You are on page 1of 4

Kita sering mendapati bahawa banyak kemudahan awam yang disediakan oleh

pelbagai pihak telah dirosakkan oleh orang yang tidak bertanggungjawab.


Pada pandangan anda, apakah faktor-faktor yang menyebabkan kejadian ini
berlaku?
Kemudahan awam yang disediakan oleh pihak kerajaan dan swasta adalah
untuk kegunaan orang ramai. Akan tetapi, ada kemudahan yang disediakan itu telah
dirosakkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Sebagai contohnya, mereka
merosakkan kemudahan awam seperti memutuskan gagang telefon awam,
menconteng dinding tandas awam, merosakkan alat permainan di taman permainan
kanak-kanak dan sebagainya. Perkara itu menyebabkan orang lain pula yang akan
menerima kesannya kerana tidak dapat menggunakannya. Terdapat beberapa faktor
yang menyebabkan kemudahan awam ini dirosakkan oleh orang yang tidak
bertanggungjawab.
Seperti yang kita sedia maklum, antara faktor yang menjadi puncanya
disebabkan oleh kurangnya didikan agama dan moral di rumah. Hal ini demikian
kerana ahli keluarga itu sendiri tidak menunjukkan contoh yang baik serta tidak
menitikberatkan soal agama dan moral dalam kalangan ahli keluarga. Oleh itu,
mereka merosakkan kemudahan awam tanpa memikirkan kesusahan yang akan
dihadapi oleh orang lain. Jadi, tanpa didikan agama dan moral daripada keluarga,
perkara ini akan menyebabkan remaja tidak dapat membezakan perkara yang baik
atau buruk. Hal ini menunjukkan bahawa didikan agama dan moral yang kurang
dititikberatkan oleh ibu bapa menjadi faktor kemudahan awam dirosakkan.
Faktor lain kemudahan awam dirosakkan ialah remaja terpengaruh oleh
perbuatan yang dilakukan oleh rakan sebaya mereka. Perkara ini berlaku kerana
mereka mencontohi tindakan rakan-rakan yang lain. Kebiasaannya, remaja akan
mengikut tindakan rakan yang melakukan kerosakan terhadap kemudahan awam,
seperti merosakkan pam atau singki tandas. Tindakan yang tidak bertanggungjawab
ini menyebabkan kesulitan kepada orang lain yang hendak menggunakannya. Hal ini
membuktikan bahawa pengaruh rakan merupakan satu daripada faktor yang
menyebabkan perkara ini berlaku.
Kita juga sedar bahawa perkara itu disebabkan oleh sikap masyarakat yang
tidak prihatin dengan perkara yang berlaku di sekeliling mereka. Perkara ini
menunjukkan bahawa kebanyakan anggota masyarakat lebih mementingkan urusan
mereka sendiri. Tindakan itu boleh diibaratkan seperti katak di bawah tempurung
kerana mereka tidak menghiraukan perkara yang sedang berlaku. Hasilnya, gejala
ini tentunya menyebabkan pihak yang tidak bertanggungjawab itu terus merosakkan
kemudahan awam. Oleh itu, memang tidak dapat dinafikan bahawa sikap
masyarakat yang tidak prihatin merupakan salah satu daripada faktor yang
menyebabkan kemudahan awam dirosakkan.
Selain itu, kemudahan awam yang disediakan oleh pihak tertentu itu
dirosakkan oleh orang yang hendak meluahkan perasaan marah mereka. Hal ini
disebabkan oleh mereka tidak ada tempat lain untuk meluahkan perasaan selain
merosakkan kemudahan awam yang disediakan. Perkara ini jelas terbukti seperti
kata-kata kesat dan lucah yang terdapat di dinding tandas-tandas awam dan di
pondok telefon awam. Orang yang tidak bertanggungjawab itu mungkin akan berasa
lega dengan tindakannya itu. Sesungguhnya, perkara ini menunjukkan bahawa
faktor orang yang hendak melepaskan perasan marah atau geramnya menyebabkan
kemudahan awam dirosakkan.

