You are on page 1of 3

TUGASAN 1

(A) Melalui pembacaan anda, huraikan lima aspek perbezaan individu di kalangan murid dan
kaitkan ia dengan Teori Perkembangan Individu agar guru dapat merancang satu proses
pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.
Setiap individu adalah berbeza dan unik. Perkara ini yang membuatkan setiap individu
mempunyai ciri-ciri dan personaliti yang tersendiri. Perbezaan inidividu merujuk kepada ciri-ciri
atau sifat-sifat manusia yang mempunyai potensi sama ada memajukan keupayaan seseorang
atau membataskan keupayaan seseorang untuk belajar dalam persekitaran sekolah (Henson &
Eller, 2012). Perbezaan bermaksud kelainan atau ketidaksamaan (Kamus Dewan Edisi
Keempat). Manakala individu boleh ditakrifkan sebagai keindividuan atau sifat yg membezakan
seseorang daripada yang lain (Kamus Dewan Edisi Keempat). Perbezaan individu juga boleh
didefinisikan sebagai kepelbagaian atau perbezaan dalam watak personaliti individu-individu
daripada norma kumpulan atau dari aspek-aspek kognitif, emosi, fizikal, sosial, bakat dan
sebagainya (Singh, 2012). Dalam konteks tugasan ini, perbezaan individu dapat didefinisikan
sebagai perkara-perkara atau sifat-sifat yang terdapat pada seseorang murid yang membuatkan
murid itu berlainan daripada rakan-rakannya yang lain. Setiap individu mempunyai perbezaan
dari segi perasaan, tingkah laku dan pemikiran. Perbezaan-perbezaan tersebut dapat dilihat
dari beberapa aspek. Antaranya ialah dari segi fizikal, kognitif, emosi, sosial, budaya dan
rohani.
Aspek pertama yang akan dibincangkan dalam tugasan ini adalah dari segi fizikal. Takrifan
fizikal adalah berkaitan badan atau jasmani (Kamus Dewan Edisi Keempat). Setiap orang
mempunyai perbezaan dari segi jantina, saiz badan, rupa dan juga tahap kemahiran jasmani.
Ciri-ciri fizikal diwarisi daripada genetik keturunan dan dapat diperhatikan dari aspek luaran
seperti susuk tubuh badan, bentuk paras muka, ketinggian dan sebagainya. Aspek fizikal juga
merangkumi dari segi fizikal dalaman seperti jumlah neuron di dalam otak serta saiz tulang dan
sebagainya. Aspek ini juga melibatkan dari segi pertumbuhan fizikal seseorang murid dan
kematangan yang dimiliki murid tersebut. Secara amnya, murid lelaki mempunyai saiz tubuh
badan yang lebih besar daripada murid perempuan dan juga mereka mempunyai lebih
kekuatan fizikal. Dari segi kematangan pula, murid perempuan pada kebiasannya akan lebih
cepat matang berbanding murid lelaki. Aspek perbezaan fizikal ini dapat dikaitkan dengan Teori
Perkembangan Kanak-kanak Gesell. Dalam teori, beliau menyatakan bahawa kematangan
kanak-kanak adalah secara berperingkat-peringkat dan perkembangan tersebut telah
ditentukan terlebih dahulu dan akan diselaraskan dengan sendiri secara semulajadi. Mengikut

Gesell, perkembangan kanak-kanak amat dipengaruhi oleh kematangan yang berlaku secara
urutan tertentu tetapi ia berbeza dari segi kadar pekembangan untuk setiap individu (Singh,
2012). Gesell telah membahagikan tahap perkembangan tersebut kepada beberapa peringkat.
Peringkat yang menjadi tumpuan dalam tugasan ini adalah peringkat umur di mana individu
tersebut akan memulakan zaman persekolahan. Masa peralihan lancar iaitu dari umur 7 hingga
10 tahun melibatkan adaptasi, perubahan dan penggabungan ke arah kehidupan sekolah. Oleh
itu, para guru haruslah membuatkan pengajaran dan pembelajaran lebih bersifat santai dan
berunsurkan permainan bagi membolehkan murid melalui fasa ini dengan baik. Peringkat yang
seterusnya adalah masa peralihan iaitu dari umur 11 hingga 14 tahun di mana murid sedang
memasuki alam remaja dan mengalami kematangan dan konflik. Guru pada tahap ini haruslah
bijak mengawal serta mengambil hati murid supaya mereka tidak mengalami kejutan budaya.
Masa penggabungan adalah peringkat berikutnya bagi murid yang berumur 15 hingga 16 tahun
di mana mereka sedang bersedia menghadapi cabaran kedewasaan. Para guru haruslah
berusaha untuk memahami fasa peralihan yang sedang dialami oleh murid-murid.
Selain itu, aspek perbezaan yang lain adalah dari segi kognitif iaitu mental. Kognitif bermakna
perkara yang berkaitan dengan kognisi (Kamus Dewan Edisi Keempat). Kognitif juga dapat
dikaitkan dengan aktiviti-aktiviti mental seperti penyelesaian masalah, penaakulan, pengiraan,
proses analisis dan lain-lain. Segala aktiviti atau kebolehan ini bergantung kepada rangsangan
yang diterima serta kadar penerimaan dan pemprosesan maklumat individu tersebut. Terdapat
murid yang mempunyai masalah pembelajaran yang melibatkan keupayaan kognitif seperti
disleksia yang mengakibatkan murid tersebut sukar untuk membaca. Keadaan ini memerlukan
guru khas yang mempunyai pengalaman serta kemahiran untuk mengajar murid tersebut. Teori
yang dapat dikaitkan dengan aspek ini adalah Teori Perkembangan Kognitif Piaget. Teori ini
adalah mengenai proses-proses kognitif dan keupayaan seseorang individu berdasarkan
tindakan-tindakan yang kemudian menjadi operasi mindanya (Singh, 2012). Terdapat 4 konsep
utama yang dikenal pasti oleh Piaget bagi menjelaskan bagaimana murid dapat memperoleh
perkembangan kognitif yang sempurna. Konsep tersebut adalah skema iaitu pengetahuan dan
ilmu kendiri, asimilasi iaitu proses menerima dan memasukkan pengetahuan baru kepada
pengetahuan sedia ada, akomodasi iaitu proses penyesuaian pengetahuan lama dengan
pengetahuan baru dan yang terakhir sekali adalah perseimbangan yang merujuk kepada
peringkat seimbang yang tercapai antara proses asimilasi dan akomodasi. Pengetahuan
terperinci tentang konsep-konsep ini akan membantu guru dalam melaksanakan proses
pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.

Aspek perbezaan individu yang seterusnya adalah dari segi emosi. Emosi bermaksud
perasaan jiwa yang kuat seperti sedih, gembira dan takut (Kamus Dewan Edisi Keempat).
Terdapat pelbagai tahap kestabilan emosi di kalangan murid. Hal ini adalah kerana murid
berasal dari latar belakang yang berbeza dan justeru itu, mempengaruhi emosi dan cara murid
mengawal emosi mereka. Emosi juga dipengaruhi oleh umur dan tahap kematangen murid.
Perbezaan emosi merangkumi emosi-emosi ketakutan, senditif, cepat marah, pemalu dan pasif
(Singh, 2012). Antara Teori Perkembangan Individu yang dapat dihubungkan dengan aspek
emosi adalah Teori Personaliti Erikson. Teori ini memperkatakan tentang tahap perkembangan
perwatakan di kalangan kanak-kanak, khususnya dalam krisis identiti remaja.

You might also like