You are on page 1of 5

MERUNGKAI MASALAH KHILAFIYAH DAN BID'AH

‫ أما بعد‬،‫ والصلة والسلم على أشرف البياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين‬،‫ الحمد ل رب العالمين‬،‫بسم ال الرحمن الرحيم‬:

Berkata Syeikh Hasan al-Banna; “Khilaf Fiqh dalam masalah-masalah cabang hendaklah jangan menjadi sebab
berlakunya perpecahan dalam agama dan membawa kepada permusuhan dan kebencian kerana setiap mujtahid
akan mendapat pahalanya….”.[1]

Taujihat Hasan al-Banna tersebut sewajarnya menjadi ingatan setiap muslim hari ini kerana di depan kita ada
matlamat perjuangan yang perlu kita capai. Kalau kita asyik bergaduh sesama sendiri dalam masalah furu’,
sudah tentu penumpuan tidak dapat kita berikan kepada agenda yang lebih besar dan utama.

Islam membenarkan berlakunya khilaf di kalangan para mujtahid dalam perkara-perkara furu’ yang tidak berkait
dengan usul. Apabila berlaku khilaf tidak semestinya yang satu benar dan yang satu lagi salah, yang satu hak
dan yang satu batil.

Abu Sa’id al-Khudri r.a. menceritakan; “Dua orang lelaki keluar bermusafir (pada zaman Rasulullah s.a.w.).
Apabila masuk waktu solat, mereka tidak memiliki air untuk mengambil wudhuk, lalu mereka bertayammum
dan mengerjakan solat. Namun setelah itu mereka menemui air dan waktu solat masih ada. Maka salah seorang
dari mereka mengambil wudhuk dan mengulangi solatnya, adapun yang seorang lagi tidak mengulangi solatnya.
Tiba di Madinah, mereka datang merujuk kepada Rasulullah s.a.w.. dan menceritakan apa yang berlaku itu. Lalu
Rasulullah berkata kepada lelaki yang tidak mengulangi solatnya; “Apa yang kamu lakukan menepati sunnah
dan solat kamu adalah sah/dikira bagi kamu”. Kepada seorang lagi pula Rasulullah berkata kepadanya; “Bagi
kamu pahala/ganjaran dua kali”. (Riwayat Imam Abu Daud dan an-Nasai. Lihat hadis ini dalam Subulus-Salam,
bab at-Tayammum)

Kerana itu bagi Imam as-Suyuti, khilaf yang berlaku di antara mazhab-mazhab berlegar antara yang paling
benar dan yang benar, bukan di antara yang benar dan yang salah.[2] Oleh demikian, berdasarkan pandangan ini,
apabila kita berpegang dengan suatu pandangan mazhab –dalam masalah khilaf-, kita hanya layak untuk
berkata; ‘Pada hemat saya inilah pandangan yang paling benar, adapun pandangan lain adalah benar’. Tidak
harus kita berkata; “Bagi saya inilah sahaja pandangan yang benar, adapun pandangan lain adalah batil, munkar,
bid’ah atau salah”.

Perbezaan pendapat di antara para ulamak mujtahid mendatangkan rahmat kepada umat. Hal ini ditegaskan oleh
banyak ulamak. Antaranya Imam Ahmad yang berkata; “Perbezaan pendapat itu adalah kelapangan (bagi
umat)”. Berkata Umar Abdul ‘Aziz; “Aku tidak gembira jika para sahabat tidak berbeza pendapat. Kerana jika
mereka tidak berbeza pendapat tidak akan ada kelapangan bagi umat…”. Berkata Imam as-Syatibi; “Ikhtilaf
antara ulamak adalah rahmat bagi umat”.[3]

Oleh demikian, setiap orang Islam hendaklah berlapang dada dan menerima kepelbagaian pandangan dalam
Islam yang dikeluarkan oleh para ulamak mujtahid. Tidak menjadi kesalahan jika ia hendak mengkaji di antara
semua pandangan ulamak dalam suatu masalah, mana yang paling tepat. Namun hendaklah ia benar-benar
memiliki kemampuan untuk berbuat demikian, di samping menjaga adab dengan para ulamak terdahulu serta
meraikan adab-adab khilaf.

