You are on page 1of 14

KEPENTINGAN PERMAINAN TRADISIONAL

Pada era pascamodenisasi ini, rakyat kita telah menikmati pelbagai kemajuan dan
pembangunan fizikal yang pesat. Ironinya pelbagai warisan nenek moyang kita semakin
dipinggirkan oleh masyarakat kita, terutamanya golongan muda. Salah satu khazanah
kebudayaan kita yang semakin luntur dalam gaya hidup yang moden ini ialah permainan
tradisional kita yang terdiri daripada congkak, wau, gasing dan sebagainya. Oleh itu,
generasi muda perlu disedarkan tentang kepentingan permainan tradisional kepada bangsa
dan negara.
Salah satu kemaslahatan permainan tradisional ialah permainan ini merupakan
kebanggaan aset budaya bangsa Malaysia. Hal ini demikian kerana permainan tradisional
adalah ciptaan nenek moyang kita yang melambangkan ciri-ciri kebudayaan bangsa kita.
Permainan tradisional tidak boleh disamakan dengan permainan elektronik atau permainan
siber. Alat permainan tradisional juga merupakan satu seni budaya yang amat unik dan
terunggul. Sebagai contohnya, wau bulan telah dihias dengan kertas warna-warni yang
dilukis dan digunting dengan cantik nian. Jika permainan tradisional kita telah lenyap di
bumi kita, apakah kebudayaan yang dapat memperlihatkan maruah bangsa kita? Ingatlah
peribahasa, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.
Tambahan pula, permainan tradisional juga merupakan satu daya tarikan yang
signifikan dalam industri pelancongan. Selain menyaksikan pemandangan alam semula jadi
yang indah dan menikmati juadah yang lazat di negara kita, para pelancong pasti ingin
menghayati corak budaya kita yang berwarna-warni. Lantaran itu, permainan tradisional
berupaya memukau hati pelancong yang melawat ke Malaysia. Seperti peribahasa, Tak kenal
maka tak cinta, setelah diperkenalkan kepada pelancong, lazimnya mereka akan berminat
dan turut bermain dengan seronoknya terhadap permainan tradisional. Rentetan daripada itu,
hotel- hotel lima bintang dan pusat peranginan yang terkemuka di negara kita patut
menyediakan tapak dan alat permainan tradisional kepada pelancong asing kita. Hal ini bukan
sahaja dapat memangkinkan industri pelancongan tetapi juga memperkenalkan kebudayaan
kita kepada bangsa lain, seperti peribahasa, serampang dua mata. Ternyata, permainan
tradisional merupakan salah satu tarikan dalam industri pelancongan.
Lebih-lebih lagi, permainan tradisional dapat mengukuhkan hubungan masyarakat
kita yang berbilang bangsa dan sentiasa sibuk mengejar kekayaan duniawi. Dengan adanya
permainan tradisional itu, pelbagai kaum dalam masyarakat kita dapat bermain bersama
secara beramai-ramai. Tamsilnya, terdapat kawasan lapang yang sering dibanjiri oleh orang
ramai untuk bermain layang-layang. Peminat itu tidak mengira bangsa dan budaya tetapi
bersama-sama memperlihatkan lelayang yang beraneka corak . Mereka juga berkongsi idea
dan pendapat tentang lelayang mereka. Tidak hairanlah akan tercetusnya suasana yang
muhibah dan harmoni dalam masyarakat. Mereka turut melegakan tekanan dan
menghabiskan masa bersama dengan keluarga sendiri. Senario ini jauh lebih baik daripada
individu yang asyik bermain permainan komputer di kamar sendiri tanpa berinteraksi dengan
orang lain.
Natijahnya, permainan tradisional merupakan khazanah warisan yang tidak ternilai.
Oleh itu generasi muda bertanggungjawab untuk melestarikan khazanah ini daripada
generasi kepada generasi, seperti peribahasa, Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.
Walaupun zaman beredar, tetapi segala warisan yang baik dan sejati perlu diperkukuh
supaya bangsa kita tidak digelar sebagai etnik yang tidak berakar umbi dan sentiasa
terhanyut oleh arus globalisasi.

HARI KOPERASI SEKOLAH

Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Sri Damansara 2 telah mengadakan Hari Koperasi
pada 27 Jun 2012 iaitu pada hari Khamis yang lepas. Sehubungan dengan itu, pelbagai aktiviti jualan
telah diadakan bertempat di Dataran Ilmu, tempat perhimpunan sekolah bermula dari pukul 8.00 pagi
hingga pukul 3.00 petang.

Tujuan Hari Koperasi ini diadakan adalah untuk menambah wang tabungan persatuan dan
kelab yang ada di sekolah ini. Selain itu, aktiviti ini juga dapat memberi manfaat kepada pihak
sekolah. Sebahagian keuntungan yang diperoleh akan diperuntuk kepada program menceriakan
kawasan sekolah. Selain itu, aktiviti ini mampu menyemai sikap berdikari dan semangat
keusahawanan dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah. Hal ini kerana setiap persatuan dan kelab akan
mengendalikan sebuah gerai..

Tepat pada pukul 8.00 pagi, para peserta yang terdiri daripada para pelajar sibuk
menyediakan barangan jualan di khemah-khemah yang telah disediakan. Para peserta kelihatan
bersemangat ketika mendirikan gerai masing-masing. Terdapat pelbagai aneka jualan yang dijual.
Antaranya pelbagai jenis makanan dan minuman berserta buku. Makanan dan minuman terdiri
daripada aneka mee, pelbagai jenis kek, nasi ayam, laksa dan banyak lagi. Ada juga gerai menjual
pakaian, tudung dan aksesori wanita.

Sambutan pada tahun ini amat meriah berbanding tahun -tahun sebelumnya. Sambutan amat
menggalakkan kerana seramai 200 orang pelajar dan 120 orang guru terlibat serta 20 persatuan dan
kelab yang mengambil bahagian. Selain itu, para petugas Koperasi memasang muzik latar beatsbox
untuk merancakkan lagi suasana jualan pada Hari Koperasi.

Malahan, Hari Koperasi mendapat sambutan amat menggalakkan daripada pelajar-pelajar


dan para guru. Mereka turut hadir untuk membeli juadah. Hasil jualan yang dijalankan oleh pelajar
telah mencatat jumlah sebanyak RM10 000. Jumlah yang berjaya dikumpulkan ini amat
membanggakan banyak pihak.

Pada pukul 3.00 petang, acara Hari Koperasi sampai ke penghujungnya. Sebelum itu,
banyak gerai mengadakan jualan penghabisan stok sebelum menutup gerai masing-masing. Banyak
pengunjung berpusu-pusu untuk membeli makanan dan minuman dengan harga yang murah.

Kesimpulannya, sambutan Hari Koperasi tahun ini sungguh meriah dan mendapat sambutan
yang hebat daripada pelbagai pihak. Semua guru dan pelajar telah menunjukkan komitmen dan
kerjasama yang sangat erat. Diharapkan sambutan Hari Koperasi ini dapat diadakan dua kali setahun
agar pelajar dapat berpeluang menunjukkan bakat masing masing dalam bidang usahawan.

