You are on page 1of 21

Alam sekitar

Usaha didik hargai sumber air, alam sekitar bukan isu remeh
2010/05/01

APABILA membincangkan agenda pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar, pencemaran sungai antara isu penting
yang kerap diberi perhatian umum khususnya pada seminar atau persidangan berkaitan alam sekitar di pentas
antarabangsa dan nasional. Isu pencemaran sungai sering dikaitkan dengan tahap kesedaran masyarakat dan kaedah
pengurusannya. Secanggih mana pun sistem dan teknologi digunakan untuk memulihara sungai, tahap kesedaran
masyarakat terhadap kepentingan sungai mesti ditingkatkan kerana penyebab pencemaran sungai ialah manusia sendiri.
Kerakusan masyarakat dengan menjadikan sungai sebagai tempat pembuangan sampah sarap, sajian sisa kumbahan
ternakan, bahan buangan industri dan sisa pertanian menyebabkan secara tidak langsung kos rawatan air turut
ditanggung pengguna.

Natijahnya, kita menghadapi kemusnahan kualiti air sungai yang serius kerana pencemaran sungai mendatangkan kesan
besar terhadap kehidupan manusia, terutama apabila sumber air yang dibekalkan kepada pengguna sukar dirawat. Hatta
ada kes pencemaran ammonia boleh terlepas hingga ke paip dapur rumah kita.

Pencemaran sungai juga menimbulkan masalah lain seperti merebaknya penyakit dan musnahnya ekosistem akuatik.
Kita selalu dipaparkan penderitaan rakyat di negara dunia ketiga yang tidak mempunyai sistem bekalan air cekap dan
sistematik menyebabkan mereka sering diancam wabak penyakit sehingga membawa kematian.

Lebih 1.5 juta kanak-kanak di dunia maut setiap tahun akibat pembuangan dua juta tan sisa kumbahan, toksik dan
sampah sarap ke dalam sungai. Menyedari air amat penting dalam menentukan kelangsungan hidup manusia dan
menjaga sungai adalah sebahagian tanggungjawab yang perlu diberi keutamaan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
mengisytiharkan 22 Mac setiap tahun sebagai Hari Air Sedunia untuk mengajak masyarakat sejagat supaya menghargai
air.

Kita mesti ingat air antara unsur terpenting mengimbangi kehidupan manusia di dunia. Walaupun tiga per empat bumi
ini diliputi air dan satu per empat daripadanya daratan, 97 peratus daripada air itu adalah air masin (air laut) dan tidak
boleh digunakan untuk kehidupan manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Hanya kira-kira 0.6 peratus air di bumi ini
untuk keperluan hidup manusia dan pada masa sama, ia dikongsi bersama haiwan dan tumbuh-tumbuhan.
Kita bertanggungjawab memastikan hak kelestarian generasi akan datang untuk menikmati bekalan sumber air bersih
dan berusaha meminimumkan impak terhadap sungai.
Dalam membentuk keprihatinan masyarakat terhadap kepentingan sungai, program pendidikan dan penghayatan etika
alam sekitar mesti didedahkan pada peringkat generasi muda untuk membentuk kecintaan, sikap dan perilaku mereka
bagi memelihara, memulihara dan menghayati kepentingan alam.

Inisiatif Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga, Tan Sri Rozali Ismail menubuhkan Kelab Briged Penyelamat Sungai
Puncak Niaga pada 14 Mac 1998 antara usaha yang harus dipuji kerana berjaya menarik minat masyarakat menghargai
dan mencintai sungai. Sejak 1998 hingga 2009, program ini memberi tumpuan menerusi program pendidikan dan
kesedaran ke sekolah rendah di sekitar Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan juga Putrajaya.

Sehingga kini, 148 sekolah berdaftar membabitkan seramai 3,820 menjadi ahli kelab briged dan Puncak Niaga
membelanjakan lebih RM2 juta untuk program alam sekitar dan kelab briged. Rozali bukan nama asing dalam industri
air tempatan dan peranan dimainkannya adalah tanggungjawab sosial korporat yang selari dengan kempen kerajaan
Cintailah Sungai Kita.

Tanggungjawab sosial ini jelas seperti penekanan diberikan kepada Kelab Briged Penyelamat Sungai supaya ahlinya
bergerak aktif memupuk masyarakat menghargai khazanah dan sumber alam agar terus terpelihara. Melalui Kelab
Briged Penyelamat Sungai, pelajar diberi pendedahan dan pengetahuan untuk menghargai sungai dengan membabitkan
diri dalam pelbagai aktiviti.

Kaedah ini berupaya mengembalikan sungai kepada masyarakat. Menanamkan semangat cintai sungai ini penting
dalam memastikan generasi kini belajar menghargai sungai untuk kesejahteraan masa depan.
Alam sekitar

Isu alam sekitar - titah di abaikan lagi

LIMBARUH HIJAU 13 SEPTEMBER 2008 - KEGEMBIRAAN sebuah keluarga di Kampong Sungai Bakong Lumut
untuk menyambut bulan Ramadhan yang mubarak dan juga merayakan Hari Raya Aidil Fitri pada tahun ini hancur
berkecai apabila banjir kilat melanda rumah baglo mereka pada 23 Ogos 2008 lalu.Musibah yang menimpa keluarga
seramai 14 orang itu memang tidak disangkakan dan dijangkakan kerana sejak hampir 20 tahun mereka menetap di
kawasan itu tidak sekalipun mereka pernah mengalami masalah banjir seperti itu walaupun hujan turun selebat
mana.Malang tidak berbau. Sedang mereka nyenyak tidur limpahan air dari tapak pembangunan di belakang rumah
mereka di sebabkan hujan lebat yang tidak henti-henti sejak awal malam lagi dengan cepat membanjiri rumah
mereka.Dalam beberapa minit sahaja seluruh kawasan rumah di tenggelami air. Mereka sekeluarga tidak sempat untuk
menyelamatkan barang-barang rumah yang sudah terjejas oleh banjir kilat itu.

Sejak malam itu mereka terpaksa meninggalkan rumah tempat mereka berteduh sejak hampir 20 tahun lalu dan
menginap buat sementara di rumah persinggahan kerajaan di Kuala Belait dan kemungkinan mereka akan di tempatkan
di flat kerajaan memandangkan rumah tempat mereka berlindung itu tidak dapat di gunakan lagi.Dapat dibayangkan
betapa tidak selesanya keluaraga Awang Haji Amba bin Syawal @ Awang Haji Mohd Zaini yang terpaksa
meninggalkan rumah kesayangan mereka di Simpang 508 TOL 3072 Jalan Sungai Bakong Lumut itu.Kerugian harta
benda yang mereka alami juga bukan sedikit.

Persoalannya sekarang apakah mereka akan diganti rugi? Siapa yang harus bertanggunjawab keatas kerugian yang
mereka alami itu? Menurut Awang Haji Amba mereka telah dinasihatkan oleh salah seorang orang penting di Lumut
agar 'jangantah luan dibising-bisingkan' masalah mereka itu.Mungkin apa yang di maksudkan ialah mereka tidak perlu
mendedahkan masalah mereka kepada umum.

Kalau itu yang dimaksudkan persoalan yang timbul ialah kenapa masalah tersebut harus di sembunyikan dari
penegtahuan orang ramai atau mungkin ianya mahu di sembunyikan dari pengetahuan orang-orang terten.Apa yang
jelas kegembiraan dan keselesaan sebuah keluarga telah di ragut oleh kejadian banjir kilat yang tidak di sangkakan
selain dari harta benda yang juga turut rosak oleh musibah banjir tersebut.Dari tinjauan Aspirasi-NDP ke tempat
kejadian jelas menunjukkan banyak persoalan yang perlu di jawab oleh pihak-pihak berkenaan dan juga pemborong
yang diberikan kontrak memajukan tapak untuk skim perumahan negara itu.

Antaranya apakah tidak ada perancangan awal dari pihak berkenaan untuk memastikan kerja-kerja pembinaan di
kawasan tersebut tidak akan menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan penduduk di persekitaran tapak tersebut?Dari
maklumat yang di terima dari Awang Haji Amba, sistem saliran air sementara bagi mengelakkan kebanjiran di kawasan
rumah beliau dan persekitarannnya sebelum kejadian itu tidak di sediakan dengan baiknnya.Katanya sebelum kejadian
tersebut dia sudah beberapa kali menegur pemborong agar mengambil langkah awal bagi mengelakkan kejadian banjir
di kawasan rumah beliau, malangnya tegurannya tidak di indahkan.

Dalam hal ini memang kita tidak heran kenapa pemborong malas ingau akan teguran orang awam ini.Ini kerana pihak-
pihak tertentu mungkin juga kurang ingau dalam menjalankan tugas dan tanggunjawab mereka makanya pemborong
kurang peka dengan keselamatan dan kesejahteraan awam.Kalau ini hakikatnya kita tidak heranlah kenapa masalah
yang menimpa Awang Haji Amba dan keluarga perlu 'disembunyikan' dari pengetahuan umum atau dari pengetahuan
orang atasan.Kerana jika projek tersebut dilaksanakan dengan perancangan yang teliti apa yang terjadi kepada keluarga
Awang Haji Amba sebenarnya boleh di elakkan.

Ianya juga boleh dielakkan jika pihak-pihak tertentu termasuk pemborong menagmbil serious teguran KDYMM
Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam
titah sempena menyambut Tahun Baru Hijrah 1429 yang disiarkan ke seluruh negara melalui Radio dan Televisyen
Brunei.Mungkin ramai yang sudah lupa akan teguran Baginda Sultan tersebut. Untuk membantu mengembalilkan
ingatan semua di sini di siarkan sekali lagi titah Baginda tersebut.
sukan

Aksi juara dunia terus lesu

GENEVA, Switzerland - Penyandang juara, Itali mengharungi satu lagi aksi lesu menjelang Piala Dunia
selepas hanya mampu seri 1-1 dengan Switzerland dalam perlawanan pemanas badan terakhir sebelum
terbang ke Afrika Selatan.