Khilaf yang tidak diizinkan

Namun, harus difahami juga bahawa bukan semua perkara harus berlaku khilaf. Khilaf hanya harus dalam
masalah furu’. Adapun dalam masalah aqidah atau usul, tidak harus berlaku khilaf. Oleh demikian, apabila
berlaku pertembungan antara aqidah Ahlus-Sunnah dengan Muktazilah, Qadariah, Syi’ah dan seumpamanya,
orang Islam wajib berpegang dengan aqidah Ahlus-Sunnah kerana ia adalah satu-satunya fahaman aqidah yang
menepati al-Quran dan as-Sunnah. Dalam suasana hari ini, umat Islam wajib menolak segala bentuk ideologi
yang bertentangan dengan aqidah Islam seperti Sekular, Komunis, Sosialis, Liberalisme dan sebagainya kerana
tidak harus berlaku perbezaan dalam pegangan aqidah di kalangan umat Islam.

Berkata Imam al-Khattabi; Khilaf dalam agama ada tiga bahagian;


Pertama; dalam mengisbatkan Pencipta dan keesaanNya. Mengengkari yang demikian adalah kufur.
Kedua; Dalam masalah sifat-sifat Allah dan kehendaknya. Mengengkarinya adalah bid’ah.
Ketiga; Dalam masalah furu’ yang diihtimalkan pelbagai pandangan. Hal ini dijadikan Allah sebagai rahmat dan
kemuliaan bagi para ulamak. Khilaf jenis inilah yang dimaksudkan dalam hadis “Ikhtilaf (ulamak mujtahid)
umatku adalah rahmat”.[4]

Berkata Imam as-Subki; “Tiada syak bahawa khilaf dalam usul adalah sesat dan menjadi penyebab kepada
segenap kefasadan sebagaimana ditunjuki al-Quran”.[5]

Tidak harus mengingkari masalah khilaf

Dalam senarai kaedah-kaedah fiqh, terdapat satu kaedah yang menegaskan;

‫ل ينكر المختلف فيه وإنما ينكر المجمع عليه‬


“Tidak diingkari perkara yang diikhtilafkan, akan tetapi diingkari perkara yang telah diijmakkan”.[6]

Berkata al-Hafidz Ibnu Rajab; “Munkar yang wajib diingkari ialah yang telah diijmakkan oleh para ulamak ke
atasnya. Adapun perkara yang diikhtilafkan berkenaannya, maka di antara pandangan sahabat-sahabat kami
(yakni ulamak-ulamak mazhab Hanbali); tidak wajib mengingkari orang yang melakukannya kerana ijtihadnya
atau kerana ia bertaklid kepada seorang mujtahid dengan taklid yang harus”.[7]

Imam al-Ghazali menegaskan di dalam Ihya’nya; Tidak harus bagi seorang bermazhab Hanafi mengingkari
seorang bermazhab Syafi’ie yang memakna dhab, dubu’ dan yang tidak dibacakan Basmalah (ketika
disembelih). Begitu juga, tidak harus seorang bermazhab Syafi’ie mengingkari seorang yang bermazhab Hanafi
yang meminum nabiz yang tidak memabukkan…”.

Berkata Imam Nawawi; “Amalan-amalan dan ucapan-ucapan yang rumit yang tertakluk dengan ijtihad, tidak
harus orang-orang awam menceburinya dan tidak harus mereka mengingkarinya. Hal demikian hendaklah
diserahkan kepada para ulamak. Para ulamak pula mereka hanya mengingkari/menegah perkara yang telah
diijmakkan. Adapun perkara yang diiktilafkan, tidak ada keingkaran terhadapnya kerana menurut salah satu dari
dua mazhab (berkenaan ijtihad); setiap mujtahid adalah benar. Pandangan ini adalah yang terpilih di sisi ramai
para muhaqqiqin (penganalisis) atau kebanyakan mereka. Adapun menurut satu pandangan/mazhab lagi; yang
benar satu sahaja dan yang salah tidak tertentu bagi kita dan dosa terangkat darinya…”.

