You are on page 1of 9

Gagasan Masyarakat Sivil Islam Menurut Tariq Ramadan: Satu Penilaian Terhadap Isu Isu

Kemasyarakatan Di Malaysia
ABSTRAK
Tariq Ramadan merupakan salah seorang pemikir Islam moden yang sering
membahaskan mengenai isu-isu yang berkaitan dengan masyarakat sivil.
Gagasan masyarakat sivil beliau merupakan satu gagasan yang bertujuan
untuk memberi nafas yang baharu terhadap komuniti muslim. Ianya
merupakan satu kritikan terhadap apa yang berlaku dalam dunia Islam hari
ini. Tulisan ini akan membicarakan mengenai gagasan Masyarakat Sivil
Islam versi Tariq Ramadan yang menyentuh isu-isu seperti kebebasan hak,
pendidikan, konsep demokrasi dan media. Selain itu, tulisan ini juga akan
membandingkan idea-idea Tariq Ramadan dalam gagasannya dengan realiti
yang berlaku di Malaysia memandangkan masyarakat Malaysia merupakan
mempunyai ciri-ciri yang sama seperti model masyarakat yang dibincangkan
oleh Ramadan dalam gagasannya
Kata Kunci: Masyarakat Sivil, Tariq Ramadan, Pendidikan, Demokrasi,
Malaysia

Pengenalan
Masyarakat Sivil merupakan sebuah masyarakat yang di definisikan sebagai masyarakat yang telah
mencapai nilai dan pemikiran yang moden dan bertamadun tinggi. Gagasan masyarakat sivil ini
merupakan sebuah gagasan yang telah lama diperdebatkan dan di bincangkan bermula daripada
terbitnya The Ideal State oleh plato yang membincangkan mengenai bagaimana sebuah negara atau
komuniti masyarakat yang sempurna dari sudut srata sosial sehinggalah kepada pemeritahan.
Sepanjang perdebatan dan wacana mengenai masyarakat sivil ini, perlbagai tafsiran dan model telah
diperkenalkan baik dari dunia barat atau daripada gagasan intelektual Islam.
Tariq Ramadan merupakan salah seorang ahli akademik Islam yang sering membicarakan
mengenai subjek ini. Penekanan beliau dalam gagasan masyarakat sivil adalah lebih kepada
membentuk model baharu komuniti Islam yang mempunyai ketamadunan yang tinggi dan idealistik
dengan keadaan zaman kini. Beliau dalam model masyarakat sivil versi Islam sering membicarakan
mengenai perkara yang fundamental bagi pembentukan masyarakat Islam sivil antaranya meliputi
elemen pendidikan, konsep ekualiti dalam pembahagian ekonomi, hak asasi serta konsep-konsep asas
seperti al-adl, at-taawun, al-muwatanah dan sebagainya.
Oleh yang demikian, Malaysia merupakan negara Islam yang mempunyai pelbagai kaum yang
hidup harmoni. Selain itu, Malaysia juga merupakan negara Islam contoh yang mendapat kehormatan
dari negara Islam yang lain dengan kejayaan melahirkan masyarakat sivil yang baik. Namun begitu,
persoalan yang menjadi asas dalam tulisan ini ialah apakah Malaysia telah berjaya sepenuhnya
memenuhi apa yang di harapkan dalam gagasan masyarakat Islam sivil Tariq Ramadan. Maka tulisan
ini akan membincangkan mengenai idea asas Tariq Ramadan terhadap masyarakat sivil dan juga
perbandingannya dengan pencapaian serta isu-isu yang dihadapi oleh masyarakat sivil di Malaysia.

