You are on page 1of 8

KEKANGAN APLIKASI PENGAJARAN KOPERATIF

DI SEKOLAH RENDAH
Dr. Hjh Sarimah Ismail
Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia
p-sarima@utm.my dan sarimah1353@gmail.com
Mohaimin Tabrani
Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia
mohaimohai@yahoo.com.my
Dr. Rohana Hamzah
p-rohana@utm.my

Abstrak: Pengajaran Koperatif adalah metode pengajaran yang melibatkan pembelajaran sosial
dalam kalangan pelajar. Metode pengajaran ini memberi tumpuan kepada kerja berkumpulan
dalam menyelesaikan sesuatu tugasan bagi menguasai isi pelajaran. Walaupun metode
pengajaran ini mempunyai banyak kebaikan, malangnya ia jarang diaplikasi dalam bilik darjah.
Kajian ini dijalankan bertujuan untuk mengenalpasti faktor penghalang pengaplikasian
Pengajaran Koperatif di sekolah rendah. Pembolehubah dikaji adalah bahan rujukan, masa, sikap
pelajar dan pengurusan. Kajian tinjauan ini melibatkan 218 orang guru dari 19 buah sekolah
rendah dalam Zon Nusa Jaya, Johor Bahru dan menggunakan borang soal selidik sebagai
instrumen kajian. Nilai kebolehpercayaan instrumen kajian, ialah 0.927. Data yang diperolehi
dianalisis menggunakan perisian Statistical Package of Social Science (SPSS) versi 12. Dapatan
kajian menunjukkan masa, sikap pelajar, dan pengurusan merupakan faktor utama yang menjadi
kekangan aplikasi Pengajaran Koperatif dalam bilik darjah. Faktor pengetahuan, bahan rujukan
dan pengalaman guru pula mengekang pada tahap sederhana. Hasil ujian Anova pula mendapati
tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara jantina guru dengan tahap dan pengalaman
aplikasi Pengajaran Koperatif dan terdapat perbezaan yang signifikan antara jantina guru dengan
pengetahuan konsep Pengajaran Koperatif.
Kata kunci: Pengajaran koperatif, Sekolah rendah, Kekangan

1.0

PENGENALAN
Pengajaran Koperatif (PK) merupakan metode pengajaran aktif yang dapat memenuhi
keperluan pembelajaran sosial dalam kalangan pelajar. Metode pengajaran ini melatih pelajar
belajar bekerjasama dalam kumpulan secara positif, meningkatkan rasa tanggungjawab yang
akhirnya meningkatkan kefahaman terhadap isi pelajaran (Choong, 2009).
Metode pengajaran PK memerlukan pelajar pelbagai kecerdasan bekerjasama secara aktif
dan positif dalam kumpulan kecil untuk mencapai satu matlamat yang sama (Slavin, 1982) iaitu
bagi mendapatkan hasil pembelajaran yang terbaik kepada dirinya dan ahli dalam kumpulan
(Suhaida, 2006). Kerjasama dalam kumpulan menggalakkan perkongsian idea berlaku dan
pemeriksaan idea sendiri dalam suasana santai sesuai dengan falsafah konstruktivisme yang
menekankan pembinaan pengetahuan oleh pelajar menggunakan pengetahuan sedia ada dalam diri
mereka (Ee Ah Meng, 2005). Setelah menguasai isi pelajaran melalui tugasan diberi, pelajar akan
mengajar rakan-rakan yang lain dalam kumpulannya sehingga semua ahli kumpulan menguasai
semua isi pelajaran tersebut. Ini diikuti dengan aktiviti untuk menguji sama ada semua ahli
kumpulan telah menguasai isi pelajaran dan dapat menyelesaikan aktiviti yang telah diberikan.
Di antara kelebihan pembelajaran PK ialah membolehkan ahli kumpulan berkongsi
maklumat dan bertukar-tukar pandangan agar mereka mempunyai lebih banyak idea; pelajar dapat
menggunakan pelbagai metode untuk menyelesaikan masalah dan teknik menjana idea agar
masalah dapat diselesaikan secara kreatif; kefahaman dan daya ingatan pelajar meningkat dengan
adanya peluang untuk bertanya dan berbincang dengan ahli dalam kumpulan; dan memenuhi

keperluan sosial kerana dapat mengenali orang lain dan merasa diri dihargai kerana dapat
memberi sumbangan dalam aktiviti kumpulan (Azhar, 1999). Kesannya, pembelajaran dirasakan
lebih menyeronokkan kerana seseorang guru itu dapat memenuhi naluri ingin tahu, keinginan
mengambil bahagian, pengiktirafan perasaan pelajar, kesedaran matlamat yang ingin dicapai, dan
keperluan persekitaran fizikal yang kondusif dan menggembirakan untuk proses pembelajaran
(Ismail, 2009).
1.1

