You are on page 1of 18

Pengenalan

Tugasan ini membincangkan tentang gambaran pendidikan di Malaysia berlandaskan


perancangan (inovasi dan perubahan) yang telah dan sedang dilaksanakan di Malaysia.
Malaysia yang terdiri daripada masyarakat majmuk dan latarbelakang masyarakat yang
pelbagai lapisan tentunya memberi impak terhadap sistem pendidikan di sini.
Inovasi? Kebanyakan kamus memberi makna inovasi sebagai pembaharuan atau perubahan.
Pengertian ini di anggap agak longgar dan tidak begitu jelas.
Menurut Ronger E. Miller (1971) inovasi merupakan idea, amalan atau objek yang di anggap
baru oleh seseorang. Spencer (1994) menjelaskan inovasi ialah sesuatu yang di anggap baru
dan lebih baik daripada yang lama oleh seseorang individu.
Glosari Teknologi Pendidikan (1995) pula merujuk inovasi sebagai idea, konsep atau strategi
baru yang boleh mempertingkatkan sesuatu amalan.
ACEID (1977) pula menyatakan bahawa inovasi ialah an effort to introduce a practice in order
to bring about a social change. The practice need not be totally new, its efficiency and
potentially in a new context are the main criteria used in labelling it as innovation. The emphasis
is on change in terms of providing a strategy to deal with a specific local or national problem.
Sufean Hussin (2001) dalam kertas kerjanya pada Seminar Dasar dan Pengurusan Pendidikan
menyatakan inovasi bermaksud pembaharuan, modifikasi, atau membaiki idea, benda, ilmu dan
ciptaan seni budaya tamadun dengan tujuan memenuhi fungsi-fungsi tertentu atau memenuhi
cita rasa tertentu atau memenuhi pasaran tertentu.
Zaltman et. al (1973) menyatakan inovasi ialah idea, latihan atau bahan artifak yang kelihatan
baru pada unit yang menggunakannya.
Oldham dan Cuming (1996) pula menyatakan inovasi ialah kejayaan aplikasi pertama pada
sesuatu produk atau proses. Damapour (1991) menyatakan inovasi sebagai mengenerasi
perkembangan dan penggunaan idea baru pada organisasi.

Berdasarkan pendapat-pendapat bijak pandai, inovasi boleh dirumuskan seperti berikut


Merupakan penghasilan baru
Berbentuk maujud dan mujarad
Berdasarkan proses penyusunan semula
Dengan menggunakan unsur yang sedia ada
Terjelma sebagai unik, memudahkan dan bernilai
Inovasi dibuat oleh manusia kreatif untuk membina trend baru atau trendsetter untuk menjadi
peneraju (pioneer) dan lantas meraih peluang maksimum dalam ekosistem yang banyak
persaingan. Secara am, inovasi terdapat dalam dua peringkat iaitu:1. Peringkat individu
2. Peringkat organisasi
Peringkat Individu
Di peringkat ini, inovasi dibuat oleh individu kreatif dengan cara menimba ilmu, meneliti
persekitaran dan seterusnya membina idea baru untuk menghasilkan sesuatu teknologi baru
atau membaiki kualiti sesuatu benda atau untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Istilah
penting di sini ialah modifikasi.
Peringkat Organisasi
Di peringkat organisasi, inovasi ialah ciri penting bagi sesebuah organisasi yang dinamik dan
terbuka. Di sini organisasi sentiasa hidup serta berinteraksi secara aktif dan prospektif dengan
persekitaran. Prospektif ialah sifat mencari peluang baru untuk menguasai keadaan atau untuk
meraih keuntungan maksimum.
Organisasi inovatif ialah organisasi yang berwawasan dan bijak merencana rancangan strategik
iaitu dengan cara:1. Meneliti ciri-ciri kekuatannya dan menggunakannya untuk mempertahankan kedudukannya
dalam sesuatu ekosistem
2. Meneliti kelemahan-kelemahan dan merangka strategi mengatasi setiap kelemahan dengan
cekap dan pantas

3. Meneliti ekosistem dan mengenal pasti peluang-peluang yang ada untuk diperoleh secara
sistematik
4. Melancarkan strategi, dasar dan prosedur untuk menentang bahaya dan ancaman dari luar
dan dalam organisasi (Bryson dan Kaufman, 1988)
Dalam sistem pendidikan secara berpusat yang diamalkan di Malaysia, pelaksanaan inovasi
pendidikan adalah bersifat menjunam melalui proses dari atas ke bawah. Proses yang perlu
dilalui untuk menyebarkan inovasi kepada penerima adalah panjang dan berliku, melibatkan
beberapa peringkat penyebaran tertentu. Lazimnya, penyebaran inovasi itu dilaksanakan
secara stereotaip melalui mesyuarat, kursus, bengkel, seminar dan sebagainya. Berdasarkan
cara ini beberapa kekurangan dikenal pasti. Misalnya, apa yang difahami oleh penerima tidak
semestinya apa yang dihajati oleh penyampai asalnya. Ataupun jika difahami seperti apa yang
dihajati, ada kemungkinan tidak dipersetujui.
Selain halangan dari segi pergeseran maklumat mengenai inovasi pendidikan itu, strategi
kursus juga memerlukan kos yang tinggi, bilangan penyampai yang ramai, halangan
pentadbiran yang banyak, hingga dengan itu keberkesanan sistem lain sering dipersoalkan.
Antara masalah lain yang wujud dalam inovasi pendidikan adalah seperti berikut:1. Bidang atau sempadan inovasi pendidikan terlalu luas dan umum bagi mendapat sesuatu
persetujuan
2. Kepakaran dalam bidang inovasi yang ingin diperkenalkan adalah terhad justeru ketiadaan
pengetahuan dan pengalaman mengenainya
3. Kajian atau penyelidikan yang telah dibuat dalam usaha ke arah inovasi pendidikan adalah
dilakukan secara sendiri-sendiri dan bersifat beberapa usaha di sana sini. Ia tidak mengkhusus
dan tidak berterusan. Justeru timbul masalah kesinambungan antara kajian-kajian dan
kemantapan hasil
4. Pengwajaran dan perimbangan untuk tujuan inovasi pendidikan sering mempergunakan
kriteria-kriteria yang terhad. Halangan-halangan dan kekangan-kekangan telah membatasi
kriteria ini ke takat apa yang telah diputuskan oleh pihak berkuasa dan bukan oleh keperluan
yang berbangkit
5. Kesan sampingan yang negatif yang berlaku semasa sesuatu inovatif pendidikan dijalankan
telah tidak dipulihkan. Ini mengancam kredibiliti malahan keberkesanan inovasi yang dihajatkan.
6. Sokongan untuk sesuatu inovasi pendidikan tidak konsisten. Ini bermakna sokongansokongan yang sangat diharapkan malah diperlukan oleh pentadbir, pendidik dan guru-guru

