You are on page 1of 7

DP.

Jilid 11, Bil 1/2011

Pendidikan Bahasa & Kesusasteraan

Pembinaan Negara Bangsa Dan Identiti Kebangsaan Melalui Pemerkasaan


Bahasa Dalam Sistem Persekolahan
Yusfarina Mohd Yussof
Abdul Rasid Jamian
Pendahuluan
Pembinaan negara bangsa telah digariskan sebagai Teras Pertama dalam Pelan Induk
Pembangunan Pendidikan (PIPP), pelan induk komprehensif yang menjadi garis
panduan dalam melaksanakan program pendidikan. Pembinaan negara bangsa dikenal
pasti sebagai matlamat utama kerana penduduk Malaysia terdiri daripada pelbagai
bangsa dan agama.
Menurut Mok Soon Sang (2009), membina negara bangsa ialah usaha untuk melahirkan
warganegara yang berciri global, patriotik melalui perancangan dan pelaksanaan aktiviti
kokurikulum dan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP). Selain itu ia
juga merujuk usaha untuk memupuk kecintaan terhadap seni, warisan dan budaya serta
yang paling utama ialah memperkasakan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu melalui
kurikulum dan mempergiatkan usaha penganjuran aktiviti berbentuk kebahasaan.
Konsep negara bangsa ditakrifkan oleh Tun Mahathir Mohamad sebagai ..usaha
membentuk sebuah negara yang bersatu padu serta menyanjung masa hadapan yang
dikongsi bersama. Bangsa itu mestilah sejahtera, berintegrasi wilayah-wilayah dan
kelompok-kelompoknya, menikmati kehidupan bersama yang sepenuhnya berasaskan
persamaan hak dan keadilan serta membentuk sebuah Bangsa Malaysia dengan rasa
taat setia dan pengabdian yang tidak berbelah bagi terhadap bangsa tersebut(PIPP,
2006-2010)
Konsep Negara Bangsa
Konsep negara bangsa yang ingin dizahirkan ialah Malaysia sebagai sebuah negara
yang berdaulat dan rakyatnya mempunyai satu identititi atau pengenalan yang sama,
mempunyai pegangan sosiobudaya yang sama dan hidup aman serta bersatu padu. Konsep
ini tidak membataskan ras, suku kaum, agama ataupun kepercayaan. Garis panduan yang
dimuatkan dalam PIPP (2006-2010), menjelaskan bahawa usaha membentuk negara
bangsa ini didasari beberapa faktor pemangkin iaitu:
a) Lingua Franca yang merujuk satu bahasa yang dikongsi bersama oleh semua rakyat
dalam perhubungan rasmi dan tidak rasmi. Dalam konteks ini bahasa Melayu dipilih
sebagai lingua franca kerana faktor sejarah. Menurut A. Aziz Deraman (2009), dari
segi sejarah, perkembangan dan kewibawaan bahasa Melayu terlalu layak dan terbukti
untuk menjadi wahana perpaduan dan bahasa penyatuan bangsa. Peranannya tidak terhad
menjadi bahasa perhubungan utama masyarakat malah merangkap alat perpaduan, selain
mendukung peranan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.
b) Integrasi yang ditakrifkan sebagai proses untuk mewujudkan satu identiti kebangsaan
10