Latarbelakang dan Pernyataan Masalah


Walaupun banyak kajian telah dijalankan contohnya oleh Johnson dan Johnson (1980);
Slavin (1982); Seymour (1994); Nor et al., (2001); Battistich dan Watson, (2003); Kohn (2004);
Effandi (2005); Suhaida (2006); Norziha et al., (2006); Cheah et al., (2008) yang menunjukkan
PK memberi banyak kebaikan kepada pelajar, malangnya metode ini jarang diaplikasi dalam bilik
darjah (Suhaida, 2006).
Kajian dijalankan oleh Azizi, Ahmad dan Shahzalina (2007), mengenai kekangan amalan
PK dalam kalangan guru-guru mata pelajaran teknik dan vokasional di tiga buah Sekolah
Menengah Teknik di Selangor, mendapati disebabkan oleh guru tidak memahami konsep sebenar
PK, kesuntukkan membuat persediaan kerana menjalankan kerja-kerja perkeranian dan sikap
pelajar yang sukar memberi kerjasama ketika bekerja dalam kumpulan. Antara kekangan lain
ialah hanya sebahagian kecil pelajar yang komited dalam pembelajaran sementara pelajar lain
mengambil kesempatan diatas usaha rakan mereka yang komited itu. Pelajar yang mempunyai
tahap ego yang tinggi yang terlibat dalam PK pula kebanyakannya tidak berminat untuk
membantu pelajar yang lemah (Ismail, 2009). Sebaliknya pelajar yang lemah merasakan dirinya
tidak pandai akan menjadi pasif, tidak mahu berbincang dengan rakan yang lain. Metode
pengajaran ini juga dilihat memerlukan masa yang panjang untuk pelajar berbincang dan
kekangan ruang yang cukup untuk pelajar menjalankan aktiviti berkumpulan.Guru pula tidak
dapat merancang pembentukan kumpulan, menyediakan alat bantu mengajar yang secukupnya,
menyelia dan membimbing persediaan pelajar dan sebagainya. Ada yang menyatakan PK sukar
diaplikasikan terutama bagi tajuk yang pelajar tidak mempunyai pengetahuan dan pengalaman
(Ismail, 2009).
Ross dan Rolheiser (2003) di dalam artikel mereka bertajuk Student Assessment Practices
In Co-Operative Learning, telah menggariskan beberapa cabaran kepada guru-guru dalam
membuat penilaian PK. Pertama, mereka harus membezakan pencapaian pelajar dengan
pencapaian kumpulan bagi mengenal pasti pelajar yang cerdas. Ini bagi memenuhi keingingan ibu
bapa yang inginkan maklumat pencapaian anak mereka. Kedua, PK memerlukan guru dan pelajar
berkongsi penilaian melalui prosedur penilaian rakan sebaya. Prosedur penilaian ini boleh
menyebabkan bias sehingga menyukarkan guru mempertahankan nilai-nilai yang hendak diukur.
Ketiga, PK lebih menekankan kemahiran sosial, sebaliknya membelakangkan pengukuran
kognitif. Guru menghadapi masalah untuk mengenal pasti apa yang pelajar tahu dan boleh
lakukan dalam kumpulan masing-masing; mengenal pasti bila pelajar benar-benar telah
melakukan tugas mereka; merasa bimbang seseorang pelajar akan mengambil alih peranan
kumpulan; membahagi tugas pelajar dalam sesuatu kumpulan, dan masalah membuat penilaian
dan pelaporan.
Dapatan dari Perbincangan Kumpulan Fokus (PKF) yang dijalankan oleh Sarimah dan
Muhaimin (2011) ke atas sekumpulan guru dari 8 buah sekolah rendah dalam Zon Nusa Jaya,
Johor Bahru mendapati, di antara faktor kekangan yang menghalang aplikasi PK dalam bilik
darjah di sekolah rendah ialah:
a) Guru tidak mempunyai pengetahuan mengenai PK kerana tiada pendedahan diberikan
kepada mereka.
b) Kesukaran mendapatkan bahan rujukan dan kepakaran dalam metode pengajaran ini.
Guru-guru yang sedang berkhidmat tidak pernah didedahkan dengan PK. Tiada guru atau
pegawai pendidikan yang dilantik untuk menjadi pakar rujuk atau Jurulatih Utama (JU).
Guru-guru juga tidak dapat berbincang antara satu sama lain kerana mereka menghadapi
masalah yang sama, iaitu pengetahuan dan pengalaman yang terhad berhubung dengan
aplikasi PK.