Kepentingan Menyertai Badan Beruniform


Kokurikulum merupakan elemen yang sama penting dengan kurikulum akademik dalam pendidikan
negara kita selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara yang berobjektif untuk melahirkan insan yang
seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Salah sejenis kokurikulum yang mustahak ialah badan
beruniform, seperti Kadet Polis, Kadet Bomba, Pengakap, Pandu Puteri Persatuan Bulan Sabit Merah dan
sebagainya. Sesungguhnya, ibu bapa dan para pelajar perlu dicelikkan supaya menyedari kepentingan menyertai
badan beruniform.
Tidak dapat dinafikan bahawa kegiatan badan beruniform sangat maslahat untuk memupuk semangat
berdisiplin dalam kalangan pelajar. Hal ini terjadi demikian kerana peserta unit beruniform perlu mematuhi
peraturan dan arahan yang ditetapkan. Sebagai contohnya, ketika dalam latihan berkawad, setiap anggota harus
mematuhi arahan ketua pasukan masing-masing sehingga memiliki rentak yang sama semasa bergerak.
Semangat berdisiplin ini akan terbawa-bawa dalam kehidupan mereka sehingga tidak melanggar peraturan
sekolah dan bertanggungjawab terhadap setiap perbuatan sendiri. Nescaya remaja yang berdisiplin dapat
dicanai sebagai rakyat yang mematuhi undang-undang dan tidak terlibat dalam sebarang jenayah juvenil.
Tidak dapat dipertikaikan lagi bahawa badan beruniform merupakan medan yang paling sesuai untuk
mencambahkan pemimpin yang berwibawa. Melalui kegiatan dalam pasukan beruniform, pelajar telah dilantik
atau dipilih sebagai pucuk pimpinan dalam organisasi mereka sama ada sebagai pengerusi, setiausaha atau
bendahari. Dalam konteks ini, pelajar telah diasuh dan diasah sebagai insan yang bertanggungjawab,
berkeyakinan, amanah, dedikasi dan berupaya berinteraksi dengan anak buahnya. Unsur-unsur tersebut dan
pengalaman dalam pasukan beruniform dapat menjadikan mereka sebagai pemimpin kelak. Sebagai fakta yang
tidak dapat dinafikan bahawa majoriti pemimpin negara kita pernah menjadi pemimpin dalam pasukan
beruniform di sekolah.
Lebih-lebih lagi, anggota pasukan beruniform lebih berdikari berbanding dengan pelajar lain.
Lazimnya, pasukan beruniform akan menganjurkan pelbagai kegiatan tahan lasak atau kegiatan di luar sekolah,
seperti aktiviti berkelah, berkhemah, berkembara atau ekspedisi. Dalam kegiatan yang sedemikian, setiap
peserta perlu menguruskan rutin hidupnya tanpa bantuan ahli keluarga. Sebagai contoh, mereka perlu memasak,
mencuci pakaian dan mendirikan khemah sendiri. Nilai berani, gigih, inisiatif, proaktif dan tabah akan dipupuk
dalam sanubari setiap peserta untuk menghadapi pelbagai cabaran atau pancaroba. Lantaran daripada itu,
anggota pasukan beruniform tidak seperti burung dalam sangkar yang hanya disuap nasi tanpa diberi
kebebasan untuk hidup berdikari.
Sudah terang lagi bersuluh, badan beruniform juga dapat menambah ilmu pengetahuan dan kemahiran
dalam kalangan peserta. Selain ilmu akademik, pelajar juga perlu melengkapkan diri dengan ilmu dalam
kehidupan dan sosial. Dengan menyertai Persatuan St. John Ambulans, pelajar telah diberi pengetahuan tentang
pertolongan kecemasan. Dalam kegiatan Pasukan Pengakap dan Pandu Puteri, pelajar turut belajar untuk
masak-memasak . Pengetahuan dan pengalaman ini tidak dapat ditimba daripada buku teks. Sebagai insan yang
sempurna pelajar tidak boleh bergantung pada pencapaian akademik sahaja. Pengalaman dan kemahiran ini
dapat mematangkan fikiran pelajar itu.
Badan beruniform juga dapat mewujudkan kerjasama antara pelajar yang berlainan bangsa. Semasa
menjalankan kegiatan, pelajar yang berlainan bangsa dapat bertoleransi, tolong-menolong dan bahu-membahu
untuk menjayakan sesuatu program, bagai hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Ahli pasukan
beruniform bukan sahaja menjalani aktiviti di dalam sekolah tetapi juga dalam gabungan beberapa buah sekolah
di peringkat daerah, negeri, kebangsaan malah antarabangsa. Anggota badan beruniform berpeluang berinteraksi
dengan anggota dari sekolah lain bahkan negeri lain sehingga terjalinlah hubungan mesra antara generasi muda
yang berbezaan latar belakang. Kerjasama mereka akan mencambahkan benih perpaduan, integrasi nasional dan
nasionalisme dalam sanubari generasi muda kita sehingga merealisasikan 1 Malaysia.
Bukan itu sahaja, pelajar dapat menentukan kerjaya masa depan mereka melalui kegiatan badan
beruniform. Hal ini terjadi demikian kerana setelah menyertai kegiatan pasukan pakaian seragam, mereka dapat
mencungkil bakat mereka dan minat mereka dalam bidang tertentu. Tamsilnya, anggota Persatuan Bulan Sabit
Merah dan Persatuan St John Ambulans lazimnya berminat menjadi doktor, jururawat dan pegawai kesihatan
apabila dewasa kelak. Anggota Kadet Polis berpeluang besar untuk diterima dalam pasukan Polis Diraja
Malaysia kerana sejak di bangku sekolah mereka telah menjalani pelbagai latihan ala polis di sekolah. Ternyata,
anggota badan beruniform dapat menentukan hala tuju kerjaya mereka sebelum melangkah ke alam pekerjaan.
Secara tuntasnya, kegiatan badan beruniform berupaya melahirkan modal insan yang berkualiti, iaitu
berdisiplin, beramanah, berketerampilan, bekerjasama, bertanggungjawab serta bersemangat kental dan waja
diri . Untuk mencapai pembangunan fizikal dan mental negara, generasi yang berjati diri dan berwawasan
merupakan elemen yang tidak ternilai seperti peribahasa pemuda harapan bangsa, pemudi srikandi
negara.