Seterusnya, faktor yang menyebabkan masalah ini berlaku ialah


penguatkuasaan undang-undang yang lemah atau tidak tegas. Hal ini demikian
kerana pihak berkuasa tidak bertindak dengan tegas atau mengenakan denda yang
berat terhadap pihak yang merosakkan kemudahan awam. Perkara ini
menyebabkan orang yang tidak bertanggungjawab semakin berani untuk
merosakkan kemudahan awam. Namun demikian, orang yang memerlukan
kemudahan awam tersebut pula yang terpaksa menanggung akibat buruknya. Oleh
itu, kelemahan penguatkuasaan undang-undang menjadi faktor penyumbang
terhadap masalah ini.
Selain itu, kemudahan awam juga sering dirosakkan kerana kurang
pemantauan dan penyelenggaraan daripada pihak yang bertanggungjawab.
Masalah ini akan menyebabkan pihak yang tidak bertanggungjawab itu merosakkan
kemudahan awam tersebut. Perkara ini mungkin disebabkan oleh kekurangan
kakitangan daripada pihak berkuasa yang hendak membuat pemantauan ataupun
perbelanjaan untuk menyelenggarakan kemudahan awam itu sudah habis
digunakan. Akibatnya, kemudahan awam yang dirosakkan itu akan terus terbiar dan
perkara itu akan menjejaskan kebersihan atau keselesaan kita. Jadi, sememangnya
faktor ini membuktikan bahawa masalah kurang pemantauan atau penyelenggaraan
menyebabkan perkara tersebut berlaku.
Sebagai kesimpulannya, kita dapat melihat bahawa masalah kemudahan
awam yang dirosakkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ini perlu ditangani
dengan berkesan. Oleh itu, semua pihak haruslah berganding bahu untuk
menangani masalah ini agar tidak menjadi lebih serius. Sekiranya perkara ini tidak
diberikan perhatian yang sewajarnya, masalah ini akan menyebabkan imej negara
tercemar akibat tindakan yang tidak bertanggungjawab ini. Kita haruslah
bekerjasama untuk mengatasi masalah ini sebelum menjadi barah dalam
masyarakat. Akhirnya, kita berharap agar kemudahan awam dapat digunakan dan
dinikmati oleh orang ramai.

Anda akan menyertai pertandingan pidato yang akan dijalankan di peringkat


daerah. Pidato tersebut bertajuk Negara Merdeka Masyarakat Sejahtera.
Sediakan teks pidato itu.
Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh dan selamat sejahtera. Salam
apresiasi buat yang dihormati saudari pengerusi majlis, panel hakim yang sentiasa
berpegang pada prinsip keadilan, guru-guru dan rakan pelajar yang dikasihi.
Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah berkata, Bukannya perkara kecil bagi kita
untuk meneruskan perjuangan kemerdekaan negara kerana rupa-rupanya selain
memerdekakan negara, mengisi kemerdekaan itu jauh lebih sengsara. Hal ini
demikian kerana kemerdekaan negara yang dicipta itu memelihara kesejahteraan
masyarakat sejagat. Oleh itu, saya tampil di hadapan anda semua bagi
menyampaikan sebuah pidato yang bermauduk Negara Merdeka Masyarakat
Sejahtera.

Sebagai implikasi awalan, kemerdekaan negara telah menjadi bukti pada cermin
perjuangan bangsa Malaysia yang cinta akan negara yang menjadi tanah tumpah
darah kita semua. Namun demikian, Malaysia pernah dituduh, kononnya tidak
demokratik, diktator dan mengamalkan pemerintahan kuku besi oleh bangsa
Eropah kerana tidak melakukan pertukaran kepimpinan seperti mereka. Tegasnya,
kini negara kita ialah sebuah negara yang berdaulat dan merdeka. Dengan kata
lain, negara merdeka bermaksud negara yang bebas iaitu negara kita tidak lagi
dikuasai atau dijajah oleh kuasa lain dan bebas dalam menentukan hala tujunya
sendiri. Kemerdekaan yang dimaksudkan juga bebas daripada segala sudut,
termasuklah bebas minda dan budaya daripada sebarang pengaruh asing. Rakyat
negara kita yang merdeka pula mencatat kejayaan besar dalam pelbagai bidang
dengan cemerlang di persada dunia. Hal ini sudah tentu akan mewujudkan
masyarakat yang aman dan sejahtera. Oleh itu, untuk mengupas segala persoalan,
empat perspektif utama akan saya utarakan bagi mengungkap kemerdekaan negara
demi kesejahteraan rakyatnya.
Saudara dan saudari,
Indikator saya yang pertama, kemajuan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi.
Untuk mencapai taraf negara maju pada tahun 2020, Malaysia telah melaksanakan
pelbagai
program
pembangunan.
Lihatlah,
kewujudan
kilang
perindustrian bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan setelah kerajaan yang
ditubuhkan selepas kemerdekaan kini lebih berwawasan dalam menentukan
kesinambungan kedua-duanya. Sebagai contohnya, Menara Berkembar Petronas
yang mempunyai 99 tingkat dan Menara Kuala Lumpur setinggi 421 meter. Keduaduanya ini memberikan impak yang besar kepada imej negara yang menjadikannya
sebagai identiti negara. Antara sedar atau tidak, kita sebenarnya mengukuhkan
ekonomi negara ini lagi melalui pelbagai sudut. Secara tidak langsung,
pembangunan yang dibina ini mampu meluaskan peluang pekerjaan, sekali gus
dapat meningkatkan taraf hidup penduduk, dan hal ini sudah tentu memberikan
kesejahteraan kepada masyarakat.
Hadirin sekalian,
Indikator saya yang kedua, kemajuan sains dan teknologi, ideologi bervisi.
Perkembangan dan kemantapan teknologi sains semakin memberi impak dari hari
ke hari kepada rakyat malahan membuka mata seluruh dunia. Kebebasan negara
dalam melahirkan pelbagai idea baru dan menghasilkan pelbagai produk, kesan
gabungan pengaplikasian kedua-duanya telah membuka peluang pasaran yang
besar. Sebagai contohnya, daripada kajian terbaharu, rupa-rupanya pokok vanilla
yang tidak terdapat di negara kita juga telah ditanam dan hidup dengan subur di
negara kita. Tegasnya, rakyat boleh menikmati kelebihan ini seperti buah-buahan
tempatan kita juga. Tambahan pula, kita bukan lagi seperti pungguk rindukan
bulan dan tidak lagi bermimpi di siang hari kerana gapaian jauh melepasi awan
sudah dibuktikan menjadi kenyataan. Perkara ini dibuktikan dengan kelahiran anak
merdeka yang bergelar angkasawan negara iaitu Dr. Sheikh Muszaphar Shukor yang
berjaya dalam misi negara dengan membolehkan negara kita duduk sama rendah
dan berdiri sama tinggidengan negara Russia dan Amerika Syarikat yang memang
terkenal dalam bidang sains angkasa. Peristiwa besar seperti ini ialah catatan
terbaik untuk dimuatkan sebagai kejayaan negara yang kini lebih diiktiraf dan