Berkata Imam Ibnu Taimiyyah; “Jika suatu masalah itu harus ijtihad padanya maka tidak dipertikaikan orang
yang berbeza pandangan sama ada ia seorang mujtahid atau yang bertaklid”.

Berpegang dengan mazhab

Kaum muslimin terdiri dari dua golongan;

1. Golongan yang memiliki kemampuan untuk berijtihad. Golongan ini dikenali sebagai mujtahid dan bilangan
mereka amat sedikit kerana para ulamak silam meletakkan syarat yang cukup ketat bagi ijtihad demi menjaga
agama dari diseleweng atau disalahtafsirkan. Golongan ini tidak harus bertaklid. Mereka wajib mencungkil
sendiri hukum hakam dari al-Quran dan as-Sunnah.

2. Golongan yang tidak memiliki kemampuan untuk berijtihad. Golongan ini adalah kebanyakan penganut
Islam. Mereka dituntut merujuk kepada alim-ulamak berdasarkan perintah Allah;

“…dan bertanyalah kamu kepada orang-orang Yang berpengetahuan ugama jika kamu tidak mengetahui”. (an-
Nahl: 43)

ُ‫شفَاء العِيّ السّؤال‬


ِ ‫فإنما‬
“Sesungguhnya ubat bagi orang yang jahil ialah bertanya”. (Riwayat Imam Abu Daud dan ad-Daruqutni)

Berkata Imam Ibnul-Qayyim; “Harus bertaklid bagi orang yang tidak sampai darjah ijtihad. Wajib atasnya
mengikuti seorang imam yang dapat ia mengambil panduan darinya dan bertaklid kepadanya dalam mengenali
hukum-halam halal dan haram. Tidak harus bagi orang sepertinya untuk memberi fatwa kepada orang lain
sekalipun ia memiliki keseluruhan kitab-kitab hadis”.[8]

Berkata Imam as-Syatibi; “Fatwa-fatwa para mujtahidin dinisbah kepada orang-orang awam umpama dalil-dalil
Syarak dinisbah kepada para mujtahid”. [9]

Dr. Abdul Karim Zaidan menjelaskan; Seorang mujtahid hendaklah memperolehi hukum-hakam dari sumber-
sumbernya yang asli dengan cara pemerhatian dan ijtihad. Tidak harus taklid baginya. Adapun orang yang tidak
mampu berijtihad, wajib atasnya bertanya ahli ilmu (ulamak). Bertanyakan ahli ilmu sama ada secara
musyafahah atau dengan merujuk kepada pandangan-pandangan mereka yang termuat di dalam kitab-kitab yang
dipercayai yang menceritakan tentang pandangan-pandangan mereka dan menaqalkan dengan penaqalan yang
soheh. Oleh demikian, harus bagi orang awam untuk mengikuti satu mazhab tertentu dari mazhab-mazhab yang
makruf dan wujud hari ini dan dinaqalkan kepada kita dengan penaqalan yang soheh….”.[10]

Masalah Bid’ah

Bid’ah akhir-akhir ini telah menggoncang kesatuan para pendokong Islam dalam menghadapi musuh-musuh
mereka yang semakin hebat dan semakin licik mengatur serangan. Melakukan bid’ah sememangnya suatu
kesalahan atau dosa dalam Islam. Tetapi harus diingat bahawa bukan bid’ah sahaja satu-satunya penyakit yang
bakal merosakkan umat Islam dan kekuatan mereka. Di sana terdapat penyakit kufur, syirik, nifaq, munkar, dosa
dan maksiat yang di mana penyakit-penyakit ini diulangi berpuluh kali oleh Allah di dalam al-Quran (malah
juga as-Sunnah) berbanding dengan bid’ah yang disebut dalam beberapa hadis sahaja.

Malah dewasa ini munkar dan maksiat menjadi masalah besar dalam masyarakat kita, namun terdapat
sesetengah pihak cuba memalingkan perhatian kita dari memikirkan masalah besar tersebut kepada memikirkan
persoalan bid’ah dalam hal-hal furu’.

