You are on page 1of 5

DASAR EKONOMI BARU

Pada 31 Ogos 1957, Persekutuan Tanah Melayu dengan bangga dan megahnya

dinobatkan sebagai sebuah negara yang merdeka. Seterusnya, pada 16 September 1963,

negara sekali lagi mengukir sejarah apabila Persekutuan Malaysia diisytiharkan secara

rasmi sebagai sebuah negara yang berdaulat. Walaubagaimanapun, proses selepas

merdeka untuk mendapatkan status Negara yang berdaulat bukanlah sesuatu yang mudah.

Ini kerana Malaysia harus mendapatkan kembali hak yang dirampas oleh pihak penjajah.

Malah, Malaysia perlu berusaha membina dan menyusun semula hak yang telah

ditinggalkan dan mengagihkan setiap kekayaan secara adil antara kumpulan setiap etnik

yang terbina akibat dasar yang telah ditinggalkan oleh pihak penjajah British. Oleh itu,

pihak kerajaan telah membuat pelbagai dasar bagi merealisasikan impian setiap rakyat

Malaysia yang menginginkan kesejahteraan, perpaduan dan kekayaan untuk dinikmati

bersama.

Zaman penjajahan British yang mula bertapak sejak 1786 secara terang-terangan

mempunyai matlamat untuk mengumpul kekayaan dari Tanah Melayu. Oleh itu, pihak

British telah membawa masuk tenaga buruh dari negara China dan India untuk

kepentingan ekonomi mereka dalam sektor perlombongan bijih timah, perdagangan dan

perladangan. Mereka juga telah mengenakan dasar ‘pecah dan perintah’, yang

menetapkan agar tiga kumpulan etnik yang terbesar berada di tiga tempat yang

berasingan dan melakukan kerja yang berbeza-beza bagi menyara hidup mereka. Pada

masa itu, masyarakat Melayu telah ditempatkan di kampung-kampung dan pedalaman


dan bekerja sebagai petani dan nelayan, masyarakat Cina di kawasan bandar dan

lombong-lombong sebagai pelombong bijih timah dan peniaga, manakala masyarakat

India di ladang-ladang getah dan bekerja sebagai penoreh getah.

Perbezaan dari segi kawasan penempatan dan jenis pekerjaan sara diri ini telah

menimbulkan rasa curiga diantara kaum. Masyarakat Melayu berpendapat bahawa

masyarakat Cina yang tinggal di bandar-bandar mendapat segala kemudahan yang

disediakan seperti infrastruktur yang baik, elektrik dan bekalan air. Mereka juga

berpendapatan tinggi melebihi orang-orang Melayu yang hanya bekerja sebagai petani

dan nelayan. Keadaan ini juga sekaligus telah menyebabkan jurang perbezaan antara

kaum, pembangunan bandar dan luar bandar bertambah besar. Sekitar tahun 1970-an,

sebanyak 65% masyarakat Melayu pada masa itu berada dibawah paras miskin, diikuti

oleh masyarakat India sebanyak 39% dan Cina sebanyak 26%.

Menyedari keadaan yang sedemikian telah memaksa pihak kerajaan untuk

mengikhtiarkan satu kaedah bagi mengatasi masalah pembahagian hak diantara kaum.

Maka, suatu pendekatan baru dalam masa lima tahun yang digelar Dasar Ekonomi Baru

diwujudkan untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat. Ianya

dilaksanakan pada tahun 1971 sehingga 1990 oleh Perdana Menteri Malaysia ke-2, Tun

Abdul Razak Dato' Hussein, bermula dari Rancangan Malaysia ke-2 hingga ke-5.

Rancangan pembasmian kemiskinan ini pula tidak hanya terhad kepada masyarakat luar

bandar sahaja, malah masyarakat yang berada di bandar.


Strategi pelaksanaan pembasmian kemiskinan telah dirangka untuk menambahkan

daya pengeluaran dan pendapatan menerusi pekerjaan untuk masyarakat di luar bandar

termasuklah memberi perhatian kepada petani-petani, pekebun kecil, nelayan, peladang-

peladang dan buruh-buruh kasar. Usaha-usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan ini

turut dimainkan oleh badan-badan berkanun seperti FELDA, FELCRA, MADA, KADA

dan sebagainya. Pihak kerajaan telah menawarkan pelbagai bentuk bantuan bagi

menambah pendapatan isirumah setiap masyarakat tanpa mengira kaum. Sebagai contoh,

para petani dan pekebun-pekebun kecil disediakan dengan bantuan alat-alat pengeluaran

pertanian, khidmat-khidmat nasihat, subsidi benih dan baja, kemudahan pinjaman serta

pemasaran dan pembukaan kawasan-kawasan baru.

