You are on page 1of 10

PENSTRUKTURAN SEMULA SYARIKAT AWAM: KAJIAN KES TERHADAP SYARIKAT

TERSENARAI DI BURSA MALAYSIA (BSKL)

Norhaziah Binti Nawai


Hanim Binti Misbah
Fakulti Ekonomi dan Muamalat
Kolej Universiti Islam Malaysia
Bandar Baru Nilai
71800 Nilai Negeri sembilan
Tel: (06) 798 8725 Faks: (06) 798 8198
(E-mail: norhaziahn@admin.kuim.edu.my)

ABSTRAK

Kertas kerja ini membincangkan kaedah penstrukturan semula yang dilakukan ke atas
syarikat tersenarai di Bursa Malaysia (BSKL). Akibat daripada kegawatan ekonomi yang
melanda Malaysia pada tahun 1998, terdapat banyak syarikat yang mengalami kerugian
besar dan tidak berupaya untuk mengurus hutang. Hasil kajian mendapati kerugian ini
disebabkan oleh hasil syarikat yang menurun, pinjaman yang tinggi, kadar faedah yang
tinggi dan hutang lapuk yang tidak dapat dibayar dan seterusnya menyebabkan
ketidakcairan. Selain itu, ia juga disebabkan oleh keadaan pasaran yang tidak stabil kerana
kadar pertukaran asing. Oleh itu, kerajaan telah menubuhkan tiga badan khas iaitu Danaharta
Nasional Berhad, Danamodal Nasional Berhad dan Jawatankuasa Penyusunan Semula
Hutang korporat (CDRC) untuk membantu syarikat menangani masalah ini. Kertas kerja ini
merupakan kajian penerokaan terhadap 13 buah syarikat yang telah memohon perlindungan
mahkamah di bawah seksyen 176 Akta Syarikat 1965 dan telah meminta bantuan daripada
CDRC.
Keywords: Penstrukturan semula; syarikat awam; kajian kes

1.

Pendahuluan dan Tinjaun Literatur

Kegawatan ekonomi yang melanda Malaysia sejak pertengahan tahun 1997 telah menyebabkan banyak
syarikat menghadapi masalah yang besar untuk menjalankan perniagaan mereka. Ini menyebabkan mereka
mengalami kerugian yang besar dan menanggung hutang yang banyak. Akibatnya syarikat-syarikat ini telah
kehilangan modal ekuiti dan mungkir. Syarikat-syarikat ini kemudiannya telah memohon perlindungan
mahkamah di bawah seksyen 176 Akta Syarikat 1965. Seksyen ini memperuntukkan kepada mana-mana
syarikat yang berminat untuk mengambil skim penyusunan dan pembangunan semula dengan pihak kreditor.
Seksyen ini biasanya digunakan untuk tujuan penstrukturan semula korporat dan penggabungan.
Bagi menangani masalah syarikat yang berhutang, kerajaan telah menubuhkan tiga badan khas iaitu
Pengurusan Danaharta Nasional Berhad, Danamodal Nasional Berhad dan Jawatankuasa Penyusunan Semula
Hutang Korporat (CDRC). Penubuhan tiga badan khas ini adalah untuk membantu syarikat menstruktur
semula kedudukan mereka kepada keadaan yang lebih kukuh dan teguh selepas syarikat mendapat
perlindungan mahkamah.
Tugas Pengurusan Danaharta Nasional Berhad ialah untuk membuang pinjaman tidak berbayar (NPL)
daripada sistem perbankan dan berusaha untuk mendapatkan semula nilai perolehan aset. Danaharta akan
melihat secara langsung gangguan yang dihadapi oleh institusi kewangan. Kemudian Danaharta akan
membeli dan menguruskan NPL di mana ini membolehkan institusi kewangan menumpu semula perhatian