Para ulamak sepakat bahawa istilah bid’ah mengikut Syarak hanya berlaku dalam masalah agama. Secara
khususnya ia merangkumi tiga persoalan;

1. Aqidah
2. Ibadah
3. Halal dan haram

Begitu juga, mereka mensepakati bahawa perkara baru dalam agama yang direka-reka tanpa mempunyai
sebarang asas atau asal-usul dari Syarak (sama ada dari al-Quran, as-Sunnah, Ijmak atau sebarang bentuk
pendalilan yang muktabar di sisi ulamak), maka ia adalah bid’ah yang sesat. Ia dinamakan sebagai bid’ah
haqiqiyah yang disepakati ulamak bahawa ia haram dan tercela. Contohnya ialah;

1. Dalam masalah aqidah; bid’ah Muktazilah, Jabariyah, Qadariah. Pada hari ini dapat kita masukkan dalam
bid’ah jenis ini; Islam liberal, Sekular, Sosialis dan sebagainya.
2. Dalam masalah ibadah; memuja dan berdoa kepada kubur-kubur yang dianggap keramat, bernazar kepada
selain Allah.
3. Dalam masalah halal-haram; menghalalkan riba, arak, judi, pelacuran, pendedahan aurat dan sebagainya.

Di sana terdapat bentuk bid’ah yang diikhtilafkan antara ulamak iaitu bid’ah yang dinamakan sebagai bid’ah
idhafiyyah. Bid’ah Idhafiyyah ialah suatu amalan yang terdapat asal-usulnya dalam syarak, cuma kaifiyat dan
cara pengamalannya sahaja yang ditambah dari yang disebutkan Syarak. Kerana itu ia dinamakan Idhafiyah
yang bermaksud sandaran/tambahan. Contoh amalan yang termasuk dalam kategori bid’ah idhafiyah ini ialah;

1. Berzikir dan berdoa selepas solat beramai-ramai (secara berjamaah).


2. Bersalaman selepas solat fardhu.
3. Membaca tahlil beramai-ramai.
4. Muazzin membaca selawat dengan suara yang kuat selepas melaungkan azan.
5. Tambahan Saidina dalam selawat.
6. Membaca Yaasin malam jumaat.
7. Berpuasa nisfu Syaban
8. Himpunan maksurat yang dibaca di waktu pagi dan petang.

Para ulamak dalam mentafsirkan bid’ah terdapat dua kecenderungan;[11]

Pertama; Meletakkan semua jenis bid’ah adalah haram dan sesat tanpa membahagikannnya kepada bid’ah
hasanah dan bid’ah saiyyiah atau mazmumah. Antara ulamak yang mempunyai kecenderungan ini ialah Imam
Ibnu Taimiyyah, Ibnul-Qayyim, as-Syatibi dan aliran Salafi hari ini. Bagi kumpulan ini, bid’ah idhafiyah juga
tergolong dalam bid’ah yang diharamkan. Bagi mereka, bukan hanya amalan perlu ada dalil, malah kaifiyat dan
cara mengamalkan juga perlu ada dalil.
Kedua; Membahagikan bid’ah kepada dua kategori iaitu bida’h hasanah dan bid’ah saiyyiah. Bid’ah hasanah
ialah amalan-amalan yang menepati dalil-dalil Syarak. Adapun bid’ah saiyiah ialah yang bercanggah dengan
dalil-dalil Syarak. Pandangan ini menjadi pegangan jumhur ulamak termasuk Imam Syafi’ie, Imam Ibnu Hazm,
Imam al-Ghazali, Imam Ibnu al-Athir, Imam Nawawi, Imam Ibnu Hajar, Imam al-Zarkasyi, Imam al-Qarafi dan
sebagainya. Bagi pandangan ini, jika suatu amalan itu terdapat asal-usulnya dari Syarak, maka tidak boleh
dinamakan bid’ah yang sesat jika dilakukan dengan kaifiyat yang ditambah asalkan kaifiyat itu tidak
bertentangan dengan Syarak. Kecualilah jika terdapat dalil yang menegaskan suatu amalan itu wajib dilakukan
dengan kaifiyat tertentu, maka tidak harus berpaling kepada kaifiyat yang lain seperti solat lima waktu dan
sebagainya.

