You are on page 1of 1

KASIH SAYANG SEORANG AYAH

Setelah melihat video tersebut, tidak dapat disangkal lagi bahawa kasih
sayang seorang ayah tiada tolok bandingnya. Sejak kecil lagi ayahnya (Mr. Dick)
berkorban dari segi masa, tenaga, wang ringgit dan sebagainya semata-mata untuk
memberikan yang terbaik kepada anaknya (Rick). Ayahnya tidak pernah berputus
asa terhadap keadaan anaknya, malah semakin berusaha untuk membantu anaknya
agar mendapat kehidupan yang selesa.
Walaupun anaknya cacat, si ayah tidak pernah membezakan anaknya
dengan anak orang lain. Si ayah ingin memberikan hak yang sama kepada anaknya
supaya anaknya berasa dihargai dan disayangi serta diterima oleh masyarakat
setempat. Ini dapat dilihat dengan usahanya yang memasukkan anaknya ke sekolah
biasa bagi belajar dengan menggunakan alatan komputer yang canggih serta
dibantu oleh beberapa tenaga pengajar pakar yang lain.
Si ayah dengan sedaya upaya membuat anaknya sebahagian daripada
komuniti dengan melibatkan diri secara aktif dalam bidang sukan. Ini telah membuka
mata ramai pihak bahawa kecacatan tidak menghalang anda daripada melakukan
sebarang aktiviti sukan atau lasak. Si ayah dan anaknya bersama-sama dalam
setiap acara marathon, triathlon yang memerlukan peserta berbasikal, berenang dan
juga berlari. Sikap kebersamaan yang mereka amalkan sangat menyentuh hati
setiap insan yang mengenali mereka dan pernah melihat mereka.
Banyak pengajaran yang dapat kita ambil daripada video tersebut. Antaranya
ialah kita hendaklah bersyukur dengan segala apa yang kita ada. Hargailah dan
manfaatkanlah dengan sebaik-baiknya. Selain itu, kita juga perlu memberikan
didikan yang sempurna kepada anak-anak kerana itu merupakan hak mereka
sebagai langkah persediaan untuk mereka mencorak dunia mereka bagi kehidupan
generasi yang akan datang. Apa yang paling penting, kasih sayang yang dicurahkan
oleh ayah kepada anaknya tidak ternilai dan sangatlah berharga.

You might also like