You are on page 1of 7

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

MUHASABAH DIRI
(27 DISEMBER 2012/ 24 SAFAR 1435H)

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,


Marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa
serta melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudahmudahan kita mendapat keberkatan hidup di dunia dan di akhirat. Mimbar jumaat
hari ini akan memperkatakan khutbah bertajuk: MUHASABAH DIRI.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Sedar atau pun tidak bahawa hari ini merupakan Jumaat terakhir bagi tahun 2013. Ini
bermakna detik waktu berjalan begitu pantas, saat, minit, jam, hari, minggu, bulan
dan tahun terus berlalu tanpa menunggu kita. Sedarlah bahawa pergerakan masa ini
bermakna ianya telah menambah lagi usia kita yang sememangnya kurnian Allah
SWT. Bertambahnya usia, selayaknya membuat kita menjadi insan yang lebih
bernilai di sisi Allah SWT. Nikmat usia yang telah dipinjamkan oleh Allah yang
bersifat sementara ini adalah satu anugerah yang sangat bernilai bagi seorang hamba
yang mengerti erti hidup sebagai satu ibadah. Firman Allah SWT di dalam surah adzDzaariyat ayat 50:

Bermaksud:(Katakanlah Wahai Muhammad kepada mereka): "Maka segeralah


kamu kembali kepada Allah (dengan bertaubat dan taat), Sesungguhnya aku
diutuskan Allah kepada kamu, sebagai pemberi amaran yang nyata.
Justeru, tahun baru yang akan menjelma ini hendaklah dimulakan dengan lafaz
kesyukuran kerana kita masih lagi diizinkan untuk meneruskan kehidupan disamping
menjalankan tugasan harian sama ada sebagai anak, ibu, bapa, pendidik, pelajar,
pekerja amnya dan sebagai individu muslim khasnya. Semoga kehadiran tahun baru
ini membawa pengertian yang cukup besar bagi mencetuskan rasa ingin berubah dari
satu kekurangan kepada satu kekuatan yang baru. Dalam kesyukuran ini, usahlah kita
sesekali lupa pada sejarah kerana sejarah merupakan cerminan masa lalu untuk kita
jadikan panduan di masa hadapan. Ibarat memandu kenderaan, kita memerlukan
cermin sebagai panduan. Bolehkah kita memandu dengan selamat jika tidak adanya
cermin? Itulah pentingnya sejarah.
Sedarlah, negara kita baru Merdeka hanya 56 tahun. Namun, kita telah dijajah
hampir 446 tahun oleh Portugis, Belanda, British, Jepun dan menerima ancaman
pengganas komunis. Ini semua bermula selepas jatuhnya Empayar Kesultanan
Melayu Melaka dan khilafah Islam Uthmaniyyah di Turki. Bayangkanlah,betapa
peritnya, deritanya, azab dan seksanya kehidupan bila berada di bawah cengkaman
penjajah dan ditindas oleh musuh. Mungkin sebahagian besar daripada kita hari ini
tidak pernah mengalami pengalaman dan penderitaan berada di bawah cengkaman
penjajah dan negara ditadbir oleh musuh. Persoalannya, adakah kita mahu peristiwa
yang sama berulang kembali?. Adakah kita mahu merasakan azab dan seksanya?.
Adakah kita rela menerima penjajahan moden yang sudah pasti tidak akan ada jalan
keluar untuk kita melepaskan diri?. Tepuklah dada dan tanyalah iman dan akal serta
bermuhasabahlah tentang diri kita sendiri.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Bermuhasabah atau menghitung diri adalah satu amalan para anbiya, mursalin dan
orang-orang soleh. Justeru, perkara penting yang harus dijadikan budaya dalam hidup
2

