You are on page 1of 16

Jalan Menggapai Bintang

Ayoh Aji

Tanggal 10 Oktober 1968, lahirlah ambo di sebuah desa, Kampung Joh namanya. Kata arwah
Mek, ambo dilahirkan dekat dengan surau kampung Joh. Sebut fasal surau ni, ambo teringat
nama besar gemulah Tok Iman Haji Ya. Beliau tokoh agama di kampung ambo. Lo ni beliau
diganti oleh Tok Imam Pak Sof. Berhampiran dengan surau inilah letaknya tapak rumah asal
keluarga ambo. Tidak banyak cerita di sini yang ambo ingat (mungkin umur ambo dua atau
tiga tahun masa ni). Ingat-ingat masa tu tahun 1973 atau tahun 1974.

Tok ambo namanya Haji Omar bin Haji Ma’il. Ambo panggil Ayoh Aji. Tok ambo ni jenis
sayang kat anok cucu. Arwah Mek pun terlebih manje dengan tok ambo ni. Kata Mek, ”dah
besar-besar pun Ayoh Aji dok dukung Mek lagi”. Sebab tu agaknya arwah Mek tak dibagi gi
sekolah. Jadi arwah Mek ni tak tahu ‘nulih baco’. Kekangan zaman tu mungkin buat Mek
tidak mendapat pendidikan. Mentaliti tok ambo mungkin tak terbuka lebih-lebih lagi Mek
ambo ‘anok tino’. Ambo tak pasti pula adik-beradik Mek ambo hok lain bersekolah atau
sebaliknya, tapi dengar cerita Pak Cik Abdullah dan Pak Cik Said jadi askar. Dapatlah juga
anugerah tanah sekeping dua. Walaupun Mek tak tahu ‘nulih baco’ namun pesanan dan
nasihat Mek selalu jadi bara yang membakar semangat ambo untuk berjaya dalam kehidupan.
“Kalu mu tak ngaji betul-betul mu nak jadi gapo?” Kata-kata Mek itu meninggalkan kesan
yang mendalam di dada ambo hingga lo ni.

Ayoh Aji, terima kasih cucuandamu ucapkan kerana Ayoh Ajilah peneman ambo masa ambo
masuk sekolah darjah satu dulu. Seminggu juga ambo ingat Ayoh Aji kena hantar ambo gi
sekolah. Maklumlah di kampung ambo takde prasekolah atau tadika. Jadi, rasa takut menebal
dalam diri. Syukur berkat doa Ayoh Aji, ambo bulih dikatakan rajin juga ngaji sekolah. Sejak
darjah satu lagi ambo lancar doh baca buku. Suka wei!.

“Di desa suci,


aku diberi kesempatan ,
melihat dunia,
membesar bersama-sama,
didikan dan asuhan ,
tok, ayah bonda,
membekalkan aku ilmu   di dada,
jadi aku anak yang cinta ilmu,
walau tidak sebijak Imam Syafie.

Cinta itu berbunga ,


jadi putik berbuah keinginan,
mendalami ilmu,
ingin perbaiki,
kejerihan keluarga,
jerih hidup perit,
kuatkan azamku,
bangkitkan semangat,
meredah jalan,
menggapai bintang,
di pelantar
langit ketujuh”.

Zaman kanak-kanak ambo agak nakal. Ayoh Ajilah sibuk gi cari ambo dalam bende, tepi
hutan, dalam sungai dan kat rumah Mak Da Timah. Sabar benar tok ambo ni. Cucu-cucu tak
lekat duk di rumah. Belukar mana tak diredah, bawa lastik cari burung candek kuning dengan
saing-saing baik ambo seperti Mat Binjai dan Za Paknik Ade. Masa musim buah, segenap
kebun orang kami makan buah. Kami tolong panjat tapi kami makan kenyang-kenyang dulu
baru petik buah untuk tuan kebun. Pernah ambo makan kelapa mudo atas pokoknya... ‘demo
boleh buat ke’?. Pada musim boh pulok kami sibuk menahan taut di segenap alur Sungai Joh
(anak sungai) sampai kecut kulit baru teringat nak balik ke rumah.

