You are on page 1of 4

KENYATAAN AKHBAR OLEH YB MENTERI KESIHATAN

MALAYSIA SEMPENA LAWATAN RASMI KE BAHAGIAN


PERKHIDMATAN FARMASI PADA 5 OGOS 2010

AMARAN KEPADA PENGILANG UBAT ATAU MAKANAN KESIHATAN YANG


MENCAMPUR PALSU PRODUK MEREKA DENGAN BAHAN RACUN
BERJADUAL

1. Adalah amat membimbangkan jika kita melihat kepada kecenderungan


pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab mencampurkan produk-produk keluaran
mereka yang berupa ubat-ubatan tradisional, makanan atau minuman kesihatan dan
kosmetik dengan bahan-bahan racun (ubat terkawal). Antara yang paling popular
ialah:

a. bahan aktif perangsang seks lelaki seperti sildenafil, tadalafil,


verdanafil atau analog-analog kepada bahan tersebut,
b. bahan aktif untuk mengurangkan selera makan seperti
sibutramine dan analognya,
c. bahan antiinflamatori seperti dexamethasone dan bahan kimia
dari kumpulan `Non-Steroidal Anti-Inflammatory Drugs’ (NSAID),
d. kosmetik yang dicampurpalsu dengan bahan pemutih
hydroquinone dan ubat jerawat tretinoin.

2. Sildenafil, tadalafil dan verdanafil adalah ubat yang digunakan untuk


rawatan “erectile dysfunction” yang hanya boleh diberikan kepada pesakit oleh
seorang doktor atau ahli farmasi berlesen dengan preskripsi dari seorang doktor.
Kesan sampingan ubat-ubat ini adalah sangat merbahaya kepada pesakit jika
diambil tanpa pengawasan seorang doktor di antaranya ialah; serangan jantung,
strok, pendarahan otak, peningkatan tekanan darah, kehilangan pendengaran
dan kehilangan penglihatan yang kadangkalanya adalah kekal.

1
Sibutramine merupakan ubat yang digunakan dalam rawatan
penurunan berat badan dengan bertindak secara mengurangkan nafsu
makan. Penggunaan ubat ini hanyalah melalui diagnosis seorang doktor
atau dibekalkan oleh seorang ahli farmasi berlesen dengan preskripsi
seorang doktor. Di antara kesan-kesan sampingan yang merbahaya
terhadap pengambilan ubat ini ialah kegagalan jantung, kegagalan buah
pinggang dan kesan kardiovaskular.

Hydroquinone adalah bahan kimia yang dilarang dalam sebarang


sediaan kosmetik dan memberi kesan toksik kepada kulit di antaranya
penghitaman, kanser kulit, kering dan kegatalan. Dalam dos yang tinggi
ianya juga boleh menyebabkan kesesakan nafas dan serangan lelah.
Tritinoine biasa digunakan dalam rawatan jerawat. Di antara kesan-
kesan sampingan bahan ini ialah terbakar pada kulit, gatal,
menggelupas, kekeringan dan kulit menjadi sensitif kepada cahaya ultra-
violet.

3. Apa yang membimbangkan ialah apabila didapati terdapat juga


pengilang-pengilang bertaraf Amalan Pengilangan Baik (GMP) yang terlibat
sama dengan perbuatan jenayah farmaseutikal ini melalui penglibatan di kilang
mereka sendiri ataupun mereka bersekongkol dengan kilang-kilang yang
diwujudkan secara haram melakukan kegiatan yang serupa tetapi berselindung
sebagai kilang pengeluar bahan makanan kesihatan atau kosmetik.

4. Kegiatan mereka ini walaupun dibuat secara tersembunyi telah dapat


dikesan oleh Pegawai Penguatkuasa Farmasi yang terus membuat pemantauan
pasaran, risikan dan serbuan serta rampasan, Statistik serbuan dan rampasan
bagi 3 tahun kebelakangan ini menunjukkan kegiatan ini sentiasa berterusan.
Jumlah dan nilai rampasan setiap tahun adalah tinggi di mana sejumlah 4,617
produk bernilai RM5,719,851 telah dirampas dalam tahun 2007, 9,679 produk
bernilai RM13,663,854 dalam tahun 2008, 10,458 produk bernilai RM6,756,315

2
dalam tahun 2009 dan dari Januari sehingga Jun 2010 sejumlah 6,632 produk
bernilai RM4,546,906 telah dirampas.

5. Rampasan terbaru pada 1 Julai 2010 yang lalu mendedahkan sifat tidak
bertanggung jawab pengusaha produk haram ini di mana didapati dari satu
sumber adunan bahan yang sama mereka telah mengeluarkan tidak kurang dari
23 jenama dari pelbagai jenis produk yang jumlah nilai pasarannya mencecah
RM4,933,760. Produk-produk itu dibuat dalam bentuk ubat tradisional, minuman
seperti kopi dan teh, gula-gula, dan juga makanan yang berasaskan susu dan
kolagen. Melihat kepada pembungkusan dan label pada kotak produk-produk ini
kelihatan begitu meyakinkan dengan menggunakan ilustrasi yang begitu kreatif
bertujuan semata-mata untuk mempengaruhi dan mengaburi orang ramai.

6. Peningkatan berbagai jenama produk-produk ini menunjukkan bahawa


kegiatan ini berupaya memberikan keuntungan yang besar melalui kelicikan
mereka menipu masyarakat yang kononnya keluaran mereka adalah
bersumberkan herba atau bahan-bahan asli. Walhal ianya mengandungi bahan
yang sebenarnya cukup berbahaya sekiranya diambil tanpa pengetahuan dan
tidak mengikut arahan yang betul.

7. Selain dari kesan negatif kepada masyarakat Malaysia, produk-produk


ini juga telah dieksport keluar negara dengan penyamaran sebagai ubat
tradisional, makanan kesihatan dan kosmetik. Dikhuatiri hasrat negara untuk
menjadi hub kepada produk tradisional berasaskan herba akan terjejas dengan
teruk apabila tahap kebolehpercayaan masyarakat antarabangsa terhadap
keluaran negara kita merudum dari perbuatan yang keji ini.

8. Saya ingin memberikan amaran kepada pihak-pihak yang terlibat


dengan perbuatan ini supaya berhenti dengan serta merta dari kegiatan yang
boleh membahayakan kesihatan orang awam dan menjejaskan kepentingan
negara ini. Amaran ini juga ditujukan kepada pengedar-pengedar samada runcit
ataupun melalui kaedah jualan langsung supaya tidak bersekongkol. Mereka
3
boleh menghubungi laman web Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan
www.bpfk.gov.my atau Bahagian Perkhidmatan Farmasi www.pharmacy.gov.my
untuk mendapatkan kepastian status produk.

9. Kawalan ke atas produk farmaseutikal dan produk-produk makanan


atau minuman yang dicampurpalsu dengan dadah atau ubat yang terkawal
adalah di bawah Akta Jualan Dadah 1952. Sabit kesalahan ialah denda
RM25,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali bagi seseorang
individu dan denda RM50,000 bagi sesebuah syarikat.

10. Menyedari bahawa hukuman yang sebanyak itu tidak mungkin akan
mendatangkan keserikan bagi mereka yang berupaya meraih keuntungan jutaan
ringgit dalam masa singkat dari kegiatan ini, maka KKM juga sedang dalam
proses menyemak semula undang-undang yang berkaitan di mana peruntukan
dalam akta yang baru akan lebih setimpal dengan hukuman yang amat keras
untuk menggambarkan betapa perbuatan ini tidak boleh diterima sama sekali.

You might also like