You are on page 1of 7

PENDAHULUAN

Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru merupakan sebuah institusi perubatan yang awal dan
moden yang wujud di Negeri Johor. Ia juga merupakan salah sebuah institusi sosial yang
terpenting dalam memberikan perkhidmatan kesihatan dan rawatan terhadap masyarakat. Kesan
dari keadaan kesihatan masyarakat yang semakin meruncing serta perkembangan bandar Johor
Bahru, sebuah hospital yang moden telah dibina pada 1938.
Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru terletak di kawasan berbukit dan mengadap ke Selat
Tebrau. Keluasan kawasan hospital ini adalah 98.6 ekar. Pada peringkat awal ia dikenali sebagai
General Hospital Johor Bahru.
Kedudukan hospital ini adalah sejauh dua kilometer dari bandar Johor Bahru. Terletak di Jalan
Skudai dan berhampiran Selat Tebrau dan berhadapan dengan Singapura.
SEJARAH PEMBINAAN AWAL HOSPITAL JOHOR BAHRU
Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru telah menggantikan hospital yang terawal dibina di
Daerah Johor Bahru pada tahun 1882. Ini kerana hospital yang pertama di Johor Bahru telah
dibina dalam tahun 1882. Hospital ini telah didirikan dikaki sebuah bukit berhampiran dengan
asrama jururawat yang ada pada masa ini.
Pada peringkat awal, hospital ini hanya mengandungi sebuah wad sahaja. Pembinaan
bangunan hospital yang awal ini adalah daripada batu bata dan kayu, besar, lapang serta
mempunyai siling yang tinggi. Ia juga mempunyai tingkap yang lebar bagi menghasilkan
peredaran udara yang bersih dan lebih baik. Keadaan ini kekal sehingga terbinanya hospital yang
lebih baik pada tahun 1929.
Pada tahun 1929, sebuah wad untuk pegawai-pegawai dinamakan "Officers Wad" dibina di
atas Bukit Sah. Mempunyai 22 bilik dan dikhaskan untuk pegawai-pegawai bangsa Eropah dan
Pengurus-Pengurus Ladang (Estate Managers). Sebuah asrama untuk "Sisters" juga dibina
dengan panggilan "Sisters Mess". Bangunan ini menghadap Selat Tebrau dan masih digunakan
untuk tujuan asalnya sehingga ke hari ini.
Bagi Wad Kelas 2, ianya dibina tahun 1938 dan mula digunakan pada tahun 1939.
Mengandungi 2 buah bangunan 2 tingkat berhampiran dengan bangunan asrama jururawat.
Sebuah bangunan untuk pesakit kelas 2 lelaki dan sebuah lagi untuk pesakit kelas 2 perempuan.
Pada masa ini, bangunan tersebut tidak lagi digunakan untuk pesakit kelas 2. Sebuah lagi
digunakan sebagai dapur hospital sementara menunggu siapnya sebuah bangunan dapur baru
yang lengkap dibina. Sebelum ini, bangunan itu digunakan sebagai Pejabat Kesihatan selama
beberapa tahun sehingga pejabat tersebut berpindah ke pejabat yang baru di Jalan Abdul Samad
pada tahun 1975. Sebuah lagi bangunan telah digunakan sebagai Wad TB Perempuan di tingkat
atas semenjak tahun 1972 sehingga ke hari ini. Di tingkat bawah pula dikhaskan untuk penyakitpenyakit berjangkit jika berlaku wabak penyakit.
PERTAMBAHAN KEMUDAHAN
Kawasan hutan disepanjang Jalan Skudai telah dibersihkan, ditambak dan dimajukan dengan
tujuan pembinaan landasan keretapi tetapi dibatalkan pada tahun 1879 dan dibangunkan dengan
terdirinya rumah kediaman kakitangan hospital serta sebuah bengkel Jabatan Kerja Raya.
Pada tahun 1911, sebuah wad pembedahan, pejabat pentadbiran dispensary dan sebuah bilik
bedah telah dibina dan dipertingkatkan lagi dengan pembinaan dari sebuah wad kepada tujuh
buah wad, bilik pembedahan, wad pengasingan, wad kurungan untuk banduan, sebuah
dispensary, makmal, bilik mayat dan dapur pada tahun 1919 dengan tujuan meningkatkan lagi
perkhidmatan di hospital. Dengan penambahan pembangunan ini, jumlah pesakit yang dapat
ditampung oleh wad tersebut adalah seramai 400 orang ( jumlah katil rasmi ).

