You are on page 1of 11

Kesediaan Guru-guru Sekolah Rendah Melaksanakan Perubahan

Bahasa Pengantar Mata Pelajaran Sains dan Matematik

Mohd Rasdi bin Saamah


Jabatan Pengajian Melayu
Maktab Perguruan Tengku Ampuan Afzan

(Telah dibentangkan di Kolokium Penyelidikan Siswazah Ke-7, Fakulti Pendidikan UKM di


Hotel Empress, Sepang, Selangor pada 28 - 30 Mac 2003)

Abstrak

Kajian ini bertujuan untuk mendapatkan maklumat tentang kesediaan guru-guru Sains
dan Matematik di sekolah-sekolah rendah di Kelantan terhadap perubahan bahasa
pengantar mata pelajaran Sains dan Matematik daripada bahasa Melayu kepada bahasa
Inggeris. Kajian ini meninjau beberapa aspek, iaitu kelayakan akademik guru,
pengalaman mengajar Sains dan Matematik, latihan profesional yang dihadiri, kecekapan
guru berbahasa Inggeris dalam aspek lisan dan tulisan, kemahiran guru menggunakan
komputer dan ICT, dan kesediaan sekolah dari aspek prasarana. Kajian ini juga meninjau
perbezaan kesediaan antara guru-guru yang ada latihan dengan guru yang tiada latihan
untuk melaksanakan inovasi tersebut. Dapatan kajian menunjukkan guru-guru terlibat
mempunyai kelayakan yang mencukupi untuk mengajar Sains dan Matematik di sekolah
rendah tetapi sebahagian besar daripada mereka berpencapaian rendah dalam mata
pelajaran Bahasa Inggeris dan lemah dalam aspek kecekapan lisan dan tulisan bahasa
tersebut. Kajian ini juga mendapati lebih daripada 60.0% guru tidak mempunyai latihan
profesional dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan bidang
komputer. Guru yang ada latihan profesional dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris dan
komputer didapati lebih bersedia untuk melaksanakan pengajaran Sains dan Matematik
dalam bahasa Inggeris berbanding mereka yang tiada latihan tersebut. Semua sekolah
yang terlibat didapati telah dibekalkan prasarana asas untuk melaksanakan pengajaran
Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, tetapi sebahagian kecil peralatan masih
tidak mencukupi.

Pengenalan

Perubahan terhadap dasar pendidikan negara telah berlaku sedikit demi sedikit sejak
zaman Penyata Razak 1956. Dasar pendidikan negara dimantapkan berdasarkan kepada
beberapa akta dan laporan pendidikan antaranya Penyata Rahman Talib 1960, Akta
Pelajaran 1961, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 (disemak 1971), Laporan
Jawatankuasa Kabinet 1979, Laporan Jawatankuasa Mengkaji Taraf Pelajaran 1982
sehinggalah termaktubnya Akta Pendidikan 1996. Laporan Jawatankuasa Kabinet 1979
mengkaji sama ada sistem pendidikan negara memenuhi keperluan tenaga rakyat untuk
negara yang seterusnya terbentuk KBSR (1982) dan KBSM (1988). Isu tenaga rakyat
timbul kembali selepas lebih dua puluh tahun laporan tersebut, iaitu untuk keperluan
negara ke arah sebuah negara maju menjelang 2020. Antaranya ramai lepasan universiti
didapati gagal bersaing untuk pasaran kerja khususnya dalam sektor swasta kerana tidak
dapat menguasai bahasa Inggeris (Haslina 2002). Untuk memenuhi keperluan tersebut,
kerajaan akhirnya memutuskan bahawa mata pelajaran Sains dan Matematik Tahun 1,
Tingkatan 1 dan Tingkatan 6 Rendah diajar dalam bahasa Inggeris mulai tahun 2003.
Pernyataan Masalah