c) Peruntukan masa yang terhad di dalam jadual waktu untuk mengaplikasikan PK di dalam
kelas.
d) Pembentukan kumpulan dalam PK memberi impak sampingan: pelajar mengambil
kesempatan menggunakan masa yang ada untuk bermain atau membuang masa, mengganggu
rakan-rakan dari kumpulan lain dan menyerahkan tugasan kepada ahli dalam kumpulan
mereka yang lebih cerdas.
e) Pengaplikasian PK menyebabkan kawalan kelas sukar dilakukan. Suasana menjadi bising
kerana ahli-ahli kumpulan menyiapkan projek atau tugasan masing-masing di dalam
kumpulan.
f) Bilangan pelajar yang ramai dalam sesuatu kelas.
g) Sukar membuat penilaian ke atas pelajar secara individu kerana penilaian pengajaran
metode PK dibuat secara kumpulan.
h) Memerlukan peralatan yang banyak untuk aktiviti dalam kumpulan.
i) Tidak semua sekolah mempunyai kemudahan yang lengkap, yang dapat membantu
pengaplikasian PK. Bagi sekolah-sekolah kecil seperti Sekolah Kurang Murid (SKM),
kemudahan adalah terhad termasuk saiz bilik darjah yang kecil.
Kekangan-kekangan ini menyebabkan masih ramai guru yang menggunakan metode
pengajaran tradisional yang dianggap lebih mudah, murah dan tidak memakan masa yang
panjang. Di samping itu, guru juga tidak jelas akan keberkesanan PK kepada pelajar kerana
belum banyak kajian dilakukan ke atas metode penilaian PK. Oleh itu kajian ini dijalankan untuk
mengenal pasti faktor-faktor kekangan aplikasi PK dalam bilik darjah agar cadangan dapat dibuat
bagi menggalakkan guru-guru mengaplikasikan metode PK di dalam kelas.
2.0

METODOLOGI KAJIAN
Kajian tinjauan ini dijalankan ke atas 218 orang guru-guru dari 19 buah sekolah rendah
dalam Zon Nusa Jaya, Johor Bahru. Nilai kebolehpercayaan instrumen kajian ialah =

0.927. Data yang diperolehi daripada kajian dianalisis menggunakan perisian Statistical
Package of Social Science (SPSS) versi 12.
3.0