KEPENTINGAN KOMPUTER KEPADA MANUSIA


Dewasa ini, komputer merupakan alat penting yang digunakan oleh manusia.
Sebagai contoh, komputer seringkali digunakan oleh guru-guru semasa menyampaikan
pengajaran kepada para pelajar. Kini boleh dikatakan ramai dalam kalangan murid sekolah
telah mahir dalam menggunakan komputer seperti kata-kata peribahasa, alah bisa tegal biasa.
Oleh itu, terdapat banyak kepentingan komputer kepada manusia.
Antara faedah komputer ialah komputer akan menjadikan aktiviti pembelajaran lebih
menarik dan berkesan. Hal ini demikian kerana setiap pelajar akan berasa seronok dan ingin
melibatkan diri dalam aktiviti pembelajaran secara aktif. Sebagai contoh, program Skor A
atau program interaktif yang memerlukan pelajar menyelesaikan tugasan secara langsung
atas talian. Sudah terang lagi bersuluh, belajar menggunakan komputer menjadikan suasana
pembelajaran akan lebih ceria.
Selain itu, belajar menggunakan komputer boleh meningkatkan prestasi akademik
seseorang pelajar di sekolah. Hal ini demikian kerana terdapat banyak informasi dan
maklumat terkini dari internet boleh dijadikan sumber ilmu. Sebagai contohnya, pelajarpelajar boleh mengakses internet untuk menambahkan ilmu pengetahuan dalam subjek
tertentu. Jika ini dilakukan, sudah tentu pelajar-pelajar boleh meningkatkan kejayaan dalam
peperiksaan seperti kata cogan kata , usaha tangga kejayaan. Oleh itu, belajar menggunakan
komputer akan memudahkan pelajar berjaya dalam pelajaran.
Di samping itu, dengan menggunakan komputer, segala urusan dalam apa juga bidang
dan kegiatan dapat dijelaskan dengan cepat. Tamsilnya, pengurus dapat mengetahui
maklumat pengurusannya dalam sekelip mata sahaja. Kakitangan pejabat tidak lagi perlu
membuang masa sampai berhari-hari untuk membuka fail demi fail untuk mendapatkan
maklumat yang penting. Pendek kata,komputer itu semacam maklumat di hujung jari
pengguna sahaja.
Bukan itu sahaja, kepentingan komputer kepada manusia sekarang ialah komputer
dapat menyimpan data dengan lengkap dan kemas. Penyimpanan data yang banyak dalam
disket yang kecil sahaja dapat menjimatkan ruang dan tempat. Bayangkan jika tidak ada
komputer, betapa banyak fail yang diperlukan untuk menyimpan pelbagai rekod.
Kesimpulannya, semua pihak perlu bekerjasama dan berganding bahu dengan
menjadikan komputer sebagai alat teknologi yang berkesan dalam kehidupan. Di samping
menjadikan generasi yang celik komputer, kaedah ini juga mendatangkan banyak faedah.
Hal ini bertepatan dengan dasar kerajaan dan saranan Perdana Menteri ke arah konsep 1
Malaysia iaitu Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

KEPENTINGAN AMALAN MENABUNG

Menabung ialah amalan meyimpan wang yang diperoleh. Wang ini


disimpan di tempat yang selamat seperti di bank. Menabung juga dapat
dikatakan seperti menyediakan payung sebelum hujan. Banyak kebaikan yang
akan kita peroleh jika kita menabung.
Salah satu daripada kebaikan menabung ialah kita akan mendapat
keuntungan. Hal ini kerana wang yang disimpan di bank akan dibayar faedah.
Sebagai contoh, jika kita menyimpan wang di dalam akaun simpanan tetap, kita
akan dibayar faedah mengikut kadar dan tempoh simpanan. Oleh itu,lebih lama
wang itu disimpan,lebih tinggi kadar faedah yang akan diperoleh.
Selain itu, amalan menabung akan mendidik kita supaya sentiasa berjimat
cermat. Sikap berjimat cermat sebenarnya merupakan satu amalan yang baik
kerana kita akan lebih berhati-hati dalam membuat perbelanjaan. Oleh itu, dapat
mengelakkan pembaziran. Sebagai contoh, apabila mempunyai wang lebihan,
seseorang yang tidak menabung akan bertindak membelanjakan wang tersebut
untuk membeli barang yang dikehendakinya. Tegasnya, sikap suka menabung
akan menjadikan seseorang itu tidak membazir.
Tambahan pula, amalan menabung juga dapat membantu kita dalam
keadaan kecemasan yang memerlukan wang. Kita sebenarnya tidak dapat
menjangka hal yang akan berlaku kepada diri kita atau keluarga kita, bak kata
orang malang tidak berbau. Oleh itu, jika kita ditimpa kemalangan atau
dijangkiti penyakit, kita boleh menggunakan wang simpanan untuk
mendapatkan rawatan yang baik di hospital. Justeru, wang simpanan yang ada
dapat menyelamatkan nyawa anda dalam keadaan yang kritikal.
Di samping itu, menabung juga dapat mengawal inflasi. Hal ini
demikian kerana apabila kita menabung, wang yang mengalir dalam aktiviti
belian adalah kurang. Keadaan ini dapat mengelakkan kenaikan harga barang
dalam pasaran. Apabila harga barang tidak naik, inflasi tidak akan berlaku. Oleh
itu, menabung dapat mengawal inflasi.
Kesimpulannya, kita mesti mengamalkan sikap suka menabung. Kanakkanak harus digalakkan supaya menabung sejak kecil lagi, melentur buluh
biarlah dari rebungnya. Wang simpanan akan meningkat, sikit-sikit lama-lama
jadi bukit.