Turun tanpa kapten, Fabio Cannavaro, benteng pertahanan Itali masih mantap, namun mereka kekeringan
idea di jentera serangan, menyebabkan perlawanan hambar tanpa banyak peluang ke gawang lawan.

Switzerland sebaliknya mencipta beberapa percubaan, mendominasi bahagian tengah dan membuka
jaringan pada minit ke-10.

Gokhan Inler menyempurnakan hantaran cantik Alexander Frei untuk merembat bola tepat ke penjuru pintu
gol menewaskan penjaga gol Itali, Federico Marchetti.

Itali berjaya menyamakan kedudukan lima minit kemudian apabila Fabio Quagliarella melompat tinggi
untuk menanduk bola biarpun sudah terkeluar dari posisi untuk menumpaskan penjaga gol Switzerland,
Diego Benaglio.

Kecuali gol nasib Quagliarella, tidak banyak gerakan kreatif dicipta Itali, yang tampak kurang menyerlah di
bahagian tengah dengan ketiadaan Alessandro Pirlo yang cedera.

Jurulatih Itali, Marcello Lippi merehatkan sebahagian tonggak utama, termasuk Mauro Camoranes. Satu-
satunya pemain utama yang beraksi adalah kapten, Gianluca Zambrotta.

Lippi bagaimanapun menegaskan, dia tidak menurunkan skuad kedua biarpun melakukan banyak
perubahan berbanding barisan yang kalah kepada Mexico.

"Ini bukan pasukan No. 2 Itali. Pada saya hanya ada satu Itali dan semua pemain sebahagian daripadanya.
Mereka adalah pemain-pemain yang hebat.

"Sebelum ini lagi saya sudah beritahu, ada dua perlawanan pemanas badan, satu pasukan akan menentang
Mexico dan satu lagi bertemu Switzerland,'' kata Lippi, yang menambah, beliau percaya perlawanan kedua
lebih baik.

Kreativiti Inler banyak memacu gerakan Switzerland, yang turut diperkuatkan dua serangan berbisa, Frei
dan pemain Twente, Blaise Nkufo, manakala Salvatore Bocchetti memastikan benteng mereka sukar
ditembusi.

Peluang terbaik Itali hadir menerusi Gianluca Zambrotta dan Christian Maggio, namun mereka gagal
mencari penyudah sempurna.

Lippi kemudian menggantikan Quagliarella di separuh permainan babak kedua untuk membawa masuk
Antonio di Natale, Antonio Gilardino pula menggantikan Giampalo Pazzini.

Pertukaran tersebut tidak banyak membantu skuad Azzuri. - AFP


pendidikan

Kemasukan baru
Oleh Khairina Yasin

2010/06/07

SERAMAI 36,000 lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu terpilih mengikuti program asasi dan diploma di
institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi sesi pengajian 2010/2011.

Jumlah yang terpilih daripada 185,492 permohonan itu meningkat 6.2 peratus atau 34,595 berbanding pengambilan sesi
akademik lalu berikutan peningkatan jumlah lulusan yang menduduki SPM tahun lalu.
Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi, Prof Datuk Dr Radin Umar Radin Sohadi,
berkata pendaftaran calon bagi program asasi sudah pun bermula 23 Mei lalu dan berakhir semalam. Bagi program
diploma pula, beliau berkata, masing-masing akan mula mendaftar pada 3 dan 4 Julai ini di semua IPTA yang sudah
ditetapkan.

“Proses pengambilan masih sama dengan mengekalkan sistem meritokrasi. Syarat kelayakan mengambil kira
pencapaian akademik 90 peratus dan 10 peratus lagi bagi aktiviti kokurikulum.

“Syarat ini sebagai penanda aras kepada tahap kecemerlangan calon. Kementerian juga mengguna pakai sistem
penggredan baru yang diselaraskan Kementerian Pelajaran bagi calon lepasan SPM sebagai syarat asas diterima masuk
ke IPTA,” katanya.

Sambil melahirkan rasa puas hati terhadap kelancaran sistem permohonan kemasukan pada sesi akademik kali ini,
Raden Umar berkata, pihaknya mengakui masih ada pengulangan kesilapan daripada calon yang menjadi punca
kegagalan mereka ditawarkan tempat di IPTA.
Katanya, faktor kecuaian calon didapati punca utama. Calon gagal mengisi permohonan dalam talian dengan sempurna
selain pemilihan program pengajian tidak memenuhi kelayakan.

“Ini termasuk kecenderungan calon memilih universiti perdana sebagai IPTA pilihan bagi mengikuti program lebih
kompetitif antaranya perubatan dan kejuruteraan.

“Kesilapan ini menyebabkan calon cemerlang gagal dalam permohonan mengikuti pengajian bidang yang diharapkan,”
katanya.

Mengenai rayuan permohonan calon yang gagal mendapatkan tempat pula, Radin Umar berkata, keputusan
mengenainya hanya akan diketahui pada minggu ketiga Julai ini.

Beliau berkata, kemasukan ke IPTA pada sesi kali ini juga mencatatkan penguasaan berterusan pelajar perempuan
berbanding lelaki.

“Golongan ini terus mendominasi sistem pengajian tinggi negara kerana berdasarkan merit masing-masing
mempunyai kelayakan yang diperlukan malah mencatatkan keputusan membanggakan pada SPM selain aktif dalam
kokurikulum,” katanya.
dunia

Israel bebas 7 aktivis Rachel Corrie ke Jordan

2010/06/07

Turut dihantar balik penerima anugerah keamanan Nobel Ireland

ALLENBY BRIDGE: Israel menghantar pulang tujuh daripada 19 aktivis daripada kapal bantuan
kemanusiaan Rachel Corrie yang cuba menembusi sekatan di Gaza semalam ketika memuncaknya gesaan
agar sekatan itu ditamatkan.

Baki 12 lagi aktivis juga dihantar pulang lewat semalam, kata seorang pegawai Israel, sementara Perdana
Menterinya, Benjamin Netanyahu mempertahankan serbuan ke atas kapal MV Mavi Marmara sebelum ini
yang mengakibatkan sembilan maut.
“Semua orang di dalam bot berkenaan dihantar pulang semalam selepas mereka menandatangani
pengecualian menggugurkan hak mereka untuk merayu kepada hakim Israel,” kata pegawai imigresen
Israel, Sabine Haddad.Enam rakyat Malaysia dan seorang warga Cuba daripada bot terbabit dihantar ke
Jordan petang semalam, dan meninggalkan Israel melalui Jambatan Allenby, kata wartawan AFP.

Israel semalam turut menghantar pulang wartawan Indonesia yang cedera dalam serbuan ke atas kapal
Mavi Marmara.

Pegawai di kedutaan Indonesia berkata Surya Fachrizal, 28, ditembak di bahagian kanan dada dan akan
dirawat di sebuah hospital di Jordan sebelum diterbangkan pulang.

Sebelas lagi yang ditahan di atas kapal Rachel Corrie - lima warga Ireland, termasuk pemenang Hadiah
Nobel Mairead Maguire dan enam rakyat Filipina – dan kapten kapal dari Scotland, meninggalkan Israel
melalui lapangan terbang antarabangsa Ben Gurion berhampiran Tel Aviv, kata Haddad.
Tentera Israel memintas dan merampas Rachel Corrie kelmarin ketika ia dalam pelayaran menuju
Semenanjung Gaza, tanpa menggunakan paksaan seperti kejadian Isnin lalu, apabila sembilan orang
dibunuh anggota komando yang menyerbu kapal itu.

Kapal Rachel Corrie seberat 1,200 tan dibawa menuju ke pelabuhan Ashdod di selatan negara itu manakala
aktivis dan anak kapal dibawa ke pusat imigresen di Holon di Tel Aviv untuk disoal siasat sebelum dihantar
pulang.

Tindakan Israel mengambil alih Rachel Corrie bagaimanapun menimbulkan kemarahan kumpulan Kempen
Penyatuan Palestin, yang beribu pejabat di Ireland.

“Buat kali kedua dalam tempoh kurang seminggu, tentera Israel menyerbu dan merampas kapal bantuan
yang tidak bersenjata, menculik penumpang dan memaksa kapal itu belayar ke pelabuhan Ashdod,” kata
seorang jurucakapnya.

Di Lubnan, dua kumpulan pro Palestin melancarkan kempen memungut derma bagi membeli kapal yang
diharap dapat belajar ke Gaza minggu depan.

Sementara itu pendakwa Turki sedang meneliti kemungkinan untuk mendakwa Israel berikutan serbuan
yang dilakukannya. – AFP
dunia

Abhisit mahu Baju Merah sertai panel

2010/06/07

Siasatan bantahan maut antikerajaan perlu dijalankan secara inklusif, tidak berat sebelah

BANDARAYA HO CHI MINH: Perdana Menteri Thai, Abhisit Vejjajiva mahu wakil ‘Baju Merah’
menganggotai panel yang akan ditubuhkan bagi menyiasat bantahan maut antikerajaan selama beberapa
minggu di Bangkok baru-baru ini.

