You are on page 1of 2

Mayat dibakar di ladang ayam

Oleh ZAINI SAMSU HADI,


AZIRAN YUNUS
dan NORHAYATI YAHYA
berita@kosmo.com.my
12 September 2010

KUALA LUMPUR – Empat mayat dipercayai termasuk jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati
Lawiya (gambar) dan tiga rakannya yang dilaporkan hilang sejak 13 hari lalu ditemui dekat
pantai Morib, Selangor semalam.

Kesemua mereka dibunuh dengan kejam sebelum dibuang dan dibakar di ladang ternakan ayam
dekat Tanjung Layang, Morib.

Setakat ini polis sudah menahan enam individu berhubung penemuan mayat-mayat tersebut.

Motif pembunuhan belum dapat dipastikan.

Kehilangan Sosilawati, 47, bersama tiga lelaki lain dipercayai didalangi seorang ahli perniagaan
bergelar ‘Datuk’ yang dikatakan individu terakhir yang ditemui jutawan kosmetik itu ketika urus
niaga tanah dijalankan di Banting, Selangor pada 30 Ogos lalu.

‘Datuk’ berkenaan yang mempunyai ramai kenalan di kalangan orang kenamaan dipercayai
berperanan sebagai broker dalam penjualan tanah bernilai RM4 juta di Pulau Pinang.
Satu sumber memberitahu, ahli perniagaan itu dipercayai mempunyai banyak petunjuk bagi
membantu siasatan kes, termasuk mengesan lokasi keempat-empat mangsa disembunyikan.

“Dia dikatakan pernah terbabit dalam kegiatan penipuan jual beli tanah, dipercayai didalangi
sindiket terancang. Malah, beberapa laporan polis pernah dibuat terhadapnya sebelum ini
berkaitan urus niaga tanah.

“Difahamkan, ahli perniagaan terbabit mahir ‘menghilangkan’ pelanggannya,” kata satu sumber
ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.

Jelasnya, sebelum ini dua pelanggan dilaporkan hilang selepas mengadakan urus niaga tanah
dengannya dan sehingga kini masih belum ditemui, namun lelaki tersebut menafikan semua
dakwaan itu.

Ujar beliau, maklumat turut menyatakan ahli perniagaan itu sering terlepas daripada tindakan
undang-undang kerana mempunyai hubungan istimewa dengan orang kenamaan, selain mahir
dalam bidang perundangan.

Sosilawati yang merupakan pengasas produk kecantikan Nouvelle Visages dilaporkan hilang
pada 30 Ogos lalu.

Turut hilang ialah peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; pegawai bank CIMB cawangan
Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38; dan seorang lelaki, Kamaruddin Shansuddin, 44,
yang dikatakan pemandu peribadi jutawan itu.

Sementara itu, tinjauan Kosmo! Ahad ke rumah Sosilawati di Taman Harmonis Gombak
semalam mendapati pintu pagar rumah tersebut bertutup dan tidak nampak seperti suasana
berhari raya.

Seorang lelaki yang merupakan pekebun di rumah berkenaan yang enggan dikenali
memberitahu, keluarga Sosilawati masih belum mendapat apa-apa perkembangan berkenaan
kehilangan jutawan itu daripada pihak polis.

Katanya, pihak keluarga juga itu enggan diganggu. Beliau memberitahu, hari raya tetap disambut
meskipun tanpa adanya tuan rumah.

You might also like