DP. Jilid 11, Bil 1/2011

Pendidikan Bahasa & Kesusasteraan

antara kumpulan masyarakat dari segi sosial, wilayah, ekonomi, kebudayaan, pendidikan
dan politik.
c) Kewarganegaraan, iaitu semangat bersatu padu dan rasa kesepunyaan yang dikongsi
dari segi budaya, pendidikan, bahasa, ekonomi dan politik yang dapat menyatupadukan
rakyat. Ia memberikan identiti kepada rakyat dalam sesebuah negara.
d) Patriotisme iaitu perasaan cinta yang mendalam kepada tanah air, terhasil daripada
kesedaran tentang kewarganegaraan dan perasaan taat setia yang tinggi. Rakyat yang
mempunyai patriotisme yang tinggi sanggup berkorban nyawa untuk tanah air. Bangsa
yang mempunyai patriotisme ialah bangsa yang kuat, berani, mempunyai ketahanan
mental, emosi serta fizikal dalam menghadapi sebarang cabaran mendatang. Ciri ini
dapat mewujudkan ketahanan nasional.
e) Demokrasi iaitu hak yang diberikan kepada semua warganegara untuk menentukan
pemerintah dan hak melibatkan diri dalam pemerintahan negara . Ia juga alat untuk
memantapkan sesuatu pentadbiran. Rakyat yang mempunyai kefahaman dan penghayatan
yang mendalam terhadap demokrasi akan dapat membentuk negara bangsa yang kuat.
Dalam memastikan kejayaan membina sesebuah negara bangsa, faktor-faktor pemangkin
di atas, perlu disemai dan ditanamkan dalam diri setiap individu sejak kecil lagi. Ibarat
peribahasa melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Nilai-nilai kewarganegaraan,
nilai-nilai murni dan keagamaan yang diterapkan dari peringkat persekolahan dapat
menyumbang kepada pembentukan generasi warganegara yang patuh dan mempunyai
patriotisme yang tinggi.
Melalui pendidikan juga, norma dan budaya masyarakat akan diterapkan secara tidak
langsung. Institusi pendidikan mempunyai peranan penting dalam perkembangan
seseorang individu terutamanya dalam konteks negara berbilang kaum seperti Malaysia.
Cabaran yang perlu diatasi oleh institusi pendidikan ialah untuk menyatukan kesemua
kaum sehingga dapat membentuk satu bangsa iaitu bangsa Malaysia. Bangsa Malaysia
yang dimaksudkan perlulah mempunyai identiti yang sama, mengamalkan nilai-nilai
baik, budaya yang sepunya dan hidup secara aman dan harmonis. Bangsa Malaysia yang
ingin dizahirkan itu mestilah juga mempunyai keyakinan dan jati diri kebangsaan yang
tinggi , serta berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai moral.
Jati diri dapat ditakrifkan sebagai latar belakang, perasaan, rasa, kemahuan dan
pandangan seseorang individu. Ia menunjukkan asal kita dan melibatkan kaitan antara
diri kita melalui interaksi kita dengan orang lain. Jati diri mendukung konsep milik
terhadap budaya masing-masing etnik yang dibentuk berdasarkan norma budaya etnik
tersebut (Che Ibrahim Saleh dan Arbak Othman, 2010). Dalam konteks pembinaan negara
bangsa, jati diri yang ingin dibentuk ialah jati diri kebangsaan sebagai hasil cantuman
jati diri pelbagai kaum dan etnik. Pembentukan jati diri dalam kalangan murid sekolah
cuba dicapai melalui kurikulum, program kokurikulum, aktiviti sukan dan RIMUP yang
dapat menyatukan semua murid. Jati diri kebangsaan yang cuba diwujudkan dalam
kalangan murid pelbagai kaum itu dijangka dapat melahirkan generasi hadapan yang
akan berkembang menjadi sebuah negara bangsa yang kuat.
11

