You are on page 1of 6

Persepsi Guru Terhadap Faktor-Faktor Yang Mendorong Pelajar Ke Kelas Tuisyen Di

Sekolah SJK ( C ) Zon Selatan Daerah Kulai Johor


Abdul Rahim Bin Hamdan & Kho Bee Chin
Fakulti Pendidikan
Universiti Teknologi Malaysia
Abstrak : Kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti persepsi guru terhadap faktor yang
mendorong pelajar ke kelas tuisyen di enam buah sekolah SJK (C) Zon Selatan, Daerah Kulai.
Seramai 80 orang responden, dari sekolah-sekolah tersebut dipilih sebagai responden dalam
kajian ini. Instrumen kajian yang digunakan adalah borang soal selidik. Kaedah kajian yang
digunakan adalah kaedah tinjauan dan persampelan dilakukan secara persampelan rawak mudah
kelompok atas kelompok. Nilai kebolehpercayaan instrument adalah 0.89. Data-data yang
dikumpulkan dianalisis secara perisian Statistical Package for Social Scinece (SPSS 11.5 for
Windows). Statistik deskriptif iaitu kekerapan dan min digunakan untuk menganalisis tahap
faktor yang mendorong pelajar ke kelas tuisyen. Dapatan kajian menunjukkan bahawa faktor ibu
bapa merupakan faktor terutama yang mendorong pelajar ke kelas tuisyen, dengan purata min
3.68 iaitu pada tahap yang tinggi. Faktor kendiri merupakan faktor yang kedua pentingnya
dengan min keseluruhan 3.18 iaitu pada tahap sederhana, manakala faktor rakan sebaya pula
mencatat min keseluruhan 3.02, dan juga pada tahap sederhana. Dapatan kajian juga
menunjukkan persepsi guru-guru terhadap sebab utama ibu bapa menghantarkan anak-anak ke
kelas tuisyen kerana mereka mementingkan prestasi akademik anak-anak mereka. Selain itu, ibu
bapa terlalu sibuk dan juga kekurangan kepakaran untuk membimbing anak-anak mereka.
Katakunci : persepsi guru, faktor. Kelas tuisyen
Pengenalan
Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) bermatlamat untuk membentuk perkembangan kanakkanak secara menyeluruh dari segi perkembangan kognitif, sikap dan psikomotor. Kurikulum
pendidikan Malaysia dibentuk untuk menanam nilai-nilai murni demi menghasilkan tenaga kerja
mahir dan berkualiti supaya pembangunan negara terjamin. Demi pembentukan perkembangan
seimbang jasmani, emosi, rohani dan interlek setiap warganegara, sistem pendidikan di Malaysia
perlu sentiasa berubah mengikut keperluan dan kesesuaian masa, seiring dengan perubahan
zaman dan juga permintaan masyarakat setempat. Sejak negara kita mencapai kemerdekaan,
system pendidikan telah mengalami banyak perubahan yang dramatik. Perubahan seperti ini
berlaku adalah selaras dengan perkembangan ekonomi negara.
Untuk mencapai matlamat Wawasan 2020, bidang pendidikan sentiasa memainkan
peranan yang amat penting. Wawasan 2020 berhasrat menjadikan Negara kita sebagai sebuah
negara perindustrian yang setanding dengan negara-negara maju di rantau dunia. Masyarakat
Malaysia akan menjadi sebuah masyarakat yang saintifik dan progresif, inovatif dan memandang
ke hadapan, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga akan menjadi
penyumbang kepada tamadun, sains dan teknologi semasa. Sebagai langkah memenuhi hasrat
tersebut, tenaga rakyat yang berilmu pengetahuan, berwibawa dan berketrampilan hendaklah
dilahirkan (Ee Ah Meng, 1997).
Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) diperkenakan secara percubaan pada
tahun 1982 dan dilaksanakan sepenuhnya mulai tahun 1988. Tujuan KBSR adalah untuk
membolehkan murid-murid mencapai kemahiran dalam bidang komunikasi manusia dengan