Pada tahun 1914 sehingga 1929, sebuah khemah khas dipanggil Leper Segregation Camp
telah dibuka di Batu Tiga Jalan Skudai khusus untuk mengasingkan pesakit yang dihadapi oleh
masyarakat terutama penyakit kusta yang semakin meruncing dan menggantikan khemah
tersebut. Pesakit yang ditempatkan adalah pesakit kusta lelaki. Pesakit perempuan ditempatkan di
Leper Asylum di Singapura.
Pada tahun 1937, sebuah lagi hospital kusta yang lebih baik dibina di kawasan yang sama
dengan kemampuan untuk menampung pesakit lelaki dan perempuan. Jumlah pesakit yang
dirawat dipenempatan baru ini adalah seramai 278 orang lelaki dan 69 orang pesakit
perempuan. Semenjak tahun 1882, wad kelas tiga yang diperbuat daripada papan adalah terlalu
uzur, usang dan tidak mengizinkan untuk menampung bilangan pesakit yang bertambah. Keadaan
pesakit yang tinggal di wad juga tidak begitu memuaskan dan semakin sesak.Pada tahun 1938,
terbinalah sebuah bangunan hospital yang baru di Daerah Johor Bahru. Bangunan yang
menempatkan pejabat kerajaan seperti Jabatan Bendahari, Mahkamah, Polis, Penjara, Ukur,
Laut, Perubatan dan Keretapi telah terletak di Bukit Zahrah Johor Bahru. Bangunan tersebut
berhampiran dengan Istana Besar. Bangunan berkenaan telah diperbaiki untuk dijadikan hospital.
Bangunan ini boleh memuatkan sebanyak 250 buah katil dinamakan "Civil Hospital". Rekabentuk
bangunan ini telah dibuat oleh syarikat arkitek "Palmer and Turner" yang mempunyai pejabat di
Johor Bahru. Idea rekabentuk hospital ini diperolehi daripada sebuah hospital di Nanking, China,
semasa satu rombongan perubatan yang diketuai oleh Dr G.H. Garlick menghadiri mesyuarat "Far
Eastern Association of Tropic al Medicine" pada tahun 1934. Hospital tersebut adalah Nanking
Central Hospital. Susunan bahagian dalam (Interior Arrangement) adalah kombinasi pengalaman
tempatan dan kajian dari hospital-hospital diseluruh dunia yang dikandung dalam Journal
"Nosokomeion".
Bangunan setinggi 5 tingkat ini telah memuatkan 857 buah katil. Ia mempunyai dua sayap
(wing) berbentuk "T" mengandungi 80 buah katil dalam tiap-tiap wad. Di bahagian tengah terdapat
lif serta dapur untuk pesakit-pesakit. Bilik pembedahan pula ditempatkan di tingkat satu
sementara tingkat yang teratas dikhaskan untuk pesakit-pesakit TB. Jumlah perbelanjaan
membina bangunan baru ini dianggarkan sebanyak RM 1,275,000. Junlah ini berdasarkan kos
untuk kerja-kerja menanam cerucuk dan pembelian besar peralatan pembinaan, tetapi setelah
siap pada tahun 1941, kosnya telah meningkat kepada RM2,057,075.00.
Pembukaan rasmi bangunan ini telah dijadualkan pada 29hb. Mei 1941 oleh DYMM Sultan
Ibrahim. Semua persiapan telah diatur tetapi perasmian ini telah dibatalkan pada saat-saat akhir.
Bangunan ini dikenali dengan bangunan induk pada masa ini. Pada tahun 1938, wad bersalin
kelas satu dan berek untuk kakitangan rendah juga telah dibina. Bangunan wad ini letaknya di
belakang wad pegawai, menghala ke Selat Tebrau. Rekabentuk kedua-dua bangunan ini juga
dibuat oleh syarikat yang sama iaitu Palmer and Turner. Ianya siap dibina pada tahun 1941. Apa
yang jelas, bangunan wad bersalin tidak dapat digunakan sebagai tujuan asalnya. Ini kerana pada
zaman pendudukan Jepun bangunan ini telah dijadikan tempat tinggal tentera dan doktor. Selepas
pendudukan Jepun, pihak Inggeris menjadikan bangunan ini sebagai tempat tinggal doktor apabila
pentadbiran hospital ini diambil alih oleh Pihak Awam pada tahun 1947. Ianya digunakan
sehingga tahun 1969. Bangunan yang ditinggalkan ini telah menjadi Pejabat Penguasa Perubatan
Hospital. Bangunan mess baru telah didirikan pada tahun 1969. Ianya mempunyai 10 buah bilik.
Dua buah bangunan lagi dibina dalam tahun 1972 berhampiran dengan bangunan tersebut.