Ayoh Aji ‘tinggalkan’ kami pada satu hari Jumaat tahun 1975. Tarikh tepat ambo tak ingat.
Masa ni ambo baru nak kenal ABC. Terasa sangat kehilangan Ayoh Aji. Tinggallah kami di
bangsal kecik ‘tupe’ tanah orang, Tok Besin namanya, cina kaya banyak tanah di kampung
Joh. Di sinilah Mek ambo besarkan ambo empat beradik penuh dengan suka duka dan
linangan air mata. Namun rasanya arwah sempat menikmati kebahagiaan atas kejayaan anak-
anaknya.

Air Mata Ibu Yang Aku Lihat

Jumaat 1975
Ayahmu bonda - pergi buat selama-lamanya
Air matamu gugur
Hilang sudah tempat mengadu
Hilang sudah tempat mengharap kasih
Jadilah bonda anak yatim piatu
Air mata ibu yang aku lihat
Aku tak mengerti saat itu.

Jumaat 4 Oktober 1985


Suamimu bonda - menyusur ayahanda menemui yang Esa
Air matamu menitis lagi
Hilang sudah tempat mencurah kasih
Hilang sudah tempat bergantung harapan
Jadilah bonda ibu tunggal
Air mata ibu yang aku lihat
Aku mengerti kini.

Sabtu 26 Ogos 1995


Bonda - kau pergi meninggalkan kami selama-lamanya
Gugurkan air matamu kali ini?
Bonda kau tinggalkan kami sebagai hartamu
Bonda semoga rohmu dicucuri rahmat
Air mata ibu yang aku lihat
Aku jadi lebih mengerti kini.

Semasa Bersekolah Rendah

Masa berlalu. Ambo meneruskan pendidikan rendah bersama kawan-kawan sekampung.


Zaman sekolah rendah ambo ni memang cukup nostalgia. Nama sekolah ambo tu SK Sungai
Bagan. Ada enam kelas semuanya, dari darjah satu hingga darjah enam. Masih segar dalam
ingatan cikgu-cikgu yang pernah ajar ambo. Cikgu Mat Nor orang Kuang Hitam ngajar ambo
Bahasa Inggeris. Cikgu Nawi orang Tok Bok ajar ambo Matematik. Cikgu Sa’adah orang Tok
Bok juga ajar ambo Bahasa Melayu. Cikgu Norizan ajar ambo Bahasa Inggeris. Cikgu Soh
ajar ambo Pendidikan Islam dan Cikgu Ismail ajar ambo Bahasa Melayu. Hok lain ambo dah
lupo ajar gapo. Tapi, ambo nok ucap terima kasih kat sumo cikgu ambo sebab cikgu sudi duk
ajar ambo. Minta dihalalkan segala ilmu. Tak lupa Pak Teh Wahab tukang kebun, Pak Cik
Abu Hasan jaga sekolah dan Pendi budak pejabat sekolah. Moga-moga anda semua sihat
sejahtera hendaknya dan al-Fatihah sekiranya ada dalam kalangan cikgu ambo tu yang telah
kembali ke rahmatullah.

Satu Detik Itu

“Saban waktu kita dengari


perginya insan-insan yang mungkin kita sayangi
muda atau tua
sihat atau sakit
lapang atau sempit
miskin atau kaya
lelaki atau wanita
sama saja
tiba detik itu tidak terlewat sesaat
tidak detik itu tercepat sesaat
moga keinsafan menyentuh jiwa
membawa pulang hati ke syariat Ilahi.”

Hari-hari ambo gi sekolah jalan kaki. Kalau musim hujan, ambo gantung kasut kat leher sebab
jalan becak. Sampai di sekolah baru ambo pakai semula kasut tu. Kalau tak gantung lagu tu,
alamat kasut macam enam bulan tak basuh. Sekolah rendah nilah tempat ambo pandai baca
dan menulis. Di sini jugalah tempat ambo bersukan dan belajar ilmu pengakap. Semuanya
banyak memberi manfaat kepada ambo untuk mengenal kehidupan. Saing-saing sekelas
dengan ambo masih lekat dalam benak ambo hingga lo ni. Memori terhadap Za Pak Nik Ade,
Lan Kadir, Selan Pak Cek, Selan Hassan, Denan Hitam, Eddy, Mizi Yunus, Poh Chin, Awi
Mat Kumbang, Yati Pak Bir, Yati Ali, Choo Siam, Hana Che Noh dan lain-lain tak pernah
terpadam. Moga-moga kalian berjaya dalam kehidupan masing-masing. Tulah doa ambo buat
demo.