mereka kepada aktiviti pinjaman. Melalui penjualan aset kepada Danaharta, bank akan menukarkan NPL
dengan bon dan tunai pada harga yang dirundingkan bersama. Danaharta akan membeli NPL ini pada harga
pasaran. Ini menyebabkan modal bank berkurangan hingga menjejaskan operasi bank kerana nisbah
kecukupan modal (CAR) yang tidak mencukupi.
Oleh itu, Danamodal akan menangani masalah ini dengan menggantikan modal dalam bank bagi memenuhi
keperluan CAR. Danamodal membantu perlaksanaan Danaharta di dalam memulihkan semula modal,
kecairan dan kedudukan keuntungan sektor perbankan. Tugas CDRC pula menyediakan landasan bagi bank
dan pemiutang untuk mencari penyelesaian melalui skim penyusunan semula tanpa mengambil tindakan
undang-undang. Badan ini ditugaskan untuk menstruktur semula syarikat yang bermasalah. CDRC adalah
satu jawatankuasa yang ditubuhkan secara sukarela yang berperanan sebagai orang tengah di dalam mencari
penyelesaian dengan menggunakan kaedah moral suasion iaitu satu kaedah yang menggunakan
timbangrasa dan mengikut budi bicara.
Syarikat yang bermasalah ini pada awalnya adalah syarikat yang berjaya. Kegawatan ekonomi yang berlaku
telah menyebabkan kadar faedah meningkat dan seterusnya beban untuk membayarbalik hutang menjadi
tinggi. Selain itu, sebelum berlaku kegawatan ekonomi kebanyakan syarikat mengembangkan perniagaannya
dengan membabitkan diri dalam banyak bidang dan tidak menumpu kepada bidang masing-masing.
Kebanyakan kajian mendapati bahawa prestasi firma bergantung kepada tumpuannya kepada satu industri
atau kumpulan industri yang berkaitan. Sebagai contoh Montgomery & Wernerfelt (1988) dan Lang & Stulz
(1993) mendapati bahawa firma yang memberi tumpuan yang lebih mempunyai tobins q yang lebih tinggi.
Lubatkin & Chatterjee (1991) pula mendapati penyelarasan risiko pulangan pasaran jangka panjang adalah
lebih tinggi di dalam firma yang memberi lebih tumpuan atau fokus dan Lichtenberg (1992) mendapati
bahawa firma yang memberikan tumpuan yang lebih mempunyai jumlah faktor produktiviti yang lebih
tinggi. Bukti empirikal juga menunjukkan firma yang yang lebih tertumpu kepada satu set industri yang
berkaitan dapat menunjukkan prestasi yang lebih baik di antara kedua-dua firma perniagaan tunggal dan
firma yang pelbagai (Rumelt, 1974; Lubatkin & Chatterjee, 1991)
Selain itu, kejatuhan syarikat juga disebabkan oleh kegagalan bank untuk memadankan alir tunai yang ada
dalam syarikat dengan pinjaman yang diberi. Contohnya jika syarikat mempunyai projek yang besar yang
perlu dibiayai sehingga 10 tahun, bank tidak memberi pinjaman jangka panjang sebaliknya memberikan
pembiayaan jangka pendek yang hanya dapat menampung operasi hingga 4 tahun sahaja. Ini menyebabkan
bank dan syarikat terpaksa menampung kos pinjaman jangka pendek berikutan bank memberi deposit jangka
pendek yang mana jika gagal dijelaskan menyebabkan operasi terjejas kerana deposit boleh dianggap modal
kerja mereka.
Oleh itu, bagi menangani masalah ini, kerajaan telah memilih kaedah penstrukturan semula korporat sebagai
salah satu daripada usahanya untuk memulihkan ekonomi kerana sektor korporat mempunyai keupayaan
untuk melabur pada masa depan dan dapat menyumbangkan banyak faedah kepada pertumbuhan ekonomi
negara. Selain itu, penstrukturan semula korporat juga boleh meliputi kedua-dua penstrukturan semula
hutang dan penstrukturan semula operasi. Penstrukturan semula korporat bermaksud sebagai tempoh
penyahlaburan berganda untuk firma pelbagai produk yang lebih besar di mana sekurang-kurangnya 10%
daripada asas asetnya telah dinyahlabur. Penstrukturan semula boleh meliputi pelbagai bentuk seperti
penjualan lini perniagaan, pemerolehan dan perubahan struktur modal syarikat.
Menurut Bowman & Singh (1989) penstrukturan semula boleh dikonsepkan berdasarkan kepada tiga dimensi
iaitu penstrukturan semula aset, modal dan pengurusan. Penstrukturan semula aset adalah teknik yang
digunakan untuk mengubah pemilikan aset yang menyokong perniagaan. Ini termasuk penjualan lini
perniagaan yang kurang penting untuk strategi jangka panjang firma. Perubahan struktur modal pula
biasanya melibatkan penanaman jumlah hutang yang besar samada melalui pembelian kewangan
berkeumpilan atau membelibalik saham daripada pelabur ekuiti. Manakala penstrukturan semula pengurusan
direkabentuk untuk meningkatkan keefisyenan dan keefektifan pengurusan melalui perubahan penting di
dalam struktur organisasi seperti melalui pembelian pengurusan (MBO) dan pengambilalihan.

Penstrukturan semula adalah satu proses strategik untuk menjadi penggerak kepada pemaksimuman nilai,
pemulihan semula kedudukan syarikat yang lemah atau untuk meningkatkan firma yang telah kukuh. Faktor
utama yang mendorong wujudnya penstrukturan semula syarikat adalah disebabkan oleh inisiatif syarikat itu
sendiri, tekanan langsung dari luar seperti campur tangan dari kerajaan dan tekanan dari tidak langsung
seperti keadaan persekitaran. Antara tujuan utama tindakan penstrukturan semula dilakukan adalah untuk:1)
2)
3)
4)
5)
6)

2.