DAPATAN KAJIAN DAN PERBINCANGAN


Dapatan kajian (Jadual 3.1) menunjukkan sikap pelajar, pengurusan dan masa merupakan
faktor utama yang mempengaruhi menjadi penghalang aplikasi PK dalam bilik darjah. Faktor
pengetahuan guru, pengalaman guru dan bahan rujukan mempengaruhi pada tahap sederhana.
Tidak terdapat perbezaan yang signifikan di antara jantina guru dengan tahap aplikasi PK dan
terdapat perbezaan yang signifikan di antara jantina guru dengan pengetahuan konsep PK.
Sikap pelajar menjadi kekangan utama dalam kalangan responden untuk mengaplikasikan
metode PK dengan nilai purata min 3.83 dan sisihan piawai 0.82. Antara faktor kekangannya
adalah terdapat pelajar pasif dalam kumpulan kerana adanya ahli yang lebih berkemampuan
menyempurnakan tugasan dalam kumpulan, pelajar mengambil kesempatan dengan bermain dan
membuang masa, pelajar cerdas mendominasi kumpulan, pelajar tidak menjalankan main peranan,
pelajar perlu dilatih terlebih dahulu, kesukaran kawalan kelas, pelajar cerdas tidak membantu
pelajar lemah, dan terdapat kumpulan yang mengganggu kumpulan yang lain.
Dapatan kajian ini konsisten dengan dapatan kajian Ezhar (1999) berhubung dengan
kelemahan PK, iaitu; ahli kumpulan minoriti mungkin didesak atau terdorong untuk mengikut
pendapat kumpulan majoriti. Ini menyebabkan keperluan aplikasi PK tidak tercapai dalam usaha
memberi peluang ahli mengecapi kejayaan secara bersama. Responden dalam kajiannya mengakui
bahawa ada kemungkinan ahli kumpulan mendominasikan perbincangan atau kumpulan.
Tindakan ini menyebabkan hanya sebahagian kecil ahli kumpulan mengawal tingkah laku ahli
yang lain hingga menyebabkan pembelajaran bersama tidak tercapai. Dari segi tugasan, wujud
sikap bergantung dengan anggapan ahli kumpulan yang lain akan melaksanakannya. Sikap ini
menyebabkan matlamat berkerjasama tidak tercapai.
Pelajar juga sering mengambil kesempatan terhadap ahli kumpulan yang lebih
berkemampuan untuk menyempurnakan tugasan, sambil menggunakan masa dengan kegiatan
yang kurang berfaedah. Pelajar yang cerdas pula enggan membantu ahli mereka yang lemah. Ini

bersamaan dengan pendapat yang kemukakan oleh Ismail (2009); hanya sebahagian daripada
pelajar yang benar-benar komited dalam kumpulan masing-masing sementara pelajar lain hanya
mengambil kesempatan di atas usaha rakan mereka yang komited itu. Pelajar yang mempunyai
tahap ego yang tinggi yang terlibat dalam PK kebanyakannya tidak berminat untuk membantu
pelajar yang lemah, sementara pelajar yang lemah pula merasakan dirinya tidak pandai dan akan
menjadi pasif, tidak mahu berbincang dengan rakan yang lain.
Jadual 3.1 Tahap Kekangan Aplikasi PK Mengikut Pembolehubah Kajian
Pembolehubah Kajan
Kekangan sikap pelajar
Kekangan pengurusan
Kekangan masa
Kekangan bahan rujukan
Kekangan pengetahuan
Kekangan pengalaman
Purata Keseluruhan