DP. Jilid 11, Bil 1/2011

Pendidikan Bahasa & Kesusasteraan

Dalam merealisasikan hasrat pembentukan negara bangsa, institusi pendidikan hari ini
turut berdepan dengan cabaran dunia pendidikan yang semakin gawat sebagai akibat
globalisasi dunia. Globalisasi dunia yang dicirikan oleh pengaliran maklumat, modal,
nilai, budaya dan kepercayaan tanpa sempadan, menuntut negara berbilang kaum seperti
Malaysia mewujudkan sebuah negara bangsa. Ciri globalisasi itu sendiri memberikan
pendedahan dan akses yang mudah kepada pelbagai perkara. Justeru, fokus diberi terhadap
penghasilan individu murid yang mempunyai identiti kebangsaan dan berpegang kuat
kepada nilai-nilai dan tradisi nasional.
Institusi pendidikan seharusnya dapat melahirkan warganegara yang mampu berdepan
dengan cabaran globalisasi. Warganegara yang dimaksudkan dalam konteks ini ialah
warganegara yang menyerap segala ciri global tetapi masih berpegang pada ciri-ciri lokal
iaitu warganegara glokal. Warganegara glokal ditakrifkan sebagai:
Seorang yang bertunjangkan nasional tetapi mempunyai
minda bertaraf antarabangsa. Diri berpijak di desa dan
kota, tetapi akal harus mampu menerjah ke seluruh dunia.
Warga glokal berpegang utuh pada budaya Malaysia dan
ajaran agama yang suci. (Dato Seri Mohd. Najib Tun
Abdul Razak, Perhimpunan Agung UMNO, 2005 dalam
Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, 2006-2010).
Generasi murid yang ingin dizahirkan oleh sistem pendidikan ini ialah generasi yang
mempunyai kesedaran yang tinggi tentang asal usul diri dan sentiasa bertindak secara
lokal untuk kepentingan negara dengan menjadikan nilai dan budaya Malaysia sebagai
pegangan utama.
Konsep negara bangsa yang bakal dibentuk menyaksikan rakyat yang berbilang kaum dan
agama berkongsi identiti, lambang, kebudayaan, nilai dan semangat yang menjadi ciri
dan hasrat pada negara bangsa tersebut. Dalam menjamin pembentukan negara bangsa
yang ideal, nilai-nilai integrasi dan perpaduan haruslah disemai dari peringkat sekolah
lagi. Hasrat membina negara bangsa ini dapat direalisasikan salah satunya melalui bahasa
kebangsaan yang menjadi bahasa pengantar, bahasa ilmu, alat perhubungan utama
sekaligus alat perpaduan. Bagi mencapai hasrat ini, peranan yang lebih dominan perlu
diberikan kepada bahasa Melayu. Sehubungan itu juga, usaha pemerkasaan bahasa Melayu
iaitu usaha mengangkat dan mengetengahkan peranan bahasa Melayu perlu dilaksanakan
dengan lebih giat.
Hashim Musa (2009), menegaskan fungsi bahasa tidak terhad setakat menjadi alat
perhubungan semata-mata malah peranan bahasa amat besar dan dapat membentuk jati
diri, semangat kekitaan (espirit de corps), perpaduan dan menjadi asas pembentukan
tamadun. Bahasa juga melambangkan maruah masyarakat penuturnya. Masyarakat
yang dianggap maju dari segi peradaban, iaitu mempunyai sistem politik, pemerintahan,
ekonomi, pentadbiran, perundangan, pertahanan, pendidikan, ilmu, sains dan teknologi
dan komunikasi yang canggih kebiasaannya mempunyai bahasa dan persuratan yang
tinggi dan canggih. Jelas, bahasa dapat menjadi teras pada perkembangan dan kemajuan
yang telah dicapai, di samping menjadi asas pada perpaduan dan proses pembinaan negara
12

DP. Jilid 11, Bil 1/2011

Pendidikan Bahasa & Kesusasteraan

bangsa dalam negara berbilang kaum seperti Malaysia.


Memperkasakan bahasa Melayu bermaksud menjadikan bahasa itu hebat dan dominan.
Pemerkasaan sesuatu bahasa itu juga bermaksud memberikan peranan kepada bahasa
berkenaan (bahasa Melayu), untuk digunakan dalam semua bidang dan semua peringkat,
daripada yang paling rendah ke peringkat yang paling tinggi, daripada komunikasi
sosial kepada komunikasi formal dalam bidang-bidang seperti pentadbiran, perniagaan,
undang-undang dan bidang-bidang profesional yang lain. Bahasa juga digunakan dalam
perbahasan intelektual. Bahasa yang diperkasakan ialah bahasa yang akan digunakan
secara kreatif, dapat menggambarkan pelbagai jenis emosi, cita rasa, keinginan, cita-cita,
sifat dan perilaku manusia dengan sedalam-dalam dan sehalus-halusnya seperti yang
digambarkan dalam karya kesusasteraan peringkat tinggi.
Pemerkasaan Bahasa Melayu dalam konteks perbincangan ini merujuk usaha penggunaan
bahasa Melayu sepenuhnya dalam sistem persekolahan sama ada sebagai bahasa
pengantar, bahasa ilmu, bahasa perhubungan dan perpaduan dalam usaha mencapai
matlamat pembinaan negara bangsa dan pembentukan identiti kebangsaan. Usaha
menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan bahasa yang dapat memupuk
integrasi nasional, bukanlah sesuatu yang baharu, malah ia juga telah bermula sejak
negara mula merdeka lagi. Usaha ini juga selaras dengan pengisytiharan Bahasa Melayu
sebagai bahasa rasmi negara yang telah dimaktubkan dalam Fasal 152 (1) Perlembagaan
Persekutuan Malaysia .
Awang Sariyan (2009) menerangkan konsep bahasa kebangsaan dalam Perlembagaan
Persekutuan dengan jelas merujuk bahasa perpaduan iaitu bahasa yang menjadi asas jati
diri, asas kenegaraan dan kebangsaan bagi rakyat pelbagai keturunan dan berbilang kaum.
Seluruh rakyat wajib menghormati bahasa kebangsaan , meletakkannya pada tempat yang
hak bukan sekadar lambang tetapi sebagai sesuatu yang perlu diutamakan.
Dalam sejarah pendidikan pula, Akta Pelajaran 1961 yang dirangka berasaskan Penyata
Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960 sejak dulu telah menekankan penggunaan
bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan. Penyata Razak yang digubal pada
tahun 1956 mempunyai objektif membentuk perpaduan melalui satu sistem pelajaran
dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar, disusuli dengan
akta-akta pendidikan lain yang kesemuanya menekankan penggunaan bahasa Melayu
sebagai bahasa pengantar dan bahasa yang dapat memupuk perpaduan. Bahasa Melayu
turut dijadikan mata pelajaran yang wajib dipelajari. Akta Pendidikan 1996 seterusnya
menegaskan kepentingan bahasa kebangsaan dengan memperuntukkan penggunaannya
sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem persekolahan ( Mok Soon Sang, 2009 )
Peranan dan wibawa bahasa Melayu telah mula menonjol sejak negara mula merdeka
tetapi usaha pemerkasaan bahasa kebangsaan kini lebih kepada usaha memperkukuh
peranan bahasa Melayu sebagai alat penyatuan dan perpaduan, sebagai bahasa rasmi dan
persuratan tinggi dan seterusnya sebagai bahasa yang mampu mengungkap pelbagai bidang
ilmu. Usaha ini penting agar bahasa Melayu mampu mendukung dan menjalankan fungsi
yang seharusnya ada pada sesuatu bahasa iaitu fungsi penyatuan, fungsi pengasingan dan
fungsi prestij (yang dapat menimbulkan kebanggaan kepada masyarakat penuturnya).
13