Meningkatkan produktiviti pekerja


Mencapai bentuk perniagaan yang lebih baik
Membentuk semula fokus perniagaan
Menghapuskan anak syarikat yang tidak menguntungkan
Mencapai penggunaan maksima untuk aset
Meningkatkan kapasiti hutang dan penjimatan cukai

Metodologi

Kajian ini adalah kajian penerokaan di mana ia berdasarkan kepada pengumuman yang dibuat oleh pihak
syarikat di dalam media massa iaitu surat khabar dan majalah perniagaan dan media elektronik iaitu internet
dan televisyen. Selain itu, maklumat juga diperolehi berdasarkan kepada laporan tahunan yang dikeluarkan
oleh pihak syarikat, Bursa Malaysia dan Bank Negara pada akhir tempoh perakaunan atau akhir tahun.
Kajian ini dilakukan dengan menggunakan kaedah diari di mana setiap pengumuman yang berkaitan dengan
tujuan penyelidikan oleh pihak syarikat akan direkodkan mengikut tarikh pengumuman.
2.1

Pemilihan sampel

Sampel kajian adalah terdiri daripada pelbagai sektor syarikat tersenarai di Papan Utama dan Kedua Bursa
Malaysia. Syarikat yang dipilih sebagai sampel kajian adalah syarikat yang telah memohon perlindungan
mahkamah di bawah seksyen 176 Akta Syarikat 1965 dan telah meminta bantuan daripada CDRC untuk
tujuan penstrukturan semula syarikat. Sebanyak 125 buah syarikat telah dikenalpasti mendapat perlindungan
mahkamah di bawah seksyen 176 Akta Syarikat 1965 sejak tahun 1998 hingga Julai 19991. Tujuan syarikat
ini memohon perlindungan mahkamah adalah untuk mengelakkan daripada tuntutan pihak kreditor. Hanya
syarikat yang telah meminta bantuan daripada CDRC sahaja yang dipilih untuk tujuan penyelidikan kerana
antara tujuan penyelidikan ini adalah untuk mengenalpasti kaedah-kaedah yang digunakan oleh CDRC di
dalam menstruktur semula syarikat. Sebanyak 13 buah syarikat telah dipilih secara rawak yang merangkumi
pelbagai sektor di Papan Utama dan Kedua Bursa Malaysia sebagai sampel kajian.
Penilaian sampel adalah berdasarkan kriteria tertentu iaitu pertama, syarikat tersebut sebelum berlaku
kegawatan ekonomi adalah sebuah syarikat yang berdaya maju dan sedang rancak mengembangkan
perniagaannya. Walau bagaimanapun apabila berlaku kegawatan ekonomi, syarikat ini tidak mampu lagi
untuk meneruskan aktiviti perniagaan mereka seperti biasa. Kedua, syarikat ini mewakili kebanyakan sektor
yang diurusniagakan di Papan Utama dan Kedua Bursa Malaysia iaitu barang pengguna, barang usaha,
pembinaan, kewangan, khidmat dagang, harta dan perladangan. 13 buah syarikat yang telah dipilih secara
rawak dalam penyelidikan ini adalah:1)
2)
3)
4)
5)
6)
7)
8)
1

Bescorp Industries Berhad


Chase Perdana Berhad
Damansara Realty Berhad
Esprit Group Berhad
Kelanamas Industries Berhad
Pembinaan YCS Berhad
Red Box (M) Berhad
The Ayer Molek Rubber Company Berhad

Sumber: Laporan BSKL

9)
10)
11)
12)
13)

3.0

Timbermaster Industries Berhad


Time Engineering Berhad
Unipheonix Coporation Berhad
U-Wood Holdings Berhad
Wembley Industries Holdings Berhad

Hasil Penemuan

Kajian ini menerangkan tentang kedudukan syarikat sebelum berlaku kegawatan ekonomi, masalah-masalah
yang dihadapi oleh syarikat semasa berlakunya kegawatan ekonomi yang menyebabkan syarikat mengalami
kerugian, kaedah-kaedah yang digunakan untuk menyelesaikan masalah tersebut dan kesan penstrukturan
semula ke atas syarikat.
3.1