Ambo bulihlah dikatakan antara murid yang pandai. Selalu juga ambo duk tunjuk kat saing-
saing fasal Matematik dan Sains masa Cikgu Nawi yang garang tu duk aja dalam kelas. Masa
Cikgu Nawi ni ada dalam kelas, semua senyap macam tikus takutkan ‘bapak kucing’ yang dah
seminggu tak makan. Masa di sekolah ini juga ambo ada best friend, iaitu Hamizi. Gi ke
mana-mana sahaja kami selalu bersama-sama.

Terlalu banyak kenangan kami terutama semasa kami menjadi ahli pasukan pengakap
sekolah. Sewaktu ambo belajar dalam tahun enam, dalam suatu perkhemahan pengakap, ambo
dianugerahkan gelaran pengakap terbaik. Itulah antara kenangan yang terpahat alam ingatan
ambo hingga ke hari ni. Ada satu tragedi berlaku semasa perkhemahan tu. Anak Cikgu Soh,
iaitu guru pengakap kami, mati lemas ketika cuba berenang menyeberangi Sungai Klate ke
Pulau Raya tempat kami berkhemah tu. Ambo masih terbayang betapa Cikgu Soh menjerit
abih reng melarang anaknya berenang. Ketenangan Cikgu Soh jelas terpancar kerana dia
masih mampu menunaikan solat hajat setelah anaknya itu tidak timbul-timbul lagi di
permukaan sungai. Tiga hari selepas itu baru mayat anaknya ditemui. Kami seluruh warga
sekolah turut bersedih atas kehilangan anak Cikgu Soh. Tamat jah darjah enam, ambo
teruskan persekolahan ke peringkat menengah bawah pulok.
Semasa Bersekolah Menengah

Ambo ni bertubuh kecik jah. Nak banding dengan budak lain, ambo kelompok keciklah.
Rumah ambo jauh juga dari sekolah. Banyak akiviti sekolah ambo tak dapat libatkan diri.
Masa sekolah menengah bawah, ambo bersekolah di SMK Abdul Samad, Pulai Chondong.
Tak banyak kisah ambo di sekolah ni sebab ambo ni murid biasa yang mengikut segala
peraturan sekolah. Cuma sekali tu ambo kena tampar dek guru Bahasa Malaysia. Ambo ingat
lagi. Cikgu tu namanya Cikgu Fauzi. Atas sebab membaca karangan kawan sekelas tanpa izin
murid itu, dapatlah kami (beberapa orang) penampar free Cikgu Fauzi. Terima kasih, cikgu!
Pengajaran hasil peristiwa tu kekal hingga sekarang dalam ingatan ambo. Sejak itu, ambo tak
pernah nak ambik lagi hak orang tanpa memohon kebenaran. Alhamdulillah, “aku akan
genggam sampai mati tunjuk ajar tu, cikgu”.

Oleh sebab mendapat keputusan peperiksaan SRP yang baik, ambo berpindah ke SMK
Machang untuk meneruskan persekolahan dalam aliran sains. Rasa janggal juga masuk ke
sekolah baru ni. Ramai budok yang ambo tak kenal. Belajarlah ambo di sekolah ni macam
biasa. Ada beberapa orang cikgu yang ambo suka usik. Guru fizik, iaitu Mr. Lim,.. ho, ho,
cukup pekat dengan pelat Cinanya. Suka sangat ambo ajuk cakap-cakapnya,“Lu talak mahu
belajaq mahu jadi apo?” Apa-apa pun ambo mohon maaf daripada semua guru ambo jika ada
kenakalan ambo dan saing-saing ambo yang telah mengguris hati cikgu-cikgu. Sesungguhnya
kalianlah yang telah menjadikan ambo ni orang.

Ambo tidak cemerlang mana dalam peperiksaan SPM. Kekurangan bahan rujukan mungkin
satu sebabnya. Ambo tak mampu nak beli buku rujukan seperti anak-anak zaman sekarang.
Pada ketika itu ambo cuma mengharapkan buku teks semata-mata. Hidup ambo miskin. Ya,
ambo hidup dalam kemiskine. Yang ambo ada cuma buku rujukan Pendidikan Islam(PI). Itu
pun setelah ustaz beriya-iya suruh ambo beli dan memang berbaloi keputusan PI ambo. Ambo
bulih A1. Bulih kata ambo hafal setiap infomasi dalam buku itu. Subjek lain hanya cukup
untuk melayakkan ambo masuk ke tingkatan enam.