Sejurus selepas tentera Thai bertindak meleraikan tunjuk perasaan antikerajaan itu 19 Mei lalu, Abhisit
berjanji akan menubuhkan sebuah panel bebas bagi menyiasat kejadian itu.
“Apa yang sukar sekarang ialah untuk mencari pengerusinya dan anggota panel yang inklusif, dan yang
diyakini semua pihak bahawa mereka tidak berat sebelah, maknanya kita memerlukan seseorang yang
bersimpati dengan Baju Merah dalam panel berkenaan,” kata Abhisit ketika ditemuramah oleh Reuters
pada Forum Ekonomi Dunia di sini semalam. Perdana Menteri Thai itu juga berkata tempoh darurat masih
dikekalkan buat masa ini, dan keadaan tenang mungkin membolehkan pilihan raya diadakan awal tahun
depan.

Tambahnya, beliau mahu langkah segera diambil bagi menamatkan darurat, yang dikuat kuasakan di satu
pertiga negara itu berikutan pertempuran di antara pasukan keselamatan dengan penunjuk perasaan
antikerajaan.

“Saya fikir rakyat memahami bahawa ia perlu dikuatkuasakan bagi membendung kegiatan ganas oleh pihak
tertentu,” katanya.

“Keadaan sudah tenang sekarang dan kami ingin melakukannya secepat mungkin,” katanya.
“Kami ingin memastikan semuanya berada dalam keadaan baik, dan pihak polis serta gabenor akan
memaklumkan bahawa mereka yakin boleh menanganinya tanpa perlu ditambah kuasa khas yang
diperuntukkan di bawah perintah darurat.”

“Jika pelan damai diteruskan dan jika kami memperoleh kerjasama baik, terutama daripada pihak
pembangkang, saya fikir kita boleh mengadakan pilihan raya lebih awal,” katanya.

Sementara itu di BANGKOK, Abhisit berkata adalah terlalu awal untuk menarik balik perintah darurat
selama dua bulan di kira-kira satu pertiga kawasan di negara itu termasuk Bangkok kerana bimbang akan
berlaku rusuhan baru.

“Kita perlu menerima hakikat bahawa walaupun keadaan seperti sudah kembali kepada biasa sekarang,
masalah keganasan dan keselamatan masih lagi wujud,” katanya dalam ucapan mingguannya menerusi
televisyen. –
dunia

Rusia tidak hantar tentera ke Afghanistan

SINGAPURA 6 Jun - Rusia hari ini memberikan nasihat berhati-hati kepada pegawai Amerika Syarikat
(AS) mengenai Afghanistan tetapi 'tidak akan' lagi menghantar askar ke negara yang terdedah kepada
peperangan itu, kata Timbalan Perdana Menterinya, Sergei Ivanov (gambar).

"Pada tahun depan, saya fikir ISAF akan memecahkan rekod tempoh tentera Soviet berada di
Afghnistan,"kata Ivanov dalam satu sesi soal jawab kepada delegasi persidangan keselamatan serantau di
Singapura.

Beliau merujuk kepada Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF), yang diterajui Amerika
Syarikat (AS) sejak pencerobohan mematahkan militan Taliban di Afghanistan ekoran serangan pada
September 2001 di AS.

Ivanov, bekas Menteri Pertahanan, bagaimanapun enggan mengulas mengenai taktik AS di Afghanistan
tetapi menggesa supaya lebih banyak perubahan dilakukan bagi penambahbaikan infrastruktur sosio-
ekonomi bagi menyokong usaha ketenteraan memerangi militan.

"Saya tidak boleh memberikan nasihat terutamanya secara terbuka," kata Ivanov kepada hadirin yang turut
terdiri daripada beberapa Menteri Pertahanan, pegawai ketenteraan dan cendekiawan pada forum tahunan
yang dikenali sebagai Dialog Shangri-La yang hampir ke penghujungnya.

"Saya harus mengakui... bertemu Setiausaha Keselamatan Amerika, ketua perisik utama, ketua bahagian
negeri, kami membincangkannya.

"Sekiranya kami ditanya, kami menjawab, tetapi ia terlalu sukar untuk diulas secara terbuka," tambah
beliau.

Ivanov berkata, Rusia telah menyediakan pelbagai bentuk bantuan kepada ISAF termasuk logistik,
kenderaan, dan perisik tetapi menegaskan bahawa Moscow tidak akan menghantar askar mereka ke
Afghanistan.

"Saya rasa kamu faham kenapa. Ia seperti bertanya kepada AS adakah mereka akan menghantar askar
mereka ke Vietnam di mana ia seolah-olah satu perkara yang amat mustahil," katanya.

Tentera Soviet menakluk Afghanistan dari 1979 dan berakhir pada 1989 meragut sebanyak 13,000 nyawa
tentera itu selain mendorong kepada perpecahan Kesatuan Soviet . - AFP
Sains dan teknologi

Kenderaan si pemalas?
Oleh MOHD. RIDZWAN IMAN
ridzwan@utusan.com.my

BAGI mereka yang biasa menghadiri simposium atau persidangan ke Amerika Syarikat (AS), anda tentu pernah
terserempak dengan lelaki beruniform yang mengawal simposium itu dengan menaiki kenderaan unik dikenali sebagai
Segway.Segway merupakan kenderaan roda dua yang dijana menggunakan bateri dan penunggang perlu berdiri ketika
menaiki kenderaan yang berfungsi seperti basikal atau scooter ini.

Bagaimanapun, cara operasinya agak berbeza iaitu penunggang hanya perlu mencondongkan badannya ke hadapan
untuk menggerakkan Segway ke hadapan dan mengiring ke kiri dan kanan untuk membelok.Segway telah berjaya
mendapat sambutan mengalakkan bagi pengangkutan di dalam bangunan seperti mengawal kawasan pusat dagangan,
jabatan polis, pangkalan tentera, gudang, kampus korporat dan juga sebagai kenderaan pelancong di sesetengah negara
Eropah.

Di atas kejayaan Segway, maka pelbagai syarikat kini turut cuba membangunkan kenderaan pengangkutan peribadi
yang mungkin menjadi pilihan pengguna di masa depan.Honda misalnya, baru-baru ini memperkenalkan kenderaan
prototaip dikenali sebagai Sistem Pergerakan Peribadi U3-X yang seakan fungsi seperti Segway tetapi hanya
menggunakan satu roda dan mempunyai tempat duduk.

Kenderaan ini tentu sesuai digunakan oleh mereka yang malas untuk berdiri seperti diperlukan oleh Segway. Ia juga
tentu lebih stabil daripada scooter elektrik yang kini digunakan oleh sesetengah orang dewasa untuk bersiar di taman
atau ke surau.Bagi orang-orang tua, badut, orang gemuk dan semput bila berjalan jauh, U3-X adalah pilihan terbaik
untuk mereka.Kenderaan itu mampu bergerak selaju enam kilometer sejam (km/j) dan dengan beratnya hanya 10
kilogram, pengguna dengan mudah boleh membawanya menaiki bas, diletakkan di belakang bonet kereta atau dibawa
berjalan.

Teknologi AsimoJika dicaj sepenuhnya, U3-X boleh digunakan selama sejam dan ia menggunakan beberapa teknologi
robot Asimo dari Honda untuk mengimbangi kenderaan itu dan penunggangnya. Honda menyatakan, syarikatnya
mencipta alat itu untuk membantu golongan berumur tetapi golongan itu mempunyai banyak pilihan sekarang kerana
telah banyak robot pendukung manusia sedang dicipta seperti Beruang Robot.Honda juga berharap U3-X mampu
bersaing dengan alat pengangkutan peribadi Winglet dengan dua roda yang diperkenalkan oleh Toyota dua tahun lepas.

Winglet juga merupakan scooter dua roda yang fungsinya hampir sama dengan Segway dan U3-X dengan kemampuan
bergerak selaju 6 km/j iaitu sama dengan kelajuan U3-X. Bagaimanapun, ia tetap jauh berbeza dengan kelajuan Segway
iaitu 20 km/jHonda telah menjalankan penyelidikan dalam bidang robotik sejak 1986 dan peralatan bergerak sejak
1999. Hasil kajian telah digunakan untuk pembangunan robot humanoid Asimo dan sebahagian daripada teknologi itu
digunakan untuk U3-X.

Selain itu, Honda juga mempertingkatkan teknologi pemotorannya dengan memperkenalkan motosikal konsep 3R-C di
Geneva, baru-baru ini yang melambangkan teknologi motosikal masa depan.3R-C mempunyai penutup kecil yang
melindungi tempat duduk penunggang ketika berhenti dan menjadi cermin pelindung angin ketika bergerak. Maka di
masa depan, kenderaan berkuasa elektrik akan menguasai jalan raya dan juga tempat laluan pejalan kaki kerana
manusia ketika itu mungkin juga sudah lupa bagaimana untuk melakukan senaman cara mudah dan tanpa kos - iaitu
berjalan.
Sains dan teknologi

Perlindungan untuk gajet mudah alih

PENINGKATAN kadar jenayah siber hari ini telah mengundang pelbagai masalah kepada pengguna
Internet sama ada menerusi medium komputer statik mahupun gajet mobiliti.

Antara yang sering dihadapi adalah seperti pencerobohan kandungan dan kehilangan data.Sememangnya
terdapat banyak perisian anti virus perlindungan komputer dijual di pasaran.

Namun, untuk fungsi keselamatan pada gajet mudah alih seperti telefon bimbit pula, ia belum dilaksanakan
secara meluas.Melihat kepada keperluan itu, syarikat global bagi penyelesaian keselamatan simpanan dan
pengurusan sistem komputer, Symantec telah memperkenalkan perisian Norton 360 semua dalam satu.

Selain fungsi keselamatan dan capaian fail mudah secara dalam talian, perisian tersebut juga sesuai
diaplikasikan untuk telefon bimbit android, iPad dan juga iPhone.Untuk memastikan pengguna sentiasa
dilindungi, perisian berkenaan didatangkan dengan teknologi beta sekuriti terkini iaitu sistem sokongan
data jarak jauh.