Min Purata

Tahap Min

3.83
3.69
3.68
3.52
3.34
3.28
3.56

Tinggi
Tinggi
Tinggi
Sederhana
Sederhana
Sederhana
Sederhana

Sisihan
Piawai
0.82
0.88
0.89
0.98
1.16
0.97
0.95

Faktor pengurusan mengekang pada tahap kedua tertinggi dengan nilai purata min 3.69
dan sisihan piawai 0.88. Metode PK dilihat memerlukan guru membuat persediaan yang
terperinci, bilangan pelajar yang ramai yang tidak bersesuaian dengan saiz kelas, keperluan bahan
bantu mengajar yang banyak dan kemudahan sedia ada di sekolah pula tidak membantu dalam
pengaplikasian PK. Responden juga menghadapi masalah dengan metode penilaian pelajar
mengikut prinsip PK di mana penilaian harus dilakukan secara kumpulan dan bukannya secara
individu dan masalah untuk mengenal pasti tahap keaktifan pelajar di dalam kumpulan dan tahap
penguasan isi kandungan pelajaran oleh individu pelajar.
Dapatan kajian ini selari pendapat Ross dan Rolheiser (2003) yang menjelaskan PK
menyebabkan guru berhadapan dengan masalah membuat penilaian untuk membezakan di antara
pencapaian pelajar dengan pencapaian kumpulan. Ibu bapa inginkan penilaian berfokus kepada
anak mereka, manakala guru berkewajipan mengenal pasti pencapaian pelajar dan bukannya
pencapaian secara kumpulan. PK juga memerlukan guru dan pelajar berkongsi penilaian melalui
prosedur penilaian rakan sebaya. Strategi ini membuka ruang kepada bias sehingga menyukarkan
guru mempertahankan nilai-nilai yang mereka berikan. Ini menunjukkan metode PK lebih
menekankan kepada kemahiran sosial, dan mengabaikan pengukuran kognitif.
Faktor kekangan ketiga dengan purata min berada pada tahap tinggi, di mana nilai purata
min 3.68 dan sisihan piawai 0.89 adalah kekangan masa. Kekangan utama dalam pembleh ubah
ini adalah beban kerja pengurusan murid yang banyak diikuti dengan kekangan keperluan masa
yang panjang untuk membuat persiapan dan mengaplikasi PK menggunakan peruntukan masa
mengikut jadual waktu yang telah ditetapkan (sukar dianjalkan). Kekangan masa untuk
mengaplikasikan metode PK pernah dikemukakan dalam kajian Azizi, Ahmad dan Shahzalina
(2007) yang mendapati guru-guru menghadapi kekangan masa kerana mereka perlu menjalankan
kerja-kerja perkeranian dan kerja-kerja bukan akademik seperti menyediakan rekod kesihatan,
rekod peribadi, rekod kehadiran, keselamatan, data dan maklumat, aduan pelanggan, sukan dan
permainan serta lain-lain kegiatan kokurikulum. Ezhar (1999) mengakui metode PK memerlukan
masa yang lebih panjang bagi membolehkan ahli-ahli kumpulan membuat analisa sebelum
membuat keputusan untuk menyelesaikan sesuatu masalah diberi. Manakala Ismail (2009), juga
bersetuju bahawa metode PK memerlukan masa yang panjang untuk pelajar berbincang dan
menjalankan aktiviti berkumpulan. Kekangan ini menyebabkan guru gagal merancang
pembentukan kumpulan, menyediakan alat bantu mengajar yang secukupnya, menyelia dan
membimbing persediaan pelajar.
Dapatan kajian ini menunjukkan kekangan bahan rujukan berada di tahap yang sederhana
dengan nilai min purata 3.52 dan sisihan piawai 0.98. Kekangan bahan rujukan dalam kajian ini
merujuk kepada kesukaran responden mendapatkan bahan-bahan bercetak sama ada dalam bentuk
buku, rencana dan kepakaran untuk mendapatkan penjelasan dan panduan dalam pengaplikasian

metode PK. Dalam kajian ini responden mengakui kesukaran mereka untuk mendapatkan bahan
rujukan sama ada dalam bentuk bahan bercetak, mahupun kepakaran individu.
Kekangan pengetahuan responden untuk pengaplikasian metode PK dalam bilik darjah
berada di tahap yang sederhana, dengan nilai purata min 3.34 dan sisihan piawai 1.16. Kekangan
pengetahuan dalam kajian ini termasuklah ketiadaan guru atau peagwai yang dilantik sebagai JU,
tiada kursus atau latihan, kekurangan pengetahuan mengenai PK dari aspek konsep, prinsip,
proses dan teori, tidak menjadikan PK sebagai satu amalan dalam pengajaran dan pembelajaran,
dan tidak pernah mendapat latihan secara formal.
Untuk mengaplikasikan metode PK, guru-guru terlebih dahulu perlu mengetahui konsep
dan prinsip metode PK. Menurut Suhaida (2006) PK berkonsepkan strategi pembelajaran
berkumpulan di mana di dalamnya pelajar berinteraksi sesama mereka dan saling bantumembantu di dalam proses pembelajaran. Mok (2009), pula mendapati prinsip PK terdiri daripada
mempunyai semangat kesalingbergantungan yang positif; kemahiran sosial dan komunikasi yang
berkesan, kesedaran akauntabiliti individu; dan penilaian secara kumpulan.
Gillies (2003) berpendapat, guru-guru perlu diberi latihan secukupnya untuk
mengaplikasikan PK, perlu memahami konsep dan proses perlaksanaan metode PK di dalam
kelas. Guru yang terlatih dalam PK lebih bersiap sedia untuk mengaplikasi PK, berkemampuan
memberi latihan untuk pelajar-pelajarnya dan hasil pembelajaran lebih berkesan. Menurutnya,
kanak-kanak dalam kumpulan yang terlatih lebih mampu bekerjasama, memberikan lebih bantuan
kepada satu sama lain dan hasil pembelajaran yang diperolehi lebih tinggi daripada anak-anak
yang belajar dalam kumpulan yang tidak terlatih. Oleh itu pelajar memerlukan latihan
interpersonal dan kumpulan kecil untuk memudahkan kerjasama dan saling membantu, sementara
guru perlu dilatih untuk melaksana dan menguruskan kumpulan-kumpulan kecil.
Faktor kekangan pengalaman dalam aplikasi PK dalam bilik darjah bagi kajian ini berada
di tahap sederhana dengan nilai purata min 3.28 dan sisihan piawai 0.97. Kekangan pengalaman
termasuklah kurang pengalaman dalam pengaplikasian metode PK. Ini bermakna responden tidak
pernah mengalami, merasai atau menempuh proses PK atau kerana rakan sejawat untuk dijadikan
sumber rujukan juga berhadapan dengan kekangan yang sama. Ini bermakna pengembangan ilmu
berhubung dengan metode PK tidak berlaku di sekolah bagi membantu mempertingkatkan
pengaplikasiannya di dalam kelas.
Dapatan pengujian hipotesis bagi kajian ini menunjukkan tidak terdapat perbezaan
yang signifikan di antara jantina responden dengan tahap aplikasi PK (Jadual 3.2), terdapat
perbezaan yang signifikan di antara jantina responden dengan pengetahuan konsep aplikasi PK
dan tidak terdapat perbezaan yang signifikan di antara jantina responden dengan pengalaman
aplikasi PK.
H01 : Tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara jantina responden dengan
tahap aplikasi PK.
Jadual 3.2: Keputusan Ujian t Perbezaan Di Antara Jantina Dengan Tahap Aplikasi PK
Bil