Masalah pelaksanaan dasar baru ini perlu dilihat dari perspektif-perspektif yang berikut,
iaitu:
1. Kajian menunjukkan 84.0% guru-guru Sains dan Matematik di sekolah rendah lemah
dalam bahasa Inggeris (Rohana 2002). Keadaan ini akan menyebabkan mereka tidak
bersedia untuk melaksanakan inovasi ini kerana mereka gagal untuk memahami ilmu
konsep-konsep dalam bahasa yang tidak difahaminya dan akan menyukarkan
pelaksanaannya.
2. Kajian Antarabangsa Ke-3 Matematik dan Sains (2000) menunjukkan pencapaian
Sains dan Matematik pelajar negara ini jauh lebih rendah berbanding pelajar dari
negara-negara serantau khususnya Singapura, Korea dan Jepun. Pelajar-pelajar
yang sedia lemah dalam mata pelajaran Sains dan Matematik akan bertambah lemah
kerana mereka terpaksa memahami dan menguasai mata pelajaran tersebut dalam
bahasa Inggeris.
3. Pelajar yang sedia lemah dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris akan menyukarkan
mereka untuk mengguna dan memahami bahasa tersebut dalam mata pelajaran
Sains dan Matematik meskipun Kementerian Pendidikan memberi jaminan bahasa
Inggeris yang akan digunakan dalam buku teks bagi kedua-dua mata pelajaran
tersebut mudah difahami serta sesuai mengikut tahap umur pelajar (Salina 2002).
4. Banyak kajian (Ibrahim et al. 1997; Azhar 1998; Narimah & Raju 2001) membuktikan
masih ramai guru yang tidak mahir dengan penggunaan komputer dan ICT, meskipun
penggunaan teknologi tersebut pesat digunakan dalam sistem pendidikan kita.
Keadaan ini akan menyebabkan mereka kurang yakin atau tidak bersedia untuk
melaksanakan dasar baru tersebut.
5. Tidak semua sekolah terutama sekolah-sekolah di pedalaman mempunyai prasarana
yang benar-benar lengkap seperti komputer dan peralatan ICT. Ini akan
menyebabkan pelaksanaan inovasi ini tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna
kerana kaedah utama pelaksanaannya melibatkan penggunaan komputer dan
prasarana ICT (Utusan Malaysia 24 Julai 2002: 12).

Kerangka Konsep Kajian

Kajian ini menggunakan kerangka teori model reflektif Wallace (1991) yang berpendapat
bahawa seseorang guru biasanya mempunyai pengetahuan dan pengalaman sedia ada
yang berkaitan dengan bidang tugasnya. Apabila mengikuti latihan profesional, seseorang
guru itu akan mengaitkan pengetahuan yang diterimanya (received knowledge) dengan
pengetahuan melalui pengalaman (experiental knowledge) yang merupakan dua sumber
pengetahuan penting dalam latihan profesional. Kedua-dua sumber pengetahuan tersebut
mengikut Wallace saling bergantung antara satu sama lain bagi membolehkan guru lebih
bersedia untuk melaksanakan tugas profesionalnya.

.
PENGETAHUAN PENGETAHUAN DITERIMA
BERDASARKAN MELALUI LATIHAN
PENGALAMAN SEDIA ADA 1. Kecekapan bertutur dan menulis
1. Pencapaian dan latihan dalam bahasa Inggeris.
profesional guru bagi mata 2. Kecekapan penggunaan bahasa
pelajaran Bahasa Inggeris, Inggeris dalam pengajaran Sains
Sains dan Matematik dan Matematik.
2. Kebolehan bertutur 3. Kecekapan menggunakan
dan menulis dalam bahasa komputer/prasarana ICT.
Inggeris.
3. Kemahiran menggunakan
komputer/prasarana ICT.

KESEDIAAN
Melaksanakan pengajaran mata
pelajaran
Sains dan Matematik dalam bahasa
Inggeris

Sumber: Kerangka konsep diubahsuai daripada model reflektif Wallace (1991)

Objektif Kajian

Kajian ini mempunyai beberapa objektif untuk memenuhi tujuan kajian, iaitu untuk
mengkaji:
1. kesediaan dari aspek kelulusan dan latihan profesional yang dimiliki guru dalam
mata pelajaran Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.
2. kesediaan dari aspek kecekapan guru berbahasa Inggeris dan kesediaan mereka
untuk melaksanakan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.
3. kesediaan dari aspek kemahiran guru menggunakan komputer dan prasarana ICT
dan latihan berkaitan yang dihadiri.
4. kesediaan sekolah dari aspek prasarana ICT untuk melaksanakan pengajaran
Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.
5. perbezaan dari aspek kesediaan guru yang mempunyai latihan dan guru yang
tidak mempunyai latihan untuk melaksanakan pengajaran Sains dan Matematik
menggunakan bahasa Inggeris.