KEBAIKAN PENGANJURAN SUKAN ANTARABANGSA

Penganjuran sukan bertaraf dunia merupakan langkah ke arah merealisasikan visi


kudsi Wawasan 2020 yang merupakan inspirasi dan wawasan pembangunan negara yang
dapat melahirkan masyarakat yang maju, penyayang, demokratik dan sejahtera. Negara kita
amat bertuah kerana telah terpilih menjadi tuan rumah bagi acara sukan yang bertaraf dunia.
Hal ini merupakan satu peluang keemasan bagi negara kita untuk menonjolkan imej dan
kewibawaan Malaysia di arena antarabangsa. Persoalannya sekarang apakah faedah
penganjuran sukan bertaraf dunia kepada rakyat dan negara kita?
Kemaslahatan penganjuran sukan bertaraf dunia kepada negara ialah pendapatan
negara akan meningkat sekiranya berjaya menjadi tuan rumah sukan antarabangsa. Hal ini
kerana pertandingan sukan seumpama ini akan membawa pelancong dan peminat sukan yang
banyak untuk melawat ke negara kita. Secara tidak langsung, kedatangan mereka ini akan
memajukan industri pelancongan dan perhotelan negara. Industri pelancongan dapat
memberikan pulangan yang lumayan kepada negara. Para pelancong dan peminat sukan
bukan sahaja membeli tiket sukan, tetapi mereka turut membeli cenderamata dan hasil kraf
tangan yang dihasilkan oleh penduduk Malaysia. Maka, industri kecil dapat berkembang
dengan lebih maju lalu ekonomi negara dapat dijana.
Penganjuran sukan bertaraf dunia merupakan instrumen perpaduan yang berkesan
untuk mencapai integrasi nasional. Perpaduan yang dipupuk bukan sahaja dalam kalangan
rakyat tetapi juga mendorong rakyat yang berbilang bangsa, etnik dan budaya
menggemblengkan semangat berbakti dan berkorban untuk negara. Bukan itu sahaja, hal ini
juga dapat mengukuhkan nilai perpaduan seperti toleransi, kerjasama, meletakkan
kepentingan kebangsaan melebihi kepentingan peribadi. Dengan memupuk perpaduan dalam
kalangan rakyat, mereka akan memberikan sokongan yang padu kepada atlet negara kita
untuk memenangi sesuatu perlawanan. Penganjuran sukan dapat melahirkan semangat
kekitaan dalam sesuatu pasukan untuk meraih kejayaan kerana bulat air kerana pembetung,
bulat manusia kerana muafakat. Lantaran itu, tanpa muafakat amat sukar untuk sesuatu
pasukan itu mencapai kejayaan. Jadi, perpaduan antara kaum dapat dilahirkan melalui
penganjuran sukan bertaraf antarabangsa.
Dengan menganjurkan sukan seumpama ini, mutu sukan negara kita pasti bertambah
baik. Melalui sukan bertaraf antarabangsa, kita dapat meniru teknik-teknik latihan yang
digunakan dan kelengkapan yang disediakan oleh negara tersebut. Tamsilnya, dalam sukan
badminton dan bola sepak, kita boleh mempelajari teknik pengurusan dan melihat
kelengkapan prasarana sukan. Dengan cara ini, atlet kita akan mengetahui punca kegagalan
mereka dan membaiki kelemahan mereka. Oleh itu, mereka akan berlatih dengan lebih giat
lagi demi mencapai tahap yang diharapkan. Mereka juga akan berlatih dengan berdisiplin
demi mencapai prestasi yang diharapkan. Pendek kata, prestasi sukan dan atlet negara akan
meningkat jika kita sering menganjurkan sukan bertaraf antarabangsa.
Sebagai konklusinya, penganjuran sukan yang bertaraf dunia akan membawa negara
kita ke era kecemerlangan yang lebih membanggakan. Semua pihak sama ada pihak kerajaan,
badan bukan kerajaan mahupun rakyat jelata yang lain harus berganding bahu dan
menggembleng tenaga ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni untuk
menjayakan pertandingan sukan yang diadakan dan menolong membuat persiapan
sepenuhnya. Dengan kerjasama daripada pelbagai pihak, acara sukan yang diadakan di
negara kita akan dapat berjalan dengan lancar. Penganjuran sukan bertaraf dunia merupakan
salah satu cara pemodenan sukan yang dapat memperbaik prestasi sukan yang diidamkan
oleh setiap negara. Dengan ini, diharapkan agar manfaat-manfaat yang tidak ternilai harganya
semasa penganjuran sukan bertaraf dunia harus dihayati dan dapat dinikmati oleh semua
rakyat di nusa yang tercinta ini.

USAHA-USAHA MEMUPUK SEMANGAT KERJASAMA DALAM


KALANGAN MASYARAKAT
Nusa tercinta kita Malaysia merupakan negara yang mempunyai anak watan berbilang kaum
dan hidup secara bersama sehati sejiwa ibarat peribahasa seikat bak sirih, serumpun bak serai.
Sehubungan dengan itu, kebanyakan anggota masyarakat hidup berjiran di kawasan bandar ataupun di

kawasan luar bandar dan mereka saling berhubung, bertemu dan berurusan antara satu sama lain.
Namun terdapat lakaran suram yang menyelubungi kita bahawa ada pandangan yang menyatakan
semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat Malaysia pada masa ini dikatakan semakin terhakis
ibarat hidup segan mati tak mahu. Banyak kempen dan usaha telah dijalankan oleh pelbagai pihak
untuk merapatkan kembali hubungan masyarakat melalui pelbagai aktiviti kerana semangat
bekerjasama begitu penting dalam kehidupan bermasyarakat.
Sebenarnya semangat kerjasama dalam masyarakat dapat dipupuk melalui peranan ibu bapa.
Kerjasama ini boleh dipupuk melalui penglibatan ibu bapa bersama-sama ahli keluarga yang terdiri
daripada anak-anak dalam pelbagai aktiviti yang diadakan di kawasan tempat tinggal mereka. Ibu
bapa sewajarnya membawa anak-anak mereka menyertai aktiviti kemasyarakatan seperti gotongroyong, majlis sambutan perayaan atau perjumpaan bulanan komuniti. Manfaatnya setiap keluarga
akan dapat dipertemukan dengan semua jiran, saling berkenalan dan merapatkan hubungan . Mereka
akan lebih mesra, saling membantu bagai aur dengan tebing tanpa membezakan warna kulit, bangsa
atau kepercayaan. Hal ini menunjukkan bahawa semangat bekerjasama dalam kalangan anggota
masyarakat dapat membentuk ukhuwah yang kukuh dan ampuh.
Selain itu semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat dapat dibentuk melalui kempenkempen kesedaran oleh pihak kerajaan. Pihak kerajaan seharusnya mengadakan kempen memupuk
semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat dari semasa ke semasa agar terus subur dalam
sanubari mereka. Tuntasnya, semangat bekerjasama dalam kalangan masyarakat membolehkan semua
anggota masyarakat memahami antara satu sama lain. Masyarakat yang berbilang kaum ini boleh
mempelajari perbezaan budaya dan sistem sosial masyarakat lain seterusnya memahami sensitiviti
mereka agar dapat bertoleransi, bekerjasama dan saling menghormati. Tegasnya semangat
bekerjasama penting dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu dan seterusnya dapat memacu
pembangunan negara ke arah kegemilangan.
Di samping itu, semangat kerjasama juga dapat dibentuk dalam kalangan masyarakat melalui
peranan jawatankuasa penduduk setempat. Dalam hal ini, pihak jawatankuasa penduduk setempat
boleh merancang pelbagai aktiviti kemasyarakatan dengan lancar tanpa sebarang kekangan. Jika
masyarakat dapat hidup bersama-sama dalam suasana yang aman dan harmoni ibarat peribahasa ke
bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni maka segala aktiviti yang dijalankan akan dapat dinikmati
dengan penuh bermakna. Sebagai contohnya, pihak jawatankuasa penduduk setempat boleh
mengadakan aktiviti seperti gotong-royong membersihkan atau menceriakan kawasan setempat,
seperti dewan orang ramai, balai raya, taman permainan kanak-kanak mahupun pusat komuniti.
Jelaslah semangat kerjasama penting bagi merapatkan hubungan anggota masyarakat dalam suatu
kawasan penduduk setempat .
Semangat kerjasama merupakan salah satu elemen penting dan vital yang membantu
melahirkan anggota masyarakat yang harmoni, mempunyai jati diri dan semangat cinta akan negara .
Dengan itu, peranan sekolah amat penting dalam memupuk semangat kerjasama kepada murid-murid
di sekolah. Melalui pengajaran dan pembelajaran para guru boleh membimbing murid-murid tentang
kepentingan semangat bekerjasama. Pelbagai aktiviti berbentuk kerjasama dalam kalangan muridmurid seperti gotong-royong membersihkan kawasan sekolah, mengemas dan menceriakan bilik
darjah, menghias sekolah dengan jalur gemilang sempena sambutan Bulan Kemerdekaan dan
sebagainya dapat diimplimentasikan. Hal ini jelas menunjukkan keharmonian kehidupan rakyat
Malaysia melalui semangat bekerjasama yang diterapkan di peringkat sekolah ibarat melentur buluh
biarlah dari rebungnya membolehkan keharmonian masyarakat terbentuk.
Intihanya, semangat kerjasama merupakan sebahagian daripada amalan dan menjadi budaya
masyarakat di Malaysia yang menjadikan negara kita unik pada pandangan masyarakat di luar sana
malah dikenali di seluruh dunia. Tuntasnya, semangat bekerjasama bukan sahaja penting dalam
mengekalkan suasana harmoni dalam kalangan rakyat di negara kita malah sumbangannya cukup
besar terutamanya bagi memastikan Malaysia terus cemerlang dan mampu berdaya saing pada masa
akan datang kerana rakyatnya yang bersahsiah terpuji bagi melahirkan modal insan berminda kelas
pertama yang dapat memacu negara tercinta ke arah kegemilangan di puncak jagat.

