You are on page 1of 4

RAJA AHMAD THABIB

Doktor Kerajaan Riau


Oleh: WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

ULAMA dan tabib atau doktor perubatan yang diriwayatkan dalam artikel ini adalah cucu
daripada tokoh besar dalam sejarah Melayu. Dari sebelah ayah beliau adalah cucu Raja
Ali Haji, ahli bahasa dan sejarah yang cukup terkenal. Dari sebelah ibunya pula ialah
keturunan daripada Raja Abdullah atau al-Marhum Mursyid, Yang Dipertuan Muda RiauLingga ke IX. Ulama dan tabib yang dimaksudkan ialah Raja Ahmad Thabib bin Raja
Hasan bin Raja Ali Haji Riau. Ibunya Raja Maimunah adalah puteri Raja Abdullah atau
al-Marhum Mursyid. Berdasarkan tulisan Raja Muhammad Yunus Ahmad, dalam
Peringatan dinyatakan bahawa Raja Ahmad Thabib lahir tahun 1282 H/1865 M. Dari
sumber yang lain diriwayatkan beliau lahir di Pulau Penyengat Indera Sakti.
Berdasarkan sebuah buku catatan tulisan Raja Muhammad Sa'id bin Raja Jaafar dengan
lengkap bahawa adik beradik Raja Ahmad Thabib ada 12 orang. Mereka ialah: 1. Raja
Abdullah Hakim (seorang ulama besar, Hakim Kerajaan Riau-Lingga), 2. Raja Khalid
Haitami (ulama dan tokoh politik, meninggal dunia di Jepun sewaktu menjalankan urusan
rahsia/sulit demi memerdekakan seluruh dunia Melayu yang sedang dijajah), 3. Raja
Ahmad Thabib (yang sedang diriwayatkan dalam artikel ini), 4. Raja Manshur, 5. Raja
Mariyah, 6. Raja Qamariah, 7. Raja Umar (Mudir Mathba'ah Al-Ahmadiah yang
pertama), 8. Raja Ali Andi, 9. Raja 'Abdur Rasyid, 10. Raja Kaltsum, 11. Raja Rahah, dan
12. Raja 'Amimah
Sumber terawal tentang Raja Ahmad Thabib ditulis agak ringkas oleh Raja Muhammad
Yunus bin Raja Ahmad dalam Peringatan, No.1, th.1, Mei 1939, dicetak oleh AlAhmadiah Press, 101 Jalan Sultan, Singapura. Dalam tulisan tersebut terdapat gambar
Raja Ahmad Thabib ketika berusia 77 tahun. Di sini saya salin selengkapnya tanpa
perubahan bahasa, kecuali ejaan lama diganti dengan ejaan sekarang, adalah sebagai
berikut, "Yang Mulia Raja Haji Ahmad bin Raja Hasan, bekas Thabib Duli Yang Maha
Mulia Sultan Abdur Rahman al-Muazzam Syah, bekas Sultan Riau. Yang Mulia ini
diputerakan tahun 1282 H (1865 M, pen:). Dalam tahun 1299 H (1881 M, pen:)
berangkat ke Mekah. Setelah mengerjakan haji dan melawat seluruh Tanah Arab baharu
kembali ke Penyengat, iaitu dalam tahun 1300 H (1882 M, pen:).
''Dalam tahun 1301 H (1883 M, pen:) setelah Yang Mulia ini dapat akuan daripada tabib
yang masyhur di Penyengat mulai menjadi Thabib patikuler (maksudnya: swasta, pen:).
Dan dalam tahun 1319 H (1901 M, pen:) diangkat menjadi tabib kerajaan dan bagi Duli
Yang Mulia Sultan dengan besluit (maksudnya: pengesahan menjadi pegawai kerajaan)
bertarikh 25 Rabiulawal 1319 H, No. 6/8. Kemudian setelah terpecat Sultan Riau dari
tahta kerajaannya maka Yang Mulia dikurnia oleh Governement Holanda pensiun
(pencen, pen:) dimulai dari tahun 1911 M hingga sampai sekarang (maksudnya hingga
tahun 1939, sewaktu Raja Haji Muhammad Yunus Ahmad, riwayat dalam Peringatan,
pen:).
''Di Penyengat rupanya dahulu telah menjadi satu negeri yang mempunyai beberapa
orang tabib yang masyhur di antaranya banyak orang masih ingat akan kebijakan Thabib