Bangunan-bangunan ini mempunyai 12 buah bilik setiap satu. Walaubagaimanapun pada masa ini
ketiga-tiga bangunan ini didapati tidak mencukupi bagi menempatkan semua Pegawai Perubatan
Siswazah yang dilatih di hospital ini. Jumlah bilik yang ada ialah 34 buah sementara Pegawai
Perubatan Siswazah yang dilatih di hospital ini ialah seramai 54 orang.Bangunan ini telah
ditinggalkan kosong buat beberapa lama apabila Mess Doktor dipindahkan ke bangunan baru
yang terletak di Jalan Abdul Samad. Bagi memenuhi kekosongan tersebut, ia telah dijadikan
Pejabat Pengarah Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan Negeri Johor. Ini disebabkan
bangunan pentadbiran di Johor Bahru begitu usang untuk digunakan. Sehingga bangunan Wisma
Persekutuan siap dibina dan berpindah pada tahun 1979.

ORGANISASI PENTADBIRAN HOSPITAL - DIKENALI GENERAL HOSPITAL JOHOR BAHRU


General Hospital Johor Bahru merupakan hospital di Negeri Johor yang mempunyai satu sistem
pentadbiran yang dikatakan lengkap. Setelah tentera Jepun menyerah kalah pada tahun 1945,
tentera British telah mengambil alih pentadbiran hospital ini ( BMA Period ). Surgeon Commander
E.W. Laidlaw telah ditugaskan sebagai P.M.O. Pada masa itu kebanyakkan pesakit terdiri dari
anggota tentera yang tercedera. Setelah beberapa bulan kemudian, Hospital Awam diadakan
semula di hospital ini. Sebagai permulaan, wad perubatan lelaki dan wad umum perempuan
mengambil tempat di Timur 3 dan Barat 3. Hospital ini diketuai oleh Principal Medical Officer
( P.M.O ) yang bertanggungjawab terhadap pentadbiran dan rawatan pesakit. P.M.O yang
pertama ialah Dr. James Patrick Andrew Wilson yang berkhidmat mulai tahun 1905 hingga 1920.
Timbalannya Dr J. C. P. Grey. Kakitangan awam mengambil alih pentadbiran hospital ini pada
1hb. April, 1946. Pada ketika itu, pentadbiran hospital telah dibantu oleh Assistant P.M.O,
Pembantu Pegawai Perubatan (Assistant Medical Officer), Pembantu Pembedahan (Assistant
Surgeon), Bidan (Maternity Nurse), Pembantu Perubatan (Dresser), Pembancuh Ubat
(Dispenser), Pegawai Kematian (Death Inspector) Kerani Yang Mendaftar Kematian (Death
Registration Cleark) dan beberapa orang Kerani Am.Pada tahun 1947, perubahan dari segi
struktur pentadbiran telah dilakukan. Pegawai yang mengetahui pentadbiran hospital adalah
Penguasa Perubatan. Penguasa Perubatan General Hospital Johor Bahru yang pertama adalah
Dr. E.C.Vardy. Beliau juga menjalankan tugas sebagai seorang Pakar Perunding Perubatan
Dada. Keadaan ini berlanjutan sehinggalah bulan September, 1947 bila mana Kumpulan Dresser
Pelatih yang pertama selepas perang lulus dan mula menjalankan tugas. Jumlah pesakit yang
dirawat disepanjang tahun 1947 ialah seramai 9,069 orang. Di Johor Bahru pada masa itu
terdapat dua buah Klinik Swasta.
Di wad perempuan pula jururawat pelatih, kakitangan rendah juga ada di semua wad tetapi
bilangannya terlalu kecil, iaitu 3 orang bertugas pagi, 2 di waktu petang dan seorang bertugas
malam, Kakitangan rendah ini adalah di bawah penyeliaan "Steward". Mereka ini terdiri daripada
Atendan Wad, Atendan Makmal, Atendan Rumah Mayat, Atendan Kesihatan dan Tukang
Kebun.
Pada masa itu, hanya seorang Pegawai Perubatan bertugas malam bagi seluruh hospital. Semua
kes kecemasan dan kes-kes polis diperiksa oleh beliau. Pegawai ini juga dipanggil untuk
membantu Pakar Bedah jika terdapat kes-kes yang memerlukan pembedahan serta-merta pada
waktu malam. Kes-kes yang terdapat pada masa itu ialah luka terkena tembakan. Ahli kimia ubat
boleh dikatakan tidak ada dan "Senior Dresser" ditugaskan menyelia Dispensari. Ubat pil jarang
digunakan dan kebanyakan ubat-ubat yang digunakan berbentuk "powder" dan "Mixtures".