Persoalan Kajian

Persoalan kajian ini adalah seperti berikut:


1. Adakah guru-guru mempunyai kelulusan dan latihan profesional dalam mata
pelajaran Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik untuk melaksanakan pengajaran
Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris?
2. Sejauh manakah guru-guru mempunyai kecekapan berbahasa Inggeris dan
kesediaan guru untuk melaksanakan pengajaran Sains dan Matematik dalam
bahasa Inggeris?
3. Sejauh manakah guru-guru mempunyai kemahiran menggunakan komputer dan
prasarana ICT untuk melaksanakan pengajaran Sains dan Matematik dalam
bahasa Inggeris?
4. Adakah sekolah mempunyai prasarana yang mencukupi untuk melaksanakan
pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris?
5. Adakah terdapat perbezaan kesediaan guru yang mempunyai pengetahuan
melalui latihan dan guru yang tidak mempunyai latihan untuk melaksanakan
pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris?

Kepentingan Kajian

Kajian ini penting kerana merupakan:


1. Isu pendidikan terkini yang dianggap Kabinet sebagai kepentingan utama
negara.
2. Isu pendidikan terkini yang amat bernilai kepada pelaksana dasar di sekolah-
sekolah yang dikaji dan kepada keseluruhan pendidik yang terlibat.
3. Isu pendidikan terkini yang melibatkan perubahan dasar bahasa iaitu perubahan
bahasa pengantar bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris.
4. Isu pendidikan terkini yang merupakan cabaran baru kepada guru-guru yang
terlibat dengan pengajaran Sains dan Matematik.
5. Isu pendidikan terkini bagi menghadapi cabaran globalisasi dan ke arah
Wawasan 2020.

Batasan Kajian

Kajian ini hanya dijalankan dalam ruang lingkup seperti berikut:


1. Kajian ini hanya tertumpu kepada guru-guru mata pelajaran Sains dan Matematik
yang mengajar di sekolah-sekolah rendah yang menjadi responden kajian ini
sahaja.
2. Kajian ini hanya tertumpu kepada aspek-aspek kesediaan guru dan sekolah untuk
melaksanakan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.
3. Kajian ini juga dibatasi oleh data-data yang diperoleh berdasarkan maklum balas
yang diberikan responden pada peringkat awal Latihan Fasa 1 On-site Training
bagi guru-guru yang akan mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.
4. Dapatan kajian ini juga bergantung kepada kejujuran maklum balas responden
terhadap semua soalan dan pernyataan yang dikemukakan dalam borang soal
selidik.

Kajian-kajian Berkaitan

Dalam konteks perubahan pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran, banyak kajian
telah dibuat di Hong Kong kerana berlakunya pertukaran tampuk kuasa politik daripada
pemerintahan British kepada kerajaan Republik Rakyat China pada tahun 1997.
Pertukaran ini turut mengubah sukatan pelajaran dalam kurikulum formal persekolahan
secara beransur-ansur dalam tempoh transisi sejak tahun 1984. Perubahan ini
termasuklah perubahan bahasa pengantar dalam pengajaran di institusi-institusi
pendidikan di wilayah tersebut (Chan 1997). Chu (1995) dalam kajiannya terhadap 420
orang pelajar pelbagai tahap pencapaian dan 20 orang guru sains di tiga buah sekolah
aliran Inggeris dan sebuah sekolah aliran Cina di Hong Kong, mendapati guru-guru yang
mengajar mata pelajaran bahasa Inggeris menggunakan terlalu sedikit bahasa tersebut
daripada apa yang diharapkan oleh para pelajar.

Dapatan ini pada umumnya menunjukkan guru kurang bersedia untuk mengajar
dalam bahasa Inggeris dan pelajar aliran Inggeris lebih bersedia untuk menerima
pelajaran dalam bahasa tersebut berbanding pelajar aliran Cina. Manakala Chu (2001)
dalam kajiannya tentang persediaan guru terhadap perubahan pengantar dalam
pengajaran bahasa Inggeris di Hong Kong kepada bahasa Putonghua mendapati majoriti
guru memandang tinggi terhadap nilai dan kepentingan Putonghua dalam usaha
mempertingkatkan kecekapan bahasa Cina (Kantonis). Di Malaysia, kajian menunjukkan
84.0% guru-guru Sains dan Matematik di sekolah rendah, 69.0% guru-guru Sains dan
Matematik di tingkatan satu, 42.0% guru-guru Sains dan Matematik di tingkatan enam dan
29.0% pensyarah matrikulasi lemah dalam bahasa Inggeris (Rohana 2002).