Ruang Awam, Ruang Individu dan hak-haknya


Dalam membahaskan gagasan pemikiran berkaitan dengan masyarakat sivil, isu mengenai ruang
awam (public sphere) dan ruang individu (private sphere) merupakan isu asas. Ini kerana setiap
gagasan masyarakat sivil samada dalam dimensi Barat atau Islam pasti akan disentuh kedua-dua
perkara ini. Selain itu, dua perkara ini menjadi asas dalam wacana yang membincangkan mengenai
hak asasi seseorang individu itu dan hak awam serta identiti sesebuah masyarakat. Tariq Ramadan juga
tidak ketinggalan dalam membahaskan isu ini dalam gagasan masyarakat sivilnya yang diversikan
sebagai masyarakat sivil Islam.
Beliau melihat, adalah satu yang menjadi masalah sekiranya umat Islam ingin membina
sebuah komuniti yang unggul tanpa memikirkan hak setiap individu dan masyarakat. Ramadan
menyatakan pandangan terhadap isu ruang awam dan ruang individu sebagai satu yang penting.
Perbincangan mengenai penetapan batasan antara ruangan awam dan ruangan individu merupakan
perbincangan yang sudah lama berlaku dalam masyarakat Barat namun sehingga ke hari ini garis
panduan yang ditetapkan oleh Barat mengenai dua ruang ini kelihatan gagal dalam menyelesaikan isu
yang dihadapi oleh masyarakat mereka sendiri, Barat dilihat sudah hilang identiti disebabkan oleh
kegagalan formula dan garis panduan dalam menangani isu ruangan awam dan ruangan individu ini.
Formula ini iaitu sekularisasi yang memisahkan secara total antara agama dan urusan duniawi
merupakan faktor utama kemuculan krisis identiti tersebut (Ramadan: 2009:267).
Umat Islam bagi Ramadan seharusnya mengambil iktibar lalu meneliti hal ini dengan lebih
berhati-hati. Dengan cabaran yang dihadapi dalam komuniti masyarakat masakini seperti multi-budaya
dan pluralisme. Barat yang sudah kritikal itu mula membina tapak baharu dengan mengemukakan
beberapa teori yang dibawa oleh ahli sosiologi seperti John Rawl dan Charles Taylor seperti memberi
nilai neutral kepada sfera awam ini. Walau bagaimanapun, Ramadan mengkritik teori ini dengan
menyatakan bahawa adalah satu yang mustahil bagi sesebuah komuniti masyarakat itu untuk berada
dalam keadaan neutral terhadap perkara-perkara seperti multi-budaya dan pluraliti dalam masyarakat
lalu menjadi zero identity. Ini kerana setiap peradaban dan komuniti mempunyai sejarah dan latar
belakang budaya yang menjadi warisan dan diambil sebagai identiti asas , sekiranya hal ini di buang
dan dijadikan komuniti itu neutral maka ianya tidak ubah seperti apa yang telah berlaku keatas
masyarakat Barat hasil dari sekularisasi (Ramadan 2009:267).
Ramadan menegaskan bahawa multi-budaya yang terasimilasi hasil dari proses immigrasi
global bukanlah satu halangan dan masalah kepada sistem sosial dan ruang awam dalam sesebuah
komuniti masyarakat, malah fenomena ini tidak mampu dielakkan sebagai contoh, masyarakat kristian
yang tinggal di kawasan majoriti muslim pastinya sedikit sebanyak akan terpengaruh dengan budaya
muslim di kawasan itu, begitu juga halnya dengan masyarakat muslim yang tinggal di negara Barat,
pastinya akan terpengaruh dengan budaya Barat namun identiti mereka tetap kekal sebagai seorang
muslim atau kristian berlainan sekiranya menjadikan komuniti itu sifar identiti yang akan
menghasilkan kecelaruan identiti terhadap masyarakat. Kerencaman ini seharusnya diuruskan dengan
baik dan teliti bukannya di hapuskan sama sekali. Sejarah telah mencatatkan betapa kerencaman
budaya dan pluraliti agama tidak menggangu gugat keharmonian dan agama masing-masing sekiranya
diuruskan dengan baik.
Beliau mengambil Malaysia sebagai contoh negara yang mempunyai multi-budaya dan agama.
Suasana seperti ini mustahil untuk dielak dalam konteks masyarakat Malaysia, namun dengan
pengurusan yang baik ianya bukanlah menjadi satu masalah dan beban atau ancaman kepada
kerencaman dan budaya Islam di Malaysia (Ramadan 2009:268). Isu kerencaman multi-budaya dalam