Ketika di tingkatan lima itu jugalah ayah ambo pergi buat selama-lamanya. Mungkin juga
kerana kurang perhatian daripada ayah dan tiada teguran semasa mentelaah menyebabkan
ambo jadi kurang cemerlang. Arwah ayah sibuk dengan kerjanya. Namun terima kasih
ayahanda atas didikan ayahanda itu. Mek ambo yang banyak bersusah payah memberi
galakan, bersengkang mata membuat kuih, nasi krabu, roti canai untuk isi perut kami adik
beradik. Selebihnya dijual kepada jiran-jiran. Sejak kecil makanan utama ambo ialah roti
canai Mek ambo yang rasanya sepuluh kali lebih sedap berbanding roti canai mamak pada
zaman ini.

Ayah bonda

“Kamu yang teristimewa


Tidak pernah kelam memori anakanda pada ayah bonda
walau berabad ayah bonda tinggalkan kami semua
moga ayah bonda bersama-sama golongan solehah di sisi-Nya.

Bonda,
lembut tuturmu tak terperi
atur bicaramu bagai bait puisi
belaian kasihmu terpahat abadi
kekal mewangi dalam benak memori.

Ayah,
tegas katamu kuingati
keras bicaramu terkesan di hati
pesanmu amanat yang kupatuhi
kekal tertulis dalam lipatan hati.”

Selepas keputusan peperiksaan SPM keluar, ambo meneruskan persekolahan di SMK Hamzah
Machang pula. Di sinilah sesungguhnya kepentingan pendidikan bertunjang di jiwa. Sedih
juga kerana ambo miskin tapi tiada pun borang biasiswa yang cikgu hulurkan sedangkan
cikgu tu sekampung dengan ambo. “Tak apalah cikgu. Barangkali tu bukan hak ambo
agaknya”. Ambo berusaha sungguh-sungguh untuk berjaya ke menara gading. Adakala dari
pukul dua petang sehingga larut malam ambo menyediakan review setiap subjek untuk kelas
keesokannya.

Dalam serba kekurangan


aku perlu kuatkan perjuangan
gunakan segala peluang
dalam kemarau kemudahan
syukur
ada bantuan dari abang-abang
yang mengajar tanpa harapkan ganjaran
aku termasuk golongan cerdik dalam pelajaran
kuasai pengajaran.
Kejayaan
generasi awal belajar ke luar negara
membarakan lagi azam di dada
jika meraka boleh berjaya
aku pun tentu boleh berjaya
kena lipat ganda usaha
jangan leka
baca, baca dan baca
sehingga tepu minda
daki tangga ke puncak menara.

Atas jerih perih berjurai air mata


susah payah ibu tercinta
aku capai jaya
dengan berkat doa
kepada yang Esa.

Selama satu setengah tahun bekerja keras di tingkatan enam, pada akhirnya ambo mendapat
keputusan yang melayakkan ambo memohon masuk ke universiti. Semasa menunggu jawapan
menerukan pengajian ke IPT, ambo bekerja mengisi polibag hitam dengan tanah untuk
semaian anak kelapa sawit. Dapatlah sedikit upah yang ambo gunakan untuk beli kasut bola
pertama berjenama Puma Worldcup, RM 120.00 masa itu. Gembira tak terhingga dapat kasut
bola sendiri. Selama ni duk kenen-kenen kasut saing-saing ambo jah. Kasut ini ambo jaga
dengan baik, sehingga hilang di tangan kawan sendiri. Sedih!..

Langit Ketujuh

“Musim, bulan, minggu, hari yang berlalu


aku tuntut ilmu
SRP, SPM, STPM
aku tempuhi satu satu
semua memihak kepadaku
yang melayakkan permohonan ke ‘U’
satu detik itu
kuterima satu sampul yang kutunggu-tunggu
jawapan!
jawapan meneruskan pengajianku
ke UKM destinasi dituju.

Surat itu
mengundang gundah
di hati bonda
berat melepaskan aku pergi
biasalah mentaliti orang tua
kebimbangannya seakan membantutkan niatku
syukurlah
kepada arwah Mak Da Che Yah memujuk bonda
lepaskan aku pergi
terbuka pintu hati
merestui perjalananku.

Atas sebab kemiskinan


aku ingin capai kejayaan
ubah nasib jalani kehidupan
yang lebih baik untuk masa depan.