Isu pengangguran telah menjadi satu isu sensitif kepada masyarakat terutama golongan
siswazah. Namun, ada banyak pihak yang beranggapan isu ini bukan sahaja melibatkan
siswazah tetapi golongan lain juga.
Jadi, apakah punca-punca wujudnya pengangguran dan apakah cara-cara mengatasinya.

Pengangguran merupakan satu penyakit era globalisasi yang semakin menular ke negara ini.
Saban tahun negara kita dikejutkan dengan isu kegagalan belia terutama golongan siswazah untuk
memperoleh pekerjaan. Malah, berita ini sudah dianggap menjadi satu isu yang akan menjelma setiap
kali keputusan peperiksaan umum negara diumumkan atau konvokesyen sesebuah universiti
dijalankan. Jadi, apakah punca-punca yang medorong isu ini berlaku.
Sudah pasti punca utama berkaitan dengan keadaan ekonomi negara yang merudum. Situasi
ini menyebabkan banyak syarikat atu kilang terpaksa gulung tikar dan membuang pekerjanya. Bukan
sahaja mereka dibuang kerja tetapi mereka juga sukar untuk memperoleh kerja dalam tempoh yang
terdekat akibat tiadanya aktiviti ekonomi di negara. Malah ekonomi dunia bukan sahaja memberi
kesan terhadap ekonomi negara tetapi mengambil masa yang lama untuk pulih seperti peristiwa
kejatuhan ekonomi pada akhir dekad 90-an.
Selain itu, pengangguran turut disebabkan oleh sikap belia yang tidak mempunyai kemahiran.
Belia kita hanya didedahkan dengan konsep teori baik ketika di sekolah mahupun ketika di universiti.
Akibatnya, belia kita kekurangn kemahiran berfikir, menganalisa sesuatu, berbicara dalam pelbagai
bahasa, dan mempunyai kemahiran berinteraksi dengan masyarakat. Biasanya, majikan akan memilih
pekerja yang mereka beranggapan mempunyai keunikan yang tertentu terutama penguasaan bahasa
asing dan pengetahuan komputer.
Mungkin juga faktor malas menjadi pendorong wujudnya masalah ini. Sikap belia yang hidup
ketika era pembangunan pesat menyebabkan belia mengambil konsep tunggu dan lihat. Mereka hanya
bertindak apabila keadaan mendesak atau sudah terlewat. Mereka menganggap pertumbuhan ekonomi
negara akan berterusan maju tanpa sebarang masalah. Mereka juga sudah terlalu lama menerima
bantuan kerajaan seperti pemberian biasiswa dan menganggap kerajaan akan memberi mereka
pekerjaan selepas tamat belajar.
Dalam usaha mengatasi ekonomi negara yang merudum, kerajaan telah menghantar
rombongan perdagangan ke luar negara untuk menarik lebih banyak modal asing ke Malaysia.
Rombongan ini cuba mengiklankan kelebihan negara jika pemodal asing itu sanggup menanam modal
mereka di negara ini. Malah, kerajaan telah cuba menjalankan beberapa projek mega untuk
memastikan ekonomi negara berjalan rancak semula. Projek Pembangunan Johor Selatan dan Kereta
Api Laju KL-Singpura dijangka mampu meninggikan petrumbuhan ekonomi negara selain
mengurangkan
pelbagai
cukai.
Selain itu, kerajaan telah menjalankan pelbagai program untuk memahirkan golongan belia
seperti mengadakan program bahasa Inggeris dan mengutamakan penubuhan institut kemahiran
dengan negara-negara luar seperti Jerman. Program ini mampu menyediakan atu sumber manusia
yang mempunyai kemahiran tinggi untuk bersaing dalam era globalisasi. Kewujudan buruh yang
berkemahiran tinggi ini turut menjadikan negara sasaran utama pelabur asing kelak.
Kerajaan turut memudahkan urusan pembiayaan perniagaan terutamanya kepada golongan
belia. Pihak bank sendiri telah memudahkan urusan untuk mendapatkan pinjaman peribadi untuk
membantu belia memulakan perniagaan mereka secara kecil-kecilan. Langkah drastik ini memastikan
lebih banyak industri kecil dan sederhana mampu diwujudkan dan menyediakan peluang pekerjaan
yang lebih baik dalam tempoh terdekat ini. Belia yang tidak bekerja akan mengambil peluang ini
untuk mencuba nasib mereka sebagai ahli perniagaan.
Sebenarnya, masalah pengangguran ini bukanlah satu isu baru. Cuma masyarakat harus
berfikiran positif dan cuba meninggikan kemahiran diri mereka. Dunia pekerjaan sering berubah
mengikut teknologi dan mereka yang sering meningkatkan kemahiran sahaja mampu duduk di tempat
yang sama sepanjang hidup mereka. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