Ia turut merangkumi perlindungan serangan menerusi pelayaran web serta laman rangkaian sosial.Aplikasi
teknologi yang boleh dimuat turun secara mudah itu bakal memberi perlindungan kepada dokumen, muzik,
foto dan video yang disimpan di dalam peranti.

Menarik mengenai Norton 360, ia membenarkan pengguna mencapai storan secara dalam talian sama ada
secara pelayaran web, memuat turun atau emel.Menurut Pengurus Pasaran Produk Pengguna Symantec
Asia Pacifik, David Hall, perkhidmatan itu akan memudahkan pengguna mengakses dokumen yang
diinginkan secara mobiliti pada bila-bila masa.

''Dengan cara itu juga, pengguna akan dapat berinteraksi dengan rangkaian laman web sosial dengan lebih
selamat,'' katanya.Teknologi Norton 360 turut didatangkan dengan fungsi peningkatan prestasi komputer
serta dapat menjimatkan masa.

Di samping itu, melalui aplikasi Smart Start-up pula, sesebuah aplikasi akan dapat dijalankan dengan
mudah tanpa sebarang gangguan.Perisian versi 4.0 tersebut turut menyokong penggunaan bersama sistem
operasi Microsoft XP, Windows Vista dan juga Windows 7.

Norton 360 edisi biasa dijual pada harga RM229 untuk tiga pengguna dan RM119 untuk seorang pengguna
termasuk ruang storan dalam talian dua gigabit (GB).Untuk edisi premium pula, harga pasaran yang
ditawarkan adalah RM279 dengan kapasiti storan 25GB.

Maklumat lanjut mengenai perisian itu boleh diperolehi daripada laman http://updatecenter.norton.com.
Sains dan teknologi

Sanyo hasil produk mesra alam


Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN

PELBAGAI barangan terkini keluaran Sanyo Electric Co. Ltd (Sanyo) dipamerkan semasa
Persidangan Produk Asia Pasifik yang diadakan di Sentosa, Singapura baru-baru ini.

Persidangan berkenaan mempamerkan hampir semua produk dan sistem Sanyo yang
kebanyakannya telah menerima anugerah antarabangsa kerana reka bentuk dan persembahan. Ini
termasuk sistem tenaga pintar (SES), kelengkapan rumah dan penyelesaian digital mewakili
Sanyo dalam tiga domain utama iaitu tenaga, ekologi dan elektronik.

Ketua Pegawai Serantau Asia Pasifik Sanyo, Yoshinori Nakatani berkata, Sanyo memulakan
dengan bisnes penyelesaian tenaga pada 2009 dan telah membawa kepada peningkatan dalam
kesedaran jenama dan jualan. Sanyo telah bekerjasama dengan kedai serbaguna di Thailand
menggunakan kamera litar tertutup, alat hawa dingin dan pameran.

"Sanyo kemudian melangkah maju menjadi peneraju dalam aplikasi penjimatan tenaga, alam
sekitar dan gaya hidup, Sanyo akan terus mengembangkan bisnes penyelesaian tenaga bagi
mengurangkan pembebasan gas karbon dioksida (CO2)," katanya. Selain itu Sanyo juga akan
mengaplikasikan kemudahannya itu dalam pelbagai bangunan seperti kilang, sekolah, kedai dan
rumah di rantau Asia.

Pembangunan ekonomi di rantau berkenaan menyebabkan peningkatan bilangan kedai, pasar


raya, pejabat dan kilang. Beliau menambah, kesedaran dalam isu alam sekitar Sanyo akan
memberikan penekanan kepada perniagaan berkaitan tenaga dalam alam sekitar. "Sebagai satu
inisiatif bagi mendapatkan masyarakat dengan tenaga bersih, Sanyo akan meluaskan bisnes solar
di Singapura dan rantau Asia Pasifik," katanya.

Januari lalu, sistem fotovoltaik terbesar di Singapura menggunakan modul solar heterojunction
with intrinsic thin layer (HIT) telah digunakan di Universal Studio, Singapura.

Ia telah diiktiraf sebagai hub bagi perkongsian maklumat dan dilihat sebagai barisan depan dalam
eko teknologi dan inisiatif. Ini telah memberikan peluang kepada Sanyo untuk mempamerkan
projek berkenaan sebagai yang pertama di rantau Asia Pasifik.

Pada April lalu, Sanyo telah mula memasarkan panel HIT ke Malaysia, Thailand dan India
manakala lampu solar LED pada Julai depan. Sanyo juga akan menggunakan teknologi canggih
dan mencipta produk khusus bagi keperluan penduduk di Asia Pasifik, memberikan penekanan
bagi memastikan produknya akan mendapat permintaan menggalakkan.

"Rantau Asia Pasifik merupakan antara yang pasaran penting bagi Sanyo dan kami akan
berterusan menghasilkan produk tenaga dan alam sekitar bagi memenuhi kehendak pasaran,"
katanya.
sosial

Warga Vietnam merusuh dalam depot tahanan imigresen

HULU TERENGGANU 6 Jun - Seramai 127 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Vietnam merusuh
dalam kejadian yang dikatakan berpunca daripada pergaduhan sesama mereka di Depot Tahanan Imigresen
Ajil di sini malam tadi.

Rusuhan bermula kira-kira pukul 9.30 malam menyebabkan depot tahanan itu gempar dengan bunyi bising
kerana ketukan pintu jeriji besi, pagar dan juga suara jeritan tahanan.

Pasukan keselamatan yang terdiri daripada polis, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Bomba dan
Penyelamat dikejarkan ke depot berkenaan bagi membantu kakitangan Jabatan Imigresen yang bertugas di
depot itu.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, rusuhan berjaya dikawal daripada berlanjutan
kira-kira pukul 12 tengah malam tadi."Seramai lapan PATI cedera ringan dalam kejadian ketika cuba
memecahkan pintu blok tahanan depot berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Pengarah Imigresen negeri, Mahasan Mustapa berkata, seramai 200 PATI terdiri daripada
warga Vietnam dan Myanmar berada dalam depot berkenaan ketika kejadian malam tadi.Beliau berkata,
kejadian berpunca daripada pergaduhan membabitkan dua warga Vietnam.

"Pergaduhan pada mulanya hanya melibatkan sekumpulan tahanan baru dan lama, namun ia kemudian
merebak ke seluruh depot berkenaan."Berikutan pergaduhan itu, tahanan dikatakan cuba melarikan diri
dengan merosakkan tiga pintu blok tahanan namun tidak berjaya kerana terdapat dua lagi pintu blok yang
menghalang mereka," ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang membaiki pintu blok tahanan yang dirosakkan."Tahap keselamatan di
depot ini kini terkawal malah anggota yang bertugas sedia ada sudah cukup untuk mengawal keadaan,"
jelasnya.

Sementara itu, seorang saksi, Aminuddin Deraman, 50, berkata, dia terdengar bunyi bising termasuk suara
jeritan dan pintu jeriji diketuk dari depot tahanan itu kira-kira pukul 8 malam.

"Keadaan itu berlarutan agak lama sehingga pukul 10 malam, baru ia kelihatan sedikit reda. Ketika itu,
saya lihat ramai anggota polis sudah datang membantu mengawal keadaan," kata penjual buah-buahan di
hadapan depot berkenaan.
Alam sekitar

Pencemaran sungai kritikal


Oleh ASHRIQ FAHMY AHMAD
ashriq.ahmad@utusan.com.my

KITA sering merungut apabila air yang mengalir dari dalam paip kotor, berkarat dan mengandungi keladak.Masyarakat
hari ini sering menyalahkan kerajaan kerana tidak mengambil tindakan sewajarnya demi menjamin keselesaan mereka.

Namun sedarkah anda, punca daripada segala masalah itu adalah diri kita sendiri.Adakah sungai-sungai yang terdapat
di kawasan bandar airnya boleh diminum terus tanpa rawatan?Apa yang pasti, untuk memandang 'isi perut' sungai-
sungai ini pun sudah cukup memualkan tekak anda apatah lagi untuk menjadikannya sebagai air minuman.

Rata-rata sungai di kawasan bandar mengalir lesu, dipenuhi sampah sarap akibat sikap ambil mudah sesetengah
daripada kita yang suka mengambil jalan pintas dengan membuang sampah ke dalamnya.Hal demikian belum ditambah
lagi dengan pembuangan sisa domestik serta pihak industri yang dialirkan terus ke dalam sungai tanpa sebarang
rawatan.Menurut Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Ahmad
Zaharin Aris, sungai di negara ini boleh dibahagi kepada lima kelas.Kelima-lima kelas sungai ini ditentukan melalui
kualiti airnya.

"Ini bermaksud, sungai kelas satu memiliki kualiti air yang sangat bersih dan boleh diminum terus tanpa memerlukan
rawatan," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.Jelas Ahmad Zaharin, malangnya sungai kelas satu di negara ini semakin
berkurangan akibat tekanan pencemaran yang semakin meningkat.

Malah sungai bagi kelas ke tiga sehingga ke kelas lima semakin meningkat saban tahun.Pelbagai faktor menyumbang
kepada berlakunya pencemaran sungai antaranya penggunaan tanah dan sisa buangan.Penggunaan tanah adalah seperti
pembalakan yang mana menyebabkan mendakan (sendiment) daripada permukaan tanah mengalir ke dalam sungai
apabila hujan.Bagi kawasan pertanian, air hujan yang mengalir dari kawasan ini ke dalam sungai kebiasaannya
membawa bersama larutan baja dan racun.Ia bukan sahaja menyebabkan air sungai tercemar malah turut membunuh
hidupan akuatik yang terdapat di dalamnya.Sehingga kini kerajaan telah memperuntukan sebanyak RM500 juta dalam
Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) untuk tujuan pemuliharaan serta pemulihan sungai yang tercemar di negara
kita.

