You are on page 1of 2

23 pelajar ponteng ditahan

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN


rodelio.taucan@utusan.com.my

KOTA BHARU 30 April - Mereka bukan setakat ponteng sekolah tetapi enam daripada 23 pelajar yang ditahan dalam operasi
membasmi gejala itu di sini hari ini didapati positif mengambil dadah jenis pil kuda.

Pelajar terbabit ditahan di beberapa kawasan tumpuan awam dalam operasi bersepadu oleh Pejabat Pelajaran Daerah (PPD),
Polis, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) serta Jabatan Kesihatan.

Malah, dalam operasi terbabit, salah seorang daripada pelajar yang didapati positif dadah itu cuba melarikan diri namun berjaya
diberkas.

Difahamkan, pelajar-pelajar daripada beberapa buah sekolah terbabit dikesan positif dadah selepas diwajibkan melakukan ujian
air kencing yang dikendalikan oleh anggota AADK.

Sementara itu, Pegawai Pelajaran Daerah Kota Bharu, Che Ab. Aziz Daud berkata, operasi yang bermula pukul 9 pagi ini
merupakan kali pertama diadakan tahun ini melibatkan 17 badan bukan kerajaan (NGO).

"Kami bertekad menghentikan aktiviti ponteng sekolah di kalangan pelajar dan ia akan lebih berjaya dengan bantuan daripada
anggota-anggota keselamatan ini.

"Langkah ini penting kerana ibu bapa dan pihak sekolah khususnya sering menuding jari sesama sendiri apabila timbulnya
gejala sosial membabitkan anak mereka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, operasi tersebut dilakukan di beberapa kawasan yang menjadi tumpuan golongan pelajar, antaranya Taman
Bendahara, Panji, Kubang Kerian, Kota, Taman Tengku Anis, Jalan Merican, pusat beli-belah KB Mall dan Billion.

Jelasnya, pelajar-pelajar yang ditahan berusia antara 13 hingga 17 tahun dan kebanyakan mereka memberi alasan tidak
berminat untuk belajar.

"Semua pelajar ini diwajibkan mengambil ujian air kencing. Usaha kita tidak akan berhenti di sini kerana gejala ponteng kini
semakin berleluasa.

"Selepas ini, banyak lagi operasi akan dibuat dan kita juga telah mengesan beberapa tempat lain yang menjadi tumpuan
pelajar-pelajar ini," tegasnya.

You might also like