Masih kuingat akan kepiluan


pada hari aku sibuk menguruskan
dokumen pendaftaran pengajian
rumahku yang dibangunkan
atuk dan ayah bonda tersayang
terpaksa dirobohkan.
Kami hidup menumpang
atas tanah hak milik orang
kegembiraan meneruskan pengajian
disulam kedukaan kekal mendalam
tinggal ibu dan adik kejerihan
mengharap simpati belas ehsan
sanak saudara yang rela menumpangkan.

Pemergianku diiringi doa dan kesayuan


satu titik sejarah yang tak akan kulupakan
kini walau aku jauh diperantauan
masih terbayang wajah-wajah kesedihan
bonda! Akan aku simpan kenangan
buat pengubat rindu tak tertelan dek zaman
kasih sayangmu tiada tolok bandingan.

Kejerihan ini mengajar aku erti ketabahan


kejerihan ini mengajar aku erti kesabaran
syukurlah Ya Rahim Ya Rahman
takdir-Mu dan doaku seiringan
moga berkekalan
agar aku terus memperhambakan
diri kepada-Mu, Tuhan.

Atas restu dan doa bonda


aku jejak kaki di daerah asing
debar ketar jadi teman sepanjang perjalanan
kugenggam pesan bonda
kembalilah dengan sebuah kejayaan
tiada lain
tiada lain
bonda idamkan aku jadi pendidik
"ya, bonda kuturuti kemahuanmu'
kini aku bangga memegang amanah bonda
didik anak bangsa
bangunkan negara
berbakti kepada agama
di daerah ini aku
berdiri.

Rasa terhina akan diri  


bila rumah sendiri lenyap dari bumi
itulah kesannya tak punya harta sendiri
mengharap belas simpati
selama mana orang akan mengerti
satu detik pasti lenyap bersama mimpi ngeri.

 Kutinggalkan kampung halaman


tanah kelahiran
demi mengejar sebuah impian
dengan berbekalkan sedikit wang
kutempuhi pengajian
satu semester sebelum mendapat pinjaman.

Empat tahun lamanya


sebelum aku dukung segulung ijazah
duniaku
sekitar kampus
jumpa lecturer di dewan kuliah
tidur di kamsis Dato Onn II
main di padang bola sepak
jumpa dara pujaan di perpustakaan Tun Sri Lanang (TSL).

Tahun satu
aku sudah wakil UKM
acara bola sepak
latihan bina semangat
temukan aku
dengan dara pujaan
kali pertama kupandang
matanya yang menawan
terusku tertawan.

Di situlah bermula perkenalan


menerbit rasa sayang
akhirnya aku ucapkan
janji setia bina bahagia
dan kini
dara itu jadi suriku
bahagia milikku.
Kenapa aku pilih dia?
atas nama setia
padaku dia menyerah cinta
rela bersama tak kira masa
susah senang sentiasa bersama
suka duka tawa ria ke hujung nyawa.

Sepanjang pengajian
dialah insan jadi teman
berkongsi masa dan ruang
sama-sama belajar kejar impian
cinta kian kembang
merapatkan lagi perhubungan
akhirnya kami bertunang
ikat janji ke gerbang perkahwinan
sebelum tamat pengajian.

Di kampus ini
kecintaan terus menunjang
kecintaan kepada ilmu
terima kasih guruku;
Prof. Hamid,
Prof. Sham Sani,
Prof. Samad Hadi,
Prof. Jamaluddin Jahi
Prof. Fuad Jali,
Prof. Shaharudin Ahmad,
Prof. Sulong Muhammad,
Prof. Katiman Rostam,
Prof. Asmah Ahmad,
Prof. Sharifah Mastura,
Prof. Abd Rahim Md Noor,
Prof. Noriah Ali,
Dr. Yaacob Jani,
ilmu yang dicurahkan
jadikan aku orang
tergenggam segulung ijazah dengannya
tidak terbalas di dunia ini
moga semuanya diberkati dirahmati Allah.

Semester satu aku masih dalam kebingungan


tak biasa dengan pelbagai tugasan
mencari bahan ke perpustakaan
dalam bahasa asing yang sukar nak faham
sudahnya gagal satu kursus kerana tugasan
tak ikut format penulisan
nak cari pensyarah asyik tak ketemuan
maklumlah pelajar baru katakan
syukurlah bila men ulang
lulus cukup-cukup makan.
 Dalam kekalutan
mengejar kuliah dan tugasan
aku aktif bersukan
bola sepak jadi pilihan
masa minggu suai kenal ada pertandingan
pasukan kami jadi johan
dari situ aku mendapat tawaran
masuk team universiti kebangsaan
pegawai sukan memerhati permainan
dapat tempat dalam kesebelasan.
 
