You are on page 1of 10

1.

0 PENGENALAN

Rajah 1: Gunung Agung


Sumber : outdoors.webshots.com
Gunung Agung merupakan sebuah gunung berapi yang terletak di Pulau Bali, negara
Indonesia. Gunung Agung mempunyai ketinggian 3,142 meter atau 10,308 kaki daripada
aras laut. Latitud gunung ini ialah 8.342°S 8°20'30"S dan Longitud pula 115.508°T
115°30'30"T. Gunung Agung merupakan gunung tertinggi di Pulau Bali dan juga gunung
berapi jenis stratovolcano, gunung ini memiliki kawah yang sangat besar iaitu 500 meter
lebar dan 200 meter dalam serta kadang-kala mengeluarkan asap dan wap air.

Gunung Agung juga dikelaskan sebagai gunung berapi yang masih aktif, kali terakhir
ia meletus ialah pada tahun 1963. Pada 18 Februari 1963 penduduk tempatan di kawasan
berdekatan dengan gunung tersebut telah mendengar letupan yang kuat dan melihat debu
berterbangan ke udara keluar dari kawah gunung Agung. Pada 24 Februari lava mula
mengalir turun melalui cerun utara gunung Agung dan telah mengalir sejauh 7 kilometer
dalam masa 20 hari berikutnya. Pada 17 Mac gunung ini telah meletus dan
menghamburkan partikel-partikel batuan keudara setinggi 8 hingga 10 kilometer dan
menghasilkan aliran pyroklastik yang dasyat. Aliran ini telah memusnahkan banyak
perkampungan dan membunuh 1500 orang mangsa. Lahar yang telah menyejuk
disebabkan hujan yang lebat selepas letupan itu juga membunuh lebih 200 lagi mangsa.
Letusan yang kedua telah berlaku pada 16 Mei dan telah menghasilkan aliran pyroklastik
serta membunuh 200 mangsa lagi.

1
2.0 PROSES PEMBENTUKAN GUNUNG BERAPI

Proses pembentukan gunung berapi terjadi apabila cecair panas meresap naik melalui
retakan-retakan pada bahagian permukaan tanah yang lemah hasil tindakan arus
perolakan yang berlaku di bawah permukaan bumi. Gunung berapi biasanya terdapat di
mana plat tetonik berpisah atau bertembung. Rabung tengah laut, seperti Rabung Tengah
Atlantik adalah contoh plat tetonik berpisah, manakala Lingkaran Api Pasifik pula
merupakan contoh bagi gunung berapi yang terhasil akibat pertembungan plat tetonik.
Selain itu, gunung berapi biasanya tidak terbentuk di kawasan di mana dua plat tetonik
bergesel sesama sendiri. Gunung berapi juga boleh terbentuk di kawasan yang
mempunyai renggangan pada kerak bumi atau kerak bumi menjadi nipis, ia berlaku
seperti di Lembah Rift Afrika, Rhine Graben Eropah iaitu gunung berapi Eifel, Lapangan
gunung berapi Wells Gray-Clearwater dan Rio Grande Rift di Amerika Utara. Selain itu
gunung berapi juga boleh dihasilkan melalui pluma mantel atau dikenali sebagai titik
panas. Titik panas ini boleh berlaku jauh dari sempadan plat tektonik, seperti di
kepulauan Hawaii. Rajah 2 di bawah menjelaskan lagi proses pembentukan gunung
berapi kerana pertembungan dan regangan plat tektonik serta arus perolakan di bawah
permukaan bumi.

Rajah 2: Proses awal kejadian gunung berapi


Sumber: www.geocities.com

2
Gunung berapi terhasil akibat daripada tenaga dalaman yang berada di dalam
perut bumi yang dikenali sebagai tenaga endogenik. Pelepasan tenaga secara mengejut
akan mengubah struktur pemukaan bumi. Arus perolakan dalam perut bumi pula
merangkumi batuan yang separa pejal dan cair atau lebih dikenali sebagai magma.
Apabila tekanan dalam perut bumi tinggi, maka magma tersebut dipaksa keluar melalui
rekahan di permukaan tanah. Magma yang telah keluar itu pula di kenali sebagai lava.
Lava yang keluar ini adalah asas kepada terjadinya gunung berapi kerana lava
mengalami proses penyejukan dan pembekuan. Apabila proses ini berlaku secara
berterusan dan berperingkat-peringkat ia mampu menghasilkan gunung berapi yang
besar, namun begitu ia memerlukan jangka masa yang panjang dan mempunyai jenis-
jenis gunung berapi yang berbeza bentuknya. Untuk mengkelaskan gunung berapi adalah
melalui komposisi bahan luahan atau lava kerana ia memberi kesan kepada bentuk
gunung berapi. Lava boleh dikelaskan kepada 4 komposisi berlainan, (Cas & Wright,
1987). Rajah 3 di bawah menunjukkan jenis-jenis gunung berapi yang telah terbentuk
hasil daripada proses penyejukan dan pembekuan lava.

Rajah 3: Jenis-jenis gunung berapi.


