You are on page 1of 2

PERUMAHAN DAN ANDA : Tips Kepada Pembeli Rumah

(seperti yang disiarkan di dalam akhbar)


Siri 11 : Peranan KPKT Membantu  Projek Perumahan Terbengkalai
Projek perumahan swasta yang terbengkalai telah mula dikesan dalam tahun 1983. Definisi
projek perumahan terbengkalai ialah apabila:-
i. Kerja-kerja pembinaan dan pemajuan di tapak terhenti selama 6 bulan atau lebih
secara berterusan sama ada di dalam tempoh masa siap atau di luar masa siap
sepertimana ditetapkan di dalam Surat Perjanjian Jual dan Beli.
ii. Pemaju-pemaju mengakui tidak berupaya untuk meneruskan projek.
iii. Pengawal Perumahan berpendapat sesuatu pemaju tidak dapat meneruskan lagi
tanggungjawab mereka sebagai pemaju.

Projek Perumahan Terbengkalai diklasifikasikan kepada 4 kategori iaitu:-


i. Projek Masih Terbengkalai;
ii. Projek Siap Dipulihkan;
iii. Projek Diambil Alih Oleh Pemaju Lain; dan
iv. Projek Tidak Sesuai Dipulihkan.

Manakala projek masih terbengkalai pula dibahagikan kepada 4 jenis iaitu;


i. Projek baru dikenal pasti;
ii. Projek di dalam kajian kemungkinan;
iii. Projek sedia untuk dipulihkan dan
iv. Projek sedang dalam pembinaan.

Setelah mengenalpasti projek terbengkalai Kementerian akan mengumpulkan maklumat


berkaitan dan mengenalpasti pihak yang sesuai untuk memulihkan projek berkenaan sama
ada melalui pemaju asal, pemaju baru, syarikat pembiaya ataupun Jawatankuasa Bertindak
Pembeli.

Sehingga akhir tahun 1999, terdapat 493 projek perumahan swasta yang terbengkalai
melibatkan 96,247 unit rumah, 61,348 orang pembeli dan bernilai RM5,725.98 juta. 

Sebahagian besar projek perumahan terbengkalai berlaku di Negeri Selangor iaitu sebanyak
78 (15.82%),diikuti oleh Perak 77 projek (15.62%,) dan Johor 66 projek (13.41%).
Sebahagian besar atau 69.26% projek-projek terbengkalai melibatkan rumah teres dan
rumah murah.

Dari tahun 1989 hingga tahun 1999, daripada 493 projek terbengkalai Kementerian
Perumahan dan Kerajaan Tempatan berjaya memulihkan sebanyak 317 projek atau 64.3%.
Kejayaan ini memberi faedah kepada 42,791 orang pembeli yang melibatkan sebanyak
58,371 buah unit rumah. Daripada 317 projek yang berjaya dipulihkan sebanyak 32 projek
sedang menunggu Sijil Kelayakan Menduduki (CFO) manakala 285 projek telah
memperolehi CFO.

Sehingga akhir tahun 1999, sebanyak 19 projek perumahan terbengkalai dipulihkan secara
diambil alih oleh pemaju lain (dijual oleh pemaju asal) atas arahan mahkamah ataupun ianya
diambil alih oleh tuan tanah. Bagaimanapun, projek-projek ini masih belum siap dipulihkan
sepenuhnya dan masih dalam peringkat pembinaan. Usaha pengambilan alih ini, meliputi
sebanyak 5,176 unit rumah yang melibatkan seramai 2,234 pembeli bernilai RM 360.85 juta.

Daripada 111 jumlah projek yang masih terbengkalai, 46 daripadanya berpotensi untuk
dipulihkan. KPKT dalam usaha memulihkan projek terbengkalai telah mengenalpasti
kaedah-kaedah tertentu untuk memulihkan projek tersebut kerana ianya melibatkan banyak
pihak seperti tuan tanah, pemaju-pemaju baru yang mengambil-alih projek, institusi
kewangan dan lain-lain.

Dalam usaha memulih projek terbengkalai KPKT menghadapi masalah projek terbengkalai
yang disebabkan oleh faktor-faktor berikut;

i. Tidak mempunyai pembeli atau pembelinya terlalu sedikit.


ii. Kerja-kerja di tapak belum bermula ataupun masih berada di peringkat kerja-kerja
tapak.
iii. Pemaju asal telah digulung dan pihak bank pembiaya telah melelong projek atau
menjualnya kepada pihak lain. Pembinaan oleh pihak pemaju baru akan dikira
sebagai projek baru. Surat Perjanjian Jual Beli yang baru akan ditandatangani.
iv. Pihak-pihak yang berkepentingan seperti tuan tanah, pemaju, bank pembiaya,
'creditor' dan pembeli tidak mahu bertolak ansur. Mereka lebih suka memilih
penyelesaian melalui Mahkamah.

Hasil kajian dan penemuan-penemuan faktor menyebabkan berlakunya projek perumahan


terbengkalai KPKT telah mengambil berbagai langkah untuk mengatasi atau mengurangkan
masalah ini. Di antara langkah tersebut ialah;-

i. Memperketatkan prosedur pengeluaran lesen pemaju perumahan di mana


keupayaan kewangan syarikat dititikberatkan.
ii. Melaksanakan Peraturan-Peraturan Pemaju Perumahan (Akaun Pemaju
Perumahan) 1991. Peraturan ini dikuatkuasakan mulai 26.8.1991. Peraturan ini
mensyaratkan semua pemaju membuka Akaun Pemajuan Perumahan bagi setiap
projek perumahan yang dijalankan. Ianya bertujuan memastikan wang masuk dan
keluar hanya bagi pemajuan projek perumahan berkenaan dan tidak
disalahgunakan.
iii. Pengawasan projek dibuat secara berterusan. Setiap pemaju dikehendaki
mengemukakan laporan kemajuan fizikal projek setiap 6 bulan sekali. Lawatan ke
tapak kerja diadakan dari masa ke semasa.
iv. Kawalan ke atas penyata kewangan beraudit syarikat dipertingkatkan. Pemaju-
pemaju yang gagal mengemukakan laporan penyata kewangan beraudit akan
didakwa ke Mahkamah. Sekiranya di dapati kedudukan kewangan pemaju tidak
kukuh untuk meneruskan projek pemaju akan dipanggil untuk berbincang dan
mengambil langkah-langkah sesuai yang perlu, dan

v. Penguatkuasaan ke atas Akta/Peraturan Pemaju Perumahan diperketatkan.


Pemaju-pemaju yang di dapati tidak bertanggungjawab dan melanggar Akta/
Peraturan berkenaan akan didakwa oleh mahkamah.

You might also like