Dalam konteks kemahiran guru menggunakan komputer dan ICT pula, kajian
Azilah dan Zarina (1997) yang dipetik Ahmad Rasidi (1999) terhadap pola penggunaan
komputer di kalangan guru menunjukkan terdapat pola yang berbeza antara guru yang
pernah menggunakan komputer dengan guru yang tidak pernah menggunakan komputer.
Guru-guru yang tidak pernah menggunakan komputer menggunanya sebagai alat
pemprosesan perkataan seperti menyediakan kertas peperiksaan dan menolong mereka
dalam hal-hal pentadbiran dan pengurusan rekod pelajar. Zainal Abidin (1998) dalam
kajiannya terhadap persepsi dan kesediaan pengetua dan guru-guru kanan mata
pelajaran teras menunjukkan sebahagian besar daripada mereka bersedia untuk
menggunakan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran. Dalam aspek gender pula
Noran Fauziah et al. (1996) dalam kajian mereka terhadap guru-guru pelatih di Fakulti
Pengajian Pendidikan, Universiti Pertanian Malaysia mendapati guru pelatih lelaki
menunjukkan kadar kebimbangan yang lebih rendah terhadap penggunaan komputer
berbanding dengan guru pelatih perempuan. Manakala dari segi kebolehan dalam
menggunakan komputer, mereka mendapati kumpulan guru pelatih wanita lebih banyak
menggunakan peralatan tersebut berbanding kumpulan guru pelatih lelaki.

Kajian-kajian terhadap kesediaan guru untuk melaksanakan sesuatu program


pendidikan telah banyak dijalankan di dalam dan luar negara. Antaranya Nixon (1974)
dan Fraser (1982) dipetik Saharudin (1996) mendapati guru-guru yang berpengetahuan
menunjukkan kesediaan yang tinggi berasaskan pencapaiannya dan kejayaan sesuatu
pengajaran bergantung kepada kemahiran serta kebolehan guru menguasai pengetahuan
untuk menerangkan dengan jelas dan dapat difahami. Badrul Hisham (1998) dalam
kajiannya mengenai tahap kesediaan guru dalam pengajaran dan pembelajaran
matematik berbantukan komputer di sekolah menengah mendapati sebilangan besar guru
matematik kurang didedahkan dengan penggunaan komputer tetapi mereka bersikap
positif dan bersedia menggunakan komputer dalam membantu tugas mereka. Kajian ini
menunjukkan tahap kesediaan guru masih belum mencapai apa yang diharapkan ke arah
membentuk masyarakat yang saintifik kerana kekurangan pemahaman dan kemahiran
untuk melaksanakan pengajaran tersebut. Kajian yang hampir sama juga telah dibuat
oleh Musa (1999) dan Norizan (2002) yang mendapati secara keseluruhannya guru-guru
masih belum bersedia dalam penggunaan komputer disebabkan oleh faktor yang sama.

Metodologi Kajian

Kajian ini merupakan kajian kes yang dijalankan melalui kaedah tinjauan (Sprinthall at al.
1991; Nunan 1992; Van Dalen 1999). Responden kajian terdiri daripada 125 orang guru
Sains dan Matematik di 25 buah sekolah rendah di kawasan PPD Pasir Mas/Tumpat,
Kelantan yang diambil secara purposeful sampling (Miles & Huberman 1984; Wiersma
2000). Instrumen kajian terdiri daripada soal selidik yang mempunyai Bahagian 1,
Bahagian 2 (A, B dan C) dan Bahagian 3. Item-item dalam Bahagian 2(A) dan 2(B) yang
berkaitan dengan kesediaan guru untuk melaksanakan inovasi kurikulum disesuaikan
daripada Pennington dan Yue (1994), Kuldip Kaur (1995) dan Morris (2001). Manakala
bagi item-item Bahagian 2(C) disesuaikan daripada kajian Ahmad Rasidi (1999),
Rabaishah (1999), Ramlah (1999), Mohammad Tajuddin (2000) dan Nadarajan (2002).
Kajian rintis telah melibatkan 30 orang guru Sains dan Matematik di 4 buah
sekolah rendah yang tidak terlibat dengan kajian ini. Nilai alfa kajian rintis ialah 0.79 yang
dianggap nilai kebolehpercayaan yang mencukupi (Best & Kahn 1986). Atas nasihat
pakar beberapa pindaan telah dibuat terhadap soalan soal selidik yang mengelirukan.
Data dianalisis dengan menggunakan SPSS 10.0 (Green & Salkind 2000) yang
melibatkan penganalisisan secara deskriptif (peratusan dan frekuensi) dan ujian-t
digunakan untuk melihat perbezaan kesediaan antara guru-guru yang mempunyai latihan
dengan guru-guru yang tiada latihan.

