You are on page 1of 2

Sedasawarsa ini sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat penjuru negara kita

tentang kes penyeludupan manusia Oleh itu, sebagai warganegara yang berwawasan dan berpandangan
jauh ke hadapan, kita hendaklah prihatin dengan isu yang semakin hangat dibincangkan ini. Secara
konseptualnya, kes penyeludupan manusia merupakan satu kegiatan jenayah yang boleh menjejaskan
keselamatan negara dan juga integriti kedaulatan negara ini. Kes penyeludupan manusia ini tidak wajar
berlaku kerana jenayah sebegini adalah melanggar hak asasi manusia ke atas individu yang
diperdagangkan. Oleh itu, kesan-kesan kes penyeludupan manusia kepada negara dan langkah-langkah
untuk mengatasi jenayah ini akan dibincangkan demi kepentingan bersama.
Pada pendapat saya, kes-kes penyeludupan manusia ke negara ini atau ke luar dari negara ini jika tidak
dibendung dengan segera akan menyebabkan integriti keselamatan negara dipertikaikan oleh pelbagai
pihak. Dunia antarabangsa akan melihat aspek keselamatan negara kita begitu lemah. Masyarakat negara
ini pula akan mula hilang kepercayaan dengan keupayaan pasukan-pasukan penguatkuasaan untuk
membenteras kegiatan penyeludupan manusia ini daripada terus berleluasa. Golongan yang
berkepentingan mengaut keuntungan daripada kegiatan jenayah ini juga akan meremehkan tindakan
penguat kuasa kerana menyedari tindakan mereka sukar untuk dikesan. Jelaslah bahawa kewibawaan
negara akan dipersoalkan oleh banyak pihak jika kita gagal mengekang jenayah penyeludupan manusia
di negara kita. Secara tidak langsung, imej negara juga turut terjejas di peringkat antarabangsa.
Di samping itu, kegiatan penyeludupan manusia juga akan meningkatkan masalah sosial dalam negara
kita. Sebagai contohnya, kegiatan pelacuran melibatkan warga asing yang diseludup masuk akan
meningkat. Tambahan lagi, kes-kes orang hilang juga akan meningkat, terutamanya melibatkan kanakkanak atau golongan remaja untuk dieksploitasi oleh golongan yang cuba mengaut keuntungan.
Kegiatan jenayah terancang juga boleh bertambah jika manusia yang diseludup masuk merupakan
penjenayah-penjenayah yang bermatlamat untuk mengembangkan kegiatan haram mereka. Keadaan ini
menyebabkan penduduk tempatan akan berasa keselamatan mereka tidak terjamin. Mereka seolah-olah
menjadi tebusan atau tawanan hidup di negara sendiri. Sudah terang lagi bersuluh, jenayah
penyeludupan manusia menyebabkan masalah sosial di negara kita semakin berleluasa.
Kes penyeludupan manusia hendaklah dibendung kerana banyak membawa implikasi buruk kepada
rakyat dan negara kita. Bagi membendung masalah ini, pihak Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) perlulah
bersama-sama memainkan peranan. Ahli-ahli pertubuhan sukarela ini boleh membantu pihak berkuasa
mengenal pasti sektor-sektor pekerjaan yang menjadi tumpuan tenaga buruh atau manusia yang
diseludup masuk ke negara ini. Mereka juga boleh menggembleng tenaga untuk melancarkan kempenkempen yang melibatkan majikan di seluruh negara bagi memberikan kesedaran agar tidak bersaubahat
dengan penyeludup manusia dengan menggaji orang yang diseludup sebagai pekerja. Memang tidak
dapat dinafikan penglibatan aktif NGO dalam mengatasi masalah ini amatlah dituntut kerana golongan ini
sentiasa mendekati masyarakat setempat melalui pelbagai program yang dirancang.
Langkah lain yang tidak boleh dikesampingkan dalam usaha mengatasi masalah ini ialah
penguatkuasaan pencegahan perlulah dilakukan secara berterusan oleh pihak berkuasa. Serbuanserbuan di pusat-pusat hiburan, kawasan perladangan, dan sektor-sektor industri perlu dilakukan secara
kerap untuk mengesan buruh-buruh yang digaji secara tidak sah. Di samping itu, kawalan sempadan
juga perlu dipertingkatkan dan laluan hijau di sempadan dan semua pintu masuk perlu dimansuhkan jika
kemudahan ini didapati sebagai penyumbang kepada peningkatan kegiatan penyeludupan
manusia. Dalam pada itu, akta dan undang-undang yang berkaitan dengan kes penyeludupan manusia
hendaklah dikaji semula. Pihak yang ditangkap dan disabitkan dengan kesalahan kes penyeludupan
orang hendaklah didakwa dan dikenakan hukuman yang setimpal untuk memberikan amaran kepada
orang lain supaya tidak terlibat dengan jenayah sebegini.
Selanjutnya, peranan media massa sama ada media cetak mahupun media elektronik perlulah diperhebat
dalam mengatasi masalah ini. Media elektronik seperti televisyen, radio dan internet perlu menyalurkan
maklumat mengenai kes penyeludupan manusia secara berterusan untuk memberikan kesedaran kepada
penduduk di negara ini mengenai bahaya jenayah sebegini. Dengan adanya peringatan yang berterusan
sebegini, mereka akan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan tidak mudah terperdaya dengan
penipuan yang dilakukan oleh penjenayah yang terlibat dengan kes penyeludupan manusia. Dokumentari
dan filem berkaitan dengan kes penyeludupan manusia hendaklah ditayangkan kepada orang awam
supaya mereka melihat kesan-kesan dan cara-cara untuk menghindari diri daripada menjadi mangsa kes

penyeludupan manusia. Dengan adanya pengetahuan yang mencukupi, masyarakat dapat mengelakkan
diri daripada menjadi mangsa jenayah yang tidak berperikemanusiaan ini.
Kesimpulannya, kes penyeludupan manusia merupakan jenayah terancang yang memerlukan komitmen
semua pihak untuk mengatasinya. Untuk keselamatan negara dan keharmonian negara, jenayah
penyeludupan manusia ini perlulah dicegah dengan perundangan dan ketegasan. Dalam pada itu,
masyarakat kita hendaklah mempunyai kesedaran untuk membantu pihak berkuasa untuk mengatasi
masalah ini dengan melaporkan kes penyeludupan manusia yang berlaku dan tidak bersaubahat dengan
penjenayah. Jika semua pihak bersatu padu, kes penyeludupan manusia tidak akan berlaku di negara
kita. Mudah-mudahan, negara yang kita cintai ini akan bebas daripada kes penyeludupan manusia yang
tidak berperikemanusiaan dan melanggar hak asasi manusia ini.

You might also like