You are on page 1of 7

TEORI – TEORI PEMBELAJARAN DAN IMPLIKASINYA DALAM PENGAJARAN DAN

PEMBELAJARAN

TEORI PELAZIMAN PAVLOV

Mengikut teori ini setiap rangsangan akan menghasilkan gerakbalas. Gerakbalas ialah
tingkahlaku yang timbul kesan daripada rangsangan. Rangsangan pula ialah tenaga yang
menimbulkan gerakbalas. Contohnya apabila guru memberikan arahan supaya murid berdiri,
maka murid dengan cepat akan berdiri. Arahan ialah rangsangan, manakala tindakan berdiri
ialah gerakbalas. Hasil daripada kajiannya, Pavlov berpendapat bahawa pembelajaran boleh
berlaku kesan daripada kaitan antara rangsangan dengan gerakbalas.

Implikasi Teori Pavlov ke atas pengajaran dan pembelajaran.

Daripada teori ini, guru perlu sedar bahawa rangsangan dan gerakbalas mempunyai kaitan yang
boleh dilazimkan atau dipelajari.Kaitan antara rangsangan dengan gerakbalas dapat
diperkukuhkan melalui latihan. Semakin kerap rangsangan itu dikaitkan dengan sesuatu
gerakbalas, semakin kukuh gerakbalas terlazim itu. Contohnya, apabila guru memberi pujian
( rangsangan ) setiap kali murid mendapat hasil yang baik ( gerakbalas ), maka gerakbalas itu
menghasilkan sesuatu yang baik dan berterusan.

Motivasi juga memainkan peranan yang penting dalam pembelajaran. Contohnya dalam bilik
darjah, guru perlu memotivasikan murid-murid dengan menunjukkan sesuatu yang menarik
sebelum mereka dapat memberikan penumpuan yang teliti. Pembelajaran juga boleh berlaku
melalui latihan, pembiasan atau pengalaman. Oleh itu, guru perlu melibatkan murid-murid
dalam proses pengajarannya seperti mengadakan aktiviti kumpulan, perbincangan dan
sebagainya.

Dalam pembelajaran, penghapusan boleh berlaku jika peneguhan tidak diberikan. Ini
bermakna , sekiranya sesuatu tingkahlaku tidak diperkukuhkan melalui ganjaran, tingkahlaku itu
mungkin akan terhapus begitu sahaja. Konsep pemulihan serta – merta juga dapat membantu
seseorang guru meningkatkan keberkesanan pembelajaran.

TEORI PERKEMBANGAN KOGNITIF JEAN PIAGET.


Teori ini menekankan perkembangan kognitif kanak-kanak iaitu merujuk kepada aktiviti-aktiviti
mental seperti berfikir, menaakul, menganalisis, membentuk konsep, menyelesaikan masalah
dan sebagainya. Menurut Piaget, perkembangan kognitig seseorang kanak-kanak adalah
mengikut siri urutan yang berperingkat-peringkat. Piaget membahagikan perkembangan itu
kepada empat peringkat iaitu:

Peringkat deria motor ( 0 – 2 tahun )

Peringkat praoperasi ( 2 – 7 tahun )


Perinkat operasi konkrit ( 7 – 11 tahun )

Peringkat operasi formal ( 11 tahun dan keatas )

Implikasi Teori Perkembangan Kognitif Piaget terhadap pengajaran dan pembelajaran.

Daripa teori ini, guru perlu sedar bahawa pada peringkat awal, kanak-kanak seperti di kelas
tadika perlu didedahkan kepada bahan-bahan pelajaran yang terdiri daripada objek-objek besar
iaitu yang senang dilihat dan disentuh. Manakal pada peringkat Tahun Dua dan Tiga, kanak-
kanak bersifat egosentrik. Oleh itu, tajuk-tajuk seperti Rumah Saya, Keluarga Saya adalah sesuai
disediakan sebagai bahan bacaan dan tulisan. Pelbagai jenis alat bantu mengajar diperlukan
untuk mengajar kanak-kanak di peringkat sekolah rendah disebabkan perkembangan kognitif
yang terhad.

