You are on page 1of 2

JURNAL REFLEKTIF PENGAJARAN

Hari ini saya masuk ke kelas 4 Sains 2 dengan penuh semangat dan yakin. Segala persiapan
untuk mengajar telah saya rancang dan susun dengan rapi dan baik. Saya amat pasti pengajaran
yang saya akan laksanakan akan berjalan lancar dan tidak menghadapi masalah.
Semasa pengajaran berlangsung, saya banyak menggunakan teknik penyoalan berdasarkan
gambar yang saya pamerkan. Apa yang membuatkan saya hairan ialah respon pelajar yang
agak hambar. Ramai yang mendiamkan diri dan menunduk sewaktu saya soal. Saya dapat
merasakan bahawa mereka kurang faham mengenai gambar yang saya tunjukkan. Gamabr yang
saya gunakan ialah gambar berkaitan langkah bagi mengatasi masalah merokok dalam kalangan
remaja. Tidak dapat dinafikan ada juga pelajar yang 'hyperaktif'. Namun demikian, saya cuba
menjelaskan mengenai gambar tersebut dan kelihatan reaksi mereka tetap sama. Masih diam dan
tertunduk malu untuk menyatakan idea masing-masing.
Saya terpanggil untuk mengetahui perkara yang berlaku. Pelbagai persoalan mula timbul di
fikiran saya terhadap pelajar-pelajar itu. Adakah mereka sakit, malu, tidak yakin atau tidak
memberikan perhatian sepenuhnya terhadap pengajaran saya ? Mungkin juga pengajaran saya
tidak sesuai dengan tahap mereka ataupun pengajaran saya terlalu cepat ? Saya berhenti
mengajar seketika dan bertanya akan masalah yang mereka hadapi semasa saya mengajar.
Akhirnya meeka memberitahu bahawa mereka kurang jelas dengan gambar yang saya tunjukkan
itu. Hal ini kerana gambar itu mempunyai pelbagai gambaran dan maklumat samada yang
tersurat mahupun tersirat dan membuatkan mereka keliru.

Saya mula sedar bahawa saya perlu menjelaskan dahulu idea utama dalam gambar tersebut.
Kemudian barulah perlu meminta pendapat atau idea sampingan serta contoh daripada pelajar.
Pemahaman terhadap sesuatu perkara perlu dijelaskan dahulu bagi mencambahkan minda pelajar
bagi menjana idea seterusnya. Saya yakin bahawa penerangan guru, beserta dengan pemberian
makna dan contoh-contoh gaya bahasa berdasarkan petikan yang lain, dapat memberikan
pemahaman kepada pelajar. Semasa pengajaran sedang berlaku saya dapat melihat pelajar mula
menunjukkan reaksi yang positif. Pelajar mula turut serta dalam perbincangan berasama saya
dalam mencari maklumat. Keadaan ini akan memberikan kefahaman yang baik kepada pelajar
kerana pengetahuan mereka akan bertambah dan berkembang berdasarkan isu yang
dibincangkan.
Pada minggu hadapan, saya akan mengajar mengenai karangan bergambar kepada
pelajar. Saya akan meluangkan masa yang lebih untuk mengajar pelajar cara mengolah isi dan
mencari contoh yang sesuai berdasarkan gambar yang ditunjukkan. Saya berharap dengan cara
ini pelajar dapat mengeluarkan semua isi penting yang terdapat dalam sesebuah gambar. Hal ini
juga sedikit sebanyak akan membantu pelajar untuk meningkatkan mutu penulisan karangan
mereka.

You might also like