dipandang tinggi oleh dunia. Dengan perkataan lain, sebagai sebuah negara yang
merdeka, kita sebenarnya telah berjaya melahirkan masyarakat yang sejahtera.
Saudara dan saudari,
Indikator saya yang ketiga, semangat patriotisme penangkis neoimperialisme. Hal
ini demikian kerana, semangat yang kita padukan dan satukan ialah semangat cinta
akan kemakmuran, jika tidak, masakan kita bisa bertahan ketika dirobek
keamanan, dicemuh kesucian, dan dimaki dalam penghinaan. Ketika itu, kita sedar
betapa pentingnya semangat perjuangan dan tuntutan kemerdekaan dan sekali gus
meletakkan suatu tanggungjawab di pundak anak bangsa yang bakal mewarisi
negara. Sebagai contohnya, sewaktu kegawatan ekonomi melanda seluruh dunia
pada tahun 1997, negara kita berjaya mengharunginya dengan semangat
patriotisme yang tinggi dan perpaduan yang jitu dalam kalangan pemimpin dan
rakyat negara kita tanpa mengira kaum dan bangsa. Mahatma Gandhi pernah
berkata, Majunya sesebuah negara kerana asas jati diri bangsanya. Maka pada
hari ini kita harus sedar, kurniaan kemerdekaan bukan sekadar kibaran jalur
gemilang, dan bukan juga dendangan lagu kebangsaan kerana kalau roboh kota
Melaka, papan di Jawa jadi gantinya, iaitu apabila musuh datang melanda kita,
patriotisme Malaysia jadi penangkisnya bagi kesejahteraan masyarakat semua.
Para hadirin yang dihormati,
Indikator saya yang terakhir, Rukun Negara pembentuk bangsa merdeka dan
berdaulat. Walaupun pada 31 Ogos 1970, ada sesetengah pihak yang menyifatkan
Rukun Negara sebagai doktrin ketahanan nasional. Sebenarnya, Rukun Negara
digubal melalui pelbagai dasar strategi sosioekonomi dan ketatanegaraan yang
lebih komprehensif serta berkesan. Sebagai contohnya, akhbar Utusan Melayu 16
Julai 1965 menyatakan penentangan adalah terhadap kedaulatan Raja-Raja
Melayu, hak-hak keistimewaan Melayu, agama Islam sebagai agama rasmi dan
bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Dengan perkataan lain, kewujudan
Rukun Negara mampu mendepani zaman universal, holistik dan realistik kerana
bisa menghakis seluruh prasangka kaum yang mungkin wujud di negara ini sebelum
dan sesudah peristiwa 13 Mei 1969 yang begitu banyak memberikan pengajaran
untuk kesejahteraan. Oleh hal yang demikian, saya menyarankan rakyat negara ini,
biarlahgunung sama didaki, lurah sama dituruni, dan hati gajah sama dilapah, hati
nyamuk sama dicecah. Marilah kita bersama-sama meniti hari-hari yang
mendatang dengan mengukuhkan semangat patriotisme dan mengekalkan
kemerdekaan negara yang tercinta bagi memastikan masyarakat hidup aman dan
sejahtera.
Cukuplah setakat ini sahaja pidato saya kali ini, dan saya ingin memohon kemaafan
sekiranya tersilap kata dan tersalah susun bicara semasa saya menyampaikan
pidato tadi.
Sekian,
terima
kasih.
Wabillahitaufik
warahmatullahiwabarokatuh.

walhidayah

wassalamualaikum

You might also like