Dapatan Kajian

Dapatan utama kajian ini adalah berdasarkan objektif kajian serta menjawab persoalan
kajian yang telah dikemukakan. Kajian ini mendapati semua guru yang terlibat
mempunyai kelulusan asas peringkat SPM yang mencukupi untuk mengajar mata
pelajaran Sains dan Matematik di peringkat sekolah rendah. Walau bagaimanapun
sebahagian besar daripada mereka (80.0% guru Sains dan 62.4% guru Matematik) tidak
pernah menghadiri sebarang kursus atau latihan profesional bagi kedua-dua mata
pelajaran tersebut dalam tempoh perkhidmatannya. Daripada jumlah yang pernah hadir
kursus, hanya 0.8% daripada mereka yang pernah menghadirinya di peringkat
sijil/diploma. Manakala selebihnya hanya pernah menghadiri di peringkat JPN/PPD/PKG
dan inhouse sahaja.

Kajian ini juga mendapati sebahagian besar guru berkenaan (72.8%)


berpencapaian rendah dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris peringkat SPM dan mereka
juga lemah dalam kecekapan lisan dan tulisan bahasa tersebut. Hanya 0.8% daripada
mereka mendapat gred cemerlang (A1 dan A2) dalam mata pelajaran ini. Kajian ini juga
mendapati hanya 11.2% pernah menghadiri kursus berkenaan, dan selebihnya 88.8% lagi
tidak pernah menghadiri sebarang kursus. Daripada jumlah yang pernah hadir kursus,
hanya 1.6% daripada mereka pernah mengikuti kursus peringkat diploma dan 0.8%
pernah mengikuti KDP 14 minggu, manakala selebihnya 8.8% lagi hanya berkursus di
peringkat JPN/PPD/PKG dan inhouse. Walaupun mereka lemah dalam bahasa Inggeris
tetapi sebahagian besarnya (65.6%) mempunyai kesediaan untuk mengajar mata
pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris jika diberi modul. Manakala
selebihnya hanya bersetuju jika diberi latihan, berbantukan komputer, dan jika diberi buku
teks dan bahan interaktif berkaitan yang sesuai.

Dalam aspek kemahiran menggunakan komputer, kajian ini mendapati


sebahagian besar guru tidak mahir menggunakan komputer dan prasarana ICT, yang
mana 76.0% daripada mereka tidak pernah menghadiri sebarang latihan dan 24.0%
pernah menghadirinya. Daripada jumlah mereka yang pernah berkursus, didapati masing-
masing 1.6% pernah mengikuti kursus peringkat sijil/diploma dan KDP 14 minggu.
Manakala 20.8% lagi pernah berkursus di peringkat JPN/PPD/PKG/Inhouse dan termasuk
anjuran swasta (2.4%). Pada keseluruhannya 41.0% daripada mereka menyatakan
mereka boleh menggunakan komputer dengan cekap dan mahir sekiranya diberikan
modul yang sesuai dan mudah difahami.

Bagi menjawab soalan kajian tentang kesediaan sekolah dari aspek prasarana
untuk melaksanakan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, kajian ini
mendapati semua sekolah telah dibekalkan prasarana asas. Prasarana asas tersebut
terdiri daripada komputer riba (notebook), projektor LCD, troli, skrin, perisian Sains dan
Matematik dalam bentuk CD-Rom, glossari atau kamus, buku teks Sains dan Matematik
dalam bahasa Inggeris, skrip pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris
dan buku manual latihan (untuk guru). Kajian juga mendapati hanya sebahagian kecil
sekolah yang tidak mencukupi peralatan yang bukan prasarana asas untuk pengajaran
Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, seperti bahan-bahan interaktif dan
sebagainya.

Dapatan utama kajian ini juga mendapati terdapat perbezaan min yang signifikan
(p<0.05) antara guru-guru yang ada latihan dan guru yang tiada latihan bahasa Inggeris
dari aspek kecekapan atau kebolehan bertutur, menulis, membaca dan memahami
bahasa Inggeris. Perbezaan min yang signifikan juga didapati dalam aspek kebolehan
mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris walaupun tanpa latihan, dan
kebolehan mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris jika diberi buku teks
dan bahan interaktif yang berkaitan. Selain itu terdapat perbezaan min yang signifikan
(p<0.05) antara guru-guru yang ada latihan dan guru yang tiada latihan komputer dan ICT
dari aspek kebolehan mereka menggunakan komputer/notebook dengan cekap dan
mahir, kebolehan menggunakan perisian (software) Sains dan Matematik dengan cekap
dan mahir, dan kebolehan menggunakan bahan interaktif lain dalam pengajaran Sains
dan Matematik.