Makmal dan Jabatan X-Ray juga dikendalikan oleh Dresser sehingalah kakitangan yang
mencukupi dilatih untuk mengambil alih tugas di jabatan-jabatan tersebut.
Pakar Bedah dalam tahun 1947 ialah Mr. L. E. Vine dan bersara atas sebab-sebab kesihatan. Mr.
H. M. Gladdery mengambil alih tempat beliau dan akibat dari rusuhan "Maria Hertogh" dalam
tahun 1950 mengalami kecederaan. Mr. Yeoh Bon Choon (sekarang Dato') dilantik menggantikan
beliau pada 08 Jan 1951 dan bersara pada tahun 1969 dan menyambung semula perkhidmatan
beliau sehingga 01 Mac 1971 . Dato' Yeoh Bon Choon merupakan Pakar Bedah pertama dari
keturunan Asia di Negeri Johor dan juga Malaya ketika itu.
PERPINDAHAN PESAKIT TIBI
Pada tahun 1950 - pesakit TB telah dipindahkan dari Hospital Besar ke Pusat TB Santarium di
Tampoi. Dalam tahun 1955, beberapa buah bangunan baru telah dibina sebagai bangunan
tambahan kepada bangunan sediada dan dirasmikan oleh Lady Marcella Ibrahim pada 25
November 1955. Pada tahun 1960'an. perkembangan struktur hospital agak lembab dan hanya
tertumpu di bahagian latihan. Hanya pada tahun 1972, sebuah klinik dada & wad dibina untuk
menempatkan 60 buah katil. Bangunan ini dirasmikan oleh YB. Tan Sri Lee Siok Yew - Menteri
Kesihatan pada 28 September 1972.
PEJABAT PENGARAH PERUBATAN DAN KESIHATAN NEGERI JOHOR
Bangunan wad bersalin yang di kosongkan telah digunakan sebagai Pejabat Pengarah
Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan Negeri Johor kerana bangunan "Central Medical

Administration Bureau" yang digunakan terlalu buruk dan hampir roboh. Bangunan ini
kemudiannya telah digunakan sebagai Pejabat Penguasa Perubatan dan Pejabat Pengarah
Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan berpindah ke pejabat baru di Wisma Persekutuan pada
tahun 1979 .Pada tahun 1921, sebuah bangunan khusus bagi menempatkan pusat pentadbiran
kesihatan telah dibina. Ia terletak di Jalan Ayer Molek dan dinamakan Central Administration
Medical Bureau. Bangunan tersebut juga menempatkan pusat rawatan bagi mengendalikan kes
pesakit luar. Tahun 1935, bangunan berkenaan diperbesarkan dan ditempatkan pejabat
pentadbiran, pejabat kesihatan, pejabat pendaftaran beranak dan mati serta stor perubatan.
PERKHIDMATAN YANG DIBERIKAN
Perkhidmatan yang diberikan di General Hospital Johor Bahru pada peringkat awal adalah
Perubatan Am, Perbidanan ( Obstetric ) dan Rawatan Pesakit Luar. Rawatan yang diberikan
adalah terdiri dari penyakit-penyakit lain seperti Radang Paru-Paru ( Pneumonia ), System
Pernafasan ( Respiratory Diseases ), Beri-Beri, Malaria, Buang Air Berdarah ( Dysentery ), Batu
Kering ( Tuberculosis ), Ceret Beret ( Diarrhea ), Demam Selsema ( Influenza ) Lumpuh ( Dibility )
dan sebagainya.
SELEPAS MERDEKA -DIKENALI SEBAGAI RUMAH SAKIT UMUM, JOHOR BAHRU
Selepas negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, pihak pentadbiran hospital telah
bersetuju menukar nama hospital sebagai Rumah Sakit Umum, Johor Bahru. Pertukaran nama ini
selaras saranan kerajaan mengutamakan Bahasa Malaysia pada ketika itu.Walaubagaimanapun,
perubahan struktur pentadbiran dilakukan dan pada 1961 Penguasa Perubatan sepenuh masa
telah dilantik. Jawatan dikendalikan sepenuh masa dengan cara perlantikan. Ini bagi memastikan
tumpuan dapat diberikan sepenuh masa terhadap pembangunan hospital dan tidak mempunyai
tugas sampingan yang secara tidak langsung boleh mengganggu tugas pentadbiran
hospital.Penguasa Perubatan sepenuh masa pertama adalah Dr. H.K. Ray, dibantu Dr. Sheikh
Raihan Bin Hamzah selaku Timbalan Penguasa serta Encik Omar Bin Ismail sebagai Setiausaha
dengan dibantu oleh 8 orang kerani yang membantu pentadbiran hospital. Bahagian yang
diwujudkan adalah Bahagian Kewangan (mengurus hal ehwal kewangan), Bahagian Dokumen
(menguruskan segala bentuk dokumen pesakit, surat akuan dll), Bahagian Perkhidmatan Utama
serta Pengurusan Gaji kakitangan hospital dan bahagian yang menyediakan laporan perubatan
pesakit.