semua manusia ialah menilai diri sendiri. Persoalan besar timbul di sini, apakah
sebenarnya yang dimaksudkan dengan bermuhasabah? Muhasabah adalah perilaku
menghitung dan memperelokkan diri yang terbentuk dalam jiwa seseorang dengan
jujur dan ikhlas. Ia juga boleh dimaksudkan sebagai mendidik diri agar sentiasa
mencela segala kejahatan yang pernah dilakukan agar tidak menjadi penghalang
untuk mandapat keredhaan Allah SWT.
Mengikut Ibnu Qudamah: Pengertian muhasabah ialah melihat keadaan
modal, keadaan keuntungan dan kerugian, agar dapat mengenalpasti sebarang
penambahan dan pengurangan. Modalnya dalam konteks agama ialah perkara
yang difardhukan, keuntungan ialah perkara sunat dan kerugiannya pula ialah
maksiat. Ibnul Qaiyim pula berkata: Muhasabah ialah membezakan antara apa
yang diperolehinya dan apa yang perlu ditanggungnya. Setelah mengetahui yang
demikian, maka dia hendaklah membawa apa yang diperolehinya dan melunaskan
apa yang ditanggungnya. Dia seolah-olah seorang musafir yang tidak akan
kembali. Rasulullah SAW sendiri pernah memuji sikap muhasabah di dalam hadith
Baginda yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi daripada Syadad bin Aus RA iaitu:

Bermaksud: Orang yang pintar ialah orang yang menghitung dirinya serta
beramal untuk hari selepas kematian sementara orang yang lemah ialah orang yang
mengikut hawa nafsunya serta berangan-angan terhadap Allah dengan angan-angan
(yang banyak).(Riwayat at-Tirmizi)
Mimbar ingin menyatakan bahawa sesiapa yang bermuhasabah tentang dirinya maka
mereka tidak akan membiarkan ruang dan masa untuk melakukan perkara-perkara
yang batil dan mungkar. Menyibukkan diri dengan ketaatan akan menghapuskan
masa untuk membuat kejahatan. Mereka akan mencela jiwanya di atas setiap
kesalahan dan kekurangan yang dilakukannya terhadap Allah SWT kerana takutnya
diri ini kepada kekuasaan-Nya. Jika inilah keadaannya maka mana mungkin boleh
3

didapati jalan dan ruang untuk membuat kesalahan dan kebatilan. Memetik kata-kata
seorang ulama iaitu as-Sayyid Ahmad ar-Rifaie yang pernah menyatakan di dalam
kitabnya Burhan al-Muayyad bahawa; Daripada takut akan timbulnya muhasabah.
Daripada muhasabah timbulnya muraqabah. Daripada muraqabah hati akan
sentiasa sibuk bersama Allah SWT. Berkata Syeikh Ahmad Zarruq: lalai dari
bermuhasabah diri menyebabkan apa yang dilakukan menjadi silap. Kurang
berbincang dengannya boleh membawa kepada sifat redha nafsu atau berpuas hati
terhadapnya. Memerangi nafsu boleh menjauhkan daripada melekat pada diri dan
tidak bersikap tegas terhadapnya menyebabkannya menjadi pahlawan. Oleh itu
lazimlah diri dengan senantiasa bermuhasabah dan berbincang serta beramallah
dengan apa yang betul tanpa bertolak ansur terhadap perkara-perkara yang salah.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Marilah kita bersama-sama menghitung setiap tindakan kita selama ini, sejauh mana
kita telah melaksanakan amanah sebagai hamba Allah SWT. Apakah kita telah benarbenar melaksanakannya mengikut lunas dan akhlak Islam. Sejauhmanakah tugas kita
sebagai manusia yang dilahirkan oleh Allah SWT untuk melaksanakan tugas benarbenar tercapai? Ingatlah, pihak musuh tidak akan pernah leka mahupun berhenti
daripada merencanakan misi mereka sehinggalah mereka berjaya mencapai apa yang
mereka kehendaki. Mereka sentiasa menyerang dari luar mahupun dari dalam samada
secara tersirat mahupun secara tersurat. Lihatlah apa yang telah berlaku pada saat ini,
pada tahun ini dan pada masa-masa yang lepas, suasana luar negara mahupun di
dalam negara. Bukankah agama Islam sedang dicabar dan dipersendakan? Bukankah
bangsa kita sedang ditekan dan dihimpit dari pelbagai sudut? Sejauh manakah telah
kita perjuang dan pertahankan agama dan akidah kita? Oleh itu, dalam suasana ini
marilah kita mulai dengan menghisab diri samada tugas kita selama setahun sebelum
ini atau tahun-tahun sebelumnya telah kita lakukan demi menjalankan amanah
sebagai khalifah Allah SWT dan sebagai hamba-Nya yang beriman atau kita masih
4

berada di dalam lembah kemaksiatan dan noda semata-mata menurut hawa nafsu
yang bersarang di jiwa. Rebutlah peluang dan masa yang diberikan Allah SWT
kepada kita agar dapat dimanfaatkan untuk perkara-perkara yang berfaedah serta
amal soleh. Bukankah Allah SWT telah mengingatkan kita tentang penjagaan masa
seperti di dalam surah al-asr ayat 1-3 iaitu:

Bermaksud:Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orangorang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan
kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.
Mimbar menyeru para jemaah dan umat Islam sekalian, marilah kita mulakan tahun
baru ini dengan menanamkan semangat menyampaikan sesuatu yang baik dengan
penuh kebenaran. Kebenaran yang hakiki itu kadangkala menuntut kita bersikap
yakin dan berani dalam setiap hal. Hayatilah ungkapan Berkatalah benar sekalipun
pahit untuk menjadi satu semangat kepada kita bilamana berhadapan dalam setiap
cabaran dan dugaan. Namun kata-kata benar yang hendak kita lafazkan haruslah
berprinsip dan beretika. Kita juga hendaklah saling ingat mengingati untuk diri dan
orang lain juga atas prinsip kebenaran. Maka jika timbal balik antara jiwa benar kita
dituai maka harapan untuk mencapai hakikat kebenaran dalam masyarakat boleh
tercapai.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Marilah kita sama-sama jana kembali semangat Islami dengan mata hati kita.
Pemahaman dan jiwa yang luhur terhadap tanggungjawab sebagai insan yang
dijadikan oleh Allah harus kita martabatkan bukan sahaja untuk diri sendiri malah
untuk orang lain. Kejayaan yang kita ukir sepanjang hidup tidak harus kita raikan
sendiri malah ianya mesti diraikan bersama dengan orang lain. Kita mulai semangat
dengan jiwa tawaduk, berusaha mempertingkatkan kualiti diri untuk mendapat
keredhaan Allah SWT. Inilah masanya kita mesti bangun dan sedar wahai umat Islam
5

daripada terus bersengketa dan berbalah sesama sendiri. Marilah kita menarik nafas
kebijaksanaan, menghulurkan salam perpaduan dan bertanyalah pada akal kita!
Siapakah yang akan mengaut keuntungan jika umat Islam bercakaran dan bersengketa
sesama sendiri? Siapa lagi yang boleh membela agama Islam dan mempertahankan
kedaulatan bangsa dan negara jika masing-masing telah terbakar menjadi abu?
Adakah kepada musuh islam kita mahu menyerahkan nasib agama dan bangsa kita?
Ingatlah..tidak ada jaminan masa depan buat diri, keluarga dan agama jika kita tidak
bersatu dan saling menyokong antara satu sama lain bermula hari ini. Bayangkanlah,
masa depan yang gelap dan penuh kebimbangan pasti akan mendatangi umat islam
jika kita terus leka dan tidak dapat menghidu gerak geri musuh yang sedang rakus
mahu menghancurkan kita. Percayalah bahawa dengan bermuhasabah, seseorang
itu dapat mengelakkan diri daripada melakukan kesalahan yang sama untuk
kali kedua, kerana orang muslim yang hebat adalah mereka yang dapat
mempertingkatkan kualiti diri mereka dari masa ke semasa. Ingatlah pesanan sadina
Umar al-Khattab: Hitunglah diri kamu sebelum kamu dihitung, timbanglah
amalanmu sendiri sebelum ia ditimbangkan untukmu, dan bersedialah untuk hari
pembentangan amal yang besar, sesungguhnya hisab pada hari kiamat menjadi
ringan bagi sesiapa yang melakukan muhasabah diri di dunia ini. Mengakhiri
khutbah pada minggu ini marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT di
dalam surah Ali- Imran ayat 110:

Bermaksud: Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat
manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang
daripada yang mungkar, serta kamu pula beriman kepada Allah. Dan kalaulah Ahli
Kitab itu beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada
yang beriman, dan kebanyakan mereka orang yang fasik.

You might also like