Min

Sisihan Piawai

Df

Sig (k)

Lelaki

67

3.16

0.8456

200

0.7830

0.4350

Perempuan

135

3.27

0.8911

Berdasarkan Jadual 3.2, nilai t adalah bersamaan dengan 0.7830. Darjah kebebasan (df)
adalah hasil daripada N1 + N2 2, iaitu 67 + 135 2 = 200. Nilai Sig. di dalam jadual ini
digunakan untuk menentukan kesignifikannya statistik t. Nilai ini bersamaan dengan 0.435 dan ia
lebih besar daripada nilai 0.05. Nilai t (200) = 0.783, k > 0.05 menunjukkan bahawa tidak
terdapat perbezaan yang signifikan di antara jantina responden dengan aplikasi PK. Keadaan ini
bermakna, hipotesis yang telah dibina ini diterima.
H01 : Tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara jantina responden dengan
tahap pengetahuan konsep PK.

Jadual 3.3: Keputusan Ujian t Perbezaan di Antara Jantina Dengan Pengetahuan Konsep Aplikasi
PK
Bil

Min

Sisihan Piawai

Df

Sig (k)

Lelaki

67

3.61

0.7579

200

3.0070

0.0030

Perempuan

135

3.21

0.9627

Berdasarkan Jadual 3.3, nilai t adalah 3.007. Darjah kebebasan (df) adalah hasil daripada
N1 + N2 2, iaitu 67 + 135 2 = 200. Nilai Sig. di dalam jadual ini digunakan untuk menentukan
kesignifikannya statistik t. Nilai ini bersamaan dengan 3.0070 dan ia lebih besar daripada nilai
0.05. Nilai t (200) = 3.0070, k < 0.05 menunjukkan bahawa terdapat perbezaan yang signifikan
antara jantina dengan pengetahuan konsep aplikasi PK. Keadaan ini bermakna, hipotesis yang
telah dibina ini ditolak.
H02 : Tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara jantina responden dengan
pengalaman aplikasi PK.
Jadual 3.4 : Keputuasn Ujian t Perbezaan Di Antara Jantina Dengan Pengalaman Aplikasi PK
Bil

Min

Sisihan Piawai

Df

Sig (k)

Lelaki

67

3.522

0.8766

200

2.3660

0.1900

Perempuan

135

3.200

0.9288

Berdasarkan Jadual 3.4, nilai t adalah 2.3660. Darjah kebebasan (df) adalah hasil daripada
N1 + N2 2, iaitu 67 + 135 2 = 200. Nilai Sig. di dalam jadual ini digunakan untuk menentukan
kesignifikan statistik t. Nilai ini bersamaan dengan 0.19 dan ia lebih besar daripada nilai 0.05.
Keputusan menunjukkan t (200) = 2.3660, k > 0.05 adalah tidak terdapat perbezaan yang
signifikan di antara jantina dengan pengalaman aplikasi PK. Keadaan ini bermakna, hipotesis
yang telah dibina ini diterima.
4.0