Aku ingat lagi kasut bolaku warna hitam
aku beli dengan wang upah isi polibag hitam
buat semaian sawit di ladang Sungai Bagan
kerja sementara selepas STPM
akhirnya kasut ini hilang
kawan pinjam tak pulangkan
namun banyak jasanya sepanjang aku jadi tuan
menjaring gol bila berlawan
dapatlah juga merasa anugerah sukan
perghargaan dari pihak UKM
cemerlang!
 
Kerana bola sepak juga aku bertemu cinta
latihan bina semangat ke Air Keroh, Melaka
menemukan aku dengan dara jelita
perkenalan membunga rasa bahagia
kupupuk persahabatan ke alam cinta
akhirnya kupunyai dia
menyatu hidup setelah bergelar mahasiswa.

Dari sini tekad cari pekerjaan


demi sebuah cinta dam impian
tamat pengajian aku terus kerja kilang
menumpang kawan di Pulau Pinang
dapatlah mengumpul sedikit wang
meneruskan hajat bonda
kupohon
kursus diploma pendidikan
aku akhirnya ditawarkan
meneruskan pengajian Diploma Pendidikan
setelah melangsungkan perkahwinan.

Sekali lagi
terima kasih guruku;
Prof. Rohaty Majzub
Dr. Nan Khamis
di sini
aku belajar jadi pendidik
ilmu falsafahnya
ilmu psikologinya
ilmu pedagoginya
semua diserap
sampai jadilah aku seorang cikgu
aku berjaya jadi pendidik yang diimpikan
syukur kepada-Mu, Tuhan.

Setelah tamat Diploma Pendidikan


debar di hati menunggu jawapan
penempatan guru-guru sandaran
syukurlah aku ditempatkan berhampiran
SM Katholik Petaling Jaya tempat cari makan
syukur tak kena berjauhan
dari isteri yang tersayang
dah terbayang mungkin kena ke pedalaman
namun takdir membuat hatiku girang.

Maka bermulalah kehidupan


seorang guru yang diimpikan
kini menjadi kenyataan
mendidik anak bangsa jadi cemerlang
hari-hari berulang
naik motosikal itu saja termampu adakan
rasa takut bahaya di jalanan
maklumlah kenderaan bertebaran
keselamatan jadi keutamaan
berhati-hati pada setiap perjalanan
namun kita hanya mampu merancang
pernah aku kemalangan
terlanggar anjing yang melintas jalan
nasib baik awal pagi jalan lengang
kalau tak mungkin di langgar dari belakang
syukur pada-Mu, Tuhan.

Enam bulan kemudian


aku bertukar ke Pandan
atas keperluan tugasan
tiga tahun lamanya aku di Pandan
buat perjanjian dengan pihak pengurusan
selepas tiga tahun pindah ke Kajang
seksa juga berulang seharian
banyak masa habis di atas jalan
menempuh kesesakan yang tak berkesudahan
faham-faham saja trafik di Pandan
bertali arus tak pernah aman
sakit-sakit badan
mengejar masa elak kesesakan
kesian!
Kebahagiaan kami terasa
dikurnia puteri pertama
cerdik orangnya
belajar pintar selalu naik nama
anugerah tokoh pelajar dipegangnya
rasa bangga
moga terus cemerlang hingga dewasa.

Hadir puteri pertama


hilang bonda tersayang, hiba
semuanya bulan yang sama
bonda tak panjang umurnya
sebulan masuk hospital kena leukemia
tujuh hari tujuh malam kujaga bonda
akhirnya bonda pergi jua
yang Esa lebih menyayangi dari kami semua
al-Fatihah untuk bonda.
Di tanah Bangi
aku berkelana mencari rezeki
membina keluarga dan diri
bersama isteri
telah kumiliki rumah sendiri
ada kenderaan untuk ke sana ke sini
hampir lengkap kemahuan diri
harapan nak jadi tetamu Ilahi
di kota suci
moga dipermudahkan niat hati.