KEPENTINGAN KRAF TANGAN DALAM KALANGAN RAKYAT


MALAYSIA
Industri kraf tangan bukanlah antara kegiatan ekonomi gergasi di Malaysia. Hal ini
menyebabkan industri kraf tangan negara kian lenyap ditelan zaman. Mengapakah keadaan

ini berlaku? Sesetengah berpendapat bahawa kurangnya perhatian kerajaan terhadap industri
ini menjadikan masalah ini berlarutan. Kurangnya pengusaha-pengusaha muda juga
menyumbang kepada isu ini. Oleh itu, orang ramai seharusnya sedar akan kepentingan
industri ini meskipun industri ini berskala kecil.
Mari kita fokuskan minda kita kepada perkara yang pertama iaitu industri kraf tangan
dapat menjadi sumber kewangan kepada penduduk luar bandar. Seperti mana yang kita sudah
sedia maklum, terdapat jurang ekonomi yang besar antara penduduk bandar dan penduduk
luar bandar. Kegiatan industri kraf tangan pula sering dijalankan oleh penduduk luar bandar.
Apabila penduduk luar bandar mula menceburi bidang ini, maka penduduk luar bandar dapat
menjual produk ini dan mendapat keuntungan yang berlipat-ganda.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa kehadiran industri kraf tangan dapat
mempelbagaikan kegiatan ekonomi yang terdapat dalam negara. Industri kraf tangan
bukanlah industri yang setanding dengan industri pertanian atau pelancongan. Namun, jika
hasil industri kraf tangan dieksport ke luar negara, hal ini bukan sahaja dapat meningkatkan
hasil pendapatan negara, malah dapat menjadi suatu keunikan di Malaysia.
Selain itu, industri kraf tangan juga dapat membentuk masyarakat yang kreatif,
inovatif dan mempunyai daya semangat yang tinggi. Hal ini kerana persaingan dalam industri
kraf tangan amat sengit. Sesebuah hasil kraf tangan hendaklah mempunyai nilai komersial
dan reka bentuk yang mampu menarik perhatian pembeli. Untuk menjadi pengusaha yang
terbaik, maka pengusaha tersebut haruslah mempunyai kualiti seperti kreatif dan mampu
berdaya saing.
Mari kita luaskan takrifan minda kita kepada perkara yang seterusnya iaitu industri
kraf tangan dapat memperbanyak peluang pekerjaan dalam kalangan masyarakat khususnya
masyarakat desa. Tenaga kerja sememangnya diperlukan bagi menghasilkan kraf tangan yang
diperlukan bagi meningkatkan kadar pengeluarannya. Kraf tangan membuka peluang kepada
para remaja serta belia untuk mengenali kraf tangan secara lebih mendalam melalui berbagaibagai peluang pekerjaan yang ditawarkan dalam bidang ini. Selain itu, tenaga kerja yang
terlatih juga diperlukan bagi berkongsi ilmu tentang penghasilan sesuatu produk kraf tangan.
Hal ini dapat mewujudkan peluang bagi mereka yang hanya berkemahiran dalam bidang
tersebut khususnya penduduk desa yang kebanyakannya hanya memperoleh kemahiran yang
diturunkan oleh generasi terdahulu.
Tambahana pula, industri kraf tangan dapat mengekalkan warisan dan budaya Melayu
serta menyemai perasaan cinta akan budaya Melayu dalam kalangan masyarakat. Arus
pemodenan telah menenggelamkan budaya tradisional masyarakat Melayu dalam diri remaja
pada masa kini. Oleh itu, peluang haruslah diberi kepada setiap lapisan masyarakat untuk
mengenali warisan dan budaya tersebut melalui konsep rekaan sesuatu kraf tangan yang
menggunakan bahan tempatan sebagai ramuan utama. Budaya masyarakat Melayu juga dapat
dipromosikan kepada negara-negara luar kerana kraf tangan itu sendiri sudah melambangkan
identiti negara yang masih mengekalkan warisan unik secara turun-temurun.
Konklusinya, suatu jaringan kolaborasi haruslah diwujudkan untuk memajukan
industri kraf tangan negara.

KEPENTINGAN INDUSTRI PELANCONGAN DI MALAYSIA


Malaysia terletak di garisan khatulistiwa yang mengalami iklim panas
dan lembap sepanjang tahun. Malaysia merupakan negara yang indah dan
terdapat tempat-tempat menarik sesuai untuk dijadikan destinasi pelancongan.
Contoh tempat peranginan yang terdapat di Malaysia ialah, Pulau Redang,

Tanah Tinggi Genting, Melaka dan sebagainya. Tempat-tempat ini amat menarik
dan indah dan mampu memukau warga asing. Langkah kerajaan
mengisytiharkan Tahun Melawat Malaysia pada tahun 1990 menunjukkan
industri pelancongan semakin diberi perhatian oleh kerajaan. Persoalannya,
apakah kepentingan industri pelancongan di Malaysia?
Industri pelancongan ini banyak mendatangkan faedah kepada negara.
Antaranya dapat memajukan industri kraf tangan yang berkualiti untuk
dipasarkan bukan sahaja di dalam negara malah di luar negara. Dengan
sokongan dan bantuan modal oleh kerajaan pula, industri pelancongan boleh
beroperasi dengan lebih meluas. Keadaan ini menarik pelabur asing untuk
membuat pelaburan di Malaysia dalam industri pelancongan. Secara tidak
langsung dapat menambahkan lagi pendapatan negara.
Selain itu, penduduk Malaysia yang berbilang bangsa mempunyai adat
dan budaya yang pelbagai. Melalui industri pelancongan, adat dan budaya
rakyat Malaysia yang pelbagai dapat diketengahkan kepada pelancong asing.
Keramahan dan sopan santun yang diamalkan oleh masyarakat Malaysia juga
mampu menarik minat pelancong mengunjungi Malaysia. Di samping itu,
kehadiran para pelancong boleh memperkenalkan budaya masyarakat Malaysia
yang berbilang kaum ke serata dunia.
Memajukan industry perhotelan juga merupakan kebaikan yang diperoleh
hasil daripada industry pelancongan negara kita. Pusat-pusat penginapan yang
dibina di kawasan peranginan seperti pulau, tepi pantai dan sebagainya menarik
minat warga asing untuk menginap. Seterusnya, industry perhotelan akan
berkembang maju dan banyak kawasan bari akan dibuka.
Oleh itu, rakyat Malaysia diseru supaya menyahut seruan kerajaan
dengan bersikap mesra dan berbudi bahasa kepada para pelancong seiring
dengan Kempen Budi Bahasa Budaya Kita. Usaha kerajaan untuk meningkatkan
perkhidmatan pelancongan terutamanya dari segi pengurusan dan penyediaan
infrastruktur yang lebih baik secara tidak langsung memberi keuntungan kepada
masyarakat setempat.

PERIBAHASA MELENTUR BULUH BIARLAH DARI REBUNGNYA


MENDIDIK MANUSIA DENGAN TATASUSILA DAN AKHLAK YANG
BAIK. BERIKAN PENDAPAT ANDA.
-----------------------------------------------------------------------------------------------Melentur buluh biarlah daripada rebungnya merupakan salah satu daripada ratusan
peribahasa Melayu yang dicipta oleh orang dahulu. Maksud peribahasa ini ialah jika hendak
mendidik, mengasuh atau membentuk peribadi anak, biarlah bermula dari peringkat kanak-