Di samping dapatan utama tersebut terdapat juga beberapa dapatan sampingan,


iaitu bilangan guru perempuan (59.2%) yang mengajar Sains dan Matematik dalam kajian
ini lebih ramai berbanding guru lelaki (40.8%), sebahagian besar guru (80.0%) yang
mengajar Sains dan Matematik berumur kurang daripada 40 tahun dan sebahagian besar
(70.0%) pula mempunyai pengalaman mengajar Sains dan Matematik kurang daripada 10
tahun. Selain itu sebahagian besar daripada mereka (92.8%) yang mengajar Sains dan
Matematik mempunyai kelulusan SPM/MCE dan STP/STPM/HSC serta mempunyai
kelulusan ikhtisas pada peringkat Sijil Perguruan dan selebihnya (7.2%) mempunyai
kelulusan ikhtisas peringkat diploma dan ijazah.

Implikasi Kajian

1. Jabatan Pendidikan perlu menyediakan prasarana yang lengkap bagi sekolah


sekolah yang tidak mempunyai prasarana yang mencukupi untuk memastikan
pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dapat dilaksanakan
dengan sempurna sebagaimana sekolah-sekolah yang mempunyai prasarana
yang cukup.
2. Pihak sekolah perlu mengadakan latihan dalaman (inhouse training) yang lebih
kerap untuk memahirkan guru melaksanakan inovasi ini. Semua guru patut
didedahkan dengan penggunaan bahasa Inggeris dan bidang ICT.
3. Guru-guru Sains dan Matematik di sekolah-sekolah berkenaan hendaklah
menyediakan bahan pengajaran secara bekerjasama (kolaboratif) agar semua
kelas dan pelajar mendapat bahan pengajaran yang sama atau selaras di
samping bahan-bahan yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan.
4. Pihak pentadbir sekolah, ketua panitia dan guru Sains dan Matematik hendaklah
peka terhadap perubahan kurikulum, khususnya perubahan Sukatan Pelajaran.
Ketua panitia dan guru-guru perlu memperincikan Huraian Sukatan Pelajaran
tersebut bagi menepati objektif sebenar pengajaran dan pembelajaran (P&P)
Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.
5. Guru-guru yang terlibat dengan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa
Inggeris di sekolah-sekolah berkenaan perlu bersedia dan memperlengkapkan diri
mereka pengetahuan-pengetahuan baru melalui kursus atau latihan yang
diadakan dari semasa ke semasa khususnya tentang kemahiran menggunakan
prasarana ICT.
6. Guru-guru yang terlibat dengan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa
Inggeris di sekolah-sekolah berkenaan perlu memahirkan diri dalam penggunaan
bahasa Inggeris melalui bahan-bahan seperti Modul Pembelajaran Kendiri (Take
Home Package), Pembelajaran Online (berasaskan Web Base), glosari dan skrip
pengajaran yang disediakan.

Cadangan Untuk Kajian Lain

1. Satu kajian terhadap kesediaan guru sekolah rendah dan menengah


melaksanakan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris selepas
mereka melalui beberapa siri kursus dan melaksanakan pengajaran tersebut di
sekolah masing-masing.
2. Satu kajian terhadap keberkesanan pengajaran dan pembelajaran Sains dan
Matematik dalam bahasa Inggeris di sekolah kebangsaan dan sekolah jenis
kebangsaan kerana semua sekolah rendah menggunakan sukatan pelajaran dan
sistem peperiksaan yang sama.
3. Satu kajian terhadap kemahiran lisan dan tulisan dalam bahasa Inggeris di
kalangan guru-guru yang mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.
4. Satu kajian juga perlu dibuat terhadap kesesuaian bahan P&P Sains dan
Matematik dalam bahasa Inggeris bagi menentukan sama ada ianya menepati
kehendak isi pelajaran, kemahiran guru atau penerimaan pelajar.
5. Satu kajian terhadap prestasi pelajar dalam mata pelajaran Sains, Matematik dan
Bahasa Inggeris juga boleh dibuat setelah pengajaran Sains dan Matematik dalam
bahasa Inggeris dilaksanakan.