Di sini
kuberusaha memberi
didikan kepada anak-anak yang tertinggi
dapatlah nanti membawa diri
dapat hidup berdikari
menyumbang bakti
kepada ibu pertiwi
setelah aku tiada lagi
suatu hari nanti.

Mengapa aku di sini?


cintaku kepada kehidupan di Bangi
kian menebal menyemi
di sini aku ada misi dan visi
mengumpul memori
banyak aspirasi
menjayakan diri
kampung halaman sendiri
tiada apa yang menanti
tiada wasiat atau pusaka diberi
ayah bonda cuma membekal ilmu dalam diri.

Aku yakini
kehidupan aku di sini
kehidupan keluargaku di bumi Bangi
tiada apa nak dikesali
berkelana sehingga akhir nanti.

Bangi
aku tetap di sini
telah 22 tahun kujejaki
bumi yang mengubah diri
jadi lebih berdikari
menempuhi pancaroba duniawi
ada suka ada duka mewarnai
namun takdir menyubur hati
kekal di sini.

Sebelum 22 tahun dulu


hidupku di desa bersama ibu
abang dan juga adikku
ibu tak tahu membaca
apa lagi menulis mengira
hanya kata-kata
menyuburkan rasa cinta kepada ilmu
membakar semangatku
cari ilmu
namun tidak semudah cerita ini.

Ibu sempat merasa


gajiku yang pertama
tak lama bersama aku untuk membalas jasa
ibu tak panjang usia
kerana penyakit leukimia
pergi meninggalkan aku selamanya
tinggalkan segala kenangan tak mungkin kulupa.

Bersama pemergian bonda


lahir puteri pertama
seakan mengganti kasih bonda
mengubat pilu di dada
sempat bonda
hadiahkan 60 ringgit buat cucuanda
katanya, “ buat beli rantai, hadiah dari dia”.

Dua tahun lamanya


aku memujuk hati menerima
ibuanda tercinta sudah tiada
adakala mengundang air mata
sebak mengenang kasihnya bonda
kepada kami empat bersaudara
moga tempatmu di syurga
dirahmati yang Esa.
Kini hanya
doa kupanjatkan sentiasa
buat bonda dan ayahanda
seperti mana yang dipinta
kenang mereka walau di mana jua
moga kita ditakdirkan akan berjumpa
di alam abadi kekal selamanya
bersama golongan yang bertakwa
Insya-Allah.

Daerah ini
pertama kali kujejaki
masih sunyi
hutan sana sini
belum banyak industri
damai dan murni
tiada pencemaran menyelubungi.

22 tahun telah pergi


Bangi kini
tidak lagi sunyi
rumah menggantikan hutan suci
industri tumbuh cepat sekali
kenderaan berganda setiap hari
kesesakan tak dapat nak elak lagi
kedamaian Bangi kian pergi.

Namun
aku mensyukuri
kebahagiaan meniti hari
kujumpa di sini
punyai isteri
yang sangat mengerti
yang sangat memahami
kemampuan keluarga kami
setakat ini.

Jika nanti
ada lebihan rezeki
atas usaha dan kerajinan diri
akan kusediakan yang lebih lagi
untuk keselesaan seisi
yang penting kesihatan diri
mampu beribadat kepada Ilahi
yang memberikan rezeki
dan kebahagiaan hati
kepada kami.
Di tanah Bangi
aku dikurniakan sepasang putera puteri
jadi permata hati menguji diri
puteraku anak istimewa berhati suci
mungkin kami juga istimewa di sisi Ilahi
dipilih membawa amanah ini
mereka hadir sebagai penyeri
bukan sebagai bebanan di hati.

Bukan sedikit ujian punyai anak istimewa


dari lahir hadapi masalah kesihatan
ulang alik kami ke hospital saban bulan
sampai kini masih ada rawatan
syukur umurnya panjang
masalah jantung dan leukemia hilang
aku percaya ini semua ujian Tuhan
kesabaran memihak kami sekarang.

Kini kedua-dua putera puteri


sihat menyeri
mengikat kukuh
kasih sayang antara kami
terima kasih Ya Rahman
terima kasih Ya Rahim
dari kurnia-Mu
aku belajar erti kesabaran
aku belajar erti meredhai
ketentuan Ilahi.

 Aku rasa aku cemerlang


bagi anak dagang serba kekurangan
menempuhi jalan menggapai ‘bintang’
yang aku dambakan.

CNM, 28/11/2010, 17.00 pm.

You might also like