You are on page 1of 1

Abdullah bin Ahmad Badawi

Yang Amat Berhormat Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi (lahir: 26 November
1939; juga dikenali sebagai Pak Lah) merupakan bekas Perdana Menteri Malaysia
ke-5, mewarisi kepimpinan daripada Tun Dr. Mahathir bin Mohamad. Beliau juga
merupakan bekas Presiden UMNO ke-6, parti politik yang paling besar dalam
Malaysia. Selepas melepaskan jawatan Perdana Menteri Malaysia, 1 September
2009, beliau dilantik menjadi Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia
(IKIM).[1]

Sebelum menjadi Perdana Menteri, beliau dilantik pada beberapa jawatan tinggi
dalam kerajaan Malaysia. Namun, beliau dipecat sebagai Menteri kerana
menyokong 'Team B' dalam Majlis Agung UMNO pada tahun 1987. Beliau tidak
menjadi anggota kabinet lagi sehingga 1991. Anwar Ibrahim, yang pada masa itu
Timbalan Perdana Menteri, dipecat oleh Tun Dr. Mahathir pada tahun 1998. Pada
tahun 1999 Abdullah dilantik sebagai Timbalan kepada Tun Dr. Mahathir, dan
pada tahun 2003, Abdullah akhirnya mewarisi jawatan Tun Dr. Mahathir sebagai
Perdana Menteri Malaysia dan Presiden UMNO.

Dilahirkan dalam keluarga yang warak di Kampung Perlis, Bayan Lepas, Pulau
Pinang, beliau menerima pendidikan menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan
Tinggi Bukit Mertajam dan di Penang Methodist Boys School, Pulau Pinang.
Abdullah memulakan kerjayanya sebagai guru. Beliau pada mulanya ingin belajar
Ekonomi di Universiti, namun setelah gagal dalam kertas Statistik, beliau tidak
dibenarkan melanjutkan kursus kepujian dalam bidang ekonomi dan memilih untuk
belajar Pengajian Islam[2]. Selepas menerima Sarjana Muda Sastera dalam bidang
Pengajian Islam daripada Universiti Malaya pada tahun 1964, beliau menyertai
sektor perkhidmatan awam sebagai Penolong Setiausaha di Jabatan Perkhidmatan
Awam. Pada tahun 1969, Abdullah berpindah ke Majlis Gerakan Negara
(MAGERAN), sebuah badan yang berkuasa eksekutif untuk mentadbir negara
yang ditubuhkan selepas rusuhan kaum pada Mei 1969. Abdullah kemudiannya
dinaikkan pangkat menjadi Ketua Pengarah Kementerian Kebudayaan, Belia dan
Sukan, sebelum menjadi Timbalan Ketua Setiausaha dalam kementerian yang
sama pada tahun 1974.

You might also like