Selain itu, pembangunan wilayah juga dilakukan bagi menempatkan semula

penduduk ke kawasan-kawasan yang mempunyai potensi pembangunan. Ia dimainkan

secara aktif oleh pihak-pihak berkuasa wilayah seperti DARA, KEJORA dan KESEDAR.

Pembangunan wilayah ini penting kerana pemerintahan sebelum itu hanya menekankan

pembangunan ekonomi di kawasan tertentu sahaja, sehingga terjadinya perbezaan yang

ketara diantara kawasan bandar dan luar bandar. Kawasan yang mundur dan ketinggalan

seperti daerah pantai timur Semenanjung Malaysia, Johor Tenggara, Kedah dan lain-lain.

Sektor perkilangan merupakan sektor utama dalam perkembangan ekonomi

negara dalam RMK-2. Sektor ini penting dalam menambahkan peluang pekerjaan

pekerjaan, peningkatan pendapatan dan penyusunan semula masyarakat, terutamanya

dalam membentuk komuniti komersial dan industrialisme Melayu. Semua usaha yang
dijalankan oleh pihak kerajaan bermula dari RMK-2 dan menampakkan hasil yang amat

membanggakan apabila KDNK negara bertambah pada kadar 7.4% setahun, yang mana

ianya adalah lebih tinggi daripada ramalan asal kerajaan iaitu sebanyak 6.8% setahun.

Semua RMK yang lain diteruskan dengan berteraskan kepada dua matlamat DEB

yang telah ditetapkan sejak dari tahun 1971 lagi. Pertumbuhan yang semakin

membanggakan dapat dilihat dari tahun ke tahun. Ianya meliputi pemilikan saham,

pendapatan isirumah, pembangunan wilayah, peluang pekerjaan, kemudahan

infrastruktur, kemudahan asas dan beberapa aspek lain. Jika dilihat dalam RMK-3, ia

maju setapak lagi apabila sektor perkilangan dan perusahaan kecil semakin diceburi oleh

orang-orang Melayu dan Bumiputera. Perangkap kemiskinan di Malaysia bermula

apabila tiadanya pendidikan yang menjamin masa depan bagi masyarakat yang mundur.

Oleh itu, kerajaan telah menyediakan skim biasiswa pelajaran dan buku teks serta

makanan tambahan kepada kanak-kanak bagi menjamin mereka mendapat pendidikan

yang lebih sempurna. Malah, bagi memastikan agar rakyat mendapat keperluan makanan

yang mencukupi bagi mengatasi masalah kekurangan nutrisi, satu program yang dikenali

sebagai Projek Amalan Makanan dan Pemakanan dilaksanakan di peringkat bandar dan

luar bandar.

Dalam proses menambahkan kekayaan dan kestabilan ekonomi negara serta

mempercepatkan hasrat DEB, kerajaan juga telah merealisasikan beberapa dasar seperti

Dasar Penswastaan dalam RMK-4. Pada pertengahan tahun 1983, Malaysia telah

menyaksikan penekanan pihak swasta dalam pembangunan dan pengurusan negara. Ini
kerana, rasional penswastaan di Malaysia adalah disebabkan oleh faktor kecekapan pihak

swasta, memandangkan negara perlu mengawal saiz pertumbuhan sektor awam dalam

keadaan kewangan kerajaan yang tidak begitu kukuh sebagaimana yang dialami dalam

tahun-tahun 1980-an. Selain itu, Perbadanan Industri Berat Malaysia (HICOM), juga

ditubuhkan bagi menjayakan program pembangunan perindustrian berat di Malaysia.

Beberapa projek yang diletakkan di bawah pengawasan HICOM adalah Kedah Cement

Sendirian Berhad, PERWAJA Sri Kemaman, Terengganu dan Perusahaan Otomobil

Nasional Sendirian Berhad (PROTON)

DEB adalah satu dasar kerajaan yang bermatlamatkan ke arah perpaduan negara

melalui proses penyusunan semula dan program pembasmian kemiskinan masyarakat

didalam konteks keselamatan negara yang kukuh. Segala program pembangunan negara

dan Dasar kerajaan semasa yang diperkenalkan adalah dirancang dan dilaksanakan untuk

mencapai tujuan-tujuan tersebut. Ianya memerlukan usaha, tenaga dan pengorbanan yang

bukan sedikit dari pihak kerajaan dan kakitangannya, malah perubahan sikap, tenaga dan

pemikiran serta penerimaan seluruh rakyat Malaysia amat diperlukan. Kini, sesudah 19

tahun DEB ditinggalkan, semangat berkongsi kek kekayaan sesama rakyat Malaysia

tanpa mengambil kira perbezaan etnik, agama dan keturunan masih lagi utuh.

You might also like