Sumber: www.geocities.com

3
3.0 PROSES PEMBENTUKAN GUNUNG AGUNG

Gunung Agung adalah gunung berapi yang masih aktif dan pembentukannya berlaku
secara berlapis-lapis atau strata. Pembentukan ini memerlukan masa yang panjang dan
berlaku secara berperingkat-peringkat ( Chernicoff & Whitney, 2002). Setiap lapisan
yang terhasil adalah mengandungi habuk dan lava lama yang telah membeku selepas
letusan yang berlaku sebelumnya. Letusan yang terawal telah membentuk satu lapisan
gunung berapi yang nipis dan rendah. Proses tersebut berlaku secara berulangan dalam
kadar masa yang lama dan menyebabkan lapisan-lapisan tersebut telah bertambah
ketebalannya dan akhirnya membentuk sebuah gunung berapi yang besar. Lihat rajah 4
di bawah yang menerangkan proses pembentukan gunung berapi yang berlaku secara
berlapisan.

Rajah 4: Proses pembentukan gunung berapi yang berlaku secara berlapisan.


Sumber: www.geocities.com

4
Selain itu, saiz gunung berapi juga turut membesar kerana magma dalam lohong utama
telah membeku. Proses tersebut telah menyebabkan magma keluar melalui cabang lohong
lain yang terdapat di sekitar lohong utama, (lihat rajah 4). Berikutnya lapisan lava itu
menghasilkan pula satu cerun yang agak curam kerana jenis lava yang terkeluar daripada
gunung Agung adalah jenis yang likat dan cepat membeku serta tidak sempat bergerak
jauh ke bawah. Lava jenis ini mengandungi kandungan peratusan silika yang tinggi iaitu
melebihi 63% dan lebih dikenali sebagai felsik. Seterusnya proses ini membentuk gunung
berapi jenis stratovolcano atau gunung berapi komposit, ( Plummer & Carlson, 2008).
Lava yang tidak sempat keluar daripada lohong-lohong kerana gunung berapi yang tidak
aktif dalam tempoh masa yang panjang juga akan membeku secara menegak. Lava yang
membeku tersebut dipanggil daik atau batuan volcanik.

Akibat letusan gunung berapi juga telah membentuk satu kawah atau dikenali
sebagai krater dan jika letusan yang lebih kuat berlaku ia mampu menghasilkan kaldera
yang saiznya lebih besar berbanding dengan krater. Air hujan mampu bertakung di
dalamnya dan membentuk sebuah tasik seperti yang ditunjukkan dalam rajah 5.

Rajah 5: Krater yang membentuk sebuah tasik di kawasan kawah gunung berapi.
Sumber: photojournal.jpl.nasa.gov

5
4.0 PROSES PEMBATUAN

Aktiviti gunung berapi selalunya membentuk batuan igneus iaitu andesit, gabro dan lain-
lain. Namun begitu, bahan dari dalam dan dinding gunung berapi yang keluar akan
disebabkan oleh aktiviti-aktiviti yang berlaku di sesetengah gunung berapi dari jenis
letupan dan letusan.. Bahan dari dalam dan dinding gunung berapi ini akan terhambur ke
udara yang akhirnya akan jatuh semula ke permukaan bumi. Bahan yang terkeluar tadi
ada pelbagai jenis dan saiz. Saiz yang halus semestinya mempunyai berat yang kurang,
maka ia akan terapung di udara buat beberapa ketika dan kemudiannya akan jatuh ke
permukaan bumi semula. Disebabkan oleh sifatnya yang ringan, maka dengan mudah ia
akan dibawa oleh angin atau air ke kawasan-kawasan yang jauh dari gunung berapi.
Bahan yang terkeluar daripada gunung berapi dengan cara letusan dan letupan dikenali
sebagai sedimen gunung berapi atau bahan volkanoklastik.

Sedimen gunung berapi atau batuan volkanoklastik ini terbentuk melalui dua cara
yang berbeza. Yang pertama ialah melalui cara hakisan batuan volkanik yang sedia ada
sebelum letusan atau letupan ini berlaku dan kesemuannya akan terendap semula.
Sedimen gunung berapi itu juga boleh berlaku melalui cara kedua iaitu ia terhasil terus
daripada letusan gunung berapi itu sendiri. Sepertimana sedimen klastik yang lain,
sedimen yang terendap semula ke permukaan bumi ini akan melalui proses pemendapan
yang serupa. Apabila sedimen gunung berapi telah terendap, ia akan menghasilkan
sejenis batuan lain yang dikenali sebagai batuan piroklastik. Kedua-dua jenis batuan
volkanoklastik ini agak sukar untuk dibezakan dalam kebanyakan kes. Walau
bagaimanapun, dalam batuan piroklastik banyak sekali terdapat mineral-mineral yang
tidak stabil.

4.1 PENGELASAN BATUAN

Batuan volkanoklastik secara umumnya dikelaskan berdasarkan kepada saiz butiran.


Lihat rajah 6 untuk mengelaskan batuan tersebut.