Murid-murid di peringkat sekolah rendah juga masih belum bersedia menyelesaikan masalah
abstrak atau dalam bentuk hipotesis. Oleh itu, banyak contoh konkrit dan analogi diperlukan
untuk memudahkan pemahaman murid-murid sekolah rendah. Isi pelajaran dan aktiviti
pelajaran yang disediakan perlu selaras dengan peringkat perkembangan kognitif murid-murid.
Sekiranya tidak, bahan atau aktiviti pelajaran tersebut mungkin akan membosankan murid-
murid atau terlalu sukar bagi mereka.

Setiap tajuk pelajaran perlu disusun dan diperingkatkan. Ini membolehkan penyampaian tajuk
pelajaran daripada peringkat yang senang kepada peringkat yang susah. Cara seperti ini akan
menjamin murid-murid memperolehi hasil pembelajaran yang maksimum.

TEORI PEMBELAJARAN GAGNE


Menurut Gagne pembelajaran adalah sebagai satu cara pemerosesan data dan maklumat.
Proses pembelajaran bergerak daripada peringkat yang paling mudah menuju kepada peringkat
yang rumit. Pembelajaran pada aras yang tinggi bergantung kepada pembelajaran pada aras
yang rendah. Gagne telah mengenal pasti lapan jenis pembelajaran iaitu:

Pembelajaran isyarat.

Pembelajaran rangsangan gerak balas

Rangkaian.

Pertalian berbahasa.

Pembelajaran diskriminasi.

Pembelajaran konsep
Pembelajaran hukum

Penyelesaian masalah.

Implikasi Teori Pembelajaran Gagne.

Pada peringkat awal, pembelajaran isyarat boleh dijalankan. Contohnya, guru menunjukkan
objek sambil mengimbaskan kad perkataan. Pembelajaran rangsangan gerak balas membawa
implikasi bahawa guru perlu sentiasa memberi pujian dan galakan apabila murid menunjukkan
hasil yang baik

Daripada aspek rangkaian motor, guru perlu menggunakan prinsip ulangan dan membuat
sesuatu mengikut urutan ketika mengajar. Implikasi pertalian berbahasa kepada guru ialah
ketika mengajar, guru perlu menggalakkan kemahiran menulis dan mengemukan hujah.
Contohnya, ketika mengajar konsep buku, guru bukan sahaja boleh menunjukkan buku sebenar
malahan murid-murid digalakkan untuk menyebut dan mengeja perkataan itu.

Guru perlu membimbing murid-murid membuat diskriminasi atau membezakan fakta yang
penting daripada yang kurang penting. Kebolehan mendiskriminasi juga boleh digunakan untuk
membezakan ciri-ciri sesuatu kumpulan tumbuhan dengan ciri-ciri kumpulan tumbuhan yang
lain. Guru juga boleh membantu murid-murid mengenal pasti cir-ciri utama suatu kelas objek
agar pembentukan konsep mudah dicapai. Soalan-soalan yang boleh memandu murid-murid ke
arah pembentukan konsep dengan jelas perlu digunakan.

Guru perlu menggunakan perbandingan, anlogi dan aplikasi ketika mengendalikan


pembelajaran hukum. Seseorang guru perlu:

- memberikan maklumat yang mencukupi.


- Membimbing murid-murid untuk mengenal pasti perkara-perkara penting dalam hukum
berkenaan.
- Membantu murid-murid melihat pertalian antara komponen yang releven.
- Mengemukakan soalan-soalan yang memberi peluang kepada murid-murid untuk
membuktikan kefahaman mereka terhadap hukum yang dipelajari.
- Menggalakkan murid-murid membuat huraian tentang sesuatu hukum itu.

Dalam menyelesaikan sesuatu masalah, guru perlu memberikan panduan dan cadangan
tentang konsep dan hukum yang diperlukan. Petunjuk yang berhubung terus dengan
penyelesaian masalah tidak perlu diberi kerana ini menjadikan tugasan itu terlalu senang dan
kurang mencabar.

TEORI PEMBELAJARAN BRUNER.