Kedudukan syarikat sebelum berlaku kegawatan ekonomi


3.1.1 Bescorp Industries Berhad (Bescorp)
Bescorp telah disenaraikan di Papan Kedua Bursa Malaysia pada Ogos 1994 dalam sektor
pembinaan. Antara projek mega yang diusahakannya ialah usahasama dengan 2 buah syarikat asing
untuk membina, mengendali dan memiliki US$300 juta (RM750 juta) kilang pengeluar kuasa bebas
kitaran di Bangalore, India pada Januari 1997. Projek ini mampu menyumbang sebanyak RM25 juta
kepada keuntungan sebelum cukai syarikat dalam masa 18 bulan. Selain itu, ia telah mengetuai
konsortium untuk mengambil penswastaan berjumah US$2 bilion (RM5 bilion) untuk projek
pengurusan tanah terbiar di Jakarta, Indonesia dengan konsesi untuk tempoh 50 tahun. Bescorp telah
menerima hasil bulanan minimum sebanyak US$30 juta (RM75 juta) daripada projek tersebut.
Saham syarikat juga telah melonjak naik hingga mencapai lebih daripada RM20.00 pada satu titik.
3.1.2 Chase Perdana Berhad (CPB)
CPB terlibat dalam pelbagai bidang perniagaan seperti telekomunikasi melalui penubuhan
usahasama dengan Superior Comunications (M) Sdn Bhd untuk membangunkan satu sistem
rangkaian optik benih baru yang menghubungkan Pantai Barat dan Timur Sabah. Syarikat turut
melabur dalam S & P Food Industries (M) Berhad yang mengeluarkan serbuk santan segera dan
produk-produk makanan lain. Selain itu, syarikat juga terlibat dalam bidang pelaburan melalui
pembelian saham ke atas High Return Investment Limited.
3.1.3 Damansara Realty Berhad (DRealty)
Hasil utama syarikat adalah dari pendapatan sewaan di Damansara Town Centre (DTC). Selain itu,
syarikat juga telah membeli sebidang tanah pegangan pajakan di Cameron Highlands untuk dijadikan
sebagai taman tema yang hampir sama dengan Taman Tema Sunway Lagoon.
3.1.4 Esprit Group Berhad
Syarikat terlibat dalam pembinaan lencongan Lebuhraya Bertol Semarang-Demak di Indonesia. Ia
melibatkan pembinaan jalan bertol sepanjang 24.2km yang bernilai US$215 juta. Syarikat juga
mengadakan usahasama dengan Yayasan Negeri Sembilan untuk mengambil projek pembangunan
campuran seluas 19.5 ekar di Bukit Tembuk, N.S. Projek ini untuk pembangunan hartanah dan
komersial.
3.1.5 Kelanamas Industries Berhad
Syarikat mempunyai satu kawasan jualan runcit berjumlah 20,322 kaki persegi dalam satu bangunan
di Commerce Square Petaling Jaya yang bernilai RM13 juta. Syarikat juga memiliki sebuah arked
beli-belah City Parade di kota Kinabalu berharga RM40 juta. Syarikat juga terlibat dalam
pembrokeran saham melalui anak syarikatnya Alor Setar Securities Sdn.Bhd.

3.1.6 Pembinaan YCS Berhad


Syarikat terlibat dalam pembangunan campuran komersial yang dikenali sebagai Maritime Corporate
Park di Port klang berharga RM380 juta, RM45 juta projek pembangunan komersial di Shah Alam,
RM60 juta pembangunan perumahan di Gombak dan RM110 juta pembangunan pejabat di Kuala
Lumpur. Syarikat juga mempunyai projek sedia ada berjumlah lebih kurang RM411 juta.
3.1.7 Red Box (M) Berhad
Ketika ekonomi sedang berkembang, Red Box telah mempelbagaikan perniagaannya daripada
pengeluar album gambar kepada industri rekreasi dan persantaian melalui pengambilalihan Kelab
Bougainvillea Spa Retreat di Klang dan Golden Resort di Port Dickson. Syarikat juga telah
memindahkan bahagian utama operasinya ke negara China bagi memenuhi pasaran antarabangsa.
3.1.8 The Ayer Molek Rubber Company Berhad
Syarikat telah mempelbagaikan bidangnya daripada industri yang berasaskan perladangan kepada
industri berasaskan hartanah dan teknologi maklumat. Bagi industri pembangunan hartanah, syarikat
telah memperolehi keseluruhan ekuiti dalam Meda Development Sdn.Bhd, ZKP Development
Sdn.Bhd, Meda Kompleks Sdn.Bhd dan Meda Property Services Sdn.Bhd berjumlah RM915 juta.
Manakala bagi industri teknologi maklumat, syarikat telah memperolehi kontrak bernilai HK$60 juta
(RM20 juta) bagi sistem automasi penyelenggaraan atur cara mahkamah di Hong Kong.
3.1.9 TimberMaster Industries Berhad (TMaster)
Aktiviti utama syarikat adalah dalam sektor pembalakan. Syarikat telah membina satu kompleks
integrasi pembalakan moden di Gabon, Afrika yang bernilai US$30 juta (RM99 juta). Syarikat telah
melabur sebanyak RM6.6 juta dalam sebuah kilang papan di Njole Afrika dan mendapat hak
pembalakan di kawasan seluas 1.2 hektar di sepanjang sungai Njole berharga RM58 juta.
3.1.10 Time Engineering Berhad (Time)
Pada tahun 1997, Time telah menjadi pengendali perkhidmatan telekomunikasi lengkap kedua di
Malaysia selepas memperolehi 75% kepentingan ke atas Sapura Digital Sdn.Bhd dan Uniphone
Sdn.Bhd (Time Wireless Sdn.Bhd dan Time Reach Sdn.Bhd)
3.1.11 U-Wood Industries Berhad
Syarikat telah mengembangkan perniagaannya daripada industri berasaskan kayu balak dan papan
lapis kepada bidang pembangunan hartanah, pelancongan dan projek penswastaan air.
3.1.12 Unipheonix Corporation Berhad (UCB)
Syarikat terlibat dalam bidang kewangan melalui anak syarikatnya Halim Securities Sdn.Bhd.
Syarikat juga terlibat dalam bidang pembangunan hartanah melalui anak syarikat milik penuhnya
Heavy Industries Valley Sdn.Bhd dengan memiliki sebidang tanah seluas 20.51 hektar di Cheras dan
Ampang. Selain itu, syarikat juga memiliki tanah pertanian seluas 203 hektar antara Ringlet dan
Bertam Valley, 606.9 hektar tanah di Beaufort dan 0.8 hektar di Damansara.
3.1.13 Wembley Industries Berhad
Syarikat terlibat di dalam pembinaan Plaza Rakyat yang bernilai RM1.7 bilion di Kuala Lumpur.
Projek ini mengandungi plaza membeli belah, stesen Laluan Transit Ringan (LRT), stesen bas dan
teksi luar kota, 223 unit pangsapuri, pejabat dan hotel empat bintang.