kanak lagi. Hal ini demikian kerana pada peringkat inilah lebih mudah untuk menasihat dan
menegur sebarang salah laku anak.
Persoalan kini ialah masih reklevankah peribahasa ini? Sebenarnya peribahasa ini
masih benar dan dapat diterima pakai dalam semua situasi mengasuh anak. Peribahasa ini
sebanyaknya ditujukan kepada para ibu bapa berhubung hal mendidik anak. Peribahasa ini
merupakan sebahagian daripada ilmu keibubapaan yang sering diperkatakan sejak
kebelakangan ini. Mesej penting di sebalik peribahasa ini ialah para ibu bapa harus mendidik
dan membentuk keperibadian anak sejak mereka kecil lagi. Janganlah menuggu hingga anak
sudah menjadi remaja, baru hendak cuba melentur perwatakan mereka. Apabila sampai ke
peringkat ini, sukar bagi ibu bapa melaksanakan tugas berat ini. Hal ini kerana pengaruh
rakan sebaya anak adalah lebih kuat daripada nasihat para ibu bapa. Begitu juga para remaja
lebih terpengaruh oleh media massa.
Biasanya hubungan ibu bapa dengan anak-anak cukup mesra semasa anak-anak masih
kecil lagi. Anak-anak dilayan bagai menatang minyak yang penuh kerana setiap kerenah
anak dilayan dengan sepenuh hati. Ibu bapa berharap agar pada suatu hari nanti, anak-anak
mereka akan menjadi insan yang berguna, bertanggungjawab, dan pandai mengenang jasa ibu
dan bapa yang telah melahir, menyayangi, dan mengasuh mereka sejak kecil lagi.
Sesungguhnya pada waktu inilah, para ibu bapa harus memainkan peranan sebenar mereka
untuk membentuk sahsiah, peribadi, dan tabiat anak.
Sekiranya pada peringkat ini, anak-anak diabaikan, kehendak mereka tidak dilayan,
ragam mereka dibiarkan, dan makan minum mereka tidak dititikberatkan, pasti apabila anakanak ini meningkat dewasa, kehidupan mereka akan menjadi tidak tertib, kucar-kacir, dan
tidak berhaluan serta tiada matlamat hidup. Justeru, bermula dari sinilah masalah sosial mula
menular kerana anak-anak remaja pada peringkat ini sukar dikawal kerana mereka inginkan
kebebasan. Sementara sebilangan besarnya sudah mula menghisap rokok dan minum arak
kerana sudah berupaya mencari nafkah sendiri dengan bekerja di kilang-kilang atau di
restoran, stesen minyak mahupu sebaagai buruh kasar.
Sering kita terbaca berita tentang para remaja yang melakukan pelbagai kesalahan
seperti jenayah juvana, pergaulan seks bebas, lumba motosikal haram, berfoya-foya,
penyalahgunaan dadah, dan seumpamanya. Kesemua ini adalah sebagai akibat pengabaian
para ibu bapa sendiri. Sudah tentu kejadian-kejadian seperti ini tidak akan berlaku sekiranya
para ibu bapa mengambil berat dan memberi perhantian terhadap kebajikan anak-anak sejak
dari bayi lagi.
Pada peringkat remaja dan awal dewasa, anak sudah tiak mudah menerima sebarang
teguran terbuka, dan nasihat daripada para ibu bapa. Peringkat ini merupakan peringkat
melawan. Justeru itu, peringkat terbaik untuk mendidik dan mengasuh serta membentuk
anak-anak, seperti yang disarankan oleh peribahasa ini ialah pada peringkat rebungnya
kerana hubungan anak-anak dengan ibu bapa cukup akrab.
Kesimpulannya, kesempurnaan tingkah laku dan tabiat anak-anak adalah
tanggungjawab ibu bapa. Oleh itu, hayatilah peribahasa ini dan amalkan pengajarannya
dalam kehidupan seharian kita.

PUNCA-PUNCA BANJIR KILAT

Banjir kilat sering berlaku apabila hujan lebat turun secara tiba-tiba.
Banjir kilat kerap berlaku di negara kita. Banjir kilat boleh menyusahkan
manusia. Banjir kilat juga boleh mengakibatkan kerosakan harta benda
dan kehilangan nyawa. Banjir kilat juga boleh mengakibatkan kesesakan
jalan raya. Terdapat beberapa punca terjadinya banjir kilat.

Banjir kilat berpunca daripada sikap manusia yang suka membuang


sampah di merata-rata tempat. Masyarakat suka membuang sampah ke
dalam longkang, parit dan sungai. Sampah yang dibuang boleh
menyebabkan longkang tersumbat. Apabila hujan secara tiba-tiba, aliran
air dalam longkang, parit dan sungai akan tersekat. Oleh itu, jelaslah
bahawa banjir kilat berpunca daripada sikap manusia yang suka
membuang sampah di merata-rata tempat.
Di samping itu juga, faktor penguatkuasaan yang terlalu longgar
merupakan punca banjir kilat. Hal ini kerana tiada tindakan undangundang terhadap orang yang membuang sampah di merata-rata tempat.
Pihak Berkuasa Tempatan pula tidak memantau kawasan pembuangan
sampah. Apabila hujan, kawasan pembuangan sampah menakung air
dan banjir kilat berlaku. Contoh peniaga pasar malam sesuka hati
membuang sampah berhampiran parit atau longkang tanpa dikenakan
hukuman. Oleh itu, jelaslah bahawa penguatkuasaan yang longgar
merupakan punca terjadinya banjir kilat.
Selain itu, banjir kilat berpunca daripada sistem perparitan yang tidak
sempurna. Parit dan longkang yang dibina di bandar adalah sempit.
Parit juga tersumbat disebabkan oleh longgokan sampah. Hal ini
menyebabkan banjir kilat berlaku apabila hujan lebat berlaku. Pengaliran
air akan tersekat dan melimpah di jalan raya. Contohnya banjir kilat
yang berlaku di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Johor
Bahru. Jelaslah bahawa sistem perparitan yang tidak sempurna menjadi
punca banjir kilat.
Kejadian banjir kilat juga berkaitan dengan aktiviti pemaju projek
perumahan. Syarikat perumahan mengabaikan aspek penjagaan alam
sekitar. Pemaju-pemaju perumahan tidak memantau projek pembinaan.
Mereka juga membiarkan sisa-sisa binaan terbiar selepas sesuatu
projek siap djalankan. Contohnya longkang dibiarkan tertimbus dengan
pasir dan sisa binaan. Hal ini menyebabkan banjir kilat berlaku apabila
hujan turun dengan lebatnya.
Terdapat banyak punca yang menyebabkan banjir kilat. Semua pihak
perlulah bekerjasama bagai aur dengan tebing bagi mengatasi masalah
ini. Hal ini penting agar masalah banjir kilat dapat diatasi. Dengan ini,
segala kerugian yang dialami kerana banjir kilat dapat dikurangkan.