dalam usaha menjayakan inovasi ini sering tergugat, tidak kukuh dan tidak berterusan.
Sokongan ini sangat perlu lebih-lebih lagi di peringkat usaha inovasi tersebut.
7. Wujud perbezaan dan bertentangan pendapat di kalangan pendidik sendiri dalam usaha
memperoleh inovasi pendidikan.
8. Terdapat kurangnya sambutan daripada pencadang inovasi sendiri terhadap kritikan-kritikan
yang datang daripada orang ramai. Biasanya jika ada sambutan yang diberikan, ia lebih
merupakan ssuatu usaha pewajaran sahaja dari pihak pencadang inovasi dan bukannya satu
penjelasan yang berbentuk teknikal dan empirikal.
9. Wujudnya kekeliruan berhubung definisi dan keperluan inovasi pendidikan di kalangan
penyampai sendiri dan juga di kalangan penerima.
10. Terdapat kecenderungan di kalangan penyampai inovasi mengambil, menerima,
memperaku dan menggunakan inovasi pendidikan yang di bentuk oleh negara lain dengan
andaian ia sesuatu untuk kegunaan di negeri ini.
PENGURUSAN
Kreativiti dan inovasi dalam pengurusan sekolah boleh menjadikan sekolah sebagai satu
organisasi pembelajaran yang bebas daripada belenggu birokrasi, dan ia dapat menjadikan
sekolah lebih dinamik, terbuka, ceria, cekap dan dapat menangani serta menyelesaikan
masalah dengan lebih mesra dan berhemah.
Dengan meluaskan lagi unsur-unsur kreatif dan inovatif dalam pengurusan sekolah, kebebasan
dan demokrasi akan dapat berkembang dan mencorakkan amalan hidup masyarakat sekolah.
Sistem komunikasi yang terbuka, pengaliran maklumat yang demokratik, kepimpinan sekolah
yang berhemah, dan falsafah pengurusan yang berasaskan hubungan dan pembangunan insan
yang harmoni boleh mencorakkan sekolah menjadi sebuah institusi sekolah yang kreatif dan
inovatif.

a. Perancangan perubahan
Perancangan perubahan yang bersifat mikro dan makro yang berasaskan penyelesaian
masalah perlu dilakukan dengan lebih kreatif dan inovatif. Sebagai contoh, rancangan
pengajaran tahunan dan mingguan perlu dirancang dengan lebih informatif dan kreatif untuk
meningkatkan kualiti pembelajaran guru.

b. Pengetahuan
Organisasi sekolah yang kreatif dan inovatif amat memerlukan seorang guru yang
berkemahiran, berpengetahuan, pakar, dedikasi, profesional dan mempunyai semangat kerja
yang tinggi dan berdaya maju. Mereka di anggap sebagai tenaga penggerak dan aset kepada
kemajuan organisasi pembelajaran untuk menjamin kualiti pendidikan.
c. Strategi pengajaran dan pembelajaran
Strategi pengajaran dan pembelajaran yang berkesan ialah apabila ianya dapat menyampaikan
pengetahuan dengan lebih berkesan dan serasi dengan wawasan yang diperjuangkan. Ianya
juga dapat mencetuskan suasana pembelajaran dan menggalakkan pelajar untuk terus belajar.
Dan juga dapat menambahbaik apa yang sedia ada pada pelajar.
Perubahan dinamik yang berlaku di sekolah juga disebabkan oleh kesan positif pengaruh
kreativiti dan inovasi, terutama dari segi kaedah pengajaran. Kaedah dan pendekatan yang
lebih menarik dan berkesan yang berlaku mencerminkan kreativiti guru dan sumbangan kreatif
peralatan, teknologi, stail dan organisasi pembelajaran. Terdapat kesan positif pengajaran dan
pencapaian murid. Guru yang kreatif dan inovatif mempunyai keterampilan yang tinggi dari segi
personaliti, pemikiran divergen, pemikiran kreatif, pemikiran kritis dan pemikiran strategik.
Keterampilan ini menjadikan guru kreatif dan inovatif adalah guru yang efektif yang sangat
penting kepada perubahan pendidikan dan kemajuan sekolah.
d. Kurikulum
Pencetusan kreativiti dan inovasi dalam pelaksanaan kurikulum amat penting bagi
mencorakkan perubahan dan kemajuan pendidikan negara yang sedang berhadapan dengan
pelbagai perubahan baru. Inovasi kurikulum yang meliputi inovasi dan kreativiti dalam isi
kandungan, pengetahuan dan jenis-jenis kemahiran yang perlu dikuasai oleh pelajar boleh
dinilai melalui cara ia dilaksanakan di sekolah. Kurikulum yang berkesan ialah kurikulum yang
dapat memenuhi kehendak individu atau pelajar. Ianya juga dapat menyediakan pelajar dengan
dunia pekerjaan dan juga mengembangkan bakat, potensi, pemikiran, budaya, daya cipta,
pengetahuan, kemahiran dan kebolehan pelajar.
Ini memerlukan guru menggunakan pelbagai kaedah, strategi dan pendekatan yang sesuai dan
berkesan dengan keperluan pelajar dan keadaan serta kekangan yang wujud di sekolah.