ruangan awam dan ruangan peribadi bukanlah isu besar. Namun yang menjadi isu pokok adalah
sejauh mana hak dan pengamalan prinsip keadilan itu dilaksanakan secara telus di dalam ruangan
awam dan peribadi. Meneliti kembali sejarah peradaban dalam Negara Islam Uthmaniyah misalnya,
memperlihatkan bagaimana kerencaman budaya yang berlaku pada zaman pemerintahan Sultan
Sulayman Yang Agung tidak memberi kesan yang negatif terhadap negara. Ini kerana polisi dan
pentadbiran yang diamalkan oleh baginda sultan sangat mementingkan nilai toleransi dan hak
kebersamaan dalam masyarakat. Nilai keadilan yang diamalkan oleh baginda sultan memberi
gambaran betapa pengajaran yang terkandung dalam budaya Islam itu sebenarnya tidak memberi
ancaman kepada fenomena multi-budaya malah prinsip al-Adl dalam Islam memberi penekanan
terhadap keadilan dan hak setiap budaya dan bangsa yang tinggal bersama dalam komuniti Islam
(Ramadan 2009:268)
Walau bagaimanapun, apa yang menjadi masalah pada hari ini yang berlaku di dunia Barat
mahupun Islam adalah penerapan nilai al-Adl yang sebenar dalam mayarakat majmuk. Undangundang yang dilaksanakan sepatutnya menjamin hak-hak setiap individu samada dalam ruangan awam
ataupun peribadi tanpa melanggari batas-batas yang ditetapkan. Undang-undang moden yang dibawa
oleh barat dan diaplikasikan keatas masyarakat mereka kelihatan tidak mampu untuk menerapkan nilai
seperti ini. Walaupun pada asalnya undang-undang ini dikatakan tertegak atas dasar hak kebebasan
setiap individu, tetapi kebebasan yang diterapkan itu akhirnya membawa kepada keadaan masyarakat
yang zero-identity serta neutral-budaya. Setiap insan diberi kebebasan yang melampau. Ini
sebenarnya akan memberikan satu huru-hara menurut Tariq Ramadan. Misalnya, setiap orang berhak
untuk melakukan apa yang ia rasakan haknya walaupun melanggari hak dalam masyarakat, jika ini
berterusan diskriminasi dan oppresi akan berlaku. Contohnya dalam bidang sosio-ekonomi, si kaya
berhak menggunakan kekayaannya untuk memonopoli perdagangan dan menekan si miskin selagi
mana tidak nyata secara jelas dia melakukan oppresi. Masalah ini berlaku dalam ruang awam (public
sphere) di barat.
Oleh yang demikian, Ramadan mencadangkan agar pemikir Islam kontemporari ini kembali
mencari alternatif yang terdapat dalam Islam itu sendiri. Beliau lebih menekankan agar prinsip-prinsip
dan nilai Islam dalam setiap perkara itu dibugar kembali seperti undang-undang Islam, politik dan
sosial. Seharusnya setiap prinsip seperti undang-undang Islam mengambil kira perkara-perkara yang
terdapat dalam maqasid syariah. Kerana apa yang digaris pandukan dalam maqasid itu lebih menjamin
hak setiap individu samada dalam ruang awam atau peribadi tanpa melampaui batas yang akhirnya
merosakkan struktur identiti dan nilai dalam komuniti itu sendiri (Ramadan 2009:270). Ramadan juga
menekankan bahawa kepentingan memberi definisi yang baharu dalam soal-soal seperti keadilan,
kebebasan, maruah dan kesamaan dalam konteks masyarakat moden masa kini selaras dengan konsep
kerakyatan yang digagaskan olehnya. Bagi Ramadan, konsep Ahl-Dhimmah atau orang yang diberi
perlindungan sudah tidak lagi relevan dalam konteks masyarakat Islam masa kini.
Mengambil contoh di Malaysia sebuah negara Islam umpamanya, apakah komuniti nonmuslim masih lagi diertikan dengan istilah Ahl-Dhimmah sedangkan mereka bersama-sama dengan
komuniti muslim dalam membebaskan serta kembali membina negara itu seperti sekarang ini. Dengan
peranan dan pengorbanan yang mereka lakukan itu adalah lebih sesuai untuk dinyatakan bahawa
mereka bukanlah Ahl-Dhimmah tetapi Al-Muwatanah (citizenship). Dengan pendefinisian yang
baharu terhadap status mereka, maka ianya juga akan mempengaruhi bagaimana layanan dan taraf
jaminan hak yang akan mereka perolehi. Seharusnya komuniti non-muslim yang berada dalam
lingkungan komuniti muslim yang majoriti ini berasa aman dan dijaga haknya bukan lagi sebagai ahlDhimmah, tetapi sebagai sebahagian dari komuniti kerakyatan dalam negara Islam dan mempunyai
hak-hak seperti mana komuniti Islam itu sendiri (Ramadan 2009:270).

