You are on page 1of 4

Kertas Kerja

-salah satu daripada bentuk komunikasi bertulis.


-bermaksud hasil penulisan yang mengandungi idea untuk dikemukakan kepada
khalayak atau pihak-pihak tertentu.
-Khalayak perlu membaca kertas kerja tersebut untuk mendapatkan maklumat
berkaitan idea yang hendak disampaikan. Khalayak boleh terdiri daripada
kumpulan kecil seperti jawatankuasa projek ataupun kumpulan besar seperti
peserta seminar dan persidangan. Dalam keadaan tertentu kertas kerja juga
boleh dibentangkan kepada khalayak dalam bentuk lisan. Namun begitu,
komunikasi lisan tersebut hanya berperanan menyampaikan maklumat yang
memang telah disediakan dalam kertas kerja tersebut atau dengan kata lain
menerangkan apa yang terkandung dalam kertas kerja itu. Apa yang lebih
penting ialah hasil penulisan kertas kerja itu sendiri.
3.3 Jenis-Jenis Kertas Kerja [A]
Terdapat pelbagai jenis kertas kerja yang dihasilkan. Namun secara umumnya,
kertas kerja dapat dibahagikan kepada dua, iaitu:
a. Kertas Kerja Seminar
Kertas kerja seminar ialah kertas kerja tentang sesuatu perkara untuk
dikemukakan kepada sesebuah kumpulan atau orang ramai dalam sesuatu
bengkel atau seminar. Penulis akan mengemukakan idea, pandangan, kajian,
penyelidikan dan sebagainya kepada khalayak dengan tujuan untuk memberi
panduan bagi menerokai bidang-bidang baharu, memberi penerangan tentang
sesuatu perkara, memberi penjelasan tentang sesuatu idea, atau mencadangkan
tindakan-tindakan tertentu terhadap sesuatu fenomena. Khalayaknya ialah
mereka yang hadir dalam pembentangan yang dijalankan atau yang membaca
kertas kerja tersebut. Khalayak biasanya mereka yang memang berminat dengan
perkara/tajuk yang disampaikan ataupun mempunyai pengalaman dan
pengetahuan perkara yang diperkatakan. Oleh itu, mereka hadir atau membaca
kertas kerja ingin mengetahui perkara tersebut dengan lebih mendalam lebihlebih lagi jika perkara yang ingin disampaikan itu ialah penemuan baharu dalam
bidang berkenaan. Biasanya kertas kerja ini bersifat formal dan menggunakan
laras bahasa akademik. Kadang-kadang kertas kerja tersebut kemudiannya
diterbitkan dalam jurnal untuk menjadi bahan bacaan dan rujukan. Bergantung
kepada tujuan dan khalayak, kertas kerja seminar perlu ditulis menggunakan
laras bahasa mengikut bidang yang diperkatakan supaya lebih jelas dan mudah
difahami.
b. Kertas Kerja Projek
Kertas kerja projek pula dikemukakan untuk urusan-urusan seperti perancangan
sesuatu projek, kajian dan penyelidikan bagi sesebuah jabatan, syarikat atau
institusi tertentu. Kertas kerja projek dikemukakan kepada pihak tertentu untuk
mendapat kelulusan. Penulis kertas kerja ini akan mengemukakan idea
bagaimana sesuatu projek / kajian itu dapat dijalankan. Berbanding dengan
kertas kerja seminar, kertas kerja ini juga bersifat formal tetapi menggunakan
laras bahasa umum yang lebih mudah difahami. Dengan penulisan kertas kerja
ini, pembaca atau pihak yang berkenaan akan mendapat gambaran lengkap
tentang bagaimana sesuatu projek / kajian itu dapat dijalankan dengan jayanya.
Semua perkara yang berkaitan projek itu akan dijelaskan dalam kertas kerja.