Berkata Imam Syafi’ie; “Perkara-perkara baru dalam urusan agama ada dua jenis;
Pertama; Perkara baru yang menyalahi al-Quran, as-Sunnah, atsar (kata-kata sahabat) atau ijmak, maka ia adalah
bid’ah yang sesat.
Kedua; Perkara baru yang berbentuk kebaikan yang tidak ada seorang ulamak pun yang mempertikainya, maka
ia adalah perkara baru yang tidak tercela.

Saidina Umar r.a. pernah berkata mengenai solat Terawikh (yang dilakukan berjamaah di belakang seorang
imam); “Sebaik-baik bid’ah ialah ini”. Ianya membawa erti bahawa ianya benda baru dan belum pernah
dilakukan sebelumnya…”.[12]

Berkata Imam Ibnu Rajab; “Yang dimaksudkan dengan bid’ah itu ialah perkara yang baru diwujudkan yang
tidak ada dalil yang membuktikannya di dalam Syariat. Manakala sesuatu yang mempunyai dalil yang
menunjukkannya, maka ia bukanlah bid’ah dari segi Syarak walaupun ia bid’ah dari segi bahasa”.[13]

Dalam apa keadaan sekalipun, setiap muslim harus menerima hakikat bahawa amalan-amalan dalam bid’ah
idhafiyah tersebut menjadi medan khilaf di kalangan ulamak. Sebagaimana ditegaskan tadi, dalam masalah
khilafiah kaum muslimin hendaklah berlapang dada sesama sendiri demi menjaga kesatuan sesama mereka.
Adalah lebih baik memberi tumpuan kepada membasmi gejala murtad, maksiat, munkar dan bid’ah haqiqiyah
dari menyebukkan diri dengan bid’ah idhafiyah yang pastinya tiada penyudahnya. Hal tersebut telah
diperingatkan oleh Syeikh Hasan al-Banna sejak 50 tahun yang lalu di mana beliau menulis dalam risalah Usul
al-‘Isyrinnya;

“Setiap bid’ah di dalam agama yang tiada asal-usulnya (dari nas Syarak), hanya semata-mata dipandang elok
oleh hawa-nafsu manusia sama ada dengan menambah atau mengurangnya, ia adalah sesat dan wajib diperangi.
Namun untuk membasminya hendaklah dengan jalan terbaik yang tidak membawa kepada keburukan yang lebih
besar”. (Usul ke 11)

“Bid’ah Idhafiyyah dan at-Tarkiyyah dan melazimi ibadah-ibadah yang mutlak merupakan khilaf fiqh di mana
setiap ulamak terdapat pandangannya tersendiri. Namun tidak menjadi kesalahan untuk mencari kebenaran
berdasarkan dalil dan bukti”. (Usul ke 12).

Syeikh Said Hawa juga menegaskan; “Tidak harus kita menghukum suatu amalan sebagai bih’ah yang
diharamkan kecuali apabila telah disepakati oleh imam-imam mujtahid atau imam-imam fatwa bahawa ia adalah
bid’ah. Adapun jika mereka berikhtilaf dalam membid’ah atau mengharamkannya, maka perkara terbabit adalah
luas (yakni diberi kelonggaran) dinisbah kepada orang awam. Adapun bagi orang yang mengetahui jalan-jalan
dalil, maka perkara tersebut baginya lebih sempit di mana jika yang rajih baginya ialah dalil terkuat yang
membid’ahkannya, maka wajib atasnya menjauhi perkara tersebut. Namun tidak ada hak baginya untuk berkeras
mengingkari orang yang mengikuti imam-imam mujtahid atau imam-imam fatwa dalam hal atau masalah
seumpama itu…”.[14]

*** ‫***وال أعلم بالصواب‬

Akhukum,
Us. Ahmad Adnan Fadzil,
Pusat Bimbingan Wawasan Ummah,
Changlun, Kedah.
18 Sya’ban 1427, 11 Sept. 2006.