Kuasa, Undang-Undang Dan Masyarakat Sivil


Isu yang dibawa oleh Tariq Ramadan mengenai pembentukan masyarakat Islam sivil bukan
hanya terhad kepada wacana memberi pentakrifan semula terhadap hak dalam ruang lingkup awam
dan peribadi walaupun dasar itu diambil kira sebagai asas pembentukan masyarakat sivil. Bagi
Ramadan apabila ruang lingkup awam dan peribadi serta haknya mampu diberi takrifan dan penilaian
semula bersesuaian dengan waqi dan realiti semasa kini, Isu keduanya ialah mengenai bagaimana
untuk melunaskan hak dan prinsip-prinsip yang telah dinyatakan pada awal perbahasan ini. Islam
merupakan agama yang syumul dan meliputi segenap aspek dalam kehidupan manusia, namun apa
yang menjadi masalah pada hari ini, umat Islam itu dilihat dalam skop yang sangat sempit.
Bagaimana kita mengamalkan Islam itu sebenarnya memberi gambaran sejauhmana kita
memahami Islam sebagai agama yang syumul dan meliputi seluruh kehidupan. Sebagai contoh dimana
masyarakat Islam pada hari ini melihat Islam dalam ruang yang sempit adalah memahami konsep Assyariah itu hanya pada ruang lingkup undang-undang Islam sepertimana yang difahami oleh majoriti
umat pada zaman ini (Ramadan 2009:271). Pemahaman seperti ini bukanlah baru sahaja tertanam,
namun ianya telah menjadi warisan sejak berzaman lagi. Ini memperlihatkan betapa umat Islam
terbelenggu pemikirannya dan tidak begitu dinamik dalam memahami Islam. Pada awalnya, umat ini
memahami as-syariah sepertimana sepatutnya dan mereka tidak rigid dalam memahaminya
sepertimana tulisan As-Syafie dalam Ar-Risalah yang memperlihatkan betapa syariah itu dilihat
fleksibel dan memudahkan.
Namun, setelah beberapa kurun, masyarakat Islam mula menjadikan gagasan yang di asaskan
oleh As-Syafie ini sesuatu yang tetap dan non-fleksibel, setiap perkara harus mengikut bagaimana AsSyafie melihat pada zamannya, tidak lagi melihat realiti pada masa kini (Ramadan 2009:271). Selain
itu, masyarakat juga mula melihat fatawa dan pandangan As-Syafie itu sebagai satu tatacara undangundang yang tetap dan formal, malah mereka tidak lagi berani untuk mengadunkan pendapat lalu
menyesuaikannya atau membuat suatu yang baharu sesuai dengan realiti masa kini (Ramadan
2009:272).
Seharusnya masyarakat Islam sedar akan masalah ini dimana mereka menjadikan syariah itu
suatu yang formal dan non-fleksibel dalam keadaan masyarakat kini yang memerlukan fleksibiliti
dalam undang-undang Islam yang lebih mencakupi keadaan masa kini serta tidak lagi pemahaman
syariah itu hanya berlegar dalam undang-undang fiqh, tetapi syariah itu meluas dan pemahamannya
bagi masa kini lebih menjurus kepada jalan atau gaya hidup masyarakat (Ramadan 2009:272).
Walaupun demikian, Ramadan menjelaskan perlunya pentakrifan semula istilah syariah yang lebih
meluas itu mestilah dengan meluaskan makna undang-undang Islam yang pada asalnya hanya meliputi
perkara-perkara fiqh Islam kepada isu-isu yang lebih membumi dan berkait rapat dengan kehidupan
manusia seperti sosial, ekonomi, pendidikan, kebajikan dan etika (Ramadan 2009:272).
Tariq Ramadan juga bercakap mengenai kepentingan reform dalam kuasa politik. Ini kerana
jaminan dalam penerapan nilai syariah yang syumul itu adalah berdasarkan sejauhmana etika syariah
itu dipatuhi dalam bidang politik dan kuasa. Mengambil model negara Islam Madinah yang di bentuk
oleh Rasulullah s.a.w, Ramadan menegaskan bahawa negara Islam Madinah adalah satu contoh di
nama syariah itu tidak hanya terkongkong pada undang-undang awam dan isu-isu fiqh, namun ianya
teraplikasi dalam etika dan moral masyarakat dalam bidang sosial mahupun politik (Ramadan
2009:272). Walau bagaimanapun, Ramadan menegaskan bahawa komuniti manusia sentiasa berubah
maka oleh yang demikian Model masyarakat Madinah haruslah diperhati dan di analisa bersesuaian