Pelaksanaan kurikulum pada umumnya memerlukan guru mengaplikasikan pengetahuan dan


strategi yang kreatif dan inovatif. Guru juga harus komited dan dedikasi menjadikan pengajaran
yang disampaikan lebih kreatif dan inovatif. Strategi baru dan kaedah pembelajaran kreatif perlu
dikembangkan di kalangan pelajar supaya pelajar dapat menguasai pembelajaran dengan lebih
kreatif, inovatif dan berkesan. Bagi memantau dan mengawal kualiti pengajaran di sekolah,
pasukan pemantauan kurikulum atau teamwork perlu dubentuk dengan tujuan menggalakkan
inovasi dan kreativiti dikembangkan dengan berkesan dalam pelaksanaan kurikulum sekolah.
e. Pengurusan organisasi pembelajaran
Pengurusan organisasi pembelajaran hendaklah berkualiti dan mengikut kehendak negara.
Ianya mampu membimbing pelajar menjadi ahli masyarakat yang kreatif dan inovatif dan juga
menghasilkan pelajar yang berkeupayaan menentukan halatuju masa depannya sendiri.

KEPIMPINAN
Kepimpinan sekolah memainkan peranan penting ke arah pencetusan inovasi organisasi
pembelajaran di sekolah. Selain daripada mempunyai latihan, pengalaman, pendedahan dan
pengetahuan yang luas dalam bidang pendidikan, kepimpinan sekolah perlu mempunyai
dorongan dan komitmen bagi membawa perubahan sekolah melalui meluaskan kreativiti dan
inovasi dalam seluruh aspek pengurusan dan pendidikan organisasi sekolah.
Pemimpin perlu merangka strategi yang berkesan bagi membawa perubahan dinamik dan
menjadikan sekolah sebagai organisasi pembelajaran yang kreatif dan inovatif. Organisasi
sekolah perlu mempunyai dan membentuk kepimpinan kolektif bagi memimpin perubahan
berasaskan kepada strategi dan pendekatan kreatif dan inovatif dalam pengurusan pendidikan
sekolah.
Kepimpinan sekolah perlu menunjukkan minat dan usaha bagi membangunkan sekolah sebagai
organisasi pembelajaran yang kreatif dan inovatif. Ketandusan kreativiti dan inovasi dalam
organisasi sekolah boleh dilihat sebagai punca utama kelemahan institusi sekolah dalam
menghadapi perubahan dan cabaran inovasi yang berlaku dalam pelbagai kehidupan manusia
seperti inovasi teknologi, inovasi pengetahuan dan inovasi belajar. Kejayaan dan
perkembangan organisasi pembelajaran banyak bergantung kepimpinan yang bersifat kreatif
dan inovatif. Pemimpin perlu berpandangan jauh, pemikiran terbuka, serta sedia mendengar

pandangan orang lain. Mereka juga perlu mempunyai kewibawaan yang baik dalam
mencorakkan berbagai pembaharuan dalam organisasi terutama di sekolah. Dengan ciri-ciri
yang ada, mereka boleh mendorong dalam meningkatkan kualiti produk, kualiti intelektual dan
kualiti prestasi pelajar. Juga berkeupayaan memotivasikan ahlinya serta dapat mengenal pasti
kekuatan dan kelemahan ahli yang ada dalam organisasinya.
BUDAYA
Ciri budaya sekolah kreatif dan inovatif ialah wujudnya persekitaran belajar yang mendorong
semangat belajar pelajar, membentuk minat yang mendalam, kesedaran dan daya usaha,
dedikasi dan perkembangan potensi pelajar. Pelajar juga tidak menghadapi masalah bagi
mendapatkan bimbingan dan tunjuk ajar daripada guru-guru yang dedikasi, terlatih dan
profesional.
Sekolah yang kreatif dan inovatif juga menonjolkan keceriaan fizikal, keceriaan budaya serta
keceriaan iklim sekolah. Penonjolan ini menjadikan sekolah tempat belajar yang harmoni,
menceriakan dan sesuai untuk perkembangan psikologi kreativiti dan inovasi berlaku. Perasaan
dan pemikiran yang ceria juga boleh wujud dalam suasana dan iklim sekolah yang ceria.
Sekolah yang ceria, kreatif dan inovatif boleh mengurangkan pelbagai gejala sosial dan moral
yang tidak diingini.
Penonjolan budaya kreatif dan inovatif boleh berlaku dengan pelbagai cara seperti aktiviti kreatif
sekolah dalam sains dan teknologi, persembahan budaya, sukan, ko-kurikulum, dan melahirkan
tokoh-tokoh tertentu dalam bidang kreatif. Imej organisasi sekolah kreatif tidak hanya
bergantung kepada pencapaian akademik semata-mata,sebaliknya menonjolkan imej
cemerlang dalam pelbagai bidang lain seperti muzik, pancaragam, sukan dan budaya. Budaya
sekolah yang baik mampu menyemai nilai, norma positif, menghormati orang lain, memberi
dorongan dan mengadakan persaingan yang sihat dan membina di dalam organisasi.
TEKNOLOGI
Teknologi dalam pengurusan organisasi sekolah boleh mencetuskan perkembangan dinamik
kreativiti dan inovasi. Teknologi bukan sahaja suatu alat tetapi boleh mempengaruhi sistem
pengurusan yang lebih efisien dan kreatif. Pengurusan teknologi maklumat dan penggunaan
teknologi komunikasi maklumat (ICT) dapat membina imej baru organisasi inovatif. Ia juga