Kemungkinan halangan/kekangan yang akan dihadapi dalam projek tersebut


juga dikemukakan untuk mendapat maklum balas bagaimana halangan /
kekangan itu dapat diatasi. Bergantung kepada tujuan penulisannya, kertas kerja
ini dapat dibahagikan kepada beberapa jenis, antaranya ialah:
- Kertas kerja perniagaan
- Kertas kerja lawatan
- Kertas kerja program
- Kertas kerja perkhemahan
- Kertas kerja hari keluarga
- Kertas kerja sukan
3.4 Format Menulis Kertas Kerja [A]
Untuk menghasilkan kertas kerja terdapat pelbagai kaedah dan format yang
boleh digunakan. Sebenarnya format penulisan kertas kerja bergantung kepada
beberapa faktor/perkara dan antaranya ialah apa tujuannya, siapa khalayaknya,
bagaimana penyampaiannya, apakah isi kandungannya dan lain-lain. Walau
bagaimanapun terdapat format umum yang boleh dikuti oleh penulis sebagai
panduan menyediakan kertas kerja. Bagi penulisan sesuatu kertas kerja, apa
yang penting ialah ketekalan bentuk penulisannnya. Antara format umum
penulsan kerja kerja:
a. Format Kertas Kerja Seminar
Tajuk
Nama / Nama-nama pembentang kertas kerja
Nama institusi
Abstrak (Sinopsis/Ringkasan)
Pengenalan
pengkaedahan
keputusan
perbincangan
Rujukan
Lampiran
b. Format Kertas Kerja Projek
Tajuk
Latar belakang / Rasional
Objektif / Matlamat
Jangka masa yang diperlukan
Kumpulan sasaran
Andaian-andaian halangan
Anggaran belanjawan
Penubuhan jawatankuasa
Menentukan jadual tugas
Pelaksanaannya
Walaupun terdapat format umum penulisan kertas kerja yang boleh menjadi
rujukan, sebagaimana yang telah dinyatakan, anda perlu melakukan
penyesuaian supaya kertas kerja yang dihasilkan benar-benar menepati tujuan
dan dapat mencapai objektifnya. Ingatlah bahawa penulisan perlu teliti dan
lengkap dengan semua maklumat yang diperlukan.
3.5 Ciri-ciri Penulisan Kertas Kerja Yang Baik [A]

Untuk mencapai matlamat penulisannya, kertas kerja perlu memenuhi beberapa


kriteria dan ciri-ciri penulisan tertentu. Antara lain, ciri-ciri penulisan kertas kerja
yang baik ialah:
i. Penggunaan bahasa yang baik.
Penggunaan bahasa yang baik dan tepat sangat penting dalam penulisan kertas
kerja. Struktur ayat yang betul dan gramatis, pemakaian imbuhan perkataan yang
tepat dan pemilihan kosa kata sesuai mengikut kmonteks dan situasi perlu diberi
perhatian oleh penulis. Penggunaan bahasa yang tidak jelas akan menimbulkan
kesukaran kepada pembaca untuk memahami apa yang ingin dimaksudkan.
Tahap penguasaan yang baik membolehkan penulis melahirkan apa yang
sebenarnya ingin disampaikan. Jika tidak berkemungkinan pembaca akan
menyalahtafsirkan mesej sebenar yang terkandung dalam kertas kerja tersebut.
Dalam penggunaan bahasa, penulis perlu memikirkan pemilihan kata dan ayat
yang mempunyai ciri-ciri seperti berikut:
Kejelasan
Kekhususan
Ketepatan
Kesesuaian
Elakkan ulangan yang tidak perlu
ii. Ringkas, tepat dan padat.
Kertas kerja banyak mengandungi maklumat. Maklumat perlu dijelaskan oleh
penulis menggunakan bahasa yang sesuai supaya mudah difahami oleh
pembaca dengan jelas. Jika penjelasan yang diberikan oleh penulis terlalu
panjang maka pembaca sukar untuk memahami maksud yang ingin
disampaikan. Begitu juga sebaliknya, jika penjelasan terlalu ringkas sukar untuk
pembaca memahami apa yang ingin disampaikan atau berkemungkinan
pembaca akan membuat tafsiran yang berbeza daripada maksud sebenar
penulis. Setiap maklumat harus diolah dengan jelas tanpa diulang-ulang. Kertas
kerja yang dihasilkan perlu ringkas, tepat dan padat sesuai dengan tujuan
penghasilan kertas kerja tersebut.
iii. Penggunaan laras yang betul
Laras bahasa ialah variasi bahasa yang mempunyai cirri-ciri khusus dalam
penggunaannya mengikut bidang. Hal ini termasuk pemilihan kata, frasa, ayat,
khalayak dan bidang yang diperkatakan. Walaupun pada umumnya penulisan
kertas kerja menggunakan laras bahasa formal, namun dalam penghasilan
kertas kerja tertentu penggunaan laras yang betul amat penting. Semasa
menghasilkan kertas kerja seminar misalnya, penggunaan laras yang tepat
mengikut bidang akan memudahkan khalayak memahami maksud yang ingin
disampaikan oleh penulis. Manakala bagi kertas kerja projek pula, laras bahasa
umum sering digunakan. Oleh sebab itu, penulis juga perlu membuat
pertimbangan tentang khalayaknya sebelum menulis.
iv. Keutuhan wacana dalam tulisan.
Wacana merupakan satu satuan bahasa terlengkap dengan koheren dan kohesi
tinggi yang berkesinambungan. Oleh sebab banyak maklumat yang terdapat
dalam kertas kerja, maklumat itu perlu disusun sesuai dengan urutannya supaya
idea yang ingin disampaikan dapat dipersembahkan secara teratur. Pertalian
antara satu maklumat dengan yang lain akan menampakkan satu pola atau
keseluruhan kertas kerja. Dengan itu pembaca akan mudah memahami idea