Bacaan dan rujukan


1. Ikhtilaf al-Mazahib, Imam as-Suyuti, Dar al-I’tisham, Qaherah-Mesir (1989)
2. Fahmul-Islam Fi Dzilali al-Usul al-‘Isyrin, Syeikh Jum’ah Amin Abdul-Aziz, Dar ad-Da’wah, Iskandariyah-
Mesir (1990).
3. Soheh Muslim Bisyarhi an-Nawawi, Imam an-Nawawi, Muassasah al-Mukhtar, Qaherah-Mesir (2001)
4. Faidhul-Qadier Syarh al-Jami’ as-Saghier, al-‘Allamah al-Minawi, Dar al-Fikr (tanpa tarikh).
5. Al-Asybah wa An-Nazair Fi Qawa’id wa Furu’ Fiqh asy-Syafi’iyyah, Imam as-Suyuti, Dar al-Fikr, Beirut-
Lubnan.
6. Taghyir an-Munkar Baina al-Ifrat wa at-Tafrit, al-Hafidz Ibn Rajab al-Hanbali, Dar al-Kitab al-‘Arabi,
Syirbin-Mesir (1991).
7. Al-Wajiz Fi Usul al-Fiqh, Dr. Abdul Karim Zaidan, Dar at-Tauzi’ wa an-Naysr al-Islami, Qaherah-Mesir
(1993).
8. Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat, Imam an-Nawawi, Dar al-Fikr, Beirut-Lubnan (1996)
9. Al-Asas fi As-Sunnah wa Fiqhhuha, Syeikh Said Hawa, Dar as-Salam, Qaherah-Mesir (1992).Fahmu Usul al-
Islam, Dr. Ali Abdul Halim Mahmud, Dar at-Tauzi’ wa an-Naysr al-Islami, Qaherah-Mesir (1993).
[1] Usul ke 8 dari Usul Isyrin, Syeikh Hasan al-Banna.
[2] Ikhtilaf al-Mazahib, Imam as-Suyuti, hlm. 34.
[3] Fahmul-Islam, hlm. 134.
[4] Soheh Muslim Bisyarhi an-Nawawi.
[5] Faidhul-Qadier, hadis no. 288.
[6] Al-Asybah wa An-Nazair, Imam as-Suyuti, hlm. 202.
Dikecualikan khilaf yang lemah dan boleh menjadi faktor pendorong kepada larangan yang telah disepakati.
Contohnya; Khilaf dalam masalah riba an-Fadl. Sekalipun terdapat pandangan Ibnu ‘Abbas dan Ibnu ‘Umar
mengharuskannya, tetapi pandangan mereka amat lemah kerana terdapat hadis soheh yang banyak yang
menegaskan pengharamannya. Malah terdapat keterangan bahawa mereka berdua telah menarik kembali
pandangan mereka itu. Begitu juga, khilaf dalam masalah nikah Mut’ah. Khilaf tersebut adalah lemah dan boleh
membawa kepada penzinaan. (Rujuk; Taghyir an-Munkar, al-Hafidz Ibn Rajab al-Hanbali, hlm. 64. Lihat juga;
Al-Asybah wa An-Nazair, Imam as-Suyuti, hlm. 202.).
[7] Taghyir an-Munkar, al-Hafidz Ibn Rajab al-Hanbali, hlm. 63-64.
[8] Fahmul-Islam, hlm. 111.
[9] Fahmul-Islam, hlm. 111.
[10] Al-Wajiz Fi Usul al-Fiqh, hlm. 409.
[11] Fahmu Usul al-Islam, Dr. Ali Abdul Halim Mahmud, hlm. 123.
[12] Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat, Imam an-Nawawi, jil. 3, hlm. 21.
[13] Jami’ al-Ulum wa al-Hikam (dinaqalkan dari kitab Al-Asas fi As-Sunnah wa Fiqhhuha, Syeikh Said Hawa,
jil. 1, hlm. 361).
[14] Al-Asas fi As-Sunnah wa Fiqhhuha, Syeikh Said Hawa, jil. 1, hlm. 341-342.
posted by USTAZ AHMAD ADNAN BIN FADZIL at 5:51 PM

You might also like