menjadikan organisasi pendidikan dan pembelajaran sekolah lebih berdaya saing dan menjadi
lebih produktif.
Penggunaan teknologi maklumat dan ICT menjadikan pengurusan lebih canggih dan moden.
Revolusi maklumat dan perubaha teknologi memberi kesan yang positif kepada inovasi
perubahan pengurusan organisasi pembelajaran, khususnya sekolah. Bagaimanapun
penggunaan teknologi sering kali menimbulkan masalah dari segi cost effective, pembiayaan,
penjagaan, dan kewangan. Masalah kekurangan infrastruktur pembelajaran dan teknologi boleh
dilihat sebagai penghalang kepada kreativiti dan inovasi teknologi maklumat yang perlu
disebarkan melalui sistem persekolahan. Usaha bagi meningkatkan masyarakat celik teknologi
maklumat juga belum begitu tercapai disebabkan jurang perbezaan kemudahan teknologi yang
wujud antara sekolah-sekolah, terutama antara sekolah luar bandar yang begitu ketinggalan
dengan sekolah bandar yang lebih terdedah dengan kemudahan ini.
Teknologi maklumat telah banyak digunakan dalam organisasi khasnya dalam dunia
pendidikan. Inovasi organisasi banyak dipengaruhi oleh penggunaan teknologi maklumat dalam
dunia pendidikan. Organisasi dan individu yang menolak inovasi ini akan ketinggalan.
Persoalan yang timbul ialah bagaimana Teknologi Maklumat dapat menangani dan membantu
inovasi sesebuah organisasi. Teknologi maklumat ialah pemangkin atau alat inovasi dalam
sesebuah organisasi. Faktor ilmu dan pembelajaran merupakan penyumbang kepada Teknologi
Maklumat memainkan peranan sebagai to manage, innovate and implement change.
Ahli-ahli sejarah berpandangan bahawa sesuatu tamadun itu akan melalui beberapa fasa
perubahan, asimilasi, dan diversifakasi. Sardar (1979) berpendapat bahawa kekuatan dan
kelemahan diadili oleh kebolehan atau ketidakbolehan mengubahsuai kepada persekitaran
yang berubah, dan dalam masa yang sama tidak kehilangan identiti dan parameter asal. Abdul
Aziz Yusof (2000) pula menyatakan organisasi merupakan satu entiti yang memerlukan
perubahan bagi membolehkannya untuk terus hidup, membangun, dan berkembang.
Kegagalannya melakukan atau bertindak terhadap perubahan akan menyebabkannya
menempah kegagalan dan yang pasti akan memendekkan jangka hayat kewujudannya.
Melakukan perubahan juga di anggap sebagai menempuh ketidakpastian serta akan
mendedahkan organisasi kepada pelbagai risiko.
Menurut Alvin Toffler (1991), dunia menghadapi perubahan mendadak pada dekad ini di mana
generasi kita berada dalam third wave of change. Keadaan ini menyebabkan ilmu dan

maklumat mengganti sumber tradisi iaitu tanah, modal dan buruh. Peralihan dari relovusi
pertanian ke revolusi industri memakan masa selama 300 tahun. Ahli Sains cybernetic
berpendapat inovasi ialah proses semula jadi di mana sesuatu organisasi itu perlu mekanisma
tertentu untuk menangani inovasi yang di akibatkan oleh faktor-faktor luaran dan dalaman yang
di bawa oleh proses maklumbalas dan tindakbalas melalui sistem komunikasi dan maklumat
antara manusia dan sistem.
Selaras dengan perkembangan teknologi, Kementerian Pendidikan telah membuat beberapa
inovasi dalam organisasi pendidikan. Di awal-awal inovasi, Kementerian Pendidikan telah
membekalkan peralatan pendidikan berasaskan terknologi seperti radio, televisyen, overhead
projector ke sekolah bagi tujuan membantu proses pengajaran dan pembelajaran guru dan
pelajar. Pihak kementerian juga menyediakan rancangan pendidikan untuk disiarkan ke sekolah
rendah dan menengah melalui Radio dan TV Pendidikan. Bermula pada tahun 2000, penyiaran
rancangan pendidikan melalui TV dipertingkatkan dan diperluas ke sekolah di kawasan luar
bandar dan pedalaman dengan menggunakan teknologi satelit.
Pada awal tahun 1990-an, KPM telah melaksanakan beberapa projek pendidikan yang
berasaskan ICT dan pembekalan komputer sebagai aktiviti utama dalam penyediaan
infrastruktur ICT. Pada tahun 1992, sebanyak 60 buah sekolah menengah luar bandar telah
dibekalkan dengan 20 set komputer untuk pelajar dan satu set komputer untuk guru bagi setiap
buah sekolah. Pada tahun 1994 pula, KPM telah melancarkan Projek Rintis Pengajaran
Pembelajaran Berbantu Komputer bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Matematik di 15
buah sekolah rendah luar bandar di negeri Selangor. Setiap sekolah dibekalkan dengan 21 set
komputer dan perisian kursus pendidikan yang disediakan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum
(PPK). Pada tahun 1996 pula, penyediaan infrastruktur ICT diperluas kepada 209 buah sekolah
menengah dan 20 buah sekolah rendah. Sekolah-sekolah menengah ini dibekalkan dengan 20
set komputer dengan satu pelayan (server) untuk Persekitaran Rangkaian Setempat (LAN)
tanpa kemudahan internet sementara di sekolah rendah komputer yang dibekalkan tidak
dirangkaikan. Antara tahun 1999 hingga 2000, sebanyak 222 buah sekolah rendah dan 110
buah sekolah menengah di seluruh negara telah dibekalkan sebanyak 10 set komputer bagi
setiap buah sekolah.
Pada tahun 2000, Projek Penyediaan Infrastruktur Fizikal dan Pengkomputeran Sekolah
Rendah dan Menengah (Projek Pengkomputeran) diperkenalkan di 2,418 buah sekolah rendah
dan menengah secara berperingkat-peringkat dengan mendahulukan sekolah yang mempunyai