dengan masyarakat moden hari ini tanpa meninggalkan sedikitpun nilai etika masyarakat itu, bukanlah
bermaksud kita harus secara zahiri kembali seperti mana keadaan pada waktu itu, tetapi nilai dan
pengamalan syariah dalam model masyarakat Madinah itu harus diambil dan diterapkan dalam
komuniti hari ini baik dalam apa jua bidang yang akhirnya membuka ruang kepada konsep syariah itu
bukan hanya terbatas pada konteks fiqh, malah etika dan nilai yang ada pada syariah itu yang penting
untuk diamalkan dalam sektor politik misalnya.
Beberapa tahun yang lalu, berlaku perdebatan dikalangan sarjana muslim dalam menilai
sistem demokrasi adakah ianya sistem yang syarie dan dibolehkan untuk diimplementasikan dalam
komuniti muslim atau tidak. Ada dikalangan sarajana ini menganggap bahawa demokrasi itu sendiri
adalah tertolak kerana tidak terdapat dalam nas mengenai hal ini malah ianya hasil dari pemikiran
barat yang sekular, ada dikalangan mereka juga menolak kerana sistem demokrasi ini bukan bersifat
ilahiyyat dan menolak konsep al-Hakimiyyah lil-Lah iaitu kekuasaan mutlak Allah (Ramadan
2009:273). Golongan yang kedua dalam membahaskan mengenai demokrasi berpendapat ia
sebenarnya tidak lari konsep Islam memandangkan didalamnya terdapat banyak nilai dan pembawaan
Islam seperti kesamarataan, menolak penindasan, kedaulatan undang-undang, akauntabilti, integriti
dan sebagainya. Apa yang menjadi masalah pada hari ini bukanlah demokrasi itu sendiri tetapi politik
Islam yang membawa demokrasi itu gagal untuk menerapkan unsur-unsur syariah dan nilai etika Islam
yang sebenar di dalamnya. Adalah menjadi suatu yang sia-sia sekiranya sarjana dan masyarakat
muslim terlalu sibuk membincangkan apakah sistem yang paling sesuai untuk di bawa dalam soal
pemerintahan sedangkan masalah yang paling utama ialah kegagalan menerapkan nilai Islam dalam
sistem-sistem tersebut.