Penggunaan bahasa kebangsaan semakin terpinggir oleh rakyat pada masa


kini. Bincangkan pernyataan di atas.
Pada hari ini, isu bahasa kebangsaan selalu diperkatakan. Hal ini demikian kerana
penggunaan bahasa kebangsaan semakin terpinggir oleh rakyat pada masa kini.
Persoalannya, mengapakah isu sedemikian sering menjadi buah mulut masyarakat?
Oleh itu, marilah kita membincangkan cara-cara untuk memartabatkan bahasa
Melayu.
Sesungguhnya, kerajaan sepatutnya mengadakan kempen kesedaran untuk
memartabatkan bahasa Melayu. Hal ini dapat menggalakkan penggunaan bahasa

Melayu dan mengembalikan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa


kebangsaan dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia. Sebagai contoh,
kempen Cintailah Bahasa Kita perlu diadakan dari semasa ke semasa untuk
memberikan kesedaran kepada masyarakat setempat. Oleh itu, bahasa Melayu
dapat berkembang menjadi bahasa kelas dunia yang praktikal dan realistik.
Selain itu, kerajaan seharusnya mewajibkan semua pegawai dan kakitangan
kerajaan menggunakan bahasa Melayu dalam segala urusan rasmi. Hal ini secara
tidak langsungnya dapat menerapkan nilai-nilai penggunaan bahasa yang baku
dalam sektor kerajaan. Sebagai tamsilan, bahasa Melayu perlu terus kekal
digunakan dalam bidang pentadbiran undang-undang, kehakiman dan mahkamah.
Benarlah, mewajibkan semua pegawai dan kakitangan kerajaan menggunakan
bahasa Melayu dalam segala urusan rasmi merupakan usaha untuk memartabatkan
bahasa Melayu.
Selain itu, kerajaan sepatutnya mewajibkan penggunaan bahasa yang betul pada
papan-papan tanda. Hal ini demikian kerana penggunaan bahasa yang tidak betul
akan menjejaskan imej negara di mata masyarakat. Sebagai misalan, Dewan
Bahasa dan Pustaka (DBP) bertanggungjawab untuk memantau dan membuat
teguran terhadap sebarang kesalahan bahasa pada papan-papan tanda dan pihak
berkuasa tempatan akan mengambil tindakan selanjutnya. Oleh itu, isu pencemaran
bahasa dalam kalangan masyarakat akan dapat dikurangkan. Tegasnya,
mewajibkan penggunaan bahasa yang betul pada papan-papan tanda merupakan
usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu.
Di samping itu, kerajaan sewajarnya mewajibkan penganjuran aktiviti-aktiviti yang
berkaitan dengan bahasa di sekolah. Hal ini demikian kerana sekolah merupakan
satu medium penting untuk menyemarakkan penggunaan bahasa Melayu dalam
kalangan pelajar. Sebagai contoh, sekolah perlu diwajibkan mengadakan program
bahasa sempena Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK). Oleh itu, para pelajar dapat
belajar tentang bahasa yang betul melalui penyertaan mereka dalam aktiviti bulan
bahasa. Sudah terang lagi bersuluh, mewajibkan penganjuran aktiviti-aktiviti yang
berkaitan dengan bahasa di sekolah merupakan strategi untuk memartabatkan
bahasa Melayu.
Kesimpulannya, semua pihak mestilah bekerjasama bagai aur dengan tebing
untuk memartabatkan bahasa Melayu. Jika tidak, bahasa Melayu akan musnah
ditelan zaman. Semoga kita akan dapat meningkatkan penggunaan bahasa
kebangsaan dalam kalangan rakyat. Namun begitu, bak kata peribahasa, tepuk
dada tanya selera.

CARA UNTUK MENGURANGKAN TABIAT MEROKOK DALAM


MASYARAKAT
Walaupun bahaya rokok telah didedahkan kepada mereka yang merokok atau
masyarakat umum tetapi gambaran itu masih tidak cukup untuk menakutkan seorang perokok
untuk mengurangkan ataupun meninggalkan tabiat berbahaya tersebut. Mereka tidak pernah
takut dengan ancaman itu, malah langsung tidak menghiraukan sebarang risiko yang akan
mereka hadapi untuk jangka masa panjang. Oleh yang demikian, pihak-pihak tertentu
terpaksa berusaha lebih gigih untuk mengurangkan atau mengelakkan masyarakat terutama
golongan remaja termasuklah pelajar supaya berhenti merokok.

Antaranya ialah pihak kerajaan mahupun pihak persendirian mengadakan pelbagai


kempen untuk mengatasi masalah merokok. Misalnya, kerajaan mengadakan kempen anti
merokok melalui pelbagai cara seperti iklan-iklan yang ditayangkan di dalam televisyen,
radio, poster-poster mahupun ceramah yang sering diadakan di sekolah mahupun di pejabat
dan sebagainya.
Selain itu, pihak kerajaan seharusnya mengubal dan menguatkuasakan undangundang berkaitan rokok. Hal ini penting bagi mengekang para remaja dan orang dewasa
merokok. Sebagai contoh, pihak kerajaan wajar mengenakan hukuman penjara kepada manamana pemilik kedai yang menjual rokok kepada remaja yang berumur 18 ke bawah bukan
setakat denda wang ringgit sahaja mahupun penjara. Selain itu, undang-undang lebih tegas
juga dikenakan kepada golongan dewasa yang merokok di tempat awam seperti bayaran
kompaun yang lebih tinggi.

Di samping itu, pihak sekolah hendaklah mengenalpasti pelajar yang merokok dan
memberikan kaunseling. Hal ini berlaku demikian kerana golongan ini mungkin kurang
didedahkan pengetahuan tentang keburukan tabiat merokok. Dengan ini, pelajar-pelajar yang
terbabit akan berasa insaf dan sedar tentang keburukan mengamalkan tabiat merokok ini.
Sebagai contoh, guru kaunseling mengadakan kaunseling secara individu atau bersama-sama
ibu bapa pelajar yang terbabit.

Pada masa yang sama, pihak ibu bapa juga patut memainkan peranan dalam
menangani masalah merokok. Ibu bapa hendaklah menunjukkan teladan yang baik dengan
tidak merokok, bak kata pepatah, bagaimana acuan begitulah rupanya. Lebih-lebih lagi, ibu
bapa hendakah sentiasa mengawasi pergaulan anak-anak supaya mereka tidak berkawan
dengan perokok ataupun dipengaruhi oleh rakan sebaya yang suka merokok. Satu perkara
yang juga patut dilakukan oleh pihak ibu bapa ialah sentiasa menyemak beg sekolah anakanak supaya mereka tidak menyembunyikan rokok secara rahsia.

Secara keseluruhannya, dapatlah disimpulkan bahawa tabiat merokok merupakan


penyakit yang agak sukar untuk diselesaikan secara mendadak oleh semua pihak di negara
kita. Walau bagaimanapun, perkara ini bukan mustahil untuk diselesaikan seperti yang kita
tahu ada satu perpatah mengatakan sehari selembar benang lama-lama menjadi kain iaitu
setiap langkah penyelesaian pasti ada kesudahannya. Oleh itu, usaha menangani tabiat
merokok sudah pastinya memerlukan komitmen daripada semua pihak. Apa yang pasti,
melalui kerjasama dan kesedaran semua pihak maka masalah ini dapat dilenyapkan secara
evolusi sekaligus menjadikan masyarakat kita bebas daripada tabiat merokok. Bak kata
pepatah, bersatu kita teguh bercerai kita roboh. Tegasnya, bersatulah kita dalam menangani
masalah rokok bersama-sama.

You might also like