enrolmen melebihi 150 dan mempunyai bekalan elektrik. Makmal komputer dilengkapi dengan
komputer terkini beserta kemudahan LAN dan internet. Sekolah-sekolah ini dibekalkan
perkakasan komputer mengikut kriteria yang ditetapkan seperti berikut:
Enrolmen kurang 400 orang mendapat 10 komputer, 1 makmal komputer dan 1 server
Enrolmen 400 800 orang mendapat 20 komputer, 1 makmal komputer, 1 server dan 1
projektor LCD
Enrolmen melebihi 800 orang mendapat 40 komputer, 2 makmal komputer, 2 server, dan 1
projektor LCD
Sehingga akhir tahun 2000, sebanyak 18 buah sekolah (12 buah sekolah rendah dan 6 buah
sekolah menengah) telah dilengkapi dengan teknologi peralatan ICT. Projek-projek ICT dalam
pendidikan yang telah dilaksanakan adalah pemangkin kepada usaha ke arah e-pembelajaran.
Selain menambah sumber tenaga manusia terlatih, projek-projek ini juga dapat meningkatkan
penggunaan dan pengintegrasian teknologi ICT dalam P&P.
Projek Rintis Sekolah Bestari telah dimulakan pada tahun 1999 dengan mencadangkan
penyediaan persekitaran ICT yang dinamik, fleksibel, dan terkini bagi lima buah sekolah rendah
dan 85 buah sekolah menengah. Sehingga tahun 2000, sebanyak 87 buah sekolah (4 buah
sekolah rendah dan 83 buah sekolah menengah) telah dilengkapi dengan kemudahan ICT.
Penyelesaian Bersepadu Sekolah Bestari dalam projek rintis ini melibatkan komponen bahan
P&P elektronik, pengkomputeran Sistem Pengurusan Sekolah Bestari, penggunaan perkakasan
ICT, rangkaian setempat, dan Wide Area Network (WAN). Dari segi penggunaan ICT sebagai
pengupaya pedagogi dan pengurusan sekolah, tiga aras teknologi diperkenalkan dalam projek
rintis, iaitu aras A (model bilik darjah), B+ (model bilik darjah terhad) dan B (model makmal
komputer).
Pembekalan komputer bukan sahaja melibatkan pihak sekolah sahaja tetapi kepada pihakpihak lain dalam organisasi pendidikan. Kementerian Pendidikan Malaysia telah membekalkan
komputer kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Bahagian (PPB), dan
Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk tujuan meningkatkan pengurusan pendidikan. Mulai
tahun 2001, KPM akan membekalkan komputer dengan nisbah 1 : 1 kepada kumpulan
pengurusan dan profesional serta kumpulan sokongan. Pada peringkat sekolah pula, nisbah
komputer berbanding pentadbir ialah 2 : 1 dan sebanyak enam unit komputer akan disediakan
untuk kegunaan pengurusan dan pentadbiran sekolah. Pembangunan infrastruktur komputer di

universiti-universiti awam juga akan dipertingkatkan. Dewan kuliah dan bilik seminar akan
dilengkapi dengan kemudahan komputer dan adalah menjadi hasrat kerajaan supaya setiap
pensyarah dibekalkan dengan sebuah komputer. Rangkaian komputer juga akan
menghubungkan bangunan pentadbiran dengan bilik-bilik syarahan, makmal, dan bilik
pensyarah. Rangkaian kampus ini menggunakan bandwidth 155 Mbps, kadar hubungan ke
desktop 10 Mbps, dan kadar hubungan kepada internet 2 Mbps. Kemudahan ini dijangka dapat
dipertingkatkan mengikut keperluan penggunaan.
Konsep Smart School juga telah menjadi panduan kepada pelaksanaan P&P bestari. Tumpuan
diberikan kepada aplikasi ilmu dalam kehidupan sebenar, merekacipta dan berinovasi, serta
berinteraksi dengan pihak luar. P&P dalam bilik darjah perlu menterjemahkan konsep
meaningful and thoughtful learning dan 4S iaitu self-paced, self-taught, self-access dan selfdirected.
Bahagian sumber maklumat juga telah membina dan membuat pembaharuan dari segi aplikasi
komputer untuk beberapa Jabatan atau Bahagian seperti Sistem Pengurusan Kewangan,
Sistem Maklumat Staf, Sistem Maklumat Institusi Pendidikan Swasta, Sistem Maklumat
Biasiswa dan beberapa sistem pemilihan calon masuk ke institusi pendidikan tinggi tempatan.
Bahagian sumber maklumat juga menyediakan kemudahan rangkaian KPMnet yang
menghubungkan Jabatan/Bahagian dengan institusi pendidikan. Melalui kemudahan ini,
personel KPM diberikan kemudahan e-mel dan internet. Laman web KPM iaitu EducationNet
telah dibina dan mengandungi maklumat aktiviti semasa serta maklumat tentang status
permohonan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP), maktab perguruan dan universiti awam serta
status pinjaman PTPTN.
PEMIKIRAN
Pemikiran kreatif dan inovatif dapat diwujudkan dengan menanya soalan-soalan terbuka yang
dapat mencungkil daya pemikiran pelajar untuk mengemukakan idea-idea baru serta
mencetuskan pemikiran bertahap tinggi. Ia mendorong proses akomodasi iaitu penyusunan
semula pengetahuan dan proses asimilasi iaitu menggabungkan pengetahuan baru dengan
pengetahuan yang sedia ada. Organisasi pembelajaran yang kreatif dan inovatif dapat
mengembangkan pemikiran divergent atau lateral, imaginatif di kalangan pelajar.