Analisis Pendidikandan Hubungan Sosial Di Malaysia


Malaysia merupakan sebuah negara Islam yang menjadi model di seluruh dunia Islam. Keunikan yang
terdapat dalam masyarakat Malaysia itu sendiri menjadi panduan dan tarikan bagi pengkaji sosial di
seluruh dunia. Malaysia juga merupakan model bagi negara lain yang berbilang kaum untuk mengurus
kerencaman buidaya yang terdapat di dalamnya.
Malaysia merupakan sebuah negara yang terbentuk atas komposisi kaum yang berbeza. Tiga
kaum terbesar adalah terdiri daripada Melayu, India dan Cina. Komposisi kaum yang terbesar ialah
kaum melayu yang mana terdiri daripada 50% dari jumlah keseluruhan penduduk di Malaysia.
Manakala kaum lain seperti cina yang membentuk kira-kira 25% dari jumlah penduduk yang berasal
usul dari pada Imigran cina yang datang dari tanah besar pada kurun ke-19, kaum ketiga pula ialah
kaum India yang membentuk 10% daripada jumlah penduduk di Malaysia. Kebanyakkan daripada
kaum ini berasal daripada selatan India yang datang ke negara ini sewaktu penjajahan British dahulu
(Malaysiana).
Kerencaman kaum yang terdapat di Malaysia ini menjadikan Malaysia sebuah negara yang
unik. Namun begitu, dengan kerencaman budaya dan ras yang terdapat di negara ini, maka cabaran
dari sudut pengurusan dan sosioekonomi juga semakin mencabar. Isu-isu seperti taraf pendidikan,
kesenjangan ekonomi dan ekualiti kekayaan dari antara kaum juga menjadi cabaran utama bagi
masyarakat di Malaysia. Sebagai contoh, Isu pendidikan di Malaysia masih lagi menjadi perdebatan
dan perbincangan dari pelbagai pihak. Ini kerana institusi pendidikan merupakan asas kepada
pembentukan Masyarakat Sivil yang baik. Statistik yang dikeluarkan oleh PISA 2009+ atau dikenali
sebagaiProgramme for International Student Assesment) menunjukkan tahap kecekapan dan
keberkesanan sistem pendidikan di Malaysia masih meletakkan Malaysia dalam lingkungan tangga 50

dan kebawah berbanding dengan negara jiran seperti Singapura, China, Hong Kong, Korea dan
Thailand (Kementerian Pendidikan: 2013):

Jadual 1.0: Kedudukan malaysia dalam kecekapan meliputi subjek bahasa, matematik dan sains

Hal ini perlu diperbaiki dari semasa ke samasa untuk menjamin rakyat yang memperolehi
sistem pendidikan yang baik dan mampu membina jati diri sebagai masyarakat yang mempunyai sivil
yang tinggi. Memerhati daripada kedudukan Malaysia dalam tangga di tunjukkan oleh laporan diatas,
beberapa faktor-faktor yang dikenalpasti mempengaruhi hal ini. Antaranya ialah dari sudut
kelengkapan fasiliti pendidikan di sekolah, kekurangan guru mahir serta bantuan yang masih kurang
bagi sekolah-sekolah yang memerlukan terutamanya di luar bandar. Misi membentuk masyarakat yang
mempunyai nilai sivil yang tinggi seperti mana apa yang telah dinyatakan dalam Gagasan Tariq
Ramadan memerlukan kemantapan elemen asas kemasyarakatan iaitu sosial dan pendidikan, ini
termasuklah peluang pendidikan yang dirasai bersama pada setiap lapisan masyarakat tanpa ada jurang
perbezaan. Sekiranya masih terdapat jurang dari sudut perbezaan taraf pendidikan yang diperolehi
oleh masyarakat dalam dan luar bandar ianya menyukarkan proses untuk membina mentaliti
masyarakat sivil secara menyeluruh. Jadual di bawah menunjukkan statistik faktor-faktor yang
mempengaruhi sistem pendidikan di Malaysia:

Rajah 1.0: Statistik bilangan sekolah rendah yang kekurangan


infrastruktur pada tahun 2005

Menurut laporan yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dalam Plan
Pembangunan Pendidikan 2007, pada tahun 2005 seperti yang ternyata dalam rajah diatas jelas
mem[perlihatkan keadaan infrastruktur pendidikan yang masih belumcukup untuk meliputi kesemua
sekolah khususnya di luar bandar (Kementerian Pendidikan: 2007) . Dengan kekurangan sumber asas
seperti air dan kuasa elektrik, pastinya menyukarkan lagi proses pembelajaran masyarakat luar bandar.
Natijahnya, pendedahan yang dapat dirasai oleh golongan bandar tidak dapat dirasi secara menyeluruh
oleh masyarakat di luar bandar seperti sekolah elit dan swasta, fasiliti yang moden serta selesa.
Walau bagaimanapun, kerajaan Malaysia optimis untuk mempertingkatkan kualiti pendidikan
khususnya bagi masyarakat luar bandar. Malaysia dalam Plan Pembangunan Pendidikan 2013-2025
mengambil inisiatif yang banyak untuk menjayakan misi peningkatan sektor pendidikan agar mampu
melahirkan masyarakat sivil secara menyeluruh sepertimana yang di gagaskan oleh Ramadan yang
tidak tertumpu pada golongan bandar sahaja. Dalam plan tersebut terdapat 11 misi utama yang perlu
dicapai sepanjang tempoh antara tahun 2013-2025. Namun, terdapat lima misi utama yang perlu
dicapai dengan jayanya iaitu yang pertama menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan
berkualiti yang bertaraf antarabangsa. Yang kedua, memastikan setiap pelajar menguasai bidang
komunikasi dan bahasa terutamanya bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris sebagai bahasa
pengantaraan antarabangsa. Yang ketiga melahirkan rakyat Malaysia dengan penghayatan nilai
masyarakat sivil melalui pendidikan. Yang keempat, mentranformasi bidang perguruan dan pendidikan
untuk lebih berdaya saing dan menjadi profesion pilihan dan yang terakhir memastikan kepimpinan
berprestasi tinggi di tempatkan di setiap sekolah untuk menggalakkan kompetensi yang baik dalam
pengurusan sekolah (Kementerian Pendidikan: 2013).
Selain dari sudut pendidikan, Ramadan dalam gagasannya menyentuh soal hak dan hubungan
sosial antara kaum. Malaysia diambil sebagai contoh negara yang mempunyai pelbagai kaum dan ras.
Walaupun pada hakikatnya Malaysia berjaya secara am membentuk keharmonian sosial, namun
terdapat beberapa kondisi dan keadaan dimana integriti antara kaum dan hubungan sosial yang tebina
dengan kontrak sosial sebelum merdeka dicabar dan diperbincangankan. Realiti hubungan sosial di
Malaysia yang aman dan harmoni kadang-kadang dihangatkan dengan beberapa isu yang melibatkan
sosio-ekonomi antara kaum.
Meneliti kembali sejarah yang panjang mengenai bangsa di Malaysia ini. Isu seperti hak dan
jurang ekonomi antara kaum telah menyebabkan berlakunya pengasiangan kaum di Malaysia. Dasar
Brirish yang menjajah dengan polisi ekonomi Pecah dan Perintah menjadi faktor utama hal ini