Selain itu, kos yang tinggi juga diperlukan bagi merawat air yang digunakan untuk dijadikan air minuman.Kadang kala
loji rawatan air terpaksa ditutup buat sementara waktu berikutan tidak mampu lagi merawat air yang terjejas teruk
akibat pencemaran.Kerajaan telah membelanjakan sejumlah wang yang banyak namun jika semua pihak dapat
memainkan peranan masing-masing pastinya dana tersebut dapat dialirkan kepada mereka yang lebih
memerlukan.Namun, ramai di kalangan masyarakat hari kini masih tidak menyedari hakikat ini dan hanya pandai
menyalahkan pihak-pihak tertentu apabila menghadapi krisis berkenaan bekalan air.

Justeru apakah peranan yang perlu dimainkan oleh kita sebagai masyarakat yang prihatin dengan alam sekitar dewasa
ini.Pensyarah Kanan, Fakulti Sains, UPM, Prof. Madya Dr. Ahmad Ismail berkata, untuk memastikan objektif
memulihara serta menjaga sungai tercapai apa yang penting adalah melalui pendidikan."Ia patut didedahkan kepada
masyarakat umum seawal di peringkat tadika sehinggalah ke peringkat universiti."Tidak salah jika saya katakan
bahawa sekiranya mahu ia menjadi realiti pastikan minda masyarakat kita diubah bermula daripada sekarang," ujar
beliau.

Selain itu, penglibatan serta sokongan daripada komuniti setempat juga amat diperlukan.Sebagai contoh, setiap aktiviti
pembersihan, penjagaan serta pemuliharaan sungai perlu dilakukan bersama penduduk setempat serta pihak kerajaan
agar mereka dapat menghargai sungai.Jelas Ahmad Ismail lagi, bagi para pelajar sekolah, program seumpama itu boleh
dimuatkan dalam aktiviti kokurikulum sekolah." Ia bukan sahaja dapat membentuk para pelajar yang memiliki daya
kreativiti tinggi malah dapat menambah daya kefahaman mereka dengan kerja-kerja lapangan," katanya.

Selain itu, setiap sekolah juga boleh menubuhkan kelab khas dan menjadikan sungai sebagai sungai angkat dan
program pemulihannya dapat dijalankan secara berterusan.Sehubungan itu masih belum terlambat bagi kita sebagai
rakyat negara ini untuk berubah dan memastikan sungai-sungai yang kini mengalir lesu, kotor dan menjijikkan kembali
bersih.

Alam sekitar

Semporna terus dipenuhi sampah

HARI bumi disambut Khamis lepas dengan pelbagai inisiatif dilakukan termasuklah komitmen Malaysia yang
melancarkan kempen 'Hijaukan Bumi: Satu Warga, Satu Pokok'.Melalui kempen ini, kerajaan mensasarkan akan
menanam 26 juta pokok menjelang 2014 yang turut menggambarkan kapasiti penduduk Malaysia pada masa
ini.Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Unggah Embas ketika pelancaran kempen itu berkata,
dianggarkan seluas 38,470 hektar kawasan hutan terosot, kawasan hutan yang telah dibalak, kawasan pesisiran pantai
dan kawasan-kawasan bandar akan ditanam pokok melalui kempen itu menjelang 2014.

Bidai melihat ini merupakan satu usaha proaktif dalam menghijaukan bumi yang kini dilihat semakin 'menipis' dek
kerana pembalakan haram dan penerokaan hutan secara berleluasa.Namun Bidai merasakan, kita sebagai penduduk
Malaysia dan jika merasakan diri kita seorang yang prihatin, tak perlulah menunggu sehingga Hari Bumi diadakan
setiap tahun untuk mula menghijaukan bumi.Kita sepatutnya sudah boleh memulakan sendiri setiap hari dengan
menanam pelbagai jenis pokok di sekitar kawan perumahan.Mungkin ada yang mengatakan mereka menetap di
kondominium atau flat yang tidak mempunyai tanah untuk membolehkan mereka menanam pokok.Bagi Bidai itu
merupakan satu alasan remeh yang boleh diselesaikan dengan satu fikiran yang positif.

Bukan apa, pada Bidai, kita tidak perlu hanya mahu menanam pokok yang besar sahaja, namun adalah memadai jika
kita menanam pokok-pokok kecil di sekeliling rumah dan lebih baik pokok-pokok yang boleh kita tuai hasilnya.Ini
termasuk pandan, kari, limau, lada dan lain-lain pokok yang benihnya boleh dibeli secara mudah di mana-mana pasar
raya. Tak perlu nak menanam pokok besar kerana fungsinya tetap sama.Jadi tidak ada tanah bukan lagi satu alasan
untuk sesiapa tidak menanam pokok selepas ini dan kalau boleh Bidai berharap, janganlah hasrat menanam pokok
dilakukan setahun sekali ketika tibanya Hari Bumi setiap 22 April.Apa pun, Bidai nak tabik kepada kerajaan kerana
meneruskan aktiviti menanam pokok dalam menghijaukan negara ini. Untuk rekod, kempen ini dijalankan di seluruh
Malaysia serentak.

Dalam pada itu, Bidai juga nak angkat topi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana terus
merancakkan pembangunan teknologi hijau semasa lawatan beliau ke Washington dan Tokyo baru-baru ini.Di sana
beliau turut membuka peluang kepada firma kedua-dua negara untuk melabur dalam aspek teknologi hijau terutama
teknologi hijau yang boleh diperbaharui.Bidai melihat ini sebagai langkah berterusan bagi membolehkan negara
membangun dengan meningkatkan penggunaan teknologi hijau yang sememangnya dapat menyelamatkan alam sekitar.

Namun, dalam kepesatan dan promosi berterusan yang dijalankan oleh kerajaan, Bidai agak runsing dengan keadaan
yang sedang berlaku di Semporna Sabah.Bagi Bidai yang pernah ke sana dan rungutan daripada seorang rakan Bidai
yang baru-baru ini ke Pulau Mabul, pintu masuk ke Pulau Sipadan, keadaan di Semporna amat memalukan.Dilihat dari
udara (gambar kecil), Semporna merupakan bandar dengan pemandangan laut yang amat cantik dan bagi pelancong
yang sanggup mengembara tidak kurang daripada 15 jam untuk ke Pulau Sipadan, keindahan itu amat dinanti-nantikan.

Namun selepas tiba di Semporna dan menaiki bot untuk ke Pulau Mabul atau mana-mana pulau yang berdekatan,
keadaan sebaliknya berlaku.Sampah sarap , kotor dan bau yang meloyakan menyambut ketibaan pelancong
tersebut.Amat memalukan dan keadaan ini berlaku sepanjang perjalanan mereka dari Semporna ke Pulau Mabul.Rakan
Bidai mengatakan, botnya terpaksa berhenti beberapa kali ekoran sampah yang melekat pada kipas bot dan ini satu
yang memalukan.Sipadan dan Mabul satu nama besar dalam komuniti selam skuba antarabangsa dan ramai yang
memperkatakan mengenai keindahan dan keunikan yang ada di situ, malah Semporna juga menjadi antara tajuk
perbualan mereka mengenai kepelbagaian spesies marin yang unik.Jadi Bidai yang rasanya sudah dua kali
mengutarakan perkara ini berharap, Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Shafie Apdal meninjau-ninjau apa yang
sedang berlaku di situ.

Kalau pendekatan biasa tidak mampu dilaksana, pendekatan memujuk ketua kampung, penduduk kampung dan juga
generasi muda perlu dilakukan dan ia perlu dilakukan setiap masa dan bukan hanya pada satu dua program
sahaja.Minggu ini Regata Lepa-Lepa akan berlangsung dan pastinya ramai pelancong asing akan di Semporna, dan
tidakkah kita malu jika mereka akan menutup hidung sambil menyaksikan keindahan dan kemeriahan Regata Lepa-
Lepa.
Buatlah sesuatu agar Semporna tidak hanya dibual mengenai keunikan alam marin sahaja tetapi lebih kepada keindahan
dan kebersihan bandar pintu masuk Pulau Sipadan itu.

pendidikan

Beri laluan 'bas kuning'


Oleh WAHID HASHIM
pendidikan@utusan.com.my

MEMANFAATKAN cuti sekolah dengan aktiviti berfaedah memang amat digalakkan. Kebanyakan sekolah membawa
murid atau pelajar masing-masing berombongan ke destinasi yang difikirkan sesuai dan menarik.

Ada yang jauh dan ada yang dekat. Maka, ada yang menyewa bas pelancong, bas awam dan bagi yang bajet 'sekerat',
maka bas berwarna kuninglah yang akan disewa untuk berombongan.

Ketika cuti sekolahlah ibu bapa - dan sesiapa sahaja yang mengambil cuti tahun - akan memandu ke destinasi masing-
masing. Ada yang pulang ke kampung, menuju ke pantai, taman tema, mendaki bukit atau gunung, berhibur di hutan
belantara, melepak hutan batu atau sebagainya.

Jadi, kita boleh membayangkan suasana trafik jalan raya yang cukup sesak dengan pelbagai jenis kenderaan, pelbagai
ragam pemandu, sudah tentu anak-anak kita yang berhati riang hendak bercuti bersama-sama rakan taulan dan guru
pada cuti persekolahan ini.