6
Rajah 6: Pengelasan batuan berdasarkan saiz butiran
Sumber: http://pkukmweb.ukm.my/~kamal/batu-sedimen/volkanoklastik.htm

BUTIRAN  SEDIMEN 
SAIZ BUTIRAN
VOLKANOKLASTIK VOLKANOKLASTIK

Bombs - ejected fluid agglomerat


>64mm
Blok - ejected solid volcanik breksia
2mm - 64mm Lapilli Batu lapilli (lapillistone)
0.06mm - 2mm Debu (Ash) Tuf
<0.06mm Dush Tuf

Jadual 1: Pengelasan batuan berdasarkan saiz


Sumber: http://pkukmweb.ukm.my/~kamal/batu-sedimen/volkanoklastik.htm

4.1.1 BATU PASIR TUF
Batuan tuf merupakan batuan volkaniklastik bersaiz kurang daripada 2mm garis pusat.
Berdasarkan kehadiran hablur, litik atau kaca, tuf ini boleh dikelaskan kepada tiga iaitu
tuf hablur, tuf vitrik dan tuf litik.

7
4.1.2 AGGLOMERAT
Agglomerat adalah batuan volkaniklastik yang bersaiz lebih besar daripada 64mm.
Agglomerat terbentuk akibat daripada letupan dan letusan gunung berapi, dan terbentuk
berdekapan dengan kawah gunung berapi.

4.2 PROSES LULUHAWA


Selepas kali terakhir meletus pada tahun 1963 gunung Agung telah melalui pelbagai
proses dan salah satunya adalah proses luluhawa. Tempoh masa antara tahun 1963
hingga kini telah menyebabkan permukaan gunung berapi tersebut terdedah dengan
proses luluhawa seperti larian air permukaan dan proses lelasan batuan. Proses luluhawa
di kawasan seperti gunung agung dapat dilihat melalui kesan-kesan fizikal yang terjadi
seperti terdapat di sekeliling gunung tersebut. Lihat rajah 7 yang menunjukkan contoh
luluhawa fizikal yang telah terjadi terhadap gunung berapi.

Rajah 7: Proses luluhawa yang berlaku terhadap gunung berapi.


Sumber: outdoors.webshots.com

8
4.2.1 PROSES LARIAN AIR PERMUKAAN.

Permukaan gunung berapi seperti gunung Agung dihakis sedikit demi sedikit melalui
proses larian air permukaan. Pendedahan permukaan gunung ini secara terus-menerus
terhadap agen luluhawa seperti air hujan menggalakkan proses ini untuk terus terjadi.
Manakala, permukaan gunung tersebut yang tinggi menyebabkan proses larian air hujan
bergerak turun dengan laju disebabkan tarikan graviti. Akibatnya permukaan yang
mempunyai ikatan yang longgar telah terhakis dan dibawa turun ke kawasan rendah.
Seterusnya terhasillah permukaan gunung yang mempunyai banyak kesan-kesan alur
yang berbucu-bucu dan tajam.

4.2.2 PROSES LELASAN

Proses lelasan batuan turut berlaku di kawasan gunung berapi kerana kawasan permukaan
gunung berapi ini sentiasa terdedah kepada kepanasan cahaya matahari pada waktu siang
dan menyejuk pada waktu malam. Akibatnya berlaku proses pengembangan permukaan
gunung berapi pada waktu siang kerana pancaran matahari dan ia akan mengecut pada
waktu malam kerana suhu turun dengan mendadak di kawasan yang tinggi. Proses ini
yang berlaku secara berterusan setiap hari menyebabkan struktur batuan gunung berapi
ini semakin longgar dan akhirnya menyepai menjadi batuan yang lebih kecil.

9
5.0 KESIMPULAN

Proses pembentukan muka bumi ini adalah sesuatu yang amat kompleks serta
mempunyai keunikannya tersendiri. Peranan yang dibawa oleh pengkaji dalam bidang
geografi amat penting untuk seluruh manusia bagi memahami proses-proses
pembentukan yang berlaku terhadap permukaan bumi yang sentiasa berubah-rubah ini.
Bermula daripada proses daripada bawah permukaan bumi sehingga menghasilkan
gunung berapi yang besar semuanya mempunyai perkaitan antara satu sama lain. Begitu
juga dengan proses seperti pembatuan gunung berapi dan luluhawa yang berlaku terhadap
gunung berapi yang menghasilkan landskap begitu menarik serta unik.

Namun begitu kewujudan gunung berapi ini memberikan kelebihan dan


keburukannya yang tersendiri. Kemusnahan yang dibawa oleh gunug berapi sangat
dasyat dan mampu meragut nyawa ramai manusia. Namun begitu tanah yang terdapat di
kawasan gunung berapi diketahui amat subur dan amat sesuai untuk pertanian terutama
sekali seperti di negara Indonesia yang mempunyai banyak gunung berapi termasuk
gunung Agung. Bagi negara Malaysia pula haruslah bersyukur kerana negara ini bebas
daripada bencana gunung berapi.

10

You might also like