Kesimpulan

Kajian ini merupakan satu kajian kecil yang terbatas dan merupakan gambaran awal
terhadap kesediaan guru-guru dan sekolah untuk melaksanakan dasar baru yang penting
dan dianggap kerajaan sebagai satu keutamaan negara untuk menghadapi era globalisasi
dan ke arah negara maju pada tahun 2020. Pada dasarnya kajian awal ini menunjukkan
guru-guru berkenaan hanya bersedia untuk melaksanakan inovasi baru ini sekiranya
mereka diberikan kursus, modul dan bahan-bahan interaktif yang sesuai. Apa yang jelas
keadaan ini disebabkan oleh beberapa faktor, antaranya kelemahan mereka dalam mata
pelajaran Bahasa Inggeris peringkat SPM dan lemah dalam kecekapan lisan dan tulisan
bahasa tersebut, sebagaimana mengikut Rohana (2002) sebanyak 84.0% guru-guru
Sains dan Matematik di sekolah rendah lemah dalam penguasaan bahasa Inggeris.
Mereka juga didapati tidak mahir menggunakan komputer dan peralatan ICT yang sekali
gus menyokong kajian yang dibuat oleh Azilah dan Zarina (1997), Badrul Hisham (1998),
Zainal Abidin (1998), Musa (1999) dan Norizan (2002). Selain itu mereka juga tidak
pernah didedahkan kepada latihan-latihan profesional dalam bidang-bidang berkaitan
seperti Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan komputer. Meskipun agak kurang
bersedia, namun kebanyakan mereka positif untuk menggunakan pengantar bahasa
Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik khususnya guru-guru yang mengajar
dan pernah mengajar Bahasa Inggeris serta tahu menggunakan prasana asas komputer
dan ICT. Guru-guru yang pernah mendapat latihan dalam kedua-dua bidang didapati lebih
bersedia untuk melaksanakan inovasi baru ini berbanding guru-guru tanpa latihan
tersebut, iaitu selaras dengan kerangka konsep kajian ini yang dikemukakan Wallace
(1991) yang mengaitkan pengetahuan diterima guru (received knowledge) dengan
pengetahuan melalui pengalaman guru (experiental knowledge). Dapatan kajian ini juga
turut dipengaruhi faktor masa, yang mana semasa kajian ini dibuat mereka berada pada
peringkat awal Latihan Fasa 1 On-site Training sebelum mula melaksanakan pengajaran
Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris pada tahun 2003.
Rujukan

Ahmad Rasidi Osman. 1999. Penggunaan komputer di kalangan guru sekolah menengah
dalam daerah Temerloh, Pahang. Kertas Projek Master Pendidikan. Universiti
Kebangsaan Malaysia.

Azhar Haji Ahmad. 1998. Penggunaan komputer di kalangan guru-guru sekolah


menengah di Bandaraya Kuching Utara. Tesis Master Sains Pembangunan
Sumber Manusia. Universiti Malaysia Sarawak.

Badrul Hisham Hj. Alang Osman. 1998. Kesediaan guru dalam pengajaran dan
pembelajaran matematik berbantukan komputer (PPBK) di sekolah menengah.
(atas talian) http://motivasiutusan.4mg.com/kerja1.html
(20 November 2002)

Best J. W. & Kahn, J. W. 1986. Research in education. Ed. 6. New Jersey: Prentice Hall.

Chan, Amy A. M. 1997. The role of economic and public affairs in civic education in Hong
Kong. (atas talian)
http://www.edfac.usyd.edu.au/project/conect97/papers.connect/Chan.A.pdf (6
Ogos 2002)

Chu, Chun-pong. 1995. Student’s perceptions of the medium of instruction in science


subjects: a case study. Tesis Master Pendidikan. University of Hong Kong. (atas
talian) http://sunzi.lib.hku.hk/cgi-bin/hkuto/abs?B14709995 (2 Ogos 2002).

Chu, P. F. 2001. Teacher’s perception of introducing Putonghua as a medium of


instruction for teaching Chinese language: implications for professional
development. Tesis Master Pendidikan. University of Hong Kong. (atas talian)
http://sunzi.lib.hku.hk/cgi-bin/hkuto/toc?B23472479 (2 Ogos 2002)

Green, Samuel B. & Salkind, Neil J. 2000. Using SPSS for windows and macintosh. 2nd
ed. Hew Jersey: Prentice Hall.

Haslina Hassan. 2002. Perlukah aliran Inggeris diwujudkan semula? Dewan Masyarakat,
Julai: 14-16.

Ibrahim Mohamad, Sazali Saidin, Osmani Abdullah & Abdul Manafa Asmuni. 1997. Kajian
celik komputer di kalangan guru-guru negeri Perak. Kertas Kerja Seminar
Jawatankuasa Penyelarasan Penyelidikan Pendidikan, Kementerian Pendidikan
Malaysia. Institut Aminuddin Baki, 11 Disember 1997 (atas talian)
http://members.tripod.com/~ilhamnet/Kajian.htm (4 September 2002).