Ahli psikologi telah mengkaji fenomena pemikiran kreatif dan inovatif dengan tujuan
menerangkan hasil (produk) dan proses pemikiran. Tumpuan ialah kepada heuristik yang
digunakan sebagai pemikiran. Pendekatan pemikiran kreatif dan inovatif untuk mengkaji proses
pemikiran berbeza mengikut teori pemikiran yang diamalkan. Konsep pemikiran tersebut ialah:Pemikiran sebagai CUBA JAYA
Menurut ahli psikologi behavioris pemikiran ialah satu usaha cuba jaya, iaitu pertalian antara
rangsangan dan respons. Teori pemikiran behavioris terdiri daripada tiga komponen, iaitu
rangsangan (Ra: sesuatu situasi penyelesaian masalah, respons (Re : tingkah laku
penyelesaian masalah tertentu) dan kaitan antara rangsangan tertentu dan respons tertentu.
Organisma akan cuba sehingga berjaya mencapai pertalian itu. Pertalian itu diandaikan berlaku
dalam minda organisma dan dipamerkan dengan penyelesaian masalah berkenaan (Ra-Re).
Menurut Thorndike (1911), latihan mengeratkan pertalian antara rangsangan dan respons, dan
respons yang tidak membantu proses penyelesaian masalah, lama-kelamaan akan kehilangan
kesannya. Pertalian antara rangsangan dan respons akan bertambah kukuh sekiranya terdapat
kesan yang menyeronokkan selepas menyelesaikan sesuatu masalah.
Apakah pula yang berlaku antara rangsangan dan respons? Hull (1943) meramalkan bahawa
respons-respons kecil berlaku di antara Ra dan Re yang membawa kepada penyelesaian
masalah. Watson (1930) menyifatkan ini sebagai bercakap dengan diri sendiri. Walau
bagaimanapun ahli-ahli psikologi behavioris tidak begitu berminat menerangkan apa yang
berlaku di antara rangsangan dan respons. Oleh sebab apa yang berlaku dalam minda
organisma tidak dapat dilihat secara empirikal, kajian mengenainya kurang diberi perhatian.
Hanya tindakan yang dapat diperhatikan berlaku, seperti rangsangan dan respons diterima
sebagai bukti.
Pemikiran sebagai CELIK AKAL
Menurut ahli psikologi Gestalt, pemikiran atau proses penyelesaian masalah ialah pencarian
kaitan antara satu aspek masalah dengan aspek yang lain, dan akibatnya ialah kefahaman
struktural. Iaitu kebolehan memahami bagaimana semua bahagian-bahagian masalah dapat
disepadukan bagi memenuhi syarat-syarat matlamat. Ini memerlukan mengorganisasi semula
elemen-elemen masalah kepada bentuk baru supaya masalah itu dapat diselesaikan.

Dalam eksperimen klasik yang dijalankan oleh Kohler (1925) seekor monyet yang lapar diletak
di dalam sebuah sangkar. Sebiji pisang tergantung daripada bumbung sangkar tersebut dan
terlalu tinggi untuk monyet itu mendapatkannya. Dalam sangkar itu juga terdapat beberapa
kotak yang berlainan saiz. Monyet itu cuba mendapatkannya pisang itu dengan melompatlompat beberapa kali tetapi tidak berjaya. Ia pun berhenti seketika dan memerhati sekeliling
sangkar dan dengan tiba-tiba mengheret kotak-kotak ke tengah sangkar di bawah pisang. Lalu
monyet itu pun menyusun kotak-kotak itu bertindih-tindih menjadi seperti tangga dan kemudian
memanjat kotak-kotak tersebut dan berjaya mendapatkan pisang. Menurut Kohler, apabila
monyet itu secara tiba-tiba sedar tentang pertalian di antara kotak-kotak dengan mendapatkan
pisang, ia disifatkan celik akal (insight).
Pemikiran sebagai MENCARI MAKNA
Menurut Ausubel (1968), struktur kognitif atau skemata ialah pengetahuan sedia ada manusia
dan terdiri daripada fakta, konsep dan generalisasi yang pernah dipelajari atau didedahkan.
Pembelajaran bermakna atau meaningful learning berlaku apabila maklumat baru dapat
diasimilasikan ke dalam struktur kognitif individu berkenaan melalui proses subsumpsi. Pendek
kata, subsumpsi berlaku apabila individu dapat memberi makna kepada maklumat baru
berdasarkan pengetahuan sedia ada. Namun demikian, pemikiran ditafsirkan sebagai proses
mencari skemata atau pengalaman lalu yang sesuai untuk dikaitkan dengan pengalaman atau
maklumat baru.
Pemikiran sebagai PEMBENTUKAN KONSEP
Pengujian hipotesis atau pemikiran induksi lazimnya dikaitkan dengan pembentukan konsep
dan penaakulan analogikal. Pembentukan konsep dikaitkan dengan usaha-usaha Bruner,
Goodnow & Austin (1956) yang menyarankan kepentingan pengkonsepan. Pembentukan
konsep atau kategori memudahkan individu memahami persekitarannya serta mengurangkan
tekanan kognitif. Kategori konsep mewakili beberapa objek atau peristiwa yang mempunyai ciriciri serupa atau hampir sama serta ciri-ciri tertentu yang membezakan objek itu dengan objek
yang lain.
Individu yang diberikan masalah mengumpulkan maklumat mengikut kategori tertentu dikatakan
akan mengemukakan hipotesis dan peraturan. Contohnya, objek-objek seperti meja, kerusi,