alam sekelilingnya dan juga untuk perkembangan diri. Aspek-aspek yang dititikberatkan dalam
KBSR adalah kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira. Dalam penilaian KBSR,
murid-murid diuji dalam pelbagai bentuk penilaian samada secara formatif atau sumatif
Persoalannya, kenapa masih terdapat kekurangan, ketidakpuasan dan seterusnya
menyebabkan pusat-pusat tuisyen berkembangan pesat bagai cendawan selepas hujan. Adakah
ini berpunca dari faktor-faktor seperti kemerosotan kepercayaan masyarakat terhadap sistem
pendidikan negara, ataupun faktor-faktor datang dari diri murid-murid sendiri ataupun berpunca
dari persepsi ibu bapa murid-murid berkenaan?
Pernyataan Masalah
Pada zaman sekarang, ramai pelajar melibatkan diri dalam aktiviti kelas tuisyen. Masa di luar
persekolahan mereka dipenuhi dengan jadual waktu tuisyen samada di pusat-pusat tuisyen, di
bawah anjuran persatuan-persatuan atau di rumah persendirian. Ramai ibu bapa sibuk
menghantar anak-anak mereka ke kelas tuisyen dengan bayaran yuran yang tinggi. Dengan ini,
penyelidik ingin mengkaji persepsi guru-guru terhadap faktor-faktor iaitu faktor ibu bapa, faktor
rakan sebaya dan faktor kendiri yang menyebabkan kelas tuisyen mendapat sambutan hebat oleh
masyarakat. Selain itu, penyelidik juga ingin mengenalpasti faktor-faktor dan penyebab utama
ramai pelajar mengikuti kelas tuisyen.
Objektif Kajian
Dalam melaksanakan kajian ini, penyelidik telah mengenalpasti beberapa objektif iaitu :
i)
Mengenalpasti persepsi guru terhadap faktor ibu bapa sebagai pendorong pelajar ke
kelas tuisyen.
ii)
Mengenalpasti persepsi guru terhadap faktor rakan sebaya sebagai pendorong pelajar
ke kelas tuisyen.
iii)
Mengenalpasti persepsi guru terhadap faktor kendiri sebagai pendorong pelajar ke
kelas tuisyen.
iv)
Mengenalpasti persepsi guru terhadap faktor utama yang mendorong pelajar ke kelas
tuisyen.
Kepentingan Kajian
Dari hasil kajian nanti, diharapkan dapat mendatangkan manfaat kepada semua pendidik
khususnya pendidik-pendidik di sekolah kerajaan, samada sekolah rendah atau sekolah
menengah. Sehubungannya, kajian ini juga boleh dijadikan garis panduan untuk mengenalpasti
kelemahan dan kekurangan dalam sistem pengajaran dan pembelajaran di sekolah kerajaan dan
seterusnya dapat mempertingkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran pelajarpelajar. Kajian ini juga dapat membantu para ibu bapa dalam usaha mengenalpasti keperluan
anak-anak mereka dalam pembelajaran dan seterusnya membantu mengurangkan paksaan serta
stres terhadap anak-anak mereka.
Reka Bentuk Kajian
Reka bentuk kajian tentang pandangan dan pendapat guru-guru terhadap popularnya kelas
tuisyen ini merupakan satu kajian berbentuk statistik deskriptif dan jenis tinjauan. Menurut Gall,
Borg dan Gall (1996), kaedah penyelidikan deskriptif adalah kaedah yang terasas dalam
penyelidikan kuantitatif. Terdapat dua jeins penyelidikan deskriptif utama iaitu kajian berjenis
tinjauan dan kajian berjenis kolerasi. Menurut Allison et al. (1997), kebanyakan penyelidikan

menggunakan kaedah deskriptif dengan penyataan yang jelas mengenai apa dia iaitu satu prasyarat penting untuk memahami mengapa dia sedemikian dan apa dia akan jadi. Kaedah
penyelidikan deskriptif juga boleh dikatakan sebagai asas kepada semua penyelidikan dan
kaedah ini bertujuan mencari penghuraian yang cukup dan tepat mengenai aktiviti, objek, proses
dan manusia.
Dalam kajian ini, kaedah tinjauan digunakan di mana penyelidik mengedarkan borang
soal selidik untuk dijawab oleh responden-responden yang telah dipilih. Kajian ini dilakukan
untuk mengumpul data terkini mengenai perspektif guru-guru terhadap sebab-sebab popularnya
kelas tuisyen, dan juga mengenalpasti apakah faktor utama yang mendorong pelajar ke kelas
tuisyen. Kajian ini juga bertujuan untuk member penerangan tentang sebab-sebab berlakunya
sesuatu fenomena dalam dunia pendidikan. Kajian berbentuk tinjauan juga merupakan salah satu
kaedah yang spesifik dan berkesan untuk mengumpulkan maklumat mengenai sampel dan
populasi. Data-data statistic akan dibina kemudian untuk memberi huraian tentang perkara yang
dikaji secara pemeratusan, sebab-sebab, pandangan dan pendapat.
Sampel Kajian
Sampel ialah sebahagian daripada populasi tanpa mengambil kira sama ada ia dapat menjadi
wakil populasi ataupun sebaliknya. Proses persampelan merupakan proses pemilihan sampel
daripada populasi yang didefinisikan. Tugas ini adalah penting supaya sampel yang dipilih tepat
dan sah, supaya objektif kajian tidak terpesong. Saiz sampel juga sangat penting untuk menjamin
ketepatan hasil kajian. Saiz sampel yang semakin besar, akan menghasilkan ketepatan kajian
yang semakin tinggi.
Dalam kajian ini, penyelidik telah memilih saiz sampel berjumlah 80 orang guruguru
tahun 6. Pemilihan saiz sampel ini berdasarkan Jadual Krejcie, R.V dan Morgan D.W., (1970)
yang menunjukkan kadar menentukan jumlah sampel daripada populasi (Jadual 1).
Jadual 1 : Jadual Penentuan Saiz Sampel, Krejcie, R.V. dan Morgan, D.W. (1970)