DP. Jilid 11, Bil 1/2011

Pendidikan Bahasa & Kesusasteraan

Usaha ke arah pemerkasaan bahasa Melayu ini disokong oleh institusi yang membantu
memperkembangkan bahasa kebangsaan iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka ( DBP ).
Perkara ini disebut dalam Seksyen 5, Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1959 (Disemak
1978), [Akta 213] . Ia turut diperluas melalui Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (Pindaan
dan Perluasan) 1995, [Akta A 930]( PIPP, 2006-2010 ). Tugas DBP secara khusus
ialah membina dan memperkaya bahasa kebangsaan, memperkembangkan bakat
sastera dalam masyarakat, mencetak dan menerbitkan bahan bacaan dalam bahasa
kebangsaan, seterusnya menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul. DBP
telah melaksanakan pelbagai langkah untuk mensasarkan matlamat yang ditetapkan.
Matlamat utamanya ialah mengembalikan maruah dan wibawa bahasa Melayu selaras
dengan statusnya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi seperti yang termaktub
dalam Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (
Masihtah Taharin, 2006 ).
Aktiviti yang dilaksanakan oleh DBP ini melibatkan pelbagai lapisan masyarakat.
Aktiviti yang melibatkan murid-murid sekolah memerlukan DBP bekerjasama dengan
Kementerian Pelajaran Malaysia ( KPM ) agar sebarang usaha yang dirangka selaras
dengan usaha yang telah digubal pihak kementerian. Sehubungan itu, sebuah jawatankuasa
iaitu Jawatankuasa Memperkasakan Bahasa Melayu turut dibentuk. Tugas jawatankuasa
ini antara lainnya, mencari kaedah, pendekatan, mekanisme penyelarasan dan program
terbaik dalam usaha memperkasakan bahasa. Contoh kerjasama KPM dengan DBP ialah
Seminar Memperkasakan Pengajaran dan Pembelajaran yang bertujuan mengenal pasti
cara menangani isu dalam proses pengajaran dan pembelajaran serta mencari kaedah yang
dapat menarik perhatian pelajar. Selain DBP, KPM turut bergabung dengan Kementerian
Kebudayaan , Kesenian dan Warisan ( KEKKWA ) dalam usahanya memartabatkan bahasa
Melayu. Contoh usahasama DBP,KPM dan KEKKWA ialah perayaan Bulan Bahasa dan
Sastera Kebangsaan (Hashnan Abdullah, 2006).