Kementerian Pendidikan Malaysia. 2000. Kajian Antarabangsa Ketiga Matematik dan


Sains - Ulangan. Kuala Lumpur: Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar
Pendidikan.

Kuldip Kaur. 1995. Why they need English in Malaysia: a survey. World Englishes 14(2):
223-230.

Miles, M. B. & Huberman, A. M. 1984. Qualitative data analysis. Baverly Hills, CA: Sage.
Mohammad Tajuddin Sidek. 2000. Penggunaan dan permasalahan alat bantu mengajar di
kalangan guru Pendidikan Islam: satu tinjauan di sekolah-sekolah menengah
daerah Batang Padang, Perak. Kertas Projek Master Pendidikan. Universiti
Kebangsaan Malaysia.

Morris, F. A. 2001. Language learning motivation for the class of 2002: why first-year
Puerto Rican high school students learn English. Language and Education 15(4):
269-278

Musa Hj. M. Noor. 1999. Kesediaan guru-guru KHB di Daerah Pontian dari segi
kemahiran dan sikap terhadap penggunaan komputer dalam aktiviti pengajaran
dan pembelajaran. Latihan Ilmiah. Universiti Teknologi Malaysia.

Nadarajan, M. 2002. Tahap penggunaan komputer dan internet di kalangan guru


Ekonomi: satu tinjauan. Kertas Projek Master Pendidikan. Universiti Kebangsaan
Malaysia.

Noran Fauziah Yaakub, Aida Suraya Md. Yunus & Zakaria Kasa. 1996. Computer anxiety
among teacher education students and its implications for tomorrow’s education.
National Symposium on Educational Computing, Kuala Lumpur, Mei: 261-270.

Norizan Abdul Razak. 2002. Pengajaran bahasa Melayu di alaf 21. (atas talian)
http://www.geocities.com/Athens/Styx/1349/masmintra_pendidikan1.html (17 Ogos
2002)

Narimah Ismail & Raju, C. J. 2001. Lemah bahasa Inggeris 64 peratus guru sukar guna
internet. (atas talian)
http://www.moe.edu.my/smartschool/neweb/Akhbar/UM17052001a.htm (15 Ogos
2002)

Nunan, D. 1992. Research methods in language learning. Cambridge: Cambridge


University Press.
Pelaksanaan ETeMS. 2003. (atas talian) http://www.myschoolnet.ppk.kpm.my (23 Januari
2003).
Pennington, M. C. & Yue, Francis. 1994. English and Chinese in Hong Kong: pre-1997
attitudes. World Englishes 13(1): 1-20.

Rabaishah Azirun. 1999. Tahap penggunaan multimedia di kalangan guru-guru


Pendidikan Islam di Melaka Tengah. Kertas Projek Master Pendidikan. Universiti
Kebangsaan Malaysia.

Ramlah Abd. Aziz. 1999. Penggunaan teknologi pendidikan di kalangan guru-guru


Geografi daerah Muar. Kertas Projek Master Pendidikan. Universiti Kebangsaan
Malaysia.

Rohana Man. 2002a. Sains, Matematik: Kementerian sedia skrip mengajar dalam bahasa
Inggeris. Utusan Malaysia 2 Oktober: 3.

Salina Ibrahim. 2002a. Bahasa Inggeris; kelemahan pelajar universiti bermula dari
sekolah. Utusan Malaysia 11 Julai: 3.
Saharudin Suhadi. 1996. Kesediaan guru-guru kemahiran hidup terhadap pengajaran
komponen teras kemahiran hidup di sekolah-sekolah menengah negeri Selangor
Darul Ehsan. Kertas Projek Sarjana Pendidikan. Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sprinthall, R. C., Schmutte, G. T. & Sirois, I. 1991. Understanding educational research.


New Jersey: Prentice Hall.

Van Dalen, D. P. 1999. Memahami penyelidikan pendidikan. Terj. Abdul Fatah Abdul
Malik & Mohd. Majid Konteng. Serdang: Penerbit Universiti Putra Malaysia.

Wallace, M. J. 1991. Training foreign language teachers. Cambridge: Cambridge


University Press.

Wiersma, W. 2000. Research methods in education: an introduction. 7th Ed. Boston: Allyn
and Bacon.

Zainal Abidin Said. 1998. Persepsi dan kesediaan pengetua dan guru-guru kanan mata
pelajaran teras menggunakan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran di
bilik darjah. Latihan Ilmiah. Universiti Kebangsaan Malaysia.

You might also like