Sampel merupakan sumber untuk mendapatkan data daripada populasi. Teknik


persampelan yang digunakan dalam kajian ini merupakan Teknik Persampelan Rawak Mudah
jenis Persampelan Kelompok Atas Kelompok. Persampelan Kelompok Atas Kelompok

melibatkan beberapa peringkat pemilihan sampel secara pengkelasan sehingga memenuhi


matlamat penyelidikan. Contoh pemilihan sampel : secara rawak mengikut zon, jenis sekolah,
dan tahun mengajar.
Dalam kajian ini, penyelidik telah memilih Sekolah Jenis Kebangsaan Cina di Zon
Selatan Daerah Kulai. Daripada jumlah guru sekolah-sekolah terpilih ini, 80 orang guru tahun 6
diberi borang soal selidik. Borang soal selidik tidak diberikan kepada semua guru di sekolah
terpilih supaya lebih menjimat kos penyelidikan dan juga menjamat masa mengumpul semula
borang soal selidik itu.
Instrumen Kajian
Instrumen kajian bermaksud alat yang digunakan oleh penyelidik untuk mendapatkan data-data
serta maklumat-maklumat yang diperlukan. Dalam kajian ini, penyelidik menggunakan kaedah
soal selidik dan diberikan kepada guru-guru yang telah dikenalpasti sebagai responden. Kaedah
ini dipilih kerana teknik soal selidik merupakan cara yang senang dikelolakan, lebih mudah
mengumpulkan maklumat dan lebih berkesan. Selain itu, arahan-arahan dalam borang soal
selidik telah ditulis dengan ayatayat yang mudah difahami dan yakin tidak membebankan
responden kajian.
Data-data yang diperolehi dari teknik soal selidik adalah lebih lengkap dan tepat untuk
memenuhi kehendak objektif kajian serta senang dianalisis. Tuckman (1988) telah menyarankan
bahawa kelebihan teknik soal selidik adalah lebih mudah mendapat kerjasama dari responden.
Responden diberi kebebasan menyuarakan pandangan dan penilaian mengikut kehendak soalan
kajian. Oleh kerana identiti setiap responden tidak akan dikenal pasti secara spesifik, maka
maklum balas yang diberikan oleh setiap responden akan lebih benar dan tepat. Responden
kurang menghadapi tekanan semasa menjawab soal selidik kajian.
Dalam pelaksanaan kajian ini, penyelidik telah menyediakan soalan kajian dalam dua
bahagian utama iaitu Bahagian A: Maklumat diri atau latar belakang responden dan Bahagian B:
Soal selidik tentang persepsi guru terhadap factor-faktor yang mendorong pelajar ke kelas
tuisyen. Semua soalan kajian dibina dengan menggunakan Bahasa Malaysia memandangkan
Bahasa Malaysia adalah Bahasa Kebangsaan yang dapat difahami oleh semua warga sekolah
termasuk responden kajian ini.
Analisis Data
Jadual 2 : Analisis Item Berkaitan Faktor Terutama Yang Mendorong Pelajar Ke Kelas Tuisyen

Bahagian ini adalah untuk menjawab persoalan Apakah faktor utama yang mendorong pelajar
ke kelas tuisyen? Bagi menjawab persoalan ini, data yang diberikan oleh responden bagi setiap