Selain penganjuran aktiviti kebahasaan , KPM turut membuat semakan
semula kurikulum bahasa Melayu sejak tahun 2003 dan kurikulum semakan ini telah
memasukkan elemen-elemen baru dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah
rendah dan sekolah menengah. Kurikulum baru ini mensasarkan murid dapat menguasai
kemahiran asas mendengar dan bertutur, membaca serta menulis dalam bahasa Melayu
yang baik. Pada peringkat sekolah menengah pula, murid akan dilatih berbahasa dengan
baik melalui bidang interpersonal, maklumat dan estetika. Nilai-nilai murni, patriotik dan
kewarganegaraan turut dimasukkan ke dalam sukatan. Proses pengajaran dan pembelajaran
lebih menekankan aktiviti perbincangan, pembacaan dan aktiviti memperkembangkan
imaginasi serta kreativiti murid melalui bahasa Melayu. Elemen sastera dimasukkan
ke dalam kurikulum bahasa Melayu supaya setiap murid menghargai dan menghayati
keindahan bahasa melalui karya sastera. Selain itu, usaha memperkasakan bahasa Melayu
di sekolah-sekolah turut dilihat melalui TV Pendidikan yang menyiarkan pelbagai aktiviti
berbahasa dan aktiviti yang mencungkil bakat seni murid seperti debat, pidato, berbalas
pantun, forum remaja, pertandingan menulis esei, cerpen, puisi atau khemah bahasa
(Mashitah Taharin,2006).
Usaha pemerkasaan bahasa Melayu di sekolah-sekolah, bukan sahaja melibatkan
semakan dan perubahan kurikulum, malah ia turut melibatkan aspek pelaksanaan kurikulum
14

DP. Jilid 11, Bil 1/2011

Pendidikan Bahasa & Kesusasteraan

tersebut serta penganjuran pelbagai aktiviti berkaitan. Kurikulum bahasa Melayu digubal
agar dapat merealisasikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan
perpaduan rakyat , sekaligus memenuhi hasrat membina integrasi nasional, membina rasa
bangga terhadap bahasa yang mencerminkan budaya dan pemikiran rakyat serta menjadi
pemangkin kepada semangat nasionalisme.
Rumusannya, agenda membina negara bangsa dan pembentukan identiti kebangsaan
sememangnya menjadi agenda utama dalam PIPP dan bagi merealisasi matlamat
pembinaan negara bangsa ini, usaha memperkasakan bahasa Melayu terutamanya di
sekolah-sekolah telah dikenal pasti sebagai strategi utama. Penubuhan Jawatankuasa
Induk Memperkasakan Bahasa Kebangsaan diharapkan dapat menjadi landasan dalam
usaha memperkasakan bahasa kebangsaan ke dalam sistem persekolahan dan menjadikan
usaha pemerkasaan ini lebih sistematik lagi. Namun demikian, agenda memperkasakan
bahasa di sekolah-sekolah ini bukanlah sekadar usaha DBP dan KPM semata-mata,
malah pelbagai lapisan masyarakat terutamanya warga sekolah haruslah komited bagi
memastikan pemerkasaan bahasa dapat dijayakan dalam sistem persekolahan dan
seterusnya Teras Pertama, PIPP dapat direalisasikan.
Rujukan
A. Aziz Deraman ( 2009 ), Bahasa Sebagai Wadah Perpaduan Bangsa, Dewan
Bahasa, Mac 2009.
Awang Sariyan ( 2009 ), Bahasa yang Mengikat Perpaduan, Dewan Bahasa,
Mac, 2009.
Che Ibrahim Salleh & Arbak Othman, Jati Diri Kebangsaan:Realiti dalam
Masyarakat Pelbagai Budaya di Malaysia,dalam Prosiding Seminar Antarabangsa
Psikolinguistik II, 8-9 Jun, Kota Kinabalu.
Hashim Musa ( 2009 ), Pemerkasaan Bahasa Melayu dalam Pembinaan Sahsiah dan
Jati Diri Negara Bangsa Malaysia dalam Prosiding Seminar Linguistik dan
Pembudayaan Bahasa Melayu Ke-V, 17-18 November 2009.
Hashnan Abdullah (2006, Mac 3), Perkasa Bahasa Melayu, Utusan Malaysia
Kementerian, Pelajaran Malaysia ( 2006 ), Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-
2010.
Mashitah Taharin ( 2006, Mac 20 ) Memperkasakan Bahasa Kebangsaan,
Berita Harian.
Mashitah Taharin ( 2006, April 17 ) Peranan Sekolah Dalam Pemerkasaan
Bahasa Kebangsaan, Berita Harian.

15

Pendidikan Bahasa & Kesusasteraan

DP. Jilid 11, Bil 1/2011

Mok Soon Sang ( 2009 ), Falsafah dan Pendidikan di Malaysia.Puchong:


Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.
Ratna Roshida Razak ( 2007, September 3 ), Tak Bermaruah Jika Pinggir Bahasa,
Berita Harian.

16

You might also like