yang ingin disampaikan. Selain itu, pemilihan kata dan susunan ayat yang
digunakan dalam kertas kerja juga akan memperlihatkan kertas kerja itu sebagai
satu kesatuan yang utuh.
v. Ketekalan penulisan.
Untuk menghasilkan kertas kerja yang baik, bentuk penulisan harus
dipersembahkan dalam bentuk yang tekal dan konsisten terutama dari segi
ejaan. Ejaan perkataan sama yang berbeza-beza dalam satu kertas kerja
memperlihatkan ketidaktelitian penulis khususnya dalam membuat penyemakan
terakhir. Selain itu, bahagian subtajuk yang terdapat dalam kertas kerja perlu
ditulis dalam format yang sama terutama daripada segi membuat indent atau
jarak tepi. Ketekalan bentuk akan memudahkan pembaca membuat rujukan dan
kertas kerja tersebut akan kelihatan kemas.
vi. Penomboran yang sesuai.
Penomboran juga penting dalam penulisan kertas kerja kerana terdapat
beberapa tajuk kecil yang perlu ada dalam satu kertas kerja. Penulis perlu
menyusun maklumat dengan susunan yang sesuai dan memberikan
penomboran. Penulis perlu memikirkan pembahagian tajuk-tajuk kecil tersebut
supaya tidak terlalu banyak tajuk kecil yang disenaraikan. Begitu juga pecahanpecahan bagi tajuk kecil tersebut. Berilah penomboran yang sesuai supaya
bahagian-bahagain tertentu mudah dirujuk.
vii. Maklumat yang lengkap.
Kertas kerja biasanya mengandungi maklumat yang banyak terutama bagi kertas
kerja projek. Oleh sebab itu, penulis digalakkan untuk membuat rujukan atau
semakan dengan pihak-pihak tertentu supaya maklumat yang diperlukan tidak
tertinggal. Pandangan daripada pihak-pihak lain akan dapat melengkapkan lgi
kertas kerja yang kita sediakan. Kertas kerja yang telah lengkap sepatutnya
dapat menjawab persoalan-persoalan yang berkaitan. Jika maklumat yang perlu
tidak terdapat dalam kertas kerja mungkin penulis perlu melakukan
penambahbaikan agar kertas kerja yang akan dikemukakan mendapat
kelulusan.
viii. Kepanjangan yang sesuai.
Sesebuah kertas kerja yang baik tidak semestinya panjang. Bergantung kepada
tujuan, khalayak, perkara yang diperkatakan, peruntukan kewangan dan
sebagainya, penulis boleh merangka kepanjangan yang sesuai bagi kertas kerja
tersebut. Bagi tajuk-tajuk tertentu, kertas kerja yang disediakan tidak perlu
panjang kerana khalayak mudah memahaminya sedangkan mungkin untuk tajuktajuk yang lain penulis perlu memberi penjelasan yang lebih terperinci. Panjang
atau pendek sesuatu kertas kerja bergantung kepada jenis kertas kerja dan
tujuannya.
Untuk mengelakkan kertas kerja yang dihasilkan menjadi terlalu panjang, penulis
perlu menggunakan halaman lampiran untuk menyampaikan maklumat
tambahan yang mungkin diperlukan untuk menjelaskan tentang sesuatu perkara
yang dinyatakan dalam kertas kerja tersebut. Bahagian-bahagian tertentu dalam
sesuatu kertas kerja mungkin boleh dikemukakan dalam bentuk lampiran.
Dengan ini, kertas kerja yang dihasilkan tidak terlalu panjang atau tebal.

You might also like