Seksyen A, B dan C perlu dikaji secara mendalam. Rumusan keseluruhan skor min yang
diperolehi adalah seperti data yang terpapar dalam Jadual 2 di atas.
Analisis data menunjukkan purata min bagi faktor ibu bapa mendorong pelajar ke kelas
tuisyen berada pada tahap yang tinggi iaitu 3.68. Manakala, purata min bagi faktor rakan sebaya
yang mendorong pelajar ke kelas tuisyen pada tahap sederhana, iaitu 3.02. Bagi faktor kendiri
pula, purata min bernilai 3.18, iaitu pada tahap sederhana juga. Dapatan kajian telah
menunjukkan bahawa responden kajian ini berpersepsi bahawa faktor ibu bapa merupakan faktor
terutama yang mendorong pelajar ke kelas tuisyen, diikuti dengan faktor kendiri dan seterusnya
faktor rakan sebaya.
Perbincangan
Berdasarkan kajian yang telah dilakukan, persepsi guru terhadap faktor ibu bapa yang
mendorong pelajar ke kelas tuisyen pada keseluruhannya adalah pada tahap yang tinggi dengan
jumlah purata min 3.68. Sementara itu, antara item-item dalam seksyen ini, 60 peratus item
berskor min lebih daripada 3.66 (tahap tinggi).
Hasil kajian menunjukkan pernyataan Ibu bapa menghantar anak-anak ke kelas tuisyen
kerana mereka mementingkan pencapaian akademik anak-anak mereka, mendapat persetujuan
responden yang tinggi dengan min skor tertinggi iaitu 4.29. Majoriti responden (72 daripada 80,
90.1 peratus) telah bersetuju dengan pernyataan ini.
Dapatan kajian ini adalah selari dengan dapatan kajian yang dijalankan oleh Jamaliah
Rahmat (1999), yang menyatakan bahawa pelajar-pelajar menghadiri tuisyen adalah untuk
memenuhi kehendak ibu bapa mereka yang berkehendakkan anak-anaknya mendapat keputusan
cemerlang dalam peperiksaan. Bagi ibu bapa yang ingin melihat anak-anak mereka berjaya, sama
ada mahu atau tidak, anak-anak mereka akan dipaksa menghadiri kelas-kelas tuisyen.
Hasil kajian dalam Seksyen B ini menunjukkan pernyataan Pelajar ke kelas tuisyen
supaya dapat bersaing dengan rakan sebayanya mencatat min tertinggi iaitu 3.54. Pernyataan
Pelajar ke kelas tuisyen kerana pembelajaran bersama rakan sebaya lebih berkesan merupakan
pernyataan yang kedua tinggi minnya dengan catatan min 3.38, diikuti dengan pernyataan
Rakan sebaya merupakan faktor yang mendorong pelajar ke kelas tuisyen yang mempunyai
skor min 3.28. Min keseluruhan bagi seksyen ini adalah bernilai 3.02, iaitu pada tahap sederhana.
Dapatan kajian ini adalah berselaras dengan pernyataan yang dibuat oleh Ee Ah Meng
(1996), yang menyatakan bahawa kanak-kanak yang bercampur gaul dengan rakan-rakan sebaya
yang bertanggungjawab dan bersopan santun akan turut menghayati nilai-nilai yang positif itu.
Pergaulan dengan rakan-rakan yang menghadiri kelas tuisyen menyebabkan diri seseorang
pelajar dipengaruhi oleh tingkah laku rakan sebaya. Ini akan mendorong dirinya mengikuti jejak
langkah rakan-rakan dan turut menghadirkan diri ke kelas tuisyen.
Berdasarkan kajian yang telah dilakukan, terbukti bahawa faktor kendiri juga
menyumbang sebagai pendorong pelajar ke kelas tuisyen. Purata min bagi persoalan kajian ini
mencatat nilai 3.18, iaitu pada tahap sederhana.
Hasil kajian menunjukkan pernyataan Pelajar ke kelas tuisyen kerana ingin menguasai
sesuatu mata pelajaran dengan cemerlang merupakan pernyataan yang memperolehi nilai min
paling tinggi iaitu 3.78. Pernyataan Pelajar ke kelas tuisyen kerana ingin meningkatkan
pencapaian akademik dirinya dan Pelajar ke kelas tuisyen kerana ingin mendapat pembelajaran
tambahan merupakan pernyataan yang kedua tinggi minnya, dan masing-masing mencatat nilai
min 3.70.