3.2

Masalah-masalah yang dihadapi oleh syarikat semasa kegawatan ekonomi

Berdasarkan kepada 13 buah syarikat yang dikaji, didapati bahawa antara punca utama syarikat mengalami
masalah ketika kegawatan ekonomi ialah hasil syarikat yang menurun yang disebabkan oleh anak syarikat
mengalami kerugian besar, peningkatan kos seperti kos bahan mentah dan kos pembiayaan dan jualan
keseluruhan merosot. Daripada 13 buah syarikat tersebut, 10 daripadanya menghadapi masalah hasil syarikat

menurun. Selain itu, sebab utama yang dikenalpasti menyebabkan syarikat mengalami kerugian ialah
pinjaman yang tinggi yang dibuat oleh syarikat sebelum berlaku kegawatan ekonomi. Pinjaman yang tinggi
ini telah menyebabkan peningkatan dalam kadar faedah di mana 9 daripada 13 buah syarikat yang dikaji
mengalami masalah ini. Masalah lain yang dihadapi oleh syarikat ialah hutang lapuk yang tidak dibayar oleh
penghutang syarikat. Ia mewakili 5 syarikat. Masalah-masalah lain yang dihadapi ialah projek terpaksa
diberhentikan sementara atau ditamatkan, aset tetap yang terpaksa dijual, kerugian dalam pelaburan yang
dibuat, harga pasaran yang tidak stabil dan peningkatan dalam kadar pertukaran matawang asing.

RAJAH 1: Masalah-Masalah Yang Dihadapi Oleh Syarikat


Masalah-masalah syarikat
12
10

bil

8
6
4
2

ot

ju
al
an

er
os

at
ka
n
m
di
ta

pr

oj
ek

en
in
gk
at

ko
sm

hr
g

bh
n

th

na
ik

tin
gg
i
ae
da
h

sy
kt
ru
gi

ka
da
rf

an
ak

sy
kt
tu
ru
n

ha
sil

re
nd
ah

tin

gg
i

al
ir
tu
na
i

la
pu
k
hu
ta
ng

Pi
nj
am

an

tin
gg
i

masalah

3.3

Kaedah penstrukturan semula yang digunakan oleh syarikat

Hasil yang diperolehi daripada 13 buah syarikat yang dikaji mendapati bahawa, secara keseluruhannya
kaedah penstrukturan semula yang biasa diamalkan oleh syarikat ialah melalui suntikan aset iaitu syarikat
akan mengambilalih syarikat lain yang berdaya maju yang mempunyai kaitan dengan aktiviti utamanya.
Terdapat 8 buah syarikat yang menggunakan kaedah ini di dalam menstruktur semula perniagaan mereka.
Tujuan mereka mengambilalih syarikat lain adalah untuk mengembalikan semula keuntungan. Jenis
pembiayaan yang digunakan untuk membeli syarikat berkenaan biasanya diperolehi melalui terbitan saham
baru syarikat.
Selain itu, didapati juga kebanyakan syarikat yang distruktur semula akan diambilalih oleh syarikat lain yang
lebih berdaya maju atau mereka akan menubuhkan syarikat baru bagi menggantikan syarikat yang sedia ada.
Apabila syarikat ini diambilalih, status penyenaraiannya juga akan berpindah kepada syarikat baru dan
syarikat tersebut akan menjadi syarikat subsidiari. Pengambilalihan tersebut biasanya dilakukan melalui
terbitan saham baru. Daripada 13 buah syarikat yang dikaji, 6 buah syarikat daripadanya diambilalih.
Kebanyakan syarikat tersebut telah menukar nama syarikat kepada nama lain yang lebih sesuai dengan
aktiviti utamanya. Antaranya ialah Kelanamas Industries Berhad kepada MP Technology Resources Berhad,
Red Box (M) Berhad kepada APL Industries Berhad, TimberMaster Industries Berhad kepada LEWEKO
Berhad dan U-Wood Holdings Berhad kepada TRIplc Berhad. Manakala Pembinaan YCS Berhad ditukar
kepada YCS Corporation Berhad.
Bagi membina semula modal, syarikat akan mengurangkan modal saham berbayar dan diterbitkan olehnya di
mana 6 buah syarikat menggunakan kaedah ini. Manakala bagi memulihkan semula kedudukan kewangan
iaitu untuk membayar hutang tertunggak, kadar faedah dan membiayai projek yang sedang dijalankan, 5

