apa yang mengagumkan saya adalah sekolah ini

menyediakan bola sepak dan kasut bola sepak yang paling baik dan rapi kepada
murid-muridnya.
Dari segi infostruktur, Sekolah Kebangsaan Seri Sabak Uni memang
mempunyai ciri-ciri yang boleh dipuji. Beberapa aspek telah saya dapati terdapat di
sekolah ini. Antaranya termasuklah papan maklumat. Sekolah Kebangsaan Seri
Sabak Uni memaparkan maklumat secara sistematik di papan maklumat. Papan
maklumat ini menyatakan visi dan misi sekolah, piagam pelanggan serta lagu
sekolah itu sendiri. Sekolah ini turut menyediakan papan info di mana terdapatnya
beberapa maklumat mengenai unit beruniform, kelab dan persatuan, serta sukan
dan permainan. Papan info ini memudahkan pihak guru, pelajar mahupun ibu bapa
untuk mengetahui info semasa mengenai aktiviti gerak kerja kokurikulum di sekolah.
Dari segi akademik pula, sekolah ini menyediakan ruangan khas bagi papan info
pencapaian akademik sekolah. Papan info akademik ini menunjukkan prestasi
murid-murid sekolah di mana pencapaian mereka diiktiraf oleh pihak sekolah. Papan
info in penting kerana dapat memberikan motivasi kepada pelajar-pelajar sekolah
untuk mencapai prestasi yang tinggi juga. Secara keseluruhan, saya rasa
infrastruktur SK Seri Sabak Uni agak lengkap, cuma saya cadangkan agar sekolah
melengkapkan lagi bengkel Kemahiran Hidup. Infostruktur sekolah ini juga amat
tersusun, sentiasa dikemas kini, dan dipaparkan dengan jelas.

Pada pendapat saya, lawatan penanda aras ke SK Seri Sabah Uni (sekolah
kluster) ini amat penting dijalankan oleh guru-guru pelatih kerana mampu memberi
motivasi dan semangat kepada kami untuk bersungguh-sungguh menimba ilmu dan
pengalaman sebanyak mungkin sebelum bergelar guru agar kami lebih bersedia
untuk membangunkan dan meningkatkan prestasi sekolah pada masa akan datang.
Selain itu, lawatan ini dapat memberi ilham, info dan tips kepada saya tentang
pengurusan dan ciri-ciri kepimpinan sesebuah sekolah bagi memastikan sekolah
terus berada dalam kemuncak kecemerlangan. Saya amat kagum dengan
kesungguhan guru besar sekolah ini kerana cukup tegas dengan prinsipnya untuk
membimbing sekolah ini supaya terus cemerlang. Secara keseluruhannya, saya
berpendapat bahawa objektif BIG Fasa 5 ini telah berjaya dicapai. Saya berharap
program seperti ini akan dapat diteruskan pada masa akan datang.

You might also like