Pelajar ke kelas tuisyen sebagai persediaan awal untuk dirinya menghadapi peperiksaan
merupakan pernyataan yang mencatat nilai min (3.60) ketiga tinggi. Analisis data menunjukkan
seramai 55 responden (68.8 peratus) bersetuju dengan pernyataan ini, 14 responden (17.6
peratus) tidak setuju manakala 11 responden (13.8 peratus) lagi tidak pasti dengan pernyataan ini.
Dapatan kajian telah menunjukkan bahawa faktor ibu bapa, faktor rakan sebaya dan
faktor kendiri merupakan faktor yang mendorong pelajar ke kelas tuisyen. Antaranya 3 faktor
tersebut, faktor ibu bapa merupakan faktor terutama yang mendorong pelajar ke kelas tuisyen.
Dapatan kajian menunjukkan persoalan kajian 1 (Persepsi Guru Terhadap Faktor Ibu
Bapa Sebagai Pendorong Pelajar Ke Kelas Tuisyen) mencatat purata min yang tertinggi (3.68)
berbanding dengan persoalan kajian 2 (Persepsi Guru Terhadap Faktor Rakan Sebaya Sebagai
Pendorong Pelajar Ke Kelas Tuisyen) dengan purata min 3.02 dan persoalan kajian 3 (Persepsi
Guru Terhadap Faktor Kendiri Sebagai Pendorong Pelajar Ke Kelas Tuisyen) yang bernilai min
3.18.
Dapatan kajian ini adalah selaras dengan pendapat Ahmad Kamil Mohamed, Pensyarah
UiTM, yang menyatakan tidak ada siapa yang dapat menafikan bahawa sudah menjadi
kecenderungan di kalangan ibu bapa zaman ini untuk menghantar anak-anak mereka ke kelas
tuisyen atau mendapatkan khidmat tutor secara peribadi untuk anak mereka di rumah. Beliau
berpendapat bahawa dorongan yang menebal untuk melihat kejayaan anak-anak mereka
setanding dengan anak-anak orang lain dalam pencapaian akademik di sekolah selalunya
menjadi faktor utama mengapa sebahagian besar ibu bapa sanggup berbelanja lebih asalkan anak
mereka tidak ketinggalan dalam perlumbaan mengejar kemajuan.
Rujukan
Atan Long (1991). Pedagogi : Kaedah Am Mengajar. Pertaling Jaya : Amiza Publisling.
Azizi Yahaya, Shahrin Hashim, Jamaludin Ramli, Yusof Boon, dan Abdul Rahim Hamdan
(2007). Menguasai Penyelidikan Dalam Pendidikan. Kuala Lumpur : PTS Professional
Sdn. Bhd.
Ee Ah Meng (1993). Pedagogi II, Amaran Dalam Bilik Darjah. Kuala Lumpur : Penerbit Fajar
Bakti.
Gan Chin Guan (2000). Kajian Mengenai Pandangan Pelajar Tingkatan Empat Terhadap
Keberkesanan Kelas Tambahan. Universiti Teknologi Malaysia, Skudai : Projek Sarjana
Muda
Hishamuddin Md. Som (2005). Panduan Mudah Analisis Data Menggunakan SPSS Windows.
Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor.
Mazliyana Makhtar (2006). Tinjauan Mengenai Persepsi Pelajar Sekolah Menengah Berkenaan
Faktor-faktor Yang Mendorong Mereka Mengikuti Tuisyen Swasta Di Daerah Kota
Bahru Kelantan. Universiti Teknologi Malaysia : Tesis Sarjana Mudah.
Mohd. Fadzilah Kamsah, Ahmad Zabidi Abdul Razak, dan Noor Shamshinar Zakaria (2006).
Merancang Kejayaan. Kuala Lumpur : PTS Professional Sdn. Bhd.
Persekitaran Sekolah Berubah, Tingkah Laku Pelajar Bertukar. Pendidik. 2008. Bilangan 46 :
M/S 62, 63 dan 64.
Yusof Boon (2007). Modul Pengajaran Dan Pembelajaran Penyelidikan Tindakan. Universiti
Teknologi Malaysia, Skudai.
Yusof Ismail (2006). Dasar-dasar Utama Kerajaan Malaysia. Kuala Lumpur : A.S. Noordeen.
Zaidatun Tasir, dan Mohd. Salleh Abu (2003). Analisis Data Berkomputer SPSS 115 For
Windows. Kuala Lumpur : Venton Publishing.

You might also like