buah syarikat menggunakan kaedah terbitan hak dan 3 buah syarikat menerbitkan waran. Manakala syarikatsyarikat lain pula menerbitkan bonus, terbitan terhad, bon, ICULS, saham pinjaman boleh tebus dan terbitan
khas. Syarikat juga telah memberi tumpuan utama kepada aktiviti utama syarikat dengan melupuskan anak
syarikat yang tidak berkait dan mendatangkan kerugian kepada syarikat. Daripada 13 buah syarikat yang
dikaji, 4 buah syarikat mencadangkan untuk melupuskan anak syarikat yang tidak berkaitan. Selain itu,
kaedah-kaedah lain yang digunakan ialah dengan memberhentikan sementara projek atau menamatkan projek
yang sedang dijalankan bagi mengelakkan kerugian yang lebih besar.
Syarikat juga telah menukar aktiviti utama perniagaan jika didapati perniagaan tersebut tidak
menguntungkan. Antaranya U-Wood Holdings Berhad dan Time Engineering Berhad.Mereka telah menukar
aktiviti utama perniagaan kepada perniagaan yang lebih berdaya saing. Di sini, syarikat akan tingkatkan
modal saham dibenar melalui suntikan modal untuk membolehkannya menjalankan perniagaan baru.
Terdapat juga syarikat yang menjual aset yang dimiliki untuk mendapatkan tunai bagi menampung keperluan
kewangan mereka.
3.4

Fungsi Pengurusan Danaharta Nasional Berhad (Danaharta)

Danaharta telah ditubuhkan khusus untuk menyingkirkan pinjaman tidak berbayar (NPL) daripada sistem
perbankan dan memulihkan semula kedudukan sistem perbankan supaya dapat melaksanakan aktiviti
utamanya iaitu memberi pinjaman. Danaharta akan membeli NPL ini pada diskaun daripada institusi
perbankan dan membayarnya melalui terbitan bon lima tahun dan boleh dilanjutkan sehingga lima tahun lagi
bergantung kepada pertimbangan Danaharta. Bon yang diterbitkan ialah bon kupon sifar. Tujuan penjualan
NPL dengan bon adalah bagi membolehkan bank meningkatkan nisbah kecukupan modal dan membenarkan
mereka untuk memberi pinjaman dengan lebih banyak lagi. Danaharta hanya membeli NPL dari institusi
perbankan yang bernilai lebih daripada RM5 juta sahaja. Apabila Danaharta memperolehi NPL daripada
bank yang menjual, peminjam akan berurusniaga secara langsung dengan Danaharta untuk perkara-perkara
yang berkaitan dengan pinjaman tersebut. Bagi pinjaman yang berdaya maju, Danaharta akan menggunakan
strategi pengurusan pinjaman di mana Danaharta akan cuba untuk memulihkan atau menstruktur semula
pinjaman tersebut. Selain itu, Danaharta akan cuba untuk menjadualkan semula pembayaran semula
pinjaman atau menggunakan skim pertukaran hutang-ekuiti. Manakala bagi NPL yang tidak berdaya maju
atau sekiranya strategi pengurusan pinjaman gagal, Danaharta akan menggunakan strategi pengurusan aset.
Danaharta akan menstruktur semula NPL samada dengan menguruskan peminjam atau cagaran asas.
Sekiranya Danaharta mendapati wujudnya nilai di dalam syarikat, Danaharta akan melantik pentadbir khas
untuk mengambilalih pengurusan dan penstrukturan semula syarikat. Pendekatan utama yang digunakan oleh
Danaharta ialah bekerjasama dengan peminjam untuk mencapai penyelesaian bersama. Danaharta telah
menamatkan operasinya pada 31 Disember 2005 dan bagi memungut baki pinjaman yang telah diberi, ia
telah diambilalih oleh Prokhas Sdn.Bhd.
3.5

Fungsi Danamodal Nasional Berhad (Danamodal)

Danamodal telah ditubuhkan untuk memodalkan semula institusi perbankan kepada tahap yang lebih kukuh
untuk membolehkan mereka meningkatkan ketahanan dan keupayaan untuk menjanakan aktiviti pinjaman
baru. Danamodal beroperasi berdasarkan kepada orentasi pasaran dan komersial di bawah seliaan Bank
Negara Malaysia (BNM). Danamodal turut menyelaraskan aktivitinya dengan Danaharta dan institusi
perbankan tempatan di dalam usaha untuk mengembalikan modal, kecairan dan kedudukan keuntungan
mereka. Danamodal bertindak sebagai penggerak dana sementara untuk institusi perbankan bagi menghadapi
keperluan kecukupan modal mereka. Suntikan modal yang diberi kepada institusi perbankan adalah dalam
bentuk ekuiti dan instrumen campuran. Dalam membuat keputusan pelaburan, Danamodal akan
menggunakan asas metodologi dan pasaran. Danamodal juga memainkan peranan penting dalam
memudahkan proses penggabungan dan perasionalan institusi perbankan. Danamodal hanya akan
memodalkan semula institusi perbankan yang pada dasarnya berupaya untuk menjalankan perniagaannya
berdasarkan kepada pertimbangan polisi awam dan komersial. Bagi institusi perbankan yang lemah, ia akan
distruktur semula melalui proses penggabungan. Danamodal juga akan membeli kepentingan secara langsung
daripada pemegang saham utama yang tidak mampu untuk menyumbang atau menyokong keperluan masa