Di sinilah terletaknya hati budi kita sebagai masyarakat yang prihatin tentang keselamatan kanak-kanak, kerana sedikit
sebanyak nyawa mereka berada di tangan kita, pengguna jalan raya yang 'berlesen'.

Kita perlulah menganggap kanak-kanak yang berada di dalam bas itu seperti anak kita sendiri.

Kita tahu bukan semua bas sekolah ini berada dalam keadaan yang baik untuk berada di lebuh raya. Sebahagiannya
yang telah berusia antara 20 hingga 30 tahun tidak segagah kenderaan baru.Kita pernah membaca bahawa Lembaga
Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) bersetuju untuk melanjutkan had usia kenderaan bas sekolah daripada 20
tahun kepada 30 tahun berkuatkuasa 1 Januari 2010.Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia (PPBSM), pernah
memberi jaminan bahawa bas sekolah yang sudah berusia lebih 20 tahun masih boleh beroperasi dalam keadaan baik
dan selamat.

Keyakinan itu diperkuatkan lagi dengan jaminan bahawa pihak persatuan sentiasa memastikan bahawa setiap bas yang
beroperasi mendapat kelulusan daripada Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), atau diservis terlebih
dahulu.Kira-kira 35 peratus bas sekolah di negara ini terdiri daripada bas yang berusia lebih 30 tahun tetapi masih
selamat digunakan.

Sekadar cadangan, syarikat bas ekspres Mara Liner boleh disaran menyediakan pengangkutan bas sekolah bagi
memberikan perkhidmatan yang lebih selamat dan selesa kepada murid-murid. Cadangan ini sebenarnya pernah
dikemukakan Persatuan Kebajikan Pengguna Johor (JCWA), yang meyakini penglibatan syarikat itu dapat mengatasi
masalah sesetengah pengangkutan bas sekolah yang boleh dipersoalkan tahap keselamatannya.

Walau apa pun janji serta cadangan pengusaha dan penguat kuasa ini, bertimbang rasalah kepada bas kuning ini
sekiranya berselisih di lebuh raya pada cuti persekolahan ini.Jangan menghimpit, jangan melakukan provokasi seperti
menekan hon berkali-kali, menunjukkan isyarat lucah atau memaki hamun sama ada pemandu atau
penumpangnya.Mungkin anak saudara kita salah seorang daripada penumpangnya.

Kita mendengar jaminan demi jaminan daripada penguat kuasa dan pengusaha. Waima apa pun, sebagai pengguna jalan
raya, kita perlu menghormati pengguna lain, khususnya jika ia melibatkan kanak-kanak sekolah. Jika berlaku tragedi,
maka kitalah yang akan menanggung penyesalan sehingga ke akhir hayat.

Selamat bercuti. Pandu cermat, jiwa selamat.


pendidikan

Utusan bersama anak Kampung Baru

KUALA LUMPUR 6 Jun - Kanak-kanak Kampung Baru, Kuala Lumpur menerima suntikan program Motivasi Utusan
Malaysia, semalam - platform terbaik persiapan mentransformasikan kawasan tersebut kepada kawasan komersial yang
total tidak lama lagi.

Kehadiran 'orang kuat' Kampung Baru, Datuk Matshah Safuan, yang turut mengingatkan kanak-kanak dan ibu bapa
tentang kepentingan pelajaran dalam mengharungi cabaran yang mendatang, turut membuka jalan kepada proses
persiapan mental serta survival dalam mengurus tadbir perubahan generasi akan datang di situ, lapor WAHID
HASHIM.

''Kerajaan sudah memberikan pelbagai bantuan supaya anak-anak kita berjaya, supaya mereka boleh membantu diri
sendiri, keluarga dan negara bangsa," katanya semasa bertemu dengan peserta dan ibu bapa pada Program Motivasi
Diri dan Seminar Strategi Ambang Peperiksaan (SAP) Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2010 di The
Regency Hotel, Jalan Raja Alang, Kuala Lumpur.

Program anjuran bersama Rukun Tetangga Kampung Periok, Komuniti Bestari Kampung Periok dan Persatuan
Kebajikan Anak-Anak Melayu Kampung Baru (PAKAM), Kuala Lumpur, dengan kerjasama Portal Pendidikan
Utusan Malaysia dan Kesatuan Kakitangan Akademik UiTM (MITASA).

Program dikendalikan oleh Penasihat Portal Pendidikan Utusan Malaysia, Dr. Ismail Zain melalui sesi Dinamika
Pelajar serta guru panel pakar Utusan Malaysia yang menyampaikan SAP.

Kepada ibu bapa di Kampung Baru, Matshah berkata, mereka perlu memainkan peranan dan memberikan sambutan
terhadap program seperti itu atau mungkin menyebabkan kerugian kepada anak-anak.

Katanya, program motivasi sangat penting kepada kanak-kanak ketika masih rebung, kerana pengamatannya semasa di
beberapa buah negara, khususnya di Korea Selatan, mendapati ibu bapa sangat kuat memotivasikan anak-anak mereka.

''Kanak-kanak tidak diberi peluang sangat, mereka belajar seawal 6 pagi sehingga 6 petang, kemudian 3 jam
menyiapkan kerja sekolah, tidur pun agak lewat," katanya.

Begitulah cara Korea Selatan membangunkan kapasiti modal insannya ke tahap maksium, kerana mereka sedar bahawa
negara Korea Selatan tidak ada sumber semulajadi seperti gas, minyak dan sebagainya - yang ada ialah sumber idea,
pemikiran dan manusia itu sendiri, kata Matshah.

Matshah ialah Pengerusi The Regency Hotel, dan juga Presiden PAKAM. Beliau juga Ketua Cawangan UMNO di situ.

Matshah juga berharap program dapat dikembangkan kepada calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM).

Sementara itu, wakil urus setia, Azman Ahmad dalam ucapannya berharap program berkenaan dapat mengasah
kemahiran dan tip strategi belajar, untuk melahirkan pelajar yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Dr. Ismail pula memuji semangat yang ditunjukkan oleh semua pihak, khususnya para peserta yang telah menunjukkan
disiplin yang tinggi dan minat untuk sukses dalam kehidupan.
sukan

Malaysia cari kombinasi terbaik


Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

KUALA LUMPUR -- Beberapa siri perlawanan persahabatan yang bakal diharungi Malaysia dalam
tempoh terdekat akan digunakan jurulatih bola sepak kebangsaan, K. Rajagobal untuk mencari kombinasi
terbaik bagi menghadapi Sukan Asia dan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFF).

Bulan ini saja, Malaysia akan diuji tiga kelab Eropah, sama ada bertemu kelab Liga Divisyen Satu Rusia,
Terek Grozny atau Alaniya Vladikavkaz, juara liga Azerbaijan, Inter Baku Azerbaja atau kelab Romania,
Steniss Tiras dari 10-20 Jun ini.

Menurut Rajagobal, dia akan menentukan tiga daripada empat pasukan yang akan ditemuinya kepada
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada hari terakhir sebelum berangkat ke Turki, Rabu ini. Semua
perlawanan akan diadakan di Antalya, Turki.

"Mungkin juga saya akan bermain dengan keempat-empat kelab berkenaan, semuanya bergantung kepada
kesesuaian masa dan keadaan apabila berada di sana.

"Namun, saya gembira kerana dengan perlawanan persahabatan yang diaturkan ini memberi ruang dan
pengalaman buat pemain beraksi di pentas antarabangsa, sekali gus membantu saya mengenal pasti
kombinasi terbaik sebelum dua kejohanan besar.

"Kelab-kelab tersebut mempunyai ramai pemain yang berkualiti, jadi ini adalah kesempatan serta ujian
terbaik untuk menguji watak sebenar pemain kita apabila beraksi Eropah,'' katanya kepada Utusan
Malaysia, semalam.

Berdasarkan kedudukan liga, Grozny sedang berada di tangga kelapan Liga Rusia mengatasi kelab Dinamo
Moscow selepas 11 perlawanan sementara kelab Alaniya Vladikavkaz di tangga ke-13.

Liga Rusia mempunyai beberapa kelab handalan seperti juara Piala UEFA 2008, Zenit St. Petersburg, dua
pasukan yang beraksi di Liga Juara-Juara iaitu CSKA Moscow dan Rubin Kazan.

Malah, Malaysia juga akan menentang kelab England, Cardiff City yang baru dimiliki tokoh korporat
terkenal, Tan Sri Vincent Tan pada 17 Julai ini, sebelum dijangka bertemu Real Madrid, yang dijadual
datang ke Malaysia, Ogos ini.

Skuad negara juga berpeluang menguji skuad bawah 23 tahun Korea selatan.

Selain itu, Rajagobal berkata, dia tidak sabar menanti pertemuan dengan Real yang disifatkannya
membariskan ramai pemain terbaik dunia pada masa ini.
"Satu pengalaman yang saya fikir amat berguna buat saya dan pemain berdepan dengan Real. Diharapkan,
kami dapat beraksi dengan baik dalam perlawanan berkenaan.

"Apa yang penting, perlawanan itu mampu memantapkan lagi keyakinan pemain untuk menghadapi dua
kejohanan penting pada penghujung tahun nanti, '' katanya.

sukan

Capello ambil risiko

RUSTENBURG - Meskipun sudah kehilangan kapten dan tonggak pertahanan, Rio Ferdinand akibat
kecederaan, jurulatih England, Fabio Capello tetap enggan merehatkan tonggak utamanya apabila
menentang kelab tempatan, Platinum Stars dalam perlawanan pemanas badan Piala Dunia terakhir, hari ini.

Jika ada sesiapa yang mahu melihat bayangan kesebelasan utama skuad The Three Lions itu apabila
membuka kempen Piala Dunia menentang Amerika Syarikat, Sabtu ini, mereka boleh melihatnya pada
pertemuan dengan Platinum Stars.