katil dan almari akan dilonggokkan di bawah kategori perabot. Dia akan meneruskan proses
melonggokkan mengikut hipotesis ini sehingga ia tidak boleh dipakai lagi.
Pemikiran sebagai PEMBINAAN MAKLUMAT
Ahli-ahli psikologi seperti Sigel (1984) menyifatkan pemikiran sebagai satu proses aktif yang
melibatkan beberapa operasi mental utama seperti induksi, deduksi, penaakulan, urutan dan
klasifikasi. Operasi ini bertindak secara berasingan atau bergabung apabila menyelesaikan
masalah atau membuat keputusan. Pelajar sentiasa aktif memerhati dan membina
pengetahuan dengan membuat hubung kaitan antara objek, peristiwa atau orang di
persekitarannya.
Kanak-kanak dengan spontan boleh asimilasi pengetahuan daripada pengalaman dan
menyusunnya melalui beberapa operasi mental. Walau bagaimanapun aspek-aspek
pengalaman dan cara pengalaman itu disusun adalah terhad dan tertakluk kepada tahap
perkembangan kanak-kanak itu. Dalam proses pembelajaran yang memberi pelajar peluang
bercakap, memberi pendapat dan membuat keputusan, akan menambahkan kualiti pemikiran
pelajar di sekolah. Kanak-kanak yang berinteraksi dengan orang dewasa dan menerima
layanan yang positif akan muncul sebagai pemikir yang lebih berkesan.
Pemikiran sebagai PENAAKULAN DEDUKTIF
Penaakulan deduktif ialah membuat kesimpulan berdasarkan premis, pernyataan atau
maklumat tertentu yang diperoleh daripada berbagai-bagai sumber. Individu hanya perlu
menyusun idea-idea tersebut ke arah mendapat satu jawapan yang betul sahaja. Semua butir
maklumat yang diperlukan untuk menjawab pertanyaan Siapakah yang paling tinggi? Telah
diberikan. Individu hanya dikehendaki menyusun dan mengaturnya mengikut cara berkesan.
Sekiranya maklumat yang diberikan salah, maka jawapannya pun mungkin salah. Penaakulan
induktif juga disebut sebagai pemikiran bertumpu atau konvergen.
Pemikiran sebagai PENAAKULAN INDUKTIF
Penaakulan induktif yang disebut sebagai pemikiran bercapah tidak ditujukan ke arah
mendapatkan satu jawapan betul. Sebaliknya, terdapat lebih daripada satu jawapan yang
mungkin betul (Phillips, 1994). Individu yang menaakul secara induktif cuba mengemukakan
pelbagai jawapan, idea, kesimpulan dan alternatif yang boleh diterima sebagai betul. Lazimnya,
dalam penaakulan induktif individu tidak dapat menyatakan dengan yakin iaitu daripada banyak

jawapan yang dicadangkan, satu jawapan adalah betul. Mengapa? Ini adalah kerana jarang
sekali seseorang itu akan dapat meneliti segala kemungkinan. Kemungkinan lain boleh timbul
yang memaksa individu mengubahsuai pemilihan awalnya. Contohnya, jika kita rumuskan
bahawa semua kucing mempunyai ekor dan tiba-tiba kita bertembung dengan kucing yang tidak
mempunyai ekor, kita terpaksa mengkaji semula rumusan yang dibuat tentang kucing.
Pemikiran sebagai PENYELESAIAN MASALAH
Menurut Simon (1962), semua aktiviti kognitif atau pemikiran pada asasnya ialah penyelesaian
masalah. Dalam kehidupan harian seseorang, penyelesaian masalah ialah aktiviti yang kerap
dilakukan, sama ada di rumah, di tempat kerja, di tempat permainan dan rekreasi atau semasa
pembelajaran.
Pada asasnya, terdapat tiga ciri utama penyelesaian masalah, iaitu, keadaan matlamat,
keadaan awal, dan pelaksana. Biasanya penyelesaian masalah dilihat sebagai mencari ruang
masalah yang terdiri daripada beberapa masalah yang memerlukan penyelesaian. Keadaan
awal ialah kesedaran tentang masalah dan pemilihan tindakan untuk menukar keadaan awal
dalam ruang masalah. Apabila sesuatu tindakan di ambil, maka individu itu adalah pada tahap
keadaan pertengahan, iaitu dia telah menukar keadaan kepada keadaan yang lain. Apabila ia
mencapai matlamatnya dia dikatakan telah sampai pada keadaan matlamat atau penyelesaian
masalah.
STRATEGI PEMBELAJARAN
Organisasi pembelajaran yang kreatif dan inovatif perlu di rangka berlandaskan kepada
pembelajaran yang berpusatkan pelajar. Kaedah tersebut dapat meningkatkan pengetahuan,
kemahiran dan mencungkil idea baru daripada pelajar. Juga dapat menggalakkan pelajar untuk
berkomunikasi.
Strategi pembelajaran yang berkesan dapat mengembangkan potensi, dan bakat pelajar yang
terpendam dan seterusnya boleh diaplikasikan dalam kehidupan harian. Contoh-contoh yang
boleh digunakan ialah seperti brainstorming, pembelajaran berpusat masalah, simulasi, kerja
secara berkumpulan dan sebagainya.
KOMUNIKASI TERBUKA

Komunikasi terbuka dapat mendorong perkembangan dan kemajuan organisasi pembelajaran.