depan institusi perbankan mereka. Pembelian tersebut dibuat berdasarkan asas komersial. Danamodal telah
dibentuk sebagai syarikat liabiliti terhad. Sebagai permulaan, BNM telah menyediakan modal permulaan
sebanyak RM1.5 bilion. Danamodal mempunyai jangka hayat yang terhad di mana ia tidak bercadang untuk
menjadi pemegang saham tetap ke atas institusi yang dimodalkan semula. Danamodal akan melupuskan
pelaburannya melalui tawaran awam awal (IPO), jual kepada pemegang saham strategik yang sedia ada dan
jual langsung kepada pasaran iaitu tukar dengan saham dalam syarikat tersenarai induk atau jual kepada
pihak ketiga.
3.6

Fungsi Jawatankuasa Penstrukturan Semula Hutang Korporat (CDRC)

CDRC telah ditubuhkan untuk memudahkan proses penstrukturan semula hutang dengan memainkan
peranan sebagai orang tengah di antara institusi kewangan dan peminjam. CDRC telah dibentuk di bawah
kawalan BNM untuk memudahkan proses penstrukturan semula oleh peminjam besar. Objektif penubuhan
CDRC adalah:a)
untuk meminimumkan kerugian kepada kreditor dan pemegang saham melalui penyusunan
semula hutang korporat.
b)
untuk mengelakkan syarikat yang berdaya maju berada dalam kuasa penerima atau pembubaran
di mana ia bertujuan untuk memelihara kerja dan kapasiti produktiviti.
c)
untuk menyediakan pendekatan kepada institusi perbankan untuk memainkan peranan yang lebih
besar di dalam pemulihan sektor kewangan korporat.
Pendekatan yang digunakan oleh CDRC di dalam mencapai objektifnya ialah:a)
CDRC tidak mempunyai sebarang status perundangan. Ini bermakna ia bergantung sepenuhnya
kepada sukarela dan kesesuaian syarikat itu sendiri di mana tiada peraturan yang mengawal
pelaksanaannya di mana ia hanya menggunakan prinsip am sahaja.
b)
pendekatan ini membolehkan kreditor dan debtor mencapai keputusan yang berguna tentang
samada dan atas sebab apa, syarikat mengalami kesulitan dalam alir tunai.
c)
pendekatan CDRC ini tidak akan menjamin keupayaan organisasi untuk meneruskan
perniagaannya di mana tiada panduan daripada pihak yang berkuasa tentang bagaimana syarikat
patut mengendalikan perniagaannya dengan berjaya.
Dasar penstrukturan semula hutang yang digunakan oleh CDRC ialah:a)
penstrukturan semula hutang hanya untuk perniagaan yang berdaya maju dan bukan dalam kuasa
penerima atau dalam proses pembubaran dengan jumlah aggregat pinjaman bank RM50 juta atau
lebih daripada sekurang-kurangnya 3 institusi kewangan.
b)
hanya untuk syarikat yang mendapat sekatan penahanan ke atas kreditor di bawah seksyen 176
Akta Syarikat 1965 dan juga sedang memohon dalam keadaan tersebut dan sekatan penahanan
ini akan ditarikbalik bila tempoh untuk memberhentikannya telah dipersetujui.
c)
keputusan perlu dibuat di atas perkongsian maklumat yang lengkap dan tepat antara kreditor dan
debtor.
d)
pihak kreditor bersetuju dengan tempoh henti iaitu 60 hari (boleh dlanjutkan). Dengan itu
keputusan yang disusun boleh dibuat.
e)
pihak kreditor perlu menyatakan kadar faedah sekurang-kurangnya 75% daripada jumlah hutang
semua kreditor.
f)
hak kreditor yang sedia ada ke atas kolateral akan diteruskan.
g)
kredit baru yang dibuat sepanjang proses penstrukturan semula akan mempunyai sifat senioriti.
h)
urusniaga hutang adalah dibenarkan kerana tidak menjejaskan proses penstrukturan semula.
i)
debtor biasanya mengandaikan semua kos yang terlibat dalam penstrukturan semula dan kreditor
akan berusaha untuk mengawal kos.
j)
kerugian penstrukturan semula hutang perlu dikongsi bersama antara kreditor di dalam semangat
berkongsi kesakitan.

kaedah yang digunakan oleh CDRC ialah:a)


dengan menggabungkan antara sektor awam dan swasta bagi membentuk satu komiti untuk
memudahkannya menghadapi kejejasan dan memantau perkembangan keseluruhan
penstrukturan semula hutang.
b)
pasukan pemandu telah dilantik oleh BNM dan sekretariat sepenuh masa juga dipilih yang akan
membantu tugas pasukan pemandu.
c)
peranan kreditor adalah untuk menilai dan menyetujui keupayaan debtor pada asas maklumat
yang tepat dan lengkap atas keputusan debtor untuk terus menerima sokongan kewangan dan
laporan perkembangan pasukan pemandu.