KESIMPULAN
Dapatan kajian ini menunjukkan pengetahuan dan pengalaman guru, bahan rujukan,
masa, sikap pelajar, dan pengurusan mempengaruhi kekangan aplikasi PK dalam bilik darjah oleh
guru-guru sekolah rendah Zon Nusa Jaya, Johor Bahru. Dapatan kajian juga menunjukkan faktor
kekangan yang tinggi adalah sikap pelajar, pengurusan dan masa manakala kekangan pada tahap
sederhana adalah bahan rujukan, pengetahuan dan pengalaman guru. Dapatan kajian juga
menunjukkan bahawa tidak terdapat perbezaan yang signifikan di antara jantina guru dengan
tahap aplikasi, tidak terdapat perbezaan yang signifikan di antara jantina guru dengan
pengetahuan konsep PK dan terdapat perbezaan yang signifikan di antara jantina guru dengan
pengalaman aplikasi PK.
5.0

CADANGAN
Cadangan di bawah adalah berdasarkan sub pemboleh ubah di dalam item yang mendapat nilai
min yang tinggi dalam menjadi kekangan aplikasi PK dalam bilik darjah:
a) Para pelajar perlu dilatih dan dibiasakan dengan bekerja di dalam kumpulan agar manfaat dari
belajar secara kumpulan boleh diperolehi dan memberi komitmen yang sewajarnya semasa PK
diaplikasikan.
b) Pengurusan sekolah harus peka dengan keperluan kepelbagaian metode pengajaran dan
pembelajaran seperti saiz kelas, bilangan pelajar dalam sesebuah kelas, peralatan dan
penggunaan jadual waktu anjal bagi memberi galakan kepada guru-guru untuk
mengaplikasikan metode pengajaran dan pembelajaran dengan lebih berkesan.
c) Ibu bapa perlu diberi pendedahan akan kepentingan dan kelebihan belajar secara berkumpulan
bagi mengurangkan kebimbangan mereka terhadap pencapaian anak-anak mereka.