Engku Haji Daud P", demikianlah tulisan Raja Haji Muhammad Yunus Ahmad dalam
Peringatan.
Daripada beberapa maklumat yang telah dikumpulkan, Raja Ahmad Thabib
menghasilkan beberapa buah karangan, di antaranya ialah: 1. Syair Nasihat Pengajaran
Untuk Memelihara Diri, 2. Syair Tuntutan Kelakuan, 3. Risalah Rumah Ubat Raja Haji
Ahmad Pulau Penyengat Riau.
Praktik penelitian langsung di lokasi yang saya lakukan di rumah Raja Abdullah Hakim
(adik beradik Raja Ahmad Thabib), di Pulau Penyengat, Riau, pada 2 Syaaban 1418 H/2
Disember 1997 M ternyata lebih banyak bahan untuk dibicarakan. Penelitian saya
lakukan bersama salah seorang waris tersebut bernama Tengku Fuad bin Tengku
Muhammad Yusuf dapat mengesan beberapa buah risalah ilmu perubatan yang
ditinggalkan oleh Raja Ahmad Thabib masih dalam bentuk manuskrip dan catatan
tersimpan dalam rumah saudaranya itu.
Sebenarnya jauh sebelum tarikh tersebut di atas, dalam tahun 1962 rumah tersebut
memang tempat saya berulang alik. Beberapa buah kitab dalam koleksi Raja Abdullah
Hakim tamat saya baca, namun ketika itu saya belum tahu membuat penilaian. Beberapa
perkara mengenai perubatan Raja Ahmad Thabib saya perkenalkan sebagai berikut:
Khasiat Dan Kaifiat Guna Ubat Tuan Brokdes Dan Tuan Setman Napal Negeri Holanda.
Walaupun karya ini disusun oleh Raja Sa'id bin al-Marhum Raja Ahmad, namun ia
merupakan dokumen yang terdapat dalam Rumah Ubat Raja Ahmad Thabib Riau. Hanya
ditemui berupa lembaran-lembaran, tetapi tarikh penulisan dapat dikesan ialah pada, 1
Muharam 1323 H bersamaan 7 Mac 1905 M sampai 29 Jamadilakhir 1336 H bersamaan
11 April 1918 M. Penulisan dilakukan di Penyengat Riau. Kandungan nama-nama ubat
dalam bahasa asing dan kegunaannya.
Beberapa lembar membicarakan perubatan selain yang tersebut di atas, dapat dipastikan
karangan Raja Ahmad Thabib, judul sebenar belum diketahui. Kandungannya
membicarakan tentang nadi. Manuskrip yang tidak lengkap tersebut dijumpai dalam kitab
Thaiyib al-Ihsan fi Thibb al-Insan karya Syeikh Ahmad al-Fathani. Dari sini dapat
dipastikan bahawa Raja Ahmad Thabib sempat belajar kitab Thaiyib al-Ihsan fi Thibb alInsan kepada Syeikh Ahmad al-Fathani kerana mulai kulit depan kitab tersebut hingga
akhir terdapat catatan-catatan tulisan tangan Raja Ahmad Thabib. Sebagaimana
manuskrip Raja Ahmad Thabib membicarakan nadi dan pemeriksaan penyakit melalui air
kencing, dalam karya Syeikh Ahmad al-Fathani juga terdapat bahasan mengenainya.
Untuk mengetahui sedikit pengetahuan perubatan tradisional, untuk kita bandingkan
dengan perubatan moden dan jalan bahasa klasik menurut gaya bahasa Melayu Riau,
kiranya baik juga saya transliterasikan di antara kandungannya, ialah: "Sebermula jika
orang laki-laki nadinya itu besar sebelah kanan, alamat sakit. Dan jika besar sebelah kiri,
alamat sihat. Dan jika perempuan besar nadinya itu pada tangan kiri, alamat sakit. Dan
jika besar tangan kanan, alamat sihat.
Tulisan Raja Ahmad Thabib selanjutnya, "Fasal Yang Pertama Pada Menyatakan Nadi