Komunikasi terbuka membolehkan maklumat diperoleh dengan mudah tanpa banyak halangan
birokrasi. Maklumat yang diperoleh dari luar organisasi dapat digunakan untuk membantu
perkembangan kreativiti dan inovasi serta meningkatkan produktiviti dan kreativiti di kalangan
pelajar.
Maklumat yang diperoleh bukan sahaja mengalir daripada atas ke bawah tetapi juga dari bawah
ke atas. Ia juga dapat menggalakkan pencarian fakta dan maklumat terkini berhubung
perkembangan organisasi. Maklumat yang pantas dan terkini boleh mempengaruhi keputusan
yang dibuat bagi menangani berbagai perkembangan organisasi pembelajaran.
PENYELESAIAN MASALAH
Setiap hari kita dilanda dengan pelbagai masalah, sama ada di tempat kerja, rumah ataupun di
sekolah. Sebagai contoh, kerapkali kita terdengar pelajar yang diberikan kerja seperti projek
sejarah, masalah matematik, menulis karangan, mangatakan Saya tidak tahu tanpa mencuba.
Aktiviti-aktiviti penyelesaian masalah membawa pelbagai manfaat kepada pemantapan
pemikiran kreatif dan inovatif pelajar (Fisher, 1992).
Kegiatan penyelesaian masalah tidak hanya menambah penguasaan pengetahuan,
memperkukuhkan kemahiran dan melahirkan sikap tertentu, tetapi memberi peluang kepada
guru memerhati cara pelajar mendekati masalah, berkomunikasi dan belajar.
Bagi menentukan sama ada pelajar memahami sesuatu prinsip atau butir maklumat ialah
dengan memberinya masalah untuk diselesaikan. Aktiviti-aktiviti corak bermasalah juga
memberi peluang kepada pelajar menunjukkan kebolehannya mengaplikasikan sesuatu prinsip,
kaedah atau teori kepada penyelesaian masalah berkenaan.
Masalah-masalah yang dihadapi oleh individu atau pelajar ada yang berstruktur dan apa pula
yang tidak berstruktur. Contoh masalah-masalah berstruktur seperti masalah matematik dan
fizik. Bagi masalah-masalah ini, segala maklumat yang diperlukan telah disediakan atau mudah
diperoleh untuk menyelesaikannya. Akan tetapi dalam kehidupan seharian pelajar menghadapi
pelbagai masalah sosial, etika, moral dan sebagainya yang kabur dan tidak berstruktur, iaitu
tidak boleh diselesaikan mengikut langkah-langkah yang teratur. Bagi masalah berstruktur,
proses penyelesaian masalah mengikut urutan langkah-langkah tertentu. Berdasarkan
cadangan Newell dan Simon (1972) langkah-langkah penyelesaian masalah adalah mengikut

urutan seperti di bawah.


1. Mengenal pasti masalah
2. Mendefinisikan masalah
3. Mencari penyelesaian
4. Bertindak
5. Menilai kejayaan tindakan
Jadi aktiviti-aktiviti yang melibatkan penyelesaian masalah sama ada dalam pengajaran dan
pembelajaran serta program lain di sekolah mampu membentuk daya kreativiti dan inovasi
pelajar dan juga guru.
KESIMPULAN
Inovasi dan kreativiti merupakan penyumbang ke arah perubahan organisasi, perkembangan
dan pembangunan negara. Bagi menghasilkan sebuah organisasi pembelajaran yang kreatif
dan inovatif faktor-faktor yang perlu diberi perhatian ialah pengurusan organisasi, kepimpinan,
budaya, teknologi, pemikiran, strategi pembelajaran, penyelesaian masalah dan juga
komunikasi terbuka.
Kreativiti dan inovasi yang dibentuk atau dibina perlulah bersesuaian dengan keperluan dan
kehendak masyarakat, individu dan juga negara. Ianya juga hendaklah bebas daripada
sebarang kebimbangan dan ketakutan yang merupakan pra syarat untuk mengembangkan
potensi pelajar yang seharusnya mempunyai daya kreativiti dan inovasi yang aktif dan berdaya
maju. Individu yang bersifat kreatif dan inovatif perlu diganjari dengan sepatutnya supaya bakat
yang ada tidak dipersiakan begitu sahaja.
Bagi guru yang kreatif dan inovatif pula, mereka harus sentiasa mengkaji dan menyelidik apa
yang berfungsi dan tidak berfungsi dalam profesion mereka. Mereka perlu menanya beberapa
persoalan dengan diri mereka. Di antara persoalan-persoalan tersebut ialah: Bagaimana perasaan beliau dengan kualiti dan kuantiti atau aktiviti dalam perkembangan
organisasi pembelajaran?
Bagaimana beliau membina dan mengukuhkan faktor yang telah memberi sumbangan kepada
kejayaan lepas?
Bagaimana beliau mengalih atau mengelakkan penghalang yang mengganggu aktiviti?
Bagaimana beliau menetapkan matlamat untuk dan mengukur kesesuaian perkembangan

aktiviti dalam pembelajaran baru?


Bahagian mana yang paling perlu beliau pertingkatkan perkembangan proses hasil
pembelajaran baru?
Jadi jelas menunjukkan ciri-ciri kreatif dan inovatif bukan sahaja wujud pada seseorang individu
sahaja tetapi ia berkait rapat dengan penyumbang atau faktor-faktor lain seperti kepimpinan,
pemikiran dan budaya sesuatu organisasi itu untuk menentukan kejayaan, pembangunan dan
perkembangan sesebuah organisasi khasnya organisasi pendidikan.

You might also like