d) Keperluan masa yang panjang untuk aplikasi PK boleh dipenuhi dengan membina jadual yang
mudah anjal. Beban tugas guru pula perlu dikaji semula bagi memastikan tugas utama guru
dalam akademik tidak terjejas.
e) Bahan bacaan atau rujukan hendaklah diperbanyakkan. Usaha ini termasuklah menterjemah
bahan bacaan dan rujukan dari luar negara untuk dijadikan sebahagian dari bahan bacaan di
pusat sumber sekolah.
f) Guru-guru, khasnya dari sekolah-sekolah rendah perlu diberi pendedahan tentang konsep PK
dengan menganjurkan kursus atau bengkel. Mdereka hendaklah dilantik agar guru-guru
mempunyai pegawai-pegawai rujukan yang boleh memberi perkhidmatan dari masa ke
semasa. Perlantikan ini juga boleh membantu meningkatkan kumpulan bahan bacaan dan
rujukan PK untuk bacaan dan rujukan guru-guru. Guru-guru juga harus didedahkan dengan
hasil-hasil penemuan kajian yang pernah dilakukan oleh para sarjana sama ada dari dalam
negara mahupun luar negara.
RUJUKAN
Azizi Yahaya, Sihes, Ahmad Johari, Ghazali, Shahzalina (2007). Amalan Pembelajaran Koperatif
di Kalangan Guru-Guru Mata Pelajaran Teknik Dan Vokasional Di Tiga buah Sekolah Teknik di
Selangor. Proceeding International Conference on Teaching and Teacher Education (UIAM).
Battistich V. dan Watson M. (2003). Fostering Social Development In Preschool And The Early
Elementary Grades Through Co-Operative Classroom Activities. Dalam Gillies R. M. dan
Ashman A. F. (eds). Co-operative Learning. USA: Routledgefalmer.
Ee, Ah Meng (2005). Ilmu Pendidikan, Pengetahuan dan Ketrampilan Ikhtisas (Semester 1).
Selangor: Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd.
Effandi Zakaria (2005). Asas Pembelajaran Koperatif Dalam Matematik. Shah Alam: Karisma
Publications Sdn Bhd.
Ezhar Tamam (1999). Menjayakan Komunikasi Kumpulan Kecil. Serdang: Universiti Putra
Malaysia.
Gillies R. M. dan Ashman A. F., eds (2003). Co-operatif Learning - The social and intellectual
outcomes of learning in groups. USA: Routledgefalmer.
Ismail Said (2009). Kaedah Pemelajaran koperatif Sekolah Rendah. Shah Alam: Karisma
Publications Sdn Bhd.
John A.Ross dan Carol Rolheiser (2003). Student Assessment Practices in Co-operative Learning.
Dalam Gillies R. M. dan Ashman A. F. ed. Co-operative Learning. USA: Routledgefalmer.
Johnson D. W. dan Johnson R. T. (2003). Student motivation on co-operative groups Social
interdependence theory. Dalam Gillies R. M. dan Ashman A. F. ed. Co-operative Learning. USA:
Routledgefalmer
Kohn A. (2004). The Schools Our Children Deserve. New York: Houghton Mifflin Company.
Mok, Soon Sang (2004). Peperiksaan P.T.K. (Kertas 701/15) Bahagian II : Kompetensi
Fungsi/Khusus. Selangor: Kumpulan Budiman Sdn Bhd.
Mok, Soon Sang (2009) Psikologi Pendidikan Dan Pedagogi Murid Dan Alam Belajar. Perak:
Multimedia ES Resources Sdn Bhd.
Sarimah Ismail dan Muhaimain Tabrani (2011). Kertas Minit Perbincangan Kumpulan fokus
(PKF) : Kekangan Aplikasi Pengajaran Koperatif Di Sekolah Rendah Zon Nusa Jaya, Johor
Bahru. Tidak diterbitkan.
Muhaimin Tabrani (2008). Persepsi Guru-Guru Terhadap Pelaksanaan Pengajaran Dan
Pembelajaran Sains Dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris Di Tujuh Buah Sekolah Rendah Di
Mukim Tanjung Kupang. Universiti Teknologi Malaysia, Skudai: Projek Sarjana Muda. Tidak
diterbitkan.
Norziha Megat Mohd Sainuddin, Norihan Abu Hassan, Syed Ardi Syed Yahya Kamal (2006).
Kajian Kes Penggunaan Pembelajaran Koperatif dan Kemahiran Generik Terhadap Pencapaian
Mata Pelajaran Logik Digital. Kuala Lumpur: Kolej Sains dan Teknologi, Universiti
Teknologi Malaysia. Tidak diterbitkan
Ramachandran a/l Vengrasalam dan Azni bin Jaffar (2005). Persepsi Guru pelatih Tentang
Keberkesanan Pelaksanaan Sukatan Pelajaran Kemahiran Hidup Kursus Perguruan Lepas

Ijazah (KPLI) Dalam Membantu Mereka Menjalani Program Praktikum Satu Tinjauan Dari
Aspek Pedagogi. Johor: Kertas Seminar Maktab Perguruan Batu Pahat.
Silberman M. (2004). Active Learning: 101 Strategies to Teach Any Subject. Massachusetts:
Allyn & Bacon, Simon & Schuster Company.
Slavin R. E. (1995). Cooperative Learning Theory, Research and Practice. USA: Allyn and
Bacon.
Suhaida Abdul Kadir (2002), Perbandingan Pembelajaran Koperatif Dan Tradisional Terhadap
Prestasi, Atribusi Pencapaian, Konsep Kendiri, Akademik Dan Hubungan Sosial Dalam
Pendidikan Perakaunan. Universiti Sains Malaysia; Tesis Sarjana Muda.
Suhaida Abdul Kadir, Zaidatul Akmaliah Lope Pihie, Noran Fauziah Yaakub, Habibah Elias, dan
Rohani Ahmad Tarmizi, (2006). Kesan Strategi Pembelajaran Koperatif Terhadap Prestasi
Pelajar dalam Pendidikan Perakaunan, Jurnal Pendidikan, 26. pp. 37-61. ISSN 01265261
Universiti Malaya

You might also like