4.0

Rumusan dan Cadangan

4.1

Rumusan

Hasil kajian secara keseluruhan mendapati bahawa antara faktor yang menyebabkan sesebuah syarikat perlu
distruktur semula adalah kerana mengalami kerugian yang besar akibat daripada kegawatan ekonomi.
Kerugian yang dialami ini disebabkan oleh hasil syarikat merosot secara mendadak, anak syarikat mengalami
kerugian yang besar terutama bagi perniagaan yang tidak berkait, pinjaman yang tinggi yang telah dibuat
oleh syarikat sebelum berlaku kegawatan ekonomi di mana ia telah menyebabkan peningkatan dalam kadar
faedah dan hutang lapuk yang tinggi oleh penghutang syarikat. Selain itu, faktor lain yang mempengaruhi
kerugian syarikat ialah peningkatan dalam kos operasi seperti peningkatan dalam harga bahan mentah,
keadaan pasaran harga yang tidak stabil dan peningkatan dalam kadar pertukaran asing.
Berdasarkan kajian ini, kaedah yang biasa diamalkan dalam menstruktur semula syarikat yang bermasalah
adalah melalui pengambilalihan berkait. Ia bertujuan untuk memfokus semula perniagaan dan
mengembalikan keuntungan syarikat. Pembiayaan untuk pengambilalihan ini biasanya dilakukan melalui
terbitan saham baru syarikat. Selain itu, syarikat juga akan melupuskan kepentingan dalam anak syarikat
yang tidak berkait dan mendatangkan kerugian kepada syarikat. Bagi memperolehi tunai untuk membayar
hutang syarikat, kadar faedah dan membiayai projek yang sedang dijalankan, kebanyakan syarikat akan
menerbitkan hak,waran, bon, saham pinjaman boleh tukar, bonus dan tawaran terhad. Manakala bagi
membina semula modal, kebanyakan syarikat akan mengurangkan modal saham berbayar dan diterbitkan.
Kajian ini juga mendapati bahawa salah satu kaedah yang digunakan untuk mengembalikan semula
keuntungan syarikat adalah dengan menukar aktiviti utama perniagaan kepada perniagaan yang lebih berdaya
maju dan dapat bertahan dalam jangka panjang.
Kajian juga mendapati, syarikat yang telah selesai distruktur semula telah dapat memulihkan semula
kedudukan mereka di mana ia telah dapat mengembalikan keuntungan dan prestasi pasaran saham mereka
telah meningkat.
4.2

Cadangan

Kajian yang dijalankan menggunakan sampel yang kecil iaitu 13 buah syarikat. Oleh itu, adalah dicadangkan
untuk kajian masa depan supaya membesarkan saiz sampel bagi melihat dengan lebih jelas punca masalah
yang sering dihadapi oleh syarikat ketika berlaku kegawatan ekonomi dan kaedah yang digunakan untuk
menyelesaikannya. Kajian ini adalah kajian penerokaan di mana ia bertujuan untuk memahami dan
mencungkil isu-isu yang timbul. Oleh itu, kajian yang berbentuk empirikal perlu dibuat untuk membuktikan
kenyataan yang telah diperolehi.

Rujukan
Bowman, E.H. & Singh,H.(1989). Corporate Restructuring: Trends and Consequences. Dlm Rock, R. (Ed),
Corporate Restructuring, New York: McGraw-Hill.
Bowman, E.H. & Singh,H.(1990). Overview of Corporate Restructuring: Trends and Consequences. Dlm
M. Rock and R. Rock (Ed), Corporate Restructuring, New York: McGraw-Hill.
Lang. L. & R. Stulz. (1993). Does Corporate Diversification Create Value?. Working Paper, Stern School
of Business, New York University.
Lichtenberg, F. (1992). Industrial De-Diversification and Its Consequences for Productivity. Journal of
Economic Behavior and Organization, 18, 427-438.
Lubatkin, M. & Chatterjee, S. (1991). The Strategy-Shareholder Value Relationship: Testing Temporal
Stability Across Market Cycles. Strategic Management Journal, 12(4), 251-270.
Malaysian Business. (1998). When Borrowers Go Bad. Ogos: 25-29.
Malaysian Business. (1998). How Danaharta Works. September: 24-26.
Malaysian Business. (1999). Revamping For The Future. Mac: 6-12.
Malaysian Business. (1999). The Art of Survival. Mac: 23-24.
Montgomery, C. & Wernerfelt, B. (1988). Diversification, Ricardian Rents and Tobins q. Rand Journal
of Economics, 19, 623-632.
n.a.n.d. announcements.http://announcements.bursamalaysia.com/linkwebmainpage.nsf/Ica.htm
n.a.n.d. Listing.www.bursamalaysia.com/website/listing/listing.htm
n.a.n.d. dana modal.www.bnm.gov.my/index.php?ch=32&tpl_id=36
n.a.n.d. dana harta.www.danaharta.com.my.
n.a.n.d. CDRC.www.bnm.gov.my/index.php?ch=31

10

You might also like