PERTUKARAN NAMA HOSPITAL RUMAH SAKIT UMUM, JOHOR BAHRU KEPADA
HOSPITAL BESAR JOHOR BAHRU
Pada tahun 1970, sekali lagi nama hospital ditukar kepada Hospital Besar. Nama hospital ini
diilhamkan oleh Tun Sardon Jubir yang merupakan Menteri Kesihatan Malaysia ketika itu.Pada
tahun 1981, Timbalan Penguasa Perubatan sepenuh masa dilantik. Dr. Sandhu Singh telah
dilantik sebagai Timbalan Penguasa Perubatan yang pertama. Beliau bekerjasama membantu Dr.
Gurmit Singh selaku Penguasa Perubatan.Pada masa perang dunia kedua, kebanyakan pesakit
yang dirawat di Hospital Besar, Johor Bahru adalah anggota tentera dan orang awam yang
tercedera. Apabila keadaan peperangan bertambah buruk dan jumlah kemalangan meningkat,
hospital ini telah dijadikan hospital tentera. Hospital awam telah dipindahkan ke Hospital Sakit
Otak di Tampoi pada awal tahun 1942. Tidak lama selepas itu, Hospital Sakit Otak juga telah
diambil alih oleh tentera Jepun bagi menempatkan anggotanya, Hospital Awam juga telah
dipindahkan ke "Labour Lines" Tebrau Estate. Oleh kerana Labour Lines ini
mendatangkan pelbagai masalah. Hospital Awam kemudiannya dipindahkan ke sebuah bangunan
kecil di kaki Bukit Timbalan.
PERTUKARAN NAMA HOSPITAL BESAR JOHOR BAHRU KEPADA HOSPITAL SULTANAH
AMINAH, JOHOR BAHRU
Pada tahun 1984, sekali lagi nama hospital ini ditukar kepada Hospital Sultanah Aminah, Johor
Bahru dengan mengambil sempena nama bonda DYMM Sultan Johor ketika itu. Dengan
pertukaran nama berkenaan, Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru mempunyai 2,000 orang
kakitangan yang terdiri pelbagai kategori jawatan. Bagi mengendalikan rawatan pesakit, hospital
ini mempunyai 21 orang pakar dari pelbagai disiplin, 114 orang pegawai perubatan, 45 orang
doktor siswazah dan 800 orang kakitangan paremedik.

PERKHIDMATAN YANG DISEDIAKAN


Hospital ini juga memberi perkhidmatan kepakaran dari segi Perubatan, Pembedahan, Ortopedik,
Oftalmologi, Neurosurgeri dan sebagainya. Bagi perkhidmatan rawatan neurosurgeri HSAJB telah
menjadi hospital rujukan bagi kawasan selatan semenanjung Malaysia termasuk Sabah dan
Sarawak.
PEMBENTUKAN JABATAN
Bagi memberi perkhidmatan yang lebih berkesan selaras dengan program perawatan pesakit,
hospital ini mempunyai pelbagai jabatan, diantaranya bahagian pentadbiran yang mengandungi
pejabat pentadbiran am, pejabat perkhidmatan serta pejabat kewangan dan hasil. Perkembangan
ini jauh berbeza dengan tahun 1960 an.
UNIT KECEMASAN KETIKA ITU
Jabatan Kemalangan dan Kecemasan pada masa dahulu terletak di Tingkat Bawah Bangunan
Induk tetapi dipindahkan ke sebuah bangunan lama yang letaknya lebih kurang 300 meter dari
bangunan induk pada tahun 1974. Di bangunan ini juga terletaknya Jabatan Pesakit Luar.
Bangunan lama ini tidak sesuai lagi kerana telah terlalu usang dan jauh dari bangunan induk.
Bangunan ini juga tidak mencukupi bagi memberikan perkhidmatan yang selesa kepada pesakit.