Kajian Bruner menekankan perkembangan kognitif kanak-kanak. Ia menekankan cara-cara
manusia berinteraksi dalam alam sekitar dan menggambarkan pengalaman secara dalaman.
Menurut Bruner, perkembangan kognitif juga melalui peringkat-peringkat tertentu. Peringkat-
peringkat tersebut adalah seperti berikut:

Peringkat enaktif ( 0 – 2 tahun )

Peringkat ikonik ( 2 – 4 tahun )

Peringkat simbolik ( 5 – 7 tahun )

Bruner amat menekankan pembelajaran konsep atau kategori. Beliau mengutamakan


pembelajaran secara induktif dengan menggunakan konsep atau kategori. Beliau juga
mementingkan sistem pengekodan dalam huraiannya tentang pemikiran. Dengan adanya
sistem pengekodan, kita dapat membuat inferens ( kesimpulan ) daripada rangsangan yang
diterima.

Implikasi Teori Bruner ke atas pengajaran dan pembelajaran.

Murid-murid belajar melalui pengalaman. Dengan itu guru perlu menyediakan peluang untuk
murid-murid menroka, memegang, mencium dan merasa. Pengalaman seperti ini mewujudkan
proses pembelajaran yang bermakna. Bagi murid-murid di Tahap Satu, gambar, carta dan objek
perlu digunakan bagi memudahkan pembentukan konsep.

Bagi murid-murid Tahun Enam ke atas, hukum dan prinsip perlu ditekankan agar murid-murid
berupaya mengaplikasikannya dalam proses penyelesaian masalah. Bruner juga menekankan
pembelajaran yang terhasil daripada interaksi murid dengan guru, interaksi dengan murid-
murid lain dan interaksi dengan bahn pengajaran. Maka kerja berkumpulan dan sesi
perbincangan perlu diadakan dari masa ke semasa.

Penglibatan murid-murid penting agar mereka dapat menikmati pembelajaran bermakna.


Pengetahuan juga perlu disusun dan diperingkatkan agar pembentukan konsep bermula
daripada peringkat yang mudah kepada peringkat yang rumit. Ini bermakna guru perlu
memeringkatkan isi pelajaran.

Bruner juga menekankan motivasi ekstrinsik dan motivasi intrinsik. Ini bermakna guru perlu
memberi ganjaran dan pujian apabila sesuatu tingkahlau yang diingini dilakukan. Kesediaan
belajar juga ditekankan oleh Bruner. Dengan itu, guru perlu mengambil kira kesediaan belajar
murid-murid ketika merancang proses pengajarannya. Sementara itu, nilai-nilai murni seperti
bekerjasama, bertolak ansur dan tolong-menolong akan dapat dipupuk dalam aktiviti
pengumpulan maklumat projek dan perbincangan.
(5)TEORI PEMBELAJARAN KONSTRUKTIVISME.

Teori ini menekankan pembinaan pengetahuan oleh pelajar. Pelajar dapat membina
pengetahuan dengan menggunakan pengetahuan sedia ada mereka. Pelajar akan mengaitkan
pembelajaran baru dengan pembelajaran lama yang sedia ada.

Prinsip-prinsip asas Teori Konstruktivisme ialah seperti berikut:

a) Pengetahuan dibina oleh pelajar.


b) Setiap pelajar memiliki idea dan pengetahuan asas.
c) Proses pembinaan pengetahuan melibatkan aspek sosial.
d) Komunikasi antara guru dengan murid mungkin menimbulkan perselisihan faham.
e) Guru dianggap sebagai fasilitator dalam proses pembinaan pengetahuan pelajar.

Implikasi Teori Konstruktivisme ke atas Pengajaran dan Pembelajaran.

Kanak-kanak ialah pembina teori. Ilmu pengetahuan tidak disampaikan kepadanya. Sebaliknya,
dia bertanggungjawab membina pengetahuan. Oleh itu, guru perlu menyediakan suasana
pengajaran dan pembelajaran yang sesuai untuk pembinaan pengetahuan kanak-kanak.

Guru juga perlu menerima hakikat bahawa kanak-kanak datang ke kelas dengan berbekalkan
pelbagai pengetahuan yang sedia ada dan nilai-nilai tertentu. Mereka akan membina
pengetahuan berdasarkan idea-idea dan nilai-nilai yang sedia ada itu. Sebenarnya, guru bukan
merupakan penyebar pengetahuan, sebaliknya beliau lebih merupakan seorang pemudah cara
atau fasilitator. Beliau akan menyedikan pelbagai jenis bahan pembelajaran dan menggalakkan
uji kaji, percubaan serta penyelesaian masalah agar pembinaan pengetahuan oleh kanak-kanak
dapat berlaku.

