You are on page 1of 1

Langkah Melestarikan Permainan Tradisional

Permainan tradisional merupakan warisan bangsa yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek
panas walaupun popularitinya semakin berkurangan. Generasi muda hari ini tidak mengenali
permainan tradisional dengan mendalam kerana kemajuan teknologi yang begitu pesat. Pelbagai
pihak telah berusaha untuk mengembalikan populariti permainan tradisional masyarakat kita.
Namun begitu, belum ada tanda-tanda permainan tradisional akan kembali diminati. Jadi,
beberapa langkah yang sesuai wajar dilaksanakan untuk menghidupkan kembali warisan budaya
bangsa ini.

Kerajaan wajar menganjurkan pertandingan-pertandingan permainan tradisional di semua


peringkat sosial. Langkah ini bertujuan untuk menarik minat masyarakat untuk bergiat cergas
dalam bidang sukan tradisional yang semakin dilupakan. Pelbagai hadiah yang menarik wajar
disediakan keranaada gula ada semutnya. Permainan tradisional seperti wau, gasing, galah
panjang, congkak, dan sebagainya sesuai untuk dipertandingkan. Pertandingan ini wajar dijadikan
acara bulanan atau tahunan agar pendedahannya lebih kerap dan bukan sekadar hangat-hangat
tahi ayam. Jadi, penganjuran pertandingan akan dapat mengembalikan populariti permainan
tradisional bangsa kita.

Selain itu, pihak berwajib perlu menjadikan permainan tradisional sebagai satu acara untuk
menarik pelancong kerana jika tidak dipecahkan ruyung, manakan mendapat
sagunya. Kebanyakan pelancong mancanegara sudah tentu berminat untuk mengetahui lebih
lanjut tentang permainan tradisional Malaysia yang pelbagai jenis. Kementerian Pelancongan
wajar melatih generasi muda untuk menjadi duta kecil untuk memperkenalkan permainan
tradisional kepada pelancong asing. Untuk menjadikan permainan tradisional lebih popular,
konsep inap desa turut memasukkan permainan tradisional sebagai acara wajib dalam program
berkenaan. Oleh yang demikian, permainan tradisional dapat diperkenalkan kepada pelancong
asing dengan lebih berkesan

Satu lagi langkah untuk memperkenalkan permainan tradisional adalah dengan memasukkan
permainan tradisional sebagai satu aktiviti kokurikulum di peringkat sekolah atau institusi
pengajian tinggi. Malahan, kanak-kanak di peringkat prasekolah juga wajar didedahkan dengan
permainan tradisional kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Kelab-kelab permainan
tradisional hendaklah ditubuhkan dan murid-murid diwajibkan menjadi ahli mana-mana kelab
permainan tradisional yang digemari oleh mereka. Tambahan pula, pertandingan permainan
tradisional antara sekolah-sekolah akan menyemarakkan lagi semangat murid untuk memahirkan
diri dengan permainan-permainan tradisional tertentu. Langkah ini sudah tentu dapat
menghidupkan kembali kegemilangan permainan tradisional dalam kalangan generasi muda di
negara kita

Kesimpulannya, permainan tradisional memang wajar dikembalikan kegemilangannya dalam


kalangan generasi muda. Semua pihak hendaklah berganding bahu untuk mempopularkan
kembali warisan bangsa yang tidak ternilai harganya ini. Bak kata pepatah, bulat air kerana
pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Jika tidak permainan tradisional warisan
berzaman ini hanya tinggal nama sahaja pada suatu masa nanti. Kerjasama dan iltizam semua
pihak akan dapat mempopularkan kembali warisan bangsa kita sampai bila-bila.

You might also like