Oleh yang demikian, sebagai langkah "interim" untuk memperbaiki perkhidmatan di bahagian ini,
sebuah Jabatan Kemalangan dan kecemasan telah dibina di tingkat bawah kompleks Dewan
Bedah Baru. Ianya telah mula digunakan pada 27hb. Mei 1985. Tempat ini akan terus digunakan
sehinggalah cadangan Projek Poliklinik di Jalan Dato' Wilson yang mempunyai sebuah Jabatan
Kemalangan dan kecemasan yang baru dan lengkap dilaksanakan. Dengan tujuan memberikan
perkhidmatan yang lebih berkesan selaras dengan program perawatan pesakit, hospital ini telah
mempunyai pelbagai jabatan. Jabatan pesakit luar merupakan jabatan yang terpenting di hospital
ini dengan menyediakan rawatan kecemasan dan susulan kepada masyarakat yang
memerlukannya. Sehubungan itu, bagi menampung keperluan, bangunan poliklinik telah siap
dibina pada tahun 1991 untuk memberikan perkhidmatan yang lebih sempurna dan selesa kepada
pesakit. Poliklinik tersebut mula dibina pada tahun 1988 dengan kos RM 18,050,000. Jumlah
tersebut tidak termasuk kos kelengkapan yang berjumlah RM3,000,000
JABATAN FISOTERAPI
Ia merupakan sebuah jabatan yang penting dan hanya terdapat dua buah jabatan ini di Negeri
Johor sekitar tahun 1975 iaitu di Hospital Besar Johor Bahru dan Hospital Daerah Muar. Ia
bertambah menjadi tiga pada tahun 1980 di Hospital Batu Pahat. Jabatan fisioterapi Hospital
Besar Johor Bahru ketika itu terletak di salah satu sayap bangunan induk hospital. Pada peringkat
awal, ia terletak di tingkat lima tetapi ditukar ke tingkat dua dan telah dipindahkan ke bangunan
poliklinik selepas bangunan poliklinik siap sepenuhnya.
JABATAN FARMASI
Ia merupakan jabatan yang penting terutama dari segi penyediaan ubat. Jabatan ini mengandungi
sebuah dispensari, stor penyimpanan ubat serta tempat membancuh ubat. Jabatan ini
menghasilkan sebahagian daripada bekalan ubat untuk Negeri Johor. Pelbagai jenis ubat telah
dihasilkan oleh jabatan ini merangkumi ubat sapu, ubat mata dan telinga serta ubat suntikan. Ia
berfungsi membekalkan ubat di wad hospital, tempat mengambil ubat dan jabatan lain. Selain itu
juga bekalan keperluan yang berkaitan dengan ubat-ubatan seperti alat membersihkan luka
dibekalkan untuk kemudahan rawatan disamping menjalankan tugasan iaitu memberikan
maklumat tentang penyalahgunaan dadah.
JABATAN REKOD
Ia memainkan peranan ke arah melahirkan perkhidmatan yang lancar. Jabatan ini hanya terdapat
di Hospital Besar Johor Bahru sahaja dengan mempunyai rekod yang kemas. Ia
bertanggjungjawab terhadap mengisi, menimpan dan mencari rekod perubatan pesakit,
mengendalikan penyusunan fail pesakit dalam dan luar serta berbagai jabatan yang lain. Rekod
tersebut perlu penjagaan yang rapi bagi menyelesaikan kes yang berkaitan dengan perundangan,
polis, tuntutan insuran, pampasan dan tuntutan PERKESO.
OCCUPATIONAL THERAPY DEPATMENT ( O.T.D )
Ia merupakan sebuah jabatan yang memberikan rawatan secara asuhan kepada pesakit dan ia
hanya terdapat di Hospital Besar Johor Bahru. Jabatan ini memberikan perkhidmatan kepada
pesakit yang memerlukan pemulihan selepas menjalani pembedahan serta pengidap penyakit

yang teruk seperti kusta dan batuk kering. Pakar yang bertugas juga akan pergi ke hospital batuk
kering dan kusta di Tampoi untuk memberikan pemulihan kepada pesakit di sana. Pakar yang
mengendalikan jabatan ini bertanggungjawab terhadap proses rawatan klinikal dan hal ehwal
pentadbiran dan jabatan ini memainkan peranan yang penting di dalam proses memulihkan
keyakinan pesakit.
JABATAN MAKANAN
Jabatan ini bertanggungjawab menyediakan menu serta mengekalkan kualiti makanan yang
diberikan kepada pesakit. Pada tahun 1992, jabatan baru telah siap dibina berhampiran wad
pesakit dengan kos pembinaan sebanyak RM 1,278,754 tidak termasuk kemudahan peralatan
dan kelengkapan berjumlah RM 200,000. Kini jabatan berkenaan dikenali sebagai Jabatan
Dietetik dan Sajian.