Guru perlu menggalakkan interaksi di kalangan murid. Interaksi ini akan dapat memudahkan
mereka bertukar-tukar idea dan pembinaan pengetahuan mereka. Guru juga perlu berupaya
menyesuaikan diri dengan keadaan bilik darjah yang menggalakkan pergerakan murid dan
tahap kebisingan yang dibenarkan. Bilik darjah juga perlu disediakan dengan pelbagai jenis
bahan dan media pembelajaran yang boleh menggalakkan dan merangsangkan pembelajaran
kanak-kanak. Bahan-bahan pembelajaran yang mencukupi dan mencabar akan memudahkan
murid-murid membina pengetahuan.

Kurikulum yang disediakan tidak seharusnya terlalu ketat. Rancangan pengajaran dan
pembelajaran perlu fleksibel kerana pada kebiasannya, proses pembelajaran kanak-kanak
adalah spontan dan sukar diramal. Kurikulum itu juga perlu memenuhi keperluan, minat dan
kebolehan kanak-kanak.
 

BIBLIOGRAFI

Ee Ah Meng, Psikologi Pendidikan 111, Penerbitan Fajar Bakti,2002.

Mok Soon Sang, Psikologi Pendidikan 1, Kumpulan Budiman Sdn. Bhd. 2001.

Atan Long, Psikologi Pendidikan, DBP, Kuala Lumpur, 1978.

Poh Swee Hiang, KBKK, Kumpulan Budiman Sdn. Bhd. 2000.

Hasan Langgulung, Asas-asas Pendidikan Islam, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur,
1991.

________, Beberapa Tinjauan dalam Pendidikan Islam, Penerbitan Pustaka Antara, Kuala
Lumpur, 1981.

Mahmood Nazar Mohamed, Pengantar Psikologi: Satu Pengenalan Asas kepada Jiwa dan
Tingkah Laku Manusia, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1990.

Kementerian Pendidikan Malaysia, Garis Panduan Kurikulum Prasekolah Malaysia, Kuala


Lumpur, 1986.

REFLEKSI.

Alhamdulillah, Syukur saya ke hadrat Yang Maha Esa, kerana dengan limpah kurnianya, saya
dapat menyiapkan tugasan ini, walaupun dibatasi masa yang terhad lantaran kesibukan tugas
seharian.

Walaupun ianya tidak begitu lengkap dan mungkin tidak mencapai sasarannya tetapi inilah
yang terbaik yang dapat saya hasilkan. Saya tetap bersyukur dan gembira kerana jerih perih
saya membahagikan masa antara tanggungjawab sebagai seorang isteri, ibu kepada tiga
orang cahaya mata, guru agama dan pelajar tetapi akhirnya saya berjaya menyiapkan
tugasan ini.

Pada mulanya, apabila menerima tugasan ini daripada Encik Asran , saya agak keliru tentang
kehendak soalan. Berulang kali dibaca barulah saya dapat memahami kehendak soalan.
Setelah itu, kami berempat berbincang bersama-sama dan membahagikan tugas kepada
setiap ahli. Kemudian apabila masing-masing telah menyiapkan tugas, hasil tugasan
dikumpulkan.
Dalam tugasan ini, saya mengambil masa yang agak lama kerana kekangan masa dan
keletihan akibat rutin hidup seharian. Adakalanya saya menaip pada waktu awal pagi dan
adakalanya pada lewat malam kerana pada waktu itulah saja yang sesuai dan tenang.

Setelah menyiapkan tugasan ini, saya dapati banyak perkara baru dan pengalaman baru yang
saya perolehi. Semuanya menginsafkan diri ini betapa kerdilnya saya jika dibandingkan
dengan ilmu-ilmu Allah s.w.t anugerahkan di maya pada ini. Ilmu yang saya perolehi
hanyalah setitis daripada lautan ilmu Allah s.w.t.

Dikesempatan ini juga saya ingin merakamkan jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi
penghargaan kepada En. Asran yang telah memberikan bimbingan, keluarga, suami dan anak-
anak yang tersayang yang begitu memahami diri ini dan telah banyak berkorban untuk saya.

Sekian, terima kasih,

You might also like