Menurut Capello, beliau mahu menurunkan semua pemain utama kerana hendak menguji mereka sekurang-
kurangnya untuk tempoh 45 hingga 60 minit.

"Adakah ia berisiko? Saya tidak tahu,'' ujar jurulatih kelahiran Itali itu.

Capello merehatkan beberapa tonggak utama dalam dua perlawanan pemanas badan terdahulu, menentang
Mexico dan Jepun, bulan lalu.

Ketika ditanya bukankah ia tindakkan berisiko menurunkan pemain seperti Wayne Rooney, Steven Gerrard
dan Ledley King yang baru sembuh dari kecederaan, Capellomembalas: "Saya tidak rasa begitu."Kedegilan
Capello dipengaruhi oleh aksi kurang meyakinkan England pada dua pertemuan dengan Mexico dan Jepun.

Biarpun memenangi kedua-dua perlawana, jurulatih itu percaya dia belum dapat menguji pemain dengan
sepenuhnya, sekalipun sedar ujian yang bakal dilakukan mampu mengundang risiko.

"Memanglah ini cuma perlawanan persahabatan tetapi anda juga memerlukan persediaan sebelum bertemu
Amerika Syarikat. Sudah tentu kami akan berhati-hati dengan kecederaan tetapi persiapan tetap kena
diteruskan. "Saya akan menurunkan semua pemain yang bakal beraksi menentang Amerika Syarikat,
mungkin untuk tempoh 45 atau 60 minit,'' ujar Capello lagi.

Tegas Capello, walaupun insiden yang menimpa Ferdinand mengecewakan pemainnya tetapi dia berkata,
perkara itu tidak seharusnya mengganggu perancangan mereka.

"Saya sudah mempunyai pelan kecemasan jika ada pemain cedera tetapi biasanya saya menggunakan pelan
itu ketika perlawanan dan bukan latihan,'' katanya.Capello memanggil pertahanan Tottenham, Michael
Dawson untuk menggantikan Ferdinand, namun dia mengakui tidak membenarkan Dawson menjalani
latihan berat.
Selain itu, Capello juga 'memasang mata' menjelang pertemuan dengan Amerika apabila menghantar
pembantunya, Franco Baldini dan bintang yang cedera, David Beckham ke Johannesburg untuk menonton
aksi pemanas badan Amerika dan Australia kelmarin.

Australia bermain buruk dan membenarkan Amerika Syarikat menguasai perlawanan untuk mencatat
kemenangan 3-1.

Kata Capello, beliau akan menganalisis rakaman perlawanan itu tetapi menolak untuk mendedahkan taktik
yang bakal digunakan. - AGENSI

sosial
Punca-punca Gejala Sosial
Isu bohsia, buli di sekolah, lari dari rumah, buang bayi, rogol dan penganiayaan kanak-kanak adalah
simptom yang muncul kerana kegagalan sistem pendidikan, institusi kekeluargaan dan penguatkuasaan.
Hakikatnya gejala sosial ini semakin membesar dan membimbangkan (Ahmad Rezuwan, 2003). Laporan
daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia dan statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia
(PDRM) menunjukkan penglibatan dalam gejala sosial bermula seawal umur 10 tahun. Mengikut
perangkaan yang dikeluarkan pada tahun 2005 oleh PDRM, sebanyak 76,403 kes jenayah yang dilaporkan
pada tahun tersebut di seluruh negara melibatkan jenayah berbentuk kekerasan dan jenayah harta benda.

Perangkaan yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia menunjukkan aliran peningkatan kes sejak tiga
tahun lalu yang melibatkan kelompok umur berkenaan dengan purata kes sebanyak 200 dan melibatkan
120 tangkapan setiap bulan. Kegiatan pelajar ini merangkumi penyalahgunaan dadah, gangsterisme dan
perilaku seks bebas.

Sayed A. Rahman (1996) menyifatkan gejala sosial ialah perlakuan yang merangkumi berbagai-bagai
tingkah laku negatif masyarakat yang tidak membawa sokongan dan keuntungan kepada kekuatan sistem
dan struktur ekonomi yang diamalkan oleh sesebuah masyarakat dan negara. Hamzah (2002) berkata
gejala sosial dilihat sebagai satu perlakuan manusia yang terkeluar dari batas-batas normal dan diterima
umum, baik dari aspek agama, sosial serta budaya kehidupan masyarakat. Manakala Mohammad Shatar
(2003) menyatakan perlakuan yang berbagai-bagai ini dianggap sebagai gejala atau masalah sosial
sekiranya perkara yang berlaku itu telah menyalahi nilai dan norma kehidupan masyarakat.

Gejala sosial merupakan fenomena modenisasi dan kejutan budaya yang melanda golongan remaja dan
belia (Mohd Fadzil & Ahmad Rashid, 2006). Keadaan ini berlaku disebabkan kesan globalisasi yang
melanda di seluruh dunia. Konsep dunia tanpa sempadan yang pada awalnya ditumpukan kepada
perkembangan ekonomi telah menular dalam hampir semua ruang lingkup kehidupan manusia sejagat. Di
samping membawa kebaikan khususnya dalam perkembangan pendidikan dan teknologi maklumat,
globalisasi pada hakikatnya telah membawa perubahan besar dalam corak hidup keluarga dan masyarakat.
Ia juga membentuk cara berfikir individu dan menjadikan perjalanan hidup semakin kompleks dan rumit.

Globalisasi dan modenisasi juga menyebabkan berlakunya perubahan nilai dalam diri individu, keluarga dan
masyarakat. Pengaruh media massa yang memaparkan budaya yang berbeza dengan masyarakat
tempatan telah memecahkan dominasi nilai-nilai tradisi sama ada nilai bangsa atau agama. Nilai-nilai yang
terbentuk melalui budaya dan agama semakin terhakis kerana desakan kuat elemen-elemen yang sangat
asing dibawa bersama oleh media massa yang turut mempengaruhi sosiobudaya masyarakat.

Masyarakat membentuk sistem nilai berasaskan proses sosiolisasi yang menunjuk ajar bagaimana untuk
bertingkah laku. Sosiolisasi merujuk kepada pengaruh keluarga, sekolah, institusi agama, pertubuhan bukan
kerajaan dan politik, pengalaman kerja, media massa dan kumpulan rakan sebaya. Nilai-nilai dipelajari dan
dinyatakan melalui perlakuan dan komunikasi. Nilai memberi hala tuju tindakan terakhir yang boleh
dijangkakan dan membantu mengenal pasti baik atau buruk, betul atau salah. Nilai yang dikongsi bersama
oleh masyarakat akan mengelakkan sesuatu konflik berlaku kerana fungsi nilai ialah mengehadkan ruang
dan peluang untuk konflik daripada merebak dan mengganggu sistem nilai, perpaduan dan kesejahteraan
masyarakat.

Kemodenan menyebabkan perubahan yang sangat ketara dalam proses sosiolisasi. Nilai-nilai tradisi
masyarakat tradisional seperti gotong-royong, ziarah-menziarahi dan bantu-membantu semakin luntur di
dalam masyarakat moden. Gotong-royong umpamanya, tidak lagi kedapatan secara meluas di bandar-
bandar sebaliknya digantikan dengan perkhidmatan berbayar. Peredaran masa menyebabkan nilai-nilai
tersebut merosot dengan teruknya dan digantikan dengan nilai kontemporari yang disesuaikan dengan
kehidupan moden. Sistem pendidikan adalah elemen yang sangat mustahak untuk mengukuhkan nilai-nilai
yang dikehendaki bagi menggantikan nilai-nilai yang tidak menyumbang kepada kemajuan.

Kajian oleh Universal McCann Malaysia yang bertajuk ‘Nilai-nilai moral kian terhakis?’ menyatakan
pencapaian dunia seperti pembangunan fizikal dan ekonomi yang rancak dicacati oleh senario gaya hidup
moden yang membelakangkan kemurniaan akhlak dan keluhuran budi. Demi mengecapi kejayaan, ada
yang sanggup berbuat apa sahaja termasuklah mengenepikan nilai-nilai moral yang sepatutnya menjadi
pegangan hidup setiap individu (The Star, 9 Disember 2006).

sosial

Kisah keinsafan mendekatkan diri kepada Allah

SAYA adalah salah seorang daripada jutaan peminat penyanyi dan pelakon terkenal era 1970-an dan 1980-an, Noor
Kumalasari. Lagu-lagu nyanyiannya dahulu seperti Mata dan Selamat Pagi Sayang dapat saya hafal liriknya hingga
sekarang.

Hubungan akrab serta aksi duetnya dengan Allahyarham Sudirman juga adalah momen-momen manis yang pasti kita,
generasi ketika itu, takkan dapat lupakan. Begitulah juga lakonannya dalam filem-filem seperti Menanti Hari Esok,
Tiada Esok Bagimu, Abang dan Esok Untuk Siapa, sangat terkesan di hati penonton.

Justeru, kita begitu terkejut apabila Noor Kumalasari tiba-tiba menarik diri dari dunia seni serta peragaan yang telah
mempopularkannya dan tidak lama kemudian muncul dengan imej berjubah hitam. Anak-anaknya pula sering berjubah
putih.

Penampilan baru Noor Kumalasari itu tentunya membawa kegembiraan kepada masyarakat. Tetapi persoalannya,
mengapa beliau berubah begitu cepat? Apakah yang mendorong artis tersebut berubah, dan adakah mungkin berlaku
sesuatu kepadanya, tetapi beliau tidak mahu menceritakannya?