BAHAGIAN LATIHAN JURURAWAT
Pada 27 Februari 1936, Skim Latihan Jururawat telah dilaksanakan di General Hospital Johor
Bahru. Pada peringkat awal, seramai sembilan orang menjalani latihan di hospital ini. Sebuah
sekolah latihan jururawat serta asrama telah mula dibina pada 1938. Ia terletak di atas sebuah
bukit dan menghadap ke Selat Tebrau. Tenaga Pengajar juga ketua jururawat ( Matron ) pertama
telah dilantik adalah Cik J.D Scott. Pelbagai latihan diberikan termasuk latihan dibidang
perbidanan sehinggalah sebuah sekolah latihan perbidanan ditubuhkan pada tahun 1951. Ia
bertujuan memberi latihan kepada jururawat yang sedang menjalankan tugas. Sekolah ini dikenali
sebagai Domicilary Midwifery Training Centre ( D.M.T.C ). Ia terletak di bangunan wad bersalin
kelas tiga yang terletak berhampiran Mess Ketua Jururawat dan diubah suai untuk menampung
jumlah pelatih yang bertambah setiap tahun. Sekolah latihan yang baru ini telah dirasmikan oleh
YB. Encik Bahaman Bin Samsudin, Menteri Kesihatan Malaysia pada 15 September 1964. Ia
dilengkapi dengan peralatan moden, alat bantuan mengajar serta dewan syarahan dan pelbagai
kemudahan lain.Pada 1965, sebuah lagi asrama telah dibina berhampiran dengan sekolah latihan
yang baru dan digunakan untuk menempatkan Pelatih Jururawat. Asrama ini telah dirasmikan
pembukaan oleh YB. Encik Bahaman Bin Samsudin pada 15 September 1965. Pada tahun
1967, sebuah asrama setinggi lima tingkat dan mempunyai 72 bilik telah dibina. Bangunan
asrama ini terletak di bangunan sebuah bukit berhampiran dengan asrama jururawat 1. Ia juga
telah dirasmikan oleh YB. Encik Bahaman Bin Samsudin pada 19 Julai 1967 dan dikenali sebagai
Asrama Jururawat 2.Pada tahun 1970 an, sebuah lagi asrama dibina dan dikenali Asrama
Jururawat 3 yang dirasmikan oleh YB. Tan sri Lee Siok Yew, Menteri Keishatan Malaysia pada 28
September 1972.Walabagaimanapun, Bahagian Latihan Jururawat ini mengendalikan kursus
kejurawatan selama tiga tahun dan jururawat pelatih boleh menyambung latihan di peringkat
perbidanan selama satu tahun. Dengan adanya latihan yang diberikan kepada jururawat, secara
tidak langsung dapat meningkatkan imej hospital dengan perkhidmatan yang berkualiti melalui
latihan yang sistematik serta pengenalan kepada perlatan yang semakin moden. DITEMPATKAN
POST GRADUATE MEDICAL CENTRE ( PGMC ) DITINGKAT BAWAH BANGUNAN PUSAT BERSALIN.

POST GRADUATE MEDICAL CENTRE ATAU PGMC


Post Graduate Medical Centre atau "PGMC" telah ditubuhkan pada tahun 1968 hasil inisiatif YB.
Dato Lim Kee Jin - Pakar Perunding Perubatan Kanan ketika itu memangku Penguasa Perubatan.
Letaknya ditingkat 6 bangunan Induk di mana pegawai-pegawai perubatan diberi latihan "Post
Basic". Tempat ini juga dijadikan sebagai dewan syarahan, mesyuarat, perbincangan serta kursus.
Pusat ini ditadbir oleh sebuah Jawatankuasa yang dianggotai oleh Penguasa Perubatan, Pakarpakar dan juga Pegawai Perubatan serta pegawai yang menyelia perpustakaan. Pusat ini juga
dilengkapi dengan pelbagai peralatan seperti bahan-bahan rujukan, buku serta majalah perubatan
termasuk alat-alat pandang dengar.