(Anuar Ramli & Mohammad Aizat t.th: 2). Kewujudan pengkhususan ekonomi dan tempat tinggal ini
bukan sahaja melebarkan lagi jurang hubungan antara kaum, tetapi ianya juga melahirkan sentimen
prejudis, stereotaip, etnosentrisme dan ketidak puasan hati antara kaum. Walaupun Malaysia sudah
bebas daripada belenggu sistem pecah dan perintah ini namun saki baki sentimen itu tetap ada dan
sukar untuk dibuang secara total (Anuar Ramli & Mohammad Aizat t.th: 2). Isu-isu seperti
perkauman, sikap dan nilai, tuntutuan, aspirasi dan persaingan serta prejudis sentimen agama dan
bangsa masih lagi berlegar dalam komuniti multi-ras di Malaysia (Chandra Muzaffar 1996: 176).
Menurut Muhammad Khir Toyo, punca utama hal ini berlaku adalah kerana kealpaan setiap kaum
untuk meneliti semula sejarah hubungan diantara kaum dan yang kedua merupakan keengganan untuk
menerima dan mematuhi persetujuan antara kaum yang telah dipersetujui sebelum ini (Mohammad
Khir Toyo. 2002:10)
Konflik-konflik ini berlaku di setiap negara yang mempunyai penduduk dan bangasa yang
berbagai. Namun, di Malaysia ianya masih lagi terkawal dan kerajaan sedaya upaya menyediakan plan
untuk menyelesaikan dan mengawal sentimen-sentimen ini. Ramadan dalam gagasannya juga
menjelaskan bahawa adalah mustahil untuk melahirkan masyarakat yang mempunyai zero-identiti
begitu juga halnya di Malaysia. Adalah satu yang mustahil untuk membina masyarakat yang
mempunyai zero-identiti atau neutral budaya memandangkan setiap etnik dan kaum mepunyai
budaya dan tunjang wasiran yang menebal dalam diri. Akan tetapi, konsep keadilan dan ekualiti antara
kaum tidak boleh dihiraukan dan mesti dilaksanakan juga kerana kriteria asas dalam gagasan
masyarakat sivil tariq Ramadan adalah masyarakat yang tertegak dengan prinsip keadilan dan prinsip
ekualiti (Ramadan 2009:270). Oleh itu, Malaysia mempunyai plan dan rancangan tersendiri untuk
sentiasa istiqamah dalam memastikankeadilan dan ekualiti antara kaum sentiasa terlaksana. Dasar
Sosial Negara adalah antara mekanisme yang diwujudkan untuk membantu mengimbangi serta
menjamin kelansungan hubungan sosial yang harmoni. Selain itu, dasar ini juga bertujuan untuk
merapatkan jurang sosial dan memberikan keadilan sosial sesuai dengan perlembangan dan apa yang
telah ditetapkan dalam sosial kontrak.
Beberapa strategi dan rancangan telah di rangka untuk memastikan kejayaan dasar ini.
Antaranya ialah yang pertama, memastikan keperluan asas individu, keluarga dan masyarakat
dipenuhi. Ini dilaksanakan dengan mewujudkan peluang kemudahan agar setiap individu, keluarga
dan masyarakat dapat menikmati keperluan asas yang melibatkan kesihatan, kebersihan dan
keselamatan yang baik selaras dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup yang lebih
berkualiti. Yang kedua, membangunkan dan memperkasakan Insan sepanjang hayat. Untuk mencapai
objektif yang kedua ini, kerajaan Malaysia memberikan penekanan dalam soal penguasaan insaniah
dan intelektual yang seimbang dengan spiritual yang mana penting untuk melahirkan masyarakat yang
mempunyai nilai sivik yang tinggi diantara kaum lantas menghapuskan sentimen-sentimen prejudis
yang terhasil dari kurangnya kefahaman dan konsep tasamuh antara kaum.

RUJUKAN
Zuraina Majid, Mohd Taib Osman, Leonard Y. Andaya. 2006. The Encyclopedia Of Malaysia.
Archipelago Press. Singapore.
Kementerian Pelajaran Malaysia. 2013. Laporan Awal Ringkasan Eksekutif. Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia 2013-2025.
Kementerian Pelajaran Malaysia. 2007. Pelan Induk Pembangunan Pendidikan Malaysia 2006-2010.
Anuar Ramli, Muhammad Aizat Jamaluddin. T.th. Prinsip Hubungan Sosial Bagi Menangani Konflik
Dalam Masyarakat Malaysia berteraskan Islam. Universiti Malaya.
Chandara Muzaffar. 1996. Keadilan Sosial di Malaysia. Satu Penilaian. Institut Kajian Dasar. Kuala
Lumpur.
Muhammad Khir Toyo. 2002. Dua Sebab Krisis Hubungan Kaum Terjejas. Berita Harian. 16 Ogos
2002.

You might also like