Lama persoalan itu berteka-teki di fikiran saya. Tetapi tiada jawapan daripada beliau. Tanpa diduga, persoalan itu
akhirnya terjawab juga, dan saya menemui jawapan itu di dalam sebuah buku yang sangat menginsafkan, berjudul
Insaf! Perjalanan Kami Mencari Tuhan. Buku itu dibeli baru-baru ini.Barulah kita tahu, rupa-rupanya Noor
Kumalasari telah melalui pelbagai pengalaman menginsafkan sejak zaman popularnya sampailah saat beliau berubah.
Paling menyentuh perasaan ialah apabila di dalam buku ini mencatatkan bagaimana Noor pernah hidup dalam alpa,
glamor, tetapi kosong jiwanya.

Hinggalah berlaku peristiwa yang mengubah hidupnya apabila melihat seorang wanita berjubah hitam bersama tiga
kanak-kanak lelaki berjubah putih di sisi Kaabah, sedang tersenyum kepadanya. Anehnya, hanya Noor seorang yang
dapat melihat wanita dan tiga kanak-kanak tersebut. Begitu juga dengan mimpinya melihat seorang lelaki bercahaya di
hujung terowong, umpama membawa satu pesanan kepadanya. Saya pasti, para pembaca juga akan berasa insaf apabila
membaca liku-liku perjalanan hidup bekas jaguh sukan negara, Datuk Malek Noor. Memang mengejutkan apabila
Malek begitu ikhlas menceritakan bagaimana jahilnya kehidupan beliau ketika diambang kemasyhuran dahulu. Juga,
betapa sombongnya beliau hingga tergamak menguji Allah dengan memasuki rumah ibadat serta mengikuti upacara-
upacara keagamaan bukan Islam.

Namun, akhirnya cahaya muncul juga dari celah kegelapan. Hati berasa begitu hiba apabila Malek tidak segan
berkongsi keinsafannya dengan menceritakan mimpi-mimpi menakutkan yang sering memburunya ketika itu, seperti
diseksa di suatu tempat umpama neraka.

Memanglah mimpi itu adakalanya mainan tidur akibat gelora fikiran bawah sedar, tetapi syukurlah Malek
menerimanya dengan penuh keinsafan. Hati juga berasa sebak kemudiannya apabila Malek bercerita bagaimana suara
azan di tengah Kuala Lumpur telah mengubah keseluruhan hidupnya. Alhamdulillah.
Buku ini sebenarnya sudah menarik kalau dilihat dari kulit luarnya sahaja. Bukan sahaja dibarisi oleh selebriti terkenal
seperti Datuk Malek Noor dan Noor Kumalasari. Buku ini turut memaparkan keinsafan yang dilalui oleh saudara Izam,
bekas vokalis tampan kumpulan E.Y.E., juga bekas DJ radio yang terkenal, Irwan Shah.

Mereka ini adalah role model masyarakat, khususnya anak-anak muda. Apa yang selebriti buat, anak-anak muda akan
mengikutinya. Maka sudah tentulah perubahan hidup yang selebriti-selebriti tadi lakukan juga mampu mempengaruhi
anak-anak muda kita untuk berubah.

Oleh sebab itu, saya menjadi begitu hormat dan terharu dengan kisah-kisah keinsafan yang dilalui oleh mereka dan
pencerita-pencerita lain di dalam buku ini, yang saya percaya mereka lakukan dengan niat yang satu - demi mengubah
masyarakat supaya mendekatkan diri kepada Allah dan menjauhi larangan-Nya

Social

Kemelut Mahkamah Syariah


Oleh NORAZLITA MOHD. SIES
pengarang@utusan.com.my

Ingkar mematuhi perintah Mahkamah Syariah bukanlah satu perkara baru yang berlaku dalam bidang kehakiman
syariah. Pertikaian yang acap kali berlaku seakan-akan menampakkan 'keberanian' pihak tertentu mencabar perintah
yang dikeluarkan. Ternyata dokumen yang terkandung perintah hakim syarie langsung tidak digeruni dan tidak
bermakna.Perintah Mahkamah Syariah bukan sahaja sering dipersenda oleh orang biasa yang dangkal ilmu
pengetahuan, bahkan tidak terkecuali juga mereka yang cerdik pandai serta golongan aristokrat.Tercari-cari juga dari
mana silapnya mengapa sebahagian besar mereka yang berurusan dengan institusi tersebut agak keberatan menerima
perintah yang diberikan sehingga mencemarkan maruah Mahkamah Syariah.Baik dari segi perintah nafkah, hak
penjagaan anak dan harta sepencarian selepas perceraian, pembahagian harta pusaka mahupun perintah supaya tinggal
berasingan sementara atau mufarakah selepas kesahihan perkahwinan pasangan, semuanya diragui.

Rata-rata ramai yang gemar memilih untuk ingkar daripada akur dan reda. Sehinggakan perintah pemenjaraan pun tidak
mampu menimbulkan rasa gerun kepada mereka.Namun lazimnya kita akan menjadi emosi apabila terbaca mengenai
perebutan keluarga asal seorang mualaf yang memeluk Islam untuk mengkebumikan jenazah mengikut adat resam
agama asal si mati meskipun menyedari hakikat bahawa Allahyarham sebenarnya telah memeluk Islam.Kita akan
sering berkata: ''Mengapalah susah sangat untuk mereka menerima hakikat sebenar bahawa si mati telah memeluk
Islam.''Di sini, mungkin kita boleh berfikir secara rasional apabila berharap agar orang bukan Islam pun dapat
menerima perintah Mahkamah Syariah. Namun pernahkah kita renungkan sejenak sekiranya orang Islam sendiri tidak
mendokong dan memartabatkan perundangan syariah, mampukah penganut agama lain dengan lapang dada
menerimanya?Persoalan mengenai dilema ini diajukan kepada seorang peguam syarie, Abdullah Anuar Sahri yang
berpengalaman luas untuk renungan bersama.Perundangan syariah atau undang-undang Islam yang berteraskan al-
Quran dan as-Sunnah menurut Anuar merupakan undang-undang awal yang wujud dan diguna pakai di Tanah Melayu
sejak awal kurun ke-14 lagi. Ia dapat dilihat dengan lebih jelas semasa kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka.Oleh
itu, adalah jelas bahawa undang-undang syariah dan Mahkamah Syariah telah dipraktikkan sebelum kedatangan
penjajah British yang kemudiannya memperkenalkan 'Common Law British' di Tanah Melayu.''Saya berpendapat,
kedatangan British membawa agenda yang lebih besar bukan sekadar ingin mengaut keuntungan tetapi menghapuskan
ajaran dan undang-undang Islam di Tanah Melayu. Usaha ini dilakukan secara teliti dengan menghapuskan tokoh-
tokoh pejuang Islam Melayu seperti Tok Janggut, Mat Kilau, Datuk Bahaman dan ramai lagi''Mereka kemudiannya
memperkenalkan sistem pendidikan dengan mendirikan sekolah-sekolah aliran Inggeris bagi menerapkan ke dalam
pemikiran anak-anak Melayu terutamanya golongan berada dan aristokrat dengan gaya pemikiran dan cara hidup ala
Barat. "Mereka ini kemudiannya memimpin dan mencorakkan sistem pemerintahan negara mengikut acuan British,''
ujarnya.

Hasilnya amat jelas, apa sahaja yang berkaitan dengan Islam terutamanya sistem perundangan Islam termasuklah
Mahkamah Syariah hanya dipandang sebelah mata oleh orang Islam sendiri.Sekiranya kita tidak disedarkan dengan
hakikat sebenar penjajahan Barat sebelum ini, maka persepsi mereka apa sahaja yang dibawa dari Barat adalah lebih
baik berbanding dengan agama Islam.Kegagalan menguatkuasakan perintah Mahkamah Syariah telah menimbulkan
persepsi serong bukan setakat arahan yang dikeluarkan, malah integriti hakim yang mengeluarkan perintah turut
tercalar.Akibat penjajahan minda yang belum lagi 'merdeka', orang ramai masih menganggap apa sahaja yang berkaitan
dengan Islam diistilahkan sebagai low class. Mahkamah Syariah seolah-olah diletakkan sebagai mahkamah kelas kedua
berbanding Mahkamah Sivil.Amat mendukacitakan sekiranya golongan cerdik pandai juga memberi komen dan
pandangan yang double standard seolah-olah perintah Mahkamah Syariah tidak memberi sebarang kesan kepada
golongan tertentu. Ini adalah satu pandangan yang secara tidak langsung merendahkan kedudukan Mahkamah Syariah
itu sendiri.Bagi peguam itu, sudah tiba masanya kita membuka mata dan minda terutamanya hakim Mahkamah Syariah
yang perlu bertindak tegas terhadap sesiapa sahaja yang cuba mempersendakan kredibiliti institusi itu.Justeru Anuar
mencadangkan prinsip asas penyelesaian menerusi perbincangan merupakan kaedah terbaik menyelesaikan kes-kes di
Mahkamah Syariah. Kredit perlu diberikan kepada peguam syarie yang mempunyai kuasa penuh untuk menjayakan
proses sulh 'penyelesaian luar mahkamah' yang tiada had atau batas masa.

''Sebenarnya peranan dan kelebihan peguam syarie dalam apa sahaja kes boleh dirunding dan diselesaikan secara baik.
Malahan, ia boleh dipraktikkan dalam kes-kes berprofil tinggi melibatkan anak guam yang berkedudukan tinggi di mata
masyarakat''Ini bukan sahaja dapat menjimatkan kos dan masa tetapi juga dapat menutup aib kedua belah pihak dan
mengelak daripada timbul pelbagai fitnah yang akan lebih merumitkan

You might also like