Yang Bernama Zahabi: Jika ditekan perlahan-lahan, maka keras pukulnya di atas, alamat
banyak angin panas dalam anggotanya.
Dan jika ditekan perlahan-lahan, maka ada pukulnya jatuh, barangkali terasa sedikitsedikit, alamatnya paru-parunya kembang, banyak sejuk.
Dan jika ditekan perlahan-lahan, maka tidak ia memukul di atas, maka ada ia memukul di
dalam sedikit-sedikit, alamat banyak balghamnya (balgham = lendir atau dahak, pen:)
bercampur angin dan ketul balghamnya itu.
Dan Fasal Yang Kedua Pada Menyatakan Nadi Yang Bernama Turabi: Jika ditekan
perlahan-lahan, maka ada pukulnya perlahan-lahan di atas, alamat ada angin sejuk, maka
menjadi lesu tubuhnya. Dan jika ditekan keras, maka pukulnya pun keras, alamat ada
angin panas pada tubuh.
Dan jika ditekan perlahan-lahan, maka pukulnya itu keras, alamat dalam perutnya terlalu
sangat panas.
Dan jika ditekan perlahan-lahan, maka tiada sekali-kali ia memukul...'' (naskhah rosak,
tidak dapat dibaca, pen:).
Ada pun pemeriksaan melalui air kencing Raja Ahmad Thabib menulis sebagai berikut,
"Fasal Yang Ketiga Pada Menyatakan Melihat Kepada Air Kencing: Bermula jika warna
air kencingnya itu kuning pertengahan alamat tabiatnya itu sederhana. Dan jika sangat
kuningnya, hampir kepada merah, alamat panas tubuhnya.
Dan jika warna itu sangat merahnya, alamat sakitnya itu di dalam dada, tetapi sejuk. Dan
jika warnanya merah bercampur kuning, alamat panas sekalian badan, dan angin, dan
demam, dan terkadang yang demikian itu lendir dan darah, maka bisa, serba salah. Tidur
pun tidak boleh. Jika tidak boleh, panas, kencing sakit, huap semuanya sampai ke hati.
Dan jika warnanya merah semua, lagi cair, alamat hangus segala badan, darah dan tulang
di dalam badan semuanya buruk. Dan tempat kencing sudah luka, ke sungai kecil sakit
dan terkadang keluar nanah, atau darah, atau keluar kura kuning-kuning. Dan tiada boleh
tidur dan bisa ari-ari. Dan jika warnanya merah atau pekat, alamat luka tempat kencing
dan demam siang malam, dan kurus badannya. Tiada boleh tidur, dan hatinya rosak. Lagi
tabiatnya ketakutan sentiasa seperti gila. Dan batuk selama-lamanya kemudian keluar
darah ... "
Di antara jenis ubat yang dicipta oleh Raja Ahmad Thabib yang paling mujarab dan pada
satu ketika dulu pernah terkenal di Riau, Singapura dan Johor terutama dalam lingkungan
masyarakat Melayu ialah dinamakan Syarbat Zanjabil. Syarbat Zanjabil ialah sejenis ubat
berupa cairan yang dibuat daripada bahan rempah-rempah, berbau agak harum dan dijual
dalam botol. Ubat tersebut telah banyak bukti boleh menyembuhkan pelbagai penyakit
dalaman seumpama sakit jantung, sakit tulang, sakit kuning dan lain-lain. Selain Syarbat
Zanjabil dalam koleksi Raja Ahmad Thabib juga dikenali dua jenis minyak yang
dipusakai turun temurun oleh keluarga tersebut, kedua-dua minyak itu ialah Minyak

Mengkasar dan Minyak Bau. Kedua-dua jenis minyak tersebut berfungsi untuk jenis sakit
luar, seumpama kembung perut, disengat binatang berbisa, bahkan kedua-duanya juga
berfungsi untuk ubat kerasukan, kekejangan dan lain-lain.
Ada lagi satu kepakaran Raja Ahmad Thabib yang mungkin tidak dialami oleh pakar
perubatan moden sekarang ini, kerana pada satu peristiwa Raja Ahmad Thabib pernah
membedah pesakit hanya dengan sembilu (buluh yang ditajamkan seperti pisau).
Peristiwa tersebut ketika itu di Pulau Penyengat dan Tanjungpinang belum terdapat
peralatan perubatan moden. Diriwayatkan bahawa sebelum melakukan pembedahan yang
mendesak dan mendadak Raja Ahmad Thabib menggambarkan pembedahan itu hanyalah
untuk pertolongan sementara saja, kerana ketahanan pesakit hanya sekitar antara tujuh
sampai sepuluh jam saja.
Untuk menyelamatkannya mesti dibawa ke Singapura supaya diberi ubat-ubat yang lebih
sesuai. Pelayaran dari Tanjungpinang ke Singapura ketika itu memakan masa tujuh jam,
bererti mesti memburu baki waktu tiga jam yang dikatakan beliau itu. Ternyata pesakit
selamat ketika dibedah dan selanjutnya selamat pula dalam perawatan moden di
Singapura. Cerita ini saya catat daripada ramai Kerabat Diraja Riau sejak tahun 1962, dan
hingga sekarang yang menceritakan masih ada yang hidup, yang telah berumur melebihi
90 tahun.

You might also like