JABATAN-JABATAN LAIN
Begitu juga dengan jabatan lain di tubuhkan seperti Jabatan x-Ray serta Bank Darah yang pada
asalnya lokasi kawasan serta keadaan jabatan tidak begitu memuaskan serta terletak diluar
bangunan utama. Begitu juga dengan jabatan yang memberikan rawatan kepada pesakit terletak
di merata tempat dan wad kelas pertama terletak di atas bukit serta terpisah dari tempat operasi di
bangunan utama. Dengan bantuan dari Jabatan Perubatan dan Kesihatan yang juga dikenali
sebagai Pejabat Perubatan dan Kesihatan Negeri Johor yang asalnya terletak di Hospital Besar

Johor Bahru sebelum berpindah di tingkat 4, Blok B, Wisma Persekutuan, Jalan Ayer Molek, Johor
Bahru pada 1 Jun 1979. Hospital ini telah melakukan penambahbaikan dan perubahan pada
setiap tahun.Selain itu juga, Hospital Sultanah Aminah, Johor mempunyai 11 bidang kepakaran
yang telah diisi oleh pakar yang berkelayakan. Diantara bidang kepakaran yang terdapat di
hospital ini adalah Perubatan Umum (General Medicine), Pembedahan (General Surgery),
Perbidanan dan Sakit Puan (Obstetrics & Gynaecology), Kanak-Kanak (Paediatrics), Bius
(Annesthetics), Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), Kaji Penyakit (Pathology), X-Ray (Radiology),
Mata (Opthalmology), Jiwa (Psychiatry) dan Ortopaedics.
PERKEMBANGAN KINI HOSPITAL
Kini, hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru memberikan perkhidmatan pelbagai kepakaran yang
merangkumi pengurusan, perkhidmatan klinikal, sokongan klinikal dan bukan sokongan klinikal
serta dijadikan sebagai hospital rujukan bagi Negeri Johor dengan menyediakan 21 perkhidmatan
klinikal, 9 perkhidmatan sokongan klinikal dan 5 perkhidmatan sokongan bukan klinikal dan 7 unit
di bawah Pengurusan Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru juga menjadi Pusat Rawatan
Koronari dan Pembedahan Jantung bagi Wilayah Selatan termasuk Sabah dan Sarawak.
Bilangan katil rasmi yang disediakan sehingga tahun 2010 adalah sebanyak 989 buah bagi
menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat di Negeri ini.Dalam masa yang sama juga,
Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru juga turut membantu negara dari segi pengeluaran dan
peningkatan mutu tenaga kerja klinikal seperti Kejururawatan, Farmasi, Juru x-Ray dan Juru
Teknologi Makmal Perubatan bagi pengajian dalam bidang Diploma serta Pegawai Farmasi dan
Pegawai Perubatan. Ini dilaksanakan melalui kerjasama dengan pelbagai Institusi Pengajian
Tinggi Awam mahupun Swasta dalam memberi latihan praktikal kepada para pelatih Pra-Ijazah
yang ditempatkan di sini. Latihan lanjutan klinikal turut diadakan bagi meningkatkan kepakaran
Pegawai dan Pakar Perubatan dari Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dan juga hospitalhospital Kementerian Kesihatan Malaysia yang lain.
KEGIATAN SUKAN & PERTUBUHAN
Pada awal tahun 1990'an, ura-ura menubuhkan Kelab Sukan tetapi telah ditangguhkan kerana
kemelesetan ekonomi disebabkan harga getah turun. Pada tahun 1922 - kawasan paya
berhampiran dengan "Dressers Quarters" dimulakan dan kawasan berhampiran kediaman P.M.O
di Jalan Dato' Wilson telah ditambak untuk dijadikan padang bola dan gelanggang tenis.
Pada 22 Mei 1922 -Kelab Sukan Perubatan Besar telah ditubuhkan dengan penubuhan sebuah
pasukan bolasepak dan telah bertanding di dalam liga bolasepak Johor. Pada penghujung tahun
1922 - satu pertandingan tennis juga telah diadakan di gelanggang tennis ini.
Pada tahun 1980 - kegiatan Kelab Sukan diperluaskan dan melibatkan semua kakitangan seluruh
Daerah Johor Bahru termasuk kakitangan Pejabat Pengarah Kesihatan Negeri, Pejabat
Kesihatan, Pergigian dan Anti-Malaria. Pada 31 Julai 1980 , Kelab Sukan ini telah didaftarkan
dengan No. Pendaftaran 1194. Pengetua Kelab Sukan ketika itu yang juga Penguasa Perubatan
ialah Dr. Gurbaksh Singh.Kini, Kelab Sukan berkenaan bertukar wajar dengan nama Kelab Sukan
& Kebajikan Perubatan, Pergigian & Kesihatan Daerah Johor Bahru yang dinaungi kini Dr. Hj.
Daud Bin Hj. Abdul Rahim selaku Pengarah Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dan bagi
menyemarakkan lagi penglibatan anggota hospital dalam aktiviti pertubuhan badan dan
kemasyarakat, Badan Kebajikan Islam Hospital juga ditubuhkan yang diPengerusikan oleh Dr.
Izam Bin Sulaiman, Timbalan Pengarah Hospital

You might also like