You are on page 1of 3

Bilakah hutang negara liabiliti kepada ekonomi?

Mohd Yusof Saari


26 April 2016

SEJAK tahun 2009, paras hutang kerajaan persekutuan telah melangkaui paras yang melebihi
50 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Pada tahun 2015, paras hutang kerajaan persekutuan direkodkan sebanyak 54.3 peratus kepada
KDNK.

Walaupun paras hutang negara masih berada di bawah siling yang ditetapkan iaitu 55 peratus,
wujud kebimbangan di kalangan rakyat tentang tadbir urus fiskal negara.

Persoalannya di sini ialah adakah hutang negara yang tinggi baik untuk pertumbuhan ekonomi?
Biar saya jelaskan seperti berikut.

Kajian yang dilakukan oleh penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) mendapati
ekonomi cenderung bertumbuh lebih pantas jika kadar hutang kepada KDNK di bawah paras
41.9 peratus.

Pada paras di antara 42.0 peratus sehingga 54.7 peratus, ekonomi masih bertumbuh tetapi
dengan kadar yang lebih perlahan. Sebaliknya jika kadar hutang melebihi paras 54.7 peratus,
maka ia berpotensi memberi kesan negatif kepada pertumbuhan ekonomi.

Hubungan di antara paras hutang dan pertumbuhan ekonomi dipengaruhi oleh gelagat tadbir
urus hutang negara. Tidak menjadi kesulitan jika hutang negara melebihi tahap siling asalkan
hutang tersebut diuruskan secara efisyen dan produktif.

Kadar hutang menjadi liabiliti kepada sesebuah negara apabila hutang tersebut dibelanjakan
kepada aktiviti ekonomi yang tidak strategik dan seterusnya memberi kesan kepada
pertumbuhan KDNK.

Mengapa tadbir urus hutang negara sangat penting kepada rakyat? Hal ini kerana lebih daripada
90 peratus daripada hutang negara diperolehi daripada sumber dalaman. Jadi ia bermakna
secara tidak langsung hutang tersebut dibiayai oleh rakyat.

Kerajaan perlu memastikan setiap Ringgit yang dibelanjakan akan memberi manfaat
maksimum kepada rakyat. Jika disandarkan kepada konsep golden rule, kerajaan perlu
memastikan sebahagian besar atau keseluruhan hutang tersebut digunakan untuk membiayai
perbelanjaan pembangunan yang produktif.

Perlu diingatkan bahawa pengurangan cukai hari ini bermaksud peningkatan cukai di masa
hadapan. Perbelanjaan pembangunan yang produktif memberi pulangan di masa hadapan dan
seterusnya memberi manfaat kepada generasi berikutnya. Kita tidak mahu berlaku situasi di
mana generasi akan datang menyalahkan kita kerana tadbir urus fiskal yang lemah.

Sebagai penutup, berikut disarankan beberapa pendekatan yang boleh dipertimbangkan untuk
memastikan tadbir urus hutang yang efisyen dan produktif.

Pertama, perbelanjaan perlu disasarkan kepada sektor ekonomi yang mempunyai kesan
pengganda nilai ditambah yang tinggi. Penentuan kesan pengganda yang tinggi perlulah
bersandarkan kepada penelitian dan kajian tulen, dan tidak bergantung semata-mata kepada
saranan oleh perunding swasta.

Kedua, perbelanjaan perlu terarah kepada usaha untuk mempelbagaikan aktiviti ekonomi yang
berkompetitif. Hal ini sangat penting bagi memastikan negara tidak terkesan akibat daripada
kebergantungan tinggi kepada rantaian aktiviti ekonomi berasaskan sumber.

Ketiga, kerajaan juga perlu mempergiat aktiviti eksport yang mempunyai kandungan import
yang rendah. Pulangan daripada eksport boleh digunakan untuk membiayai kos pembangunan
negara.

Terakhir ialah ketelusan di dalam tadbir urus perbelanjaan negara. Setiap perbelanjaan yang
dibuat oleh kerajaan perlu kepada pertimbangan umum kerana rakyat secara tidak langsung
membiayai hutang negara.

* Dr Mohd Yusof Saari, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Putra Malaysia

Dipetik daripada Sinar Harian Online (http://www.sinarharian.com.my/)

You might also like